Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN
DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 18/06/99
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
" MARUAH BANGSA TANGGUNGJAWAB UMNO "
Empat puluh dua tahun bukan satu jangka masa yang
panjang dalam sejarah sesebuah negara. Negeri-negeri
Melayu telah dijajah lebih dari 400 tahun jika dikira
dari tarikh kejatuhan Melaka. Dengan perkataan lain
bangsa Melayu dan rumpun Melayu mengambil masa lebih
dari 400 tahun untuk merebut balik kemerdekaan, untuk
membebaskan diri.
2. Sebaliknya kejatuhan negeri-negeri Melayu, Sabah
dan Sarawak ke tangan bangsa asing mengambil masa yang
amat pendek, hanya beberapa hari atau minggu sahaja.
HARGAI KEMERDEKAAN NEGARA
3. Jika kita ingin sejarah penaklukan kita oleh kuasa
asing tidak berulang hendaklah kita sedar bahawa
kemerdekaan kita, kebebasan kita boleh dihapuskan dalam
masa yang singkat. Dan setelah hilang kemerdekaan kita
tidak mudah untuk mengembalikannya. Proses
mengembalikan kemerdekaan akan memakan masa yang amat
panjang mungkin beberapa abad. Hakikat ini perlu kita
ingat jika kita menghargai kemerdekaan kita, jika kita
ingin terus bebas dan merdeka, jika kita ingin kekalkan
penentuan nasib kita dibuat oleh kita sendiri selama-
lamanya.
4. Ingatlah sementara orang Melayu di Semenanjung dan
di Sabah serta Sarawak bebas dan merdeka, orang Melayu
ke Utara dan Selatan tidak seperti kita. Mereka hidup
di negara orang dan selama-lamanya akan hidup di negara
orang. Oleh itu insaflah dan bersyukurlah dengan
nikmat hasil perjuangan kita.
5. Walaupun di zaman ini penjajahan dan penaklukan
secara langsung oleh sesuatu bangsa ke atas negara lain
sudah tidak dapat diterima lagi, tetapi ini tidak
bermakna keinginan untuk menjajah sudah luput daripada
budaya penjajah, khususnya etnik Eropah. Harimau tidak
akan hilang belangnya. Demikian etnik Eropah masih
ingin menguasai dunia, masih ingin menjajah, jika tidak
secara langsung sekurang-kurangnya secara tidak
langsung, dengan mendominasi negara lemah atau dengan
mengguna boneka mereka.
6. Inilah yang sedang kita lihat sekarang. Penjajah
akan menafikan sekeras-kerasnya bahawa mereka mempunyai
niat untuk menjajah semula negara bukan milik etnik
Eropah, tetapi hasil daripada tindakan mereka tidak
banyak berbeza daripada penjajahan. Secara efektif
wilayah yang menjadi sasaran mereka dikuasai oleh
mereka, diletakkan di bawah telunjuk mereka, dan
sebenarnya diperintah oleh mereka. Kerajaan negara-
negara yang mereka kuasai tidak lagi bebas untuk
mengurus ekonomi atau politik dalaman dan luar.
7. Semasa dunia terbahagi kepada dua blok, negara-
negara kecil di Asia dan Afrika mempunyai pilihan untuk
menukar blok jika mereka berasa terancam oleh mana-mana
blok. Dengan itu tekanan ke atas mereka tidaklah
terlalu berat. Kedua-dua blok berhati-hati kerana
tekanan yang terlalu kuat boleh menyebabkan mangsa
mereka mencari perlindungan blok yang satu lagi.
8. Malangnya blok Komunis ditewas dan dunia tinggal
dengan satu blok sahaja -- iaitu blok Kapitalis. Bebas
daripada kemungkinan negara-negara berkecuali memilih
untuk menyertai blok Komunis, negara Kapitalis tidak
lagi membendung atau menyembunyi keinginan mereka untuk
menjajah semula. Mereka juga tidak lagi perlu
menyembunyi taring mereka. Apa dianya sistem Kapitalis
yang sebenar didedahkan tanpa segan-silu.
KUASA PASARAN MENJADI PENENTU
9. Mengikut sistem Kapitalis yang sekarang
diperkenalkan, Pemerintah atau Kerajaan tidak lagi
berhak mengawal gerak-geri peniaga dan pengusaha iaitu
kapitalis dalam pasaran yang bebas. Kuasa pasaran atau
'market-forces' akan menentukan segala-galanya. Jika
sesuatu yang dilakukan oleh mereka merugikan mereka
maka kononnya mereka dengan sendirinya akan mengawal
perbuatan itu atau menghentikannya.
10. Dengan itu segala aturan-peraturan dan undang-
undang yang mengawal dan menguasai aktiviti kapitalis
di negara mereka dimansuhkan melalui proses
'deregulation' yang disarankan oleh mereka. Maka
bertambah kayalah yang berjaya dan berwibawa, dan
hancurlah yang lemah dan kecil. Melalui proses Darwin
'survival of the fittest' maka muncullah gergasi
Kapitalis yang memiliki atau menguasai jumlah modal
yang tidak terhad.
11. Gergasi-gergasi ini mendapati negara mereka
terlalu sempit untuk cita-cita besar mereka.
Kenapakah, tanya mereka, sempadan negara mereka harus
membataskan kegiatan mereka untuk mengejar keuntungan
yang tidak terhad? Kenapakah mereka tidak boleh
mengguna modal besar mereka di seluruh dunia?
Kenapakah negara-negara yang mempunyai potensi untuk
dieksploitasi harus menyekat gergasi-gergasi kapitalis
ini dengan mengadakan undang-undang tertentu yang
menghadkan kegiatan perniagaan kepada warga mereka
sahaja? Kenapakah negara-negara ini juga tidak
mengadakan 'deregulation' dan memberi kebebasan kepada
kuasa pasaran?
12. Melalui GATT atau Perjanjian Am Mengenai Tarif dan
Perdagangan, mereka cuba meruntuhkan segala benteng
pertahanan negara-negara di dunia. Mereka mengambil
kesempatan daripada perkembangan teknologi
telekomunikasi untuk memperkenalkan konsep dunia tanpa
sempadan, 'a borderless world', yang kemudian ditakrif
sebagai 'globalisation' atau globalisasi.
13. Apabila Pertubuhan Perdagangan Dunia atau WTO
ditubuhkan mereka menggunakan badan ini untuk memajukan
konsep globalisasi. Mereka mengguna sebagai umpan
pelaburan modal mereka yang boleh membawa kemajuan yang
pesat kepada negara-negara membangun. Mereka mengugut
untuk menyekat kemasukan barangan dari negara-negara
industri baru, 'the New Industrialising Countries',
jika pasaran mereka ini tidak dibuka luas untuk
kemasukan barangan dan modal mereka.
14. Demikianlah gambaran menarik berkenaan globalisasi
yang dicanang oleh mereka sehingga seluruh dunia
termasuklah negara industri yang baru dan negara
membangun menyambut konsep globalisasi dan berjanji
akan meruntuhkan semua sempadan nasional dan membuka
luas pasaran mereka kepada barangan dan modal negara
maju dari Barat.
15. Malaysia adalah antara negara membangun yang asyik
mendengar berita baik dari Barat ini sehingga
membenarkan Ringgit dijadikan matawang antarabangsa
yang boleh diniagakan dengan bebas. Pelaburan modal
asing dalam pasaran saham digalakkan melalui 'road-
show' di negara-negara maju.
