Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue :
Tarikh/Date : 29/09/98
Tajuk/Title : PERSIDANGAN DEWAN RAKYAT SEMASA
MEMBENTANGKAN RANG
UNDANG-UNDANG PERINDUSTRIAN SEKURITI
(DEPOSITORI PUSAT) (PINDAAN) 1998
Pasaran saham diadakan pada mulanya untuk
membolehkan syarikat-syarikat perniagaan mengumpul modal
atau menambah modal perniagaan. Oleh kerana permintaan
kepada sesuatu saham meningkat, maka harga saham
berkenaan kerap melebihi harga asal yang ditawar oleh
syarikat. Sebaliknya apabila permintaan menurun, harga
sesuatu saham mungkin jatuh kadang-kadang lebih rendah
daripada harga tawaran asalnya. Dengan naik turunnya
harga saham mengikut permintaan, maka keuntungan dan
kerugian boleh didapati apabila saham di niagakan.
Dengan itu juga pasaran saham tidak lagi menjadi tempat
untuk mengumpul modal atau "raise capital" sahaja,
tetapi menjadi tempat perniagaan saham sebagai satu
komoditi. Demikianlah keuntungan yang boleh didapati
daripada perniagaan saham sehingga prestasi, untung-rugi
dan dividen syarikat tidak lagi diambilkira. Saham
syarikat yang tidak sihat pun boleh dinaikkan nilainya
hanya dengan mencetuskan permintaan yang tinggi.
Kemudian dengan menjual bertalu-talu, nilai saham boleh
diturunkan. Dengan perkataan lain, nilai sesuatu saham
tidak lagi menunjukkan nilai yang sebenar tetapi
nilainya menurut manipulasi oleh pemain-pemain pasaran
saham. Mereka boleh menaik dan menurunkan nilai saham
sesuka hati untuk mendapat keuntungan.
2. Dengan cara yang dikenal sebagai "short-selling"
atau jualan singkat pemain pasaran saham boleh meraih
keuntungan yang besar. Penurunan nilai saham yang
mendadak kerana "short-selling" dan kegiatan-kegiatan
lain boleh merugikan syarikat. Ini boleh berlaku
apabila syarikat meminjam daripada bank dengan mencagar
saham semasa nilai tinggi. Apabila harga saham jatuh
lebih rendah daripada paras harga ketika pinjaman
dibuat, maka bank akan meminta syarikat menambah
cagaran. Jika syarikat tidak dapat menambah cagaran
maka hutang syarikat menjadi "non-performing" dan
syarikat tidak boleh meminjam lagi, bahkan mungkin
dibankrapkan. Bank pula akan menjual saham yang dicagar
dan ini menyebabkan nilai saham menurun lagi. Jika
banyak syarikat mengalami masalah seperti ini, maka
ekonomi negara juga akan rosak.
3. Oleh kerana kita ingin membuka pasaran kita dan
menerima modal asing, Kerajaan telah membenar saham
syarikat Malaysia dimiliki oleh orang asing. Biasanya
pemilikan oleh orang asing dihadkan kepada 30 peratus
sahaja. Banyak syarikat Malaysia yang mengadakan "road-
show" untuk menarik pelabur asing. Penyertaan mereka
boleh menaikkan harga saham dengan tinggi.
4. Pada mulanya kita percaya bahawa pelaburan oleh
mereka adalah disebabkan kepercayaan mereka terhadap
ekonomi negara kita dan prestasi syarikat-syarikat kita.
Tetapi sebenarnya mereka hanya ingin meraih keuntungan
daripada menjual beli saham.
5. Apabila wang kita diserang oleh pedagang-pedagang
matawang asing, pelabur-pelabur asing dalam pasaran
saham kita memburukkan lagi keadaan ekonomi negara
dengan menjual bertalu-talu saham milik mereka. Dengan
itu harga saham jatuh dengan teruknya. Syarikat-
syarikat kita mengalami kerugian yang besar, tidak dapat
membayar hutang dan mungkin muflis.
