Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 01/05/99
Tajuk/Title : PERUTUSAN PERDANA MENTERI SEMPENA
HARI PEKERJA TAHUN 1999
Tahun 1999 merupakan tahun ketiga krisis ekonomi
melanda negara-negara Asia Timur, termasuk Malaysia.
Krisis tersebut telah menjejas pertumbuhan ekonomi
negara dan seterusnya kesejahteraan hidup rakyat.
Namun kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana para
pekerja di negara ini tidak menghadapi masalah besar
seperti pembuangan kerja secara besar-besaran seperti
yang berlaku di beberapa negara lain. Ini ialah kerana
Kerajaan telah berjaya mengambil langkah-langkah segera
dan tegas untuk menghalang percubaan pihak tertentu
untuk merosakkan ekonomi kita. Kini berkat kerjasama
semua pihak, termasuk para pekerja, langkah-langkah
yang telah diambil oleh Kerajaan ini telah
memperlihatkan kesan-kesan yang positif.
2. Kerajaan adalah sentiasa prihatin terhadap masalah
yang dihadapi oleh para pekerja. Atas kesedaran inilah
maka Kerajaan telah mengambil langkah-langkah tertentu
memastikan kepentingan para pekerja terjamin dan
pasaran pekerja terus mantap ketika negara menghadapi
masalah ekonomi. Antara usaha-usaha ke arah ini
termasuklah mempergiatkan projek-projek binaan dan
infrastruktur. Ini adalah berasaskan kepada andaian
bahawa dengan wujudnya aktiviti ekonomi dalam sektor
binaan maka ia akan menghasilkan peningkatan peluang-
peluang pekerjaan secara langsung. Kerajaan juga telah
memperuntukkan modal pinjaman kepada para peniaga dan
usahawan kecil. Dengan wujudnya peluang-peluang
pekerjaan ini, rakyat tidak akan merasa kepahitan
daripada kesan-kesan ekonomi yang lembab yang masih
kita hadapi.
3. Memandangkan ekonomi kita masih ditahap yang belum
pulih sepenuhnya, diharap rakyat tidak akan terlalu
memilih pekerjaan. Mereka yang bekerja pula perlu
menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh
komitmen dan bersungguh-sungguh. Kita sedang bersaing
secara hebat dengan negara-negara lain dan kejayaan
dalam persaingan ini bergantung kepada tingginya
produktiviti kita. Jika kita gagal maka kesannya akan
dirasai oleh kita semua, termasuklah golongan pekerja.
Sebaliknya, jika produktiviti kita meningkat, kejayaan
yang dicapai akan juga dinikmati bersama. Saya ingin
menyeru para pekerja supaya lebih berdisiplin dan
mengamalkan etika kerja yang baik yang boleh
meningkatkan produktiviti di samping menjaga kualiti.
Selain daripada upah yang diperolehi daripada sumbangan
kerja, balasan yang memuaskan ialah hasil kerja yang
bermutu dan berharga.
4. Sesungguhnya negara amat berterima kasih kepada
kaum pekerja Malaysia yang faham akan masalah yang
dihadapi oleh negara dan dengan itu tidak bertindak
secara tidak bertanggungjawab yang mana ia sudah tentu
akan menyukarkan pemulihan ekonomi negara. Kita lihat
bagaimana di negara di mana pekerjanya sering mengambil
tindakan perusahaan dan menuntut upah yang tidak mampu
dibayar oleh majikan, keadaan dan masalahnya hanya
menjadi semakin buruk. Kerapkali nilai matawang dan
inflasi menjadikan pendapatan yang bertambah tidak
bermakna kerana tidak dapat membeli lebih dari dahulu,
bahkan kurang daripada yang dapat dibeli dengan
pendapatan lama.
5. Di Malaysia walaupun tidak banyak tambahan upah
diberi tetapi dengan kestabilan nilai Ringgit dan kadar
inflasi yang rendah, sara hidup kaum pekerja tidak
banyak terjejas.
6. Peratusan pekerja yang hilang pekerjaan dan
menganggur tidaklah ramai di Malaysia. Sebenarnya
pengangguran tidak patut berlaku memandangkan peluang
kerja baru lebih banyak daripada bilangan penganggur.
Lagipun kita masih mempunyai ramai pekerja asing kerana
pekerja Malaysia terlalu memilih kerja. Di waktu
ekonomi merosot kita patut sanggup membuat apa sahaja
kerja walaupun upah tidak seperti di masa mewah. Insya-
Allah apabila ekonomi pulih kita akan dapat balik kerja
dan upah yang baik.
7. Pihak Kerajaan ingin melihat pendapatan pekerja
bertambah sepanjang masa. Pendapatan yang bertambah
ini akan menolong membangunkan ekonomi negara kerana
wang yang didapati tentu akan dibelanja. Tiap kali
seorang belanja wang ada sahaja orang lain yang
mendapat keuntungan. Keuntungan ini pula akan
dibelanja, dan pihak lain pula termasuk pekerja akan
menikmati keuntungan. Lebih kerap wang bertukar
tangan, lebih baiklah ekonomi.
8. Tetapi pendapatan yang bertambah oleh pekerja
hendaklah kerana peningkatan produktiviti. Jika tidak
maka hasil kerja tidak akan dapat dijual dan kerugian
akan dialami oleh penjual. Apabila penjual rugi maka
perniagaan akan merosot dan pekerja mungkin hilang
pekerjaan.
9. Saya berbangga kerana kesatuan sekerja di Malaysia
faham akan peranannya dan betul-betul memelihara
kepentingan pekerja. Sebab itu terdapat 'industrial
peace' di Malaysia dan ini secara langsung menolong
pemulihan ekonomi. Tidak dapat tidak pemulihan ekonomi
akan memberi banyak manfaat kepada pekerja.
'Industrial peace' ini juga menyakinkan pelabur asing
dan tempatan untuk melabur di negara kita. Sekali lagi
dengan pelaburan ini peluang pekerjaan akan bertambah.
Apabila peluang pekerjaan bertambah lebih daripada
bilangan pekerja maka majikan terpaksa menaikkan upah.
10. Hari Pekerja bukanlah semata-mata untuk dirayakan.
Hari Pekerja juga adalah masa bagi pekerja dan kesatuan
sekerja merenung akan masalah pekerja di zaman
globalisasi ini dan sikap pekerja dalam melindungi hak
pekerja. Jika kita tidak berjaga-jaga kita akan
dipermainkan oleh orang lain dan kita akan rugi
kerananya.
11. Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan
selamat menyambut Hari Pekerja kepada semua pekerja di
negara ini.
|