16. Dan Malaysia serta peniaga-peniaganya begitu
gembira melihat Indeks Komposit naik dengan mendadak,
jauh lebih tinggi daripada nilai sebenar saham-saham
mereka. Dengan kenaikan ini, syarikat-syarikat
memiliki modal pasaran yang tinggi yang membolehkan
mereka berhutang dengan banyaknya dari bank. Bagi
peniaga kita, globalisasi, dunia tanpa sempadan,
ternampak menarik dan akan membawa keuntungan yang
tidak terhingga.
KEMUNGKINAN DIJAJAH SEMULA
17. Apa yang kita tidak faham dan tidak sedar ialah
keruntuhan sempadan kita mendedahkan kita kepada
kemungkinan kita dijajah semula. Sama ada bekas
penjajah-penjajah dari Barat berniat atau merancang
untuk menakluk semula wilayah-wilayah yang telah
dibebaskan oleh mereka pada pertengahan abad ini, tidak
dapat dipastikan. Mereka menyangkal yang mereka
mempunyai niat serupa itu. Tetapi apa yang berlaku
setelah globalisasi diterima dan sempadan dirobohkan
ialah negara-negara yang baru sahaja merdeka, bahkan
yang tidak pernah dijajah, telah secara tidak langsung
dijajah.
18. Senjata penjajahan yang terbaru dan amat berkesan
ialah menurunkan nilai matawang negara yang menjadi
sasaran mereka. Mereka juga menyerang dan menurunkan
nilai saham-saham yang diniagakan di pasaran saham
negara sasar.
19. Apabila nilai matawang dijatuhkan maka kuasa
membeli peniaga, rakyat dan juga negara akan jatuh dan
mereka tiba-tiba akan menjadi miskin. Lebih rendah
nilai matawang ditekan turun lebih lemahlah kuasa
membeli. Oleh kerana semua negara perlu mengimport
pelbagai jenis barang, bahan mentah dan makanan dari
luar, maka kejatuhan nilai matawang bermakna bukan
sahaja barangan import terpaksa dikurangkan tetapi
harga barangan ini dalam matawang tempatan akan naik
dan inflasi akan menekan rakyat. Kehidupan rakyat,
terutama yang miskin akan terancam. Mereka mungkin
tidak dapat membeli makanan yang cukup, membeli ubat
atau susu untuk anak.
20. Lebih rendah nilai matawang tempatan berbanding
dengan nilai matawang asing yang diperlukan untuk
bayaran import, lebih miskin dan daiflah rakyat negara
sasaran. Adakalanya nilai matawang tempatan diturunkan
sehingga tidak berguna lagi.
21. Dengan kejatuhan nilai matawang, pembayaran hutang
luar sukar dibuat. Demikian juga hutang bank dalam
negeri sukar dibayar. Bank-bank dan syarikat-syarikat
pun rugi dan lumpuh. Pekerja mereka terpaksa dibuang
dan jumlah penganggur pun meningkat. Dengan itu
masalah sosial menjadi amat buruk.
22. Tidak cukup dengan menurunkan nilai matawang,
kapitalis Barat jenis baru ini menyerang dan menurunkan
nilai saham syarikat yang disenarai dan diniagakan di
pasaran saham. Melalui 'short-selling' atau jualan
singkat, iaitu menjual berturut-turut saham milik
mereka atau yang mereka pinjam, harga saham ditekan
turun serendah-rendahnya.
23. Apabila harga saham jatuh lebih rendah daripada
harga saham yang dicagar dengan bank, maka bank akan
menuntut supaya peminjam membayar sebanyak perbezaan di
antara nilai saham yang dicagar dan nilai saham di
pasaran semasa. Oleh kerana semasa kegawatan semua
syarikat tidak mendapat keuntungan, bahkan tidak dapat
berniaga, mereka tidak dapat menunaikan tuntutan bank.
Dengan itu hutang mereka menjadi hutang yang tidak
dapat dibayar atau 'non-performing loans' dan mereka
tidak lagi dapat meminjam dari bank untuk berniaga.
Bank pula rugi kerana terlalu banyak hutang tidak
dibayar.
24. Di Malaysia, Kementerian Kewangan yang pada masa
itu dipimpin oleh peminat IMF (International Monetary
Fund) menyulitkan lagi keadaan dengan menaikkan kadar
faedah kepada, secara efektif, 24 peratus; mengurangkan
duit dalam bank komersil dan memendekkan masa hutang
ditakrif sebagai sudah menjadi lapuk dari enam bulan
kepada tiga bulan. Di masa yang sama belanjawan
Kerajaan dipotong sebanyak 21 peratus. Oleh kerana
perbelanjaan pengurusan tidak dapat dikurangkan, maka
peruntukan untuk pembangunan terpaksa dihapuskan sama
sekali.
25. Atas arahan Kabinet, simpanan berkanun atau
'statutory reserve' bank-bank dikurangkan sebanyak
tiga peratus supaya bank mempunyai wang untuk
dipinjamkan. Bank Negara menurut arahan ini tetapi di
masa yang sama Bank Negara menarik balik pinjamannya
kepada bank-bank sebanyak jumlah yang sama. Dengan ini
arahan Kabinet tidak membawa apa-apa kesan dalam
menambah kredit yang boleh dipinjamkan oleh bank.
26. Tindakan Kementerian Kewangan pada ketika itu,
yang diilhamkan oleh IMF, telah menyebabkan aktiviti
ekonomi hampir terhenti terus. Bank-bank tidak dapat
mengutip hutang, syarikat tidak dapat membayar hutang.
Ekonomi merosot dengan teruknya dan banyaklah syarikat
yang merayu supaya mereka diberi kebenaran menjual
syarikat mereka kepada orang asing.
27. Hasil mahsul Kerajaan jatuh dengan teruknya kerana
tidak ada perniagaan yang memperolehi keuntungan. Ada
kemungkinan Kerajaan tidak dapat menanggung
perbelanjaan pengurusan. Kerajaan begitu terdesak
sehingga ramai pemerhati asing meramalkan Malaysia akan
terpaksa meminta pertolongan IMF dan menerima syaratnya
untuk membuka ekonomi supaya orang asing dapat membeli
bank dan syarikat-syarikat yang sudah tenat dengan
harga yang murah.
SENJATA EKONOMI UNTUK LEMAHKAN KITA
28. Senjata ekonomi yang dimiliki oleh kuasa Barat,
terutama kebolehan untuk menjatuhkan nilai matawang dan
harga saham memang mustajab. Mereka boleh menggunakan
senjata ini untuk melemahkan sasaran mereka sehingga
terpaksa tunduk kepada kehendak mereka.
29. Kesan utama senjata ini ialah membuka negara
kepada gerakan keluar-masuk modal kapitalis Barat tanpa
apa-apa syarat atau sekatan. Perlindungan yang biasa
diberi kepada peniaga tempatan mestilah dihapuskan
supaya peniaga asing bebas bukan sahaja untuk
mengambilalih sepenuhnya bank-bank dan syarikat-
syarikat tempatan tetapi mereka boleh menubuhkan
perniagaan dan bank-bank yang dimiliki 100 peratus oleh
mereka. Dengan kekuatan modal dan pengalaman mereka,
semua perniagaan dan perusahaan tempatan akan dikuasai
oleh mereka. Rakyat tempatan hanya akan menjadi
pekerja mereka, yang mungkin dibenar melabur dalam
syarikat mereka tetapi tidak mungkin menguasai syarikat
asing ini. Apabila ekonomi sudah dikuasai, mereka akan
cuba menguasai politik pula.
