Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MUKTAMAR, PUSAT ISLAM,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 06/11/98
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN HARI PENGGUNA
SEDUNIA 1998 PERINGKAT KEBANGSAAN
Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi
kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana
dengan limpah kurnia dan hidayah-Nya dapat kita bersama-
sama hadir di Majlis Perasmian Hari Pengguna Sedunia
Peringkat Kebangsaan tahun 1998 pada pagi ini. Majlis
pada hari ini merupakan yang ketujuh yang telah saya
rasmikan sejak tahun 1992. Seterusnya saya mengucapkan
terima kasih dan penghargaan kepada Yang Berhormat Dato
Seri Megat Junid bin Megat Ayob, Menteri Perdagangan
Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana telah
menjemput saya ke majlis sambutan Hari Pengguna Sedunia
1998 untuk menyampaikan mesej di hari yang istimewa ini
dan seterusnya merasmikannya.
2. Tema Hari Pengguna Sedunia pada tahun ini ialah
"Bijak Berbelanja Untuk Negara". Tema ini bersesuaian
dengan keadaan ekonomi negara yang mengalami kegawatan.
Pengguna harus menanamkan sikap kepenggunaan yang baik
untuk menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.
Apabila kita mengimbau kembali detik-detik kegawatan
ekonomi di negara kita sejak Julai 1997, kita tentu akan
sedar betapa pentingnya ekonomi negara pada setiap orang
daripada kita. Sebagai anggota masyarakat, apa yang
berlaku kepada masyarakat tetap mempunyai kesan terhadap
kita. Maju masyarakat maka majulah kita. Mundurnya
masyarakat maka mundurlah prestasi kehidupan kita.
3. Masyarakat dianggotai oleh individu. Sebabnya yang
kita hidup bermasyarakat ialah kerana individu tidak
mampu membekalkan segala keperluannya sendiri. Individu
lain perlu membekalkan sebahagian daripada keperluan
seseorang individu. Lebih canggih dan besar masyarakat
berkenaan lebih banyaklah keperluan individu yang perlu
dibekalkan oleh individu lain. Sementara itu setiap
individu dalam masyarakat tidak harus lupa ia menjadi
pembekal kepada individu-individu lain dalam masyarakat.
4. Keperluan individu dalam masyarakat meningkat dan
bertambah mengikut saiz dan kecanggihan budaya
masyarakat berkenaan. Setakat mana majunya dan
berjayanya budaya masyarakat bergantung kepada kefahaman
individu-individu dalam masyarakat akan tanggungjawabnya
dan bagaimana mereka menunaikan tanggungjawab ini.
5. Demikian ada masyarakat yang anggotanya hanya
mengutamakan mudah dan cepatnya mereka mendapat pulangan
daripada usahanya. Dengan itu perhatian tidak diberi
kepada kualiti dan nilai khidmat atau barangan yang
dibekal oleh mereka. Kerana yang diutamakan hanyalah
pendapatan sebanyak dan secepat mungkin, kualiti khidmat
dan barangan biasanya rendah dan bekalan-bekalan terus
tidak mencapai kemajuan daripada segi kualiti atau nilai
yang ditambah.
6. Sebaliknya dalam masyarakat yang maju dan canggih
anggotanya sepanjang masa cuba memperbaiki lagi kualiti
kerja dan hasil kerjanya. Dengan itu maka sebarang
khidmat atau keluaran masyarakat itu menjadi bertambah
baik sepanjang masa. Dengan itu juga masyarakat menjadi
lebih baik, lebih berkualiti dan lebih maju serta
canggih dengan pengaliran zaman. Demikian daripada
kereta tanpa roda, masyarakat yang maju menciptakan roda
yang tumpat, kemudian roda yang lebih ringan dengan
mengguna "spoke", kemudian roda bertayar getah tumpat,
kemudian tayar numatik, berputar atas "ball-bearing" dan
seterusnya. Masyarakat yang tidak maju kekal dengan
roda tumpat yang dicipta oleh nenek moyang, kalaupun
mereka dapat mencipta roda.
7. Masyarakat kita ingin menjadi masyarakat yang maju
dan canggih. Kita tidak perlu cipta roda semula tetapi
kita boleh berusaha untuk menjadikan roda yang kita guna
lebih efisien dan lebih tahan lama.