6. Jika tidak kerana adanya syarat yang menghadkan
milik asing kepada peratusan tertentu, pemodal asing
akan membeli majoriti saham syarikat-syarikat ini
apabila mereka sudah menurunkan nilai saham sehingga
meletakkan syarikat dalam keadaan tenat. Tetapi oleh
kerana syarat Kerajaan menghalang mereka daripada
mengambilalih syarikat kita, maka mereka terus menekan
turun matawang kita dan nilai saham kita. Harapan
mereka ialah akhirnya kita terpaksa meminta pertolongan
IMF dan dengan itu dikenakan syarat supaya membuka luas
pasaran saham kita kepada pelabur asing. Dengan itu
juga mereka akan dapat menguasai semua syarikat dan bank
kita dan secara langsung menguasai ekonomi kita.
7. Manipulasi harga saham oleh pihak asing dapat
dibuat melalui pasaran saham CLOB di Singapura. Walaupun
kita telah asingkan pasaran saham Singapura dari
Malaysia, iaitu mereka tidak boleh menjual-beli saham
syarikat Malaysia dalam SES atau Stock Exchange of
Singapore, Kerajaan Singapura menubuhkan CLOB, satu
pasaran "over the counter" yang boleh menjual-beli saham
Malaysia tanpa didaftar dengan BSKL.
8. Mereka mendaftar semua saham yang diniagakan oleh
mereka melalui satu syarikat nominee. Oleh kerana
perniagaan antara pemilik-pemilik saham adalah dengan
nama syarikat nominee, maka tuan punya saham yang
didaftar dengan BSKL tidak berubah. Beratus ribu
pemilik saham didaftarkan dengan BSKL atas nama satu
syarikat nominee sahaja.
9. BSKL tidak mungkin tahu siapa pemunya benefisial
(beneficial owner) saham-saham tersebut dan siapa yang
menjual atau membelinya. BSKL juga tidak akan tahu sama
ada orang asing memiliki lebih daripada peratusan yang
ditentukan oleh Kerajaan, atau mana-mana pemilik sudah
memiliki lebih daripada lima peratus di waktu mana ia
perlu mengisytiharkan pemilikannya, atau ia sudah
memiliki lebih daripada 33 peratus di waktu mana ia
perlu membuat "general offer" atau tawaran umum
untuk membeli saham-saham selebihnya.
10. Namun harga jual-beli saham ini mempengaruhi harga
saham dalam pasaran. Demikian perniagaan melalui CLOB
boleh menurunkan nilai saham sehingga menjadi masalah
kepada syarikat dan mungkin menyebabkan syarikat muflis.
11. Adalah jelas bahawa kemudahan nominee sudah
disalahgunakan secara ketara dan membawa keburukan bukan
sahaja kepada syarikat-syarikat kita tetapi juga kepada
ekonomi negara. Modal pasaran atau "market
capitalisation" BSKL telah jatuh dengan teruknya
daripada hampir RM900 bilion kepada kurang daripada
RM300 bilion akibat permainan pelabur-pelabur asing
melalui CLOB. Justeru itu pemilikan saham melalui
syarikat nominee perlu ditegah dan perniagaan saham
melalui pasaran saham yang tidak diiktiraf tidak harus
diakui sah daripada segi undang-undang negara.
12. Undang-undang yang dikemukakan kepada Dewan Yang
Mulia ini adalah bertujuan untuk menentukan saham-saham
syarikat Malaysia diniagakan hanya di pasaran saham
Malaysia, iaitu BSKL atau pasaran yang diiktiraf oleh
BSKL; mempastikan semua saham didaftarkan melalui
Depositori Pusat secara langsung, mengharamkan nominee
memegang saham bagi pihak pemunya benefisial, menentukan
segala syarat-syarat pemilikan saham oleh pemastautin
dan orang asing dipatuhi, serta syarat-syarat lain yang
ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, BSKL dan badan-
badan lain yang mengendalikan perniagaan saham.
