Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : STESEN BUKIT JALIL, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 11/07/98
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN SISTEM TRANSIT
ALIRAN RINGAN STAR-LRT DARI
KUALA LUMPUR KE BUKIT JALIL
Saya ucapkan terima kasih kepada syarikat STAR-
LRT dan Pengerusinya, Tan Sri Sallehuddin bin Mohamed
kerana telah menjemput saya untuk merasmikan pelancaran
satu lagi perkhidmatan pengangkutan Rel Ringan Bandaraya
Kuala Lumpur. STAR-LRT akan menghubung Kompleks Sukan
Bukit Jalil dengan pusat bandar Kuala Lumpur dan kawasan-
kawasan lain dan akan memudahkan perjalanan dari Kuala
Lumpur ke Sukan Komanwel 1998.
2. Projek pengangkutan LRT ini adalah fasa kedua yang
berjaya disiapkan oleh syarikat STAR-LRT, iaitu sebuah
syarikat tempatan yang berpengalaman dalam sistem
pengangkutan rel ringan. Syarikat ini telah menjadi
perintis dalam pembangunan pengangkutan LRT apabila ia
berjaya menyiapkan fasa pertama projek mereka, iaitu yang
menghubungi Stesen Jalan Sultan Ismail dengan Stesen
Ampang yang kini berjalan dengan lancar dan sempurna.
3. Kejayaan STAR menyempurnakan projek pengangkutan LRT
ini lebih awal daripada jadual dan yang begitu penting
bagi menjayakan sambutan Sukan Komanwel, adalah bukti
betapa syarikat Malaysia mampu melaksanakan tugasnya
dengan baik apabila ia diberikan tanggungjawab yang besar
seperti ini. Ini juga adalah satu bukti syarikat
tempatan adalah cekap, berkredibiliti dan boleh
diamanahkan dengan tugas-tugas berat oleh Kerajaan dan
rakyat.
4. Sukan Komanwel adalah sukan yang kedua terbesar di
dunia selepas Olimpik. Negara kita adalah negara yang
pertama di Asia yang dipilih untuk menganjurkan sukan
ini. Penghormatan yang diberikan oleh negara-negara
Komanwel dalam menjayakan sukan ini tidak boleh kita
pandang ringan. Kita tidak boleh melihat Sukan Komanwel
ini menemui kegagalan kerana kegagalannya akan
mencemarkan imej kita di dunia pada masa-masa akan
datang.
5. Sukan Komanwel di Kuala Lumpur ini memberi peluang
kepada kita memperkenalkan kebolehan kita bukan sahaja
dalam bidang sukan tetapi juga dalam bidang-bidang lain
termasuk bidang pembangunan, pengurusan dan mengekalkan
keharmonian antara kaum-kaum di Malaysia. Oleh itu
janganlah kita sia-siakan peluang ini. Layanlah tetamu-
tetamu kita dengan baik bukan sahaja semasa acara sukan
tetapi sepanjang masa tetamu kita berada di sini. Sudah
tentu khidmat pengangkutan seperti STAR-LRT hendaklah
membuktikan keupayaannya sepanjang masa.
6. Sistem 'mass transit' iaitu pengangkutan secara
beramai-ramai adalah satu kemudahan yang terpenting bagi
sebuah bandar besar. Bandaraya Kuala Lumpur yang
mempunyai penduduk hanya seramai 300,000 orang di waktu
kemerdekaan dicapai telah tumbuh dengan begitu pesat
sehingga penduduknya sekarang berjumlah lebih dua juta
orang. Jika dicampur dengan penduduk di Lembah Kelang
jumlahnya ialah tiga juta. Tidak mungkin memadai jika
pengangkutan terhad kepada kenderaan-kenderaan jalanraya.
Hanya sistem rel sahaja yang boleh menampung keperluan
perjalanan untuk orang yang ramai di daratan.
7. Sepatutnya kita mempunyai hanya satu sahaja sistem
rel ringan untuk Kuala Lumpur. Tetapi oleh kerana
pelabur-pelabur kita kecil dan kurang modal dan
pengalaman kita kurang pada mulanya kita terpaksa
mengadakan empat sistem yang dipunyai oleh empat buah
syarikat dengan sistem yang berlainan. Saya harap
integrasi boleh dibuat di antara sistem-sistem yang
berlainan ini supaya tidak menyebabkan masalah berlaku
kepada pengguna.
8. Untuk memajukan sistem 'mass transit' amatlah
penting perjalanan diadakan secara kerap dan mengikut
jadual dengan ketat. Apabila penumpang yakin tetap akan
ada pengangkutan pada masa tertentu, atau jika perjalanan
adalah kerap dan akan ada pengangkutan bila-bila sahaja
setelah menunggu sedikit masa, maka penggunaan sistem
pengangkutan 'mass transit' akan mendapat sambutan yang
baik dan akan maju. Saya harap STAR-LRT akan dapat
memberi khidmat pengangkutan seperti ini.
9. Sistem ini akan mengangkut penumpang ke Kompleks
Sukan Bukit Jalil semasa Sukan Komanwel. Ini merupakan
satu ujian besar terhadap kemampuan dan kecekapan STAR-
LRT. Anggaplah ini sebagai satu cabaran dan tentukanlah
segala bahagian berjalan dengan baik dan lancar.
Ingatlah ramai pelawat asing akan mengguna sistem transit
ini dan apa yang mereka lihat dan alami akan
menggambarkan negara kita sebagai tuan rumah kepada Sukan
Komanwel.
10. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya
merasmikan pelancaran perkhidmatan pengangkutan Sistem
Transit Aliran Ringan, Sistem Satu dari Bandaraya Kuala
Lumpur ke Kompleks Sukan Bukit Jalil.
|