Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	AUDITORIUM HUKM, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	14/07/98 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN HOSPITAL 
			UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA 



        Saya   ucapkan   terima   kasih   kepada   Universiti
  Kebangsaan   Malaysia   kerana   menjemput   saya    untuk
  merasmikan   hospital  pengajarnya,  Hospital   Universiti
  Kebangsaan  Malaysia (HUKM) pada hari ini.   Ini  bukanlah
  kali  pertama  saya mengunjungi hospital ini.   Dua  bulan
  dulu  saya dirawat di sini dan menikmati sendiri kemudahan
  dan  perkhidmatan  baik  yang disediakan  di  HUKM.   Saya
  ingin   mengambil kesempatan ini untuk mengucap  berbanyak
  terima  kasih kepada Profesor-profesor dan Pegawai-Pegawai
  Perubatan  dan  Bedah serta juga setaf  di  wad  ini  yang
  telah  merawat saya dengan begitu sabar dan  baik,  kepada
  'caterer'  dengan  makanan yang lazat dan  kepada  seluruh
  kakitangan  hospital.   Saya tidak  akan  lupa  budi  baik
  mereka.  Sekali lagi terima kasih.  Saya bersyukur  kerana
  kali ini saya datang ke HUKM bukan sebagai pesakit.
  
  2.     Hari ini kita berkumpul dengan penuh kesyukuran  ke
  hadrat   Allah  Subhanahu  wa  Ta'ala  kerana   Universiti
  Kebangsaan  Malaysia  telah  berjaya  mendirikan  hospital
  pengajarnya sendiri, setelah 26 tahun berkongsi  kemudahan
  dengan  Hospital Besar Kuala Lumpur. Dalam  masa  itu  UKM
  telah  berjaya  melatih hampir 3,000 orang doktor  am  dan
  lebih  600  orang  doktor  pakar  dalam  pelbagai  bidang.
  Kejayaan   ini  adalah  lebih  mengkagumkan   memandangkan
  ianya   dicapai   dalam   keadaan  yang   kurang   selesa.
  Maklumlah  Hospital  Kuala Lumpur  (HKL)  adalah  hospital
  yang  sesak  dengan  pesakit dan tumpuannya  lebih  kepada
  perkhidmatan  jagaan.  Namun demikian kakitangan  HKL  dan
  pakar-pakar    Kementerian   Kesihatan   telah    berusaha
  bersungguh-sungguh   untuk  menyediakan   sekitaran   yang
  'conducive'.  Hasilnya  ialah  UKM  telah  dapat  memenuhi
  matlamat   negara   untuk  menyediakan   pengamal-pengamal
  perubatan  dan  pakar-pakar untuk  perkhidmatan  perubatan
  dan kesihatan bagi rakyat negara ini.
  
  3.     Adalah  penting  bagi  sesebuah  Fakulti  Perubatan
  mempunyai  hospitalnya sendiri. Tumpuan hospital  pengajar
  adalah  kepada  tanggungjawab akademiknya  tanpa  mengabai
  khidmat  kepada  pesakit-pesakit.  Hospital  Kuala  Lumpur
  lebih  menumpu  kepada perkhidmatan dan  rawatan  pesakit.
  Namun  kita tidak boleh lupa akan kaitan rapat  di  antara
  perkhidmatan  pesakit dengan pendidikan dan  penyelidikan.
  Walaupun  kadangkala ada percanggahan di antara  keutamaan
  latihan  dan  penyelidikan  dengan  jagaan  khusus.   Juga
  sebagai   hospital   yang  menumpu  kepada   perkhidmatan,
  kemudahan untuk pengajaran dan penyelidikan di HKL  kurang
  memuaskan.  Oleh  itu  memang  wajar  Kerajaan  meluluskan
  pembinaan  sebuah hospital pengajar bagi UKM.  Di  samping
  itu  Kerajaan ingin melihat pertumbuhan pusat-pusat jagaan
  perubatan dan kesihatan yang cemerlang dan terkemuka  yang
  dapat berkembang dalam suasana akademik dan bestari.
  
