Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN
MALAYSIA (RTM)
Tarikh/Date : 31/12/98
Tajuk/Title : SEMPENA TAHUN BARU 1999
Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah Subhanahu wa
Ta'ala kerana dapat kita bertemu sekali lagi menjelang
tahun baru 1999. Masa berjalan begitu pantas sekali dan
esok kita akan memasuki tahun baru yang sudah tentu
menunggu kita dengan pelbagai peristiwa baru. Walaupun
begitu cepat waktu berlalu, pelbagai peristiwa suka dan
duka telah melanda negara kita tahun ini dan ia dilalui
oleh semua rakyat jelata. Sejak negara merdeka 41 tahun
lalu, tahun inilah tahun yang paling mencabar bagi kita
semua, baik rakyat mahupun negara.
2. Negara kita telah diuji dengan rentetan peristiwa
suka dan duka. Jika tidak kerana kekuatan yang ada di
dalam diri kita yang telah kita pupuk sekian lama sudah
tentu kita tidak dapat menghadapi cabaran dan dugaan
sepanjang tempoh tahun 1998. Kita mungkin telah lama
jatuh tersungkur dalam tahun ini. Tetapi alhamdulillah
rakyat dan negara kita berjaya mengharungi cabaran-
cabaran itu dengan hati yang penuh tabah dan semangat
yang kental.
3. Krisis ekonomi yang melanda negara kita sejak tahun
lalu masih lagi berterusan. Spekulator pedagang mata
wang masih dapat bergerak secara berleluasa tanpa
sebarang kawalan. Dunia masih belum dapat menerima
hakikat bahawa betapa kawalan atau peraturan perlu
dikenakan di dalam dagangan matawang. Kerana itu
pedagang matawang masih bebas menyerang mana-mana
matawang yang tidak dikawal untuk mendapat keuntungan
yang besar daripada kesengsaraan rakyat negara-negara
berkenaan.
4. Tetapi berkat langkah dan tindakan positif yang
diambil Kerajaan terutamanya mengadakan kawalan
matawang, keadaan kegawatan ekonomi di negara kita
semakin reda dan beransur pulih. Ekonomi negara kita
sekarang mulai stabil setelah diserang dengan teruk oleh
pedagang matawang asing tahun lalu. Tindakan-tindakan
memulihkan ekonomi yang dipelopori oleh Kerajaan kita
tanpa bantuan asing terutama melalui Majlis Tindakan
Ekonomi Negara telah berjaya menunjukkan kesan-kesan
positif. Banyak aktiviti ekonomi seperti pembinaan,
perniagaan kenderaan dan perumahan kembali aktif dan
berkembang semula. Peluang-peluang pekerjaan mulai
semakin banyak. Inilah salah satu cabaran besar yang
berjaya kita hadapi.
5. Tahun ini juga negara kita berjaya menganjurkan Sukan
Komanwel yang ke-16, sukan paling besar selepas Olimpik.
Kejayaan kita menganjurkannya telah menjulang nama baik
dan maruah kita sebagai rakyat sebuah negara membangun
yang jika diberi apa peluang pun akan berjaya
melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh yakin dan
berkesan. Kejayaan kita ini telah menjadi ukuran kepada
penganjuran Sukan Komanwel yang akan datang.
6. Selepas Sukom kita menghadapi cabaran untuk
mengadakan persidangan ekonomi bagi rantau Asia-Pasifik
atau APEC. Persidangan yang paling besar di rantau ini
juga berjaya dianjurkan oleh negara kita sebagai
tuanrumah dengan baik dan sempurna. Sekali lagi rakyat
negara kita membuktikan kebolehan mereka menganjurkan
satu peristiwa besar tanpa cacat cela. Syabas saya
ucapkan.
7. Bagaimanapun kegembiraan kita hampir sepanjang tahun
itu tidak berlalu begitu sahaja. Sebahagian ibunegara
kita tiba-tiba menjadi medan rusuhan setiap minggu oleh
sekelompok puak tertentu yang cuba menegakkan pendirian
mereka secara kekerasaan. Tanpa diduga, Kerajaan kita,
sebuah Kerajaan pilihan rakyat, telah dicabar oleh
segelintir puak itu supaya dijatuhkan secara yang tidak
demokratik.
