Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT BELIA ANTARABANGSA, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	02/12/98 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS KONVENSYEN CUEPACS KE-21 



        Terlebih  dahulu saya mengucapkan syukur  ke  hadrat
  Allah  Subhanahu  wa Ta'ala kerana saya  dapat  hadir  di
  Majlis  Konvensyen  CUEPACS ke-21 ini  dan  merasmikannya
  pada hari ini.
  
  2.    Adalah menjadi amalan biasa di dalam konvensyennya,
  CUEPACS   akan   melaksanakan  satu  tanggungjawab   yang
  penting  untuk memilih ahli jawatankuasa yang  baru  bagi
  menduduki  barisan kepimpinannya untuk  tiga  tahun  yang
  akan  datang.  Bahkan, saya percaya konvensyen  ini  akan
  menjadi   forum  utama  bagi  membincangkan   isu   pokok
  berkaitan  dengan  kepentingan Kesatuan Sekerja  Gabungan
  CUEPACS  dan  ahlinya  khusus mengenai  perkhidmatan  dan
  faedah  saraan.  Justeru itu, adalah  penting  konvensyen
  ini  dilaksanakan  dengan  penuh  tanggungjawab  terhadap
  kesatuan dan negara supaya ia dapat membuat rumusan  yang
  baik.    Ini  bermakna  segala  hasil  perbincangan   dan
  persetujuan  yang  dicapai di dalam konvensyen  ini  akan
  menjadi  ramuan  penting  kepada CUEPACS  untuk  merangka
  strategi    jangka    panjang   serta    arahtuju    yang
  komprehensif,  yang  akan  dapat  memberi  manfaat  bukan
  sahaja  kepada  ahli CUEPACS khususnya, bahkan  faedahnya
  akan  dapat dirasai oleh semua anggota perkhidmatan  awam
  dan negara amnya.
  
  3.    Jumlah keahlian dan kesatuan yang bergabung  dengan
  CUEPACS sudah pasti akan bertambah dari semasa ke  semasa
  kerana   sifat  serta  peranannya  dalam  menangani   isu
  perkhidmatan  anggota perkhidmatan awam. Saya  difahamkan
  bahawa  sehingga  kini keahlian CUEPACS adalah  kira-kira
  seramai  179,300 orang berbanding dengan  jumlah  anggota
  perkhidmatan  awam  seramai 848,000  orang.   Dalam  pada
  itu,  jumlah kesatuan yang bergabung dengan CUEPACS  pula
  adalah   sebanyak  103  buah.   CUEPACS  selaku  Kesatuan
  gabungan  yang terbesar dalam perkhidmatan awam  perlulah
  sentiasa  bersifat bertanggungjawab bukan  sahaja  kepada
  ahli  dan  masalah  mereka  tetapi  juga  kepada  seluruh
  anggota  perkhidmatan  awam.   Sebaliknya  semua  anggota
  perkhidmatan  awam  perlu menyokong  CUEPACS  apabila  ia
  berjuang untuk kepentingan semua anggota.
  
  4.    Kesatuan  sekerja dicipta dan diwujudkan  di  zaman
  kaum   kapitalis  bermaharajalela  mengeksploitasi   kaum
  pekerja.    Dengan  adanya  kesatuan  sekerja  maka   hak
  pekerja  dapat  dilindungi dan mereka  mendapat  pulangan
  yang   sewajarnya  daripada  hasil  kerja  mereka.    Hak
  pekerja  berkesatuan  dan mengambil  tindakan  perusahaan
  adalah   senjata  yang  berkesan  yang  menolong  pekerja
  mendapat  bahagian  mereka  daripada  hasil  titik  peluh
  mereka.   Dan  memanglah wajar pekerja mempunyai  senjata
  ini   kerana  jika  tidak  puak  majikan  akan   menindas
  pekerja.
  
