Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA (RTM)
Tarikh/Date : 30/08/98
Tajuk/Title : SEMPENA SAMBUTAN HARI
KEBANGSAAN KE-41
Syukur Alhamdulillah pada tahun ini genap 41 tahun
negara kita mencapai kemerdekaan. Dan selama itu juga
kita telah bertungkus-lumus berusaha untuk mengisi
kemerdekaan negara dengan segala macam pembangunan dan
kemajuan untuk rakyat. Berkat ketekunan kerja dan
komitmen rakyat jelata selama itu, negara kita pesat
membangun dan menjadi makmur. Ekonomi kita berkembang
dengan purata lapan peratus lebih setahun dalam tempoh
satu dekad yang lepas. Rakyat kita hidup maju, aman dan
bahagia.
2. Kita berjaya menyediakan pelbagai kemudahan untuk
keselesaan rakyat. Semua lapisan rakyat kita dapat
menikmati hasil kekayaan dan kemakmuran negara. Tidak
ada sesiapa pun yang tertinggal dalam kemajuan negara.
Semuanya mendapat habuan secara adil dan saksama. Sesiapa
yang lebih berusaha mendapat lebih banyak nikmat.
3. Di samping itu juga kita berjaya menyatukan rakyat
kita yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum, dengan
berbagai-bagai bahasa, budaya dan agama. Pertelingkahan
kaum yang serius tidak berlaku. Setiap masalah
perselisihan kaum diselesaikan di meja rundingan.
Perasaan hormat menghormati dan toleransi di antara kaum
telah membolehkan rakyat kita hidup dengan penuh aman dan
harmoni. Dunia luar juga kagum dengan kecapaian ini.
4. Kita boleh berbangga dengan kemerdekaan negara kita.
Ada negara yang telah lama mencapai kemerdekaan tetapi
masih tidak dapat mencapai keamanan dan kemajuan. Kita di
Malaysia sebaliknya dapat mengorak langkah panjang
mengejar cita-cita besar kita, iaitu Wawasan 2020.
Selama empat dekad yang lalu rakyat Malaysia berusaha
selangkah demi selangkah untuk membangun dan memajukan
negara. Demikianlah berjayanya ketekunan rakyat sehingga
Malaysia digelar sebagai salah sebuah "harimau ekonomi"
Asia.
5. Tetapi, alangkah terkejut dan terperanjatnya kita
apabila tiba-tiba sahaja ekonomi negara kita cuba
dihancurkan melalui serangan ke atas matawang dan pasaran
saham kita. Negara kita telah dijadikan korban nafsu
rakus mereka yang tamak dan mahu mendapat keuntungan
besar. Kini sudah lebih setahun ekonomi negara kita
mengalami tekanan oleh pihak asing ini. Kita telah
mengalami kerugian yang amat besar. Nilai Ringgit kita
telah jatuh kira-kira 60 peratus sementara hampir RM500
bilion modal telah dihapuskan daripada pasaran saham
kita. Akibat serangan tersebut, pendapatan per kapita
kita juga telah merosot kepada AS$2,000 daripada
AS$5,000. Perangkaan suku pertama tahun 1998 menunjukkan
KDNK tahunan bukan sahaja tidak tumbuh tetapi merosot
sebanyak 1.8 peratus. Memandangkan masalah ekonomi yang
terus dihadapi kita terpaksa menyemak kadar pertumbuhan
kita kepada susutan sebanyak satu peratus atau lebih bagi
tahun 1998 berbanding dengan perkembangan lapan peratus
lebih 10 tahun berturut-turut dahulu.
6. Banyak syarikat dan bank kita menjadi tenat. Ada
yang sudah muflis. Sudah ada ramai pekerja yang hilang
pekerjaan. Hasil pendapatan perniagaan telah berkurangan
dan cukai Kerajaan menurun sehingga perbelanjaan terpaksa
dikurangkan dan banyak khidmat dan pembangunan yang
penting tidak dapat diadakan. Dengan tertangguhnya
beberapa projek pembangunan maka banyak industri dan
pekerja hilang mata pencarian mereka.
7. Usaha melemahkan kita oleh apa yang dikatakan 'kuasa
pasaran' yang kononnya ingin mendisiplinkan Kerajaan
hampir berjaya. Kita hampir jatuh tersungkur. Mereka
telahpun berjaya melumpuhkan ekonomi beberapa negara
jiran di rantau ini dan Asia Timur sehingga terpaksa
diletak di bawah kuasa badan antarabangsa. Mereka telah
berjaya mencetuskan kekecohan dan rusuhan politik di
negara-negara ini. Rakyat negara-negara berkenaan
mengalami kesengsaraan dan penderitaan sehingga mereka
terpaksa bertindak liar merompak kedai-kedai untuk
mendapat bekalan makanan dan lain-lain. Dengan itu
keadaan menjadi lebih buruk dan pemulihan ekonomi menjadi
lebih sukar. Melihat keadaan ini, mereka yang
mencetuskannya begitu gembira dan menyalahkan Kerajaan-
Kerajaan negara ini yang kononnya tidak cekap dan tidak
jujur dalam mentadbirkan negara. Bahawa Kerajaan-
Kerajaan inilah yang membangunkan negara mereka dengan
begitu pesat dahulu dilupakan sama sekali.
