Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 07/11/98
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM KE-19 PERSATUAN
BANK-BANK SAUDAGAR DI MALAYSIA
Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada
Persatuan Bank-Bank Saudagar yang telah menjemput saya
untuk hadir dan menyampaikan sepatah dua kata di majlis
pada malam ini. Majlis seumpama ini sudah tentu akan
dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim di antara
pengurusan bank-bank saudagar di negara ini.
2. Krisis kewangan yang kita hadapi telah berlarutan
lebih setahun. Apa yang bermula sebagai krisis matawang
di Thailand telah merebak ke negara-negara di rantau ini
dengan begitu cepat. Malahan kesan krisis juga telah
dirasai oleh Rusia dan negara Amerika Latin. Negara-
negara perindustrian juga sekarang menerima hakikat
bahawa krisis ini mampu menggugat kestabilan dan
pertumbuhan ekonomi mereka.
3. Usaha-usaha dan penyelesaian yang dicadangkan oleh
Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) juga telah menemui
jalan buntu. Malah, pendekatan yang disaran oleh IMF
telah menjadikan keadaan lebih buruk di sesetengah
negara di rantau ini, termasuk Malaysia.Dasar kadar
faedah yang tinggi bersama kekangan mudah tunai tidak
dapat membantu, malah telah menyebabkan bebanan hutang
sektor swasta menjadi lebih berat lagi. Kegagalan
peminjam menyelesaikan pembayaran pinjaman mereka telah
menyebabkan kadar hutang tidak berbayar institusi
perbankan meningkat. Tambahan pula jangkamasa hutang
menjadi lapuk disingkatkan daripada enam bulan kepada
tiga bulan.
4. Pada mula krisis matawang berlaku tiada siapa boleh
menyalahkan pedagang matawang dan kegiatan mereka.
Sesiapa yang menyalahkan mereka akan dikecam hebat.
Sebaliknya Kerajaan, termasuk Kerajaan negara ini
disalahkan kerana kononnya mengamal pentadbiran kewangan
secara tidak telus, mengamal kroni kapitalisma,
nepotisma dan korupsi. Bahawa Kerajaan-kerajaan ini
juga yang dahulu dipuji kerana berjaya membangunkan
ekonomi negara dengan begitu pesat tidak sedikit pun
dianggap ganjil. Bahawa jika benarlah sifat-sifat ini
yang menyebabkan kegawatan ekonomi, maka sepatutnya
kegawatan berlaku lebih awal juga tidak dipersoalkan.
Walau apapun bukti yang menunjukkan bahawa dakwaan
Kerajaan bersalah adalah tidak benar dan tidak tepat,
Kerajaan terus dipersalahkan. Dengan kerana sebab
sebenar tidak mahu diakui, maka kegawatan telah
berlarutan.
5. Sepatutnya bank-bank kita rebah tersungkur bersama-
sama dengan syarikat-syarikat kita. Sepatutnya kita
terpaksa memohon bantuan daripada IMF. Jika kita tidak,
sebabnya ialah kerana asas-asas kewangan kita kukuh dan
kita berasa sangsi akan kesan dan tujuan IMF.
6. Banyak negara percaya bahawa cara yang mudah untuk
mengatasi masalah kegawatan yang disebabkan jatuhnya
nilai matawang ialah dengan mendapat pinjaman daripada
IMF. Mereka percaya IMF akan menolong menyusun semula
dan membantu pengurusan untuk memulihkan ekonomi.
7. Kita memilih untuk memerhati dahulu sama ada IMF
boleh menolong atau tidak. Sebabnya ialah kerana kita
percaya kemerosotan ekonomi kita bukan disebabkan oleh
kurang cekapnya pengurusan kewangan kita. Kita tidak
mendakwa bahawa kita begitu cekap tetapi kita percaya
yang menyebabkan ekonomi kita merosot ialah serangan ke
atas matawang dan pasaran saham kita.
8. Sebenarnya tidak ada ekonomi dalam dunia ini yang
boleh bangun jika nilai matawang diturunkan terlalu
rendah dan terlalu cepat. Jika bersama dengan serangan
ke atas matawang, pasaran saham juga diserang dan nilai
saham dijatuhkan dengan teruknya, negara yang termaju
sekali pun akan mengalami kemerosotan yang ketara.