  4.     Kini  UKM mempunyai hospitalnya sendiri, dan  boleh
  mengukir    jenis   dan   corak   program   yang    hendak
  dilaksanakan.   Memang   sudah    sampai    masanya   HUKM
  membuktikan  kebolehannya di arena perubatan tempatan  dan
  antarabangsa.  Dalam era globalisasi, tidak  ada  sebabnya
  HUKM  tidak boleh menjadi pelopor dunia dalam membangunkan
  teknologi  baru  dan mendalami misteri  penyakit   melalui
  penyelidikan   asas, klinikal dan epidemiologikal.  Adalah
  menjadi harapan kita yang pesakit dari seluruh dunia  akan
  datang   ke  HUKM  untuk  rawatan  tertentu  yang  mungkin
  menjadi  'speciality' HUKM. HUKM sewajarnya dapat  memberi
  sumbangan  yang bermakna dalam mengukuhkan  sistem  jagaan
  kesihatan   dan  perubatan  di  negara  ini   yang   boleh
  dicontohi   oleh   seluruh  dunia  melalui  penglibatannya
  secara    aktif   dalam   menangani   masalah    kesihatan
  masyarakat,  di  samping menerajui kaedah  dan  pendekatan
  baru dalam jagaan kesihatan.
  
  5.     Dengan  adanya berbagai-bagai pakar dan  kemudahan,
  HUKM mampu bersaing daripada  segi jenis perkhidmatan  dan
  pilihan  yang diberi, dan yang lebih penting, perkhidmatan
  itu   berlandaskan  kualiti  dan  nilai  ditambah,   mudah
  diperolehi,   tanpa  banyak  remeh-temeh  dan   birokrasi,
  dengan  kos  yang  rendah  atau yang  mampu  dibayar  oleh
  rakyat   biasa.    Ini  bermakna  memberi   pesakit   atau
  pelanggannya  perkhidmatan  yang  terbaik  dan  berkualiti
  tinggi tanpa membebankan pesakit dengan kos yang tinggi.
  
  6.     Dalam  memberi perkhidmatan,  adalah  penting  kita
  memberi   yang  terbaik mungkin, yakni   melalui  hubungan
  rapat  di  antara doktor dan pesakit, mempastikan  layanan
  doktor    yang     baik,   jururawatan   yang     terbaik,
  penyelidikan  terbaik  dan  teknologi  yang  terkini   dan
  bersesuaian.  Kita  perlu  menumpu  bukan  sahaja   kepada
  rawatan  tetapi juga jagaan. Matlamat kesihatan yang  kita
  hendak  ialah  yang mempastikan rakyat  sihat,  dan  bukan
  semata-mata  untuk  memberi rawatan selepas  jatuh  sakit.
  Strategi   inilah   yang  menyebabkan  Malaysia   terkenal
  sebagai negara yang mempunyai belanjawan kesihatan  kurang
  daripada     empat    peratus    KNK    tetapi     berjaya
  mempertingkatkan indeks kesihatan seperti  kadar  kematian
  ibu,  kadar  kematian  kanak-kanak, sehingga  hampir  sama
  dengan paras di negara maju.
  
  7.     Namun  demikian  kita tidak  boleh  mendabik  dada.
  HUKM  wujud  dalam  era pembangunan  yang  amat  mencabar.
  HUKM  harus peka dengan arus perkembangan sistem kesihatan
  di  negara kita dan seluruh dunia serta kos kesihatan yang
  semakin    meningkat.    Di   negara   Eropah   umpamanya,
  belanjawan kesihatan merupakan belanjawan kedua  tertinggi
  dalam  belanjawan  negara masing-masing.  Peningkatan  kos
  ini    dikaitkan   dengan   bertambahnya   wargatua   yang
  memerlukan  rawatan yang lebih mahal, serta 'demand'  oleh
  pesakit  untuk  rawatan berteknologi  tinggi  dan  terkini
  yang  biasanya  diberikan  oleh hospital-hospital  canggih
  yang  memberi perkhidmatan 'tertiary'. Hospital  berlumba-
  lumba  untuk  membeli  alat terkini, seperti  'CAT  scan',
  tanpa  mengambil  kira sama ada kita  perlukan  satu  lagi
  alat  itu atau tidak.  Pesakit dipaksa menjalani berbagai-
  bagai  ujian canggih tanpa mengambil kira sama  ada  perlu
  atau  tidak.    Kita  harus  ingat  pesakit  juga  semakin
  canggih.   Pengetahuan berkenaan ubat-ubatan  dan  rawatan
  canggih di kalangan pesakit semakin meningkat dalam  zaman
  maklumat ini.  Dengan itu mereka mahu diberi rawatan  yang
  terkini termasuk penggunaan alat-alat yang canggih.
  
  8.     Di  Barat  ada  pula  tabiat  mendakwa  doktor  dan
  hospital  jika  sesuatu  berlaku  kepada  pesakit   kerana
  disyaki  kecuaian  atau  kesalahan doktor  atau  hospital.
  Dakwaan  ini  dibuat kerana ingin dapat pampasan  daripada
  doktor   dan   hospital,   pampasan   yang   kadang-kadang
  berjumlah berjuta-juta dolar.
  
