Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MUKTAMAR, PUSAT ISLAM
Tarikh/Date : 06/07/98
Tajuk/Title : MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL
1419H/1998M
Alhamdulillah kita bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat
kita mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul pada tahun
ini. Selawat dan salam kepada junjungan kita Nabi
Muhammad s.a.w., penghulu segala Rasul, pembawa rahmat
seluruh alam.
2. Setiap tahun kita mengadakan majlis memperingati
kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Ini adalah sebagai
kenyataan akan kasih dan sanjungan kita terhadap Baginda
serta perjuangan dan pengorbanan Baginda. Perjuangan
Baginda tidak berhenti dengan wafatnya Baginda.
Sebaliknya ia diteruskan oleh penganut agama Islam
sehingga agama yang mulia ini dianuti oleh lebih satu
bilion manusia di seluruh dunia sekarang ini. Dengan
mengingati dan menyambut Maulidur Rasul, umat Islam
sebenarnya memperbaharui azam untuk mengembangkan lagi
agama yang diwahyukan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala
kepada Nabi Muhammad s.a.w.
3. Agama Islam yang dibawa dan dikembangkan oleh
Rasulullah s.a.w. adalah addin atau cara hidup. Kesan
cara hidup Islam yang jelas sekali ialah perubahan yang
berlaku kepada kaum Arab Jahiliah. Daripada bangsa yang
mempunyai budaya yang primitif, yang sanggup membunuh anak
sendiri, yang menyimpan berpuluh isteri dan gundik, yang
terlalu taksub dengan kabilah-kabilah mereka sehingga
mereka tidak berhenti-henti berperang sesama sendiri, yang
suka dipuji dan mempunyai sifat-sifat keji yang lain, Arab
Jahiliah ini bertukar menjadi umat Islam yang bertamadun
tinggi, yang berjaya menguasai berbagai-bagai ilmu dan
dapat mendirikan sebuah empayar yang terbesar di dunia.
Jelaslah cara hidup Islam boleh membawa kebahagiaan kepada
penganutnya. Inilah yang harus kita ingati apabila kita
menyambut Maulidur Rasul.
4. Tetapi sambutan sahaja tidak bermakna jika kita tidak
gunakan hari berkenaan untuk merenung sejenak akan keadaan
umat Islam di zaman ini. Kita dapati di mana-mana sahaja
umat Islam tertindas. Di Bosnia, di Kosovo, di Iran dan
Iraq, di beberapa buah negara di Asia dan Afrika umat
Islam hidup merana, dibunuh dan dicedera dan dihalau dari
wilayah mereka. Apakah ini yang dimaksudkan sebagai cara
hidup Islam? Sudah tentu tidak.
5. Hari ini umat Islam tidak lagi mendahului manusia
lain dalam bidang ilmu dan anika jenis kecekapan. Hari
ini umat Islam lemah dan tidak berupaya mempertahankan
diri. Hari ini umat Islam berpecah sehingga sanggup
berperang sesama sendiri bahkan memihak kepada musuh-musuh
Islam untuk melawan orang Islam lain. Sesetengah
perbuatan orang Islam di zaman ini tidak banyak berbeza
daripada kaum Jahiliah pra-Islam.
6. Dalam bidang agama, tafsiran yang berbeza-beza dibuat
yang kerapkali dipengaruhi oleh kepentingan kaum atau puak
atau parti. Dengan itu ajaran yang berjaya menukar Arab
Jahiliah kepada yang bertamadun tinggi berubah sehingga
kadangkala bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.
Inilah yang berlaku sedangkan Islam menyuruh umat Islam
bersaudara. Ada orang Islam yang membunuh orang Islam
lain kerana ajaran Islam yang berbeza dan lari daripada
ajaran yang sebenar. Begitu juga, sedangkan umat Islam
disuruh bersiap-sedia dengan peralatan untuk
mempertahankan ummah, umat Islam mengabaikannya dan
terpaksa bergantung kepada belas kasihan orang lain untuk
mempertahankan diri. Senjata orang Islam pun dibekalkan
oleh orang lain.
7. Jika hari ini kita umat Islam tidak lagi berjaya,
bahkan kita ketinggalan zaman, lemah dan dijajah oleh
orang lain, sebabnya ialah kerana kita tidak menjadikan
Islam sebagai addin, sebagai cara hidup.