  5.    Kita sedang lihat sekarang kapitalis kembali semula
  untuk  menindas  kaum yang miskin dan pekerja.  Kapitalis
  yang  baru  ini  mempunyai modal yang  jauh  lebih  besar
  daripada  kapitalis  di  zaman dahulu.   Mereka  memiliki
  berbilion dolar dan mereka dapat 'leverage' iaitu  hutang
  dari  bank dua puluh kali ganda atau lebih daripada modal
  mereka  sehingga jumlah yang boleh diniagakan oleh mereka
  meningkat  kepada  satu trilion dolar,  iaitu  satu  ribu
  bilion dolar.
  
  6.    Tidak seperti kapitalis dahulu yang mendiri  kilang
  dan   mengguna   pekerja  untuk  mengeluarkan   barangan,
  kapitalis zaman ini tidak perlu menggajikan pekerja  yang
  ramai.  Mereka mengguna modal dan pinjaman  besar  mereka
  untuk   membeli  dan  menjual  matawang  asing,  termasuk
  Ringgit  kita.   Mengikut  kaedah  mereka  jika  matawang
  dijual  nilainya jatuh berbanding dengan  dolar  Amerika,
  jika  dibeli  dengan  dolar Amerika maka  nilai  matawang
  akan  naik.   Dengan  kaedah ini mereka  boleh  naik  dan
  turunkan nilai matawang sesuka hati mereka.
  
  7.     Yang   malangnya  ialah  apabila  nilai   matawang
  diturunkan  kita  menjadi miskin kerana wang  kita  tidak
  lagi   dapat  membeli  barangan  import  seperti  dahulu.
  Dengan  itu  walaupun gaji pekerja tidak  turun,  pekerja
  menjadi  miskin daripada segi kuasa beli barangan import.
  Kerana  barang  import naik harga barangan tempatan  juga
  naik  harga,  maka  pekerja menjadi  lebih  miskin  lagi.
  Perniagaan  juga  akan rugi dan mungkin terpaksa  ditutup
  dan  pekerja dibuang kerja.  Dengan ini bilangan  pekerja
  yang  menganggur  akan  bertambah  sehingga  berjuta-juta
  pekerja  di  sebuah negara yang diserang  oleh  kapitalis
  pedagang  matawang telah menganggur, tidak dapat  membeli
  makanan,  susu  untuk anak-anak dan ubat-ubatan.   Dengan
  ini  negara  yang  kaya boleh menjadi miskin  dalam  satu
  masa  yang  pendek  akibat dieksploitasi  oleh  kapitalis
  yang amat kaya ini yang menurunkan nilai matawang.
  
  8.    Sebaliknya,  sementara kapitalis  di  zaman  dahulu
  sekurang-kurangnya  mewujudkan  peluang  pekerjaan   bagi
  pekerja,  pedagang matawang ini tidak mewujudkan  peluang
  pekerjaan  bagi pekerja biasa.  Mereka mengguna  beberapa
  puluh  pekerja  sahaja untuk berdagang  dengan  berbilion
  dolar.   Pekerja  mahir yang sedikit ini  memang  dibayar
  upah yang tinggi dan mereka tidak mempunyai kesatuan  dan
  tidak perlu mogok.  Tetapi kerana kerja yang dibuat  oleh
  mereka  puluhan  juta  pekerja di  negara  miskin  hilang
  pekerjaan  dan menganggur.  Inilah kapitalis  moden  yang
  mengganti  kapitalis  dahulu.   Mereka  lebih  kejam  dan
  ganas daripada kapitalis lama.
  
  9.    Malangnya  senjata  mogok dan  tindakan  perusahaan
  yang  ada  pada  kesatuan sekerja  tidak  berkesan  untuk
  melawan  dengan kapitalis moden ini.  Sebaliknya  senjata
  ini  jika diguna akan memburukkan lagi nasib pekerja. Ini
  adalah  oleh kerana mereka tidak terdedah secara langsung
  kepada  tindakan  perusahaan pekerja.  Mereka  tidak  pun
  berada  atau tinggal di negara yang diserang oleh  mereka
  sehingga pekerja menjadi miskin dan menganggur.
  
