Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : STADIUM KUBU, MELAKA
Tarikh/Date : 27/10/98
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN TILAWAH AL-QURAN
PERINGKAT KEBANGSAAN KE-41
Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-
Nya kita semua dapat hadir di majlis Tilawah Al-Quran
Peringkat Kebangsaan Kali ke-41 di Melaka ini. Kita telah
berjaya selama ini meningkatkan minat umat Islam terhadap
Al-Quran melalui majlis ini yang diadakan pada tiap-tiap
tahun di peringkat Kebangsaan yang bermula pada tahun 1957
dan peringkat Antarabangsa mulai tahun 1958.
2. Walaupun majlis ini merupakan sebahagian kecil sahaja
daripada aktiviti keagamaan yang dipelopori Kerajaan ia
telah dapat meningkatkan syiar Islam di dalam dan luar
negara kita. Tanpa syak lagi, syiar Islam telah dapat
kita kembangkan di kalangan umat Islam daripada pelbagai
pelusuk dunia melalui tilawah Al-Quran ini. Umat Islam
bukan sahaja didedahkan kepada cara pembacaan dan
penghafalan Al-Quran yang baik malah dapat menghayati
kandungannya yang menjadi pegangan kita sebagai umat yang
patuh kepada agamanya. Sedikit sebanyak kita telah dapat
menyatupadukan ummah Islam yang dipisahkan oleh benua dan
lautan.
3. Ada pihak yang berpendapat kita tidak harus
mengadakan majlis ini yang melibatkan bacaan Al-Quran
dengan berlagu kerana kononnya ia bertentangan dengan
kehendak agama. Mereka sepatutnya meneliti sejarah
kemajuan Al-Quran.
4. Pada mulanya ayat-ayat Al-Quran disampaikan kepada
Nabi Muhammad s.a.w. melalui suara Jibrail dan Wahyu
Tuhan. Ayat-ayat ini tidak ditulis. Lagipun Rasulullah
tidak tahu menulis atau membaca. Baginda terpaksa
mengingat ayat-ayat ini dan kemudian mengulanginya kepada
penganut yang tidak begitu ramai pada mulanya. Hanya ada
beberapa orang sahaja yang dapat menulis ayat-ayat ini di
atas kulit dan daun.
5. Untuk mengembangkan ajaran Al-Quran kepada orang yang
tidak pandai membaca ayat-ayat ini terpaksa diulangi oleh
Rasulullah dan mereka yang boleh membaca. Mereka yang
tidak boleh membaca perlu menghafal dan mengingati ayat-
ayat ini. Cara yang mudah memahatkan ayat-ayat ini dalam
hati ialah dengan membaca atau mengulanginya dengan
berlagu. Ini adalah tabii manusia.
6. Walaupun ayat-ayat Al-Quran dikutip dan disusun
selepas wafatnya Rasulullah, masyarakat Islam kekurangan
kitab Al-Quran. Semua Al-Quran ditulis dengan tangan
kerana tidak ada mesin cetak semasa Islam mula berkembang.
Lagipun buat beberapa lama cetakan Al-Quran diharamkan
kerana ada ulama yang berpendapat ia bertentangan dengan
ajaran Islam.
7. Oleh kerana bilangan kitab Al-Quran yang ditulis
tangan ini begitu terhad maka amatlah penting ada sekurang-
kurangnya seorang dalam mana-mana masyarakat Islam yang
dapat menghafal Al-Quran. Sekali lagi untuk memudahkan
menghafal Al-Quran ayat-ayat terpaksa dibaca dengan
berlagu. Sepertimana kita semua maklum banyak ayat Al-
Quran diulangi berkali-kali. Jika seseorang hafiz itu
berlagu kemungkinan ayat-ayat Al-Quran daripada satu surah
dengan surah yang lain tercampur-aduk akan dapat
dielakkan.
8. Tujuan membaca Al-Quran dengan berlagu bukanlah
kerana hendak asyik sehingga hilang akal tetapi kerana
hendak memudahkan ingatan dan penghafalan ayat-ayat suci.