9. Penurunan nilai matawang adalah sama dengan
merompak wang yang ada pada sesuatu negara. Negara akan
menjadi miskin dan tidak akan mampu membeli barangan
import atau membayar hutang.
10. Penurunan nilai saham mempunyai kesan yang sama
kepada bank dan syarikat. Mereka dengan tiba-tiba akan
menjadi lemah daripada segi kewangan. Kemampuan mereka
untuk berniaga, meminjam atau memberi hutang akan
terjejas.
11. Apabila penurunan nilai matawang disertai dengan
kejatuhan nilai saham maka negara, bank dan syarikat-
syarikat akan semua terdedah kepada kemungkinan menjadi
muflis. Syarikat yang lemah akan gugur dahulu tetapi
syarikat yang kukuh juga akan terheret bersama.
Kegagalan bank dan syarikat akan turut mengheret negara
turun.
12. Oleh kerana kita percaya asas kemerosotan ekonomi
berpunca daripada dagangan matawang dan saham oleh pihak
tertentu kita tidak yakin bahawa IMF boleh menolong kita
semata-mata dengan memberi pinjaman wang. Bahawa
pendapat kita adalah tepat dapat dilihat daripada
prestasi negara-negara yang menerima bantuan IMF.
Ekonomi mereka terus merosot, bahkan ada yang merosot
lebih teruk daripada kita.
13. Pihak IMF percaya bahawa dengan menerima dan
mengamalkan syarat-syarat yang dikenakan olehnya maka
pelabur-pelabur asing akan percaya semula akan kekukuhan
ekonomi negara berkenaan. Mereka akan kembali melabur.
Tetapi ternampak jelas mereka tidak yakin dan tidak
kembali melabur.
14. Mereka tidak kembali kerana soal yakin atau tidak
yakin tidak mempengaruhi mereka. Mereka tidak
sebenarnya melabur dalam matawang negara yang menjadi
sasaran mereka iaitu mereka tidak membeli dan memiliki
matawang berkenaan dengan banyaknya. Jika mereka
memiliki matawang ini maka ada kemungkinan mereka rugi
jika nilai matawang ini jatuh. Jika mereka tidak
memiliki, dan kita tahu mereka tidak memilikinya maka
mereka tidak menghadapi risiko kerugian.
15. Apa yang berlaku ialah mereka mendakwa bahawa
terdapat kelemahan dalam ekonomi negara tertentu.
Kemudian mereka meminjam matawang negara berkenaan dan
menjualnya berkali-kali. Penjualan ini menyebabkan
nilai matawang itu jatuh. Apabila sudah jatuh dengan
teruk maka mereka membeli matawang ini dengan harga yang
murah dan menyampaikannya kepada pembeli yang telah beli
semasa harga tinggi. Dengan ini mereka mendapat untung
yang besar. Untung yang besar ini yang mendorong mereka
meminjam dan menjual matawang, bukan kerana mereka takut
akan rugi atau kerana kurang yakin akan ekonomi negara
berkenaan, atau ingin membetulkan pentadbiran kewangan
mana-mana negara.
16. Oleh kerana soal yakin atau tidak yakin bukan
perkara utama, penerimaan IMF dan pelaksanaan dasar-
dasarnya tidak akan menolong menghentikan kemerosotan
nilai matawang. Jika ia tidak akan menolong, apa
sebabnya yang kita perlu menerima IMF.
17. Tetapi sementara IMF dan syarat-syaratnya tidak
akan menolong kita, tidak menerima IMF boleh memburukkan
keadaan lagi. Pedagang matawang dan pemain pasaran
saham akan mengguna keengkaran terhadap IMF sebagai satu
lagi alasan untuk menyerang matawang dan pasaran saham
dengan lebih kuat lagi. Mereka percaya jika ekonomi
menjadi terlalu buruk tidak dapat tidak negara yang
engkar akan terpaksa tunduk kepada IMF.
18. Jika negara berkenaan membuat sesuatu untuk
memulihkan ekonominya, umpamanya dengan menurunkan
faedah, pedagang matawang akan menyerang lagi.