  10.   Demikian  apabila nilai matawang  dan  nilai  saham
  dijatuhkan  oleh mereka, bank dan syarikat  akan  menjadi
  tenat   dan   tidak  lagi  dapat  menguruskan  perniagaan
  mereka.   Dengan  ini  mereka bukan  sahaja  tidak  dapat
  menaikkan gaji untuk menolong pekerja menghadapi  inflasi
  yang  berlaku, mereka tidak pun dapat membayar gaji biasa
  dan  kerapkali  terpaksa membuang pekerja  mereka.   Jika
  pekerja  mengambil  tindakan perusahaan  maka  perniagaan
  akan  hancur sama sekali, dan pekerja serta pengurus  dan
  pemilik  akan  hilang punca pendapatan  mereka.   Ekonomi
  negara akan hancur.  Tetapi pedagang matawang tidak  rugi
  apa-apa.
  
  11.    Demikian  apabila  kegawatan  menyebabkan   sebuah
  syarikat penerbangan asing mengalami kerugian yang  teruk
  dan  ia  cuba  dipulihkan  dengan  mengurangkan  bilangan
  pekerja  dan  upah mereka, kesatuan sekerja telah  mogok.
  Akibatnya  syarikat  itu mengalami  kerugian  yang  lebih
  besar dan terpaksa ditutup.  Semua pekerja, pengurus  dan
  pemilik   syarikat  berkenaan  hilang  punca   pendapatan
  mereka.   Dan negara kehilangan suatu perniagaan nasional
  yang  penting  dan  boleh  menyumbang  kepada  pengaliran
  tukaran wang asing dan cukai Kerajaan.
  
  12.    Berhadapan  dengan  kapitalis  baru  ini  kesatuan
  sekerja  dan  pekerja perlu gubal pendekatan  lain  untuk
  menyelamatkan   diri.    Kapitalis   baru    ini    perlu
  dibanteras.Buat sementara waktu pekerja perlu  berganding
  bahu  dengan majikan dan majikan perlu bekerjasama dengan
  pekerja  untuk  menyelamatkan perniagaan  dan  perusahaan
  dan  juga  ekonomi negara. Kerajaan juga perlu menyumbang
  kepada  kerjasama ini. Dengan cara ini satu benteng  yang
  kukuh  dapat  didirikan  untuk menghalang  serangan  oleh
  pedagang  matawang dan pelabur jangka pendek  yang  hanya
  ingin   mendapat  keuntungan  cepat  bagi  mereka,  tanpa
  mempedulikan nasib pekerja.
  
  13.   Saya  berasa  amat gembira kerana kesatuan  sekerja
  dan   pekerja  di  Malaysia  amat  berhati-hati   apabila
  mengguna  senjata mogok dan tindakan perusahaan  terutama
  semasa  kegawatan  ini.  Tidak ada mogok  dan  tidak  ada
  tuntutan  yang  bukan-bukan  yang  dibuat  oleh  kesatuan
  sekerja.
  
  14.   Majikan  harus  menghargai sikap kesederhanaan  dan
  bertanggungjawab pekerja Malaysia.  Di mana mereka  mampu
  hendaklah mereka layan tuntutan pekerja.  Memandang  akan
  ketidaktentuan ekonomi dan keuntungan, upah  tidak  perlu
  dinaikkan  jika tidak ada kemampuan.  Tetapi  elaun  yang
  tidak  tetap  patutlah  dipertimbangkan.   Kerajaan  juga
  akan bersikap demikian.
  
  15.   Negara kita adalah milik kita bersama.  Nikmat yang
  terdapat  dalam  negara kita hendaklah kita  agih  secara
  adil  dan saksama antara kita.  Sementara pelaburan asing
  amat  berguna  dan  kita alu-alukannya, tetapi  pelaburan
  tempatan  adalah  lebih kekal dan memberi  pulangan  yang
  lebih   banyak.   Keuntungan  daripada  perniagaan  perlu
  dilabur   semula.    Keuntungan  tidak   harus   dibahagi
  kesemuanya   kepada  pemilik  saham  atau   pihak   lain.
  Sebahagiannya hendaklah diasingkan untuk dilabur  semula.
  Dengan  cara ini ekonomi negara akan dapat dipulih semula
  dan dikembangkan.
  