Lagipun ayat Al-Quran dibaca begitu sahaja tanpa diiringi
dengan sebarang alat-alat muzik. Bagi masyarakat kecil
yang terpisah, yang mungkin tidak memiliki kitab Al-Quran
atau memiliki hanya sebuah kitab sahaja, adanya hafiz
menjadi amat penting bagi mengekalkan ajaran Al-Quran bagi
masyarakat berkenaan. Jika kebakaran atau apa-apa
malapetaka berlaku dan kitab yang ada musnah semuanya,
adanya seorang hafiz menjamin ajaran Al-Quran tidak hilang
dan dilupakan.
9. Jika dalam sebuah negara Islam setiap kumpulan
mempunyai hafiznya sendiri, maka ajaran Al-Quran tidak
mungkin hilang. Jika bacaan berlagu diadakan secara
beramai-ramai tidak dapat tidak minat membaca akan turut
berkembang. Dengan ini ayat-ayat Al-Quran akan tetap
berada dalam hati umat Islam.
10. Di zaman ini berjuta-juta naskah Al-Quran dicetak
sehingga tidak mungkin Al-Quran hilang sama sekali di
seluruh dunia, insya-Allah. Kita juga boleh mendengar
bacaan Al-Quran melalui alat rakaman bahkan juga melalui
komputer. Hanya dengan kerana ini sahaja tidaklah
bermakna kita tidak harus ada hafiz di kalangan kita.
Untuk mengadakan hafiz, bacaan berlagu hendaklah diamalkan
kerana ia boleh menolong menarik minat dan memudahkan
hafalannya.
11. Seperti juga dengan membaca Al-Quran dengan berlagu,
penulisan Al-Quran dengan khat yang cantik menolong
menambah bilangan kitab Al-Quran di zaman tidak ramai
penulis. Tabiat manusia memang meminati sesuatu yang
cantik. Penulis-penulis di zaman silam mencipta berbagai
jenis khat untuk mengindahkan lagi tulisan ayat-ayat suci
Al-Quran. Mereka menambah dengan lukisan-lukisan yang
halal di sisi Islam. Semua ini bertujuan menarik minat
untuk memiliki dan membaca Al-Quran. Dengan itu juga isi
kandungan Al-Quran disebar, dipelajari dan dihayati.
12. Tetapi ada ulama yang berpendapat bahawa Al-Quran
hanya boleh ditulis dengan tangan. Ia tidak boleh dicetak
(mungkin kerana mesin cetak dicipta oleh orang bukan
Islam). Justeru itu, apabila Sultan Turki membeli mesin
cetak untuk mencetak Al-Quran, mesin itu diharamkan dan
terpaksa disimpan dan tidak digunakan. Tetapi lama-
kelamaan pendapat yang kolot ini ditolak oleh ulama lain
dan Al-Quran mula dicetak. Hari ini oleh kerana Al-Quran
boleh dicetak, ia dapat dimiliki oleh sesiapa sahaja
daripada umat Islam, sama ada miskin atau kaya. Bahaya
hilangnya ayat-ayat Al-Quran tidak mungkin lagi, insya-
Allah.
13. Walaupun membaca Al-Quran dengan berlagu boleh
menolong kita menghafal dan mengingati ayat-ayat yang
dibaca, tetapi penghormatan terhadap kitab suci ini
bermakna ketertiban dalam membaca bahkan menangani kitab
Al-Quran masih diperlukan. Sekarang ini terdapat minat
yang meluas kepada nyanyian nasyid. Walaupun menyanyi
nasyid bukan sama dengan membaca Al-Quran, kita dapati ada
ketertiban tertentu yang diamalkan oleh penyanyi lagu-lagu
nasyid. Ketertiban yang lebih diperlukan semasa membaca
Al-Quran dengan berlagu. Alhamdulillah sehingga kini
ketertiban ditunjuk oleh semua pihak semasa membaca Al-
Quran.