8. Kata pepatah Inggeris "necessity is the mother of
invention", atau "keperluan membuahkan rekacipta". Di
zaman gawat ini kita terpaksa bergantung kepada ciptaan
dasar, pendekatan dan barangan kita bagi memenuhi
keperluan kita. Lebih cekap kita cipta cara menangani
masalah kita, lebih cepatlah pemulihan ekonomi negara
kita.
9. Kerajaan telah mencipta beberapa pendekatan dalam
menangani kegawatan kewangan dan ekonomi kita. Kita
berjaya menyekat pedagang matawang daripada menaik turun
nilai ringgit sesuka hati mereka. Kita telah kembalikan
pasaran saham ke negara kita supaya perniagaan saham
lebih teratur dan telus. Dengan dua pendekatan ini kita
menjadi lebih bebas untuk bertindak memulihkan ekonomi
negara. Demikian kita telah dapat menurunkan faedah
pinjaman, menambah mudah tunai, memudahkan proses pinjam-
meminjam dan sebagainya.
10. Hari ini ternampak tanda-tanda ekonomi akan pulih.
Namun kita sebagai pengguna tidak boleh lepas tangan
atau relaks. Kita belum selamat. Tersilap sedikit maka
kita akan diserang dengan kegawatan yang mungkin lebih
besar dan lebih sukar diatasi.
11. Sebenarnya apa yang ditentukan oleh kita boleh kita
lakukan kerana rakyat negara kita ini tertib. Ada
negara yang rakyat bertindak tanpa memahami masalah dan
secara membuta-tuli. Mereka merusuh, mogok dan membuat
tuntutan yang tidak mungkin dilayan apabila berhadapan
dengan masalah. Akhirnya bukan sahaja pendapatan mereka
tidak bertambah tetapi pendapatan yang ada pun hilang
dan kegawatan serta kos sara hidup meningkat.
12. Kita tidak boleh lupa bahawa semua kita adalah
pengguna. Tuntutan dan desakan oleh pengguna memang
boleh melindungi hak mereka, menentukan mutu dan kualiti
khidmat dan barangan yang dijual kepada pengguna,
menggalak peningkatan kualiti dan keupayaan segala
khidmat dan barangan yang dipasarkan. Kualiti hidup
kita akan menjadi lebih baik sepanjang masa kerana
peranan yang dimainkan oleh pengguna dan organisasi
pengguna. Pengawasan oleh pengguna amatlah penting. Hak
pengguna dan kegiatan organisasi pengguna memang perlu
dilindungi oleh undang-undang. Kerajaan tetap
berperanan dalam melindungi hak dan peranan pengguna.
13. Di masa yang sama pengguna juga bertanggungjawab
terhadap diri sendiri. Oleh kerana semua pengguna
adalah anggota masyarakat, maka tanggungjawab pengguna
tidak dapat diasingkan daripada tanggungjawab
masyarakat. Jika masyarakat ingin maju, maka pengguna
bertanggungjawab untuk menentukan kemajuan itu tercapai.
Jika masyarakat menghadapi masalah, maka menjadi
tanggungjawab pengguna sebagai anggota masyarakat untuk
menolong mengatasi masalah berkenaan.
14. Sekarang ini kita menghadapi kegawatan ekonomi
akibat daripada penurunan nilai matawang kita oleh
pedagang matawang. Benar kita telah rebut balik kuasa
menentukan nilai matawang kita. Tetapi negara-negara
yang bersaing dengan kita, terutama negara-negara jiran
masih terdedah kepada manipulasi pedagang matawang. Jika
kita menaikkan nilai Ringgit kita terlalu tinggi, maka
barangan kita akan menjadi terlalu mahal sehingga tidak
dapat bersaing dengan barangan dan khidmat yang dibekal
oleh jiran-jiran kita dalam pasaran dunia.
15. Sebab itu, walaupun nilai asal Ringgit ialah RM2.50
bagi USD1.00, kita telah menetapkan RM3.80 bagi USD1.00.
Ini menjadikan barangan eksport kita kompetitif. Tetapi
ini juga menyebabkan kos barangan import terus mahal
berbanding dengan semasa sebelum kegawatan.
