Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur 
Tarikh/Date 	: 	22/04/99 
Tajuk/Title  	: 	MEMBENTANGKAN USUL MENGENAI 
			KAJIAN SEPARUH PENGGAL
			RANCANGAN MALAYSIA KETUJUH DI 
			DEWAN RAKYAT 



  Saya mohon mencadangkan satu usul seperti berikut:
  
  "Bahawa Dewan ini,
  
  menyedari   akan  pertumbuhan  ekonomi  dan   pencapaian
  matlamat  sosio-ekonomi secara keseluruhan  adalah  baik
  dalam  tempoh  tiga tahun pertama pelaksanaan  Rancangan
  Malaysia  Ketujuh,  walaupun  prestasi  ekonomi   kurang
  memuaskan  pada  tahun  1998 berikutan  krisis  kewangan
  serantau;
  
  mengambil  maklum dan merestui usaha Kerajaan meneruskan
   pelaksanaan  Dasar  Pembangunan Nasional  bagi  mencapai
  pembangunan yang seimbang berasaskan pertumbuhan  dengan
  pengagihan  yang saksama, selaras dengan  matlamat  yang
  terkandung dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua;
  
  melulus   dan   mengesahkan   Kajian   Separuh   Penggal
  Rancangan   Malaysia   Ketujuh  yang   bertujuan   untuk
  melaksanakan  strategi  dan  program  serta  menyediakan
  peruntukan  bagi  mencapai  hasrat  dan  matlamat  Dasar
  Pembangunan  Nasional  seperti yang  dibentangkan  dalam
  Kertas Perintah Bil. 8 Tahun 1999;
  
  Bahawa  semasa  meluluskan Kajian Separuh  Penggal  ini,
  Dewan  yang  mulia ini menyeru rakyat Malaysia  berusaha
  dengan  lebih  gigih dan penuh keazaman ke arah  membina
  satu  bangsa  yang  bersatu padu,  adil,  maju,  berdaya
  saing   serta  mempunyai  tahap  ketahanan  yang  tinggi
  selaras   dengan  cita-cita  untuk  menjadikan  Malaysia
  sebuah negara maju menjelang tahun 2020."
  
  Dengan   izin   Tuan  Yang  di  Pertua,  sekarang   saya
   bentangkan  Kajian  Separuh Penggal  Rancangan  Malaysia
  Ketujuh  untuk  dibahas  oleh Ahli-ahli  Yang  Berhormat
  Dewan ini.
  
  2.    Kira-Kira tiga tahun lalu, saya berdiri  di  Dewan
  yang  mulia  ini untuk membentangkan Rancangan  Malaysia
  Ketujuh.  Rancangan tersebut yang merupakan  fasa  kedua
  dalam  pelaksanaan Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua
  (1990-2000)  mengandungi agenda pembangunan negara  bagi
  tempoh  1996-2000.   Sebagaimana  yang  Ahli-ahli   Yang
  Berhormat    mungkin   masih   ingat,   harapan    untuk
  pembangunan  pesat amat cerah ketika itu kerana  keadaan
  ekonomi  yang  baik dan terdapat asas yang  kukuh  untuk
  pembangunan    sosio-ekonomi   yang    berterusan    dan
  berkekalan.   Semasa  itu, cabaran utama  yang  dihadapi
  adalah   'managing   success',   dengan   izin,    untuk
  menentukan  Malaysia  terus mencatat  kadar  pertumbuhan
  yang  tinggi  dan  rakyatnya terus menikmati  kemakmuran
  yang meningkat.
  
  3.    Hari  ini, apabila saya bentangkan Kajian  Separuh
   Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh yang meliputi  tempoh
  1996-1998,   keadaan  ekonomi  telah  berubah.   Cabaran
  sekarang ialah untuk merangsangkan semula ekonomi,  yang
  telah   menguncup  sebanyak  6.7  peratus  tahun  lepas.
  Begitulah  perbezaannya  di  dalam  tempoh  dua   tahun.
  Perubahan  daripada satu ekonomi yang  pesat  berkembang
  dengan   asas  yang  kuat   kepada  satu  ekonomi   yang
  mencatat   pertumbuhan  negatif,   adalah   suatu   yang
  mengejutkan dan boleh mematikan keyakinan nasional.
  
   4.     Namun, seperti yang lepas kajian ini akan menilai
  sejauh  mana  kita telah  mencapai objektif dan  sasaran
  kita,  mengenalpasti  dan  menghitungkan  halangan  yang
  dihadapi  serta menilai prospek, dasar dan keutamaan  di
  dalam pembangunan sosio-ekonomi negara. Kita tidak  akan
  membenarkan  apa jua krisis untuk menghentikan  kemajuan
  Malaysia.  Jika perlu, kita akan menggunakan krisis  ini
  untuk    membuat   perubahan   pendekatan   yang   tidak
  konvensional untuk mengatasi halangan ini.
   
  PRESTASI EKONOMI MAKRO
  
  5.    Bagi  makluman  Ahli-ahli Yang Berhormat,  izinkan
  saya   mengimbas   kembali  prestasi  ekonomi   Malaysia
  semenjak tiga tahun lepas.  Prestasi ekonomi makro  bagi
  tempoh  dua  tahun  pertama Rancangan  ini  adalah  amat
  memberangsangkan  dengan  kebanyakan  petunjuk   ekonomi
  mencatatkan  prestasi yang melebihi  sasaran  Rancangan.
  Kadar  pertumbuhan purata KDNK ialah 8.2 peratus setahun
  bagi  tempoh  1996-1997 sementara kadar  inflasi  adalah
  rendah  pada  2.7  peratus dan kadar pengangguran  hanya
  2.6  peratus pada tahun 1997.  Walau bagaimanapun, dalam
  tahun  1998  berikutan krisis kewangan,  ekonomi  negara
  telah  mencatat kadar pertumbuhan yang negatif.  Sasaran
  untuk  pertumbuhan  KDNK  sebenar  ialah  lapan  peratus
  setahun,   tetapi  ekonomi  hanya  mencatat  pertumbuhan
  purata  tiga  peratus antara 1996-1998  yang  memerlukan
  pengubahsuaian sasaran pertumbuhan kepada  tiga  peratus
  bagi  keseluruhan  tempoh Rancangan.     Pada  dasarnya,
   kesan  krisis  ini telah menyebabkan pembangunan  negara
  merosot  beberapa  tahun kebelakang.   Petunjuk-petunjuk
  ekonomi   utama   jelas   menunjukkan   bahawa   apabila
  pendapatan   per   kapita  telah  berkurangan   daripada
  RM12,051  pada  tahun  1997 kepada RM11,835  pada  tahun
  1998,  kurang daripada sasaran Rancangan iaitu RM14,788;
  inflasi  meningkat daripada 2.7 peratus pada tahun  1997
  kepada  5.3  peratus  pada tahun 1998  dan  pengangguran
  meningkat  sedikit daripada 2.6 peratus pada tahun  1997
  kepada 3.9 peratus pada tahun 1998.
  
  6.    Pertumbuhan ekonomi di dalam tempoh kajian  adalah
  sebahagian  besarnya  berikutan permintaan  luaran  yang
  kuat.    Walaupun  permintaan  dalam  negeri   merupakan
  penyumbang utama kepada pembangunan pada tahun 1996  dan
  awal  tahun  1997,  eksport meningkat  pada  pertengahan
  tahun  1997  dan  terus kukuh berikutan penurunan  nilai
  Ringgit.  Eksport sebenar meningkat 5.6 peratus  setahun
  pada  tempoh  1996-1998, tetapi ini adalah lebih  rendah
   daripada   sasaran  Rancangan  sebanyak  10.9   peratus.
  Walau   bagaimanapun,  disebabkan  pertumbuhan   eksport
  berkurangan  dan  kesan hasil kejatuhan  nilai  Ringgit,
  import  sebenar jatuh 2.1 peratus setahun  dalam  tempoh
  kajian.
  
  7.    Namun, satu aspek positif daripada krisis  ekonomi
  ini  ialah kedudukan imbangan pembayaran telah meningkat
  dengan  ketara  berbanding  dengan  matlamat  Rancangan.
  Akaun  semasa mencatatkan lebihan sebanyak 13.7  peratus
  daripada  Keluaran Negara Kasar (KNK)  pada  tahun  1998
  berbanding  dengan defisit 5.1 peratus pada tahun  1996.
  Kedudukan  positif  ini  adalah hasil  daripada  lebihan
  dalam  akaun  perdagangan  akibat  daripada  pertumbuhan
  tinggi  dalam  eksport  barangan sebanyak  28.9  peratus
  pada  tahun 1998 dan  pertumbuhan yang lebih rendah bagi
  import   barangan   pada  kadar   2.6   peratus.   Walau
  bagaimanapun,  peningkatan dalam  lebihan  dagangan  ini
  dikurangkan   oleh  defisit  yang  besar   dalam   akaun
   perkhidmatan  dan  aliran keluar dalam  akaun  pindahan.
  Dalam  akaun  modal,  modal  jangka  pendek  mencatatkan
  aliran  keluar bersih yang besar disebabkan oleh  krisis
  kewangan.  Walau  bagaimanapun,  terdapat  aliran  masuk
  bersih  modal jangka panjang hasil usaha Kerajaan  untuk
  membiayai perbelanjaan 'counter-cyclical', dengan  izin.
  Dengan   itu,  imbangan  keseluruhan  menjadi  bertambah
  baik.
  
