Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 07/06/99 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG PARTI PROGRESIF PENDUDUK MALAYSIA (PPP) Saya ucapkan terima kasih kepada Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) kerana sekali lagi sudi menjemput saya untuk merasmikan Perhimpunan Agungnya bagi tahun 1999 hari ini. Saya juga ucapkan tahniah kepada Datuk M. Kayveas, Presiden PPP yang telah berjaya memberikan kepimpinan yang berkesan hingga dapat menyatukan ahli-ahli dan terus mengukuhkan partinya. 2. PPP sebagai parti komponen Barisan Nasional telah menunjukkan semangat yang tinggi dalam melaksanakan segala cita-cita dan perjuangan Barisan Nasional. Walaupun PPP adalah sebuah parti kecil dan sudah lama anggotanya tidak memegang jawatan-jawatan tinggi dalam Kerajaan seperti ahli EXCO Negeri atau menjadi wakil- wakil rakyat baik di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri, seperti di zaman Perikatan dahulu, perjuangannya tidak pernah luntur. Walaupun ia pernah mengalami masalah kepimpinan tidak lama dulu PPP tetap teguh dalam Barisan Nasional. 3. Para anggotanya menunjukkan kesanggupan dan dedikasi yang tinggi dalam menjayakan segala usaha Kerajaan Barisan Nasional memenuhi aspirasi dan menangani masalah rakyat. Nyata sekali walaupun peranan PPP dalam politik negara kelihatan kecil, semangat yang ditunjukkannya dalam mendokong perjuangan Barisan Nasional sama besar dengan peranan yang dimainkan oleh parti-parti komponen lain yang lebih besar jumlah anggotanya. 4. Dalam Barisan Nasional semua anggota komponennya berpegang kepada aspirasi dan matlamat yang sama iaitu meneruskan tradisi membela dan membangunkan rakyat dan negara tanpa mengira parti itu kecil atau besar. Dalam Barisan Nasional kedudukan parti-parti komponen adalah setaraf, tidak kira sama ada mereka mempunyai jumlah anggota yang besar ataupun tidak. 5. Justeru itu, tidak timbul perasaan rendah diri atau dianaktirikan di kalangan anggota komponen Barisan Nasional. Atas semangat kerjasama dan perpaduan yang kukuh inilah Barisan Nasional terus mantap dan mampu membentuk Kerajaan sejak negara kita mencapai kemerdekaan. Semangat ini hendaklah kita kekalkan selama-lamanya bagi mempastikan Barisan Nasional terus memerintah negara ini. 6. Kita harus ingat walaupun ada parti komponen yang tidak mempunyai kedudukan yang tinggi dalam perwakilan Kerajaan ataupun perwakilan rakyat, ini tidaklah bermakna ia diketepikan atau tidak mendapat manfaat daripada kerjasama antara parti-parti komponen dalam Barisan Nasional. Tidak mendapat habuan tidak bermakna parti tidak mendapat apa-apa daripada Barisan Nasional. Dalam Barisan Nasional kita tidak harus berpandangan sempit dengan melihat kepada apa yang kita dapati secara langsung sahaja. 7. Sebenarnya, kebaikan yang diperolehi daripada kerjasama dalam Barisan Nasional ialah pembangunan, kemajuan, kemakmuran dan keamanan yang dibawa oleh Kerajaan Barisan Nasional untuk dikecapi oleh seluruh rakyat. Jika perjuangan kita ialah untuk kebaikan negara dan rakyatnya, maka pencapaian kebaikan ini bermakna perjuangan kita sudah berhasil. Apabila negara menjadi maju kerana perjuangan kita, tidak dapat tidak kita sendiri akan mengecapi keuntungan daripadanya walaupun secara 'indirect'. Sebenarnya kebanyakan pejuang dan penyokong Barisan Nasional tidak mendapat apa-apa bagi diri mereka secara langsung. Mereka hanya mendapat nikmat daripada kejayaan negara. 8. Atas landasan tidak mementingkan diri inilah Barisan Nasional semakin kukuh dan menjadi daya penarik kepada rakyat daripada semua kaum di negara ini. Perjuangan Barisan Nasional diterima dengan bulatnya kerana sudah terbukti ia menjaga kepentingan semua lapisan rakyat. 