Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 21/06/98
Tajuk/Title : PENGGULUNGAN PERBAHASAN PADA
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KE 52
Nama saya Mahathir Mohamad dari Bahagian Kubang Pasu
yang juga merangkap Ketua Bahagian Kubang Pasu. Saya
tidak bercakap bagi Bahagian Kubang Pasu sebaliknya
sebagai Presiden parti untuk menggulung perbahasan yang
diadakan sejak tiga hari lalu.
Terlebih dahulu saya berasa amat gembira kerana selepas
ucapan Timbalan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya
berasa lega kerana pengakuannya. Tentang kesetiaannya
kepada saya bukan sebagai Mahathir tetapi sebagai
Presiden parti. Kita tahu sudah banyak diperkatakan
mengenai banyak perbezaan pendapat, perselisihan faham
antara kami berdua sehingga telinga ini bengang nak
dengar dan kadang-kadang kita terasuk jugak kerana bila
orang cerita macam-macam, lama-lama dengar, kadang-kadang
rasa nak percaya juga.
Tapi, bila berjumpa tak macam tu. Berpisah, dia mai
balik. Cukup susah. Inilah nasib ahli politik. Tadi saya
beritahu kepada Anwar, dia berkata, apabila Datuk
Abdullah Badawi buat ucapan, dia berasa lega kerana
Abdullah menyokong dia. Saya tanya berkenaan buku 50
Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri dan
saya kata kepada dia, dalam politik tidak ada musuh yang
kekal dan tidak ada kawan yang kekal. Hari ni kita lawan,
esok kita berkawan dan lusa kita berkahwin terus.
Sebenarnya ucapan saya ini tidak diperlukan lagi kerana
mereka yang telah bercakap segalanya sebelum saya sudah
buat penjelasan. Malah, pemerhati pun tepuk dengan begitu
kuat sekali. Namun demikian, saya berpendapat setelah
ahli politik seperti saya diberi peluang berdiri depan
mereka semua, maka terpaksalah saya bercakap. Cuma
mengambil masa selama tiga jam saja.
Saya terpaksa bercakap kerana seorang ahli Majlis
Tertinggi (MT) telah menasihati saya dalam mesyuarat
terakhir MT pada malam Khamis lalu, selepas mesyuarat
Pergerakan Pemuda dan Wanita, nasihat yang diberikan
kepada saya ialah supaya saya meneliti rintihan yang
disuarakan Pemuda. Jangan saya ambil ringan perkara ini
kerana jika kita tidak memberi perhatian kepada perkara
yang dibangkitkan, mungkin ia akan menjadi serius. Memang
inilah cara kita dalam mesyuarat MT, bukan saja Presiden
yang memberi arahan sebagai seorang diktaktor, tetapi
sebaliknya kita berbincang dengan cara tertib dan sopan
dan kita biarkan pandangan dan teguran terhadap semua
pihak termasuk Presiden dan Timbalan Presiden, Naib
Presiden dan sebagainya.
Tiada siapa yang dikecualikan dalam MT daripada ditegur
dan saya sering ditegur oleh ahli MT dan kalau semuanya
dipersetujui, saya terpaksa akur kepada apa yang
disuarakan. Ini adalah cara kita dalam Umno kerana Umno
adalah sebuah pertubuhan politik yang agak tua juga iaitu
lebih 50 tahun. Umno mempunyai susunan yang begitu baik
sekali, mempunyai perlembagaan, mempunyai peraturan
mesyuarat, mempunyai ahli cawangan, Bahagian, Perhubungan
Negeri, MT dan mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat
agung khas.
Semua ini kita susun kerana ia akan menentukan
perjalanan parti kita supaya kita mendapat hasil yang
maksimum daripada penyertaan kita di dalam pertubuhan
ini. Kita tidak mengadakan Perlembagaan untuk menjadi
hiasan. Kita tidak mengadakan ahli jawatankuasa
cawangan, Bahagian, Perhubungan sebagai hiasan. Semua
badan ini mempunyai fungsi tertentu supaya melalui badan
ini segala urusan, matlamat kita dapat dicapai dengan
sempurna. Ahli biasa mempunyai peluang bercakap di
mesyuarat peringkat cawangan, wakil cawangan boleh
bercakap di peringkat Bahagian, peringkat Bahagian pula
ada wakil di peringkat Perhubungan Negeri dan kita tahu
bahawa ahli MT dipilih oleh kita semua untuk menjalankan
tugas utama dalam mengurus pertubuhan kita ini.
Amat penting kita menerima badan dan saluran ini kerana
ia memberi banyak manfaat kepada kita. Kalau kita tidak
menggunakan kemudahan yang kita cipta dan kita adakan
ini, maka perjalanan parti tidak mungkin mendatangkan
hasil yang maksimum. Untuk menjadi ahli MT, bukan mudah.