  ISU DAN CABARAN TERHADAP EKONOMI
  
  8.    Walaupun  tanda-tanda  pemulihan  ekonomi  semakin
  jelas,  terdapat beberapa isu yang perlu ditangani  bagi
  memastikan    pemulihan   ekonomi   yang   mampan    dan
  mengembalikan  momentum pertumbuhan.    Satu  pra-syarat
  penting  ialah  untuk terus meningkatkan keyakinan  para
  pelabur  dan  orang awam. Pada asasnya,  Kajian  Separuh
  Penggal mengutarakan enam cabaran utama.
  
  
  9.    Cabaran pertama ialah pengekalan asas-asas ekonomi
  makro  yang kukuh.  Sebelum berlakunya krisis  kewangan,
  negara  telah  menikmati  kadar pertumbuhan  yang  pesat
   iaitu  purata 8.5 peratus setahun semenjak  tahun  1990.
  Kadar   pertumbuhan  tinggi  ini  disertai  juga  dengan
  inflasi   yang  rendah  dan  guna  tenaga  yang   penuh.
  Pelaburan  swasta  dan eksport memainkan  peranan  utama
  dalam  menerajui  pertumbuhan manakala kedudukan  fiskal
  adalah  memuaskan. Rizab luar negara adalah  tinggi  dan
  mampu  membiayai import tertangguh secara purata  selama
  empat  bulan.    Di  samping  itu,  hutang  luar  negara
  adalah  rendah  dengan nisbah khidmat-hutang  luar  yang
  sihat  sebanyak  6.2  peratus. Kadar  tabungan  kita  di
  tahap  39.4 peratus daripada KNK adalah setanding,  jika
  tidak  lebih baik, berbanding dengan negara-negara  lain
  yang   mempunyai  kadar  simpanan  yang  tinggi.  Sistem
  perbankan  juga  kukuh  di mana nisbah  bersih  pinjaman
  belum  berbayar (NPL) mencatatkan 3.6 peratus dan nisbah
  modal  berwajaran risiko sebanyak 12 peratus pada  akhir
  Jun   1997,  melebihi  standard  minima  sebanyak  lapan
  peratus  yang  ditetapkan oleh 'Bank  For  International
   Settlement' (BIS).
  
  10.    Seperti  mana  Ahli-ahli  Yang  Berhormat   sedia
  maklum,   dengan   bermulanya   krisis   ini,   terdapat
  pengaliran  keluar modal jangka pendek  yang  besar  dan
  cepat   serta  kejatuhan  mendadak  dalam  harga  saham.
  Apabila   krisis  ini  menjadi  semakin  buruk,   sektor
  sebenar    ekonomi   juga   telah   mengalami   tekanan.
  Kejatuhan  dalam produktiviti amatlah jelas  bagi  semua
  sektor  utama.   Ini  disebabkan oleh  permintaan  lemah
  dari  pasaran domestik dan luar negara. Di samping  itu,
  kadar  inflasi  meningkat kepada 5.3 peratus  disebabkan
  sebahagian  besarnya oleh penurunan nilai Ringgit  serta
  kos  input  yang  lebih  tinggi.  Sementara  itu,  kadar
  pengangguran  meningkat kepada 3.9  peratus.   Berikutan
  kemerosotan  kutipan hasil dan pakej rangsangan  fiskal,
  akaun  Kerajaan  Persekutuan  mencatatkan  defisit  buat
  pertama  kali  sejak tahun 1993.  Oleh itu,  amat  jelas
  bahawa   asas-asas  ekonomi  makro  perlu  diperkukuhkan
   bukan  sahaja  untuk menyokong proses  pemulihan  tetapi
  juga   untuk   mengekalkan  momentum  pertumbuhan   bagi
  memastikan pencapaian objektif negara.
  
  11.   Cabaran  kedua  adalah  untuk  meningkatkan  tahap
  produktiviti.    Salah  satu  teras  penting   Rancangan
  Malaysia  Ketujuh  adalah untuk  meningkatkan  sumbangan
  produktiviti  faktor  keseluruhan  atau  'total   factor
  productivity'  (TFP), dengan izin, kepada  KDNK.   Walau
  bagaimanapun,  dalam tempoh kajian semula  ini,  ekonomi
  kita  terus  bergantung  kepada  'input-driven',  dengan
  izin,  dengan pertumbuhan tinggi dalam pengumpulan modal
  atau  'capital accumulation', dengan izin. Produktiviti,
  jika  diukur  dari segi sumbangan TFP kepada pertumbuhan
  KDNK,  adalah lebih rendah dalam tempoh 1996-1997  iaitu
  19.5  peratus  berbanding  dengan  28.7  peratus  semasa
  tempoh  Rancangan  Malaysia Keenam.   Arah  aliran  yang
  menurun    ini    perlu   diubah   dan   langkah-langkah
  bersesuaian  diambil  jika kita  mahu  mengekalkan  daya
   saing  dan  mencapai status negara maju menjelang  tahun
  2020.    Keadaan ini amat kritikal kerana  dalam  tempoh
  krisis  ini,  ekonomi  dunia turut  berubah.  Oleh  itu,
  tumpuan  kepada kecekapan, keberkesanan dan produktiviti
  yang   tinggi   untuk   mengekalkan   pertumbuhan    dan
  pembangunan   yang  berterusan  tidak  boleh   dipandang
  ringan atau diabaikan.
  
  12.   Cabaran  ketiga  ialah  untuk  memulihkan  kembali
  sektor  swasta.   Prestasi sektor  swasta  dalam  tempoh
  1996-1997   adalah    memberangsangkan   tetapi   dengan
  penguncupan  ekonomi  yang  berlaku  pada  tahun   1998,
  prestasi sektor swasta telah terjejas teruk.  Pada  masa
  yang   sama,  krisis  tersebut  juga  telah  mendedahkan
  kelemahan  yang  ada  dalam  sektor  korporat   termasuk
  sektor  perbankan.  Apabila krisis ini bertambah  teruk,
  sektor  korporat telah mengambil sikap amat berhati-hati
  dan  konservatif  terhadap  pelaburan,  disebabkan  oleh
  risiko   yang   meningkat   dan   ketidakpastian   dalam
   persekitaran  ekonomi  akibat  daripada  ketidakstabilan
  kadar  pertukaran, kenaikan kadar faedah, ketidakupayaan
  memastikan sejauh mana dan betapa buruknya krisis  serta
  masalah-masalah yang akan menjejaskan ekonomi  serantau.
  Kesannya ialah kekurangan besar dalam pelaburan  swasta.
  Pemulihan  ekonomi  negara tidak  akan  dapat  dijayakan
  tanpa  pemulihan pelaburan dan aktiviti  sektor  swasta.
  Justeru  itu  tumpuan  kepada  pemulihan  sektor  swasta
  amatlah penting.
  
  13.   Cabaran  keempat  ialah mengatasi  rintangan  yang
  dihadapi   oleh   sektor-sektor   produktif.    Walaupun
  ekonomi    pada    keseluruhannya,   dan   sektor-sektor
  produktif  khususnya,  mengalami perubahan  struktur  ke
  arah  pertumbuhan yang mampan, perubahan struktur  dalam
  beberapa  sektor  tertentu  perlu  dipercepatkan   lagi.
  Kegawatan  ekonomi  tidak  sepatutnya  melemahkan  usaha
  kita   untuk   mencapai  matlamat  ke  arah  pembangunan
  perindustrian   yang   lebih  tinggi.    Walaupun   kita
   menghadapi masa depan yang lebih mencabar, negara  mesti
  melengkapkan  diri dengan teknologi dan  kemahiran  yang
  lebih tinggi, melaksanakan aktiviti berintensifkan  ilmu
  dan  mempunyai  nilai ditambah yang  tinggi  demi  untuk
  menyediakan   peluang-peluang  yang  boleh  menghasilkan
  pendapatan dan kekayaan yang lebih tinggi.
  
