Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BUKIT KIARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 26/02/99
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN PUSAT
PERKEMBANGAN INDUSTRI
SEKURITI DAN SURUHANJAYA SEKURITI
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak
Suruhanjaya Sekuriti kerana menjemput saya untuk
merasmikan Bangunan Suruhanjaya Sekuriti ini yang turut
menempatkan Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC)
pada hari ini.
2. Dalam beberapa hari lagi, Suruhanjaya Sekuriti
akan menyambut ulangtahunnya yang keenam. Sejak
ditubuhkan pada Mac 1993, banyak yang sudah dicapai
oleh Suruhanjaya ini. Perasmian bangunan yang moden
dan pintar ini yang juga mencantumkan rekabentuk
tradisi dengan ciri-ciri Islam, bolehlah dianggap
sebagai mencerminkan aspek fizikal pencapaian semasa
Suruhanjaya ini.
3. Dengan adanya bangunan ini, saya yakin kebanyakan
tugas pengawasan, pengawalseliaan dan pembangunan
pasaran modal dapat dilaksanakan dalam suasana yang
lebih selesa dan dengan kemudahan yang canggih.
Semuanya yang disediakan ini bukan sahaja memberi
manfaat kepada kakitangan Suruhanjaya, malah kepada
pihak luar dan juga orang awam yang terbabit dalam
usaha membentuk kestabilan, menggalakkan pembangunan
dan merangsang pertumbuhan pasaran modal yang penting
sebagai penjana kewangan bagi kemajuan ekonomi negara.
4. Saya mengalu-alukan falsafah kerjasama termasuk
kerjasama di antara sektor awam dan swasta, di antara
pengawalselia dan yang dikawalselia, kerjasama yang
melibatkan orang awam dan Kerajaan serta agensi-agensi
penyeliaan. Saya mengucapkan tahniah kepada Pengerusi
Suruhanjaya kerana mempunyai pandangan jauh semasa
penubuhan Suruhanjaya ini untuk membentuk SIDC yang
saya difahamkan akan mengisi 45 peratus daripada
jumlah keseluruhan ruang bangunan yang amat luas ini.
5. Dalam era teknologi maklumat dan masyarakat
berilmu, sudah semestinya banyak yang dapat dimanfaatkan
menerusi perkongsian dan kerjasama bagi kebaikan
bersama. Adalah penting kita bekerjasama untuk
membangunkan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang
lebih maju dan makmur. Saya gembira melihat
kecenderungan positif yang selama ini dipamerkan oleh
Suruhanjaya Sekuriti berhubung perkara ini dan kini
wujud pula kemudahan fizikal yang mengkagumkan yang
diharap dapat meningkatkan lagi kerjasama yang sudah
sedia terjalin.
6. Seperti kita maklum, negara masih mengalami
kegawatan dan kemelesetan ekonomi. Sementara kita sedar
bahawa keadaan yang buruk ini disebabkan oleh pedagang
matawang dan pelabur jangka pendek memainkan kemudahan
pasaran terbuka yang kita amalkan di negara ini, kita
tidak boleh menafikan adanya amalan-amalan yang tidak
baik yang kita sendiri amalkan dalam pasaran saham
kita. Amalan-amalan ini yang menjadikan kita lemah dan
mudah diserang.
7. Pasaran saham sebenarnya wujud untuk mengumpul
modal untuk pelaburan. Kos modal daripada pasaran saham
bukan sahaja lebih murah daripada kos pinjaman bank
tetapi modal yang dikumpul yang lebih daripada nilai
sebenar saham yang ditawarkan boleh membantu perniagaan.
Malangnya ramai yang lebih berminat untuk meraih
keuntungan daripada perniagaan saham dan bukan daripada
perniagaan yang sebenar.
8. Rebutan saham yang berlaku semasa 'Initial Public
Offer' (IPO) yang menyebabkan kenaikan nilai saham
kerapkali tidak ada kaitan sama sekali dengan potensi
perniagaan atau nilai asetnya. Pihak-pihak yang
mendapat komisyen dan 'capital gains' daripada kegiatan
jualbeli ini tidak mengambilkira bahaya kenaikan nilai
saham yang keterlaluan. Hanya apabila nilai ini jatuh
dengan teruknya, barulah masing-masing meraung.
9. Apabila pasaran saham diserang oleh pihak tertentu
yang ingin mendapat keuntungan melalui 'short-selling',
maka nilai saham jatuh dengan teruknya. Mereka yang
berhutang dari bank dan bank yang memberi hutang kepada
mereka semuanya menghadapi masalah.
10. Di Malaysia kejatuhan nilai Ringgit dan Indeks
Komposit Saham tidak menjadi masalah besar kepada orang
ramai yang tidak main pasaran saham, sekurang-kurangnya
dalam jangka pendek. Tetapi ia menjadi masalah besar
kepada bank, syarikat-syarikat dan pemegang saham.