  16.    Di   masa   yang   sama  daya   pengeluaran   atau
  produktiviti  hendaklah  ditingkatkan  melalui  kerjasama
  dan  kecekapan pengurusan dan pekerja. Di zaman kegawatan
  ini  amatlah penting kita semua tumpukan kepada pemulihan
  ekonomi  dengan  menaikkan daya keluaran  kita,  terutama
  dalam bidang eksport.
  
  17.   Walaupun CUEPACS adalah kesatuan sekerja kakitangan
  Kerajaan,  ini  tidak  bermakna tuan-tuan  dan  puan-puan
  tidak  terlibat  dalam usaha membangunkan ekonomi  bahkan
  meningkatkan  eksport.   Pentadbiran  yang  efisien   dan
  teratur   tetap   menyumbang   kepada   kecekapan   dalam
  meningkatkan  keluaran dan eksport kita. Kelambatan  atau
  kurang  cekapnya  khidmat  Kerajaan  akan  menambah   kos
  pengeluaran   barangan   untuk  pasaran   tempatan   atau
  eksport.   Sebaliknya jika khidmat diberi  dengan  pantas
  dan  cekap,  kos  akan dapat dikurangkan dan  kita  semua
  akan  menikmati harga yang murah dan inflasi yang rendah.
  Dengan  itu  ekonomi akan cepat pulih.   Apabila  ekonomi
  pulih  maka  sudah tentu tuntutan pekerja  akan  mendapat
  layanan yang sewajarnya.
  
  18.   Saya  percaya konvensyen CUEPACS akan membincangkan
  masalah-masalah  yang dihadapi oleh  kesatuan  dan  ahli.
  Tetapi   saya  percaya  CUEPACS  juga  sedar  dan   ingin
  memainkan peranan memulihkan ekonomi negara.  Kita  hidup
  dalam   zaman  yang  penuh  ancaman.   Jika  kita   gagal
  menangani  ancaman ini, bukan sahaja ekonomi dan  politik
  kita  tidak  akan  dapat  dipulihkan  tetapi  kemungkinan
  besar  kita akan dijajah semula.  Justeru itu, kita semua
  harus berhati-hati.   
  
  19.    Saya   percaya   konvensyen   ini   akan   memilih
  Jawatankuasa  yang  baru  untuk memimpin  Cuepacs.   Saya
  harap apa yang berlaku dalam parti-parti politik di  mana
  sogokan  digunakan  untuk  mendapatkan   sokongan   tidak
  berlaku   dalam   kesatuan  sekerja,  termasuk   Cuepacs.
  Amatlah  malang  jika  yang  berjaya  ialah  yang   mampu
  sahaja.
  
  20.    Saya  telah  sebut  bahawa  walaupun  ekonomi  dan
  kewangan  Kerajaan begitu berkurangan sehingga kita  akan
  mengalami defisit sebanyak RM16 billion bagi 1999  tetapi
  Kerajaan   sedar   akan  masalah   yang   dihadapi   oleh
  kakitangan  Kerajaan.   Kerajaan  tidak  mampu   membayar
  bonus  tahun ini dan saya minta maaf.  Walaupun  demikian
  untuk   menolong  kakitangan Kerajaan di semua  peringkat
  selain   daripada  Jawatan  Utama  Sektor   Awam   (JUSA)
  menghadapi  masalah  perbelanjaan untuk  pelajaran  anak-
  anak  dan lain-lain keperluan, Kerajaan memutuskan  untuk
  memberi  bantuan sebanyak RM400 (Ringgit  Malaysia  Empat
  Ratus)  seorang  tahun ini.  Saya  sedar  akan  ada  yang
  tidak   puas   hati  dengan   tawaran  ini,  tetapi   ini
  sahajalah yang Kerajaan mampu memberi.
  
  21.   Dengan  ini,   saya  dengan sukacitanya  merasmikan
  Konvensyen CUEPACS yang ke-21.

 

 



 
Google