30. Di beberapa negara kecil di Amerika Tengah, yang
ekonomi mereka bergantung hampir sepenuhnya kepada
estet pisang yang dimiliki oleh pelabur asing,
kepimpinan negara bergantung kepada sokongan pemilik
estet besar ini. Dengan itu pelabur asing akan
menentukan siapa yang menubuhkan Kerajaan.
31. Di Malaysia kita mempunyai masalah yang rumit.
Melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) kita mengagih atau
cuba mengagihkan pemilikan syarikat dan aneka jenis
perniagaan di antara Bumiputera dengan bukan
Bumiputera. Dasar ini memang tidak disukai oleh 'free-
marketeers' atau peniaga pasaran bebas dari Barat.
Mereka menganggap dasar ini sebagai diskriminasi
terhadap mereka. Pemberian peluang penswastaan kepada
Bumiputera umpamanya menghalang mereka daripada
mengambilalih sepenuhnya syarikat dan khidmat yang
diswastakan. Di Amerika Selatan penswastaan bermakna
menjual perniagaan milik Kerajaan kepada orang asing
untuk mendapat wang tunai bagi membayar hutang. Tetapi
di Malaysia kita tidak perlu wang tunai kerana kita
tidak ada hutang yang banyak untuk dibayar. Oleh sebab
ini dan sekatan-sekatan Dasar Ekonomi Baru, orang asing
amat kecewa.
32. Kita tidak boleh meminjam dari IMF kerana
syaratnya akan menghalang pencapaian DEB. Jika DEB
terhalang kita akan menghadapi masalah besar, lebih
besar daripada kegawatan ekonomi yang sedang kita
alami. Orang Melayu dan Bumiputera lain akan
memberontak, merusuh jika mereka hanya dapat menjadi
pekerja dalam syarikat asing.
33. Kita percaya tidak ada rakyat Malaysia yang
sanggup menyerahkan pengurusan ekonomi negara kepada
orang asing. Tetapi rupa-rupanya ada juga warganegara
kita, bahkan pemimpin kita, yang melihat kegawatan
ekonomi sebagai peluang untuk mengambilalih kepimpinan
Kerajaan.
34. Penyangak matawang asing bukan sahaja sengaja
merosakkan ekonomi kita untuk mendapat keuntungan
tetapi mereka menyalahkan kita, kerana mengikut mereka
kita yang merosakkan ekonomi kita, yang menyebabkan
kegawatan ekonomi. Mereka menuduh kita mengamalkan
kronisme, nepotisme dan tidak telus dalam pengurusan
ekonomi kita, yang menyebabkan ekonomi kita menjadi
lemah dan runtuh.
35. Bahawa Kerajaan yang sama dengan dasar serta
amalan yang sama telah berjaya membangunkan ekonomi
dengan begitu pesat sehingga kita dikenal sebagai
'Ekonomi Harimau' atau 'Tiger Economy' sebelum Julai
1997 dilupakan. Jika benarlah kita dan dasar serta
amalan kita yang salah, kenapakah ekonomi negara kita
tidak gawat lebih awal? Kenapakah ia dapat tumbuh
dengan pesat? Kenapakah pendapatan per kapita yang
hanya RM750 semasa kita mencapai kemerdekaan meningkat
kepada RM12,500 sebelum kita diserang oleh penyangak
matawang? Jika mereka tidak menjatuhkan nilai wang
kita dan harga saham kita, apakah ekonomi kita dengan
sendirinya akan merosot?
36. Dakwaan mereka jelas tidak munasabah. Dakwaan
mereka hanyalah untuk menyembunyi peranan mereka dalam
merosakkan ekonomi kita seperti yang kita dakwa awal-
awal lagi. Rakyat Malaysia tentu nampak bahawa alasan
kronisme, nepotisme, korupsi dan tidak telus disebut
oleh mereka untuk meletakkan kesalahan kepada kita dan
bukan mereka. Kita tidak menafikan bahawa gejala ini
memang ada di negara kita, tetapi ia bukan sebabnya
yang ekonomi kita runtuh.
37. Tetapi seperti yang saya sebutkan sebentar tadi,
ada pemimpin daripada kalangan kita yang nampak peluang
daripada kegawatan ekonomi, daripada tuduhan yang
dibuat oleh penyangak asing ini. Oleh itu pemimpin ini
menyuruh orang suruhannya, supaya membangkitkan soal
kronisme, nepotisme, korupsi dan lain-lain. Bekas
Timbalan Perdana Menteri sendiri mengaku di Terengganu
bahawa dialah yang menyuruh Ketua Pemuda UMNO menuduh
secara tidak langsung pucuk pimpinan Kerajaan Malaysia
mengamalkan kronisme, nepotisme dan sebagainya.
38. Saya akui saya agak 'naive' atau terlalu lurus
kerana tidak percaya bahawa Timbalan saya, orang yang
saya bawa masuk ke dalam UMNO, orang yang saya beri
kedudukan dalam parti dan Kerajaan, orang yang saya
sokong supaya mendapat jawatan-jawatan yang tinggi
dalam parti dan Kerajaan, akan cuba menjatuhkan saya.
Tetapi sekarang saya terpaksa mempercayai inilah yang
dilakukan olehnya. Dia sendiri telah mengaku.
39. Senjata ekonomi yang berada pada kuasa asing
memang tajam dan boleh dengan sendirinya menewaskan
kita dan menjadikan kita dijajah semula. Tetapi
apabila orang asing disokong dan dibantu oleh orang
tempatan, terutama pemimpin Kerajaan sendiri, maka
kemungkinan kita dijajah semula amatlah besar.
USAHA JATUHKAN PUCUK PIMPINAN PARTI GAGAL
40. Kita tidak sedar bahawa bekas Timbalan Perdana
Menteri yang juga Menteri Kewangan mempunyai agendanya
yang tersendiri. Sebab itu apabila dia melaksanakan
apa yang dipanggil oleh media asing sebagai 'virtual
IMF', kita tidak menyoalnya dan tidak menghalang
pendekatannya.
41. Bekas Menteri Kewangan menaikkan faedah pinjaman,
mengurangkan kredit, memendekkan tempoh dari enam bulan
kepada tiga bulan untuk mengisytiharkan hutang menjadi
lapuk dan menarik balik wang yang dipinjamkan kepada
bank apabila Kabinet mengarah supaya rizab berkanun
bank dikurangkan sebagai cara menambah wang dalam bank.
42. Belanjawan Kerajaan pula dikurangkan sebanyak 21
peratus. Dengan ini rancangan pembangunan Kerajaan
terpaksa dihentikan. Kontraktor Bumiputera
terutamanya, dan kontraktor lain tidak lagi mendapat
kontrak, bahkan kontrak yang telah diberi ditamatkan.
Mereka dan pembekal mereka tidak lagi ada perniagaan
dan pendapatan.
43. Dengan tindakan-tindakan ini kegawatan yang sudah
teruk menjadi lebih teruk. Pemerhati asing meramalkan
Malaysia tetap akan meminta pertolongan IMF dan
menerima syarat-syarat serta pendekatannya untuk
menangani kegawatan, pendekatan yang hari ini diakui
oleh IMF sendiri memburukkan lagi ekonomi negara yang
diserang oleh penyangak matawang. Tetapi masih juga
kita tidak menaruh syak wasangka terhadap bekas
Timbalan Perdana Menteri.
