Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PWTC, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	18/12/98 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH 
			KECEMERLANGAN INDUSTRI 



        Saya   ingin   mengucapkan   terima   kasih   kepada
  Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri  kerana
  menjemput   saya   sekali  lagi  ke  Majlis   Penyampaian
  Anugerah   Kecemerlangan  Industri  ini.   Anugerah   ini
  merupakan penghargaan Kerajaan kepada sektor swasta  yang
  telah   mencapai   kecemerlangan   dalam   keluaran   dan
  perkhidmatan masing-masing.
  
  2.     Anugerah yang disampaikan pada petang  ini  adalah
  satu  pengiktirafan  Kerajaan dan  sebagai  galakan  agar
  industri   dapat   terus   meningkatkan   keupayaan   dan
  produktiviti  mereka  supaya mampu  bersaing  di  pasaran
  global.   Di  samping itu, nilai-nilai ketahanan  dalaman
  industri   perlu   diterapkan  untuk  membantu   industri
  menghadapi cabaran daripada globalisasi perdagangan.
  
  3.    Ekonomi  Malaysia  pada tahun ini  telah  mengalami
  kemerosotan dengan kejatuhan KDNK pada kadar 2.8  peratus
  pada  suku tahun pertama dan 6.8 peratus pada suku kedua.
  Permintaan aggregat turut mengalami kemerosotan.   Sektor
  perkilangan,  yang  merupakan  penyumbang  utama   kepada
  KDNK,  dianggar mengalami kejatuhan di dalam  pengeluaran
  sebanyak  5.8  peratus pada tahun ini, berbanding  dengan
  pertumbuhan  sebanyak  12.5  peratus  pada  tahun   1997.
  Adalah   penting   sektor  ini  digiatkan   semula   bagi
  menyumbang  kepada  perkembangan  KDNK.   Langkah-langkah
  sewajarnya    perlu   diambil   oleh    industri    untuk
  mempertingkatkan    prestasinya    melalui    peningkatan
  produktiviti,  pengurangan kos pengeluaran dan  penetapan
  harga  yang  kompetitif supaya penguasaan  pasaran  tidak
  tergugat, bahkan dapat diperluaskan.
  
  4.      Biasanya   pendekatan   defensif   dengan    cara
  pengurangan  kos "across the board" sering  diambil  oleh
  kebanyakan  industri untuk menangani situasi  kemelesetan
  ini.    Ini  boleh  merugikan  dalam  jangkamasa  panjang
  kerana   ianya   tidak   menggalakkan   industri    untuk
  bertindakbalas  secara  yang  tepat  ke  atas  perubahan-
  perubahan  yang berlaku daripada krisis ini.   Pendekatan
  jangkamasa  panjang yang lebih menguntungkan  yang  harus
  diambil    ialah    dengan   meningkatkan   produktiviti,
  mengurangkan masa proses, menambahkan jumlah  bahan  yang
  diproses   dan   memastikan  kualiti  keluaran   sentiasa
  terjamin.   Dengan peningkatan kecekapan di  dalam  semua
  fungsi  pengeluaran  dan pemasaran, keluaran  yang  lebih
  kompetitif serta berkualiti akan dapat dipasarkan.
  
  5.    Kerajaan   telah  mengambil beberapa  langkah  yang
  perlu  dan  sesuai  untuk  mewujudkan  persekitaran  yang
  dapat   merangsang   semula  kegiatan   dan   pertumbuhan
  ekonomi.     Kesan   positif   daripada   langkah-langkah
  tersebut   telah  mula  dilihat.   Kadar   faedah   telah
  diturunkan.   Tekanan  kecairan  dalam  sistem  perbankan
  telah  berkurangan.   Sektor-sektor yang  terjejas  teruk
  akibat  daripada krisis kewangan, seperti  automotif  dan
  pembinaan, telah dapat digerakkan semula.  Pasaran  saham
  telah  mula menunjukkan aliran meningkat.  Kerajaan yakin
  proses   pemulihan   ini   akan   dapat   dikembang   dan
  diperkukuhkan.
  
  6.    Di  peringkat  sekarang, adalah amat  penting  bagi
  industri  mengambil sikap yang positif dan tindakan  yang
  sesuai dan berkesan bagi menerajui proses pemulihan  ini.
  Cepat  atau  lambatnya  proses pemulihan  ini  bergantung
  kepada  cepat  atau lambatnya pihak swasta  dan  industri
  bertindak.
  