Kita ada pemilihan dan dalam pemilihan akan ada
kegawatan. Dalam pemilihan ada macam-macam cara
penggunaan wang dan sebagainya. Kita mengadakan usaha
untuk memilih MT kerana kita anggap menjadi ahli MT bukan
sebagai satu medal yang boleh kita pakai di dada. Bila
jadi ahli MT, dapatlah kita menyuarakan pendapat dari
peringkat yang terakhir sekali iaitu peringkat mereka
yang boleh melaksanakan sesuatu pendapat itu. Itu
tujuannya menjadi ahli MT bukan hiasan, bukan medal atau
menepuk dada `akulah ahli MT'. Kita mesti guna MT dengan
cara yang cukup baik, cukup bijak dan dengan itu parti
kita akan cukup selamat dan parti kita akan berjaya.
Sebab itu saya berasa sedih apabila MT tidak digunakan
untuk membincangkan perkara yang disebutkan sebagai
begitu serius, begitu besar dan begitu berbahaya kepada
parti dan negara. Saya tidak mahu mendedahkan apa, tetapi
penting saya mengingatkan kepada parti mengenai perlunya
menggunakan Perlembagaan parti dan alat yang disediakan
dalam parti. Berkenaan dengan soal yang dibangkitkan,
seperti nepotisme, kronisme, kapitalisme, reformasi dan
lain-lain, sepatutnyalah perkara seperti ini dibawa ke
pengetahuan MT. Tetapi rakan-rakan saya tentu akan
menjadi saksi kepada perkara sebegini serius dan boleh
menjadikan negara kita ini bermasalah besar, tidak pernah
disebutkan di dalam MT. Saya sendiri membawa perkara ini
ke MT setelah membaca laporan akhbar, bukan dapat laporan
sendiri. Saya baca dalam akhbar bahawa teguran yang
dibuat mengenai pelaksanaan beberapa dasar kerajaan yang
tidak telus. Dalam mesyuarat bulan Mei, saya sudah
jelaskan betapa pentingnya kita tidak menghebohkan
perkara ini kerana ia hanya memburukkan parti dan negara
kita dan ia akan dijadikan isu oleh parti lawan terhadap
kita. Kalau tidak digunakan oleh musuh kita di luar
negara yang berkata memanglah apa yang dituduh oleh
mereka mempunyai asas kerana kita sendiri menyebut
perkara itu.
Saya jelaskan kalau ada masalah itu, biarlah kita
bincang dan bentangkan dan selesaikan dalam MT yang
biasanya bermesyuarat tanpa orang luar hadir bersama. Apa
sebab kita tidak membenarkan mesyuarat itu secara
terbuka? Kerana kalau kita ada mesyuarat terbuka. Lebih
sukar bagi kita melahirkan perkara yang tidak manis
didengar. Mesyuarat MT tertutup dan dalam mesyuarat itu
kita bebas bercakap dengan lantang kerana tiada sekatan.
MT bukan mesyuarat olok-olok. Kita biasa mesyuarat dari
jam 9 malam sehingga jam 4 pagi tak berhenti sama sekali
kerana kita anggap peranan MT itu begitu penting. Apabila
kita menghadapi masalah, kita tidak fikir perkara lain,
maka kita sanggup bincang, halusi dengan serius perkara
yang perlu diselesaikan di peringkat MT. Sebab itu kita
mesyuarat kadang-kadang berjam-jam sehingga kadang-kadang
pemberita menunggu sampai pukul 12 tak habis lagi dan ada
yang tak tunggu lagi. Tetapi kita tidak lari kerana kita
memandang perkara ini sebagai besar sebab itu kita
tumpukan kepada perkara yang boleh menyerang parti,
negara dan bangsa kita. Kita tunggu dan kita beri peluang
kepada semua ahli MT bercakap. Tak ada seorang pun yang
tidak dibenar bercakap. Kalau kita perhatikan agenda MT,
ia adalah sama saja.
Setiap kali, agenda itu saja, mudah bagi Datuk
Sabbaruddin Chik. Agendanya berbunyi begini, pertama
berdoa. Yang itu kita serah kepada Tan Sri Wan Mokhtar
Ahmad. Kedua ucapan YAB Datuk Seri Pengerusi. Sedap, saya
boleh berucap. Ketiga, mengesahkan minit mesyuarat lalu
dan keempat perkara berbangkit. Kelima, laporan
Jawatankuasa Pengurusan MT, Timbalan Presiden, ada
peluang bercakap. Lepas dia, Pengerusi Badan Perhubungan
Umno, semua Menteri Besar bercakap. Kemudian Ketua
Pergerakan Pemuda bercakap diikuti Ketua Pergerakan
Wanita. Seterusnya pengerusi biro-biro pula bercakap.
