Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN
DUNIA PUTRA
Tarikh/Date : 09/06/99
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN MINGGU
PELABURAN BERSAMA PNB
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak
Permodalan Nasional Berhad (PNB) kerana menjemput saya
untuk melancarkan Minggu Pelaburan bersama PNB pada
hari ini. Usaha ini jelas menunjukkan ketegasan PNB
tentang pentingnya penggemblengan modal dalam membantu
mengukuhkan ekonomi negara. Usaha PNB ini adalah
tepat pada masanya memandangkan seluruh rakyat di
negara ini akan dapat menyaksikan kejayaan PNB selama
ini menerusi pameran, ceramah dan seminar sepanjang
Minggu Pelaburan ini.
2. Seperti yang kita sedia maklum PNB ditubuhkan
sebagai salah satu alat penting dalam usaha menjayakan
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan menghapuskan
kemiskinan di kalangan semua kaum dan menghapuskan
pengenalan atau identifikasi kaum dengan fungsi
ekonomi. Perbezaan kegiatan ekonomi di antara kaum
Bumiputera dengan bukan Bumiputera telah menyebabkan
jurang pendapatan yang besar dan merenggangkan
perhubungan antara mereka. Keadaan yang tidak sihat
ini adalah salah satu punca tercetusnya rusuhan kaum
pada 13 Mei 1969.
3. Kejayaan PNB menggembleng lebih daripada RM48
bilion daripada tujuh juta pelabur, yang majoriti
besarnya adalah Bumiputera, menerusi dana-dana saham
amanah yang diuruskan olehnya telah membantu
mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum di
Malaysia. Di masa yang sama kemiskinan di kalangan
semua kaum kini telah berkurangan daripada 49 peratus
pada tahun 1970 tahun pertama DEB, kepada lapan
peratus sekarang. Kadar kemiskinan ini dijangka
berkurangan kepada enam peratus pada tahun 2000.
4. Pada hari ini keadaan yang terdapat dalam
masyarakat berbilang kaum di Malaysia adalah lebih
adil dan saksama daripada keadaan sebelumnya.
Keadilan sosial dan ekonomi yang dinikmati oleh rakyat
Malaysia hari ini ternyata adalah disebabkan oleh DEB
yang merupakan dasar dan pendekatan yang penting dan
bermakna. Kejayaan DEB lebih membanggakan kerana ia
bukan sahaja dapat memperbaiki ketidakadilan ekonomi
di antara kaum di Malaysia tetapi jauh daripada
menjejas ekonomi, ia telah membantu pertumbuhan
ekonomi negara.
5. Bagi kita DEB adalah cara kita mengatasi
ketidakadilan dan keadaan tidak seimbang di antara
kaum-kaum di Malaysia. Ia adalah suatu usaha 'social-
engineering' yang penting dan wajar. Rakyat bukan
Bumiputera juga menerima dan bekerjasama dalam
menjayakan DEB, walaupun pada mulanya mereka curiga
sedikit.
6. Malangnya ada orang asing yang tidak begitu
senang dengan DEB. Oleh kerana DEB melayani hak
Bumiputera dan bukan Bumiputera, orang asing
berpendapat mereka tidak akan mendapat peluang untuk
diri mereka. Walaupun mereka juga mendapat peluang,
tetapi oleh kerana mereka tidak dapat memiliki semua
seratus peratus, mereka amat kecewa. Alasan mereka
ialah mereka mampu daripada segi modal dan mereka
lebih cekap dan dengan itu kita akan menikmati hasil
khidmat yang lebih efisien dan kononnya lebih murah.
Tetapi jika mereka memiliki semua bank dan syarikat,
apakah yang akan tinggal kepada kita selain daripada
menjadi orang gaji mereka?