16. Oleh sebab import kita masih mahal kita perlu
mengurangkan import. Pengguna mestilah kurangkan
penggunaan barangan dan khidmat yang didapati dari luar
negara kita. Import yang terbesar ialah makanan seperti
gula, tepung, daging lembu, susu dan makanan yang
diproses daripada bahan-bahan ini. Kita harus kurangkan
penggunaan bahan-bahan ini dan menggantikan dengan bahan
dan makanan yang dapat dikeluarkan dari dalam negeri.
17. Alhamdulillah, kualiti barangan tempatan sekarang
sama baik dengan barangan import. Walaupun kadangkala
harga lebih tinggi sedikit tetapi kerapkali juga ia
lebih murah. Lagipun jika kita tingkatkan pembelian
barangan tempatan, pengeluarannya akan bertambah dan
harga akan turun. Demikian banyak sayur-sayuran
tempatan yang sudah menjadi lebih murah kerana lebih
ramai pengusaha yang mengeluarkannya untuk memenuhi
permintaan oleh pengguna negara kita.
18. Apabila pasaran tempatan meningkat, maka "economies
of scale" bukan sahaja akan menurunkan kos pengeluaran
dan dengan itu harga dalam pasaran tempatan tetapi kita
juga boleh eksport barangan ini. Pendapatan daripada
eksport akan menolong lagi pemulihan ekonomi kita.
19. Persatuan Pengguna perlu menggalakkan perbelanjaan
secara bijak. Kita hendak pengguna belanja wang mereka
untuk memulihkan ekonomi negara. Tiap kali seseorang
membeli sesuatu, penjual mendapat keuntungan. Jika wang
yang diperolehi oleh penjual diguna untuk membeli
sesuatu, maka penjual lain pula akan memperolehi
keuntungan. Jika wang yang diguna untuk menjualbeli
diguna dengan kerap, bertukar dari satu tangan ke satu
tangan berkali-kali dalam satu hari, maka ramai yang
akan mendapat nikmat daripada jumlah wang yang sama.
Sebaliknya jika wang disimpan di rumah dan tidak
digunakan maka tidak ada sesiapa yang mendapat nikmat
daripada wang berkenaan.
20. Apabila Kerajaan mendesak supaya kita pengguna
berbelanja secara bijak, ia tidak bermakna kita
kurangkan belanja. Kita perlu berbelanja untuk membeli
khidmat dan barangan tempatan dan kita kurang membeli
barangan yang diimport. Jika kita ingin menabung maka
tabunglah dalam bank simpanan atau bank biasa atau
Tabung Haji dan Bank Islam umpamanya. Tetapi jangan
menyimpan duit dalam peti di rumah kerana duit itu tidak
akan mendatangkan apa-apa faedah kepada ekonomi kita.
Duit yang disimpan di rumah tetap akan hilang nilainya
kerana inflasi akan mengurangkan kuasabelinya. Jika
disimpan dalam bank atau lain-lain tabung, duit itu akan
diguna untuk perniagaan yang mana keuntungan daripada
perniagaan akan menambah pendapatan Kerajaan dan
perbelanjaan untuk membangunkan negara.
21. Inilah yang dimaksudkan dengan bijak berbelanja.
Walaupun persatuan pengguna lebih aktif sebagai
"watchdog" bagi pengguna, di waktu ini, Persatuan boleh
memainkan peranan yang amat menguntungkan pengguna
sebagai penyebar maklumat dan pengetahuan tentang apa
yang boleh dibuat oleh pengguna untuk mengatasi
kegawatan yang mana ini akhirnya akan menguntungkan
pengguna sendiri.
22. Setakat ini tindakan Kerajaan mengembalikan kuasa
menentukan nilai matawang kita dan pasaran saham telah
menunjukkan bukti-bukti kejayaan. Banyak petunjuk
ekonomi telah menjadi lebih baik. Kita yakin asas-asas
untuk pemulihan ekonomi sudahpun ada dan kukuh. Yang
diperlukan sekarang ialah penyertaan rakyat yang
semuanya juga menjadi pengguna dalam usaha menjayakan
strategi pemulihan yang telah kita cipta untuk negara
tercinta ini.
23. Kemerdekaan negara kita adalah tanggungjawab yang
terbesar sekali bagi kita. Kita baru 41 tahun merdeka.