Lepas itu jika ada perkara lain dan ini termasuk di bawah
hal-hal lain. Semua mempunyai tempat dan masa dalam
agenda, untuk bercakap. Jadi tidak timbul soal tidak ada
peluang untuk bercakap. Sebab itu bila ada perkara yang
serius dan boleh merosakkan parti, bangsa dan negara
kita, waktu itulah kita bercakap. Dan sepertimana pada
bulan Mei lalu, bila timbul masalah yang dibangkitkan
perkara di luar MT boleh cakap dalam MT. Saya sebut
perkara ini supaya kita ada perbincangan dan saya beri
peluang untuk berbincang perkara ini agar ada ahli yang
bercakap tetapi malangnya Ketua Pergerakan Pemuda tidak
bercakap banyak. Hanya sepakat berkata bahawa surat
khabar ini melaporkan tidak kena. Bila diberi peluang
untuk menggulung, katanya, tidak apa yang dia nak kata
kerana kena tekan teruk sangat, katanya. Jadi tak nak
cakap. Saya berasa legalah, ingat selesailah. Tapi
selepas itu, di luar jadi pula perkara yang sama. Dua
hari lepas, perkara ini disebut dalam ucapan pada 18 Jun
lepas. Ini bermakna bahawa kita tak sanggup bercakap di
dalam dan bercakap di luar. Ini mempunyai kesan yang
buruk kepada parti kita. Walaupun duduk atas takhta yang
tinggi, taklah sehingga tidak boleh dirapat ahli MT
terutama pemimpin parti.
Malah dia dijemput untuk berjumpa dan saya berjumpa.
Saya fikir masalah itu selesai tapi tak selesai juga.
Saya berpendapat kalau kita dah jadi ahli MT, tak
payahlah guna apa-apa jambatan. Kalau tak percaya ahli
MT, jumpa dengan saya kerana ini masalah kita. Kita
pemimpin parti dan sebagai pemimpin parti kita mesti
menjaga parti. Kalau ada yang tidak betul, kita betulkan.
Kalau kita pergi di luar, perkara ini tidak akan selesai
dan orang yang dituduh akan berasa kecewa, mereka akan
rasa bersalah. Tak jawab secara terbuka mereka cakap
secara tertutup dan ini merosakkan parti.
Saya minta ahli MT gunakan MT itu. Bercakap supaya
ikhlas kerana kita semua sayangkan kepada parti ini.
Apabila kita bercakap dengan nada yang lebih kurang
sama dengan nada pengkritik di luar daripada negara kita,
ia akan sedikit sebanyak kita memperakui bahawa itu
benar. Tahun lepas dalam mesyuarat Umno, siapa yang
bercakap berkenaan kronisme, berkenaan nepotisme? Ingat
tak? Tak ada. Tak ada seorang pun, kita belum dengar.
Kita belum dengar bukan kerana perkataan itu tidak ada.
Ada, tetapi belum diguna secara meluas oleh akhbar dan
majalah asing. Tetapi hari ini, kita dengar kerana
selalunya ia disebut majalah asing. Kita mendapati ada
sebuah negara yang mengguna perkataan ini, guna untuk
menjatuhkan kerajaan mereka. Mungkin ada asas bagi mereka
kerana negara mereka berbeza dengan kita.
Perlembagaan mereka berbeza dengan perlembagaan kita,
mereka mempunyai sistem politik dan sistem pemerintahan
yang sungguh berbeza dengan kita, sementara di Malaysia
ini tidak ada seorang yang boleh menjadi menteri,
melainkan ia dipilih sebagai wakil rakyat.
Dalam negara yang berkenaan, yang menjadi menteri, atau
presiden atau timbalan presiden bukan dipilih secara
langsung oleh rakyat, hanya rakyat yang memilih adalah
parti dan parti yang memilih siapa menjadi ahli dewan dan
ahli dewan pilih siapa jadi presiden, jadi dengan cara
itu mereka tidak ada perhubungan secara langsung dengan
rakyat, yang menjadi ahli dewan tidak ada hubungan secara
langsung dengan rakyat. Kita dipilih oleh rakyat, kalau
tidak dipilih oleh rakyat, macam mana pandai sekalipun
tak boleh jadi Perdana Menteri, tak boleh jadi menteri
kerana di sini, kita dipilih oleh wakil-wakil rakyat yang
dipilih melalui pilihan raya oleh rakyat tetapi Dewan
Undangan mereka, saya tak tahulah apa namanya kebetulan
saya tidak terikut tetapi dewan mereka dipenuhi dengan
orang yang dipilih oleh parti dan juga dengan tentera,
tentera duduk dalam dewan, berbincang bersama.
Kita tidak ada tentera dalam dewan rakyat kita bahkan
tentera tidak dibenar pakai uniform apabila masuk dalam
dewan, tidak dibenar sama sekali kerana kita adalah
pemerintahan sivil, pemerintahan ala bukan tentera. Oleh
kerana itu, jika mereka hendak kepada reformasi,
pertukaran bentuk kerajaan supaya kerajaan lebih
mencerminkan kehendak rakyat dan bukan segelintir orang
yang memimpin parti.
Mereka hendak reformasi secara itu atau cara negara
kita membuat reformasi. Saya sendiri sudah cakap mengenai
reformasi tetapi reformasi yang saya maksudkan bukan
menukar perlembagaan kita, tetapi menukar pemikiran orang
Melayu, supaya dapat bentuk satu budaya yang lebih kukuh
dengan zaman yang boleh menentukan kita menjadi lebih
maju. Itu reformasi, definisi negara, nilai-nilai yang
dipegang oleh kita.
Saya tidak kata bahawa kita perlu reformasi dalam
sistem politik kita. Bukanlah sistem politik kita tidak
ada cacat-cela, (tetapi) ada kecacatannya tetapi ia tidak
menjadi begitu serius sehingga kita perlu mendesak
diadakan reformasi.