19. Dengan serangan yang bertalu-talu ini bank dan
syarikat akan semakin teruk. Untuk memulihkan bank dan
syarikat, Kerajaan perlu berhutang dari negara asing
untuk membiayai pemulihan syarikat dan untuk membiayai
defisit belanjawan. Di waktu ini satu lagi institusi
antarabangsa akan menonjol diri. Agensi Penarafan atau
'Rating Agency' akan menurunkan 'credit rating' atau
'sovereign rating' negara . Penurunan 'sovereign
rating' akan melibatkan semua institusi Kerajaan dan
bukan Kerajaan. Syarikat yang baik dan untung pun akan
diturunkan 'rating'nya sama atau lebih rendah daripada
'sovereign rating'.
20. Dengan diturunkan 'credit rating' ini maka Kerajaan
tidak akan mendapat pinjaman daripada pasaran wang
antarabangsa. Sekali lagi negara terpaksa menimbang
untuk diletakkan di bawah IMF dan syarat-syaratnya.
21. Kenapakah Malaysia tidak sanggup diletakkan di
bawah IMF dan menerima pinjaman wang daripadanya?
22. Yang pertamanya, kita tidak yakin IMF boleh
menolong selagi pedagang matawang boleh menurunkan nilai
matawang kita untuk mendapat keuntungan. Walaupun IMF
berjanji untuk mengadakan mesyuarat untuk membincang
cara-cara mengawal dagangan matawang, IMF tidak membuat
apa-apa yang bermakna. Sebaliknya IMF lebih
mengutamakan apa yang dikatakan reformasi sistem
matawang negara, yang mana ini tidak menjamin matawang
akan selamat.
23. Yang keduanya, syarat ketat yang dikenakan oleh IMF
termasuk memaksa membuka luas pasaran negara. Ini
bermakna syarikat dan bank asing boleh mengambil alih
100 peratus bank-bank dan syarikat-syarikat Malaysia.
Oleh kerana mereka besar dan kaya dan mempunyai cawangan
di seluruh dunia tidak mungkin bank dan syarikat kita
dapat bersaing dengan mereka. Lagipun mereka tidak
takut rugi di negara ini kerana keuntungan yang mereka
perolehi di seluruh dunia dapat menampung kerugian itu.
Dengan menghapuskan dasar kita supaya majoriti saham
bank dan syarikat kita dimiliki oleh rakyat kita,
kemungkinannya ialah semua bank dan syarikat kita akan
dimiliki oleh orang asing. Rakyat Malaysia hanya akan
menjadi pekerja dalam bank dan perniagaan milik orang
asing. Oleh kerana ini kita tidak sanggup menerima
pinjaman IMF dan meletakkan diri kita di bawah telunjuk
badan itu.
24. Ketiga, di zaman ini ekonomi menentukan kejayaan
atau kegagalan sesebuah negara. Kesejahteraan hidup
rakyat bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh
rakyat bagi memajukan ekonomi negaranya. Pembahagian
dan prestasi kekayaan ekonomi negara juga menentukan
kualiti hidup rakyat dan kebebasan mereka bersuara dan
berpolitik. Dengan perkataan lain ekonomi negara
menguasai segala aspek kehidupan rakyat sesebuah negara.
Ekonomi yang lemah yang tidak dikuasai oleh rakyat
sendiri tetap tidak akan memberi hasil dan nikmat
sepenuhnya kepada negara dan rakyatnya.
25. Akhir sekali penguasaan ekonomi sendiri memberi
makna yang sebenar kepada kemerdekaan. Negara tidak
boleh dianggap merdeka semata-mata kerana kuasa politik
berada di tangan rakyat. Selagi kuasa ekonomi tidak ada
di tangan rakyat kebebasan negara tidak terjamin. Kita
telah lihat bagaimana hanya dengan ugutan untuk menekan
turun nilai matawang, pihak asing boleh memaksa dasar-
dasar negara bebas ditentukan oleh pihak asing. Kerajaan
juga boleh dijatuhkan dengan ugutan ini. Jika semua
ekonomi negara berada di tangan pihak asing, jika bank
dan perniagaan besar dimiliki atau dikuasai oleh orang
asing, maka mereka sudah tentu akan mempengaruhi politik
negara. Ini bermakna negara tidak lagi bebas dan
merdeka.
26. Inilah antara sebab-sebab Malaysia tidak sanggup
meletakkan dirinya di bawah IMF. Tetapi tidak sanggup
adalah satu perkara, kemampuan untuk tidak menerima
pinjaman dari IMF untuk memulihkan ekonomi yang
mengalami kemerosotan adalah perkara lain. Jika
Malaysia ingin bebas dari IMF maka sesuatu perlu dibuat
supaya ekonomi tidak hancur sama sekali.