8. Apabila kita berkata bahawa kita tidak mengamalkan
cara hidup Islam maka ramai yang akan berkata kita kurang
membuat ibadat 'ritual' tertentu. Mereka akan berkata
kita akan hidup bahagia jika kita lebihkan amal ibadat
tertentu ini. Mereka berkata amalan ibadat ini akan
menentukan tempat kita di akhirat walaupun tidak di dunia.
Dunia adalah untuk orang lain. Akhirat adalah untuk kita.
Justeru itu, anggaplah usaha di dunia ini sebagai sekular,
tidak Islam dan tolakkan semuanya.
9. Tetapi ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad
s.a.w. tidak terhad kepada ibadat tertentu sahaja. Jika
ia terhad kepada ibadat ini ia tidak boleh menjadi cara
hidup. Apakah memadai jika umat Islam hanya tahu membuat
ibadat sahaja dan menghabiskan sepanjang masa untuk amalan
ibadat tertentu semata-mata? Apakah umat Islam dapat
hidup sempurna jika tidak tahu bercucuk tanam, menternak,
menangkap ikan, mengeluarkan bahan makanan secara besar-
besaran untuk jumlah umat yang berjuta-juta? Apakah umat
Islam tidak perlu menguasai dan mengembangkan ilmu
perubatan dan kesihatan? Apakah umat Islam tidak perlu
menguasai semua ilmu yang boleh menolong menyelamat dan
mempertahankan umat Islam dan negara-negara Islam?
10. Dalam al-Quran berkali-kali disebut berkenaan dengan
alam sekeliling, bukit-bukau, awan dan hujan yang
menyuburkan bumi. Tetapi jarang sekali ada alim ulama yang
menjelaskan tentang perkara-perkara ini, seolah-olah
ajaran Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran ada yang
penting dan ada yang boleh diketepikan. Tidak ada tekanan
diberikan kepada perkara-perkara ini sepertimana yang
diberi kepada hukum-hakam, soal seks serta wanita dan
seumpamanya.
11. Oleh kerana cara hidup yang kita amalkan tidak Islam
secara menyeluruh, sebaliknya terhad kepada perkara-
perkara tertentu sahaja, maka kita tidak mencapai
kebahagiaan hidup seperti yang sepatutnya bagi umat yang
menganggap Islam sebagai addin, cara hidup. Keadaan kita
sekarang jauh berbeza daripada umat Islam dalam beberapa
abad awalan di mana mereka begitu berjaya sehingga dapat
menguasai dunia bukan sahaja secara fizikal tetapi juga
secara mental.
12. Pada hari kita menyambut Maulidur Rasul hendaklah
kita mengingati diri kita betapa tidak menyeluruh pegangan
kita kepada ajaran Islam. Jika hari ini kita tertekan,
dihina dan dijajah secara langsung atau tidak langsung,
sebabnya ialah kerana kita tidak menjadikan Islam sebagai
cara hidup. Ramai daripada kita yang menganggap Islam
sebagai bekalan untuk maut semata-mata, bekalan untuk
akhirat. Yang malangnya ialah bekalan itu mungkin tidak
mencukupi kerana kita telah meninggalkan sebahagian besar
daripada ajaran Islam seperti yang terdapat dalam al-
Quran. Apakah tempat kita di akhirat jika kita hanya
mengamalkan separuh sahaja daripada ajaran Islam? Apakah
kita tidak bersalah jika kita mengenepikan, bahkan menolak
bahagian kita di dunia sepertimana yang dituntut daripada
kita?
13. Baginda Rasulullah tidak hanya membuat ibadat
tertentu. Kita tahu bagaimana susahnya perjuangan Baginda
untuk mengembangkan agama Islam. Allah Subhanahu wa
Ta'ala boleh menjadikan sesuatu hanya dengan berkata
'jadi'. Sudah tentu Allah boleh menjayakan Nabi dengan
tidak mengadakan berbagai-bagai cabaran bagi Nabi. Agama
Islam boleh dijadikan agama bagi semua Arab Jahiliah
dengan hanya dikata 'jadi' oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Tetapi sebaliknya Allah mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w.
dan menciptakan berbagai-bagai ujian dan halangan yang
boleh menggagalkan usaha Nabi. Tetapi kita tahu bagaimana
Nabi telah berusaha dengan tekun dan bijaksana, menghadapi
segala cabaran sehinggalah Islam dapat dikembangkan. Nabi
tidak hanya beribadat dan berdoa meminta pertolongan
daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
14. Apakah umat Islam boleh berharap kita boleh berjaya
tanpa usaha yang gigih yang tidak tahu kecewa? Sudah
tentu tidak. Kita harus berusaha lebih daripada Nabi
kerana kita bukan Nabi pilihan Allah s.w.t.
