Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 18/01/99
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI
Syukur kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana
sekali lagi umat Islam di negara kita dapat menyambut
Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan aman tenteram dan
penuh kegembiraan walaupun negara masih menghadapi
kegawatan ekonomi. Setiap tahun orang Islam di Malaysia
dapat merayakan hari kebesaran agama Islam dengan
sempurna dan bebas. Malah orang Islam di negara kita
dapat menukar pakaian baru, menyedia pelbagai juadah kuih
muih, menghias rumah mereka dan pulang ke kampung melawat
sanak saudara dan sahabat handai semasa menyambut Hari
Raya ini. Semua ini dapat dilakukan tanpa sebarang
masalah besar.
2. Saya sebutkan perkara ini kerana hendak mengingatkan
diri kita betapa bertuahnya umat Islam di Malaysia ini.
Setiap tahun dalam perutusan saya menjelang Hari Raya
Aidilfitri, malah dalam banyak acara lain, saya selalu
menyeru rakyat negara kita terutama orang Islam supaya
sentiasa bersyukur kepada Tuhan akan segala nikmat yang
dicurahkan ke atas kita selama ini. Kita harus sentiasa
bersyukur kerana al-Quran ada menyebut bahawa barang
siapa yang bersyukur maka Allah akan menambahkan nikmat
kepadanya.
3. Sewaktu kita menyambut Hari Raya ini kita harus
merenung sejenak akan nasib umat Islam di negara-negara
lain. Ramai antara mereka hidup dalam keadaan tertekan,
tertindas dan dihina.
4. Di masa kita di Malaysia bersukaria merayakan
Aidilfitri ada antara mereka yang terpaksa menyambutnya
dalam ketakutan kerana bimbang mereka akan diserang
dengan bom dan roket. Terdapat juga umat Islam yang
terus terpaksa berperang untuk mempertahankan diri,
walaupun semasa hari-hari perayaan seperti Aidilfitri.
Ada juga umat Islam yang menghadapi kebuluran kerana
sekatan bekalan yang dikenakan ke atas negara mereka. Ada
pula yang sudah menjadi miskin kerana tekanan ekonomi
yang disengajakan sehingga tidak dapat membeli makanan,
ubat-ubatan dan susu untuk anak.
5. Justeru itu kita umat Islam di Malaysia harus benar-
benar bersyukur. Tetapi tidaklah memadai jika kita hanya
menyatakan kesyukuran kita dengan penuh keikhlasan hati.
Kesyukuran kita hendaklah disertai dengan tindakan-
tindakan yang membuktikan kebenaran kesyukuran kita.
Jika kita hanya berkata dalam hati bahawa kita bersyukur
tetapi di masa yang sama kita membuat sesuatu yang
melemahkan umat Islam dan mendedahkan mereka kepada
tekanan dan penindasan orang lain, maka kesyukuran kita
itu sudah tidak bermakna lagi. Antara perbuatan yang
menidakkan kesyukuran kita ialah bermusuh-musuhan sesama
Islam, mencetuskan huru-hara dalam masyarakat Islam,
menghalang kemajuan dan kemampuan orang Islam dalam
bidang ilmu pengetahuan dan kecekapan yang diperlukan
bagi mengukuhkan ketahanan umat Islam dan lain-lain lagi.
6. Sepatutnya semasa kita mengejar kemewahan hidup diri
kita tidak akan lupa akan tanggungjawab kita kepada
agama, bangsa dan negara kita. Negara kita adalah
tanggungjawab kita. Kita harus bersatu padu, bermuafakat
dan saling bekerjasama dalam memaju dan memakmurkan semua
rakyat dan negara kita. Jika kita mementingkan diri
sendiri semata-mata maka akan rosaklah negara kita.
Bahawa negara kita adalah negara berbilang kaum dan agama
tidak bermakna kita tidak perlu memelihara keamanan dan
ketahanan negara ini. Sebabnya ialah jika ada rusuhan
sesama rakyat berbilang kaum di Malaysia, orang Islam
juga akan menjadi mangsa sehingga mungkin mereka menjadi
lemah dan dikuasai oleh orang lain. Justeru itu kita
umat Islam di Malaysia harus memelihara keamanan dan
ketenteraman dalam negara kita.
7. Saya berasa amat bersyukur kerana tekanan kegawatan
ekonomi ke atas negara kita sejak tahun 1997 berjaya kita
bendung dengan baik. Inilah Aidilfitri yang kedua kita
sambut dalam suasana negara masih dilanda dengan kesan
kegawatan ekonomi. Walaupun kedudukan ekonomi negara
masih terjejas tetapi ia tidaklah sehingga sambutan
untuk Hari Raya Aidilfitri menjadi tidak meriah. Saya
percaya ini adalah kerana setiap rakyat negara kita
bersikap rasional, tenang dan tidak mudah dihasut.
