Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BUKIT JALIL, SG BESI, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 11/07/98
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN KOMPLEK
SUKAN NEGARA
Saya bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana pada hari ini, negara kita dapat membuka satu lagi
lembaran baru dalam sejarah pembangunan sukan kita.
Pembukaan Kompleks Sukan Negara yang indah dan lengkap
dengan kemudahan terkini ini bukan sahaja membuktikan
kesungguhan negara untuk menjayakan Sukan Komanwel ke-16
sebagai temasya sukan yang paling gemilang tetapi juga
menjadikannya simbol kecemerlangan sukan yang diharap
akan menjadi budaya di kalangan masyarakat kita. Selain
daripada itu kita harus bersyukur kerana kita telah
memutus untuk membina kompleks ini di waktu negara belum
diserang kegawatan kewangan. Dengan itu kos kompleks ini
menjadi lebih rendah. Jika kita hendak bangunkan
kompleks ini sekarang sudah tentu kosnya akan berlipat
ganda, bahkan kita tidak akan berupaya membinanya sama
sekali.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
2. Prestasi dan kecemerlangan dalam bidang sukan kerap
kali diiringi dengan tahap kemajuan sesuatu masyarakat.
Bagi masyarakat di negara maju, lazimnya pencapaian
mereka dalam sukan adalah tinggi dan begitulah
sebaliknya. Jelaslah secara langsung kemajuan sukan
sedikit sebanyak mencerminkan kemajuan sosio-ekonomi
sesebuah negara. Negara kita telah menikmati kemajuan
yang sangat pesat sejak merdeka, terutama dalam dekad
80an dan 90an. Sungguhpun akhir-akhir ini kita mengalami
masalah kejatuhan nilai ringgit dan kemerosotan pasaran
saham, tidaklah dapat dinafikan bahawa kita telah
mencapai taraf hidup yang tinggi berbanding dengan taraf
hidup kita dahulu. Pelaburan dalam pembangunan sukan
tidak akan menjadi sia-sia kerana sukan membuat tubuh
badan kita sihat dan ini akan menghasilkan akal fikiran
yang sihat. Dan akal fikiran yang sihat akan menyumbang
kepada kejayaan kita sebagai individu dan sebagai satu
bangsa.
3. Pelaburan dalam pembangunan sukan tetap akan membawa
pulangan yang besar kepada kemajuan negara. Penglibatan
secara aktif oleh masyarakat dalam kegiatan-kegiatan
sukan akan dapat membina semangat dayajuang, kecekalan,
kegigihan dan komitmen di kalangan mereka, selain
pembentukan tubuh badan yang sihat. Sukan juga melatih
kita dalam mendisiplinkan diri kita, memperkenal dan
menanam nilai-nilai yang baik yang berguna bagi
menjayakan kita dalam bidang-bidang lain. Walaupun
sekarang yang lebih utama ialah kemenangan dengan apa
cara sekalipun, tetapi semangat kesukanan atau 'sporting
spirit' tidak harus diketepikan. Semangat kesukanan
mempunyai banyak pengajaran yang boleh membentuk peribadi
yang mulia yang menguntungkan diri dan masyarakat.
4. Sama ada kita suka atau tidak suka sukan sudah
menjadi satu industri yang boleh menyumbang kepada
pembangunan ekonomi sesebuah negara. Acara-acara sukan
yang menarik minat orang ramai mempunyai potensi komersil
dalam bidang iklan, penyiaran televisyen dan radio,
majalah dan akhbar, pakaian sukan dan alat-alat
kelengkapan yang digunakan untuk pelbagai jenis sukan.
Di masa yang sama para atlit berpeluang untuk mendapat
imbuhan yang lumayan bahkan boleh menjadi kaya-raya
sebagai ahli sukan profesional.
5. Sebenarnya kompleks ini tidak mungkin dibangunkan
jika tidak ada harapan untuk mendapat pulangan daripada
acara-acara sukan dan acara-acara lain yang boleh
diadakan di kompleks ini. Oleh kerana sukan sudah
mempunyai nilai komersil maka kemudahan untuk sukan dapat
ditingkatkan kualiti dan keselesaannya. Kita harus
bersyukur kerana kita mampu mengadakan kompleks sukan
yang canggih ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
6. Dua bulan lagi kita akan menjadi tuan rumah kepada
acara sukan yang terbesar yang pernah diadakan di negara
kita -- iaitu Sukan Komanwel. Acara sukan ini boleh
dianggap sebagai acara sukan yang kedua terbesar di
dunia, selepas Sukan Olimpik. Walaupun ada acara sukan
yang lebih besar daripada segi skalanya tetapi biasanya
peserta terhad kepada satu kumpulan etnik seperti orang
Eropah atau Afrika atau Asia sahaja. Sukan Komanwel
disertai oleh semua kaum etnik dari enam buah benua di
dunia, iaitu dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Utara dan
Amerika Selatan dan dari Oceania. Justeru itu, kita akan
dapat melihat hampir semua atlit yang handal dari seluruh
dunia. Sebab itu Sukan Komanwel menjadi sukan dunia yang
kedua terbesar.
7. Pengurusan satu acara sukan yang begini besar
tentulah tidak mudah. Kemudahan fizikal boleh disediakan
tetapi dengan sendirinya ia tidak akan menjayakan acara
berkenaan. Lebih penting lagi ialah kecekapan pengurusan
acara ini.
8. Kita telah lihat urusan persiapan yang walaupun
memuaskan, kerap dilanda dengan masalah. Kadang-kadang
kita dapati seolah-olah ada dua nakhoda yang membawa ke
arah yang berlainan. Semasa persiapan masalah ini
tidaklah begitu merunsingkan. Tetapi semasa acara sukan
sebenar diadakan kerjasama antara semua pihak amatlah
penting. Jika ada pendapat yang berbeza, selesaikanlah
melalui rundingan tanpa dihebohkan di luar. Selesaikanlah
dengan secepat mungkin. Masa tidak akan mengizinkan kita
bertelingkah dan mempertahankan 'territory' kita semasa
pertandingan diadakan. Tidak perlu kita mempertahankan
empayar kita sendiri. Empayar yang ada ialah negara
kita, yang maruahnya perlu dipertahankan oleh semua yang
terlibat dengan Sukan Komanwel ini.
9. Seperti juga dalam acara sukan, saya percaya kita
rakyat Malaysia boleh mengurus Sukan Komanwel dengan
jayanya. Malaysia Boleh jika kita yakin kita boleh.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
10. Sempena dengan perasmian kompleks sukan ini sukacita
saya umumkan nama-nama baru yang diberikan kepada
kemudahan-kemudahan yang terdapat di sini. Mulai
sekarang, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil akan digelar
sebagai Kompleks Sukan Negara. Manakala kemudahan-
kemudahan lainnya iaitu:
Stadium Utama - sebagai Stadium Nasional;
Stadium Tertutup - sebagai Stadium Putra;
Stadium Hoki - sebagai Stadium Hoki Nasional;
Kompleks Renang - sebagai Pusat Akuatik Nasional;
Stadium Skuasy - sebagai Pusat Skuasy Nasional;
Stadium Bola Jaring - sebagai Stadium Juara;
Stadium Boling Padang - sebagai Pusat Boling Padang
Negara; dan
Bukit Jalil - sebagai Bukit Komanwel.
11. Akhir kata saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah
kepada Pengerusi Jawatankuasa Perasmian serta saudara-
saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekelian yang telah
mengurus dan berusaha membangunkan Kompleks Sukan Negara
ini dengan jayanya dalam masa yang ditentukan.
12. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
Kompleks Sukan Negara.
|