Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : TAMAN ILMU IKRAM, KAJANG, SELANGOR
Tarikh/Date : 05/04/99
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN KUMPULAN IKRAM
SDN BHD DAN KOLEJ IKRAM
Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya saya dapat
bersama-sama dalam majlis ini. Saya mengucapkan terima
kasih kepada Kumpulan Ikram kerana menjemput saya untuk
merasmikan pelancaran Kumpulan Ikram Sdn Bhd dan Kolej
Ikram pada hari ini.
2. Majlis hari ini memberi peluang kepada saya untuk
mengetahui dengan lebih dekat kegiatan Kumpulan Ikram
serta kemajuan yang telah dicapainya di dalam bidang
penyelidikan kejuruteraan, pendidikan, perkhidmatan
teknikal dan latihan sejak Ikram diswastakan pada 1
Januari 1997.
3. Kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada
perkembangan semua agensi yang telah diswastakan kerana
maklumbalas adalah penting bagi memantapkan lagi dasar-
dasar Penswastaan kita. Sejak dasar ini dilancarkan
banyak agensi telah diswastakan dan hingga kini,
ternyata kebanyakannya telah membawa manfaat kepada
negara. Dalam hal ini, Kerajaan sentiasa peka dan
meneliti sebarang kelemahan yang terdapat di dalam dasar
penswastaan supaya ianya dapat diperbaiki.
4. Semasa kita mula melaksanakan Dasar Penswastaan
dahulu, tidak banyak model program penswastaan wujud di
mana-manapun di dunia ini yang sesuai untuk kita
jadikannya contoh. Namun, dengan keyakinan dan niat
ikhlas, kita telah berjaya membentuk model-model
penswastaan yang tersendiri yang telah dapat
dilaksanakan dengan begitu baik.
5. Memanglah menjadi hasrat Kerajaan agar semua agensi
yang diswastakan itu mencapai matlamat yang telah
ditentukan. Penswastaan juga memberi kesempatan bagi
kita menjayakan Dasar Ekonomi Baru, iaitu menghapuskan
identifikasi kaum dengan pekerjaan. Jika dahulu semua
perniagaan dan kerja-kerja yang diperlukan dalam bidang-
bidang tertentu dihadkan kepada kaum bukan Bumiputera,
hari ini Bumiputera terlibat dalam semua kegiatan yang
bersangkutan dengan pengurusan dan kemajuan perniagaan.
Pengurusan dan pemilikan syarikat perniagaan yang besar
juga mempunyai penyertaan Bumiputera secara menyeluruh.
Dengan itu tercapailah tujuan-tujuan Dasar Ekonomi Baru.
6. Tuduhan orang asing kononnya Dasar Ekonomi Baru
menguntungkan beberapa kroni dan keluarga pimpinan
Kerajaan adalah disebabkan kebencian mereka kepada
Bumiputera yang mereka capkan sebagai bodoh, pemalas dan
sebagainya. Mereka mahu segala kegiatan Kerajaan
diswastakan kepada mereka, kerana memang pun mereka tahu
akan keuntungan yang besar yang akan diperolehi oleh
mereka jika mereka mendapat projek penswastaan. Bahawa
Bumiputera yang mendapat peluang daripada penswastaan
adalah begitu ramai dan mereka tidak sedikitpun
mempunyai hubungan dengan pemimpin Kerajaan tidak
dipedulikan. Siapa sahaja yang dapat peluang akan
dianggap kroni dan keluarga. Sebaliknya jika sahabat
dan keluarga pemimpin tidak dapat dan hidup merana, ini
tidak dijadikan bukti kronisma dan nepotisma tidak
berlaku di Malaysia. Sikap mereka adalah sikap "racist"
yang menganggap orang Asia tidak mungkin jujur.
7. Saya gembira diberitahu bahawa Ikram, sejak
diswastakan, begitu gigih dalam usahanya membangunkan
institusi ini agar ia dapat menjadi sebuah institusi
yang unggul di negara kita. Saya juga difahamkan
Kumpulan Ikram telah meneruskan kegiatan penyelidikan
dan pembangunan yang diwarisi daripada Jabatan Kerja
Raya dahulu dan telah berjaya menghasilkan beberapa
produk penyelidikan hingga ke tahap pembangunan dan
dapat diedar ke pasaran. Di bidang pendidikan pula
Kumpulan Ikram telah turut sama menyahut aspirasi
Kerajaan untuk menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan
dalam pendidikan tinggi dengan mewujudkan Kolej Ikram
pada 1 Januari 1998.
8. Alaf ke-21 akan muncul dalam masa cuma lapan bulan
saja lagi. Walaupun masa tidak putus dan bermula semula
kerana alaf baru, kita masih boleh mengguna permulaan
alaf sebagai detik permulaan sesuatu perjuangan atau
pembaharuan. Alaf baru ini boleh menjadi tarikh
permulaan kita mempertingkatkan usaha menjayakan Wawasan
2020 untuk menjadikan negara kita negara maju.
Kedatangan alaf ini akan membawa cabaran globalisasi dan
teknologi maklumat dalam semua kegiatan hidup manusia,
baik di bidang ekonomi, sosial, pendidikan, perniagaan,
perindustrian dan lain-lain. Kita tidak dapat
menyisihkan diri daripada perubahan ini. Apa yang perlu
ialah kita menyediakan diri supaya dapat menangani
cabaran dan merebut peluang dari perubahan-perubahan
ini. Untuk ini, ada beberapa perkara penting yang perlu
kita tunaikan bersama.