44. Harapan bekas Timbalan Perdana Menteri ialah
dengan ekonomi menjadi lebih teruk dan Kerajaan
disalahkan oleh rakyat, terutamanya perwakilan
Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1998, maka Presiden
UMNO akan undur. Bukankah Presiden telah memberi
pengakuan bahawa dia akan undur jika dia tidak mendapat
sokongan lagi, khususnya sokongan UMNO dalam
Perhimpunan Agungnya?
45. Malangnya bagi perancang strategi ini Perhimpunan
Agung UMNO 1998 tidak menunjukkan tentangan mereka
kepada Presiden. Walaupun Ketua Pemuda dengan
lantangnya menuduh Kerajaan mengamalkan nepotisme,
kronisme dan lain-lain, Perwakilan jelas ternampak
memberi kepercayaan kepada Presiden. Kepercayaan ini
menyebabkan Presiden tidak undur. Dengan ini percubaan
untuk menjatuhkan pucuk kepimpinan UMNO supaya orang
nombor dua dapat mengambilalih tempatnya gagal.
46. Kerajaan menumpukan segala usaha untuk
menyelamatkan ekonomi. Tetapi bekas Timbalan Perdana
Menteri tidak dapat menumpukan kepada usaha ini kerana
buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM
disebarkan. Walaupun dinasihat supaya tidak menyekat
penyebaran buku ini kerana tuduhan didalamnya dikatakan
olehnya sendiri sebagai tidak berasas, bekas Timbalan
Perdana Menteri masih tidak senang hati dan cuba
mengenakan injunksi terhadap penyebaran buku tersebut.
Akhirnya, beliau membuat aduan kepada Polis dan meminta
Polis mengharamkan penyebaran buku tersebut.
47. Pihak polis tidak dapat mengharamkan penyebaran
buku berkenaan sebelum kesahihan tuduhan dalam buku itu
ditentukan dahulu. Dengan itu Polis menyoal beberapa
orang yang namanya terdapat dalam buku berkenaan.
Apabila orang-orang ini disoal, maka bekas Timbalan
Perdana Menteri menggelisah dan meminta supaya Menteri
Dalam Negeri menyuruh Polis menghentikan siasatan.
Walaupun Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa tertentu,
ia tidak termasuk memberhentikan siasatan ke atas
sesiapa. Sebab itu ramai pemimpin UMNO, termasuk
Menteri dan Ketua Menteri/Menteri Besar pernah
disiasat, bahkan didakwa di mahkamah dan dihukum,
termasuk hukuman mati. Jika Menteri atau Perdana
Menteri mempunyai kuasa untuk menghentikan siasatan,
sudah tentu ramai penyokong dan keluarga pemimpin UMNO
akan meminta supaya siasatan terhadap orang tertentu
dihentikan. Tetapi di negara ini seperti yang selalu
didesak oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, kita
mempunyai pentadbiran berundang atau 'Rule of Law'.
Menteri atau Perdana Menteri tidak boleh campurtangan
atau menghalang siasatan yang diizinkan oleh undang-
undang.
TIDAK ADA KONSPIRASI SINGKIR DATO SERI ANWAR
48. Hasil daripada siasatan inilah bekas Timbalan
Perdana Menteri dihadapkan ke mahkamah oleh
Pendakwaraya, bukan oleh Perdana Menteri. Sebelum dari
itu kepimpinan kanan UMNO dan Majlis Tertinggi
mendapati ada alasan yang kukuh bagi menyingkirkan Dato
Seri Anwar dari jawatan Timbalan Presiden dan keahlian
dalam UMNO. Perkara ini amat serius dan Majlis
mendengar pembelaan diri Dato Seri Anwar dan membahas
dengan mendalam di hadapannya sebelum memutuskan untuk
melucutkan jawatan dan menyingkirnya daripada parti.
49. Apabila disingkir maka Dato Seri Anwar mula
menggugat kestabilan negara. Harapannya ialah supaya
Kerajaan Malaysia dijatuhkan sepertimana Kerajaan di
negara lain dijatuhkan. Rakyat dihasut supaya
mengadakan demonstrasi dan rusuhan di jalan-jalanraya.
50. Usaha ini jelas disokong oleh media dan orang
asing termasuk pemimpin negara tertentu yang membuat
ucapan di negara kita supaya rakyat merusuh untuk
menjatuhkan Kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara
demokratik.
51. Bakal penjajah dan boneka mereka di Malaysia masih
berusaha untuk melemahkan negara ini. Benteng yang
mempertahankan kedaulatan negara ialah UMNO. Jika
Malaysia hendak dijajah semula, penjajah mesti langkah
mayat UMNO dahulu.
52. Malangnya apa yang tidak dapat dinafikan ialah
tuduhan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri sukar
dipercayai. Bolehkah seorang yang ternampak begitu
warak, yang boleh menjadi imam dan pandai berkhutbah,
bolehkah ia melakukan perbuatan yang begitu buruk
seperti yang didakwa di mahkamah? Tidak mungkinkah
semua tuduhan dan tindakan polis didorong oleh komplot
Perdana Menteri yang tidak ingin Dato Seri Anwar
menjadi Perdana Menteri?
53. Kekeliruan dan kurang kepercayaan kepada dakwaan
terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri mudah difaham
kerana apabila laporan berkenaan tingkah-laku bekas
Timbalan Perdana Menteri dibuat kepada saya pada tahun
1993, saya juga tidak percaya. Apabila Ummi Hafilda
dan Azizan menulis kepada saya menuduh Timbalan Perdana
Menteri melakukan perbuatan luar tabii, saya masih
tidak percaya. Saya berasa lega apabila polis
memberitahu saya yang Ummi Hafilda dan Azizan sudah
menarik balik tuduhan mereka. Apabila ditanya oleh
pemberita saya telah berkata tuduhan itu berniat jahat
dan bertujuan untuk menyekat Dato Seri Anwar daripada
menjadi Perdana Menteri menggantikan saya. Ahli-ahli
Majlis Tertinggi boleh mengesahkan yang saya terus
menyokong Timbalan Presiden sebagai pengganti saya.
Saya dapati amat sukar untuk mempercayai yang Timbalan
saya, rakan dan kawan saya boleh terlibat dengan apa
yang dituduh ia melakukannya.
54. Saya cuma mempercayai akan kebenaran tuduhan
terhadap Dato Seri Anwar apabila polis, selepas
siasatan awal terhadap buku 50 Dalil susulan kepada
laporan yang dibuat oleh beliau sendiri, melaporkan
kepada saya bahawa ada kebenaran dalam tuduhan buku
itu. Polis memberi keterangan yang jelas. Saya tidak
boleh menolak lagi tuduhan terhadap Dato Seri Anwar.
Tetapi untuk lebih menyakinkan diri saya bahawa tidak
ada niat tidak baik oleh sesiapa terhadap Dato Seri
Anwar, saya sendiri memanggil beberapa orang yang
disebut dalam laporan polis untuk saya soal sendiri.
Selepas itu saya tidak lagi dapat menafikan kebenaran
tuduhan yang dibuat terhadap Dato Seri Anwar.
55. Jika saya yang mendapat bukti dan penjelasan dari
polis dahulu berasa ragu akan kebenaran tuduhan
terhadap Dato Seri Anwar, apatah lagi orang-orang yang
hanya mendengar berita daripada akhbar atau penjelasan
daripada orang lain. Apatah lagi apabila Dato Seri
Anwar membalas tuduhan dengan mendakwa semuanya adalah
konspirasi politik untuk menghalang perlantikannya
sebagai Perdana Menteri.