13. Hukuman tertentu ditetapkan bagi mereka yang
melanggar peraturan-peraturan dan undang-undang dagangan
sekuriti di Malaysia atau dagangan yang melibatkan saham-
saham syarikat-syarikat Malaysia.
14. Saya mohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang
bernama Suatu Akta untuk meminda Akta Perindustrian
Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 dibacakan kali kedua
sekarang.
15. Krisis ekonomi yang melanda negara telah
menunjukkan pelbagai kelemahan dan kekurangan dalam
industri sekuriti yang memerlukan langkah-langkah untuk
mengatasinya bagi memulihkan kembali keyakinan terhadap
pasaran modal di Malaysia. Antara kelemahan-kelemahan
yang telah dikenalpasti adalah seperti berikut:
(i) dagangan saham dijalankan dengan begitu mudah
tanpa dizahirkan identiti pemunya benefisial
(beneficial owner). Pada masa yang sama, ini
menyebabkan naik turun harga saham tanpa sebab dan
kegiatan memanipulasi harga-harga saham secara
artifisial. Oleh sebab identiti pembeli dan
penjual disembunyikan oleh nominee, maka
perniagaan saham menjadi kabur dan tidak telus.
Pemilik saham yang lain, bahkan syarikat berkenaan
mengalami tekanan dan kerugian yang ketara.
Pasaran yang tidak diiktiraf dapat ditubuhkan di
luar negara yang meraih keuntungan besar daripada
manipulasi harga saham;
(ii) Dalam Akta Syarikat 1965 dan Akta Perindustrian
Sekuriti 1983 nilai ambang (threshold value)
penzahiran dan masa bagi membuat laporan yang
sukar dikuatkuasakan telah menyukarkan pihak-pihak
berkuasa untuk menyiasat dan mengambil langkah-
langkah wajar bagi transaksi-transaksi yang boleh
menjejaskan integriti pasaran saham;
(iii) Semua badan pengawalselia sukar untuk menguatkuasa
dan mengambil tindakan-tindakan serta merta ke
atas mereka yang melanggar kaedah-kaedah dan
undang-undang mengenai industri sekuriti. Ini
termasuklah Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Saham
Kuala Lumpur (BSKL), pusat penjelasan diiktirafkan
iaitu Securities Clearing Automated Network
Services (SCANS) dan Depositori Pusat Malaysia
(MCD).
16. Selaras dengan objektif Pelan Pemulihan Ekonomi
Negara dan keperluan mengembalikan keyakinan terhadap
pasaran, tindakan-tindakan secara pentadbiran dan undang-
undang perlu diambil dengan serta merta. Untuk ini
pindaan telah dibuat kepada kaedah-kaedah BSKL, MCD dan
SCANS yang mula berkuatkuasa pada 1 September 1998.
Tindakan secara undang-undang pula adalah perlu bagi
menyokong tindakan pentadbiran itu. Tujuan pindaan Akta
tersebut adalah seperti berikut:
i) memberikan sokongan undang-undang kepada pelbagai
pindaan kaedah-kaedah BSKL, SCANS dan MCD yang
berkuatkuasa mulai 1 September 1998;
ii) mempertingkatkan tahap ketelusan dalam dagangan
saham bagi memastikan semua dagangan saham yang
disenaraikan di BSKL hanya dibuat di BSKL atau
bursa saham yang diiktiraf oleh undang-undang,
sekaligus mengharamkan dagangan luar pasaran
seperti CLOB;
iii) mencegah penyalahgunaan nominee dengan menghendaki
semua pegangan saham dibuat atas nama pemunya
benefisial (beneficial owner) atau nominee yang
diberi kuasa (authorised nominees). Nominee yang
diberi kuasa ialah mereka yang menjalankan khidmat
sebagaimana yang diluluskan dalam kaedah-kaedah
depositori pusat; dan
iv) meningkatkan keupayaan penguatkuasaan badan-badan
pengawalselia untuk memastikan bahawa tindakan-
tindakan serta merta dan efektif diambil ke atas
mereka yang melanggar kaedah-kaedah atau undang-
undang sekuriti.