8. Bagaimanapun, kita berasa amat bersyukur kerana dalam
tempoh yang singkat mereka yang terlibat itu sudah mulai
sedar bahawa bertindak secara kekerasan sebenarnya tidak
menguntungkan sesiapa malah lebih merugikan rakyat dan
negara. Peristiwa-peristiwa sedih dan ngeri yang
berlaku di sekeliling negara kita juga telah
menimbulkan kesedaran dan pengajaran kepada kita untuk
tidak bertindak di luar batasan undang-undang dalam
cubaan menyatakan pendirian atau menegakkan perjuangan
masing-masing.
9. Negara kita sebenarnya memang ada menyediakan
pelbagai ruang atau tempat atau wadah untuk menyuarakan
pendapat atau meluahkan perasaan. Dari peti undi,
mesyuarat persatuan, kegiatan NGO, kepada televisyen,
akhbar-akhbar termasuk akhbar-akhbar parti pembangkang,
parti-parti politik, wakil-wakil rakyat dan hinggalah ke
medan parlimen, setiap rakyat jelata berpeluang
menyuarakan pandangan mereka kepada sesiapa termasuk
Kerajaan. Inilah amalan kita selama ini.
10. Adalah tidak tepat untuk sesiapa menuduh bahawa
negara kita tidak memberi sebarang hak kepada mana-mana
rakyatnya untuk menyuarakan pendapat mereka. Malah ada
akhbar-akhbar asing yang bukan milik rakyat negara ini
pun bebas menulis mengenai negara kita dicetak di Kuala
Lumpur. Terdapat juga akhbar tempatan yang tidak pernah
ketinggalan mengkritik parti pemerintah dalam setiap
keluarannya.
11. Yang mungkin menjadi rungutan dalam soal hak
kebebasan bersuara ini ialah samada suara mereka itu
disokong ramai atau tidak. Pendapat mereka itu mungkin
pendapat minoriti dan bukannya majoriti. Sebab itu
timbul rasa tidak puas hati apabila pendapat mereka
tidak mendapat tempat dalam masyarakat. Lalu dituduh
parti permerintah tidak adil. Padahal suara mereka
sudahpun didengari oleh rakyat tetapi ia tidak mendapat
sambutan meluas.
12. Inilah yang perlu difahami oleh setiap phak terlebih
dahulu sebelum boleh ia menuduh Kerajaan tidak berlaku
adil kepadanya. Dalam amalan sistem permerintahan
demokrasi di negara kita suara ramai atau majoriti
adalah lebih utama walaupun suara minoriti tidak
diketepikan sama sekali.
13. Sebenarnya negara kita terlalu bebas. Kebebasannya
lebih hebat berbanding di tempat-tempat lain termasuk di
sesetengah negara maju yang mengenakan kawalan yang
lebih ketat terhadap rakyat mereka terutama dalam
kebebasan bersuara, kebebasan berakhbar, kebebasan
berhimpun, kebebasan perundangan dan kebebasan
berpolitik.
14. Kebebasan yang terdapat di negara kita memberi ruang
yang luas untuk mana-mana individu atau kumpulan untuk
bersuara atau bertindak. Hanya jika mereka
menyalahgunakan hak mereka atau melanggar peraturan atau
undang-undang negara barulah sekatan dikenakan ke atas
mereka. Selain daripada itu mereka adalah bebas
bersuara dan bergerak ke mana-mana seperti yang kita
lihat sekarang.
15. Jika mereka tidak berpuashati mengenai apa-apa
perkara samada yang melibatkan Kerajaan ataupun yang
bersangkutan hal peribadi, mereka berpeluang menggunakan
pelbagai saluran yang disediakan oleh Kerajaan untuk
menegakkan hak mereka termasuk melalui mahkamah. Sistem
perundangan negara kita sudah terbukti tidak menyebelahi
mana-mana pihak termasuk Kerajaan dalam membuat apa-apa
keadilan. Mereka sentiasa bersikap adil dan saksama.
Ini sudah dibuktikan jika kita mengkaji sejarah
kehakiman negara.
16. Jika kita tidak berpuashati tentang sesuatu perkara
terutama terhadap Kerajaan tidak perlulah kita bertindak
di luar tatasusila dan budaya kita sebagai orang timur.
Mengenepikan nilai-nilai murni budaya timur kita seperti
kesopanan, hormat menghormati, semangat bermesyuarah dan
saling kerjasama tidak akan membantu sesiapa mencari
penyelesaian ke atas sebarang masalah.