  14.    Cabaran   kelima   ialah  memastikan   pencapaian
  objektif   pengagihan   yang  berterusan.   Kita   telah
  mencapai  kemajuan yang memuaskan dalam  usaha  membasmi
  kemiskinan   dan   menyusun  semula   masyarakat   hasil
  daripada  pertumbuhan  ekonomi yang  mampan  terutamanya
  dalam   tempoh   1996-1997,  dan  pelaksanaan   pelbagai
  program  dan  projek Kerajaan bagi golongan  miskin  dan
  Bumiputera.   Walaupun  kelembapan  ekonomi  ini   telah
  mengakibatkan  kesan  yang  mendalam  ke  atas  golongan
  miskin  dan menyekat potensi untuk menyusun semula  guna
  tenaga  dengan  lebih cepat, program-program  sedia  ada
  yang   memberi  faedah  kepada  golongan  miskin   serta
   langkah-langkah untuk mewujudkan Masyarakat  Perdagangan
  dan   Perindustrian  Bumiputera  yang   kompetitif   dan
  mempunyai   ketahanan  akan  diterus  dan  diperkukuhkan
  lagi.    Justeru   itu,  Kerajaan  akan  terus   memberi
  keutamaan   kepada  objektif  pengagihannya  berdasarkan
  kekayaan   baru  yang  diwujudkan  melalui   dasar-dasar
  pertumbuhan ekonomi yang dirancang dengan baik.
  
  15.   Cabaran terakhir ialah meningkatkan kualiti  hidup
  masyarakat  Malaysia. Pembangunan negara hendaklah  pada
  akhirnya   menghasilkan  peningkatan  dalam  taraf   dan
  kualiti  hidup  rakyat.   Kualiti  hidup  rakyat   mesti
  meningkat  selaras  dengan pertumbuhan  dan  pertambahan
  pendapatan   serta   meningkatnya  kualiti   pendidikan,
  kesihatan,  pengangkutan, komunikasi,  guna  tenaga  dan
  kehidupan  kekeluargaan. Walau bagaimanapun,  kelembapan
  ekonomi  telah  menghalang proses dan perkembangan  yang
  menyumbang  kepada  peningkatan kualiti  hidup  dan  ini
  sudah   tentu  menjejaskan  kesejahteraan  sosio-ekonomi
   rakyat.   Oleh  itu, cabarannya adalah  untuk  mengatasi
  halangan   berkenaan  supaya  semua  lapisan  masyarakat
  Malaysia  akan  dapat memasuki alaf  baru  dengan  penuh
  bangga dan keyakinan akan kemajuan yang akan dicapai.
  
  TERAS PEMBANGUNAN
  
  16.   Kita perlu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi
  dan   melaksanakan   usaha  ke   arah   mencapai   kadar
  pertumbuhan  ekonomi yang teguh dan  berterusan.    Oleh
  itu,  kita  perlu  menangani isu-isu dan cabaran-cabaran
  yang  saya nyatakan sebelum ini.  Kita sentiasa bersikap
  pragmatik  terhadap pembangunan.  Jika perlu  kita  akan
  mengubah  suai rancangan, menyusun semula keutamaan  dan
  menukar  arah  haluan.   Dalam  hubungan  ini,  Kerajaan
  telah  mengenalpasti  11  teras pembangunan  utama  bagi
  tempoh akhir Rancangan Malaysia Ketujuh.
  
  17.   Memperkukuh  asas-asas  ekonomi  makro.   Daripada
  segi   pengurusan  ekonomi  makro,  kita  akan   memberi
  tumpuan    kepada   usaha   mempercepatkan   pertumbuhan
   ekonomi,  membendung tekanan inflasi,  memperbaiki  lagi
  kedudukan  imbangan  luar  negara,  menghapuskan  jurang
  sumber  dan  mengekalkan imbangan fiskal yang  berhemat.
  Berhubung  dengan   pengurusan inflasi,  dasar  kewangan
  dan  fiskal akan dirangka bagi mengelak munculnya semula
  tekanan  harga  di samping memastikan pertumbuhan  terus
  digalakkan.  Usaha memperkukuhkan kedudukan luar  negara
  akan   dilakukan   dengan   memberi   tumpuan   terhadap
  peningkatan  eksport  dan  mengurangkan  defisit   dalam
  akaun  perkhidmatan dengan memajukan secara agresif  sub
  sektor  seperti pelancongan, pendidikan dan perkhidmatan
  pelabuhan.
  
  18.   Bagi  tempoh  akhir Rancangan,  sektor  awam  akan
  memainkan  peranan   merangsang pertumbuhan  di  samping
  terus   mengekalkan   dasar  fiskal  berhemat   berserta
  'corporate  governance', dengan izin.  Kita  akan  terus
  mengekalkan  belanjawan defisit pada paras yang  terurus
  dan  akan  kembali  kepada kedudukan belanjawan  lebihan
   sebaik  ekonomi  kembali  kukuh.    Perbelanjaan  sektor
  awam  akan  ditumpukan kepada projek yang  memakan  masa
  pendek  untuk  disiapkan, menyumbang kepada  peningkatan
  eksport   dan  pengurangan  import,  menjana  permintaan
  untuk  barangan  dan  perkhidmatan domestik  di  samping
  projek-projek    yang   sasarannya    adalah    golongan
  berpendapatan rendah dan isi rumah miskin.
  
  19.   Dalam  hubungan ini, peruntukan  asal  pembangunan
  Kerajaan  Persekutuan bagi Rancangan ini  akan  ditambah
  sebanyak  RM22  bilion  daripada  RM67.5  bilion  kepada
  RM89.5  bilion.   Peruntukan ini akan  diagihkan  kepada
  sektor  ekonomi  sebanyak  48.2  peratus,  sosial   30.9
  peratus,  keselamatan 12.8 peratus  dan  pentadbiran  am
  8.1    peratus.    Pada    keseluruhannya,    peruntukan
  pembangunan   yang  dicadangkan  kekal   sebanyak   16.3
  peratus  daripada  KNK mengikut nilai  semasa  dan  17.6
  peratus daripada KNK mengikut nilai sebenar iaitu  lebih
  rendah   daripada   Rancangan  Malaysia   Keenam.    Ini
   menunjukkan  komitmen kita untuk terus mengecilkan  saiz
  sektor awam.
  
  20.   Program  penswastaan yang dilancarkan sejak  tahun
  1983  dan ditingkatkan pelaksanaannya dalam tempoh 1996-
  1997  merupakan satu komponen penting dalam usaha  untuk
  terus  merasionalisasikan sektor awam.  Walaupun masalah
  dihadapi  di  peringkat  awal daripada  segi  penerimaan
  oleh   pihak  pekerja  dan  awam  yang  terlibat,  tidak
  sesiapa   dapat   menafikan  bahawa  penswastaan   telah
  membantu  negara menghasilkan pertumbuhan  yang  tinggi.
  Ia  juga  membolehkan negara memenuhi  permintaan  untuk
  kemudahan  infrastruktur berikutan proses  perindustrian
  yang   pesat   serta  memenuhi  keperluan   meningkatkan
  kualiti   hidup   rakyat.  Sejak   pelaksanaan   program
  penswastaan dalam tahun 1983, sebanyak 434 projek  telah
  diswastakan,  yang  mana  68  diswastakan  dalam  tempoh
  kajian semula.
  
  21.    Negara   kita  telah  memperolehi  faedah   besar
  daripada   program  penswastaan.  Melalui   penswastaan,
   Kerajaan  telah menjimatkan perbelanjaan modal  sebanyak
  RM129.1  bilion,  di  samping  mendapat  hasil  daripada
  jualan  aset dan ekuiti berjumlah RM21.5 bilion.  Selain
  daripada  itu,  lebih  daripada 105,000  pekerja  sektor
  awam  telah dipindahkan kepada sektor swasta.   Kumpulan
  pekerja   ini  telah  mendapat  faedah  secara  langsung
  daripada segi peningkatan upah dan pendapatan. Syarikat-
  syarikat  yang  muncul hasil penswastaan  kini  memegang
  29.3  peratus daripada modal pasaran Bursa  Saham  Kuala
  Lumpur  atau  BSKL.   Beberapa faedah  daripada  program
  penswastaan,  sama  ada  secara  langsung   atau   tidak
  langsung,  telah dinikmati oleh rakyat melalui  rantaian
  dalam   ekonomi.   Misalnya,  TNB  dan   Telekom   sejak
  diswastakan telah menyumbang RM4.7 bilion daripada  segi
  cukai   korporat.    Ini   telah  membolehkan   Kerajaan
  membiayai    projek-projek   pembangunan   yang    lain.
  Penswastaan    juga    telah   menambahkan    penyertaan
  Bumiputera dan meningkatkan program pembangunan  vendor,
   pemindahan    teknologi    serta    penyelidikan     dan
  pembangunan.   Pada  amnya, pengguna  telah  memperolehi
  faedah  daripada  kewujudan kemudahan  awam  yang  lebih
  cekap   dan  berkualiti  dengan  peningkatan  kos   yang
  minima.
  
