Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MENARA PGRM, CHERAS, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	20/11/98 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PUSAT REKABENTUK 
			PERABOT MALAYSIA (MFDC) 



        Saya  mengucapkan  terima kasih kepada  Majlis  Kayu
  Kayan   Malaysia  (MTC)  kerana  menjemput   saya   untuk
  merasmikan  Pusat  Rekabentuk Perabot  Malaysia   (MFDC).
  Penubuhan  pusat seperti ini bukan sahaja  penting  dalam
  pembangunan  industri perabot tetapi  adalah  tepat  pada
  masanya   memandangkan  industri  hiliran  dan   bernilai
  tambah  telah  muncul sebagai sumber  pendapatan  tukaran
  wang  asing  yang  utama dalam sektor komoditi.   Lagipun
  industri  berasas  bahan  mentah tempatan  yang  dimiliki
  rakyat  Malaysia  boleh menolong meningkatkan  pendapatan
  negara  kerana segala hasil akan dikembalikan  ke  negara
  kita hampir sepenuhnya.
  
  2.    Pendapatan daripada eksport perabot di  negara  ini
  telah bertambah dengan banyaknya sejak tahun 1990.   Pada
  tahun  1990,  pendapatan eksport perabot berjumlah  hanya
  RM269.5  juta, akan tetapi pada tahun 1997,  ianya  telah
  melebihi  RM2.6  billion  iaitu peningkatan  sebanyak  10
  kali  ganda.  Dalam tempoh enam bulan pertama tahun  ini,
  industri  ini telah terus maju dan mencatatkan  perolehan
  eksport  sebanyak  RM1.97 billion.   Walaupun  sebahagian
  daripada  pendapatan  ini  ialah  keuntungan  yang  tidak
  dijangka disebabkan kejatuhan nilai  Ringgit, tetapi  apa
  yang   penting  ialah  prestasi  industri  perabot   yang
  membanggakan.  Keupayaan industri ini untuk  menyesuaikan
  diri  hingga  mencapai kejayaan, walaupun  negara  sedang
  menghadapi  pergolakan ekonomi, perlu diberikan  sokongan
  dan  galakan  supaya ianya akan terus  maju  dan  berdaya
  saing.   
  
  3.     Dalam  tempoh  lima  tahun  yang  lepas,  industri
  perabot  tempatan telah diiktiraf sebagai  pengeluar  dan
  pengeksport  perabot yang berkualiti dan bertaraf  dunia.
  Walau  bagaimanapun,  persaingan yang  semakin  meningkat
  berikutan  proses  globalisasi dan liberalisasi  dagangan
  di  peringkat  ASEAN dan antarabangsa,  seharusnya  tidak
  menjadikan   kita  terlalu  berpuas  hati  dengan   tahap
  pencapaian  sekarang.  Sebaliknya, kita perlu  menguatkan
  azam   dan   berusaha   ke   arah  kecemerlangan   dengan
  mengeluarkan  produk-produk kayu  atau  perabot  bernilai
  tambah  yang  lebih berkualiti tinggi dan  mampu  menjadi
  standard  antarabangsa.   Saya  yakin,  ini  akan   dapat
  dicapai melalui perkembangan rekabentuk asli yang  tinggi
  mutunya    serta   mengamalkan   proses   dan   teknologi
  perkilangan yang lebih kos efisien.
  
  4.     Industri  perabot  di  negara  ini  masih   banyak
  bergantung  kepada rekabentuk sedia ada  di  pasaran  dan
  juga   citarasa  pembeli  dan  mengikuti  kaedah  pembuat
  peralatan  asal (Original Equipment Manufacturer)  (OEM).
  Keadaan  ini menyebabkan penekanan harga yang  berterusan
  di  mana  pengilang-pengilang  kos  rendah  dari  negara-
  negara  di  rantau ini telah muncul dengan barangan  yang
  berharga  rendah  serta  kompetitif.   Sebagai  pengilang
  yang  beroperasi  mengikut OEM, kita  berpandukan  kepada
  rekabentuk-rekabentuk yang disediakan oleh  pembeli  dari
  negara-negara asing dan harganya ditetapkan oleh  mereka.
  Dalam  kegawatan ekonomi, saya difahamkan bahawa pembeli-
  pembeli  asing  telah  meminta supaya  diskaun  diberikan
  berasaskan  kejatuhan  nilai  Ringgit.   Bagi  menentukan
  pasaran,  para  pengilang dan pengeksport  kita  terpaksa
  memenuhi permintaan mereka dan mungkin keuntungan  jangka
  pendek  dapat  dikekalkan.  Sebaliknya,  sekiranya  nilai
  Ringgit  kita kembali kukuh, tidak pasti harga yang  lama
  akan  diberikan  kepada  pengeksport-pengeksport  perabot
  tempatan.   Dengan  demikian,  margin   keuntungan   akan
  berkurangan  sementara  kos pengeluaran  akan  meningkat,
  yang   akhirnya  industri  perabot  di  negara  ini  akan
  menghadapi pelbagai masalah.
  