14. Malaysia boleh berbangga dengan kemajuan yang
ditunjuk dalam urusan dan pelaksanaan acara tilawah Al-
Quran. Banyak hikmah yang telah didapati daripada acara
ini. Ayat-ayat yang dibaca, diterjemah dan dihuraikan,
yang mana ini menolong kita memahami dengan lebih lagi isi
kandungan Al-Quran. Sebenarnya tilawah Al-Quran yang kita
anjurkan di Malaysia memberi banyak pengajaran kepada kita
yang mana kita harus bersyukur dengannya, Alhamdulillah.
15. Dengan berkembangnya pengetahuan agama melalui
pengenalan akan isi kandungan Al-Quran maka kita akan
terpelihara daripada tafsiran-tafsiran dan ajaran karut
yang dibuat oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
16. Baru-baru ini timbul cerita kononnya ada orang
tertentu telah meninggal dunia dan badannya telah bertukar
menjadi khinzir dan ditanam di belakang rumahnya.
Kepercayaan bahawa cerita ini adalah benar membuktikan
betapa ceteknya kefahaman dan pegangan kepada ajaran agama
terutama isi kandungan Al-Quran di kalangan sesetengah
orang Islam. Jika Kerajaan berpendapat ajaran agama perlu
diawasi secara rapi, sebabnya ialah kerana ada sahaja
orang yang berani memperalatkan agama dan nama Allah untuk
kepentingan diri. Bahawa cerita dan dakwaan yang dibuat
oleh mereka boleh merosakkan akidah umat Islam tidak
sedikit pun dihiraukan oleh mereka. Jika mereka begitu
tidak takut membohong dan berdosa, sebabnya tentulah
kerana pegangan mereka kepada agama adalah lemah. Dan
mereka seperti ini kerap berselindung dengan topeng agama
kerana mereka tahu penganut agama Islam walaupun cetek
pengetahuan agama tetapi begitu kuat berpegang kepada
agama sehingga apa sahaja yang dikaitkan dengan agama akan
dipercayai oleh mereka.
17. Di masa yang sama perbuatan mereka ini memberi
gambaran kepada orang bukan Islam bahawa agama Islam
begitu kolot sekali. Tetapi mereka yang membawa kehinaan
orang bukan Islam kepada agama Islam berpendapat bahawa
pandangan orang bukan Islam kepada agama Islam tidak perlu
diberi apa-apa penghargaan.
18. Sikap ini amat merugikan agama Islam kerana ia
menyekat perkembangan agama Islam dan pengaruhnya.
Siapakah yang akan dipengaruhi dengan penganut agama yang
dianggap begitu kolot? Jika hari ini umat Islam tidak
berpengaruh dan selalunya lemah dan ditindas, sebabnya
ialah kerana kepercayaan yang kolot yang sebenarnya
bertentangan dengan agama Islam terdapat di kalangan orang
Islam. Lagipun mereka yang menyebabkan imej Islam kolot
ini terdiri daripada orang yang menonjol diri mereka
sebagai jaguh dan alim dalam agama Islam. Mereka inilah
yang merosakkan agama Islam.
19. Oleh kerana imej Islam mudah dirosakkan oleh orang
yang berkepentingan maka amatlah penting umat Islam tahu
dengan lebih mendalam ajaran Islam yang sebenar. Pembacaan
dan pendedahan tafsiran ayat-ayat Al-Quran adalah satu
cara yang amat berkesan untuk mengembangkan ajaran Islam.
Majlis Tilawah Al-Quran yang kita adakan tiap-tiap tahun
tetap menyumbang kepada matlamat ini. Pembacaan berlagu
memudahkan hafalan dan menarik minat lebih ramai untuk
mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran-ul-karim. Justeru
itu kita harus jayakan Tilawah Al-Quran kerana ada hikmah
yang banyak yang terdapat daripadanya.
20. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-41 ini
dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim.
|