Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN MERDEKA, PWTC, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	13/12/98 
Tajuk/Title  	: 	PERHIMPUNAN AGUNG KHAS UMNO 1998 



        Hari  ini kita bersidang dengan satu  agenda  sahaja
  --  iaitu  meminda  Perlembagaan Parti  kita,  Pertubuhan
  Kebangsaan  Melayu  Bersatu, atau  Pekembar,  yang  lebih
  dikenali sebagai UMNO.
  
  2.    Ini bukanlah kali pertama kita meminda Perlembagaan
  Parti  kita.  Perlembagaan kita dipinda dahulu  dan  kali
  ini  kerana  zaman  berubah dan pengalaman  serta  budaya
  bangsa kita juga turut berubah.  Jika perlembagaan  parti
  tidak  dipinda, parti kita akan kaku atau  hancur  kerana
  tidak  dapat  menangani  masalah yang  berbeza-beza  yang
  muncul  mengikut  peredaran zaman, mengikut  perkembangan
  negara   daripada  segi  politik,  ekonomi,  sosial   dan
  budaya,  daripada  segi  bilangan penduduk  dan  daripada
  segi jumlah ahli UMNO sendiri.
  
  3.    Di  waktu UMNO ditubuhkan orang Melayu hanya  kenal
  raja-raja  sebagai  ketua negeri  dan  pemimpin.   Rakyat
  tidak  terlibat  dengan  politik --  justeru  itu  mereka
  tidak  percaya  akan  kepimpinan  yang  terdiri  daripada
  rakyat,  terutamanya  kepimpinan  untuk  seluruh  negara.
  Tidak  ramai  yang  ingin menonjol  diri  untuk  memimpin
  sebuah   organisasi  politik  yang  dikehendaki  mencabar
  penjajah,  bahkan  raja-raja sendiri.   Mencari  pemimpin
  menjadi  masalah besar bagi orang Melayu.    Apabila  ada
  tokoh   yang  berbakat  dan  berani  sedikit,  ia   mudah
  diterima tanpa apa-apa cabaran.
  
  4.     Budaya   ini  diteruskan  hingga  selepas   negara
  mencapai   kemerdekaan.   Demikianlah  mudahnya  pemimpin
  diterima  sehingga  tidak ada cabaran terhadap  Yang  di-
  Pertua,  Timbalannya  dan Naib-Naib Yang  di-Pertua  pada
  tiap-tiap  tahun  pemilihan Majlis Kerja  Tertinggi  UMNO
  diadakan.  Selagi mereka tidak undur diri kerana  apa-apa
  sebab, jawatan-jawatan berkenaan tidak ditandingi.  Hanya
  keahlian  biasa dalam Majlis Kerja Tertinggi sahaja  yang
  ditandingi.  Tidak ada kempen yang dilakukan.   Pemilihan
  dibuat  secara terbuka dengan mengangkat tangan.  Selepas
  dipilih  tidak  ada  yang tidak diterima  oleh  mana-mana
  pihak, kerana tidak ada 'faction' dalam UMNO.
  
  5.    Dengan  kerana ini UMNO kuat, tumpat dan berwibawa.
  Dan  UMNO  yang  berwibawa berjaya  menggagalkan  Malayan
  Union  dan  berjuang  untuk  mencapai  kemerdekaan   bagi
  negara.   Setelah  merdeka UMNO terus  berwibawa,  tumpat
  dan  berjaya dalam pilihanraya demi pilihanraya dan dalam
  mentadbirkan   negara,   membangunkannya   dan    mengisi
  kemerdekaan.
  
  6.     Sebenarnya  pentadbiran  negara  pada  tahun-tahun
  awalan  Malaysia  merdeka tidak begitu  sulit.   Walaupun
  pengalaman  UMNO  dalam  bidang politik  dan  pentadbiran
  cetek,  ia   mencukupi  untuk  menangani  masalah-masalah
  yang  dihadapi ketika itu.  Tidak ramai rakyat  Malaysia,
  terutama   orang  Melayu  yang  berpengalaman   mengetuai
  jabatan-jabatan  dan  sudah tentu  tidak  ada  yang  tahu
  mengetuai   kementerian,  sesuatu   yang   tidak   pernah
  diadakan   di   zaman  kolonial.   Namun   UMNO   berjaya
  menerajui  Kerajaan  Perikatan  dan  menguruskan  politik
  negara secara demokratik.
  