  9.      Sementara  ketakutan  kepada  dakwaan  menyebabkan
  doktor  dan hospital lebih berhati-hati dan membuat segala
  yang  diperlukan untuk pesakit, kerapkali dalam  percubaan
  untuk  mengelak  daripada  didakwa  kemudian,  pemeriksaan
  canggih  yang  tidak perlu dibuat sebagai 'routine'   atau
  sengaja  dibuat  supaya tidak dituduh cuai  dalam  memberi
  rawatan.   Ini  menyebabkan kos  rawatan  menjadi  terlalu
  tinggi  sehingga  orang yang miskin  tidak  dapat  khidmat
  yang  diperlukan.  Perkara ini  adalah  perkara  biasa  di
  negara  maju, pesakit menjadi bankrap kerana rawatan  yang
  terlalu canggih yang begitu tinggi kosnya.
  
  10.    Mungkin  negara maju menganggap mereka begitu  maju
  tetapi  sebenarnya  mereka kurang maju kerana  hanya  yang
  kaya   sahaja   yang   mendapat  rawatan.    Yang   miskin
  sebenarnya  merana  jika tidak mendapat  bantuan  Kerajaan
  atau   mempunyai  insuran.   Kos  meningkat  bukan  sahaja
  kerana  pemeriksaan  yang tidak diperlukan  tetapi  kerana
  doktor  dan  hospital  terpaksa mengambil  insuran  dengan
  premium  yang  tinggi  disebabkan  mahkamah  suka  memberi
  pampasan yang bukan-bukan.
  
  11.     Alhamdulillah,  di  Malaysia  kita  tidak   begitu
  'litigious'.   Peguam-peguam kita tidak  mengajar  pesakit
  untuk   menasihat  mereka  supaya  mendakwa  doktor   atau
  hospital di mahkamah untuk mendapat ganti rugi yang  besar
  yang   dibahagi  antara  pesakit  dengan  peguam.   Tetapi
  kerana  tidak adanya risiko ini tidak bermakna doktor  dan
  hospital  tidak  perlu berhati-hati  dan  memberi  rawatan
  yang  terbaik.  Profesyen doktor  perubatan  bukan  sahaja
  untuk  mendapat  pendapatan  yang  besar.Ia  adalah   satu
  khidmat   kemasyarakatan.  Sementara  alat   yang  canggih
  boleh  menentukan 'diagnosis' yang lebih tepat  dan  lebih
  awal,  ia  tidak  boleh mengganti layanan secara  peribadi
  yang  mesra daripada doktor dan juga kakitangan  yang lain
  di hospital.
  
  12.    Satu  lagi  kesan daripada  tabiat mendakwa  doktor
  ialah  mengurangkan  minat doktor  untuk  memberi  khidmat
  secara   sukarela.   Dilihat  di  negara  maju  kebanyakan
  doktor   mengelak  daripada   menolong  mangsa  kemalangan
  umpamanya  kerana  takut  didakwa  di  mahkamah  kemudian.
  Mereka  menjauhkan diri apabila melihat kemalangan berlaku
  untuk tidak diminta memberi pertolongan.
  
  13.    Sebenarnya budaya perubatan di banyak  negara  maju
  sudah  merosot.   Doktor  tidak lagi  memandang  profesyen
  mereka   sebagai   satu  khidmat  kemasyarakatan    tetapi
  sebagai   kegiatan  mendapat  pendapatan   yang   setinggi
  mungkin.   Komitmen mereka kepada pesakit  terhad   kepada
  banyak   mana  bayaran  yang  akan  diperolehi.    Layanan
  peribadi juga dipengaruhi oleh jumlah pendapatan.
  
  14.    Apa yang saya sebut ini bukanlah menyeluruh.  Ramai
  juga  daripada   doktor-doktor di negara maju  yang  masih
  berpegang   kepada   ikrar    Aesculapius,   dan     masih
  menganggap  kedoktoran  perubatan  sebagai  satu   khidmat
  kemanusiaan.   Antara  mereka ini ialah  kumpulan  doktor-
  doktor  Perancis  yang menggelar diri mereka  dengan  nama
  'doktor   tanpa  sempadan'.  Mereka  ini  sengaja  memilih
  tempat-tempat  di negara-negara membangun yang  menghadapi
  masalah  perubatan,  yang  mempunyai  bahaya  dan   risiko
  perang  untuk menawar khidmat mereka. Mereka tidak memihak
  kepada  mana-mana pihak, hanya pihak pesakit  yang  mereka
  ingin  rawat dengan rawatan perubatan moden.  Mereka tidak
  membuat  'value  judgement'  terhadap  mangsa  yang  perlu
  rawatan  daripada   mereka.  Bagi mereka  yang  diutamakan
  ialah khidmat kemanusiaan.
  