17. Pindaan-pindaan penting yang diperkenalkan dalam
Rang Undang-undang Perindustrian Sekuriti (Depositori
Pusat) (Pindaan) 1998 mengandungi 28 fasal dan meliputi
perkara-perkara berikut:-
i) Takrif-takrif Baru
Takrif-takrif baru "nominee diberi kuasa" (authorised
nominee) dan "pemunya benefisial" (beneficial owner)
diperkenalkan melalui fasal 2 bagi memberi kesan ke atas
kehendak undang-undang bahawa semua pegangan saham dan
perniagaan sekuriti mestilah dibuat atas nama pemunya
benefisial atau nominee diberi kuasa. Nominee diberi
kuasa ditakrifkan sebagai orang yang diberi kuasa untuk
bertindak sebagai nominee seperti yang dinyatakan dalam
kaedah-kaedah depositori pusat. Ini termasuklah entiti
yang menjalankan aktiviti-aktiviti sah yang menyumbang
kepada perniagaan broker saham dan bank-bank yang
mengambil saham sebagai kolateral bagi kredit atau
pembiayaan margin (margin financing) yang diperuntukkan
oleh mereka dan syarikat-syarikat nominee atau syarikat-
syarikat amanah yang digunakan bagi saham amanah yang
diluluskan, skim pelaburan kolektif (collective
investment scheme) dan dana yang diluluskan (approved
fund).
ii) Larangan Pengeluaran Sekuriti
Semua pengeluaran sekuriti telah deposit (deposited
securities) daripada depositori pusat adalah dilarang
(tertakluk kepada beberapa pengecualian), yang sekaligus
membekukan sepenuhnya sekuriti itu dalam depositori
pusat. Menurut amalan sekarang di mana BSKL menggunakan
kuasa budi bicaranya di bawah Akta Perindustrian
Sekuriti (Depositori Pusat) [SICDA] bagi melarang semua
pengeluaran sekuriti daripada MCD atas asas pentadbiran.
SICDA perlu dipinda bagi memberikan kuasa undang-undang
kepada pembekuan penuh kerana semasa SICDA digubal dalam
tahun 1991, ia membolehkan sekuriti disimpan dalam dua
bentuk iaitu skrip fizikal dan catatan buku. Dengan
melarang semua pengeluaran sekuriti telah deposit
(deposited security) daripada depositori pusat, maka
penggunaan skrip untuk mewujudkan pasaran saham yang
tidak diiktiraf dapat dihalang. Walau bagaimanapun,
beberapa pengeluaran yang sah adalah dibenar, dalam
keadaan tertentu, contohnya untuk memudahkan pembatalan
saham berhubungan dengan pembelian balik saham,
penyusunan semula syarikat dan pembetulan kesilapan
seperti yang dinyatakan dalam Perintah Perindustrian
Sekuriti (Depositori Pusat) (Pengecualian) 1998 yang
mula berkuatkuasa pada 1 September 1998. Bagi memberi
kesan ke atas larangan pengeluaran ini, semua rujukan
kepada terma "pengeluaran" perlu dipotong, contohnya,
dalam takrif "akaun sekuriti" dalam fasal 2 perenggan
12(1)(a) dan 13(1)(a) dalam fasal-fasal 5 dan 6.1,
seksyen-seksyen 22 dan 23 dalam fasal 10.
Sebagai tambahan, seksyen 24 adalah dipinda dalam fasal
12 yang melarang pendeposit daripada mengeluar sekuriti-
sekuriti yang didepositkan dengan depositori pusat.