Kita masih ingat kehinaan penjajahan yang telah kita
lalui selama 400 tahun. Kita tidak ingin dijajah lagi
sama ada secara langsung atau tidak langsung. Bangsa
yang bebas tidak sahaja bebas kerana wilayahnya tidak
lagi ditakluk oleh orang asing. Negara yang bebas
mestilah bebas membentuk dasar-dasarnya sendiri,
membentuk cara pentadbirannya, memiliki pendirian yang
tersendiri sama ada berkenaan masalah dalaman atau luar.
24. Kita menerima demokrasi, iaitu pemerintahan oleh
majoriti dengan mengambil kira hak dan pendapat
minoriti. Tetapi jika kita terpaksa menerima pendapat
asing yang ditekankan keatas kita melalui paksaan maka
demokrasi kita dan demokrasi mereka hilang maknanya.
Sepertimana juga dalam demokrasi warganegara, rakyat
perlu bebas, begitu juga demokrasi bermakna negara yang
merdeka perlu bebas.
25. Kita menghadapi ancaman terhadap demokrasi kita
apabila kebebasan kita mentadbir negara kita mengikut
kehendak majoriti dihalang oleh pihak lain. Bahawa
mereka tidak mengguna tentera dan cuba menakluk kita
secara fizikal tidak bermakna mereka tidak mencabul
demokrasi dan kemerdekaan kita.
26. Kita tidak perlu kepada penerimaan atau kepujian
daripada orang asing yang menganggap diri mereka sebagai
hakim dan kuasa pentadbir dan penentu segala-galanya.
Jika kita dipuja oleh mereka, percayalah, sebabnya ialah
kerana kita sudah diperalat oleh mereka, kita sudah
khianati diri kita, bangsa kita dan kerapkali juga agama
kita.
27. Bagi kita yang harus kita junjung ialah kebaikan
bagi kita yang tidak datang daripada memburukkan orang
lain yang tidak bermusuh dengan kita. Jika kita lihat
hasil usaha kita ialah kejayaan dan kebahagiaan bagi
kita, maka itu sudah mencukupi. Kepujian daripada orang
lain tidak perlu untuk meyakinkan kita bahawa apa yang
kita lakukan untuk negara kita adalah baik.
28. Semua warganegara adalah pengguna dan pengguna
adalah kita semua. Miskin atau kaya, kitalah yang
menjadi rakyat negara ini, kitalah yang bertanggungjawab
terhadap negara ini. Sebagai pengguna dan sebagai
rakyat kita punya tanggungjawab terhadap negara. Semasa
negara kita maju maka nikmatnya dirasai oleh kita,
semasa kita menghadapi masalah maka pemulihan negara
mestilah diusahakan oleh kita sendiri.
29. Usaha yang perlu dibuat oleh kita sebagai pengguna
dan rakyat ialah menentukan negara kita stabil,
menentukan kita tidak memburukkan lagi keadaan;
menentukan kita mengambil bahagian dalam segala kegiatan
yang boleh memulihkan keadaan di negara kita.
30. Jika kita semua faham tentang sebab kita menghadapi
masalah, kita akan faham tanggungjawab kita, kita akan
tunaikan tanggungjawab kita dan dengan itu Insya Allah
ekonomi negara kita akan pulih semula. Apabila dianya
pulih, maka kita akan kembali bebas untuk menumpukan
semula kepada peranan kita mengawasi supaya bekalan
khidmat dan barangan kepada pengguna menepati dakwaan
yang dibuat mengenainya. Dengan itu maka mutu khidmat
dan barangan di negara kita tetap akan menjadi lebih
baik sepanjang masa. Dengan itu pengguna dan organisasi
pengguna akan menyumbang semula kepada kualiti hidup
semua pengguna di negara ini. Sementara itu
bekerjasamalah dengan badan-badan lain dan dengan
Kerajaan supaya dapat kita atasi masalah kita sekarang
secepat mungkin.
31. Akhirnya, saya merakamkan ucapan tahniah dan syabas
kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan
Hal Ehwal Pengguna dan semua pihak yang terlibat dalam
menjayakan majlis pada hari ini. Dengan lafaz
Bismillahir rahmanir rahim, saya dengan ini merasmikan
sambutan Hari Pengguna Sedunia Peringkat Kebangsaan bagi
tahun 1998.
|