Mungkin dikatakan bahawa reformasi yang dimaksudkan
ialah untuk menghapuskan korupsi, nepotisme dan kronisme.
Tetapi itu bukanlah reformasi, bukan kita terima perkara-
perkara ini sebagai amalan kita, kita kutuk semua ini
sejak dahulu lagi.
Sebab itulah kita mengadakan mesyuarat khas untuk
menghapuskan politik wang dalam parti kita, kita sudah
tahu perkara itu dan kita tolak perkara itu. Kalau kita
nak tolak lagi tak perlu reformasi yang perlu ialah kita
Jangan kita amalkan ini, jangan kita bercakap tetapi kita
buat, tak boleh. Kadang-kadang bukan kita tak tahu, kita
hantar orang pergi berjalan sana-sini buat umrah dan
sebagainya. Buat apa? Kalau kita nak reformasi cara itu
kita tidak akan buat ini.
Soal nepotisme dan kronisme. Telah dijelaskan apa dia
nepotisme dan kronisme tetapi perlu diberi jelas secara
lebih terperinci. Memberi sesuatu kepada anak sendiri
tidak bermakna nepotisme, memberi sesuatu kepada kawan
tidak bermakna kronisme. Kalau bagi kepada anak saya duit
pergi sekolah apakah itu nepotisme? Saya bagi kepada
kawan saya jam tangan, kawanlah ... bukan ahli politik.
Kawan juga, bukan kronisme. Tetapi kalau saya mengambil,
guna kuasa saya untuk memberi secara yang tidak
dibenarkan kepada saudara-mara saya dan kawan-kawan saya,
itu memang nepotisme dan kronisme.
Tetapi, kita lihat apakah itu yang kita buat dan
dirikan, dengan sebuah negara lain yang mana anak kepada
pemimpin dapat segala-galanya, macam-macam yang dia dapat
sampai tak ada tempat nak tengok. Kereta nasional dia
punya, perniagaan monopoli dia punya, kontrak kapal
terbang dia punya, semuanya dia punya, buat jalan pun dia
punya, anak kepada orang yang berkuasa.
Hak itu memang kita tafsirkan sebagai nepotisme dan
kronisme. Mereka yang berkawan baik, yang rapat dapat
hutan balak seratus, seribu atau sejuta hektar. Itu
kronisme tetapi adakah benar ini amalan kita dalam negara
kita ini?
Sudah tentu kita berikan senarai siapa sebenarnya yang
dapat. Kita tau di Malaysia, kita agihkan kekayaan ini
kepada seberapa banyak yang boleh supaya tidak ada pilih
kasih dalam perkara ini.
Kadang-kadang kita tersalah, Kita manusia biasa, bukan
nabi. Kita tersalah, kadang-kadang ada yang mendapat
lebih, tapi lebih banyak mana? Kalau tengok senarai itu
adakah orang yang dapat berkali-kali semuanya dia dapat?
Tidak ada.
Macam-macam orang dapat, ada tiga kali satu orang
dapat?. Itupun bukan kerana orang lain tak mau. Kita kena
lihat senarai, ada nama yang kita tak kenal langsung,
semuanya dapat kerana kita ingin agih kekayaan kepada
semua tetapi memanglah ada yang dapat lebih sikit kerana
kejayaan dan kemampuan mereka bukan kerana pilih kasih.
Tidak. Sebenarnya saya tidak kenal orang ini walaupun
datang dari kawasan di Kedah. Dia tunjuk kebolehan,
kemampuan, maka kita memberi kepada orang yang boleh. Nak
beri pada orang yang tak boleh, tak boleh. Rosak semua.
Kesejahteraan kita agih kepada semua yang berhak
mendapatnya, ini bukan nepotisme atau kronisme. Sebab itu
saya sediakan senarai ini untuk ahli yang patut, lihat,
tengok, siapa yang dapat. Adakah semuanya dapat kepada
satu orang? Adakah semuanya saya beri kepada anak saya?
Saya tak kata dia tak ada company, ada dalam senarai tapi
semacam orang lain jugak, sekali ini dapat, saya tak tau
dua kali ke, tapi tak ada lebih daripada yang lain, tak
dapat lebih besar daripada yang lain, sama saja. Saya
minta maaf kepada Ketua Pemuda kerana namanya ada dalam
senarai tetapi menjelaskan tadi, bukan dia. Sebenarnya
dia meminjamkan namanya sebelum jadi Ketua Pemuda. Tetapi
apabila kita dapat senarai itu, apa perasaan kita? Ah,
dia pun berkata tetapi dia sama. Macam mana? Makna kata,
kita selalu sangka, kita mempunyai prasangka terhadap
sesuatu sebelum kita periksa tetapi kalau kita periksa
kita akan dapati sangkaan kita itu tidak ada asas sama
sekali.
Apabila kita sebut nepotisme dan kronisme, maka kita
perlu percaya bahawa tentulah ia berasas kepada satu dua
orang dapat segala-galanya, anak orang itu dapat, anak
orang ini dapat, anak orang lain tak dapat. Itu sangkaan
kita bila kita disebut di Malaysia ini ada nepotisme dan
kronisme.
