Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 05/06/99 Tajuk/Title : MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG Dengan hormat dan penuh takzimnya pihak Kerajaan, pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam serta rakyat mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuanku sempena ulangtahun Keputeraan Rasmi Tuanku pada hari ini. Rakyat sekelian berdoa ke-hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala semoga dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan hidayah-Nya ke atas Tuanku dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah dan semoga Tuanku berdua sentiasa berada di dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan. 2. Sesungguhnya, Kerajaan dan rakyat yakin Tuanku akan menjalankan tugas-tugas Tuanku dengan penuh tanggungjawab, adil dan saksama selaras dengan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Sebagai simbol keutuhan dan perpaduan negara, Kerajaan yakin Tuanku akan dapat memainkan peranan penting dalam meningkatkan perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama. 3. Adalah juga menjadi harapan Kerajaan agar kepimpinan dan penglibatan Tuanku dalam hal ehwal agama akan memberi erti yang lebih bermakna kepada rakyat. Kerajaan percaya dengan penerapan nilai-nilai yang tinggi dan mulia, terutama kepada golongan muda, segala gejala sosial yang kini melanda golongan remaja akan dapat dibendung. Kerajaan dan rakyat menyanjung tinggi pemerintahan Tuanku dan sentiasa berdoa ke-hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala semoga Tuanku dapat memerintah negara ini dengan penuh kejayaan dan kegemilangan. 4. Syukur Alhamdulillah, langkah-langkah tegas dan berani yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan bagi mengatasi masalah ekonomi yang melanda negara sejak Julai 1997 telah menunjukkan hasil yang positif. Beberapa petunjuk seperti rizab negara, lebihan dagangan dan eksport menunjukkan bahawa ekonomi negara sedang pulih. Di samping kenaikan harga di Bursa Saham Kuala Lumpur, pelabur-pelabur asing juga telah menunjukkan minat yang bertambah untuk melabur di negara ini. Jika dahulu para ahli ekonomi dan penganalisis Barat amat kritikal dan mempunyai pandangan negatif terhadap langkah-langkah pemulihan ekonomi yang kita ambil, kini mereka telah berubah. Mereka kini lebih positif dan mengakui bahawa langkah berani kita telah berjaya. Tidak dapat dinafikan bahawa kini sudah wujud semula keyakinan dan kestabilan dalam ekonomi negara. Namun demikian kita tidak boleh lalai. Masih banyak yang perlu kita lakukan untuk menjamin pemulihan yang berterusan. 5. Untuk mencapai pemulihan sepenuhnya semua pihak, khususnya sektor swasta perlu memainkan peranan yang lebih berkesan, terutama dalam terus menggerakkan sektor-sektor ekonomi yang produktif seperti binaan, perkilangan dan infrastruktur. Kerjasama antara sektor swasta, awam dan pekerja serta kesatuan mereka adalah penting kerana tanpa perkongsian bestari atau 'smart partnership' ini, kita tidak akan berjaya menjana pertumbuhan ekonomi yang tinggi seperti dahulu. Kerajaan di pihaknya akan menentukan semua peruntukan bagi projek pembangunan akan dibelanjakan mengikut jadual untuk membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi. Di samping itu, Kerajaan juga akan terus mengurangkan kerenah birokrasi yang sering dikaitkan dengan kelewatan pelaksanaan projek-projek pembangunan. Dalam hal ini, Kerajaan telahpun mengarahkan pegawai- pegawainya supaya tidak melengah-lengahkan pelaksanaan projek-projek yang memberi faedah kepada rakyat. Kerajaan yakin dengan kerjasama semua pihak, ekonomi negara insya-Allah akan pulih sepenuhnya lebih awal daripada yang dijangkakan. 6. Sungguhpun ekonomi negara belum pulih sepenuhnya, Kerajaan tetap akan memberi tumpuan terhadap pembasmian kemiskinan. Untuk membantu golongan-golongan yang berpendapatan rendah, Kerajaan telah menambah peruntukan bagi membiayai rumah kos rendah, pendidikan, dana pinjaman untuk peniaga-peniaga kecil dan program-program kemiskinan seperti Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). Dengan ini Kerajaan berharap golongan yang berpendapatan rendah tidak akan menderita kerana kegawatan ekonomi. 7. Satu pelajaran yang boleh diambil daripada krisis ekonomi yang melanda negara ialah perlunya berpendirian tegas dan yakin kepada kemampuan dan keupayaan kita. Atas pendirian dan keyakinan inilah kita mengelak daripada meminta bantuan badan-badan antarabangsa seperti IMF untuk menangani masalah ekonomi negara. Kita juga sedar bahawa untuk berjaya kita mesti berani mencuba sesuatu yang kita fikir boleh memberi manfaat kepada rakyat dan negara walaupun cara ini belum pernah digunakan oleh mana-mana pihak. 8. Sesungguhnya kejayaan negara kita menangani masalah ekonomi mungkin tidak tercapai tanpa pengorbanan, kesabaran, sokongan dan kepercayaan penuh rakyat Malaysia terhadap Kerajaan. Di sini Kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat di atas sokongan dan keyakinan mereka. Syukur Alhamdulillah juga kerana walaupun negara sedang menghadapi masalah ekonomi, rakyat pada umumnya memilih untuk terus mengekalkan perpaduan dan keharmonian kaum. Ini telah membolehkan Kerajaan memberi fokus sepenuhnya kepada usaha-usaha memulihkan ekonomi. 9. Sempena ulangtahun Hari Keputeraan Tuanku, sukalah Kerajaan memberi jaminan bahawa pihak Kerajaan dan ahli- ahli Jemaah Menteri akan memberi kerjasama penuh kepada Tuanku berdua dalam menjalankan tugas-tugas sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong selaras dengan prinsip-prinsip dan keperluan-keperluan Sistem Raja Berperlembagaan. Kerajaan yakin di bawah naungan Tuanku, Malaysia akan terus stabil, maju dan makmur. 10. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini, Kerajaan, pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam dan rakyat dengan penuh hormat dan takzimnya menyampaikan ikrar taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Tuanku sebagai Raja yang memerintah dan juga kepada Raja Permaisuri Agong.