  7.     Sebenarnya  banyak  negara  lain  yang   sama-sama
  mencapai  kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua,  tetapi
  gagal  ditadbir  dan  dibangunkan.   Kebanyakannya  bukan
  sahaja  tidak dapat dibangunkan tetapi tahap  pembangunan
  yang  dicapai  di  zaman penjajah merosot,  kadang-kadang
  dengan teruknya.
  
  8.    Tetapi  Malaysia  yang merdeka berjaya  mengamalkan
  politik   demokrasi  dan  membangunkan  negara   walaupun
  penduduk  terdiri daripada pelbagai kaum.Rakyat menikmati
  kehidupan  yang lebih bahagia, lebih makmur.  Pilihanraya
  dapat diadakan tanpa rusuhan dan pembunuhan seperti  yang
  sering   berlaku  di  negara-negara  yang  baru  merdeka.
  Hanya  pada tahun 1969 rusuhan kaum berlaku tetapi itupun
  dapat  diselesaikan oleh pentadbiran yang  dipimpin  oleh
  UMNO.  Campurtangan orang asing tidak diperlukan.
  
  9.    Semua  pencapaian ini adalah hasil  kekukuhan  UMNO
  sebagai  sebuah  parti  politik.  Pemimpin-pemimpin  UMNO
  dapat  menjalankan tugas dengan baik kerana parti memberi
  sokongan  padu  yang  menjamin segala keputusan  Kerajaan
  disokong  penuh  oleh  semua  pihak  dalam  Kerajaan  dan
  parti.    Dengan   itu,  semua  anggota  Kerajaan,   baik
  pentadbir  sivil,  pegawai polis atau tentera menghormati
  dan  menurut  dasar dan pendekatan yang  diputuskan  oleh
  Kerajaan.
  
  10.   Jika  UMNO  berpecah  dan pemimpin  tidak  mendapat
  mandat  dan  sokongan  daripada  parti,  tidak  akan  ada
  sesiapa  di  kalangan tentera, polis dan  pentadbir  yang
  akan  menghormati  arahan Kerajaan  yang  didirikan  oleh
  parti.
  
  11.   Di  kebanyakan negara, kewibawaan  pertubuhan  atau
  individu   yang  memerintah  bergantung  kepada   pasukan
  bersenjata  yang   diberi  kedudukan  istimewa.    Sistem
  `palace   guard'  yang  bersenjata yang  bertanggungjawab
  mempertahankan pucuk pemerintahan tidak ada di  Malaysia.
  Yang  ada  hanyalah tentera dan polis  biasa  yang  tidak
  mempunyai  kesetiaan peribadi kepada mana-mana  pemimpin.
  Mereka  adalah profesional dan bertindak mengikut undang-
  undang dan susunan kuasa (authority) pemerintahan.  Siapa
  sahaja  yang memegang teraju Kerajaan akan diterima  oleh
  mereka sebagai pihak berkuasa.
  
  12.   Seperti yang telah dijelaskan, jika tidak ada badan
  yang   berwibawa,  yang  mempunyai  taraf  daripada  segi
  undang-undang   dan  yang  kukuh  serta   disokong   oleh
  penyokong  yang ramai, pihak tentera, polis dan pentadbir
  awam  tidak akan menghormati dan mematuhi arahan  mereka.
  Tetapi  seperti  kita semua maklum tidak ada  siapa  yang
  menyoal  hak  dan kewibawaan UMNO menerajui dan  mengguna
  kuasa  Kerajaan dalam memerintah negara.  Pihak raja-raja
  juga memberi pengiktirafan ini.
  
  13.   Kita  anggap peranan yang dimainkan oleh  UMNO  dan
  pemimpin-pemimpinnya   semasa    rusuhan   1969   sebagai
  perkara  biasa.   Dia mungkin ternampak  sebagai  perkara
  biasa.     Tetapi   kemampuan   pemimpin-pemimpin    UMNO
  bertindak menangani rusuhan kaum 1969 adalah luar  biasa.
  Di  negara  lain, bahkan di negara kita juga  anarki  dan
  hura-hara  boleh  berlaku jika tidak  kerana  UMNO  terus
  bersepadu dan tidak menyoal hak pemimpin memimpin  semasa
  rusuhan berlaku.
  