  22.   Meningkatkan  Bilangan Tenaga  Manusia  Mahir  dan
  Berpengetahuan.   Teras  strategik  pembangunan   sumber
  manusia  akan  ditumpukan kepada  peningkatan  penawaran
  tenaga  manusia  mahir bagi menyokong penyusunan  semula
  ekonomi  negara  ke arah intensif modal  dan  berasaskan
  pengetahuan.     Penekanan    akan    diberi    terhadap
  meningkatkan   akses  kepada  pendidikan   dan   latihan
  berkualiti   untuk  memperbaiki  tahap  pendidikan   dan
  kemahiran  tenaga  kerja  dan  juga  pengukuhan   sistem
  penyampaian.   Dalam hubungan ini, pelaburan  berterusan
  akan  dibuat untuk meningkatkan keupayaan institusi  dan
  latihan  dalam negeri.  Penyertaan sektor swasta  secara
  lebih  luas juga akan digalakkan dalam bidang pendidikan
   dan  latihan kemahiran ini.  Bagi meningkatkan  mobiliti
  buruh  di  antara negeri, pekerjaan dan jenis kemahiran,
  prasarana  maklumat  pasaran  buruh  akan  diperkukuhkan
  melalui penubuhan satu sistem pertukaran maklumat  buruh
  elektronik  yang dapat memastikan penggunaan buruh  yang
  optimum  dan  penyesuaian  di antara  permintaan  dengan
  penawaran buruh.
  
  23.    Mengurangkan  kemiskinan  dan   menyusun   semula
  masyarakat.    Dari   dimensi   sosial   Kerajaan   akan
  meneruskan  usaha  membasmi  kemiskinan  dengan  memberi
  tumpuan  kepada  kawasan  dan  golongan  yang  mempunyai
  kadar  kemiskinan yang tinggi.  Kerajaan akan  mengambil
  langkah-langkah    perlu    untuk     memperluas     dan
  mempertingkatkan    program-program    yang    bertujuan
  menyediakan  perkhidmatan  dan  kemudahan  asas   kepada
  mereka  yang berpendapatan rendah dan miskin. Ini  ialah
  bagi  mengurangkan  kesan  kelembapan  ekonomi  ke  atas
  golongan  tersebut.  Sebagai sebahagian  daripada  usaha
   meningkatkan  taraf  hidup golongan  termiskin,  program
  untuk  menyediakan rumah baru atau membaik  pulih  rumah
  akan terus dilaksanakan.
  
  24.   Usaha juga akan ditumpukan bagi mengurangkan kesan
  kelembapan  ekonomi  ke atas program  penyusunan  semula
  masyarakat.   Beberapa  program  akan  diubahsuai   bagi
  memperluaskan      liputannya      dan      meningkatkan
  keberkesanannya.     Ini    akan    dilakukan    melalui
  pelaksanaan program-program yang sedia ada dengan  lebih
  gigih,   termasuk  memperluaskan  beberapa  program   ke
  kawasan  di  luar  Lembah Klang. Dalam masa  yang  sama,
  bantuan   dan   peluang  akan  terus  diberikan   kepada
  Bumiputera    bagi   membolehkan   mereka    memperolehi
  kelayakan pendidikan di peringkat tinggi sejajar  dengan
  matlamat    meningkatkan   bilangan   profesional    dan
  kakitangan teknikal Bumiputera.
  
  25.   Untuk  mengurangkan ketidakseimbangan  pendapatan,
  usaha-usaha  akan diambil untuk mewujudkan  lebih  ramai
   golongan   berpendapatan  menengah  yang  lebih   mewah.
  Sehubungan   ini,  usaha  untuk  meningkatkan   bilangan
  Bumiputera  berpendapatan menengah, menerusi pembangunan
  lebih   ramai   usahawan,  profesional  dan   pengurusan
  Bumiputera    akan   terus   diberi    penekanan    bagi
  mengurangkan  jurang  ketidak seimbangan  pendapatan  di
  antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.
  
  26.   Memperkukuhkan sektor kewangan.   Sektor  kewangan
  kita  telah mengalami penyusunan semula secara beransur-
  ansur  dalam  tempoh beberapa tahun yang  lepas  selaras
  dengan  perubahan  dalam suasana ekonomi  dan  kewangan.
  Usaha  untuk  memperkukuhkan pengawasan dan kawal  selia
  sistem  perbankan akan diteruskan. Bank Negara  Malaysia
  akan  terus mengukuhkan keupayaannya untuk mengawal  dan
  mengesan  risiko  yang  muncul  dalam  sistem  kewangan.
  Untuk  tujuan ini, satu sistem amaran awal akan dibentuk
  bagi  membolehkan  amaran awal  diberi  ke  atas  status
  institusi  kewangan berkenaan supaya langkah  pencegahan
   boleh   diambil   bagi  mengelakkan  keruntuhan   sistem
  perbankan    dan    mengawal   risiko   sistemik    yang
  bersangkutan.
  
  27.    Untuk   menyokong  pemulihan  ekonomi,  institusi
  perbankan  perlu  memainkan peranan  perantaraan  dengan
  lebih   cekap  dan  berkesan.   Rancangan   yang   lebih
  komprehensif untuk perbankan Islam juga sedang  dirangka
  termasuk  membentuk strategi baru bagi  alaf  yang  akan
  datang.   Garis panduan dan sasaran baru untuk perbankan
  Islam  akan  diperkenalkan, termasuk mengembangkan  lagi
  unit  perbankan  Islam  dalam institusi  perbankan  yang
  sedia ada.
  
  28.   Langkah-langkah  juga  akan  diambil  untuk  terus
  memperluas  dan  mempelbagaikan  pasaran  kewangan  bagi
  mengekalkan kestabilan sistem kewangan.  Antara langkah-
  langkah   ini  ialah  pembangunan  pasaran  bon  sebagai
  sumber  pelaburan tambahan bagi membiayai  pelaburan  di
  samping   mengurangkan  tumpuan  risiko   dalam   sistem
  perbankan.  Usaha  juga akan diambil untuk  menggalakkan
   pertumbuhan  pasaran  modal  Islam,  terutamanya   dalam
  ekuiti   Islam,  sekuriti  hutang  swasta  dan  aktiviti
  pengurusan dana.
  
  29.   Dalam hubungan ini, Kerajaan telah menubuhkan  dua
  institusi   iaitu  syarikat  pengurusan  aset   nasional
  dikenali  sebagai Pengurusan Danaharta  Nasional  Berhad
  atau  ringkasnya  Danaharta  dan  sebuah  syarikat  khas
  iaitu   Danamodal   Nasional  Berhad   atau   Danamodal.
  Penubuhan  institusi-institusi ini  bertujuan  mengatasi
  masalah   perbankan  akibat  daripada  penurunan   nilai
  matawang  serta  keruntuhan harga  saham.   Sehingga  20
  April   1999,  Danaharta  telah  mengambilalih  pinjaman
  belum  berbayar  (NPL)  berjumlah  RM12.6  bilion  serta
  menguruskan   NPL   termasuk  kadar  faedah   tertangguh
  berjumlah   RM11.6  bilion  bagi  pihak   Bank   Negara.
  Manakala,  Danamodal  telah  membuat  suntikan  kewangan
  sebanyak  RM6.4  bilion  untuk  'recapitalize',   dengan
  izin,  sepuluh institusi perbankan dalam bentuk Pinjaman
   Modal   Boleh  Tukar  Bersubordinat  atau  dengan   izin
  Exchangeable Subordinated Capital Loans (ESCL).
  
   30.   Memulihkan  sektor korporat.   Satu  rangka  kerja
  yang  menyeluruh  telah  digubal  bagi  membantu  sektor
  korporat  menangani masalah kekangan  kewangan  termasuk
  menyusun  semula hutang.  Dalam hubungan ini,  penubuhan
  satu  jawatankuasa  bersama di antara  sektor  awam  dan
  swasta,  iaitu  Jawatankuasa  Penyusunan  Semula  Hutang
  Korporat    atau    dengan   izin,    'Corporate    Debt
  Restructuring  Committee' (CDRC) akan  menyediakan  satu
  rangka kerja penyelesaian hutang antara siberhutang  dan
  sipiutang   secara   sukarela   tanpa   melalui   proses
  perundangan.
  
  31.    Sementara  itu,  'corporate  governance',  dengan
  izin,   yang  diasaskan  kepada  amalan  pasaran,   akan
  dilaksanakan  dengan tujuan untuk meraih nilai  pemegang
  saham    jangka   panjang   di   samping   mengambilkira
  kepentingan   pemegang-pemegang   saham   lain.    Dalam
   hubungan  ini, Suruhanjaya Sekuriti (SC) misalnya,  akan
  meneruskan  usaha  ke arah memperkukuhkan  rangka  kerja
  kawal  selia  dan  menggalakkan  pembangunan  'frontline
  regulation',  dengan izin.  Langkah  ini  diambil  untuk
  membolehkan  institusi  pasaran  mengawalselia  sendiri.
  BSKL  juga  telah  memperkenalkan langkah-langkah  untuk
  mengembalikan  keyakinan dengan  menjamin  pasaran  yang
  teratur  dan  adil  serta meningkatkan  ketelusan  dalam
  pasaran  saham. Pelaksanaan langkah-langkah ini meliputi
  memperkukuhkan  peraturan, undang-undang sekuriti  serta
  prosedur  BSKL dan depositori pusat. Salah satu objektif
  langkah-langkah  tersebut ialah untuk melindung  pasaran
  saham  tempatan  daripada kesan buruk perdagangan  saham
  Malaysia di pasaran yang tidak diiktiraf. Semua  langkah
  ini  dilaksanakan  bagi memastikan kestabilan  sistemik,
  mengembalikan  keyakinan pasaran, memperbaiki  ketelusan
  dan   'corporate   governance',   dengan   izin,   serta
  memudahkan usaha untuk mendapatkan dana.
   