7. Kecewa dengan DEB mereka menuduh bahawa agihan
mengikut DEB adalah cara mengutamakan kroni. Siapa
juga yang dapat sesuatu kerana DEB dianggap sebagai
kroni oleh mereka. Walaupun berjuta Bumiputera
mendapat peluang melalui DEB, semua mereka dianggap
sebagai kroni. Apabila penswastaan dilaksanakan dan
untuk mengatasi ketidakseimbangan yang ketara di
peringkat atasan, maka orang asing menjadi lebih
kecewa kerana mereka tidak mendapat peluang-peluang
keemasan daripada proses penswastaan.
8. Amat malang sekali apabila Bumiputera tertentu,
yang mendapat peluang dan nikmat daripada DEB, tiba-
tiba memihak kepada orang asing dan mengecam agihan
peluang kepada Bumiputra. Kononnya siapa juga
Bumiputera yang dapat peluang adalah kroni pemimpin
Kerajaan. Oleh kerana kepentingan tertentu mereka
cuba gagalkan DEB kerana dihasut oleh orang asing dan
ingin mendapat pujian dan sokongan daripada mereka.
9. Kita tidak boleh terpengaruh dengan tuduhan
kronisma, nepotisma dan sebagainya sehingga kita
berasa tersalah apabila melaksanakan DEB. Biarlah
orang asing mengecam dan mengkritik, biarlah pengikut-
pengikut mereka di Malaysia turut mengecam, kita harus
teruskan dasar kita. Masyarakat berbilang kaum di
Malaysia mestilah dibangunkan bersama dan menikmati
kekayaan negara ini secara adil dan saksama. Kita
lebih tahu akan apa yang mungkin berlaku jika kaum-
kaum di Malaysia tidak menikmati kekayaan negara ini
secara adil dan saksama.
10. Seperti mana kita semua tahu, negara kita turut
diserang oleh pedagang matawang dan 'short-sellers' di
BSKL. Daripada pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan
peratus setiap tahun, pada tahun 1998 ekonomi kita
merosot sebanyak hampir tujuh peratus. Mereka yang
menyerang kita dan menunggu kita akan serah kalah dan
mengemis meminta bantuan mereka, berasa amat kecewa
kerana kita tidak meminta-minta dan menerima
kongkongan oleh mereka. Sebaliknya kita cipta
penyelesaian kita sendiri dan pendekatan kita ini
dapat memulih semula ekonomi kita. Sekarang mereka
terpaksa mengakui bahawa pendekatan kita memang
berjaya. Mereka akui kita akan pulih lebih cepat
daripada negara-negara lain yang diserang oleh
penyangak matawang dan pelabur jangka pendek.
11. Walaupun kita tidak perlu tepuk dada dan bermegah-
megah, tetapi kejayaan kita menangani kegawatan
ekonomi harus menyakinkan kita bahawa kebolehan kita
tidaklah seperti yang didakwa oleh orang asing. Kita
boleh, Malaysia boleh. Oleh itu berilah kepercayaan
kepada Kerajaan dalam usaha menangani masalah-masalah
negara, baik dalam bidang ekonomi mahupun politik atau
sosial.
12. Saya sebut tentang perlunya kepercayaan diberi
kepada Kerajaan kerana ramai juga rakyat Malaysia,
terutama yang berpelajaran yang tidak yakin akan
kebolehan kita, yang turut bersama dengan orang asing
mengecam kita, yang mendesak supaya kita ikut secara
buta tuli apa yang disarankan oleh orang asing dan
pakar-pakar mereka. Janganlah apabila mereka kecam
DEB, orang kita pun turut kecam, apabila mereka
menuduh kita amalkan kronisma dan nepotisma, kita juga
menyalahkan Kerajaan kerana kononnya mengamalkan
kronisma dan nepotisma, apabila mereka kecam kita
kerana tidak telus kononnya, seperti burung kakak tua,
kita juga menyahut tuduhan itu.
13. Sekarang ramai daripada orang asing yang bercakap
berkenaan dengan sosial 'safetynet'. Bagi mereka
sosial 'safetynet' bermakna memberi elaun atau 'dole'
kepada sesiapa yang tidak bekerja. Mereka juga mahu
kita bayar gaji yang sama tinggi dengan mereka dan
lain-lain lagi.