17. Kerajaan kecewa melihat beberapa peristiwa yang
berlaku baru-baru ini menunjukkan tindakan sekelompok
masyarakat kita yang di luar batasan orang timur.
Tindakan-tindakan yang mereka lakukan seperti perbuatan
merusuh, merosakkan harta benda, mencederakan
orangramai, memaki hamun dan menconteng dinding tempat-
tempat awam dengan kata-kata nista adalah amalan-amalan
orang Barat. Budaya buruk ini sudah mula menular dalam
masyarakat orang timur kerana mereka terpengaruh hasutan
orang luar bahawa itu adalah satu amalan demokrasi.
18. Bangsa kita terlalu tinggi darjatnya untuk melakukan
perbuatan-perbuatan buruk tadi. Bangsa kita terlalu
matang untuk bertindak memburukkan bangsa sendiri.
Kecualilah jika seseorang itu memang sudah dihasut atau
dipengaruhi untuk melakukan sesuatu yang buruk untuk
kepentingan pihak-pihak tertentu.
19. Pengalaman kita menunjukkan kejayaan sesuatu usaha
itu akan mudah tercapai jika ia dilakukan dengan penuh
tertib dan mengikut peraturan-peraturan yang telah
ditetapkan. Tanpa ketertiban atau disiplin yang tinggi
apa pun usaha yang dilakukan oleh kita tidak akan
mencapai keputusan yang baik. Masyarakat yang tanpa
disiplin atau tiada sebarang peraturan sudah pasti akan
hidup porak-peranda. Kekacauan pasti berlaku kerana ada
pihak yang akan sentiasa berusaha untuk menunjukkan
kekuatan mereka dalam masyarakat sedemikian.
19. Negara kita sudah merdeka selama 41 tahun. Ia juga
telah dibangunkan dengan pesat atas dasar kekuatan,
komitmen dan kerajinan yang ditunjukkan oleh rakyat kita
sendiri selama ini. Rakyat telah bersama-sama Kerajaan
membawa pelbagai jenis pembangunan dan kemajuan yang
diinginkan. Hasil daripada gandingan bahu rakyat dan
Kerajaan ini sekarang setiap daripada kita sedikit
sebanyak sudah dapat menikmati faedah pembangunan dan
kemakmuran negara.
20. Dasar-dasar pembangunan negara termasuk Dasar
Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Negara telah banyak
memberikan keadilan kepada rakyat kita pelbagai kaum
menikmati kemakmuran dan kekayaan negara. Samada secara
langsung atau tidak langsung setiap rakyat sekurang-
kurangnya telah mendapat habuan masing-masing. Masing-
masing berpeluang merebut kekayaan negara secara adil
dan samarata. Bagaimanapun, mereka yang lebih berusaha
akan mendapat lebih habuannya.
21. Kita sebenarnya masih jauh dari ambang kejayaan.
Perjalanan kita menuju wawasan 2020 masih panjang dan
terlalu sukar. Kita masih perlu berusaha lebih gigih
lagi malah kita hendaklah berusaha berlipat ganda lagi
untuk menjayakan cita-cita besar kita ini. Kita perlu
berkerja lebih kuat kerana kedudukan kita sudah tidak
seperti dahulu setelah kita ketinggalan akibat angkara
krisis matawang dan kegawatan ekonomi. Kedudukan
ekonomi kita tidak lagi seteguh dahulu iaitu sebelum
ekonomi kita diserang oleh pedagang-pedagang matawang.
22. Pengalaman yang kita lalui sepanjang tahun ini
membuktikan kita masih lemah dalam menghadapi cabaran
dan ancaman dari luar negara dan menangani perkara-
perkara yang di luar kawalan kita. Kita telah lihat
bagaimana orang luar secara terang-terangan ingin
mencampuri hal ehwal urusan dalam negara kita atas hak
asasi manusia, keadilan undang-undang dan dasar
demokrasi mengikut acuan mereka.
23. Kita melihat bagaimana kedaulatan dan kemerdekaan
rakyat dan negara kita diperkotak-katikan oleh orang
luar. Mereka mencampuri urusan politik negara kita.
Mereka mencampuri dalam urusan perundangan negara kita.
Dan mereka mencampuri urusan pemulihan ekonomi negara
kita.