  7.      Untuk   mengukuhkan   lagi   kedudukan   imbangan
  pembayaran negara, segala langkah perlulah diambil  untuk
  menjimat dan menambah pertukaran asing.  Salah satu  cara
  ialah   dengan   memberi  perhatian  kepada   usaha-usaha
  mengurangkan  import.  Adalah diperhatikan bahawa  negara
  masih  bergantung kepada import untuk memenuhi sebahagian
  besar    keperluan   barangan   modal   dan   pengantara.
  Berdasarkan  statistik perdagangan luar, daripada  jumlah
  import  keseluruhan sebanyak RM173.6 bilion bagi   tempoh
  Januari  - September 1998, RM121.4 bilion atau 70 peratus
  merupakan  barangan  pengantara dan  RM28.8  bilion  atau
  16.6    peratus   barangan   modal.   Industri   perlulah
  mengalihkan  pergantungan kepada import  yang  berlebihan
  dan mengganti dengan keluaran tempatan yang setanding.
  
  8.     Industri  perlulah  memperlengkapkan  diri   untuk
  menghadapi    cabaran   globalisasi   dan    liberalisasi
  perdagangan.   Proses tersebut akan  terus  berjalan  dan
  akan  terus  diperjuangkan  oleh  negara-negara  maju  di
  berbagai-bagai  peringkat dan forum.  Perlindungan  tarif
  hanyalah  merupakan  perlindungan sementara.   Cara  yang
  berkesan  untuk menghadapi cabaran tersebut ialah  dengan
  industri  sendiri  mengamalkan  orientasi  global,  iaitu
  dengan menentukan bahawa barangan atau perkhidmatan  yang
  disediakan    menepati   kehendak-kehendak   antarabangsa
  daripada   setiap  segi,  termasuk  kualiti,  harga   dan
  ketepatan penghantaran.
  
  9.    Pengaruh dan kesan daripada proses globalisasi  ini
  akan  meresap  ke  segenap  ruang  aktiviti  perdagangan,
  bukan    hanya    tertumpu    kepada    industri     yang
  berorientasikan  eksport.   Bahkan  bagi  industri   yang
  mengeluarkan  barangan bagi kegunaan tempatan  juga  akan
  menghadapi    persaingan   luar,   memandangkan    proses
  pembukaan  pasaran melibatkan penurunan atau  penghapusan
  sekatan-sekatan  tarif  atau  bukan  tarif   di   pasaran
  tempatan,   yang  dahulunya  digunakan  untuk  melindungi
  industri tempatan.
  
  10.   Pengeluar-pengeluar tempatan perlu mempertingkatkan
  usaha  memperbaiki  keupayaan dan  kecekapan  pengeluaran
  untuk   melibatkan diri di dalam suasana persaingan  yang
  terbuka  ini.   Sekiranya saiz operasi  menjadi  halangan
  untuk   meningkatkan   daya  saing,   industri   perlulah
  mengambil  langkah ke arah penggabungan,  usahasama  atau
  perkongsian pintar, untuk menguatkan ketahanan mereka  di
  dalam arus persaingan ini.
  
  11.   Pengilang-pengilang  Malaysia   sememangnya   telah
  mencapai  kecemerlangan di peringkat  antarabangsa.   Ini
  terbukti  setelah  beberapa buah  syarikat  kita  berjaya
  meraih anugerah antarabangsa sebagai pengiktirafan  hasil
  kerja  mereka.   Namun, syarikat-syarikat tempatan  tidak
  harus   berpuashati  dengan  pencapaian  mereka  sehingga
  kini.    Mereka  perlu  lebih  giat  memperbaiki   kaedah
  pengeluaran  bagi meningkatkan produktiviti  dan  kualiti
  keluaran  supaya dapat terus menguasai dan  memperluaskan
  pasaran.
  