  32.    Menggiatkan  semula  sektor  pertanian  dan  luar
  bandar.   Sejajar dengan Dasar Pertanian Negara  Ketiga,
  kita   akan   memberi  keutamaan  kepada   usaha   untuk
  mempergiatkan  semula  sektor  pertanian  dalam   tempoh
  akhir  Rancangan. Ini termasuklah meningkatkan  keluaran
  makanan  domestik bagi mengurangkan pergantungan  kepada
  import  dan mempercepatkan usaha untuk memodenkan sektor
  pertanian  dan  menjadikan  Malaysia  sebagai  pengeluar
  hasil  pertanian  yang  mempunyai  nilai  ditambah  yang
  tinggi.   Kita  akan  menggalakkan penggunaan  teknologi
  dan  pengurusan  moden, menggalakkan pertanian  berskala
  besar  dan  teratur melalui pengeluaran  makanan  secara
  'estatization',  dengan izin. Sebagai khidmat  sokongan,
  Kerajaan   akan  terus  menyediakan  kredit   pertanian,
  latihan  serta  khidmat nasihat dalam proses  memodenkan
  sektor   pertanian  terutamanya  kepada  pekebun  kecil.
  Dalam  hubungan ini, Kerajaan telah menambah  peruntukan
  bagi Tabung Makanan kepada RM1 bilion.
   
  33.    Sebagai  satu  strategi  Kerajaan  akan   memberi
  penekanan  kepada  penggunaan  sumber  pertanian  secara
  intensif   terutamanya  sumber  tanah  dan  buruh   yang
  berkurangan  sekarang  ini.   Kita  juga  akan   memberi
  tekanan   kepada   pengukuhan  sektor   eksport   dengan
  menggalakkan   penyertaan  sektor  swasta,   terutamanya
  dalam  usaha komersil secara besar-besaran.   Di samping
  itu,  Kerajaan  akan  memberi tumpuan  yang  lebih  bagi
  menggalakkan  innovasi dalam penggunaan teknologi  moden
  dalam  pertanian, seperti pemeliharaan ikan  laut  dalam
  sangkar   dan   penggunaan  teknologi  yang  menjimatkan
  tenaga  kerja.  Untuk mencapai objektif ini,  peruntukan
  pembangunan sebanyak RM8.3 bilion akan disediakan  untuk
  sektor pertanian dan pembangunan luar bandar.
  
  34.   Menggiatkan  semula pertumbuhan sektor  pembuatan.
  Memandangkan   pertumbuhan  perindustrian   yang   kukuh
  merupakan   pra-syarat  bagi  pemulihan   ekonomi   yang
  berkekalan  tumpuan  lebih  besar  akan  diberi   kepada
   aktiviti  pembuatan.  Bagi mengekalkan  tahap  pelaburan
  dalam  sektor  pembuatan, Kerajaan  akan  memperkenalkan
  beberapa   langkah  dan  insentif  yang  akan   membantu
  meningkatkan  keyakinan  pelabur,  menggalak   pelaburan
  semula  dan menggalak kepelbagaian eksport. Pengembangan
  dan  kepelbagaian  industri  secara  besar-besaran  akan
  memainkan  peranan  yang  penting  bukan  sahaja   untuk
  mengimbangkan  pembangunan negatif KDNK dan  pembentukan
  modal  atau  `capital  formation=,  dengan  izin,  dalam
  negeri  yang  rendah  pada  tahun  1998,  tetapi   lebih
  penting  sebagai  punca  untuk  mewujud  kekayaan   baru
  menerusi   pembangunan  industri  baru   dan   teknologi
  termaju.
  
  35.   Teras  penting  dalam dasar  perindustrian  negara
  ialah  mengembangkan  industri  berasaskan  sumber   dan
  berorientasikan  eksport.  Bidang ini mempunyai  potensi
  dalam   memperbesarkan  aktiviti  nilai  ditambah  dalam
  negeri  dan boleh meningkatkan imbangan perdagangan  dan
   rantaian   perindustrian.   Tumpuan   khas   juga   akan
  diberikan  kepada  usaha meningkatkan  produktiviti  dan
  mempergiatkan   aktiviti   hiliran   terutamanya   dalam
  pengeluaran  produk  baru  dan  yang  lebih  baik  dalam
  industri    berasaskan   sumber.    Kedua-dua   kategori
  industri  ini akan digalakkan sebagai sumber pertumbuhan
  baru  untuk sektor perindustrian.  Pada masa yang  sama,
  usaha   akan  diteruskan  bagi  mempercepatkan   anjakan
  strategik  ke arah industri berasaskan teknologi  tinggi
  dan    pengetahuan   dengan   memberi   tumpuan   kepada
  pengeluaran  produk yang mempunyai nilai  ditambah  yang
  tinggi dan berpontensi untuk eksport.
  
  36.   Usaha-usaha meningkatkan produktiviti adalah kunci
  bagi   meningkatkan   daya  saing  negara   di   pasaran
  antarabangsa untuk menggalakkan eksport.  Industri  baru
  dan  yang  sedia ada akan digalakkan supaya lebih  cekap
  dari    segi   meningkatkan   teknologi   serta   proses
  pengeluaran   barangan  bermutu   tinggi,   alatan   dan
   komponen     yang    berkualiti    serta     memperbaiki
  'reliability'  bekalan.  Dalam  hubungan  ini,  industri
  digalakkan   memperolehi   pengiktirafan   ISO9000   dan
  Standard  Pengurusan  Alam Sekitar atau  siri  ISO14001.
  Kerajaan  akan  terus  membantu  sektor  swasta   dengan
  menyedia    pelbagai    perkhidmatan    sokongan    bagi
  membolehkan   pengilang-pengilang  tempatan   menghadapi
  persaingan  pasaran eksport yang semakin  sengit.   Bank
  Eksport-Import  Malaysia atau EXIM Bank  yang  mempunyai
  kemudahan   dana  sebanyak  RM4  bilion  akan  memainkan
  peranan  utama dalam menyediakan pembiayaan  perdagangan
  bagi sektor pembuatan.
  
  37.   Satu lagi teras utama program perindustrian  ialah
  pembangunan  sektor  Industri Kecil dan  Sederhana  atau
  IKS  yang  moden,  berdaya saing dan  inovatif  daripada
  segi teknologi.  Untuk mengukuhkan lagi sektor ini,  IKS
  adalah   digalakkan  untuk  bersatu  atau  menggabungkan
  aktiviti  masing-masing  bagi  mencapai,  dengan   izin,
   'economies   of  scale',  mempelbagaikan  asas   pasaran
  mereka   dan   seterusnya   menembusi   pasaran   dunia.
  Beberapa  tabung  telah  ditubuhkan  untuk  IKS  seperti
  Tabung  IKS  sebanyak RM1.5 bilion dan Tabung  Pemulihan
  IKS  bernilai  RM750  juta.  Kerajaan  juga  akan  terus
  memudah  dan  mempercepatkan penyertaan IKS  yang  lebih
  besar dalam pasaran ekport melalui MATRADE dan SMIDEC.
  
  38.    Mempertingkatkan pembangunan sektor perkhidmatan.
  Kerajaan   akan   memperhebatkan  usaha  bagi   mencapai
  matlamat  mewujudkan sektor perkhidmatan yang moden  dan
  berorientasi   luaran   bagi  tujuan   memperkukuh   dan
  memperluaskan asas ekonomi negara.  Ini akan  menyumbang
  kepada   pemulihan  akaun  perkhidmatan  dalam  imbangan
  pembayaran.   Dorongan  utama  bagi  pertumbuhan  sektor
  perkhidmatan    ini   adalah   daripada    sub    sektor
  pengangkutan   udara  dan  laut,  pelabuhan,   insurans,
  kewangan,   pelancongan,   pendidikan,   kesihatan   dan
  perkhidmatan perundingan.
   