56. Tuduhan bahawa saya mengadakan konspirasi untuk
menjatuhkan Dato Seri Anwar adalah tidak munasabah.
Saya tidak pernah berkonspirasi terhadap sesiapa
termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri yang lain,
Tengku Razaleigh dan pemimpin-pemimpin UMNO lain yang
tersingkir atau digugur dahulu. Sebaliknya saya yang
menjadi mangsa pakatan untuk menjatuhkan saya.
57. Berkonspirasi seperti yang dituduh saya telah
lakukan bukanlah sesuatu yang mudah dibuat dan
dirahsiakan. Ini adalah kerana begitu ramai yang perlu
terlibat. Saya perlu mendapat kerjasama daripada ramai
pegawai polis, pegawai pendakwaraya termasuk
pendakwaraya sendiri, ramai hakim, ramai lelaki dan
perempuan yang menjadi mangsa Dato Seri Anwar, semua
Menteri Besar dan Ketua Menteri, semua ahli Majlis
Tertinggi dan ramai orang lain yang perlu tahu jika
konspirasi yang saya dituduh hendak dijayakan.
Mustahil konspirasi ini tidak sampai ke pengetahuan
umum berbulan-bulan sebelum Dato Seri Anwar disingkir.
Di Malaysia di mana rahsia sukar disimpan, di mana
surat-surat layang dan Internet bermaharajalela,
menyembunyi komplot yang melibatkan berpuluh orang yang
terdiri daripada pemandu kereta, perempuan-perempuan
tertentu sehingga kepada pegawai-pegawai tinggi dalam
polis, jabatan pendakwaraya dan kehakiman, adalah
mustahil. Konspirasi yang besar seperti ini tentu akan
terbongkar dan tersebar luas berbulan-bulan sebelum apa-
apa berlaku, kerana konspirasi mengambil masa yang
panjang untuk dirancang, diatur dan untuk mendapat
kerjasama ramai yang perlu terlibat. Konspirasi tidak
boleh diadakan dengan serta-merta.
58. Tetapi tidak ada sesiapa yang mencerita, tidak ada
surat layang yang membongkar komplot ini. Sehingga
hari Dato Seri Anwar disingkir tidak ada apa-apa berita
tentang Perdana Menteri dan Presiden UMNO sedang
berusaha untuk menghalang Dato Seri Anwar daripada
menjadi Perdana Menteri. Sebaliknya umum tahu bahawa
Dato Seri Anwar telah dinamakan oleh saya sebagai
pengganti saya hampir ke saat terakhir. Demikianlah
kepercayaan bahawa Dato Seri Anwar akan mengganti saya
sehingga ramai daripada pegawai, Menteri Besar dan
pemimpin parti di pelbagai peringkat yang tidak berani
menyoal apa-apa perbuatan atau arahan yang dibuat oleh
Dato Seri Anwar. Mereka semuanya takut mereka akan
menjadi mangsa apabila Dato Seri Anwar menjadi Perdana
Menteri.
59. Dalam kegawatan pemikiran yang terdapat di
kalangan sebilangan daripada ahli UMNO dan penyokong
Dato Seri Anwar, parti-parti lawan tentulah mengambil
kesempatan untuk melemahkan UMNO. Bagi mereka yang
diutamakan bukan bangsa, bukan negara, bukan agama.
Keutamaan mereka hanyalah kepentingan politik mereka.
Melihat Dato Seri Anwar disingkir maka parti lawan tiba-
tiba menunjukkan simpati kepadanya seolah-olah mereka
ingin melihat Dato Seri Anwar terus menjadi ahli UMNO,
Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.
Jika mereka tidak suka Dato Seri Anwar disingkir,
kenapakah dahulu semasa ianya menjadi Timbalan Presiden
UMNO dan Timbalan Perdana Menteri mereka tidak
menyokongnya?
PAKATAN ANTARA PARTI LAWAN TAK KEKAL
60. Sebenarnya parti lawan sedang sibuk menangguk di
air yang keruh. Bukan penyingkiran Dato Seri Anwar
sebagai Timbalan Perdana Menteri, bukan tuduhan
terhadapnya dan dakwaan terhadapnya di hadapan
mahkamah, bukan juga kerana dia dipenjarakan yang
menyedihkan mereka. Yang utama bagi mereka ialah
peluang mengguna nasib buruk Dato Seri Anwar dan
keluarganya serta tenaga penyokong-penyokongnya untuk
menguatkan parti mereka dan melemahkan UMNO. Dengan
itu mereka pura-pura menyatakan sokongan mereka kepada
Dato Seri Anwar. Dato Seri Anwar yang sekarang
bersekongkol dengan parti lawan juga sama. Ia
menyertai mereka hanya kerana kepentingan dirinya.
61. Pakatan antara PAS, DAP dan serpihan kecil
daripada UMNO ini hanyalah kerana kepentingan diri
masing-masing. Tidak ada persamaan perjuangan atau
matlamat dalam pakatan ini selain daripada kepentingan
diri. Masing-masing berhasrat menipu pihak lain.
Masing-masing akan meninggalkan rakan apabila sahaja
mendapat sedikit keuntungan dalam pilihanraya.
62. PAS kononnya berjuang untuk agama Islam, untuk
mendiri negara Islam. DAP pula berjuang untuk
'Malaysian Malaysia' yang kononnya tidak akan menafikan
keistimewaan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.
Tetapi penjelasan ini dibuat hanyalah apabila
'Malaysian Malaysia' dikecam oleh orang Melayu dan
UMNO. Apakah mungkin Negara Islam PAS juga 'Malaysian
Malaysia' DAP?
63. Parti Keadilan pula ditubuh dan berjuang semata-
mata untuk membebaskan Dato Seri Anwar. Parti ini
menyokong semua dasar, semua perjuangan termasuk
perjuangan aneka jenis Pertubuhan Bukan Kerajaan atau
NGO asalkan dapat menambah sokongan dan melemahkan UMNO
dan Barisan Nasional. Keadilan bagi parti ini hanya
satu sahaja, iaitu pembebasan Dato Seri Anwar. Jika
lain-lain ketidakadilan berlaku ini tidak mengapa.
Sebab itu semasa Dato Seri Anwar berada dalam UMNO dan
Kerajaan tidak ada desakan daripadanya untuk
menghapuskan ketidakadilan yang kononnya terdapat di
negara ini. Tidak ada perjuangan besar-besaran
menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA
umpamanya. Sebaliknya kuasa agensi tertentu dalam
Kerajaan sanggup diperalatkan oleh pengasas Keadilan
untuk melakukan ketidakadilan kepada orang yang
mendedah penyelewengannya.
64. PAS adalah sebuah parti yang mudah menukar haluan
mengikut kepentingan semasa. Demikian pada mulanya PAS
mendakwa bahawa orang Islam yang bekerjasama dengan
orang bukan Islam menjadi kafir dan dengan itu PAS
menolak kerjasama dengan bukan Islam. Kemudian PAS
menyertai Barisan Nasional dan bekerjasama dengan orang
bukan Islam dalam Barisan Nasional. Pada masa itu PAS
tidak lagi mendakwa bahawa orang Islam yang bekerjasama
dengan bukan Islam menjadi kafir. Ternampak jelas
tafsiran agama oleh PAS boleh ditukar untuk kepentingan
semasa.
65. Kemudian PAS keluar daripada Barisan Nasional dan
menganggap orang UMNO tidak Islam sehingga ahli dan
pemimpin PAS sanggup sembahyang berasingan di masjid
yang sama dan membina masjid lain bagi orang PAS.
