Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 27/03/99
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILADHA
1999 / 1419H
Saya dan isteri saya mengucapkan Selamat Hari Raya
Aidiladha kepada semua muslimin dan muslimat di negara
ini.
2. Kita seharusnya bersyukur kepada Allah Subhanahu wa
Ta'ala kerana umat Islam di negara ini masih dapat
menyambut Hari Raya Korban dalam keadaan aman dan
sempurna walaupun masalah kegawatan ekonomi masih belum
diatasi sepenuhnya. Kita bersyukur kerana seperti biasa
umat Islam masih dapat melakukan upacara penyembelihan
korban sebagai menandakan kesyukuran kita kepada Allah
di atas segala nikmat yang dikurniakan-Nya. Kegawatan
ekonomi juga tidak menjejaskan bilangan umat Islam dari
negara ini yang mengerjakan ibadat Haji ke Mekah setiap
tahun.
3. Perayaan tahun ini juga lebih bermakna kerana hasil
dan berkat pengorbanan dan kerjasama rakyat Malaysia di
dalam menyokong dasar-dasar kerajaan, kita telah berjaya
sedikit sebanyak menangani masalah kegawatan ekonomi
yang menimpa negara kita. Insya Allah dengan kerjasama
yang berterusan daripada rakyat serta usaha yang lebih
gigih, kita akan dapat memulihkan kembali ekonomi negara
kita seperti biasa.
4. Namun keadaan di Malaysia hari ini, terutama sekali
kehidupan harian rakyat, jauh lebih baik daripada
kebanyakan negara di rantau ini yang turut terjejas oleh
serangan keatas matawang dan pasaran saham yang
dilakukan oleh pihak yang tamak yang hanya ingin mengaut
keuntungan daripada kesusahan orang lain.
5. Kita telah berjaya mematahkan niat jahat mereka dan
mengekalkan kebebasan negara kita. Dan yang penting
sekali, langkah-langkah kerajaan mengimbangkan perbezaan
ekonomi diantara kaum telah berjaya mengekalkan
keharmonian dan keamanan diantara kita sesama Islam dan
rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam. Sekaligus
keharmonian dan keamanan inilah yang telah membolehkan
kita umat Islam dan rakyat Malaysia yang menganut agama
lain masing-masing mengikuti ajaran masing-masing dengan
sempurna tanpa diganggu-gugat.
6. Namun kita sedih kerana masih ramai lagi umat Islam
di negara-negara lain yang kehidupan mereka tertekan dan
ditindas seperti di Kosovo dan Palestin. Kita harus
bersyukur kerana malapetaka sebegini tidak menimpa
masyarakat Islam di Malaysia yang dapat menikmati
kemajuan dan kesenangan.
7. Keadaan negara yang aman ini juga telah membolehkan
kita memajukan masyarakat Islam Malaysia agar mereka
dapat setanding di dalam apa jua lapangan dengan rakan-
rakan mereka yang bukan beragama Islam. Sehingga kini,
kemajuan masyarakat Islam Malaysia boleh dibanggakan dan
sedikit sebanyak, kita dapat membuktikan kemampuan orang
Islam yang tidak kurang berbanding dengan masyarakat
lain. Inilah usaha kita untuk menebus maruah orang Islam
yang selama ini dipandang rendah oleh sesetengah pihak.
8. Sempena hari yang mulia ini, saya ingin meyeru
kepada semua umat Islam di Malaysia agar sentiasa
menjaga silaturahim antara kita sesama Muslim. Kita
haruslah sentiasa bersatu-padu dan mengelakkan dari
terjadinya perpecahan dan perbalahan diantara kita
disebabkan kepentingan diri sendiri atau sesuatu
kumpulan. Saya harap umat Islam di negara ini juga akan
sentiasa menjaga maruah mereka dan megelak daripada
mencemarkan kesucian agama Islam kerana dorongan nafsu
dan perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
9. Sekali lagi, saya dan isteri saya megucapkan
Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam di
Malaysia. Di hari yang mulia ini marilah kita bersama-
sama mendoakan kesejahteraan para jemaah haji kita di
tanah suci agar mereka dapat melakukan ibadah haji
dengan sempurna dan kembali ke tanah air dengan selamat
dan membawa bersama pengalaman mereka yang boleh
dijadikan manfaat untuk kita semua demi mempertingkatkan
lagi keimanan kita.
|