  39.     Malaysia   akan   dibangunkan   sebagai    'hub'
  pengangkutan  serantau.  Pelabuhan Klang akan  dimajukan
  sebagai  pusat  pemindahan kargo  dan  muatan,  manakala
  Lapangan  Terbang Antarabangsa KL (KLIA) yang dilengkapi
  dengan  'tate-of-the-art' technology, dengan izin,  akan
  dijadikan  `hub' penerbangan serantau.    Malaysia  juga
  akan berusaha menjadi pusat kecemerlangan pendidikan  di
  rantau  ini untuk membuka peluang bagi penuntut-penuntut
  kita  serta mengurangkan perbelanjaan pendidikan di luar
  negara,  di samping menggalakkan penuntut asing  belajar
  di  institusi  pendidikan di negara ini.   Dengan  lebih
  ramai  pelajar  asing mendaftar di institusi  pendidikan
  di  Malaysia, lebih ramailah ibu bapa pelajar yang  akan
  melawat  Malaysia dan ini akan menyumbang kepada  aliran
  masuk  perolehan daripada pelancongan.  Pada  masa  yang
  sama,  kita  juga sedang berusaha mempromosi pelancongan
  berasaskan  perkhidmatan kesihatan  melalui  pusat-pusat
  perubatan  swasta  yang  berupaya menyediakan  kemudahan
   canggih dan perkhidmatan kepakaran yang bertaraf dunia.
  
  40.   Malaysia  akan  terus dimajukan sebagai  destinasi
  pelancongan  yang menarik dan berdaya  saing  di  rantau
  ini.   Usaha  yang  diselaraskan  di  kalangan  peserta-
  peserta  industri  pelancongan seperti  hotel,  syarikat
  penerbangan    dan   ejen   pelancong   serta    Lembaga
  Penggalakan  Pelancongan  Malaysia  adalah  perlu   bagi
  mengembangkan industri pelancongan di negara ini.   Kita
  akan  menggalakkan  pelaburan dalam  produk  pelancongan
  yang   istimewa   seperti   'eco-tourism',   sukan   dan
  'adventure   tourism'.  Malaysia  juga  akan   dimajukan
  sebagai   pusat  persidangan,  konvensyen  dan   pameran
  antarabangsa  serta  pusat  sukan  antarabangsa   dengan
  adanya  kemudahan Kompleks Sukan Bukit Jalil,  kemudahan
  sukan  golf  serta litar Formula-1 Sepang. Langkah  juga
  akan  diambil  bagi  meningkatkan  pelancongan  domestik
  khususnya   melalui   pakej  cuti  dengan   harga   yang
  berpatutan.    Bagi  menyokong  usaha   sektor   swasta,
   pembangunan  dan  penyelenggaran  prasarana  pelancongan
  seperti  kemudahan pengangkutan dan rekreasi akan  terus
  diberi sokongan.
  
  41.    Mengembangkan   Teknologi  Maklumat.    Teknologi
  Maklumat   adalah  penting  dalam  pembangunan   ekonomi
  daripada  segi meningkatkan kecekapan, produktiviti  dan
  daya  saing.   Oleh  itu, usaha untuk menjadikan  negara
  kita  sebagai sebuah ekonomi yang berasaskan pengetahuan
  dan  maklumat atau menuju ke arah ekonomi 'Third  Wave',
  dengan  izin,  akan  dilaksanakan.  Negara  kita  sedang
  menuju  ke  arah  dunia  bermaklumat  di  mana  IT   dan
  multimedia  akan menjadi alat strategik untuk mewujudkan
  masyarakat  berpengetahuan.   Kita  akan  membangun  dan
  mengembangkan  infrastruktur  IT  yang  diperlukan  yang
  akan  menyumbang  kepada kewujudan  industri  berasaskan
  teknologi  serta  menanam budaya IT  di  kalangan  orang
  ramai  supaya lebih mudah menerima cara hidup  baru  dan
  budaya   kerja  yang  lahir  daripada  masyarakat   yang
   berasaskan pengetahuan.
  
  42.   Kerajaan telah menggubal Agenda Teknologi Maklumat
  Negara  atau  NITA yang menjadi tulang  belakang  kepada
  pembangunan   seimbang   yang  merangkumi   tiga   unsur
  strategi   iaitu   sumber  manusia,  infrastruktur   dan
  aplikasi  berasaskan IT.  Satu Agenda strategik meliputi
  lima   bidang  utama  iaitu  E-Ekonomi,   E-Perkhidmatan
  Awam, E-Pembelajaran, E-Komuniti, dan E-Kedaulatan  akan
  dikaji  untuk menyediakan Malaysia menghadapi  keperluan
  ekonomi berasaskan pengetahuan.
  
  43.    Koridor   Raya  Multimedia  (MSC),   akan   terus
  menerajui pembangunan IT. Dalam hubungan ini, saya  suka
  menyatakan   kepada   Dewan  ini,   bahawa   pembangunan
  Cyberjaya  sedang berjalan dengan pesat dan  ianya  akan
  menjadi   'bandar  pintar'  yang  pertama  di  Malaysia.
  Sejajar  dengan  pembangunan MSC,  pelaksanaan  aplikasi
  perdana seperti kerajaan elektronik, kad pelbagai  guna,
  teleperubatan,  sekolah bistari,  kelompok  penyelidikan
   dan  pembangunan atau R&D, jaringan pengilangan  sedunia
  dan  pemasaran  tanpa sempadan, akan  menjadi  pemangkin
  kepada  kemunculan  industri dan  perkhidmatan  IT  yang
  baru.    Usaha   juga  dilaksanakan  bagi   menggalakkan
  perusahaan   kecil   dan  sederhana   bergabung   dengan
  syarikat  yang lebih besar dalam mengembangkan  rantaian
  nilai  IT  dan  industri multimedia.   Di  samping  itu,
  penyelidikan  dan  pembangunan  IT  dalam  bidang   yang
  diutamakan  akan dipergiatkan bagi menyokong pembangunan
  industri tersebut.
  
  44.      Pertumbuhan   yang   pesat   dalam    rangkaian
  telekomunikasi   terutamanya  penggunaan   Internet   di
  seluruh  dunia, akan mempercepatkan aplikasi perdagangan
  elektronik   atau  'e-commerce',  dengan   izin,   dalam
  pasaran  yang lebih luas.  Saya gembira untuk menyatakan
  bahawa  dalam tempoh tiga tahun akan datang,  kita  akan
  mempunyai  asas  pengguna yang  kukuh  bagi  perdagangan
  elektronik  apabila  kita mencapai  matlamat  satu  juta
   pengguna  Internet. Dengan perubahan  teknologi  IT  dan
  multimedia  yang  pantas,  perdagangan  elektronik  akan
  menghasilkan  pelbagai inovasi amalan  perniagaan  dalam
  pengeluaran    serta    penghantaran    barangan     dan
  perkhidmatan.  Di samping mewujudkan peluang  perniagaan
  baru,   perdagangan  elektronik  juga  memberi   cabaran
  kepada  perniagaan  domestik, terutamanya  dalam  sektor
  perkhidmatan.    Dalam  hubungan  ini,   Kerajaan   akan
  menggubal  satu pelan induk bagi memastikan  pembangunan
  perdagangan elektronik berjalan secara teratur.
  
  45.    Sebagai  sebahagian  daripada  usaha  kita  untuk
  membangunkan  tenaga  kerja  yang  celik  IT,  kurikulum
  pendidikan dan latihan akan sentiasa diubahsuai  sejajar
  dengan  permintaan  industri  IT.   Kerajaan  juga  akan
  melancarkan  satu  kajian bagi menyediakan  satu  rangka
  kerja  untuk  mengimbangkan permintaan dan bekalan  bagi
  tenaga kerja IT di dalam ekonomi.
  
  46.    Dalam  membangunkan  IT,  usaha  akan  ditumpukan
   kepada   menyediakan  persekitaran  undang-undang   yang
  sesuai  bagi  meningkatkan penggunaan IT dan multimedia.
  Ke  arah  ini, peraturan dan undang-undang berkaitan  IT
  akan  dikaji  semula supaya selaras dengan  perkembangan
  pesat  dalam  teknologi  IT  dan  multimedia.  Di  bawah
  Kajian   Separuh   Penggal,  Kerajaan   telah   menambah
  peruntukan  bagi  kementerian-kementerian  dan   agensi-
  agensi  yang terlibat dalam program dan projek IT kepada
  RM4 bilion.
  
  47.   Memperkukuhkan Sains dan Teknologi.  Peranan Sains
  dan  Teknologi  (S&T) adalah penting  bagi  pembangunan,
  terutama  memandangkan tumpuan sekarang adalah  ke  arah
  kewujudan   ekonomi   berteknologi  dan   berpengetahuan
  tinggi. Kelembapan ekonomi telah menekankan lagi  betapa
  perlunya  ditingkatkan  daya  saing  eksport   dan   ini
  memerlukan  peranan  S&T  yang lebih  besar  terutamanya
  dalam  bidang R&D yang akan membantu menggiatkan  semula
  sektor  industri  dan  pertanian  serta  memajukan  lagi
   sektor  perkhidmatan.  Kita juga akan  dan  meningkatkan
  keupayaan serta kebolehan tempatan dalam bidang  inovasi
  saintifik  dan  teknologi.  Kerajaan  telah  menambahkan
  peruntukan   untuk  R&D  kepada  RM1.1  bilion.    Dalam
  hubungan  ini,  saya  ingin  menarik  perhatian   sektor
  swasta bahawa penyertaan dan pelaburan mereka dalam  R&D
  akan   menjadi   lebih  penting  kerana   mereka   perlu
  memastikan penyediaan teknologi yang sesuai dan  berdaya
  maju untuk memenuhi keperluan ekonomi yang berkembang.
  
