Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BANGI
Tarikh/Date : 18/07/98
Tajuk/Title : AKHBAR SEBAGAI PEMBINA
SAYA amat kagum dengan pertumbuhan Utusan sebagai
sebuah syarikat surat khabar di Malaysia. Walaupun ia
diasaskan di Singapura tetapi hari ini Utusan dianggap
sebagai akhbar Malaysia dan dimiliki, dijaya dan
diuruskan oleh rakyat Malaysia.
Perkembangan Utusan ini boleh dibanggakan oleh semua
pihak, dan sudah tentu boleh dibanggakan oleh negara
kita. Daripada sebuah akhbar yang mempunyai modal
RM12,500, modal Utusan kini berjumlah berjuta-juta
ringgit dan untungnya juga berjuta-juta ringgit.
Ini menunjukkan bahawa pertumbuhan memang akan berlaku
kepada sesuatu usaha kalau ada usaha yang cukup diambil
untuk memajukannya. Tidak ada sesuatu bermula dengan
cara besar-besaran.
Suatu usaha perniagaan dan lain-lain yang bermula
secara kecil-kecilan - dan kemudiannya daripada minat
dan usaha yang bersungguh-sungguh - akan membesar
menjadi satu badan perusahaan yang tidak termimpi oleh
pengasas-pengasas yang memulakan usaha itu.
Sudah tentu pengasas-pengasas Utusan tidak mimpi
bahawa hari ini 60 tahun kemudian kita akan mengadakan
upacara ini dengan perayaan secara yang amat mengagumkan
dan juga dengan memiliki bangunan dan peralatan begini
canggih yang sama setaraf dengan lain-lain perusahaan
pengeluaran surat khabar.
Industri surat khabar adalah suatu industri yang amat
penting yang memang pun mempunyai peranan yang penting
dalam memajukan cita-cita sesuatu bangsa.
Tanpa surat khabar seperti Utusan, maka mustahil
rakyat Malaysia khususnya orang-orang Melayu dapat
dikumpul untuk bergerak cergas dalam arena politik
sehinggalah mereka dapat memperjuangkan kemerdekaan
mereka.
Selepas kemerdekaan dicapai, maka peranan akhbar pula
ialah untuk mengisi kemerdekaan dan memberi galakan dan
pengetahuan kepada semua pihak supaya memainkan peranan
masing-masing dalam menjayakan negara yang sudah merdeka
ini.
Tanggungjawab akhbar amatlah berat kerana akhbar boleh
membentuk fikiran rakyat dan juga pemimpin ke arah
kebaikan ataupun keburukan.
Kita dapati di zaman ini terdapat amat banyak
kecenderungan oleh akhbar semata-mata untuk menarik
pelanggan, pembaca yang ramai dengan apa cara sekalipun.
Kita dapati bahawa di Barat sudah ada cara-cara
melaporkan berita yang tidak mengambil kira moral
ataupun kesannya selain menjadikan pemberita seorang
yang terkenal dan menjadikan akhbar popular.
Itu sahaja yang diutamakan. Dengan itu banyaklah
akhbar-akhbar yang diterbitkan di Barat yang menumpukan
kepada menggerak nafsu manusia dengan cerita-cerita yang
berunsur seks dan keganasan. Semakin hari semakin buruk
nampaknya kecenderungan ke arah ini.
Malang sekali bagi kita ialah kita turut mendekati
pendekatan ini untuk mendapat kemajuan. Bahkan apabila
kita melihat ada akhbar-akhbar di Barat yang tidak segan-
segan mencipta berita dan mencerita sesuatu yang tidak
berasas, membohong dan sebagainya, ada juga kita yang
tertarik dengan cara itu dan membuat laporan yang
menarik tetapi tidak mempunyai asas.
Kadang-kadang oleh kerana kesedaran akan kuasa akhbar,
ada juga yang ingin menggunakan kuasa akhbar untuk
tujuan-tujuan tertentu. Apabila akhbar disalahgunakan
sedemikian, maka peranan membina yang sepatutnya menjadi
peranan utama akhbar akan hilang. Dengan itu, masyarakat
juga akan kucar-kacir.
Sebenarnya kita tidak perlu meniru cara orang lain.
Mereka sudah pun maju. Bagi mereka perpecahan dan lain-
lain tidak akan menghancurkan negara mereka.
Tetapi kita masih sebuah negara membangun yang cuba
mengejar negara-negara yang maju. Untuk ini kita perlu
semua pihak menumpukan kepada usaha-usaha yang boleh
memajukan negara kita.
Sudah tentu kalau kita berusaha untuk memecah-belahkan
rakyat atau mengelirukan mereka, menimbulkan perasaan
tidak senang antara satu dan lain, maka kita tidak akan
menyumbang kepada pembangunan negara.
Sedangkan kita begitu berkuasa, begitu berpengaruh dan
kita boleh menggunakan kuasa dan pengaruh ini untuk
sesuatu yang baik bagi negara kita.