Tetapi kita tahu sekarang bukan satu dua orang itu saja
yang dapat. Semua orang yang berkebolehan dapat. Macam-
macam orang dapat bukan saja dalam soal penswastaan yang
telah diberi senarai, juga hari ini senarai orang yang
dapat saham-saham.
Ramai yang dapat saham, tan sri-tan sri, datuk-datuk
dapat. Kenapa tan sri dapat, datuk dapat, kita tak dapat?
ahli Umno tak dapat? Mereka ini dapat, kerana mereka
dilantik sebagai director-director. Jadi yang menjadi
director dapatlah. Ada jugak yang dapat saham yang banyak
kerana mereka mengadakan perjanjian khas dengan syarikat
bukan Bumiputera yang mana syarikat bukan Bumiputera rela
memberi banyak saham kepada orang yang akan dilantik
sebagai pengerusi atau director dalam syarikat bukan
Bumiputera supaya dengan itu syarikat itu diiktiraf
sebagai tidak membuat penyusunan semula.
Itu pun nak adil juga dan kita tak tau siapa yang
dapat, barangkali Rafidah Aziz tahu, dia ada senarai, itu
berkenaan saham. Saham kita bagi kepada banyak orang.
Senarai itu, setakat 93 saja. Kalau kita pergi jauh ke
belakang ratusan ribu yang dapat, bukan kita hadkan
kepada dua tiga orang, kroni atau keluarga peimpin-
pemimpin. Tidak. Tujuh belas tahun saya menjadi Perdana
Menteri, kalau saya nak bagi kepada keluarga saya,
semuanya kaya belaka tetapi saya boleh tunjuk keadaan
keluarga saya. Bahkan diskriminasi ditujukan kepada
mereka. Kalau mereka minta kepada sesiapa saya tentukan
mereka tidak dapat. Anak saya dipilih untuk dicalon
sebagai wakil rakyat, saya kata dia tak layak, tak dapat,
dapat kat orang lainlah.
Kronime dan nepotisme memang digunakan rakyat asing,
untuk membantut, untuk menggagalkan dasar ekonomi baru.
Apabila mereka melihat bagaimana kita buat social
engineering ini, bagaimana kita dapat menaikkan taraf
orang Melayu dan Bumiputera lain maka mereka mendapati
sukar untuk menegur apa yang kita buat kerana apa yang
kita buat adalah social engineering, menolong yang miskin
supaya mereka dapat hidup sama dengan kaum-kaum lain di
dalam negara kita.
Sukar bagi mereka untuk menegur tetapi mereka berjaya
apabila mereka menyebut bahawa yang untung daripada Dasar
Ekonomi Baru (DEB) ini adalah beberapa kawan-kawan
pemimpin Umno saja.
Kononnya, setiap kali mereka menyebut orang ini,
disebutkan close to the leadership of Umno, bermakna DEB
ini menguntungkan dua tiga kerat partnership dan kalau
kita tak periksa, tertarik juga kita kerana ada juga
orang di Malaysia yang sanggup. Pemimpin parti sosialis
pun berkata, hah DEB menguntungkan beberapa orang kawan-
kawan pemimpin ataupun orang parti Umno. Tetapi, benarkah
DEB menguntungkan cuma beberapa orang saja? Sebenarnya
DEB menguntungkan. Kalau kita mengambil kira Perbadanan
Nasional Berhad (PNB) saja, enam juta orang Melayu dan
Bumiputera mendapat keuntungan daripada DEB. Adakah enam
juta ini keluarga ataupun ahli Umno? Ahli Umno 2.7 juta
saja. Ini enam juta mendapat saham melalui PNB. Itu saham
PNB. Tidak kira saham lain. Kita perhatikan siapa yang
mendapat biasiswa daripada Mara saja 140,000. Tak kira
JPA, tak kira Petronas, Telekom dan yang lain yang
mengeluarkan biasiswa dengan banyaknya. Apakah benar DEB
menguntungkan beberapa orang yang berdekatan dengan Umno,
pemimpin Umno saja?
Kita perhatikan golongan yang termiskin kita bagi
bantuan, macam-macam bantuan kita bantu sehingga kita
membina rumah bagi mereka. Saya cabar sesiapa yang boleh
membuktikan ada negara-negara lain di dunia ini yang
mempunyai program membela rakyat seperti yang kita
lakukan. Apakah kita mengabaikan kelas menengah? Tidak
perlu. Saya sendiri rasa tidak puas hati mengenai
kurangnya kelas menengah di kalangan orang Melayu dan
Bumiputera dan kita hendak juga menambahkan bilangan
mereka dengan bermacam-macam jenis dana yang kita adakan.
Sepanjang masa kita memerah otak untuk menambahkan
bilangan kelas menengah. Sebab itu kita tubuh Kementerian
Pembangunan Usahawan untuk menambahkan pengusaha dan
peniaga sederhana ini dan membekalkan dengan barangan
perdagangan supaya dapat membantu Bumiputera meningkatkan
kelas menengah. Tak cukup bilangan, kita adakan macam-
macam cara termasuk sistem francais yang memberi banyak
peluang kepada orang kita memasuki dalam kelas ini.