  14.     Sebenarnya   perpaduan   dan   ketertiban    UMNO
  membolehkan negara berkali-kali mengatasi krisis,  selain
  daripada   mentadbir  dan  membangunkan   negara   dengan
  jayanya.   Wujudnya gabungan parti-parti politik  seperti
  Perikatan  dan  Barisan Nasional juga  bergantung  kepada
  perpaduan  dan  ketertiban dalam UMNO.   Jika  tidak  ada
  UMNO   yang   terbesar  dan  bersatupadu,  yang   memberi
  kedudukan    dan   kuasa   kepada   pemimpin-pemimpinnya,
  Perikatan  dan Barisan Nasional tidak akan terbentuk  dan
  berfungsi secara efektif.
  
  15.   Apa yang hendak saya tekankan ialah pentingnya UMNO
  yang bersatupadu dan berwibawa.  Jika UMNO lemah, dan  ia
  sudah  tentu akan lemah jika ia berpecah, maka kestabilan
  politik  dan  Kerajaan yang berwibawa dan berkuasa  tidak
  akan wujud di negara ini.
  
  16.    Memang  pun  menjadi  perkara  yang  lumrah  dalam
  politik  negara-negara yang baru muncul  selepas  dijajah
  parti  yang berjaya menebus maruah bangsa dan kemerdekaan
  terus  popular  buat  beberapa lama  selepas  kemerdekaan
  dicapai.  Tetapi  selepas  satu  jangkasama  yang   tidak
  terlalu    panjang   parti   berkenaan    akan    merosot
  popularitinya.    Terdapat  banyak   sebab   kenapa   ini
  berlaku.
  
  17.   Yang  pertama, semasa parti berjuang untuk mencapai
  kemerdekaan  sokongan  rakyat  mudah  didapati.    Tetapi
  selepas  merdeka sokongan menjadi lebih sukar  diperolehi
  kerana  rakyat  berharapan  kemerdekaan  membawa  sesuatu
  perubahan.   Ia  lebih sukar apabila demokrasi  diamalkan
  kerana demokrasi mendedahkan Kerajaan kepada ugutan  oleh
  rakyat.    Mereka  tidak  akan  memberi   sokongan   jika
  kehendak   mereka  tidak  dilayan.   Malangnya   kehendak
  mereka  tidak selalu secocok dengan kepentingan  nasional
  tetapi  lebih kerap diasaskan kepada kepentingan kumpulan
  atau  puak.  Dan puak-puak ini pula bertelagah  sepanjang
  masa.
  
  18.   Demikian di negara berbilang kaum seperti Malaysia,
  pertentangan  kepentingan  antara  kaum  memaksa  pilihan
  dibuat  sama  ada sokongan satu kaum lebih  menguntungkan
  daripada sokongan kaum lain.  Walau apa pun pilihan  yang
  dibuat, sokongan kepada Kerajaan akan berkurangan.
  
  19.   Yang  kedua, pengalaman Kerajaan negara  yang  baru
  merdeka  tetap cetek dan dengan itu harapan rakyat  untuk
  merasai  nikmat  daripada pemerintahan sendiri  kerapkali
  tidak tercapai.
  
  20.   Yang  ketiga, perselisihan pendapat  dan  perebutan
  antara  pemimpin  untuk  mendapat tempat  tertentu  dalam
  parti   yang  memerintah  akan  berlaku.   Semakin   lama
  semakin   bercita-cita   besar  minat   pemimpin-pemimpin
  parti.   Usaha  mereka  merebut  tempat  akan  memecahkan
  parti  kepada 'factions' yang bermusuh antara  satu  sama
  lain.
  
  21.   Akhirnya  parti  pemerintah  akan  berpecah  kepada
  kumpulan-kumpulan yang lemah.  Kewibawaan  parti  sebagai
  pemerintah  akan  merosot.   Ini akan  mengurangkan  lagi
  kemampuan untuk memenuhi harapan rakyat.
  
  22.   Dengan  itu  parti yang memperjuangkan  kemerdekaan
  akan  dibenci oleh rakyat dan akan hilang sokongan.  Jika
  parti  telah  lama memerintah maka ramai  di  luar  parti
  yang  akan  kecewa kerana tidak mungkin mendapat  tempat,
  lalu  mereka mengapi-apikan kemarahan rakyat.   Malangnya
  parti  lawan atau parti yang dibentuk oleh serpihan parti
  pemerintah  tidak  juga  mendapat kedudukan  yang  kukuh.
  Dengan  itu tidak ada satu pun parti yang kuat dan  mampu
  mendirikan   Kerajaan   yang   berwibawa.    Maka    akan
  berlakulah  pertukaran Kerajaan setiap  kali  pilihanraya
  diadakan tanpa mendatangkan apa-apa perubahan.
  