Tetapi apabila pilihanraya hampir tiba, PAS mengadakan
pakatan dengan DAP yang bukan Islam. Bagi PAS orang
UMNO yang Islam tidak boleh dijadikan sahabat seperti
PAS bersahabat dengan orang bukan Islam dalam DAP.
66. Hasrat PAS bekerjasama dengan DAP adalah semata-
mata kerana ingin menewaskan UMNO. Bagi PAS
bekerjasama dengan DAP yang menentang hasrat PAS
mendirikan apa yang didakwa sebagai Negara Islam tidak
mengapa asalkan orang DAP memberi undi kepada mereka.
67. Sekarang PAS sanggup menerima orang bukan Islam
sebagai ahli PAS. Apakah pula hukum ciptaan PAS
berkenaan perkara ini? Tetapi PAS juga sanggup
bekerjasama dengan syaitan dan tidaklah hairan jika PAS
bekerjasama dengan DAP dan siapa sahaja demi politik
PAS.
68. Hari ini kita lihat kesan daripada kesanggupan PAS
bekerjasama dengan syaitan. Nik Aziz dan pemimpin PAS
yang lain sanggup mengeluarkan kata-kata yang buruk
kononnya Badawi Malaysia menjadi gembala babi.
Sindiran ini tidak mempunyai asas kerana Dato Abdullah
Badawi telah ditugaskan untuk menyelaraskan kerja-kerja
menghapuskan penyakit J.E. (Japanese Encephalitis),
bukan untuk menjaga babi. Lebih dari itu dakwaan
dibuat kononnya Tuhan mencarut dan kita orang Islam
patut mencarut.
69. Tetapi orang PAS akan terus setia kepada PAS
kerana mereka fanatik dan taksub kepada parti mereka.
Mereka adalah daripada kumpulan Asabiah, kumpulan yang
terlalu fanatik dalam menyokong kumpulan mereka
sehingga tidak mengambilkira kumpulan mereka baik atau
jahat, benar atau salah. Demikian apabila ahli PAS
berkhalwat, mereka tidak bersalah. Kesalahan hanya ada
pada orang lain, tidak sama sekali kepada orang PAS dan
parti PAS. Inilah orang yang keterlaluan dan termasuk
dalam golongan Asabiah.
USAHA PIHAK ASING HANCURKAN UMNO
70. Melihat parti-parti lawan dan pakatan mereka
begitu ghairah dengan kemungkinan mereka akan dapat
melemahkan UMNO, Barisan Nasional dan Kerajaan
Malaysia, maka kuasa asing pun amat gembira. Maka
mereka pun menyokong dan membantu pakatan pembangkang
dan parti-parti yang menyertainya. Bahawa mereka tidak
sedikit pun berminat dengan Islam, tidak menghalang
mereka daripada memuji dan mendokong parti PAS yang
dikatakan Islam ini. Mungkin mereka juga tahu bahawa
sebenarnya PAS tidak seIslam seperti yang didakwa
olehnya.
71. Yang penting bagi orang asing ini ialah melemahkan
UMNO. Batu penghalang bagi mereka ialah UMNO.
Kekuatan Kerajaan Malaysia dan dengan itu ketegasan
Malaysia ialah kerana UMNO menerajui Kerajaan Malaysia
dengan kekuatan yang berjaya mendapat kesetiaan parti-
parti lain sebagai komponen Barisan Nasional. Mereka
tahu tanpa UMNO yang kuat Barisan Nasional tidak
mungkin stabil dan kuat. Justeru itu mereka akan
sokong apa juga tindakan oleh sesiapa, dan mereka akan
berusaha sendiri untuk melemah atau memecahkan UMNO.
72. Rancangan mereka untuk menaikkan boneka mereka
sebagai pemimpin UMNO dan Perdana Menteri telah gagal.
Sekarang mereka tidak lagi dapat menguasai negara kita
melalui boneka mereka. Sekarang hanya kehancuran UMNO
sahaja yang akan memenuhi hasrat mereka.
73. Pengkritik asing mendakwa saya menuduh orang asing
dengan bermacam-macam tuduhan kerana ingin melindungi
masalah yang saya hadapi dalam negara. Tetapi apakah
tuduhan saya tidak berasas? Apakah tidak benar yang
media asing sengaja memburukkan imej kita? Tidak ada
laporan yang baik berkenaan Malaysia. Walaupun negara
berbilang kaum ini aman, stabil, maju dengan lebih
pesat daripada negara membangun yang lain; walaupun
DEB berjaya mengagihkan kekayaan antara kaum tanpa
menjejaskan ekonomi negara, tanpa merampas hak sesiapa;
walaupun kegawatan ekonomi tidak menyebabkan rusuhan
kaum berlaku; walaupun kita berjaya menswastakan
syarikat dan agensi Kerajaan, tidak ada sekalipun
kejayaan-kejayaan ini diiktiraf, jauh sekali diberi
komen yang positif.
74. Bahawa serangan ke atas matawang dan pasaran saham
kita tidak kekal merosakkan ekonomi kita; bahawa kita
berjaya mengurus kewangan kita sehingga kita bebas
daripada berhutang dari luar negeri; bahawa kita dapat
memulihkan ekonomi kita dengan cara kita sendiri juga
tidak diakui.
75. Sebaliknya mereka cuba menghalang pemulihan
ekonomi kita, menurunkan penarafan atau 'rating' kita
supaya kita tidak dapat berhutang. Mereka juga cuba
menggugat kestabilan politik kita dengan sengaja
menggalakkan perusuh merusuh dan menjatuhkan Kerajaan
dengan keganasan.
76. Mereka menuduh Perdana Menteri Malaysia menerima
50,000 Dolar Amerika supaya memberi kontrak beratus
juta kepada syarikat mereka dan media mereka melaporkan
kononnya antara diktator yang membantu Nelson Mandela
dengan ratusan juta Dolar ialah Dr Mahathir, Perdana
Menteri Malaysia. Kita sokong Mandela tetapi kita
tidak memberi wang. Saya digelar diktator hanya kerana
saya tidak tunduk kepada mereka. Diktator yang sebenar
disokong oleh mereka jika ia mengikut telunjuk mereka
atau membeli senjata daripada mereka.
77. Apakah penyangak matawang dan penjualan singkat
saham yang hampir membangkrapkan semua bank, syarikat
dan negara kita tidak terdiri daripada orang mereka?
Apakah 'rating' agensi yang menjatuhkan 'rating' kredit
kita sehingga kita tidak dapat berhutang tidak terdiri
daripada orang mereka? Apakah kecaman terhadap usaha
kita memulihkan ekonomi negara kita tidak dibuat oleh
mereka? Apakah media yang memburuk-burukkan imej kita,
mencaci kita tidak dimiliki oleh orang asing dari Barat
yang saya kecam?
78. Senarai tindakan buruk ke atas kita oleh etnik
Eropah begitu panjang sehingga saya tidak dapat
menyebut semuanya. Tuduhan yang saya buat terhadap
mereka bukan untuk menutup masalah dalam negara, tetapi
adalah kerana mereka memang mengancam dan memburukkan
ekonomi dan imej negara kita. Kita tidak lemah, kita
tidak buruk. Kita sebenarnya lebih kuat dan lebih
berjaya daripada kebanyakan negara asing. Saya tidak
perlu mengalih pandangan rakyat kepada tindak-tanduk
orang asing kerana masalah dalaman.