  48.    Meningkatkan  Kualiti  Hidup.   Kerajaan   sedang
  menghadapi   cabaran  yang  hebat  bagi   tempoh   akhir
  Rancangan  untuk  meneruskan tumpuan kepada  pembangunan
  sosial  serta  mewujudkan masyarakat yang  bersatu  padu
  dan  berdaya  tahan  dengan mempunyai  nilai-nilai  yang
  kukuh,   disiplin   diri  yang  tinggi   yang   sentiasa
  bersyukur  dan  berterima kasih.   Dalam  hubungan  ini,
  tumpuan kepada penyediaan kemudahan infrastruktur  dalam
  pendidikan  dan  latihan, perumahan,  kesihatan,  belia,
   kaum  wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat,  akan
  dipertingkatkan.
  
  
  49.   Akses kepada pendidikan asas khususnya di  kawasan
  luar   bandar   dan   kualiti   pendidikan   juga   akan
  dipertingkatkan  sementara pendidikan  peringkat  tinggi
  dikembangkan  bagi  memenuhi  permintaan  yang   semakin
  bertambah.  Dalam hubungan ini, Kerajaan telah  menambah
  peruntukan  untuk  pendidikan dan  latihan  kepada  RM16
  bilion  daripada peruntukan asal sebanyak  RM10  bilion.
  Kerajaan  juga  telah  menambah peruntukan  bagi  Tabung
  Pendidikan  Tinggi  Negara daripada  RM605  juta  kepada
  RM1.5  bilion.   Tabung ini akan memberi  faedah  kepada
  40,000   lagi  pelajar  di  peringkat  pengajian  tinggi
  terutamanya  dalam menyediakan bantuan  kewangan  kepada
  golongan    berpendapatan   rendah,   dengan    demikian
  memudahkan  akses  ke  institusi  pendidikan  awam   dan
  swasta.   Di  samping  itu,  Kerajaan  akan  menyediakan
  Tabung  Pinjaman  Latihan  Kemahiran  dengan  peruntukan
   awal  sebanyak  RM500 juta bagi meningkatkan  penyertaan
  terutamanya   golongan   berpendapatan   rendah    untuk
  mendapat latihan kemahiran di semua peringkat.
  
  50.     Kerajaan  juga  akan  memberi  keutamaan  kepada
  penyediaan   perumahan   untuk  keluarga   berpendapatan
  rendah  dan  miskin  bagi membolehkan  mereka  menikmati
  perumahan   yang  lebih  mampu  dibeli  dan  berkualiti.
  Dalam   hubungan   ini,  Kerajaan   Persekutuan   dengan
  sokongan  Kerajaan Negeri akan memastikan  lebih  banyak
  perumahan   kos   rendah  dibina   untuk   dijual   atau
  disewakan.  Kerajaan Persekutuan akan  membina  sebanyak
  35,000  unit  rumah  kos rendah di  Wilayah  Persekutuan
  Kuala  Lumpur  yang  akan  dilancarkan  tahun  ini   dan
  sebahagiannya dijangka siap pada akhir tahun 2000.   Ini
  akan   membantu  menyelesaikan  masalah   setinggan   di
  Wilayah  Persekutuan  Kuala Lumpur  yang  mana  terdapat
  sejumlah  42,000 isi rumah dalam tahun 1998.   Di  bawah
  Kajian  Separuh  Penggal  ini, Kerajaan  telah  menambah
   peruntukan bagi perumahan kepada RM3.5 bilion.
  
  51.    Kerajaan  akan meneruskan usaha memperbaiki  lagi
  status  kesihatan rakyat.  Usaha memerangi virus JE  dan
  Nipah  pada  masa ini adalah satu pengajaran yang  tidak
  boleh  kita  pandang  ringan.   Kerajaan  telah  memberi
  bantuan  sedaya  upaya, tetapi tanggungjawab  seterusnya
  perlu  dipikul oleh semua rakyat Malaysia sejajar dengan
  konsep  masyarakat  penyayang.  Dalam  usaha  mengembang
  dan  memperbaiki taraf perkhidmatan kesihatan, pembinaan
  20  hospital baru telah dimulakan di seluruh Semenanjung
  Malaysia,  Sabah dan Sarawak.  Seterusnya,  kegunaan  IT
  di   sektor  kesihatan  akan  dikembangkan  dan   Sistem
  Maklumat   Menyeluruh   Hospital   dilaksanakan    untuk
  memudahkan   pentadbiran   dan   pengurusan   kesihatan.
  Misalnya, Hospital baru Selayang akan dijadikan  sebagai
  hospital  pakar yang pertama berasaskan IT dalam  sektor
  awam.    Untuk   menyediakan  latihan   kepada   anggota
  kesihatan  bersekutu  atau  'allied  health  personnel',
   dengan  izin, Kerajaan akan membina pusat-pusat  latihan
  di  Selangor,  Kelantan, Sabah dan  Sarawak.  Peruntukan
  bagi   sektor  kesihatan  akan  ditambah  kepada   RM3.4
  bilion.
  
  52.   Perkhidmatan  sosial  lain  yang  disediakan  oleh
  Pihak   Berkuasa  Tempatan  juga  akan  diberi   tumpuan
  terutamanya   untuk  memperbaiki  perkhidmatan   bandar,
  kemudahan sosial, kebersihan dan keindahan bandar  serta
  sistem  perparitan  dan  tebatan  banjir.   Usaha  untuk
  memperbaiki    kualiti    perkhidmatan    sosial    bagi
  meningkatkan  kebajikan masyarakat juga akan  diteruskan
  sejajar  dengan objektif membentuk masyarakat penyayang.
  Tumpuan  akan  terus diberikan kepada golongan  tertentu
  seperti  golongan  berpendapatan  rendah,  kaum  wanita,
  kanak-kanak, warga tua dan yang kurang upaya.   Kerajaan
  akan  terus  meningkatkan  peranan  dan  sumbangan  kaum
  wanita  dalam pembangunan sosio-ekonomi negara  di  mana
  lebih   banyak  peluang  pendidikan  dan  latihan   akan
   disediakan  bagi  menggalakkan mereka  menyertai  secara
  berkesan  dalam  pasaran  buruh.  Peruntukan  bagi   sub
  sektor  ini  akan ditambah daripada RM3.3 bilion  kepada
  RM4 bilion.
  
  53.   Satu  lagi  cabaran  yang dihadapi  dalam  keadaan
  ekonomi sekarang adalah pengurusan isu alam sekitar  dan
  sumber    semulajadi   tanpa   bertolak   ansur    dalam
  produktiviti   dan  pertumbuhan  ekonomi.    Kita   akan
  memastikan  langkah-langkah  yang  diambil  tidak   akan
  menjejaskan  usaha  mencapai  pembangunan  mampan  serta
  tidak  membebankan  negara.   Pendekatan  ekonomi   akan
  diberi penekanan dalam menangani isu-isu alam sekitar.
  
  54.   Kerajaan juga akan meneruskan agenda bagi  memupuk
  nilai  positif  dan etika kerja yang baik,  menggalakkan
  `corporate   governance',  dengan  izin,   serta   sifat
  tanggungjawab  sivik  di  kalangan  masyarakat.   Sistem
  nilai  yang baik hanya boleh dibentuk melalui  penekanan
  kepada  agama,  tradisi  dan sivik  terutamanya  melalui
   sistem  pendidikan.   Nilai  sejati  masyarakat  seperti
  taat  setia,  warganegara  yang  baik,  menghormati  hak
  warganegara, keadilan sosial dan sikap toleransi  antara
  satu  sama  lain  yang  membentuk  asas  demokrasi  yang
  efektif  akan terus dipertingkatkan.  Saya yakin melalui
  sistem   nilai  yang  positif  ini,  pembentukan  Bangsa
  Malaysia akan dapat dipercepatkan.
  
  JENTERA PENYELARASAN DAN PELAKSANAAN
  
  55.   Pelaksanaan  dasar  yang  efektif  yang  bertujuan
  memulihkan  ekonomi negara secara berkekalan  memerlukan
  perancangan   dan  pelaksanaan  yang  cekap   di   semua
  peringkat    Kerajaan.    Oleh   itu,   Kerajaan    akan
  meningkatkan   keupayaan,  kecekapan  dan   keberkesanan
  agensi  kerajaan untuk menyahut cabaran  dengan  efektif
  supaya  projek-projek dapat dilaksanakan mengikut jadual
  tanpa  kelewatan yang mana akan memberi  kesan  terhadap
  proses  pemulihan  dan  pencapaian matlamat  pembangunan
  nasional.  Dalam  hubungan ini,  pertindihan  kerja  dan
   pembaziran    akan    dikurangkan,    prosedur     kerja
  diselaraskan  dan  halangan yang mengganggu  pelaksanaan
  projek  dihapuskan. Agensi-agensi Kerajaan akan  diminta
  melaksanakan  projek-projek  dengan  berkesan,  terutama
  bagi tempoh akhir rancangan ini.
  