  23.    Oleh  kerana   ini  maka  kestabilan  politik  dan
  pentadbiran  yang  berkesan tidak  dapat  diadakan  lagi.
  Negara  tidak  akan  dapat dibangunkan  dan  rakyat  akan
  menderita.
  
  24.   Sebarang  percubaan  untuk  mendirikan  parti  yang
  berwibawa,  yang disokong oleh sebahagian besar  daripada
  rakyat   seperti  semasa  perjuangan  untuk   kemerdekaan
  dahulu  akan  gagal.  Tanpa pentadbiran  yang  kukuh  dan
  kestabilan  politik, kemerosotan ekonomi dan sosial  akan
  berterusan  dan negara tidak mungkin menjadi negara  maju
  sampai bila-bila pun.
  
  25.   Apa  yang  saya huraikan ini dapat  kita  lihat  di
  kebanyakan  negara  yang  mencapai  kemerdekaan   setelah
  sekian  lama  dijajah  oleh  kuasa-kuasa  Barat.   Hampir
  tidak  ada pemerintahan negara-negara ini yang berwibawa.
  Ada  kalanya mereka menggugurkan demokrasi dan mendirikan
  Kerajaan  satu parti atau pemerintahan kuku besi.  Tetapi
  Kerajaan-Kerajaan  tersebut terdedah  kepada  `corruption
  of   power'  dan  pembangunan  negara  juga  tidak  dapat
  diadakan.
  
  26.   Malaysia  sehingga  kini masih  berjaya  mengadakan
  Kerajaan  yang  berwibawa.   Formula  yang  dicipta  oleh
  pengasas  UMNO masih dapat diamalkan.  Bukan sahaja  UMNO
  berjaya   mengekalkan  susunan  parti  tetapi   cara   ia
  bekerjasama  dengan  parti-parti lain  juga  masih  dapat
  diteruskan.  Tetapi kunci kepada segala-gala  ini  adalah
  UMNO yang berwibawa.
  
  27.   Justeru itu menjadi tanggungjawab tiap seorang ahli
  UMNO,  bahkan  tiap seorang orang Melayu  dan  Bumiputera
  lain  di  Malaysia,  menjadi tanggungjawab  semua  mereka
  untuk  menentukan  UMNO terus kukuh dan berwibawa.  Untuk
  ini  kita  perlu kepada dua faktor yang terpenting.  Kita
  perlu  kepada susunan parti yang baik.  Kita perlu kepada
  budaya parti yang sesuai dengan amalan demokrasi.
  
  28.    Di   waktu  UMNO  dibentuk  tidak  ada   pengakuan
  bahawaYang  di-Pertua atau Presiden parti berhak  menjadi
  Perdana Menteri.  Tetapi kejayaan UMNO dalam pilihanraya-
  pilihanraya  di negara tercinta ini sejak  merdeka  telah
  memberi  peluang  kepada  pucuk  pimpinan  UMNO  memegang
  jawatan  ini.   Dan  ini  sudah  menjadi  satu  `tradisi'
  sehingga  ramai  yang  berpendapat  bahawa  yang  penting
  ialah  menjadi  Presiden UMNO.  Jawatan  Perdana  Menteri
  akan datang bergolek selepas itu.
  
  29.   Memang benar Presiden UMNO mengikut tradisi  berhak
  menjadi  Perdana Menteri Malaysia tetapi  ia  hanya  akan
  memegang  jawatan  Perdana  Menteri  jika  UMNO  mendapat
  kemenangan  dalam pilihanraya umum yang  mesti  diadakan.
  Apakah  UMNO  tetap akan memenangi pilihanraya  menerajui
  Barisan  Nasional?   Apakah Barisan Nasional  akan  terus
  menerima  UMNO jika UMNO lemah?   Apakah Barisan Nasional
  tetap   akan   mendapat   majoriti   kerusi   di   setiap
  pilihanraya?
  
  30.   Ketiga-tiga  soalan ini bergantung kepada  kekuatan
  UMNO  sebagai sebuah parti politik.  Kekuatan UMNO datang
  daripada  perpaduan  ahli-ahlinya  dan  kesetiaan   ahli-
  ahlinya kepada parti dengan perlembagaannya.   Dan  parti
  tidak boleh berfungsi jika ianya tidak tersusun rapi  dan
  mempunyai pemimpin yang disokong penuh.
  