9. Pertamanya keharmonian dan keamanan yang wujud di
negara kita ini perlulah dikekalkan. Seterusnya kita
perlu memperteguh dan mencapai kecemerlangan dalam
bidang ilmu dan kegiatan penyelidikan untuk dijadikan
teras pembangunan kekuatan negara kita supaya kita mampu
bersaing dengan negara-negara maju yang lain di dunia
ini. Ke arah ini kita perlu yakin dan berusaha dengan
gigih serta sentiasa berpegang kepada nilai-nilai murni.
10. Keharmonian dan keamanan adalah asas untuk sesebuah
negara membina kemakmuran, kemajuan dan seterusnya
tamadun bangsa. Semua cita-cita dan impian indah
sesebuah negara akan lebur tanpa keharmonian dan
keamanan. Negara-negara merdeka yang kaya sekalipun
tidak akan dapat mengekalkan kemerdekaan dan kekayaan
mereka tanpa keamanan. Kita bersyukur kepada Allah
Subhanahu wa Ta'ala kerana negara kita ini dirahmati-Nya
dengan keharmonian dan keamanan, walaupun dalam suasana
kegawatan ekonomi yang melanda pada masa ini. Marilah
kita sama-sama terus menguatkan perpaduan demi
mengekalkan keharmonian dan keamanan. Perpaduan dan
persefahaman hendaklah dalam ertikata yang menyeluruh
baik sesama insan, kaum, masyarakat dan juga di antara
pihak agensi Kerajaan dengan pihak swasta.
11. Budaya memainkan peranan yang amat penting dalam
menentukan sama ada sesuatu bangsa itu maju atau mundur.
Walaupun budaya kita adalah diwarisi tetapi pengaruh
semasa juga mempunyai kesan dalam membentuknya. Oleh
itu kita boleh secara sedar membentuk budaya yang boleh
memberi kemajuan dan kejayaan kepada kita. Selain
daripada nilai-nilai yang mulia yang sudah tentu baik
bagi kita, ada juga sifat-sifat yang tidak begitu jelas
peranannya dalam menentukan kejayaan kita.
12. Dalam bidang R&D atau penyelidikan dan pembangunan,
sifat ingin mengetahui, menyelidik dan mencuba amatlah
penting. Kebanyakan daripada kita menerima sahaja apa
yang ada di sekeliling kita tanpa menyoal akan sebab dan
kenapa sesuatu itu begitu. Oleh sebab ini kita kurang
pengetahuan dan ilmu serta tidak dapat menggunakan
keadaan tertentu untuk mencipta sesuatu yang bermanfaat
bagi kita.
13. Demikian kita tahu bagaimana menggunakan berbagai
alat yang terdapat dalam zaman moden ini. Kita tahu
memandu kereta, memainkan radio, TV, tape recorder dan
seribu satu kemudahan elektrik dan elektronik. Tetapi
kita tidak tahu dan tidak ingin tahu, jauh sekali ingin
membikin atau mencipta alatan-alatan ini. Oleh kerana
ini kita tidak maju dan bertamaddun tinggi.
14. Sebaliknya jika kita bersifat "curious", selalu
ingin tahu, ingin belajar, ingin selidik, ingin mencipta
sesuatu yang baru, yang berlainan dari apa yang sudah
ada, tekun sehingga berjaya, tidak dapat tidak kita akan
menjadi bangsa yang maju yang dapat bersaing dengan
jayanya dengan orang lain. Kita tidak harus ingat
bahawa kecekapan membuat R&D atau penyelidikan dan
pembangunan cuma ada pada orang lain atau bangsa
tertentu sahaja. Sebenarnya kita juga mempunyai
kebolehan yang sama. Jika kita tidak mencapai kemajuan
sehingga kini, sebabnya ialah kerana dalam budaya kita
sifat-sifat yang saya telah sebutkan tidak diutamakan,
tidak ditekankan.
15. Saya akui banyak juga penyelidikan dan pembangunan
yang telah diusahakan di Malaysia. Dalam bidang
pertanian banyak kemajuan yang telah dicapai. Tetapi
dalam bidang mekanikal, elektrik, elektronik, perubatan
dan banyak lagi bidang lain, kecapaian kita amat
berkurangan. Kita menunggu sehingga orang lain mencipta
sebelum kita berani mengguna, walaupun kita sudahpun
mempunyai ide yang sama. Kita tidak yakin akan
kebolehan diri kita dan tidak berani mencuba yang baru.
16. Sikap seperti ini mesti dikikis, jika kita ingin
maju dan meneroka yang baru. Kita mesti bersedia
memeriksa, mengkaji dan mencuba cara yang baru. Ikram
perlu mempelopori R&D dalam bidang kejuruteraan awam,
terutama dalam iklim tropika yang lembab seperti yang
terdapat di negara kita. Ingatlah hampir kesemua
peralatan yang kita guna dicipta di negara temperate
dengan iklim yang amat berbeza dari negara kita.
Kebanyakan daripada peralatan ini tidak sesuai untuk
negara kita, tetapi kita terpaksa guna kerana tidak ada
yang dicipta oleh kita untuk iklim negara kita.
17. Saya sebenarnya kecewa kerana peruntukan untuk R&D
oleh Kerajaan kerapkali tidak diguna kerana tidak ada
projek yang diusahakan oleh institusi-institusi
penyelidikan.
18. Saya mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Ikram yang
telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan aplikasi
multimedia untuk sistem maklumat geotechnical (GIS) bagi
tanah di negara. Saya gembira mengetahui projek ini
sedang berjalan lancar dan proto-typenya telahpun siap
dan berfungsi. Saya berharap sistem itu nanti bukan
saja berfaedah untuk memberikan maklumat secara mudah
mengenai sifat-sifat tanah di sesuatu kawasan di negara
melalui internet, tetapi aplikasi itu mendapat pasaran
di luar negara.
19. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
pelancaran Kumpulan Ikram Sdn Bhd dan Kolej Ikram.
|