Pengecualian ke atas larangan ini hanyalah dibenar
sekiranya diperuntukkan secara terang dalam kaedah-
kaedah depositori pusat;
iii) Deposit Mandatori bagi Sekuriti-sekuriti yang
ditetapkan
Fasal 7 meminda seksyen 14 supaya menjadikan mandatori
bagi BSKL menetapkan bahawa sekuriti-sekuriti yang
tersenarai atau yang akan disenaraikan perlu
didepositkan dengan depositori pusat.
Setelah BSKL membuat suatu penetapan itu, pemegang-
pemegang sekuriti hendaklah mendeposit sekuriti-sekuriti
itu dengan depositori pusat dalam tempoh yang
ditetapkan. Sekiranya pendeposit gagal mendeposit
sekuriti-sekuriti itu dalam tempoh yang ditetapkan,
sekuriti-sekuritinya akan dipindahkan kepada Menteri
Kewangan. Suatu tempoh selama enam bulan diberikan bagi
rayuan di buat ke atas pemindahan itu. Jika tiada
rayuan dibuat atau rayuan itu ditolak, Menteri Kewangan
berhak melupuskan sekuriti-sekuriti itu, dan apa-apa
hasil daripada pelupusan itu hendaklah disenggarakan
menurut undang-undang mengenai wang yang tidak dituntut.
Pemotongan seksyen 15 dan 16 dalam fasal 8 dan
subseksyen 17(2) melalui fasal 9 adalah daripada
kehendak supaya sekuriti didepositkan.
Adalah dicadangkan supaya subseksyen 37(2) dan 38(1)
dipinda melalui fasal 20 dan 21 bagi memastikan bahawa,
bagi terbitan baru, terbitan bonus atau terbitan hak,
penerbit adalah dikehendaki mendepositkan skrip dengan
depositori pusat dan depositori pusat seterusnya
mengkredit sekuriti itu ke dalam akaun sekuriti semua
pemohon yang berjaya atau penerima-penerima umpuk
(allotee).
Peruntukan peralihan yang dimasukkan melalui fasal 2
memerlukan semua pemegang saham sedia ada supaya
mendepositkan sekuriti mereka dengan depositori pusat
dalam tempoh sebulan selepas Rang Undang-Undang ini mula
berkuatkuasa.Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan
sekuriti-sekuriti mereka dipindahkan kepada Menteri
Kewangan, yang kemudiannya boleh melupuskan sekuriti-
sekuriti tersebut. Hasil pelupusan itu akan diuruskan
seolah-olah ianya wang yang tidak dituntut.
iv) Larangan bagi nominee memegang dan berniaga
sekuriti
Fasal 13 bertujuan meminda seksyen 25 bagi memasukkan
subseksyen baru (4), (5), dan (6). Pada dasarnya semua
akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat
mestilah atas nama pemunya benefisial atau nominee
diberi kuasa. Apabila akaun sekuriti tersebut dibuka
suatu deklarasi perlu dibuat oleh orang yang membuka
akaun itu kepada depositori pusat. Deklarasi palsu
adalah satu kesalahan.
Fasal 14 memasukkan seksyen baru 25A yang memperuntukkan
bahawa apabila nominee diberi kuasa membuka akaun
sekuriti, mereka adalah dikehendaki memegang sekuriti-
sekuriti telah deposit bagi satu pemunya benefisial
berkenaan dengan setiap akaun sekuriti yang dibuka.
Fasal 17 bertujuan memasukkan seksyen baru 29A yang
memperuntukkan bahawa semua dagangan berkenaan dengan
sekuriti telah deposit hanya boleh dijalankan oleh
pemunya benefisial sekuriti-sekuriti telah deposit atau
nominee diberi kuasa.