  31.   Apabila  pemimpin sudah dipilih maka sokongan  padu
  mestilah  diberi kepadanya.  Hanya ini sahaja yang  boleh
  menentukan  kewibawaannya.  Selagi  ia  menjadi  pemimpin
  selama  itulah ia perlu disokong.  Kesetiaan dan ketaatan
  kepadanya   bukanlah   kerana  tubuh   badannya,   kerana
  peribadinya.Kesetiaan     kepadanya     adalah     kerana
  jawatannya,  jawatan  yang  disandang  olehnya   mengikut
  perlembagaan dan melalui pemilihan parti.  Jika ia  gagal
  mengekalkan  kepercayaan parti kepadanya, maka  ia  boleh
  digugur oleh parti juga mengikut perlembagaan parti.
  
  32.   Kronisma dan 'faction' tidak patut ada dalam parti.
  Jika  ia  diamalkan lambat laun parti akan  berpecah  dan
  menjadi lemah.
  
  33.   Ini  adalah  oleh kerana kemenangan bagi  mana-mana
  'faction'  akan  menyebabkan 'faction' yang  kalah  tidak
  menyokong.   Pemenang  hanya mendapat  sokongan  daripada
  sebahagian sahaja daripada parti.  Dengan itu ia  menjadi
  lemah.
  
  34.    Budaya   demokrasi  yang  sebenar   berkehendakkan
  pemilihan  dibuat  secara persahabatan,  iaitu  `friendly
  competition'.  Pemilihan antara parti-parti seperti  yang
  berlaku  semasa  pilihanraya  adalah  berlainan  daripada
  pemilihan   dalam   parti.   Dalam   parti   yang   perlu
  diutamakan  ialah  kewibawaan parti, keberkesanan  parti.
  Kemenangan  menjadi  pemimpin  tidak  bermakna  jika   ia
  menyebabkan   parti   berkecai,  menjadi   lemah,   gagal
  memenangi pilihanraya dan membentuk Kerajaan.
  
  35.   Demokrasi dalam parti hendaklah menjamin kewibawaan
  parti  tidak  tergugat.   Untuk ini  pemilihan  hendaklah
  diasaskan  kepada  perwatakan  atau  'character'   calon,
  kebolehannya     dan    kualiti-kualiti     lain     yang
  menyesuaikannya   sebagai   pemimpin.    Soal   kesetiaan
  kepadanya  sebagai  individu atau ketua  'faction'  tidak
  harus ada dan mempengaruhi pemilihan.
  
  36.   Jika  pemilihan  tidak diasaskan  kepada  kesetiaan
  peribadi  atau  'faction' maka selepas  pemimpin  dipilih
  barisan  parti  dapat  dirapatkan  semula.    Tidak   ada
  permusuhan  oleh pihak yang kalah terhadap pemimpin  yang
  dipilih  atau  penyokong-penyokongnya.  Sebaliknya  semua
  ahli  parti merapatkan barisan dan memberi sokongan  padu
  kepada  pemimpin  yang dipilih.  Dengan itu,  parti  akan
  terus  kuat dan mampu menangani masalah parti dan masalah
  Kerajaan dan negara.
  
  37.   Keadaan  dunia  semasa  kita  mencapai  kemerdekaan
  lebih  40 tahun dahulu dan keadaan sekarang amat berbeza.
  Namun  bahayanya adalah sama.  Semasa kita tubuhkan  UMNO
  masalah  yang  kita hadapi adalah penjajahan  oleh  kuasa
  asing  secara  langsung.  Hari ini  kita  masih  terdedah
  kepada penjajahan.
  
  38.   Selepas  Perang  Dunia  Kedua  penjajahan  dianggap
  perkara yang buruk yang tidak boleh diterima oleh  dunia.
  Penjajah  berasa  malu dengan sejarah penjajahan  mereka.
  Mereka   tidak  lagi  berlagak  sebagai  penguasa  dunia.
  Mereka  tidak  mahu campur tangan dalam  urusan  wilayah-
  wilayah  yang  telah dibebaskan daripada mereka.   Mereka
  seolah-olah  sudah  bertaubat  dan  tidak  mahu  menjajah
  lagi.
  
  39.   Tetapi  mereka  tidak ikhlas.   Secara  tersembunyi
  mereka cuba melemahkan negara-negara yang baru bebas  ini
  dengan   mencuba  memecah-belahkan  rakyat  dan   wilayah
  supaya  negara-negara ini tidak dapat  diperintah  dengan
  baik  dan jayanya.  Apabila sahaja ada rusuhan dan perang
  saudara  maka  mereka  akan  membekalkan  senjata  kepada
  pihak   tertentu  bahkan  mereka  sanggup  menjadi  askar
  upahan kepada pihak-pihak yang merebut kuasa.
  