  12.   Syarikat-syarikat  Malaysia  perlu  lebih  berusaha
  mempelbagaikan  pasaran  mereka  bagi  mengimbangi  turun
  naik  iklim  perdagangan sesebuah  negara  atau  kawasan.
  Berdasarkan  maklumbalas peserta-peserta anugerah,  usaha
  mempelbagaikan  pasaran  ini  telah  mula   dilaksanakan.
  Beberapa   syarikat  telah  berjaya  menembusi   pasaran-
  pasaran  bukan tradisional di Afrika dan Amerika Selatan.
  Kejayaan  ini adalah hasil daripada ketekunan  pengusaha-
  pengusaha  Malaysia meningkatkan kualiti  dan  menawarkan
  barangan yang berdaya saing di pasaran antarabangsa.
  
  13.    Kerajaan   sememangnya  sentiasa  berusaha   untuk
  membantu   industri   serta  syarikat-syarikat   tempatan
  melalui  insentif  cukai, bantuan kewangan  dan  sokongan
  institusi.   Namun,  pergantungan yang berlebihan  kepada
  bantuan   Kerajaan  boleh  mendatangkan  kesan   negatif.
  Bantuan-bantuan  Kerajaan,  umpamanya  potongan  berganda
  untuk  eksport,  tabung  bantuan  teknikal  industri  dan
  program  vendor  adalah  hanya  untuk  sementara.   Ianya
  bertujuan  membantu syarikat di peringkat awal sahaja  di
  mana  keupayaan  mereka  terhad di  ketika  itu.   Adalah
  menjadi   tanggungjawab  sesebuah  syarikat  itu  sendiri
  untuk  terus  berkembang  atas  daya  usaha  mereka,  dan
  bukannya bergantung kepada bantuan Kerajaan semata-mata.
  
  14.   Salah satu unsur daya saingan yang ditekankan ialah
  produktiviti,  khususnya faktor produktiviti  keseluruhan
  ("total   factor   productivity"  -  TFP).    TFP   boleh
  dipertingkatkan melalui penyusunan semula  dan  pembaikan
  sistem  pengurusan, peningkatan kemahiran dan  kecekapan,
  pemakaian   teknik-teknik   pengurusan   yang    terbaik,
  perubahan  organisasi, pengkhususan, pemilikan  teknologi
  baru dan inovasi di dalam penggunaan teknologi sedia  ada
  serta  peningkatan di dalam penggunaan teknologi maklumat
  (I.T.).
  
  15.   I.T.  semakin memainkan peranan yang penting  untuk
  mengekalkan  persaingan antarabangsa.  Industri  perlulah
  membuat  pelaburan  yang  secukupnya  dalam  I.T.  supaya
  tidak  ketinggalan  dalam  persaingan,  termasuk  melatih
  kakitangan dalam penggunaan I.T.  Syarikat tempatan  juga
  perlu   memanfaatkan  perkembangan  I.T.  dan  komunikasi
  dalam   meningkatkan   keupayaan  mereka   dalam   bidang
  eksport.   Kebolehan  untuk  merebut  peluang  perniagaan
  melalui   teknologi   merupakan   faktor   utama    dalam
  memastikan    daya    saing    Malaysia    dapat    terus
  dipertahankan.   Kewujudan Koridor Raya Multimedia  (MSC)
  akan  memberi sokongan kepada syarikat-syarikat  Malaysia
  dalam  penggunaan I.T. dalam berbagai-bagai aspek operasi
  mereka    seperti   pengeluaran,   penyebaran   maklumat,
  pemasaran dan perdagangan.
  
  16.    Di   dalam   menghadapi   perubahan   persekitaran
  perniagaan   sejajar   dengan   perkembangan   teknologi,
  industri  perlulah  sentiasa berusaha untuk  meningkatkan
  kemampuan  mereka  terhadap bentuk-bentuk  keluaran  baru
  yang  mempunyai  nilai ditambah dan input kemahiran  yang
  tinggi.   Pelaburan di dalam teknologi perlu ditingkatkan
  bagi    mencetuskan    inovasi   dalam    industri    dan
  memperkukuhkan asas teknologi negara.
  
  17.    Usaha-usaha   ke  arah  pencapaian   kecemerlangan
  perlulah   sentiasa   ditekan  dan  dilaksanakan   kerana
  ukurannya  akan  terus meningkat pada  tahap  yang  lebih
  tinggi  dari semasa ke semasa.  Dalam hubungan ini   saya
  mengucapkan tahniah kepada syarikat-syarikat  yang  telah
  berjaya pada tahun ini.

 





 
Google