  56.   Majlis  Tindakan  Ekonomi Negara  atau  MTEN  akan
  terus  memainkan peranan sebagai badan perunding  kepada
  Kabinet    bagi    menangani   masalah    ekonomi    dan
  memulihkannya.   Di  peringkat negeri,  Majlis  Tindakan
  Ekonomi  Negeri akan melaksanakan keputusan yang  dibuat
  oleh  MTEN, memberi maklumbalas mengenai kemajuan projek
  serta  merangka  dan  melaksanakan projek-projek  khusus
  bagi  mencapai pemulihan ekonomi. Beberapa  Jawatankuasa
  Kabinet  telah diperkukuhkan untuk memantau dengan  rapi
  pelaksanaan program dan dasar Kerajaan.
     
  57.    Kerjasama  erat  di  antara  pelbagai   peringkat
  kerajaan  dengan  pelbagai agensi  adalah  teras  kepada
  pelaksanaan  dasar, program dan projek secara  berkesan.
   Kerjasama  sedemikian akan disokong dengan  penyelarasan
  yang  lebih  baik  di  antara  agensi  berkaitan  supaya
  pelaksanaan  projek tidak tertangguh.   Sehubungan  ini,
  saluran   komunikasi   akan   diperkukuhkan   lagi   dan
  teknologi    maklumat   digunakan    sepenuhnya    untuk
  memastikan  keberkesanan  pelaksanaan  dan  penyelarasan
  bagi    merealisasikan   objektif    pembangunan    yang
  terkandung dalam Kajian Separuh Penggal ini.
  
  58.   Sektor  swasta, yang menjadi rakan  penting  dalam
  pembangunan,  akan  terus menerajui pertumbuhan  ekonomi
  dengan   kerjasama  rapat  dengan  sektor  awam  selaras
  dengan  konsep  Persyarikatan Malaysia.   Ke  arah  ini,
  lebih  banyak  sesi  dialog akan diadakan  di  peringkat
  kementerian,  jabatan, negeri dan daerah.  Maklum  balas
  daripada  sesi dialog ini akan membolehkan  sektor  awam
  meningkatkan    kecekapan   pengurusan    dan    kualiti
  perkhidmatan sejajar dengan permintaan sektor swasta.
  
  RUMUSAN
  
   59.   Seperti  yang saya nyatakan tadi,  Kajian  Separuh
  Penggal  ini  dibuat dalam keadaan yang  amat  mencabar.
  Semasa saya membentangkan Rancangan Malaysia Ketujuh  di
  Dewan  yang  mulia ini, asas-asas ekonomi negara  adalah
  begitu   kukuh  dan  bertenaga  dan  kita  yakin   dapat
  mengekalkan   matlamat   pertumbuhan   sebanyak    lapan
  peratus.    Walau   bagaimanapun,  hasrat   kita   untuk
  mencapai   matlamat  ini  telah  terjejas  oleh   faktor
  luaran,  yang telah memberi kesan buruk ke  atas  sektor
  kewangan, pertumbuhan ekonomi sebenar serta taraf  hidup
  rakyat.    Walau  bagaimanapun,  Malaysia  telah   dapat
  mengelak  daripada  mengalami kesan yang  terlalu  buruk
  akibat  krisis ini.  Ini adalah kerana asas-asas ekonomi
  makro    kita   yang   kukuh   dan   kejayaan   Kerajaan
  memperkenalkan  dasar  dan  strategi  yang   cepat   dan
  pragmatik    dalam   menangani   krisis   ini.     Sejak
  pertengahan  tahun 1998, dasar kita telah memberi  fokus
  kepada    langkah-langkah  bagi  menghalang  penguncupan
   ekonomi   dan   menggerak  semula  pertumbuhan   ekonomi
  terutamanya   dengan  melonggarkan  dasar   fiskal   dan
  kewangan.   Langkah-langkah  ini  adalah  berkesan   dan
  tanda-tanda  awal  pemulihan  jelas  kelihatan  daripada
  petunjuk-petunjuk penggunaan dan pelaburan swasta  serta
  eksport.
  
  60.   Prospek bagi tempoh akhir Rancangan ini bergantung
  besar  kepada  keberkesanan pelaksanaan  langkah-langkah
  yang  telah  saya  nyatakan tadi.  Mengembali  keyakinan
  pelabur  dan  perkembangan  dalam  ekonomi  global  juga
  penting.    Sekiranya  tidak  berlaku  bencana  ekonomi,
  Insya-Allah,    pertumbuhan   KDNK   sebenar    dijangka
  mengalami  arah aliran positif pada kadar  satu  peratus
  bagi  tahun 1999, diikuti dengan kadar pertumbuhan  lima
  peratus  dalam  tahun  2000.   Senario  optimistik   ini
  adalah   berasaskan  perkembangan  yang  positif   dalam
  permintaan  agregat,  jangkaan  pertumbuhan  pengeluaran
  sektor-sektor    ekonomi,   lebihan    dalam    imbangan
   pembayaran  dan  tabungan yang mencukupi untuk  memenuhi
  keperluan  pelaburan.  Di samping itu,  prospek  ekonomi
  dunia   juga   dijangka   menggalakkan   dengan   purata
  pertumbuhan sebanyak 2.3 peratus bagi tempoh 1999-2000.
  
  61.   Tumpuan  Kajian Separuh Penggal  ini  ialah  untuk
  mempercepatkan    pemulihan    ekonomi    negara     dan
  mengembalikan  ekonomi kepada pertumbuhan mampan  supaya
  objektif  pembangunan  seimbang  dan  matlamat   menjadi
  sebuah  negara maju menjelang tahun 2020 tercapai.   Ini
  memerlukan  antara  lain  pengukuhan  asas-asas  ekonomi
  makro   dan   sektor   kewangan,   serta   mengembalikan
  keyakinan  pelabur  dan  awam,  memajukan  sektor-sektor
  ekonomi  yang  berpotensi termasuk pembuatan,  pertanian
  dan   perkhidmatan,   mengambil   langkah-langkah   bagi
  mencapai  matlamat sosio-ekonomi dan mengurangkan  kadar
  kemiskinan  serta  meningkatkan  kualiti  hidup   rakyat
  Malaysia.  Semua langkah untuk mencapai aspirasi  negara
  ini  hanya  boleh  dicapai  jika  setiap  daripada  kita
   memberi  yang  terbaik dalam memainkan  peranan  masing-
  masing.   Ini  juga  merupakan peluang  keemasan  kepada
  kita  untuk membuktikan kepada dunia, terutamanya kepada
  pengkritik   dan  skeptik  bahawa  kita   sebagai   satu
  kumpulan    masyarakat    yang    bersatu-padu,    boleh
  melakukannya, berlandaskan semangat `Malaysia Boleh=.
  
  62.   Keadaan  dunia  pada masa ini dan  kebolehan  kita
  menghadapi  cabaran  baru memberi kita  keyakinan  untuk
  bersikap  optimistik mengenai prospek ekonomi  Malaysia.
  Melihat  prospek masa depan, saya yakin  jalan  ke  arah
  pemulihan   ekonomi  negara  adalah  jelas   berdasarkan
  kepada   semua  faktor  yang  ada.   Dasar-dasar   tidak
  konvensional  yang dilaksanakan telah menunjukkan  hasil
  yang  menggalakkan  tetapi  ini  memerlukan  masa  untuk
  membuahkan  hasil  sepenuhnya. Saya  yakin  negara  kita
  sekali  lagi  akan  mencapai  pertumbuhan  ekonomi  yang
  sihat  dengan  kadar  inflasi  yang  rendah  dan  rakyat
  menikmati kualiti hidup yang lebih baik, Insya-Allah.
   
  63.   Kita  berdoa  kepada  Allah  Subhanahu  wa  Ta'ala
  supaya  sentiasa memberikan kita kekuatan  dan  keazaman
  untuk   menghadapi   serta  mengatasi   masalah-masalah,
  berusaha  sedaya upaya memulihkan ekonomi dan menjadikan
  negara  lebih  makmur  serta memelihara  maruah  negara.
  Saya  percaya,  dengan izin Allah Subhanahu  wa  Ta'ala,
  kita   akan   kembali  ke  atas  landasan  pesat   dalam
  membangunkan   bangsa  yang  bersatu  padu,   progresif,
  makmur, berdikari dan dihormati oleh semua.
  
  64.  Saya mohon mencadangkan. 
 




 
Google