Mereka sanggup. Kita sama-sama bercakap. Saya suruh
beberapa kali supaya menambah kelas menengah ini kerana
kita anggap kelas menengah adalah satu kelas yang amat
penting bagi masyarakat Bumiputera.
Golongan profesional juga kita tambah melalui biasiswa,
mengadakan universiti, mengadakan macam-macam latihan,
semua ini kita ada. Tidak lupa kita kepada kelas yang
termiskin tetapi apakah kita harus berhenti dengan kelas
menengah saja. Tentu tak cukup kerana kaum lain mempunyai
kelas atasan dan kita semua membuat definisi apa itu
kelas menengah. Apakah satu realiti tidak termasuk dalam
kelas menengah kerana pendapatannya sudah meningkat
kepada RM1 juta setahun.
Kita kena tahu kerana sesetengah daripada orang kita
ini memiliki bukan RM1 atau RM2 juta, tapi ratusan juta
dan mereka juga boleh ditafsirkan sebagai kelas menengah.
Apa salahnya kalau ada orang kita yang mahu jadi kaya.
Salahkah? Bagi saya tak salah. Bahkan saya berbangga
tengok orang Melayu nak jadi kaya.
Saya seronok, dia beli kapal terbang, beli Mercedes ...
kumpul ... apa salahya. Orang kita! Bangsa kita!. Dulu
kita semua dok sapu jalan saja. Saya hidup di bawah
empat penjajah. Mula-mula British, masa tu saya budak
lagi. British sudah menjajah Malaysia. Selepas itu
British dikalahkan oleh Jepun. Saya duduk di bawah Jepun.
Jepun menyerah Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan
kepada Siam, saya dijajah oleh orang Siam. Lepas itu
British balik, British Military Administration. Dijajah
oleh orang British. Saya melihat bagaimana orang Melayu
yang tidak hormat tentera Jepun dipaksa angkat batu,
junjung batu kerana tidak hormat dan tidak turut kepada
tentera Jepun. Mereka seperti kucing kurap, di sini orang
Melayu kena angkat batu, saya melihat dengan mata kepala
sendiri. Saya melihat bagaimana seorang tua Melayu yang
naik basikal tidak berhenti sewaktu lagu kebangsaan Siam
dimainkan. Apabila sudah tamat lagu itu dimainkan,
seorang askar Siam tendang dia.
Saya ada masa Empayar British tu. Kita tak ada langsung
maruah, kita tidak dibenar buat itu, buat ini. Semuanya
dikatakan kita tak boleh. Sebab itu apabila kita boleh,
saya berasa bangga walaupun saya tak boleh. Kalau ada
orang Melayu jadi doktor bedah, boleh bedah jantung, saya
rela dia bedah saya. Tentu dia boleh. Jangan kata sebagai
Perdana Menteri, ke mana nak pergi, pergilah ... kerajaan
boleh bayar. Saya tak hendak. Saya nak orang Melayu ...
bangsa kita! Kalau dia berjaya, kita bangga. Terlebih
dahulu, saya minta maaf kerana saya sebut hal ini.
Mungkin ada yang kata, niat yang tidak baik terhadap
orang yang lain.
Kalau saya kata orang Melayu cantikpun, saya berbangga.
Kerana ada bangsa lain yang hodoh. Ini kurniaan Tuhan
kepada kita. Kita bersyukur. Apa nak iri hati. Saya dah
tua, tak ada orang nak rapat dah. Ini bangsa kita. Kita
nak tunjuk kita sama dengan orang lain. Kita tak lebih
daripada orang lain. Jadi kalau ada orang kita yang kaya,
yang menjadi billionaire, apa sebabnya yang kita harus
iri hati.
Penswastaan bukannya bertujuan nak adakan billionaire.
Tidak! Sebabnya kita adakan penswastaan, kerana kerajaan
tidak ada wang, tak ada duit sedangkan negara bangun
dengan pesat, perlu banyak infrastruktur, jalan yang
baik, lapangan terbang, mendirikan pelabuhan, penjana
letrik dan sebagainya. Tetapi kerajaan terpaksa menunggu
kutipan cukai yang datang dengan sedikit kerana rakyat
tidak begitu kaya. Kalau kita tambahkan atau naikkan
cukai, rakyat bising, tidak mahu bayar cukai lebih.
Pernas dulu tak pernah untung. Syarikat kerajaan jarang
sekali untung. Ia selalu rugi dan kadang-kadang penipuan
berlaku juga. Apabila kita mengadakan syarikat kerajaan
maka mereka akan mengambil kawasan balak. Rakyat minta
kawasan balak tak dapat kerana syarikat kerajaan hendak.
Tentulah kita beri kepada syarikat kerajaan. Mungkinkah
kerajaan ambil dan rugi, tak pernah untung, saya tahu ...
sudah tentu kita suka nak adakan kemudahan infrastruktur
ini seperti jalan, pelabuhan dan sebagainya, bekalan
elektrik, telefon, kita naklah serahkan kepada sektor
swasta kerana mereka lebih mampu, memanglah mereka
bekerja lebih kuat kalau daripada hasil kerja itu boleh
dapat. Tapi dalam kerajaan, gaji banyak itu juga tak
boleh lebih daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN). Pasal
itu mereka malas nak kerja sebab pukul empat tutuplah.