Kita berharap apabila kita melatih pemberita-pemberita
yang baru, penekanan hendaklah diberikan bukan sahaja
terhadap cara-cara untuk mempopularkan tulisan ataupun
laporan kita tetapi juga tanggungjawab kita kepada
masyarakat.
Kita dapati bahawa pemberita baru awal-awal lagi
diajar menggunakan pendekatan mendedahkan itu dan ini
kerana pendekatan itu akan memajukan akhbar.
Walaupun ia tidak mendatangkan kebaikan kepada
masyarakat, tetapi kalau kita boleh memajukan diri kita
ataupun akhbar kita, ini harus diguna oleh kita.
Dengan itu, kita melihat sekarang ini wujud penekanan
kepada perkara-perkara yang tidak membina di dalam
negara kita. Kita dapati ada kecenderungan untuk membuat
laporan-laporan yang memburukkan imej negara.
Kita tidak ingin melihat negara kita dilindung
daripada berita yang benar tetapi kita hendaklah imbangi
berita itu dengan berita yang benar juga berkenaan
sesuatu yang boleh meningkatkan imej negara kita.
Kita dapati juga ada kecenderungan untuk membuat
laporan buruk tentang negara sendiri tetapi tidak
langsung berminat untuk membuat laporan yang sama untuk
negara-negara lain. Bahkan kita dapati negara-negara
lain mempunyai lebih banyak masalah dan perbuatan-
perbuatan yang tidak baik tetapi kita tidak dapat
laporan itu sama sekali dalam akhbar kita.
Sebaliknya kalau ada laporan ataupun peristiwa yang
tidak baik dalam negara kita, ia dibesar-besarkan.
Dengan itu kita mempunyai perasaan rendah diri, kita
mempunyai inferiority complex kerana kita sangka bahawa
negara kita begitu buruk dan negara asing begitu baik.
Sebenarnya negara asing kerap kali lebih buruk
daripada kita tetapi oleh kerana kita yang memburukkan
negara kita, maka ia menyebabkan kita sendiri terpedaya
dan tertipu dengan laporan yang kita baca dan kita
berasa bahawa kitalah yang kurang baik, bersalah dan
sebagainya.
Ini amat mendukacitakan kerana kuasa adalah sesuatu
yang harus diguna dengan baik. Kita tidak boleh nafi
bahawa akhbar mempunyai kuasa, dan kata orang kalau
seseorang ada kuasa ia kerap dipengaruhi oleh kuasa itu
secara yang tidak baik. Kata orang, power corrupts dan
kita dapati sesiapa juga yang mempunyai kuasa cenderung
untuk menyalahgunakan kuasa.
Kita tidak kurang bersalah kalau dengan kuasa yang ada
pada kita itu maka kita membuat tuduhan bahawa orang
lain menyalahgunakan kuasa. Sedangkan dengan tuduhan
yang tidak berasas, kita juga menyalahgunakan kuasa.
Ini harus kita semua ingat dan kita harus gunakan
kuasa ini untuk membangunkan negara kita.
Saya ingin peringatkan semua pihak bahawa kita masih
sebuah negara yang sedang mengejar kemajuan. Untuk ini
kita perlu kepada ketenteraman dan keamanan dalam negara
kita. Kalau kita berpecah belah dan mempunyai banyak
masalah dalaman, maka kita tidak dapat menumpu kepada
usaha-usaha membangunkan negara.
Namun demikian saya ingin mengucapkan berbanyak terima
kasih kepada Utusan dan akhbar-akhbar Utusan yang telah
memberi sokongan yang kuat kepada kerajaan. Hasil
daripada sokongan inilah maka hari ini kita lihat negara
kita telah mencapai tahap pembangunan yang cukup pesat.
Dan bersama-sama dengan pembangunan ini, Utusan juga
mencapai kemajuan pesat. Jelas sekali bahawa kita tidak
akan dapat kemajuan untuk diri kita sahaja melainkan
kita menolong pihak lain mencapai kemajuan.
Saya harap Utusan daripada sebuah kumpulan akhbar yang
begini besar yang telah mengembangkan kegiatannya
sehingga ke kegiatan multimedia, teknologi maklumat,
mengeluarkan CD-ROM dan sebagainya, menggunakan
peruntukan, tenaga dan pemikirannya supaya dengan itu
kita akan dapat mencapai lebih banyak kemajuan.
Saya ucapkan tahniah kepada Utusan yang telah
meningkat umurnya kepada 60 tahun sebulan lepas. Saya
harap Utusan akan berkekalan dan dapat merayakan mungkin
100 tahun, 200 tahun yang akan datang dan dalam keadaan
yang lebih maju daripada sekarang.
Saya percaya ini jugalah harapan Utusan. Saya berdoa
harapan ini akan tercapai akhirnya.
|