24.Peristiwa-peristiwa ini menunjukkan betapa kuasa-
kuasa asing ini mempunyai niat buruk untuk memusnah dan
menguasai negara-negara yang cuba bangun daripada
kemiskinan dan kemunduran untuk maju setanding dengan
mereka. Mereka ingin melihat negara kita lemah dan
porak peranda supaya cita-cita wawasan 2020 kita menemui
kegagalan. Mereka tidak mahu melihat kita kelak
bersaing dan mencabar kedudukan mereka dalam dunia
ekonomi dan politik antarabangsa yang mereka kuasai atau
monopoli selama ini.
25. Kita melihat bagaimana mudahnya mereka cuba
menentukan hala tuju negara kita. Mereka tanpa segan
silu ingin mencorakkan kepimpinan negara kita supaya
mudah mengikut jari telunjuk mereka. Mereka dengan
sombongnya mengecam langkah-langkah pemulihan ekonomi
kita terutama dalam pasaran matawang dan pasaran saham
kita kerana kononnya ia menyekat kebebasan mereka untuk
berdagang di negara kita.
26. Jadi di manakah letaknya kemerdekaan rakyat dan
negara kita jika kita tunduk kepada semua kehendak
mereka? Di manakah kedaulatan kita jika nasib hidup
kita ditentukan oleh orang asing? Di manakah hendak
diletakkan maruah bangsa, negara dan agama kita jika
kita terus dipermain dan dihina sesuka hati mereka?
Adalah jelas sekali peristiwa akhir-akhir ini yang
menimpa negara kita menunjukkan mereka benar-benar ingin
menjajah semula rakyat dan negara kita.
27. Inilah yang harus diawasi oleh rakyat kita jika kita
tidak mahu dijajah semula oleh orang asing. Rakyat di
segenap lapisan harus sentiasa berwaspada terhadap musuh-
musuh negara yang akan cuba memperalatkan mereka untuk
kepentingan kuasa asing. Mungkin dalam usaha untuk
menegakkan perjuangan yang baik kita telah dialatkan
oleh kuasa asing tanpa kita menyedarinya.
28. Alangkah malangnya nasib bangsa dan negara kita jika
fikiran dan jasad kita dijajah semula oleh orang asing
melalui tekanan-tekanan sosial, ekonomi dan politik ini.
Penguasaan terhadap kita secara halus dan licik oleh
kuasa asing ini harus kita sedari dan insafi. Kita
tidak mahu lagi bangsa dan negara kita dijajahi semula
oleh kuasa-kuasa asing seperti yang ibubapa dan nenek
moyang kita lalui sebelum 1957.
29. Cukuplah dengan penderitaan dan kesengsaraan
kehidupan yang dilalui oleh mereka. Sanggupkah kita
melihat pula anak cucu kita melalui kehidupan seperti
itu? Sudah tentu kita tidak mahu ianya menjadi
kenyataan.
30. Sempena menyambut tahun baru 1999 ini saya berdoa
agar rakyat terus berdisiplin dan tabah hati dalam
menghadapi cabaran dan dugaan dalam tahun-tahun akan
datang ini hinggalah menjelang ke alaf baru. Kita mesti
kuatkan tekad dan semangat serta bersatu padu dalam
menghadapi sebarang tekanan atau ancaman terhadap bangsa
dan negara kita di masa depan. Tanda-tanda ekonomi
negara kita semakin pulih sudahpun kelihatan dan saya
berharap kedudukan kita pada tahun depan akan menjadi
lebih baik agar rakyat terus dapat hidup aman, bahagia
dan makmur.
31. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya tidak lupa
untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh
anggota pasukan keselamatan kita terutama polis dan
tentera yang telah berkorban dan terus menunjukkan
ketaatsetiaan yang tidak berbelah-bahagi dalam
menjalankan tugas menjaga keselamatan rakyat dan
keamanan negara. Jasa mereka semua akan tetap dikenang
dan dihargai oleh rakyat dan Kerajaan. Kepada seluruh
kakitangan awam saya juga mengucapkan syabas kerana
mereka telah melaksanakan tugas masing-masing dengan
penuh amanah, tanggungjawab dan cemerlang.
Kecemerlangan ini hendaklah diteruskan lagi pada tahun
hadapan dan tahun-tahun akan datang.
Terima kasih dan Selamat Menyambut Tahun Baru
|