27. Kita telah kenalpasti permainan pedagang matawang
sebagai ancaman yang terbesar terhadap penstabilan dan
pemulihan ekonomi negara. Jika negara membuat sesuatu
untuk memulihkan ekonomi maka pedagang matawang akan
menurunkan lagi nilai ringgit, yang mana ini menjadikan
kita lebih miskin dan merana. Justeru itu, jika negara
hendak diselamatkan maka perkara utama ialah membebaskan
ringgit daripada ditekan oleh pedagang matawang.
28. Pembebasan ringgit dibuat dengan tidak mengiktiraf
ringgit yang berada di luar negara dan menyekat
penjualan ringgit di dalam negara yang tidak diizin oleh
pihak berkuasa negara. Sekaligus Ringgit yang berada di
luar negara yang diguna untuk dijualbeli hilang nilainya
sama sekali. Justeru itu, Ringgit 'offshore' terpaksa
dikembalikan ke dalam negara. Di dalam negara sebarang
jualbeli ringgit akan diawasi dan ditentukan oleh pihak
berkuasa. Hanya penjualan ringgit untuk mendapat
matawang asing untuk membayar hutang luar atau membayar
import barangan sahaja yang dibenar. Harga jualbeli
ringgit ditentukan oleh Kerajaan dan tidak boleh diubah
oleh sesiapa. Dengan itu dagangan Ringgit tidak lagi
boleh dibuat oleh pedagang matawang sama sekali.
29. Pasaran saham juga dikembalikan ke dalam negara
apabila jualbeli saham yang tidak dibuat secara langsung
melalui BSKL tidak diiktiraf sebagai sah. Dengan ini
tindakan 'short selling' untuk menjatuhkan nilai saham
tidak dapat dibuat dengan sewenang-wenangnya. Sejurus
selepas tindakan ini diambil Indeks BSKL pun meningkat
kepada paras yang lebih munasabah.
30. Dengan membebaskan matawang dan saham daripada
diguna untuk mengugut dan memiskinkan negara, tindakan
untuk memulihkan ekonomi dapat dibuat. Faedah pinjaman
dapat diturunkan supaya tidak merugikan perniagaan. Di
masa yang sama mudah tunai dilonggarkan supaya pinjaman
lebih mudah didapati. Hutang yang tidak berbayar
dikurangkan dengan memanjangkan jangkamasa sebelum
hutang dianggap tidak berbayar daripada tiga bulan
kepada enam bulan.
31. Pengurangan jumlah hutang yang ditakrif sebagai
tidak berbayar telah menurunkan keperluan modal untuk
Danaharta. Suntikan modal untuk bank yang bermasalah
juga dapat dikurangkan. Sedikit sebanyak pengurangan
modal untuk Danaharta dan Danamodal mengurangkan
keperluan meminjam dari luar negeri, yang mana faedahnya
telah dinaikkan kerana tindakan Agensi Penarafan 'Moody'
dan 'Standard and Poor' menurunkan kredit 'rating'
negara kita.
32. Tindakan yang boleh diambil oleh Kerajaan sudah pun
dilaksanakan. Tetapi tindakan Kerajaan ini hanya
merupakan 'enabling' iaitu 'membolehkan' perniagaan
berjalan dengan lebih baik. Akhirnya yang penting, yang
boleh menjayakan pemulihan ekonomi ialah tindakan yang
akan diambil oleh peniaga dan institusi-institusi
kewangan. Peniaga mestilah mengguna iklim yang lebih
baik ini untuk memajukan perniagaan mereka. Mereka
harus membayar hutang daripada 'cashflow' mereka kerana
pembayaran tidak seberat dahulu. Mereka harus meminjam
daripada bank untuk urusan perniagaan mereka, sama ada
perniagaan asal yang terhenti atau perniagaan baru.
33. Pihak bank pula harus mempermudahkan urusan pinjam-
meminjam. Kita pada mulanya telah tentukan pertumbuhan
hutang bagi tahun 1998 adalah sebanyak 15 peratus. Oleh
kerana kenaikan faedah yang terlalu tinggi dan 'credit
squeeze', hutang yang dikeluarkan oleh bank merosot
dengan teruk sehingga peratusan 15 peratus pertumbuhan
tidak mungkin dicapai. Sebenarnya pertumbuhan separuh
pun tidak mungkin dicapai.