8. Sebenarnya rakyat kita amat disiplin dan sabar dalam
menghadapi bencana kegawatan ekonomi ini. Mereka tidak
panik atau hilang haluan. Mereka sanggup berkorban dan
berusaha keras menambahkan produktiviti dan hasil
pendapatan negara supaya ekonomi dapat dipulihkan. Rakyat
pada keseluruhannya berdiri teguh bersama Kerajaan. Sebab
itu usaha pihak tertentu untuk menghancurkan ekonomi kita
sehingga kita tunduk kepada mereka telah gagal.
9. Oleh kerana melalui Dasar Ekonomi Baru kita berjaya
mengagihkan kekayaan negara ini secara saksama di antara
kaum, kegawatan ekonomi tidak menyebabkan kita hilang
akal, merusuh dan bertindak ganas. Dengan itu iklim
perniagaan terus baik dan pengangguran tidak banyak
berlaku. Sebenarnya tidak akan ada sesiapa yang akan
menganggur jika ia sanggup bekerja. Dengan berusaha
dengan lebih gigih dan menaikkan produktiviti kita,
kegawatan dapat diatasi dengan mudah dan pantas.
Kemungkinan ini bertambah apabila Kerajaan berjaya
membebaskan ekonomi kita daripada tekanan oleh pedagang
matawang dan spekulator saham luar negeri.
10. Di samping usaha dan sikap rakyat, Kerajaan juga
memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Kuasa
yang diberi kepada Kerajaan oleh undang-undang dan
Perlembagaan bertujuan untuk melindungi negara dan rakyat
daripada ancaman yang datang dari mana-mana pihak. Dengan
kuasa ini Kerajaan dapat menguasai semula nilai matawang
dengan menyekat Ringgit daripada dijual-beli oleh
pedagang matawang, seolah-olah matawang adalah satu jenis
bahan mentah yang sama dengan kopi atau gula.
11. Sebenarnya matawang tidak berharga melainkan jika
Kerajaan memberi nilai kepadanya. Wang kertas RM1.00
bukan bernilai RM1.00 daripada segi harga kertasnya. Ia
bernilai RM1.00 kerana itulah nilai yang ditetapkan oleh
Kerajaan. Jika Kerajaan mencetak angka lima atau sepuluh
maka nilai kertasnya tidak naik kepada RM5.00 atau
RM10.00. Hanya pengakuan dan jaminan Kerajaan yang
menjadikannya bernilai sebanyak mana yang ditentukan.
12. Wang ini tidak boleh dijual sebagai bahan mentah
kerana ia bukan bahan mentah yang mempunyai kegunaan
tertentu. Justeru itu adalah tidak wajar matawang
diniagakan. Sudah tentu peniaga tidak boleh dengan
sewenang-wenangnya menukar nilai matawang.
13. Tetapi mereka menukar nilai matawang dengan menukar
jumlah Dolar Amerika yang boleh ditukar dengan matawang
tertentu. Dengan cara ini mereka mengambilalih kuasa
Kerajaan. Dengan dijual-beli matawang dengan Dolar
Amerika mereka meraih keuntungan yang amat besar.
14. Apa yang terjadi kepada negara dan rakyat tidak
dipedulikan oleh mereka. Yang mereka utamakan ialah
keuntungan besar bagi mereka, keuntungan yang berjumlah
berbilion-bilion dolar.
15. Ternampak jelas pedagang matawang ini amat tamak dan
tidak boleh dibenarkan menguasai nilai matawang. Oleh
itu Kerajaan bertindak untuk menghalang mereka daripada
memperolehi Ringgit kita untuk dijual-beli.
Alhamdulillah, tindakan ini berjaya.
16. Saya yakin kegawatan ekonomi akan reda menjelang
abad ke-21. Saya menyeru rakyat supaya tidak mencuba
menggagalkan usaha Kerajaan tetapi sebaliknya berusaha
dengan lebih kuat untuk menghidupkan semula segala
aktiviti ekonomi negara. Saya percaya jika setiap rakyat
bersatu hati dan sehaluan, negara kita akan dapat kembali
kepada kedudukan asal dalam tempoh yang singkat.
17. Dalam beberapa bulan lagi kita akan memasuki abad ke-
21 dan alaf baru. Zaman baru ini akan datang dengan
pantasnya bersama-sama pelbagai cabaran dan dugaan. Kita
tidak akan tahu nasib kita di masa akan datang ini --
baik atau buruk. Tiada siapa dapat menduganya kecuali
apabila kita berdepan dengannya. Sama ada umat Islam
sudah bersedia menghadapi zaman baru ini atau tidak
adalah sukar untuk diukur.
18. Tetapi jika abad ke-20 dijadikan ukuran, umat Islam
di seluruh dunia sekarang memang tidak mempunyai apa-apa
persediaan dalam menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman.