79. Kadang-kadang terlintas juga dalam hati bahawa
kebencian orang asing dan media mereka terhadap
Malaysia ialah kerana Malaysia adalah sebuah negara
yang secara kebetulan diperintah oleh sebuah parti yang
terdiri daripada orang Islam. Yang lebih menimbulkan
kebencian mereka ialah parti orang Islam ini berwibawa,
berdisiplin, tersusun rapi, dapat mentadbir dan
membangunkan negara. Ramai daripada mereka beranggapan
bahawa orang Islam tidak mungkin berjaya lebih-lebih
lagi jika mereka berkulit sawa matang. Sudah tentu
mereka tidak boleh mentadbirkan negara sehingga pesat
membangun dan moden. Mereka lebih senang jika Parti
PAS memerintah kerana mereka percaya PAS tidak mungkin
mendirikan Kerajaan yang berwibawa dan berjaya. Mereka
berpendapat PAS akan menimbulkan sengketa sesama orang
Islam sehingga melemahkan mereka dan memesungkan orang
Islam di Malaysia daripada pengamalan ajaran Islam yang
sebenar yang mereka tahu akan membawa kejayaan. Mereka
tahu jika PAS memerintah tidak mungkin tumpuan diberi
secara berkesan kepada pembangunan dan ketahanan
negara. Sebaliknya PAS akan menumpu kepada polemik
Islam yang tidak pernah habis. Sebab itu, walaupun
mereka tidak gemar dengan orang Islam dan agama mereka,
mereka ternampak sanggup menyokong PAS dan sebaliknya
mencuba melemah dan menghancurkan UMNO.
UMNO TENTUKAN KERAJAAN BERWIBAWA
80. Oleh kerana memang pun benar usaha sedang dibuat
oleh pihak kuasa asing untuk melemah, jika tidak pun
menghancurkan UMNO, dan mereka disokong dan dibantu
pula oleh orang tertentu dan parti-parti pembangkang
yang lebih mengutamakan kepentingan diri mereka
daripada kepentingan negara, maka UMNO dan orang Melayu
yang berjiwa Melayu tidak harus membenarkan diri
diperangkap oleh mereka ini; tidak harus membenarkan
diri dipengaruhi oleh perasaan marah dan benci yang
tidak berasas sehingga UMNO pecah, menjadi lemah dan
tidak lagi dapat melindungi kedaulatan negara ini, hak
orang Melayu dan Bumiputera lain dan agama Islam.
Percayalah, tanpa UMNO yang kuat, tidak akan ada
Kerajaan Malaysia yang berwibawa. Tidak ada sama
sekali kemungkinan parti-parti lain, sama ada bergabung
atau tidak yang boleh mendirikan Kerajaan yang
berwibawa, yang mampu memelihara kedaulatan negara ini.
81. Tanpa UMNO negara ini akan didominasi, dikuasai
oleh negara asing dan dengan itu peluang untuk memulih
orang Melayu dan menjadikan mereka bangsa yang berjaya,
bermaruah dan dihormati, akan hilang. Empat ratus
tahun kita menunggu untuk mendapat balik kuasa dan
peluang untuk membela nasib kita, memajukan diri kita
sehingga setaraf dengan bangsa-bangsa maju di dunia.
Sekarang kita sudah dapat peluang ini dan janganlah
kita mensia-siakan peluang ini kerana dakwaan seorang
yang kecewa, seorang yang tidak bermoral kononnya dia
dianiayakan.
82. Dalam ucapan-ucapan saya yang lepas, saya telah
mengelak daripada mengguna perkataan 'saya'. Ini
adalah kerana segala usaha memajukan negara bukanlah
dibuat oleh saya seorang, tetapi oleh kita semua; ahli
UMNO, pentadbir dan pedagang dan semua rakyat. Saya
tidak berhak menonjolkan diri saya, kerana saya
hanyalah alat bangsa, agama dan negara. Pemimpin hanya
diperlukan untuk menggembleng segala tenaga rakyat
pelbagai lapisan supaya mereka bertindak secara
tersusun ke arah satu matlamat yang dikenalpasti.
USAHA TANAM KEBENCIAN TERHADAP PRESIDEN
83. Jika dalam ucapan ini saya menggunakan perkataan
'saya', sebabnya bukan saya sudah tukar tabiat atau
ingin menarik perhatian kepada diri saya atau untuk
membela diri saya. Sebabnya ialah oleh kerana musuh
kita, dari dalam dan luar negeri, sedang menggunakan
saya sebagai satu belantan untuk membelasah dan
menghancurkan UMNO dan sekali gus peranan politik orang
Melayu dalam mempertahankan kedaulatan negara.
84. Usaha berterusan sedang dibuat secara bersungguh-
sungguh untuk menebal kebencian kepada diri saya supaya
kebencian ini akan menyebabkan orang Melayu menolak
UMNO. Mereka percaya walaupun yang akan terhasut oleh
mereka hanyalah sebilangan kecil daripada orang Melayu
yang menyokong UMNO, tetapi ia mungkin dapat melemah
dan menjejaskan perjuangan UMNO dan mengurangkan
majoriti dua pertiga bagi Barisan Nasional yang mana
ini adalah penting bagi kestabilan negara dan
kemajuannya. Sebab itulah kali ini saya banyak
menyebut 'saya' kerana terdapat keperluan untuk
menjelas akan apa yang sebenarnya dilakukan oleh saya,
kerana kredibiliti saya telah dijadikan satu isu pada
masa ini.
85. Saya masih ingat dalam Mesyuarat Agung UMNO yang
terdahulu bagaimana tiap jurucakap memuji saya.
Walaupun sebagai manusia biasa saya gemar dipuji,
tetapi saya meminta supaya saya tidak dipuji, supaya
segala pujian diberikan kepada Allah Subhanahu wa
Ta'ala, kepada Kerajaan dan kepada UMNO. Saya amat
takut kalau sudah suka dipuji saya akan percaya yang
saya akan disukai ramai, popular selama-lamanya,
sedangkan saya tahu memang tabii manusia mudah jemu.
Dalam sekelip mata sokongan boleh bertukar menjadi
tentangan. Apabila ini berlaku saya mungkin terlalu
kecewa sehingga tidak tahu bagaimana menangani masalah.
86. Dengan hasutan daripada pihak tertentu proses
membenci ini sedang ditingkatkan. Saya telah pun
berkata bahawa saya akan undur diri jika saya sudah
tidak disukai lagi. Tetapi saya juga tidak boleh kecil
hati dan merajuk sehingga mengabaikan tanggungjawab
saya kepada UMNO, bangsa, agama dan negara,
tanggungjawab yang saya janji dan bersumpah saya akan
pikul.
87. Sebab itu saya berasa penting untuk menjelaskan
akan kebenaran segala-gala yang saya perkatakan
berkenaan bekas Timbalan saya.
88. Tidak ada sebab yang saya harus sengaja
menimbulkan kebencian kepada diri saya di waktu yang
lewat ini dengan melakukan sesuatu yang boleh
menyakitkan hati penyokong-penyokong bekas Timbalan
saya. Saya tidak suka mencari musuh kerana dalam
politik musuh tetap membawa masalah.
89. Jika saya ingin menyingkirkan bekas Timbalan saya,
saya tidak akan memilih alasan yang sukar dijelas dan
dipertahankan.