  40.   Tujuan  mereka ialah supaya pemerintah negara  yang
  baru  merdeka  ini  menjadi lemah dan dapat  diperalatkan
  oleh   mereka.    Walaupun  yang  memerintah   mendirikan
  Kerajaan   kuku  besi,  mereka  sedia  membantu   asalkan
  memihak  kepada mereka dan memberi mereka  peluang  untuk
  mengeksploitasi kekayaan negara berkenaan.  Secara  tidak
  langsung penjajahan oleh mereka dikekalkan.
  
  41.   Tetapi ada negara yang telah merdeka ini yang dapat
  mengurus  dan  memerintah  diri  sendiri  dengan  jayanya
  tanpa    bergantung    kepada    bekas-bekas    penjajah.
  Demikianlah  kejayaan negara-negara ini  sehingga  mereka
  dapat bersaing dengan bekas penjajah mereka dahulu.
  
  42.   Kebanyakan daripada negara-negara yang merdeka  dan
  berjaya   ini   ialah  negara-negara   di   Asia   Timur.
  Pertumbuhan   ekonomi  negara-negara  ini  dan   kejayaan
  pemerintahan  mereka menjadi cabaran besar  kepada  bekas
  penjajah  dahulu.   Ternampak  seolah-olah  negara-negara
  ini  akan benar-benar merdeka dan mencabar kuasa lama  di
  Eropah dan Amerika Utara.
  
  43.   Kejayaan negara-negara ini tidak menyenangkan bekas
  penjajah  dahulu.   Mereka ingin  tentukan  negara-negara
  yang  baru  muncul  daripada bekas tanah  jajahan  mereka
  akan  terus tunduk kepada mereka.  Walaupun pada  mulanya
  masyarakat dunia berpendapat bahawa tidak ada siapa  yang
  berhak  campur  tangan dalam urusan dalam  negeri  negara
  yang  merdeka, kuasa-kuasa Barat berjaya meyakinkan dunia
  bahawa untuk mengawasi dan mencegah pencabulan hak  asasi
  manusia,   mereka  berhak  campur  tangan  dalam   urusan
  rumahtangga negara-negara mana yang mereka suka.
  
  44.   Dengan dakwaan ini, maka jentera propaganda  mereka
  mula   membuat   tuduhan-tuduhan  tentang  kononnya   ada
  pencabulan  hak asasi manusia di sana-sini.   Demikianlah
  keangkuhan  mereka  sehingga  mereka  sanggup   menyerang
  negara-negara   kecil  secara  langsung   dan   menangkap
  pemimpin,  bahkan  Presiden sebuah negara  Amerika  Latin
  untuk  dibawa ke negara mereka dan dibicarakan  di  bawah
  undang-undang   mereka.   Bahawa   perbuatan   ini   amat
  bertentangan  dengan  undang-undang  antarabangsa   tidak
  sedikit pun dihiraukan oleh mereka.
  
  45.   Tetapi masih ada negara yang masih bersikap  bebas.
  Di  Timur terdapat banyak negara seperti ini yang  begitu
  maju  sehingga  mendakwa bahawa abad  ke-21  adalah  abad
  Asia, di waktu mana Asia akan menguasai dunia.
  
  46.   Dakwaan ini mempunyai asas kerana negara-negara  di
  Asia  begitu  besar  dan telah dapat menguasai  teknologi
  tinggi  dan mendirikan perniagaan yang tersebar  luas  di
  seluruh  dunia.  Rakyat Asia begitu cekap dan berdisiplin
  sehingga  ternampak  tidak  ada  sesuatu  kemahiran  yang
  mereka tidak dapat kuasai dengan paras yang tertinggi.
  
  47.   Melihat perkembangan ini maka bekas penjajah  barat
  mula merancang untuk menjajah semula.

  48.   Mereka akan menafi yang mereka mempunyai  rancangan
  untuk  menyekat  kemajuan  negara-negara  Timur.   Tetapi
  kita  tahu daripada sejarah kegiatan mereka di  Asia  dan
  di  wilayah-wilayah lain bahawa mereka  memang  mempunyai
  konspirasi  untuk  menentukan  mereka  terus  mendominasi
  dunia  ataupun   sekurang-kurangnya  mematah  kemungkinan
  mereka dicabar.
  