Sejarah yang lalu dan keadaan semasa menunjukkan umat
Islam semakin hari semakin lemah dan tidak berupaya
mengatasi cabaran. Bukan sahaja daripada segi penguasaan
ilmu dan kecekapan moden umat Islam lemah, tetapi mereka
juga tidak patuh kepada ajaran Islam berkenaan dengan
perpaduan dan persiapan menghadapi serangan seperti yang
ditegaskan dalam al-Quran.
19. Abad baru ini akan memperlihatkan percubaan untuk
menghapuskan sempadan-sempadan antara negara-negara dalam
proses yang dinamakan globalisasi. Malangnya proses ini
dihadkan kepada pergerakan modal sahaja. Penghijrahan
oleh rakyat negara miskin ke negara yang maju dan kaya
tidak akan dibenarkan. Demikian juga teknologi negara
maju tidak boleh dipindahkan ke negara membangun walaupun
tidak ada sempadan yang memisahkan negara maju dari
negara membangun.
20. Dengan globalisasi dan penghapusan sempadan kepada
pergerakan modal, negara dan umat Islam akan terdedah
kepada bahaya yang amat besar. Jika umat Islam masih
bersengketa sesama sendiri, masih menolak penguasaan ilmu
dan teknologi moden, masih tidak tersusun rapi daripada
segi organisasi dan ketertiban, bahaya yang akan datang
ini tidak akan dapat dihadapi dan diatasi oleh umat
Islam. Kita bukan sahaja tidak mempunyai harapan untuk
mengembalikan zaman kegemilangan Islam tetapi kita akan
menjadi lebih lemah dan mundur dari keadaan sekarang.
21. Kita boleh menyalahkan musuh-musuh Islam jika mereka
melontar bom dan roket ke atas kepala kita, tetapi kita
juga tidak kurang bersalah, bahkan berdosa kerana tidak
mengamalkan ajaran Islam berkenaan penguasaan ilmu dan
persediaan untuk pertahanan. Pada satu masa dalam
sejarah Islam terdapat kuasa dunia yang terdiri daripada
negara Islam. Tetapi kerana beberapa kesilapan, semua
kuasa besar Islam telah ditewaskan, yang terakhir pada
Perang Dunia Pertama dalam dekad kedua, abad ke-20. Sejak
itu tidak ada usaha di kalangan umat Islam dan negara-
negara Islam untuk membangunkan negara supaya setanding
dengan kuasa-kuasa dunia yang lain.
22. Bukanlah niat kita untuk menguasai dunia tetapi jika
ada sebuah negara Islam yang diiktiraf sebagai kuasa
dunia, sudah tentu tidak akan ada mana-mana kuasa dunia
lain yang akan menindas orang Islam dan negara Islam
dengan sewenang-wenangnya.
23. Sebenarnya terdapat negara Islam yang kaya-raya.
Umat Islam pula tidak kurang daripada segi kebolehan
menerap ilmu dan teknologi canggih. Tetapi oleh kerana
tidak ada tekanan dalam ajaran Islam oleh pihak tertentu,
maka keadaan yang sesuai dengan penguasaan ilmu dan
teknologi dan juga pengurusan moden tidak terdapat di
negara Islam. Dengan itu negara Islam tidak dapat
dibangunkan sehingga menjadi kuasa dunia.
24. Yang lebih menyedihkan lagi ialah ajaran Islam
dibelakangkan sehingga apa yang dilarang di amalkan.
Negara-negara Islam sering berkelahi dan berperang sesama
sendiri. Mereka sanggup bersubahat dengan musuh Islam
kerana ingin mengalahkan negara Islam lain. Mereka
menghabiskan kekayaan mereka membeli senjata yang dijual
oleh pihak asing guna untuk meneruskan peperangan sesama
mereka.
25. Inilah sebabnya yang kita orang Islam tidak boleh
menyalahkan musuh-musuh Islam sahaja. Orang Islam
sendiri tidak kurang bersalah. Mereka tidak mengikuti
ajaran Islam, baik berkenaan dengan penguasaan ilmu dan
persediaan pertahanan mahupun desakan supaya umat islam
bersatu dan bersaudara.
26. Kita tahu dan kita sering berbangga bahawa di zaman
kegemilangan Islam, orang Islamlah yang meneroka dan
menguasai semua ilmu. Walaupun mereka tetap menghabiskan
masa yang panjang mengejar ilmu yang bukan khusus
berkenaan agama, pegangan mereka kepada Islam tidak
luntur. Sebenarnya ramai daripada pakar dalam bidang
sains, matematik, pelayaran dan lain-lain ilmu, juga
pakar dalam bidang agama. Dan masyarakat Islam di zaman
kegemilangan ilmuan kukuh dengan pegangan kepada ajaran
Islam.