  5.    Bagi jangka masa panjang, penekanan perlu diberikan
  kepada   keupayaan  pengeluar-pengeluar   perabot   untuk
  bersaing  dengan faktor bukan harga seperti kualiti  yang
  unggul,  rekabentuk yang unik serta kaedah  pasaran  yang
  inovatif.   Pengeluar-pengeluar  perabot  perlu   beralih
  dari   kaedah   pengeluaran  "OEM"   kepada   pengeluaran
  mengikut  "Original Design Manufacture" atau "pengilangan
  rekabentuk   asal"  secara  agresif  dengan   mengamalkan
  strategi  seperti  mencipta rekabentuk  dan  jenama  yang
  tersendiri. Selain daripada itu, ia juga boleh  dilakukan
  melalui   "networking",  membentuk   hubungan   strategik
  ataupun  perkongsian  pintar dengan pembeli-pembeli  luar
  negara    atau   firma-firma   rekabentuk   perabot    di
  negara-negara  pengimport.  Tindakan-tindakan  ini  bukan
  sahaja  akan menjamin kewujudan industri perabot Malaysia
  yang   tulin  tetapi  juga  pembangunannya  akan  memberi
  faedah  "spin-off" yang lebih meluas kepada  penduduk  di
  negara ini.
  
  6.    Daripada  segi perniagaan dan perdagangan  perabot,
  matlamat  utama  kita ialah untuk menarik  minat  pembeli
  jangka  panjang  dan menggalakkan mereka  membeli  produk
  tempatan  berdasarkan  kualiti barangan  dan  "value  for
  money",   bukan semata-mata  sebagai pembeli runcit  yang
  inginkan  harga rendah.  Walau bagaimanapun,  kita  harus
  mempelbagaikan  barangan daripada produk berharga  rendah
  dan  sederhana  hingga  ke produk premium  yang  berharga
  tinggi.   Setelah  itu  barulah  kita  berpeluang   untuk
  bersaing  tanpa  tekanan  harga  yang  ditetapkan  secara
  terang-terangan oleh kuasa pasaran.
  
  7.    Sudah  tiba masanya bagi industri perabot  mengamal
  dan   menggunakan  "value-strategy"  dan   beralih   dari
  "volume-strategy"  melalui  rekabentuk  asal  dan  jenama
  sendiri.  Dalam perkara ini, pengilang-pengilang tempatan
  perlu  memberi  tumpuan  untuk mengeluarkan  produk  yang
  berkualiti  tinggi dan konsisten, mempunyai fungsi  serta
  rekabentuk yang menarik.
  
  8.    Saya  ingin mengucapkan tahniah kepada  Kementerian
  Perusahaan  Utama  di atas inisiatifnya menubuhkan  pusat
  ini  bagi  membantu industri perabot kearah kecemerlangan
  serta   menjadikannya  sebuah  industri  bertaraf  dunia.
  Dengan  adanya  pusat  ini, kita mempunyai  tempat  untuk
  mempamerkan   perabot   buatan  Malaysia   yang   terkini
  sepanjang  tahun.  Di samping itu, pameran yang  diadakan
  oleh  "Malaysian  International Furniture  Fair"   setiap
  tahun    memastikan   promosi   serta    kejayaan    yang
  berpanjangan untuk industri perabot Malaysia.
  
  9.    Saya yakin dengan adanya kemudahan seperti ini  dan
  di  atas  usaha  inovatif industri  serta  sokongan  dari
  Kementerian Perusahaan Utama, maka industri perabot  kita
  akan  bertambah  maju dan meningkat ke tahap  yang  lebih
  tinggi  lagi supaya menjadi salah satu tunggak pendapatan
  tukaran wang asing bagi negara kita.
  
  10.   Saya  difahamkan  bahawa Pusat  Rekabentuk  Perabot
  Malaysia  dibuka  kepada  semua  pengilang,  peniaga  dan
  pengeksport  dan  akan menjadi tempat  untuk  mempamerkan
  rekabentuk   perabot   Malaysia   yang   terkini    serta
  menyediakan  khidmat nasihat teknikal dalam  merekabentuk
  perabot  yang  bercirikan  rekabentuk  tempatan.   Dengan
  itu,  saya berharap mereka yang terlibat dalam perniagaan
  dan   perdagangan  perabot akan mengambil  peluang  untuk
  menggunakan    kemudahan    serta    perkhidmatan    yang
  disediakan.
  