14. Cara mereka sebenarnya akan merosakkan ekonomi.
Apabila orang yang tidak bekerja dibayar elaun maka
ramai yang pilih untuk tidak bekerja. Dengan ini
Kerajaan perlu peruntukan wang yang banyak untuk
'dole'. Ini hanya boleh dibuat dengan menaikkan cukai
ke atas orang yang sanggup bekerja. Sudah tentu kos
pengeluaran barangan akan naik dan dengan itu sara
hidup juga akan naik. Dengan kenaikan sara hidup
'dole' juga perlu dinaikkan, dan kemudian cukai perlu
naik sekali lagi dan seterusnya. Sementara itu
kenaikan kos pengeluaran barangan akan mengurangkan
daya-saing kita dalam pasaran dunia.
15. Kita mungkin fikir bahawa walaupun pendekatan
mereka tidak begitu baik, namun mereka masih juga
maju. Kemajuan mereka datang daripada kepintaran
mereka, daripada cara mereka menurunkan harga bahan
mentah yang mereka beli dari negara membangun, dan
menjual barangan buatan mereka dengan harga yang naik
sepanjang masa. Apabila ternampak seolah-olah ada
negara membangun yang mampu bersaing dengan mereka
dalam pasaran barang buatan, maka mereka menyerang
mata wang dan merosakkan ekonomi negara-negara ini.
Mereka boleh menafikan bahawa inilah matlamat mereka,
tetapi sama ada benar atau tidak ramalan ini,
hakikatnya ialah negara-negara yang baru
'industrialise' sudah tidak dapat bersaing dengan
negara maju lagi.
16. Kita juga prihatin dan bertimbangrasa terhadap
nasib rakyat kita. Tetapi pendekatan kita ialah
dengan menambah peluang kerja, mengawal harga barangan
dan inflasi, menghapuskan kemiskinan dan mengagih
kekayaan negara secara saksama. Dasar Ekonomi Baru
dan dasar-dasar kita yang lain adalah bertujuan untuk
menjayakan pertumbuhan ekonomi kita secara tersusun
dan teratur, supaya semua rakyat dapat kehidupan yang
bahagia. Bukanlah tujuan kita untuk menyamakan
pendapatan tiap-tiap rakyat seperti yang dicuba oleh
Komunis dan Sosialis. Kita tidak ingin hapuskan orang
yang kaya kerana mereka diperlukan untuk membayar
cukai yang tinggi supaya hasil Kerajaan meningkat dan
dengan itu Kerajaan dapat membekalkan kemudahan bagi
semua rakyat dan menolong yang termiskin. Jika DEB
melalui penswastaan menyebabkan tercetusnya sebilangan
Bumiputera yang kaya-raya, ini adalah kerana kita
tidak ingin melihat yang kaya-raya hanyalah daripada
kaum bukan Bumiputera sahaja.
17. Kita akui bahawa penswastaan telah menghasilkan
beberapa orang Bumiputera yang kaya. Tetapi institusi
yang diswastakan tidak mungkin berjaya jika tidak ada
seorang yang bertanggungjawab secara serius kerana
kegagalan perniagaan akan membawa kerugian yang besar
kepadanya. Oleh kerana tidak ada tuanpunya yang takut
rugi dalam perniagaan dan institusi Kerajaan, kita
dapati perniagaan Kerajaan, walaupun merupakan
monopoli, jarang sekali mendapat keuntungan. Kita
disuruh oleh orang asing dan pengikut mereka dalam
negara ini supaya membenci kepada Bumiputera yang
berjaya melalui DEB dan penswastaan. Kebencian dan
irihati ini adalah perasaan yang buruk dan hina.