34. Oleh itu Kerajaan telah menetapkan pertumbuhan
hendaklah tidak kurang daripada lapan peratus. Kita
mendapati banyak bank masih tidak mahu mengeluarkan
pinjaman. Ada kononnya pengurus cawangan bank yang
berkata mereka tidak dapat arahan secara hitam-putih.
Justeru itu, mereka akan terus berhati-hati dalam
memberi hutang kepada peniaga. Saya harap cerita ini
adalah cerita dongeng sahaja. Saya harap pengurusan
bank akan bersikap lebih positif dalam mengeluarkan
pinjaman kepada peniaga. Bank Negara akan mengawasi
prestasi bank sepanjang masa.
35. Saya tidak perlu tegaskan bahawa pemulihan ekonomi
negara bergantung kepada kecergasan pihak swasta yang
dibantu oleh bank dalam bidang perniagaan. Lebih giat
swasta lebih cepatlah pemulihan ekonomi negara. Lebih
cepat ekonomi pulih, lebih selesalah kehidupan rakyat.
Pemulihan ekonomi negara juga akan menjamin negara kita
tidak akan dijajah semula oleh orang asing.
36. Baru-baru ini ternampak tanda-tanda kegawatan
ekonomi Asia Timur sedang pulih. Nilai matawang dan
indeks pasaran saham sedang meningkat. Mungkin ada yang
berpendapat bahawa tanpa tindakan mengawal Ringgit pun
ekonomi negara akan pulih.
37. Kita jangan terlalu cepat menerima dakwaan ini. Apa
yang berlaku bukanlah kenaikan nilai matawang Asia Timur
tetapi kejatuhan nilai Dolar Amerika.
38. Apabila 'Long Term Capital Management Fund'
mengalami kerugian yang teruk, bank-bank negara maju
yang dahulu memberi pinjaman yang besar kepada Tabung
Lindung Nilai atau 'hedge funds' telah menarik balik
kredit mereka untuk dagangan matawang. Dengan itu
banyak 'hedge funds' mengalami kerugian dan terpaksa
menjual Dolar untuk membayar matawang yang dipinjam oleh
mereka. Dengan itu nilai Dolar pun jatuh, atau
dipandang daripada sudut matawang lain, nilainya
meningkat.
39. Kita belum boleh yakin bahawa pengurus 'hedge
funds' tidak akan kembali menyerang negara Asia Timur.
Kita lihat bagaimana mereka menyerang matawang Mexico
dan Brazil berkali-kali. Apabila sahaja ekonomi pulih
selepas serangan oleh mereka, mereka akan serang semula.
40. Oleh itu kita belum boleh yakin serangan ke atas
matawang Asia Timur sudah tamat. Selagi dagangan
matawang tidak dikawal oleh masyarakat antarabangsa dan
negara-negara tertentu, tidak ada jaminan pedagang
matawang tidak akan menyerang sekali lagi apabila mereka
dapat mengatasi masalah yang mereka hadapi sekarang.
Justeru itu, kawalan ke atas matawang kita tidak boleh
dihentikan atau dilonggarkan.
41. Negara masih berada dalam keadaan yang belum stabil
daripada segi ekonomi. Kita perlu berhati-hati. Kita
perlu awasi segala-gala yang berlaku di sekeliling kita,
baik dalam negeri mahupun di luar negeri.
42. Kita telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi
Negara dan majlis ini telah membentuk Pelan Pemulihan
Ekonomi Negara. Pelan ini memberi perhatian kepada
semua sektor dan semua tindakan yang perlu diambil.
Saya yakin jika kita semua memainkan peranan yang
ditentukan bagi kita dalam Rancangan tersebut, pemulihan
ekonomi negara kita akan tercapai dalam masa yang
pendek.
43. Dalam rancangan ini peranan bank dan institusi
kewangan sudah pun diberi garis panduan. Kita juga
telah perkenalkan belanjawan yang akan menyumbang kepada
pelaksanaan rancangan pemulihan MTEN. Saya yakin dengan
semua yang telah kita rancangkan dan dengan semua pihak
memainkan peranan masing-masing kita akan dapat
memulihkan semula ekonomi negara kita, insya-Allah.
|