  11.   Saya  dimaklumkan  juga bahawa  dalam  tahun  1997,
  dianggarkan  terdapat  3,009 kilang  perabot  dan  kilang
  kerja  kayu di negara ini.  Akan tetapi hanya 500  hingga
  600  kilang sahaja yang terlibat dengan aktiviti eksport.
  Oleh  yang demikian, industri kecil dan sederhana digalak
  untuk   mengambil  bahagian   dalam  perniagaan   eksport
  perabot  yang bernilai lebih kurang USD55 billion  setiap
  tahun  di  seluruh  dunia.  Mereka boleh  bermula  dengan
  menjadi  pembekal  komponen tertentu  kepada  pengeksport
  lain.
  
  12.   Bagi  memastikan pusat ini memainkan  peranan  yang
  berkesan  untuk  memanfaatkan industri perabot,  terdapat
  satu  persoalan yang penting mengenai perlindungan  harta
  intelek.  Isu ini mungkin menjadi batu penghalang  dimana
  pengilang-pengilang  pintar  yang  mempunyai   rekabentuk
  ciptaan  mereka sendiri, enggan mempamerkan  barangan  di
  MFDC  kerana khuatir pengilang-pengilang lain akan meniru
  rekabentuk  mereka.  Seperti yang telah kita ketahui,  ia
  merupakan  satu masalah universal di mana tidak  terdapat
  penyelesaian yang mudah dan jelas.
  
  13.   Walau  bagaimanapun, saya telah  diberitahu  bahawa
  MFDC   akan   mengemukakan  cadangan  untuk  pertimbangan
  Kerajaan  supaya pendaftaran bagi perlindungan hak  harta
  intelek  bagi  rekabentuk  perabot  dapat  diwujudkan  di
  negara  ini.   Adalah  diharapkan  dengan  adanya  proses
  pendaftaran  yang cekap ianya akan meyakinkan  pengimport
  dan  peniaga  perabot  asing untuk menempah  kontrak  OEM
  dengan  para pengilang negara ini tanpa takut  rekabentuk
  mereka  ditiru.  Isu rompakan rekabentuk merupakan  punca
  utama   timbulnya   kebimbangan  di  kalangan   pengimpot
  terutamanya  dari  negara  Jepun  di  mana  mereka  telah
  banyak   membuat   pelaburan   wang   dan   masa    untuk
  penyelidikan   dan   pembangunan   (R&D)   dalam    aspek
  rekabentuk perabot.
  
  14.   Sukacita  saya mengulangi bahawa pengilang  perabot
  harus  menumpukan  perhatian kepada pembeli  dari  negara
  asing  yang bersedia untuk membeli produk berkualiti  dan
  bernilai   tambah,  bukan  hanya  menuntut   harga   yang
  terendah.   Saya  berharap dalam  masa  dua  hingga  tiga
  tahun   kehadapan,  pusat  ini  akan  mempunyai  pelbagai
  barangan  untuk memenuhi keperluan setiap sektor dagangan
  perabot.
  
  15.   Saya  juga  telah diberitahu bahawa MFDC  merupakan
  tempat  di  mana   perekabentuk  tempatan  yang  berbakat
  boleh  mempamerkan kreativiti dalam merekabentuk perabot,
  melalui  pameran "works-of-art" yang kerap kali  diadakan
  oleh  para   perekabentuk  Malaysia.   Ini  akan  memberi
  peluang   kepada  para  pengilang  Malaysia   memperolehi
  rekabentuk  yang  anggun serta berfungsi  hasil  daripada
  perekabentuk tempatan.   Para perekabentuk tersebut  juga
  berpeluang   untuk  menjual  koleksi  rekabentuk   mereka
  kepada  pengilang-pengilang  yang  berpotensi.    Langkah
  ini  dapat  melahirkan perekabentuk  perabot  yang  mampu
  untuk   menghasilkan   produk   bertaraf   dunia   dengan
  mewujudkan rekabentuk Malaysia yang asli.
  
  16.    Dalam  era  teknologi  maklumat,  saya  difahamkan
  perdagangan  elektronik, dan laman Web  telah  diwujudkan
  oleh  pusat  ini sebagai salah satu alat pemasaran  untuk
  mempromosikan  industri perabot Malaysia.  Saya  berharap
  rekabentuk  terbaik dan terkini  dapat disebarkan  kepada
  dunia melalui rangkaian "Internet".
  
  17.   Akhir kata, saya yakin pengilang, perekabentuk  dan
  pembeli  bersama-sama  akan memperolehi  faedah  daripada
  penubuhan  pusat  ini sepertimana yang  disarankan  dalam
  Pelan   Induk   Perindustrian   Kedua   menerusi   konsep
  "manufacturing  plus-plus".  Selanjutnya pusat  ini  akan
  menjadi   jambatan   kepada  rekabentuk   cemerlang   dan
  hubungan perniagaan.
  
  18.    Dengan  kata-kata  ini,  saya  dengan  sukacitanya
  merasmikan Pusat Rekabentuk Perabot Malaysia ini.

 
 



 
Google