Kerajaan juga merasai bahang daripada kejatuhan nilai
saham ini kerana syarikat-syarikat tidak memperolehi
keuntungan, bahkan rugi dan tidak menyumbang kepada
hasil kewangan Kerajaan melalui cukai korporat yang
dikenakan.
11. Orang asing tertentu menuduh bahawa kegawatan
ekonomi disebabkan oleh amalan kronisme dan nepotisme di
Malaysia. Sebenarnya tuduhan ini dibuat untuk melindung
kesalahan pedagang matawang yang telah menyalahguna
kemudahan pasaran terbuka untuk meraih keuntungan besar
bagi diri mereka. Amat malang sekali ada rakyat
Malaysia yang semuanya mendapat nikmat daripada
pertumbuhan ekonomi yang pesat turut menyahut tuduhan
penyangak asing ini. Tiap perkataan yang dilafazkan
oleh orang asing ini akan diulangi tanpa memikir oleh
orang tertentu di Malaysia. Lebih daripada itu mereka
ini mendesak Kerajaan supaya mengikut sahaja apa yang
disuruh oleh orang asing ini. Mereka ini tidak dapat
memikir bahawa orang asing ini mungkin salah dan kita
mungkin betul. Walaupun kita sudah merdeka, ternampak
jelas pemikiran mereka ini belum lagi dibebaskan.
12. Sebenarnya yang menyebabkan orang asing ini menuduh
kita mengamalkan kronisme dan nepotisme ialah kerana
penswastaan kita tidak bermakna menjual segala-gala yang
dimiliki oleh Kerajaan kepada mereka sepenuhnya. Di
kebanyakan negara membangun, oleh kerana rakyat tidak
mempunyai modal dan kepakaran, penswastaan bermakna
menjual kepada orang asing untuk mendapat dolar Amerika
bagi membayar hutang. Di Malaysia penswastaan bermakna
menjual kepada rakyat Malaysia yang mampu dan layak
untuk mengambilalih. Orang asing boleh membeli
peratusan yang kecil sahaja dan tidak semuanya. Ini
mengecewakan orang asing yang melihat keuntungan yang
besar yang boleh didapati oleh mereka jika mereka dapat
memiliki semua yang diswastakan. Oleh kerana rakyat
tempatan yang mendapat peluang daripada penswastaan maka
tuduhan dibuat bahawa mereka adalah kroni dan keluarga
kepada pemimpin Kerajaan. Walaupun pihak yang berjaya
dipilih melalui tender dan tidak ada apa-apa hubungan
dengan Kerajaan mereka masih dituduh kroni dan keluarga.
Hanya jika semua yang diswastakan diambilalih oleh orang
asing baharulah tuduhan kronisme dan nepotisme akan
digugurkan.
13. Pendekatan yang diguna dalam urusan penswastaan
kita diasaskan kepada keperluan mengimbang kedudukan
ekonomi dan sosial antara kaum di Malaysia. Dasar
Ekonomi Baru adalah satu-satunya 'socio-economic
engineering plan' yang penting bagi negara kita.
Penswastaan diguna untuk menjayakan proses ini. Oleh
kerana dasar ini berjaya, rusuhan kaum tidak berlaku di
Malaysia walaupun ekonomi mengalami kemerosotan. Rakyat
Malaysia tidak perlu pohon maaf atau 'apologise' kepada
orang asing kerana dasar kita. Sebaliknya kita harus
bangga dengan kecapaian kita. Sikap suka dipuji oleh
orang Barat harus dikikis jika kita bermaruah.
14. Oleh kerana mereka gagal memiliki bank dan
perniagaan kita melalui penswastaan maka mereka
menyerang matawang dan pasaran saham kita supaya
syarikat dan bank kita menjadi lemah dan bankrap. Pada
masa itu mereka berharap kita terpaksa menjual segala-
galanya kepada mereka dengan harga yang murah. Dengan
itu mereka akan dapat keuntungan yang besar dan ekonomi
kita akan dikuasai oleh mereka. Inilah tujuan mereka
yang sebenar. Dakwaan mereka bahawa mereka ingin
mendisiplinkan Kerajaan kita, menghapuskan kronisme,
nepotisme dan sebagainya adalah cerita dongeng.
15. Awal-awal lagi kita telah mendedahkan apa yang
sebenarnya mendorong pedagang matawang dan menyalahkan
mereka kerana merosakkan ekonomi negara Timur. Kita
dituduh tidak faham sistem kewangan antarabangsa, tidak
faham 'herd behaviour' dan lain-lain. Mereka menolak
cadangan kita supaya dagangan matawang dikawal. Tetapi
hari ini ramai daripada mereka yang mengaku bahawa
spekulasi oleh pedagang matawang tanpa kawalan yang
menyebabkan kemerosotan ekonomi dunia.