Orang asing suka menggunakan perasaan ini untuk
menggagalkan rancangan kita mengagihkan kekayaan
negara ini secara adil antara kaum. Mereka ingin
melihat kaum-kaum di negara ini bermusuh, bertindak
ganas dan merosakkan negara kita. Oleh itu janganlah
kita benarkan diri kita dipengaruhi dan dihasut oleh
mereka.
18. DEB dan alat terpentingnya PNB adalah cara kita
mengadakan keadilan sosial dan juga sosial 'safetynet'
untuk negara kita. Kejayaan PNB tidak dapat dinafikan
oleh sesiapa. Jika tidak kerana PNB tidak mungkin
Bumiputera mengumpul modal sebanyak lebih 40 bilion
ringgit dan menggunakan modal ini secara berkesan
dalam pasaran saham dan perniagaan lain. Lebih tujuh
juta Bumiputera mendapat nikmat daripada pelaburan
dalam PNB dan amanah saham yang diuruskan olehnya.
PNB adalah ciptaan kita yang unik yang tidak ada di
mana-mana negara di dunia. Dan dianya lebih baik
daripada pendekatan ideologi-ideologi yang biasa
dicipta untuk membentuk masyarakat yang adil dan
saksama.
19. Golongan Bumiputera telah mendapat manfaat yang
besar dengan melabur dalam Amanah Saham Nasional dan
Amanah Saham Bumiputera. Begitu juga dengan kaum
bukan Bumiputera yang turut menikmati hasil kejayaan
PNB menerusi pelaburan mereka dalam Skim Amanah Saham
Wawasan 2020. Pulangan dividen dan bonus yang
diberikan oleh PNB kepada para pelabur dana-dana saham
amanahnya pada setiap tahun adalah menarik. Purata
dividen yang diberikan oleh PNB (1981-1998) adalah
lebih kurang 13 peratus. Sementara purata pulangan di
pasaran terbuka dan simpanan tetap dalam tempoh yang
sama (1981-1998) adalah lebih kurang lapan peratus.
Manfaat daripada pulangan dividen dan bonus daripada
PNB ini terus dinikmati oleh golongan termiskin di
bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin Skim Amanah
Saham Bumiputera. Sehingga 30 April 1999, seramai
156,397 orang daripada golongan termiskin terlibat di
bawah program PPRT-ASB ini dengan peruntukan sebanyak
RM782 juta.
20. Kemantapan dan kejayaan PNB telah menyakinkan
Kerajaan untuk meluluskan PNB menawarkan satu lagi
produk baru sempena Minggu Pelaburan Bersama PNB ini.
Produk baru tersebut dikenali sebagai Amanah Saham
Nasional Kedua dan akan mula ditawarkan berkuatkuasa
pada 10 Jun 1999, iaitu pada hari esok. Amanah Saham
Nasional Kedua ini dibuka kepada semua Bumiputera yang
berumur 18 tahun ke atas. Saiz dana Amanah Saham
Nasional Kedua ini adalah berjumlah 2.5 bilion unit.
Saya harap mereka yang layak akan mengambil peluang
melabur dalam Amanah Saham Nasional Kedua ini yang
mana had maksimum pelaburan yang dibenarkan ialah
sehingga 500,000 unit. PNB juga sedang meneliti dan
mengkaji produk-produk baru yang lain bagi memenuhi
keperluan pasaran dan yang akan memberi manfaat kepada
semua rakyat Malaysia.
21. Sebagai pemimpin dalam industri saham amanah di
negara ini, sememangnya tepat bagi PNB mengadakan
Minggu Pelaburan Bersama PNB ini. Sehubungan dengan
ini, Kerajaan ingin mengumumkan bahawa mulai hari ini,
20 April pada setiap tahun akan dikenali sebagai
Minggu Saham Amanah Malaysia bertepatan dengan tarikh
pelancaran Skim Amanah Saham Nasional Pertama pada 20
April 1981.
22. Akhir kata, dengan sukacitanya saya dengan
rasminya melancarkan Minggu Pelaburan Bersama PNB.
|