8. Setelah berjaya mengheret negara-negara berkenaan
supaya tunduk kepada Tabung Wang Antarabangsa (IMF)
kerana memerlukan bantuan, kini 'kuasa pasaran' nampaknya
mengalih tumpuan kepada negara kita. Mereka cuba
memecahkan perpaduan rakyat dan sokongan mereka kepada
Kerajaan. Mereka juga sengaja cuba mematahkan sebarang
usaha yang diambil oleh kita untuk memulihkan ekonomi
negara.
9. Alhamdulillah sehingga kini kita masih dapat
mempertahankan negara kita. Oleh kerana pembangunan
negara kita diasaskan kepada usaha kita, kewangan kita,
sistem dan dasar-dasar kita, maka hutang antarabangsa
kita tidak menjadi beban yang terlalu berat untuk kita
pikul. Kita tidak perlu hutang daripada badan
antarabangsa untuk membayar hutang luar kita. Kita telah
kurangkan keperluan matawang asing dengan mengurangkan
import kita dan meningkatkan eksport kita. Kita sedang
menyusun dagangan luar kita supaya mengguna matawang
rakan dagangan kita. Inflasi dapat kita kawal dan
pekerja serta kesatuan-kesatuan kita tidak menuntut
kenaikan upah atau mengambil tindakan perusahaan.
10. Kita telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara
(MTEN) untuk membentuk dasar dan pendekatan bagi
menangani masalah-masalah yang sering timbul daripada
kejatuhan nilai matawang dan saham. Majlis ini telah
mengeluarkan garis panduan yang lengkap untuk semua
bidang supaya kita semua bergerak dan bertindak secara
teratur. Besar kemungkinan jika rancangan MTEN ini
dilaksanakan, kita akan dapat memulihkan semula ekonomi
kita.
11. Tetapi malangnya ternampak pihak orang asing tidak
ingin melihat kita memulihkan ekonomi negara kita.
Apabila sahaja kita membuat sesuatu untuk memulihkan
ekonomi kita, mereka menyerang matawang dan pasaran saham
kita. Dengan itu masalah kita bertambah dan memerlukan
strategi lain untuk mengatasinya. Apabila kita cuba
mengurangkan tekanan ke atas bank dan syarikat kita
dengan menubuhkan Danaharta dan menambah modal bank kita,
pihak mereka sengaja menurunkan kredit 'rating' kita
supaya faedah hutang luar naik dengan mendadak. Dengan
itu kita sukar mendapat pinjaman untuk membiayai
pemulihan bank dan syarikat kita.
12. Tujuan mereka ialah supaya kita tidak dapat
memulihkan ekonomi kita dan dengan itu kita terpaksa
meminta pertolongan badan antarabangsa. Apabila kita
meminta bantuan maka mereka akan mengenakan syarat
tertentu, terutama syarat supaya kita membuka pasaran
kita kepada bank dan syarikat mereka sehingga mereka
boleh menguasai ekonomi kita sepenuhnya. Penyusunan
semula masyarakat dan ekonomi untuk mengagihkan kekayaan
negara kita secara adil dan saksama kepada semua kaum
akan tidak dipatuhi oleh mereka kerana bagi mereka
pasaran mestilah bebas dan tidak dikawal oleh Kerajaan.
Dengan ini mereka boleh mengaut keuntungan yang terbesar
mungkin untuk diri mereka tanpa menghiraukan kepentingan
kita. Kita hanya akan menjadi pekerja mereka.
13. Mereka menafikan bahawa ada pakatan oleh mereka
untuk menguasai negara kita. Tetapi sama ada pakatan ada
atau tidak, hakikatnya ialah kita akan menjadi begitu
miskin dan daif sehingga mereka boleh mengambilalih
ekonomi negara kita. Kemudian sudah tentu mereka akan
menguasai politik kita juga. Kita dapat lihat bagaimana
mereka berjaya menukar kepimpinan beberapa negara dengan
menghasut rakyat dengan dakwaan bahawa masalah ekonomi
yang menyerang negara adalah disebabkan oleh korupsi dan
tidak telusnya Kerajaan. Bahawa Kerajaan yang sama yang
dahulu memajukan negara dan rakyat tidak diambilkira oleh
mereka.