  15.    Walaupun  mungkin mereka tidak  menyertai  kumpulan
  ini   secara  berkekalan,  tetapi  untuk  jangkamasa  yang
  pendek  pun, pengalaman ini tetap akan menyedarkan  mereka
  akan  azab  sengsara manusia di negara-negara  yang  tidak
  bernasib   baik.    Dan  kesedaran  ini  akan   mewarnakan
  persepsi  dunia  mereka, menjadikan  mereka  manusia  yang
  lebih  prihatin,  membentuk manusia yang lebih  bertimbang
  rasa.
  
  16.    Saya  berasa  sedih apabila dalam lawatan  saya  ke
  fakulti perubatan di luar negeri dan saya berjumpa  dengan
  penuntut-penuntut   dari  Malaysia,  mereka  menyoal  saya
  berkenaan  dengan  tanggagaji doktor  yang  pada  pendapat
  mereka  adalah  terlalu rendah.  Mereka  belum  pun  tentu
  boleh  mendapat ijazah tetapi sudah memikir tentang  gaji.
  Saya  anggap  pendapatan adalah penting bagi siapa  sahaja
  tetapi  eloklah  jika semasa belajar kita tumpukan  kepada
  mendapat  kelulusan dahulu sebelum kita  memikirkan  gaji.
  Atau jika kita anggap pendapatan begitu penting maka awal-
  awal  lagi  kita  semak tanggagaji khidmat  perubatan  dan
  jika  didapati  tidak mencukupi kita  pilih  jurusan  lain
  yang boleh memberi pendapatan yang lebih lumayan.
  
  17.    Kerajaan  sedar  bahawa  tanggagaji  semua  khidmat
  Kerajaan  tidak  seperti swasta.   Saya  bersyukur  kerana
  ramai  juga daripada  doktor dan pakar yang memilih  untuk
  terus  bekerja  dengan Kerajaan walaupun pendapatan  tidak
  sebegitu.  Ada  juga pakar yang pilih untuk terus  bekerja
  dengan   Kerajaan  selepas  bersara.   Gaji  kecil   tidak
  menjadi   masalah   kepada  mereka  ini.    Saya   ucapkan
  berbanyak  terima kasih kepada mereka.  Jika tidak  kerana
  mereka,   majoriti  doktor Kerajaan akan terdiri  daripada
  orang  asing.   Demikian juga jururawat yang sekarang  ini
  ramai yang terdiri daripada orang asing.  Kita bukan  anti
  orang  asing  tetapi jika kita terlalu  bergantung  kepada
  orang asing kita akan hilang kebebasan kita.  Justeru  itu
  adalah  penting  kita  menyumbang masa  dan  khidmat  kita
  kepada    negara.    Janganlah   kita   terlalu   utamakan
  pendapatan  yang  tinggi  sehingga  khidmat  yang  penting
  untuk  negara  sekalipun akan dikuasai oleh  orang  asing.
  Tidak ada negara yang maju yang kekal kemajuannya jika  ia
  bergantung kepada 'mercenaries'.
  
  18.    Hospital  UKM ini memerlukan pelaburan  yang  besar
  oleh  negara.   Peralatan yang disediakan  adalah  canggih
  dan  'state of the art'.  Kerajaan sanggup melabur  dengan
  begitu  banyak  kerana  di sinilah  akan  dilatih  doktor-
  doktor  Malaysia  yang akan bertanggungjawab  melaksanakan
  program  kesihatan  rakyat  Malaysia.   Kos  bagi  latihan
  doktor dan pakar adalah tinggi dan saya yakin mereka  yang
  dilatih di sini akan membalas budi kepada masyarakat  yang
  sanggup berkorban untuk membiayai pelatih.
  
  19.    Saya sedar bahawa di zaman ini budaya membalas budi
  sudah  dianggap lapuk.  Kita dapati mereka  yang  mendapat
  peluang  belajar di universiti tidak segan-segan  mengecam
  pihak  yang  mewujud  dan memberi peluang  kepada  mereka.
  Tetapi  kita  akan  teruskan  juga  dengan  usaha  memberi
  pengetahuan  dan ilmu kepada rakyat Malaysia akan  datang.
  Mudah-mudahan  akan ada sebilangan yang masih  ingat  akan
  sumbangan masyarakat dan akan membalasnya.
  
  20.    Dengan  harapan ini dan  dengan  lafaz  Bismillahir
  rahmanir   rahim,   saya  dengan  sukacitanya   merasmikan
  Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

 
 



 
Google