15. Jika pada hari kita menyambut Maulidur Rasul kita
dapat memperingati diri kita akan perjuangan Nabi dan kita
jadikan perjuangan ini sebagai teladan untuk cara hidup
kita, maka perayaan ini akan menjadi lebih berguna dan
bermakna. Tidak akan sia-sialah sambutan ini kepada kita
dan kepada umat Islam amnya.
16. Perutusan Baginda Rasulullah s.a.w. juga adalah untuk
mendidik umat manusia supaya menjaga martabat insan
sebagai makhluk yang sebaik-baiknya. Allah Subhanahu wa
Ta'ala tidak memberikan tanggungjawab untuk mentadbir alam
ini selain kepada manusia. Kelebihan yang ada kepada
manusia adalah daripada segi anugerah akalnya. Kepintaran
akal manusia menjadi lebih bermutu apabila diturunkan
wahyu dan diutuskan pula Rasul yang bijaksana. Kerana itu
anugerah akal perlu dijaga dan dipelihara agar benar-benar
dapat berfungsi sebagai nakhoda yang dapat melayari
bahtera kehidupan yang luas. Sepanjang zaman manusia ini
hidup, kejayaan dan kemajuan sentiasa berubah-ubah sesuai
dengan perkembangan tamadun yang dicapai. Kemajuan demi
kemajuan telah diciptakan, tetapi masih wujud penerokaan
baru di dalam dunia sains dan teknologi. Dalam suasana
keghairahan manusia berfikir dan sentiasa mencari penemuan
baru, kita tidak boleh lupa untuk mencari suasana
ketenangan sebagai langkah untuk mengelak daripada tekanan
perasaan. Di sinilah umat Islam dikehendaki untuk
meluangkan sedikit masa untuk merendahkan diri dan
menyembah Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan melakukan
ibadat tertentu. Ini tidak bermakna perbuatan lain yang
mengikut ajaran Islam, mengembang dan mempertahankannya
bukan ibadat dalam Islam. Tetapi ibadat sembahyang, puasa
dan lain-lain tidak boleh diabaikan.
17. Islam mengajar kita untuk berlapang dada apabila
menghadapi sesuatu kesusahan dan kesempitan. Tidak semua
cita-cita dan impian akan dapat dicapai dalam sekelip
mata. Tetapi usaha dan tekad mestilah diteruskan sehingga
kejayaan dicapai. Suasana kegawatan ekonomi yang melanda
negara kita sekarang ini telah mengajar kita untuk
menginsafi diri untuk lebih bertenang dan bertindak secara
positif dan berwawasan. Kita masih bersyukur kerana
kegawatan yang berlaku tidaklah separah negara-negara lain
yang ditimpa berbagai-bagai bala bencana seperti rusuhan,
peperangan, bencana alam dan sebagainya. Sekurang-
kurangnya kesusahan yang kita hadapi sekarang ini dapat
menginsafkan diri kita terhadap kebesaran Allah Subhanahu
wa Ta'ala dan berdoa kepada-Nya agar segalanya dapat
dipulihkan seperti sediakala.
18. Akhir kata marilah kita gunakan kesempatan untuk
menyambut Maulidur Rasul ini dengan melipatgandakan usaha
dan ikhtiar agar segala permasalahan dapat diselesaikan.
Tanggungjawab kita bersama ialah untuk berdoa dan
menghindarkan diri kita daripada sikap-sikap negatif
seperti tamak haloba, rasuah, pecah amanah, hilang sabar
dan sebagainya. Apa yang lebih penting adalah kita
menggunakan peluang yang ada untuk terus mempertingkatkan
daya kreativiti kita untuk memajukan agama, bangsa dan
negara kita.
|