Tapi bila dah jadi jutawan, lainlah lagak dia. Cerita
mengenai orang yang kalau harta dia punya dia junjung.
Kalau harta orang dia cubit aje. Dia tak kerja kuat
kalau bukan dia punya harta tapi apabila bagi kepada dia,
dia punya. Itu tabiat manusia.
Apabila kita sukakan, maka kita guna sifat yang ada
pada manusia untuk jayakan projek swasta ini dan kita
dapati apabila ada penswastaan maka memang benar mereka
berjaya. Orang yang memang kita tidak sangka ada
kebolehan mengendali syarikat gergasi, tiba-tiba apabila
sudah menjadi milik mereka, mereka ke sana sini bekerja
siang dan malam dan dapat menjayakan projek ini serta
macam-macam lagi yang diserahkan kepada mereka.
Dulu kita nak bina jalan dari Kedah sehingga ke Johor,
tetapi enam tahun baru satu pertiga daripada jalan itu
siap. Apabila kita serah kepada swasta dalam masa yang
agak singkat ia telah siap. Sebab ia dipercepatkan ialah
kerana kalau kita siap, baru dapat duit. Kerajaan tak
apa, tak siap lagi 10 tahun pun kalau dapat duit pun
dapat kepada kerajaan bukan dapat kepada orang yang
membina. Sebab itu kita swastakan tak payah guna duit
kerajaan, bahkan kita dapat jual projek itu dan kita
dapat balik wang yang boleh digunakan untuk lain-lain
tujuan, termasuk buat jalan yang tidak kena tol dalam
kampung, barulah ada duit. Sebab itu kita pilih projek
penswastaan, tetapi kalau kita nak swasta dan kita dapati
ada Bumiputera yang mampu ambil alih, apakah harus kita
kata jangan bagi kepada mereka kerana kalau bagi, mereka
akan jadi kaya. Itulah sikap yang kita nak? Kalau mereka
boleh, kita serah kepada mereka kerana dengan menyerah
kepada mereka, maka matlamat DEB itu akan mudah tercapai.
Kalau mereka kaya kerana penswastaan, apa salahnya.
Salahkah kalau Melayu jadi kaya? Kita boleh melihat orang
lain jadi kaya, mengapa tidak bangsa kita tidak boleh
menjadi kaya?
Apakah orang Melayu yang jadi kaya itu menghulur derma
sepanjang masa kepada kita? Tidak juga. Orang yang jadi
kaya ni apabila minta derma, dia menghulurkan derma. Kita
boleh minta senarai derma mereka. Tanyalah isteri saya
ketua Bakti. Tak berhenti orang hantar duit. Tak payah
buat kempen, duit datang begitu saja. Kerana selalu bagi
duit, kayalah sikit. Tetapi apa sebabnya yang kita berasa
bahaya dengan penswastaan ini orang lain menderita.
Katalah orang kaya ini tidak begitu memberi perhatian
kepada tanggungjawab sosial mereka.
Kita boleh betulkan mereka. Kita boleh panggil mereka
dan kita beritahu mereka tolong jangan buat macam ni.
Tidak baik. Kami dapat duit daripada kamu, dermakan
kepada orang ramai. Tetapi janganlah kerana satu dua
orang, maka kita hentikan penswastaan yang membawa banyak
manfaat, pembangunan dan sebagainya kepada negara kita.
Kalau kita buat demikian, samalah dengan orang yang
kerana seekor nyamuk, bakar kelambu. Kelambu terbakar,
dia hangus terbakar. Itulah yang terjadi kepada kita
apabila didorong oleh perasaan iri hati, benci dan
sebagainya. Kita kata mereka tidak bertanggungjawab
terhadap tanggungjawab sosial mereka. Benar ke? Apakah
kita tidak membuat kajian siapakah sebenarnya yang
menjadi mangsa ini? Saya tidak tahulah benda ini benar
atau tidak. Tetapi bagilah tahu supaya kita boleh
betulkan. Umno, bukan macam parti lain, bukan DAP. Boleh
menjerit, tapi Umno tak dengar, kita buat pekak telinga
dan jeritlah banyak manapun. Tak jadi apa. Tetapi dalam
Umno ini, bisik sahajapun cukup.
Kadang-kadang saya tak bacalah surat tapi kerap kali
bila ada masa saya baca, saya ambik tahu. Baru-baru ini,
ada seorang wanita yang membuka restoran menulis sama ada
dia boleh bekalkan jemaah haji atau tidak. Dia bagi
contoh kepada saya, saya nak makan semua tidak bolehlah,
tapi saya makan juga sikit. Saya tulis surat kepada dia
tidak boleh buat macam ni, kena tukar sikit cara kalau
nak bagi kepada jemaah haji. Orang nak buat haji ni nak
makan berhari-hari mana boleh, takkan boleh makan makanan
tin. Saya tulis surat sendiri kepada dia. Tak tahulah
kalau dia dapat atau tidak. Saya pergi tengok kedai dia.
petang saya pergi keliling dengan Pajero saya, saya
tengok apa yang berlaku di Kuala Lumpur. Hari Rabu,
semuanya masuk dalam buku, buku nota ini. Tanya ahli-ahli
Kabinet, kalau saya keluar saja buku ini, masing-masing
dah berdebar. Kalau ada kementerian yang tidak
menjalankan tugas, yang dicatit dalam buku ini saya
tegur. Yang dia takut tak tahu lah pasal apa. Sebenarnya,
saya baca surat khabar kalau hari Rabu keluar artikel
berkenaan mana-mana kementerian, siaplah. Dua jam
mesyuarat Kabinet ditumpukan kepada perkara-perkara ini.