27. Ini menunjukkan bahawa iman penganut agama Islam
tidak akan menjadi lemah semata-mata kerana mengejar ilmu
yang tidak khusus tertumpu kepada agama. Tidak ada
kekhuatiran bahawa menuntut ilmu yang bukan khusus
berkenaan dengan agama akan melemahkan iman.
28. Jika umat Islam ingin mengembalikan zaman
kegemilangan Islam maka kita harus pandai membahagikan
masa antara pelajaran yang khusus berkenaan dengan agama
dan pelajaran ilmu-ilmu yang boleh menolong kita
menunaikan fardu kifayah -- iaitu mempertahankan negara
dan umat Islam. Masanya sudah tiba bagi kita memikirkan
dengan mendalam berkenaan perkara ini.
29. Malaysia adalah sebuah negara yang kecil dengan
kekayaan yang sederhana. Umat Islam di Malaysia hidup
sempurna dan berpeluang untuk mengamalkan ajaran Islam
yang sebenar supaya dengan itu kita dapat meningkatkan
ketahanan kita. Walaupun kita tidak mungkin menjadi
kuasa besar, sedikit-sebanyak dapat juga kita
menyumbangkan kepada pertahanan umat Islam. Umpamanya
kita dapat menghantar pasukan tentera kita ke Bosnia
Herzegovina. Kehadiran mereka di sana telah menaikkan
sedikit semangat penduduk Islam yang diserang oleh puak
Serb. Ini adalah bukti yang jelas bahawa dengan sedikit
usaha daripada kita, sudahpun mencukupi untuk kita
bertindak dengan berkesan untuk melindungi umat Islam.
Jika seluruh umat Islam berusaha, walaupun sedikit,
kesannya sudah mencukupi bagi melindungi umat Islam di
seluruh dunia.
30. Justeru itu, rakyat terutama umat Islam di negara
ini harus berusaha untuk merebut peluang-peluang yang
disediakan bagi memajukan bangsa dan negara kita. Kita
tidak boleh lagi berpeluk tubuh dan melihat orang lain
terus maju seiring dengan kemajuan dunia. Kita tidak
harus berpuashati dengan pencapaian dan kejayaan kita
setakat ini. Kita tidak harus berada di takuk lama dan
mengekalkan tabiat-tabiat yang usang dan buruk yang tidak
menguntungkan kita selama ini. Kita tidak boleh
membiarkan orang lain selalu mendahului kita. Kita harus
dikejar dan bukannya mengejar orang lain.
31. Saya menyeru semua rakyat terutama umat Islam supaya
lebih aktif untuk memajukan diri masing-masing dalam
menempuh alaf baru ini. Kehidupan ala kadar atau cepat
berpuashati dengan sedikit kejayaan tidak akan membawa
kita ke mana. Perpatah Melayu "rezeki secupak tidak akan
menjadi segantang" tidak berasas. Beras secupak boleh
bernilai segantang jika ditambah nilai dengan memasak dan
menjualnya.
32. Tepuk dada tanya selera. Kini terpulang kepada umat
Islam dan rakyat kita untuk membuat pilihan sama ada
bersedia untuk maju atau masih mahu berada dalam zaman
hidup lama -- zaman umat Islam, bangsa dan negara kita
lemah, miskin dan mundur. Kita tidak boleh lagi
berpegang kepada adat resam atau tradisi lama atau
memegang kepada ajaran agama yang tidak mempunyai asas
yang benar yang melemah dan membantutkan kemajuan kita.
33. Kita hendaklah membina tekad baru. Kita harus
berjanji kepada diri kita untuk membawa bangsa, negara
dan agama kita ke arah kemajuan. Kita harus berazam
untuk berusaha mengembalikan kegemilangan dan
kecemerlangan agama dan umat Islam yang terdahulu.
InsyaAllah.
34. Esok kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri
setelah sebulan kita menahan lapar dan dahaga dengan
berpuasa. Kita telah berjaya melawan nafsu yang menduga
kekuatan dan keupayaan kita sebagai orang Islam dalam
menghadapi pelbagai ujian dan dugaan. Kita harap
kekuatan dan ketahanan diri yang dibina dalam semangat
kita selama sebulan Ramadan ini akan terus berkekalan dan
menjadi bekalan kita dalam menghadapi cabaran hidup akan
datang.
35. Sempena kita menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun
ini, saya bagi pihak Kerajaan, diri saya, isteri saya dan
keluarga saya memohon maaf zahir dan batin atas apa juga
kesalahan dan kesilapan kami terhadap sesiapa.
36. Kepada umat Islam saya ucapkan Selamat Hari Raya
Aidilfitri yang mulia. Kepada anggota-anggota pasukan
keselamatan yang kini sedang bertugas menjaga keselamatan
negara dan keamanan dunia di luar negara juga saya
ucapkan selamat berhari raya.
|