Peruntukan peralihan dalam fasal 28 menyatakan bahawa
jika sebaik sahaja Rang Undang-Undang ini mula
berkuatkuasa, suatu akaun sekuriti telah dibuka dengan
depositori pusat atas nama seseorang selain pemunya
benefisial atau atas nama nominee diberikuasa, orang itu
hendaklah dalam masa satu bulan dari tarikh Rang Undang-
Undang ini mula berkuatkuasa memohon kepada depositori
pusat untuk membuka akaun sekuriti di atas nama pemunya
benefisial sekuriti tersebut dan memindahkan sekuriti
tersebut kepada akaun sekuriti pemunya benefisial
itu;Selepas luput tempoh satu bulan, sekiranya
depositori pusat mempunyai sebab untuk mempercayai
bahawa akaun sekuriti tidak dibuka atas nama pemunya
benefisial atau nominee diberi kuasa , sekuriti-sekuriti
dalam akaun sekuriti itu akan dipindahkan kepada Menteri
Kewangan dan Menteri Kewangan melupuskan sekuriti-
sekuriti itu. Hasil pelupusan itu akan diuruskan seolah-
olah ianya adalah wang yang tidak dituntut.
v) Larangan ke atas transaksi-transaksi luar pasaran
(off market)
Kecuali bagi dagangan terus diiktirafkan dalam kaedah-
kaedah BSKL, semua transaksi luar pasaran (off market)
adalah dilarang. Oleh itu semua rujukan kepada "luar
pasaran" adalah dipotong. Fasal 18 bertujuan meminda
seksyen 31 untuk menghendaki sesuatu depositori pusat
atau agen depositori diberi kuasa membuat catatan dalam
akaun sekuriti berhubung dengan dagangan terus atau
transaksi lain sepertinya yang dijalankan menurut kaedah-
kaedah depositori pusat atau bursa saham. Dengan ini,
semua transaksi luar pasaran lain adalah tidak sah dan
catatan tidak boleh di buat dalam akaun-akaun sekuriti.
vi) Meningkatkan Keupayaan Penguatkuasaan Suruhanjaya
Sekuriti dan Depositori Pusat
Fasal 23 bertujuan meminda seksyen 41 dengan menambah
keadaan-keadaan dalam mana sesuatu akaun sekuriti boleh
digantung. Satu keadaan ialah apabila depositori pusat
mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa terdapat
pelanggaran kaedah-kaedah depositori pusat, BSKL atau
pusat penjelasan yang diiktirafkan. Satu contoh lagi
ialah apabila Suruhanjaya Sekuriti mengeluarkan notis
kepada depositori pusat menyatakan bahawa adalah
dipercayai undang-undang sekuriti telah dilanggar.
Fasal 25 meminda seksyen 58 dengan menambah jenis-jenis
perintah mahkamah yang boleh dipohon oleh depositori
pusat atau Suruhanjaya Sekuriti berkenaan dengan
sebarang pelanggaran kaedah-kaedah depositori pusat atau
peruntukan-peruntukan SICDA.
Selain itu, pelbagai pindaan kecil yang berbangkit
daripada pindaan langsung daripada pindaan-pindaan di
atas juga dimasukkan ke dalam seksyen 3, 4, 10, 28, 35,
39 dan 58.
18. Cadangan pindaan kepada Akta berkenaan adalah
perlu bagi menyokong tindakan-tindakan secara
pentadbiran yang telah diambil oleh BSKL, SCANS dan MCD.
Langkah tidak mengizinkan kegiatan nominee adalah
bertujuan untuk memastikan ketelusan dalam urusniaga
sekuriti di pasaran saham negara dan membanteras
urusniaga saham-saham Malaysia di bursa saham yang tidak
diiktiraf. Matlamat akhir kepada pindaan tersebut
adalah untuk mengembalikan semula keyakinan pelabur-
pelabur terhadap pasaran saham negara.
19. Saya mohon mencadangkan.
|