14. Walaupun rakyat kita belum merasai tekanan yang
dahsyat tetapi di beberapa negara Asia Timur keadaan
ekonomi sudah begitu buruk sehingga berjuta-juta orang
menganggur. Mengikut laporan media Barat bilangan yang
bunuh diri meningkat dengan mendadak. Penganggur
terpaksa meminta sedekah, tidur di bawah jambatan dalam
kotak, meninggalkan keluarga yang mereka tidak dapat
memberi sara hidup. Pengangguran ini ialah kerana negara
dipaksa menerima sistem urusan perniagaan Barat yang
dikatakan lebih terbuka dan adil. Jika pekerja terpaksa
diberhentikan itu tidak mengapa kerana kononnya akhirnya
ekonomi akan pulih.
15. Tetapi ekonomi tidak pulih setelah cara Barat
diamalkan. Pengangguran bertambah kerana syarikat
mengalami kerugian dan menjadi muflis. Pekerja terpaksa
membantah, mogok dan merusuh. Sudah tentu tindakan ini
memburukkan lagi ekonomi, menghalang pemulihannya. Dengan
itu pekerja pula disalahkan kerana tidak mahu dibuang
kerja dan menjadi papa kedana untuk kononnya menjayakan
sistem pemulihan ala Barat.
16. Satu komentar Barat mendakwa penderitaan pekerja
yang menganggur ialah kerana Kerajaan negara Asia tidak
menyediakan "safety net" iaitu bantuan Kerajaan kepada
yang tidak bekerja. Bahawa dalam sistem Asia pekerja
dijamin pekerjaan oleh majikan seumur hidup tidak
dianggap sebagai cara menyelamatkan pekerja. Mereka
hendak supaya majikan bebas membuang pekerja, dan
Kerajaan, iaitu masyarakat, mestilah menanggung beban
menyara hidup pekerja yang menganggur.
17. Ternampak jelas bahawa Barat menganggap apa sahaja
sistem mereka, ia tentunya baik walaupun pengamalannya
menyebabkan penderitaan berjuta manusia. Sebaliknya
sistem Timur atau Asia dianggap buruk walaupun ia membawa
kemakmuran dan kemajuan kepada rakyat dan negara.
18. Kita tidak berniat untuk membakar hati rakyat kita
supaya benci kepada Barat. Kita akui ramai daripada
mereka berprihatin dan benar-benar percaya mereka
bertanggungjawab mengembangkan reformasi untuk kebaikan
manusia di dunia. Tetapi kenyataan yang kita lihat amat
berbeza daripada dakwaan mereka. Oleh itu kita tidak
boleh pegang kepada dakwaan mereka. Kita perlu membuat
penilaian kita sendiri akan apa yang sedang terjadi dan
sebab-sebabnya ia terjadi. Kita perlu menerima hakikat
bahawa kita mesti bertanggungjawab terhadap pemeliharaan
dan pengurusan negara kita.
19. Selama ini pun pembangunan negara kita adalah hasil
dasar, cara dan usaha kita sendiri. Apabila rusuhan kaum
berlaku dalam tahun 1969 orang asing hanya membuat
ramalan bahawa Malaysia tidak mungkin aman kerana
perkauman rakyat berbilang kaum kita yang begitu kuat.
Tetapi kita telah berusaha sehingga hubungan kaum dipulih
semula. Namun apabila sudah pulih, media mereka terus
mendakwa bahawa walaupun hubungan kaum nampak baik tetapi
sebenarnya ia tidak baik. Mereka mendakwa Dasar Ekonomi
Baru sebagai tidak adil kepada rakyat Malaysia keturunan
Cina, yang mana dakwaan ini boleh menimbulkan kebencian
orang Cina terhadap orang Melayu dan mencetus semula
rusuhan kaum.
20. Tetapi, Alhamdulillah, hasutan mereka tidak
berkesan. Kita dapat menyusun semula masyarakat kita,
membasmi kemiskinan dan menghapuskan identifikasi kaum
dengan kegiatan ekonomi. Hasilnya ialah perhubungan
antara kaum terus baik walaupun semasa ekonomi merosot.
21. Demikian jugalah dengan pemulihan ekonomi negara
kita sekarang. Kita tidak boleh harap sama sekali kepada
bantuan daripada orang asing. Kita mesti berusaha
sendiri untuk memulihkan ekonomi negara kita dan
mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan kita.
22. Perkara yang pertama dan utama yang kita perlu
tentukan ialah pengekalan keharmonian antara kaum dan
kestabilan politik negara kita. Memang pun ada baru-baru
ini percubaan untuk mencetuskan rusuhan kaum. Ramai juga
yang terpengaruh dengan hasutan melalui "Internet".
Tetapi kita telah dapat menumpas usaha ini. Kita tidak
akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap sesiapa
juga yang cuba menghasut untuk mencetuskan rusuhan kaum
di negara kita. Desakan orang asing supaya dihapuskan
undang-undang ISA adalah kerana mereka ingin melihat
kestabilan negara kita digawatkan dengan rusuhan kaum.