  49.   Dari  sejarah yang dibukukan oleh  seorang  penulis
  Amerika  sendiri  kegiatan menjatuhkan  pemimpin-pemimpin
  negara-negara  baru merdeka dilakukan  di  Indonesia,  di
  Vietnam, di Kampuchea dan di beberapa negara lain.  Tidak
  ada  negara  yang  dibenar aman dan maju  melainkan  yang
  pemimpinnya boleh diperalat dan dijadikan boneka mereka.
  
  50.   Dalam  dunia  unipolar, dunia  yang  dikuasai  oleh
  hanya  satu blok sahaja, tidak ada pilihan bagi mana-mana
  negara  menyeberang  ke blok yang lain.   Malangnya  jika
  negara  tunduk  kepada  kuasa  tunggal,  penindasan  akan
  berlaku  dan  kemajuan  akan  disekat.   Penjajahan  atau
  kolonialisme  masih hidup dan akan terus  hidup  walaupun
  dalam zaman maklumat alaf baru.
  
  51.   Malaysia bukan kuat.  Kita memang lemah.   Malaysia
  sebuah  negara  kecil  dengan  penduduk  berbilang  kaum.
  Antara   penduduk  ini  terdapat  kaum  Bumiputera   yang
  majoritinya  orang  Melayu.   Orang  Melayu  inilah  yang
  menjadi teras kewibawaan negara.
  
  52.   Amat  jelas  sekali untuk melumpuh  dan  memperkosa
  negara  ini,  orang Melayu mesti dipecah dan dilumpuhkan.
  Cara  untuk  melumpuh orang Melayu adalah banyak.   Awal-
  awal  lagi  orang Melayu telah dipecah dengan  penggunaan
  agama  oleh  orang yang berkepentingan.  Atas nama  Islam
  orang   Melayu  bermusuh  dengan  orang  Melayu.   Tetapi
  berkat    perpaduan   majoriti   Melayu    dalam    UMNO,
  penyalahgunaan  agama  oleh pihak  tertentu  tidak  dapat
  melumpuhkan orang Melayu.
  
  53.   Namun  bibit-bibit perpecahan  terus  berada  dalam
  masyarakat  Melayu di Malaysia.  Ia menunggu  sahaja  isu
  atau  peluang  untuk berkembang di celah-celah  keretakan
  yang berada dalam UMNO sendiri.
  
  54.   Pihak  kuasa asing sedar akan hakikat ini.   Mereka
  mencari  boneka  yang 'credible'.  Apabila  mereka  sudah
  kenalpasti  boneka  ini, mereka mengguna  kelemahan  yang
  ada  padanya  untuk  menguasainya.   Berbagai-bagai  cara
  diguna  untuk  menentukan boneka  ini  mengikut  telunjuk
  mereka.     Oleh   itu  layanan  yang   istimewa   diberi
  kepadanya.  Didikan tertentu diusahakan sehingga  ia  dan
  kroninya  dapat menyuara segala kehendak mereka. Akhirnya
  mereka  berharap boneka ini akan mengambil tempat sebagai
  pemimpin  negara dan mengikut telunjuk  mereka.    Secara
  tidak langsung penjajahan negara sudah berlaku.
  
  55.   Apabila  boneka yang telah mereka bela begitu  lama
  tiba-tiba   hilang    kemungkinan  ia  menjadi   pemimpin
  negara,  maka  kemarahan dalang asing   ini  tidak  boleh
  dikawal lagi lalu mereka memberi sokongan terbuka  kepada
  percubaan  boneka  mereka  untuk  melumpuhkan  kaum  yang
  menjadi teras pemerintahan negara.
  
  56.   Inilah yang sedang berlaku.  Ternampak jelas bahawa
  usaha untuk menjajah negara sudahpun dibuat. Kali ini  ia
  gagal.   Tetapi  tidak ada jaminan yang  percubaan  tidak
  akan dibuat lagi.
  
  57.   Namun  kunci  kepada jaya atau  tidaknya  percubaan
  kuasa  asing  untuk menjajah semula negara  tercinta  ini
  masih  ada  di tangan ahli-ahli UMNO.  Selagi UMNO  pukal
  dan  tumpat,  selagi  perpaduan dalam  UMNO  tidak  dapat
  dipecah,  selama itulah percubaan oleh kuasa asing  untuk
  melumpuh dan menakluk semula negara ini akan gagal.
  
  58.   UMNO  bukan sebarang parti.  UMNO adalah teras  dan
  tunjang  kepada parti yang memerintah negara,  iaitu  BN.
  Lemah  UMNO,  lemahlah  BN; lemah BN,  lemahlah  Kerajaan
  Malaysia  dan  lemah Kerajaan Malaysia  maka  terjajahlah
  Malaysia.
  