Kalau nak tau apa dalam ini tak payah tanyalah, tetapi
macam-macam ada.
Apa saja arahan kepada menteri-menteri supaya mereka
meneliti secara terperinci semua dasar kerajaan dan
pelaksanaan dasar-dasar itu. Kita bagi arahan kepada
mereka supaya pemerintahan Malaysia ini adalah
pemerintahan hands on. Dengan itu kita tidak jadi menteri
buat dasar dan balik makan saja. Menteri mestilah turun
ke bawah tengok tempat orang, jadi tak jadi. Kalau tak
dapat pergi, kita minta laporan bukan saja secara
bertulis, tetapi disokong dengan gambar. Kalau ada
projek, sekolah, jalan atau apa-apa yang tak cukup,
mereka kata Umno sudah bagi arahan. Kita nak dapat
laporan secara bertulis dengan gambar. Itu kita percaya.
Kadang-kadang apabila kita tengok sendiri, kita terkejut.
Jalan yang tidak pernah ada tar, tiba-tiba ada tar.
Banyak orang kampung beritahu pada saya datanglah ke
kampung. Bila nak datang, tiba-tiba jalan yang tidak
bertar ada tar. Tak tau peruntukan datang dari mana. Itu
cara pemerintahan kita. Bukan kita abaikan sesiapa.
Daripada yang semiskin-miskinnya kepada yang kaya jangan
kata kerajaan tak pernah tolong. Tentang soal veteran ni
ada salah faham. Ia bermula dengan tawaran yang datang
daripada Tun Ghafar (Baba). Dia datang jumpa saya dan
meminta supaya dalam keadaan kegawatan ekonomi ini,
bolehkah dia tolong memberi penjelasan kepada rakyat, itu
saja yang diminta olehnya. Kita tahu Tun Ghafar ini
bahasanya lebih mudah difaham oleh orang kampung daripada
bahasa Timbalan Perdana Menteri. Saya fikir, saya cakap
dengan orang kampung, dia lebih faham lagi, tapi dia
(Anwar) bahasa tinggi sangat. Saya dan Tun Ghafar guna
bahasa biasa dan dia nak tolong, takkan kita nak kata tak
boleh, dia dah veteran duduk di rumah sudahlah. Berapa
kali saya nak cakap dalam dewan ini, terima kasih kepada
orang lama yang hadir bersama, Kak Esah (Tan Sri Aishah
Ghani) tidak pernah ketinggalan. Tugas mereka adalah
untuk menolong dan bukan untuk membentuk kita pula. Soal
dasar ditentukan oleh Majlis Tertinggi, oleh kita sendiri
di sini. Perpaduan kita amat penting sekali kerana kita
betul-betul diancam oleh orang asing. Percayalah, orang
asing yang kita hadapi sekarang akan merosakkan kita.
Mereka yang menyebabkan kegawatan ekonomi, bukan
pemerintahan kita dan bukan pemerintahan Indonesia yang
menyebabkan ekonominya jatuh dengan begitu serius.
Yang menyebabkan kegawatan dan kejatuhan nilai mata
wang adalah pedagang mata wang dari Barat ini. Mereka
menyebabkan keadaan ini kerana mereka mendapat
keuntungan. Apabila mereka membuat ini, jatuhkan nilai-
nilai saham kita, sehingga banyak yang lebih rendah
daripada saham asal dan daripada harga saham yang
ditawarkan.
Sebagai mengakhiri ucapan, sukalah saya menyatakan
setinggi-tinggi penghargan kepada semua perwakilan yang
mengikuti perbahasan selama tiga hari suntuk dengan penuh
teliti. Jurucakap-jurucakap yang mengambil bahagian dalam
perbahasan ini dengan mengemukakan pelbagai pendapat,
teguran dan cadangan akan diberi perhatian sewajarnya.
Persidangan kita tidak dapat berjalan dengan licin dan
lancar tanpa persiapan yang dibuat oleh ibu pejabat.
Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada
semua pegawai dan kakitangan yang terbabit persidangan
ini. Begitu juga diucapkan terima kasih kepada Yang
Berbahagia Tan Sri Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi
Tetap yang memandu persidangan ini dengan bijaksana dan
mengikut kehendak perwakilan (tapi sebenarnya mengikut
kehendak dia). Kita akan bersurai dan perwakilan akan
pulang ke kawasan masing-masing. Semasa perjalanan saya
minta berhati-hati supaya semuanya selamat dan kita dapat
bertemu sekali lagi pada perhimpunan agung tahun depan.
|