16. Demikian juga kita dikecam kerana mengawal
pengaliran matawang, menurun kadar faedah, menambah
kecairan, mengawal pasaran saham dan tindakan-tindakan
lain yang diambil oleh kita untuk memulih ekonomi.
Tetapi hari ini ramai daripada mereka yang akui bahawa
tindakan kita adalah bijak dan menolong memulihkan
ekonomi kita. Mereka sekarang sering mengecam Dana Wang
Antarabangsa (IMF) dan cara pemulihan yang dianjur
olehnya. Namun masih ada orang tempatan yang menyanyi
lagu lama kononnya kegawatan dan kemerosotan ekonomi ini
disebabkan oleh kesalahan kita. 'Mentality' seperti ini
menyukarkan pemulihan ekonomi kita. Sebenarnya fakta-
fakta yang diperlukan untuk memulih ekonomi kita sudah
pun diadakan. Hanya yang diperlukan ialah kefahaman dan
sikap yang sesuai oleh rakyat. Dalam pasaran saham
umpamanya, kegiatan mengambil untung terlalu awal
menghalang kenaikan Indeks. Jika Indeks tidak naik
perniagaan sukar dipulih. Jika perniagaan tidak sihat,
ekonomi juga tidak akan sihat dan Kerajaan akan
mengalami masalah kewangan.
17. Harga saham di pasaran saham memang akan naik turun
tetapi gerakan harga saham hendaklah ada kaitan dengan
aset dan prestasi perniagaan syarikat. Kita tidak perlu
ada 'road-show' di luar negeri guna untuk menaikkan
harga saham syarikat kita sehingga tidak ada kena-
mengena dengan prestasi dan nilai syarikat. Kita
mengalu-alukan pelaburan asing tetapi mereka hendaklah
melabur untuk jangka panjang. Pelabur asing yang
melabur untuk 'capital gains' semata-mata tidak
menguntungkan kita. Penjualan dengan mendadak oleh
mereka akan mendatangkan masalah besar kepada kita.
18. Namun Kerajaan telah memutuskan untuk melonggar
syarat pelaburan dalam pasaran saham oleh pelabur asing.
Sekatan untuk membawa keluar modal yang dilabur dalam
pasaran saham sebelum genap satu tahun sudah dihapuskan
untuk pelaburan baru. Syarat baru ialah mengenakan levi
sebanyak 10 peratus ke atas keuntungan jika dibawa
keluar dari negara. Levi ini adalah berpatutan dan adil
kerana pelabur asing diberi peluang untuk mencari
keuntungan daripada pelaburan dalam pasaran saham
Malaysia tanpa membayar cukai 'capital gains'. Levi ke
atas keuntungan yang dibawa keluar sebanyak 10 peratus
amatlah kecil berbanding dengan cukai keuntungan modal
jika ia dikenakan. Kita harus ingat bahawa pembukaan
pasaran saham kita kepada pelabur asing mendedahkan kita
kepada risiko serangan yang boleh merugikan negara.
19. Suruhanjaya Sekuriti memainkan peranan yang penting
dalam Industri Sekuriti yang sering terdedah kepada
berbagai-bagai jenis jenayah dan penipuan. Penyeliaan
oleh Suruhanjaya Sekuriti perlu ketat tetapi tidak
terlalu ketat sehingga merugikan syarikat-syarikat yang
memohon untuk disenaraikan dalam Bursa Saham Kuala
Lumpur. Kajian yang tidak berfaedah yang melambatkan
penyenaraian akan merugikan syarikat dan menambahkan
kos. Suruhanjaya Sekuriti perlu prihatin dan memperoleh
kecekapan dalam membuat penilaian terhadap permohonan
penyenaraian.
20. Kerajaan ini menganggap kejayaan dan keuntungan
yang diperolehi oleh perniagaan di Malaysia amat penting
kerana sebahagian daripada keuntungan syarikat adalah
hak Kerajaan. Jika perniagaan rugi, Kerajaan tidak
dapat pungut cukai. Justeru itu, sebarang tindakan dan
perlakuan oleh apa juga agensi yang merugikan perniagaan
akan merugikan Kerajaan.
21. Bangunan baru ini menandakan detik penting bagi
masa depan. Ia menawarkan potensi bagi pembangunan ide,
kemahiran, penyelidikan dan maklumat. Saya ingin
mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi
Suruhanjaya Sekuriti dan semua yang terlibat dalam
membawa ide penubuhan Suruhanjaya Sekuriti daripada
konsep kepada realiti, serta juga dalam membangunkan
bangunan baru ini dan untuk menyediakan kemudahan yang
terbaik dan canggih bagi usaha pembangunan dan keperluan
masa depan.
22. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
bangunan Suruhanjaya Sekuriti ini.
Source : Prime Minister's Office
|