9. Banyak parti lain, terutama parti pembangkang ingin meniru konsep Barisan Nasional. Tetapi mereka tidak mempunyai tujuan untuk kebaikan negara dan rakyatnya. Mereka hanya ingin memenangi pilihanraya. Justeru itu apabila sahaja pilihanraya sudah hampir maka mereka akan sibuk membentuk kerjasama di antara parti-parti mereka. Kerjasama ini bukan kerjasama yang serius dan bermakna. Masing-masing mempunyai agenda yang tersendiri yang tidak secocok dengan hasrat rakan mereka. Niat mereka ialah mengabui mata rakyat dengan gambaran bahawa mereka adalah alternatif yang serius. 10. Percayalah mereka tidak pun dapat bekerjasama semasa pilihanraya, jauh sekali selepas kemenangan yang mereka harapkan. Mereka akan bercakaran sesama sendiri. Sementara satu parti ingin mendirikan Negara Islam kononnya, yang satu lagi menolak Negara Islam dan ingin mendirikan 'Malaysian Malaysia'. 11. Mereka amat marah apabila dituduh bahawa Kerajaan Islam mereka akan menidakkan hak orang bukan Islam dan Malaysian Malaysia akan menggugat hak dan kedudukan orang Bumiputera. Mereka ingin mendakwa di mahkamah sesiapa yang menuduh ini adalah niat mereka. Tetapi kenapakah apabila mereka mengisytihar hasrat mereka, mereka tidak jelaskan tujuan mereka secara terang? 12. Kita tahu Malaysian Malaysia bertujuan meragut hak dan kedudukan Bumiputera. Jika Malaysian Malaysia kedua tidak punyai tujuan yang membawa rusuhan kaum pada tahun 1969, kenapakah mereka tidak berkata awal- awal lagi secara terang dan jelas? 13. Mereka cuma menyebut Malaysian Malaysia dan Negara Islam tanpa keterangan akan maksud mereka. Apabila mereka dituduh maka mereka cuba menakutkan pengkritik mereka dengan ugutan untuk mendakwa di mahkamah. Sebenarnya penafian mereka ialah sebagai 'after thought' kerana saranan mereka dikecam hebat. 14. Saya percaya pilihanraya yang akan datang ini akan menjadi pilihanraya yang terkotor sekali. Bukan sahaja parti lawan akan mengguna bermacam ugutan dan hasutan tetapi mereka akan dibantu oleh dalang-dalang dari luar negeri dengan media mereka. Pilihanraya ini akan menjadi lebih kotor kerana parti lawan menghalalkan perkataan yang kesat, jijik, kotor dan mencarut. Mereka sudah pun mulakan cara-cara buruk ini dalam ceramah-ceramah mereka. 15. Kita dalam Barisan Nasional tidak akan tiru cara yang kotor ini. Kita tidak akan minta pertolongan orang asing, negara asing, kuasa asing atau media asing. Kita percaya kepada rakyat negara ini dan merekalah yang akan menentukan nasib kita dan nasib mereka serta Kerajaan yang akan memerintah mereka. Kita yakin rakyat negara ini adalah daripada bangsa yang berbangga dengan kebebasan mereka dan mereka akan pilih parti yang bebas daripada didalangi oleh kuasa asing. Dan parti yang bebas di Malaysia hanyalah Barisan Nasional. Kita punyai rekod khidmat yang cemerlang. Kita telah banyak membawa pembangunan dan kemewahan kepada negara ini. Kita telah dapat mematah serangan orang asing ke atas ekonomi kita. Dan kita buat semua ini tanpa bergantung kepada kuasa luar. Kita pertahankan ekonomi, sosial dan politik negara ini dengan tenaga dan kebolehan kita sendiri. 16. Parti-parti dalam Barisan Nasional hendaklah bekerjasama untuk menentukan kejayaan kita dalam pilihanraya akan datang. Walaupun kita ada masalah atau rungutan, semua ini hendaklah diketepikan buat sementara waktu. Hanya kemenangan kita sahaja yang boleh menyelesaikan apa-apa masalah yang kita hadapi. Jika kerana tuntutan kita tidak dilayan dan kita kecewa maka ia mungkin menyebabkan kita gagal. Jika kita gagal tuntutan atau masalah kita tidak akan dapat diatasi juga. 17. Saya berharap para anggota parti PPP dapat memahami peranan dan tanggungjawab mereka dalam Barisan Nasional dan masyarakat. Tugas yang harus mereka pikul bukan sekadar menangani isu-isu politik atau soal kemasyarakatan malah tugas yang lebih besar ialah menyelamatkan bangsa dan negara. Di waktu ini hanya Barisan Nasional sahaja yang boleh dipercayai untuk membela negara dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa. Justeru itu, tentukan Barisan Nasional akan menang dengan kemenangan yang mencukupi bagi mendirikan Kerajaan yang berwibawa. 18. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk Malaysia bagi tahun 1999.