  59.   Demokrasi adalah sistem politik yang  terbaik  yang
  biasa   dicipta  oleh  manusia.   Tetapi  seperti  dengan
  ciptaan  manusia  yang lain, demokrasi ada  kelemahannya,
  bahkan   keburukannya.    Baik  buruk   demokrasi   bukan
  bergantung  kepada sistem atau perlembagaan  atau  aturan
  peraturan.   Baik  buruknya demokrasi  bergantung  kepada
  pengamal  demokrasi  sendiri.   Jika  pengamal  demokrasi
  cekap   dan   tahu   batasan-batasan   demokrasi,    tahu
  keburukannya  maka  pengamalan  demokrasi  akan   membawa
  kebaikan.   Sebaliknya  jika  pengamal  demokrasi   hanya
  asyik  dengan kebebasan yang diberi dan dengan itu  tidak
  menghiraukan  bahaya kebebasan ini, maka  demokrasi  akan
  memusnahkan  pengamalnya sehingga  mereka  tidak  mungkin
  dipulih lagi.
  
  60.    Pindaan-pindaan   yang  akan   dikemukakan   untuk
  pertimbangan   mesyuarat   khas   ini   bertujuan   untuk
  melindungi    parti   daripada   kemungkinan    kebebasan
  demokrasi   dalam  parti  disalahgunakan.   Pindaan   ini
  diharap  akan  menghalang amalan-amalan dan  kemungkinan-
  kemungkinan  urusan  parti, termasuk  pemilihan  pemimpin
  dalam parti,  memecahbelah dan melemahkan parti.
  
  61.   Pindaan-pindaan ini telah diteliti dengan rapi  dan
  sudah  tentu saudara-saudari perwakilan ke mesyuarat  ini
  akan  menelitinya  lagi.  Mungkin juga  pindaan  dicadang
  kepada  pindaan  yang  telah dikemukakan.   Mungkin  juga
  kita  meminda  pindaan  atau  menerima  pindaan.   Tetapi
  percayalah  perlembagaan tidak akan  menjamin  kewibawaan
  parti,   atau  pengekalan  parti.   Yang  dapat  menjamin
  kewibawaan  dan  pengekalan  parti  ialah  kefahaman  dan
  kebijaksanaan    ahli-ahli    parti    dalam     mengguna
  perlembagaan  yang  diluluskan.  Jika  kita  semua  dapat
  membentuk budaya yang mengutamakan kepentingan parti  dan
  matlamatnya maka akan berkesanlah perlembagaan yang  kita
  akan luluskan ini.
  
  62.    Budaya   yang   dimaksudkan  ialah   budaya   yang
  mengutamakan  perjuangan  parti  dan  bukan   kepentingan
  calon-calon   tertentu.   Mungkin  ada  yang  berpendapat
  bahawa  calon  mereka  begitu baik  sehingga  jika  ianya
  gagal  maka akan gagallah parti.  Mungkin benar.   Tetapi
  jika  dalam usaha untuk menjayakan calon berkenaan, parti
  dikorbankan  maka  ketaksuban  kepada  calon  tidak  akan
  mendatangkan  apa-apa hasil.   Yang  penting  ialah  kita
  tidak keterlaluan dalam usaha menjayakan calon kita,  dan
  jika  ia gagal maka hendaklah kita sanggup menerima calon
  yang dipilih oleh majoriti.
  
  63.   Selepas  pemilihan dibuat maka barisan  kita  mesti
  dirapatkan  semula  sehingga  tidak  ada  renggang   yang
  membenar  musuh  mencelah.  Ketegangan  semasa  pemilihan
  hendaklah  dilupakan dan tumpuan diberi kepada menjayakan
  matlamat  parti.  Ingatlah dalam politik tidak ada  kawan
  yang  kekal,  tidak  ada musuh yang kekal.   Belum  tentu
  dalam  pemilihan akan datang kita akan sokong calon  yang
  sama.   Pepatah kita ada berkata  "sekali air bah, sekali
  pantai berubah".
  
  64.   Parti  penting.  Individu tidak penting.   Individu
  datang dan individu pergi, tetapi parti kekal jauh  lebih
  lama.   Perjuangan  tidak  tamat kerana  individu  gagal.
  Tetapi perjuangan akan tamat jika parti  hancur.

 
 



 
Google