23. Selain daripada kestabilan politik dan hubungan
kaum, kita perlu menentukan agar tidak ada tindakan
perusahaan di negara kita. Kita bersyukur kerana
masyarakat pekerja dan kesatuan-kesatuan sekerja bersikap
bertanggungjawab dan tidak mengeruhkan lagi keadaan. Di
masa yang sama majikan hendaklah menghargai sikap
bertanggungjawab pekerja dengan menjaga kepentingan
mereka. Di mana layanan boleh diberi, majikan hendaklah
melayani tuntutan yang waras oleh pekerja.
24. Sebagai rakyat pula kita semua harus faham akan
sebab-sebab dan bentuk tekanan daripada kegawatan
ekonomi. Fahaman ini akan membolehkan kita bertindak
untuk mengatasinya. Umpamanya walaupun kita perlu
mengurangkan perbelanjaan, pengurangan ini hendaklah
tidak menjejaskan perniagaan rakyat lain. Perbelanjaan
untuk melancong keluar negeri merugikan kita tetapi
melancong dalam negeri boleh menolong pemulihan ekonomi
negara kita. Demikian juga peniaga yang menjual barang
yang diimport harus berubah untuk menjual barang tempatan
dan pembeli harus membeli barangan tempatan ini untuk
menentukan peniaga tidak mengalami kerugian. Inilah yang
dimaksudkan oleh Kerajaan sebagai perbelanjaan yang
bijak.
25. Peniaga dan pengusaha pula harus meningkatkan
perniagaan mereka. Negara ingin melihat mereka berjaya
mendapat keuntungan yang wajar bagi mereka. Pengeluaran
barangan untuk eksport dan untuk mengganti barangan yang
diimport hendaklah ditingkatkan. Ini akan menambah
pengaliran masuk tukaran asing dan mengurangkan
pengaliran keluar. Kos pengeluaran semua barangan harus
dikawal. Dengan nilai Ringgit menurun pelabur jangka
panjang akan tertarik dengan kos dalaman yang rendah
untuk pelaburan mereka. Janganlah kita naikkan kos
hingga menjejaskan pelaburan.
26. Bank-bank kita perlu menolong memulihkan ekonomi
negara. Mengurangkan pinjaman dan mengenakan syarat-
syarat yang bukan-bukan hanya akan menghalang pemulihan
ekonomi. Jika ekonomi tidak dipulihkan bank juga akan
menghadapi masalah, bahkan akan bankrap. Bank
sepatutnya mengutamakan kepentingan negara dan tidak
melayan sebarang usaha yang boleh menjejaskan lagi
ekonomi negara. Bank hendaklah patuh kepada dasar dan
arahan Kerajaan walaupun ini mungkin mengurangkan sedikit
keuntungan jangka pendek bank. Jika dan apabila ekonomi
dipulih bank akan mendapat balik keuntungan yang
dikorbankan, bahkan lebih daripada itu. Ingatlah
kejayaan bank-bank di Malaysia adalah kerana dasar dan
pendekatan Kerajaan dalam mentadbirkan negara.
27. Tujuan Kerajaan adalah tidak lain selain daripada
memulihkan ekonomi dan menebus semula maruah bangsa dan
negara kita. Kemerdekaan kita selama 41 tahun ini tidak
akan bermakna jika rakyat dan negara kita dikuasai dan
dijajah semula oleh orang asing.
28. Dalam tempoh dua minggu lagi negara akan menjadi
tuan rumah kepada Sukan Komanwel (Sukom), acara sukan
terbesar yang pernah kita adakan di negara kita. Walaupun
kita menghadapi kegawatan ekonomi kita yakin kita dapat
menguruskan acara sukan ini dengan jayanya. Kita juga
yakin atlit kita yang begitu bersemangat akan memenangi
pingat yang banyak untuk negara. Memandangkan kejayaan
sukan ini penting demi imej baik negara, sukalah saya
menyeru semua rakyat Malaysia supaya memberi kerjasama
dan sokongan sepenuhnya untuk menjayakan sukan ini.
Kejayaan Sukan Komanwel ini akan menunjukkan kepada dunia
bahawa Malaysia mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk
menganjurkan acara-acara besar yang bertaraf
antarabangsa.
29. Akhir sekali saya ucapkan selamat merayakan Hari
Kebangsaan kepada semua lapisan rakyat Malaysia. Semoga
kita berjaya dalam usaha kita memulihkan kembali ekonomi
kita dan dengan itu memelihara dan mempertahankan
kemerdekaan dan kedaulatan negara kita.
30. Ingatlah, Negara Kita adalah hak dan tanggungjawab
kita.
|