SUKAR UNTUK JELAS ISU DATO SERI ANWAR
90 Saya tidak pun tergamak menyebut apa yang
dilakukan olehnya kerana budaya kita menegah kita
daripada menyebut perkataan itu di khalayak ramai.
Lebih mudah lagi jika saya tuduh beliau cuba mengguling
saya. Ahli UMNO, bahkan orang Melayu lebih mudah
menerima alasan yang beliau tidak berterima kasih dan
tidak berasa terhutang budi kepada orang yang berbakti
kepadanya sebagai sebab beliau disingkir. Tetapi saya
tidak dapat mengguna alasan lain kerana saya tidak
berniat untuk menyingkirnya. Penyingkirannya
disebabkan oleh perbuatannya yang sebenar.
91. Saya tidak menganiayakannya, saya tidak
berkonspirasi untuk menyekatnya daripada menjadi
Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Moralnya
dan kelakuannya yang menyekatnya daripada menjadi
Presiden UMNO, bahkan daripada menjadi ahli UMNO.
Walaupun pada ketika itu beliau rakan dan kawan saya,
tetapi kepentingan bangsa dan negara tidak mengizinkan
saya menutup mata dan membiarkan sesuatu yang begitu
buruk menimpa bangsa dan negara. Jika saya membiarkan
ianya berlaku maka saya mengkhianati bangsa, agama dan
negara saya. Dan ini saya tidak sanggup lakukan
walaupun untuk seorang sahabat, seorang rakan
seperjuangan. Biarlah saya dikutuk, dimaki-hamun,
diselar dan dicerca asalkan saya tahu dalam hati saya,
dan Tuhan Yang Maha Kuasa mengetahui bahawa saya tidak
mengkhianati agama, bangsa dan negara yang saya telah
bersumpah untuk mempertahan dan melindunginya.
92. Nasib yang menimpa Dato Seri Anwar memang malang,
memang menyedihkan. Tetapi dalam sejarah UMNO nasib
yang sama telah menimpa beberapa pemimpin tinggi UMNO.
Ada yang disingkir dari parti dan ini termasuk saya
sendiri; ada yang dipenjara, bahkan ada yang dihukum
bunuh. Mereka dan keluarga mereka, anak isteri,
merasai tekanan jiwa dan kesedihan yang tidak kurang
daripada yang dirasai oleh Dato Seri Anwar dan
keluarganya. Tetapi mereka menerima nasib mereka
walaupun mereka tetap menyangkal yang mereka bersalah.
Mereka tidak menuduh sesiapa berkonspirasi untuk
menjatuhkan mereka. Mereka tidak keluar dari parti,
tidak mengecam parti, dan tidak mengadakan pakatan
untuk menghancurkan parti dan memburukkan negara.
93. Malang sekali selepas sahaja beliau disingkir Dato
Seri Anwar telah melemparkan bermacam-macam tuduhan
terhadap Kerajaan, Parti UMNO dan pemimpin-pemimpin
tertentu UMNO. Beliau telah menghasut orang Melayu
supaya membenci UMNO dan pemimpinnya dan merusuh dan
mengganas di jalan-jalan di Kuala Lumpur. Beliau telah
memburukkan negara, Kerajaan dan UMNO di merata dunia,
mengguna orang asing dan media asing untuk menyokong
tindakan pengikutnya dalam usaha untuk menjatuhkan
Kerajaan negara kita, negaranya sendiri. Ini adalah
satu penderhakaan yang tidak pernah dilakukan oleh mana-
mana pemimpin UMNO yang terdahulu, walau apapun
kekecewaan mereka.
94. Dengan perbuatan ini maka tindakan menyingkirnya
menjadi lebih tepat. Amatlah tidak sesuai seorang yang
begitu tidak setia kepada negara menjadi pemimpin
negara ini. Jika dahulu saya merasa tindakan
terhadapnya adalah terlalu keras, hari ini saya
berpendapat tindakan yang diambil terhadap kesalahannya
memang wajar. Apa yang menimpanya adalah disebabkan
oleh apa yang telah dilakukan olehnya dan apa yang
dilakukan olehnya adalah kerana beliau sanggup mengguna
topeng agama semasa melakukan perbuatan-perbuatan yang
amat bertentangan dengan agama dan tatasusila kaum
bangsanya.
KERAJAAN BARISAN MAMPU BANGUNKAN NEGARA
95. Malaysia sudah diperintah oleh rakyat Malaysia
selama 42 tahun. Dalam masa itu Malaysia telah bangun
dengan pesat dan menjadi negara yang termaju sekali
antara negara membangun di dunia. Dari negara yang
tidak dikenali oleh orang asing sehingga mereka tidak
tahu di mana Malaysia, kita telah menjadi negara yang
terkenal yang sokongan dan bantuannya dalam pengurusan
hal ehwal dunia dicari dan dipohon.
96. Malaysia sudah menjadi contoh kepada negara-negara
membangun yang lain. Ramai pemimpin negara membangun
dan negara maju melawat Malaysia untuk melihat
kemajuannya. Pelatih dalam pelbagai bidang dihantar ke
Malaysia untuk dilatih dalam aneka bidang, daripada
cara-cara pentadbiran sehinggalah ke teknologi yang
canggih.
97. Negara-negara Islam juga kagum dengan kemajuan
pembangunan dan kestabilan Malaysia dan mereka sering
menyebut Malaysia sebagai negara Islam yang mereka
ingin contohi. Banyak kemajuan dalam melaksanakan
hukum-hukum Islam berkenaan pentadbiran dan pengurusan
ekonomi di zaman moden yang didominasi oleh sistem
Barat diterokai dan dimajukan oleh Malaysia. Sistem
bank Islam, insuran Islam dan pajak gadai Islam dicipta
oleh Malaysia dan berjaya bersaing dengan sistem Barat.
Demikianlah kemajuan sistem Islam yang dibentuk oleh
Malaysia sehingga banyak negara Islam lain meniru
sistem kita ini. Orang bukan Islam juga menerima
sistem bank, insuran dan pajak gadai Islam ciptaan
Malaysia.
98. Projek-projek di Malaysia, sama ada oleh swasta
atau Kerajaan memang besar. Sebabnya ialah kerana
skala ekonomi atau 'economies of scale' iaitu kos
menurun bagi tiap unit apabila banyak unit dibina atau
dikeluarkan. Selain daripada itu projek besar menjana
keuntungan yang juga besar. Keuntungan yang besar
menambah hasil Kerajaan di samping menambah modal untuk
pelaburan untuk projek lain. Dan pelaburan menyumbang
kepada kekayaan negara.
99. Jika hanya sebuah rumah kediaman dibangunkan di
tempat yang terpencil, bukan sahaja kosnya tinggi
tetapi ia tidak menjadi pemangkin atau 'catalyst' untuk
pertumbuhan di sekeliling dan tidak menjana aktiviti
ekonomi sampingan.
100. Aktiviti ekonomi sampingan ini penting kerana ia
menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.
Demikian apabila Kerajaan membina Petaling Jaya sebagai
'dormitory' atau tempat tinggal mereka yang bekerja di
Kuala Lumpur, ia tumbuh menjadi suatu bandar yang
lengkap, dibekal dengan pusat bandar, hospital,
sekolah, pejabat Kerajaan dan swasta, hotel dan segala
kemudahan seperti elektrik, air, jalan-jalan dan
infrastruktur lain. Nilai Petaling Jaya sekarang
adalah berbilion Ringgit dan ia menyumbang dengan
banyaknya kepada pertumbuhan ekonomi negara. Demikian
juga dengan Shah Alam dan berpuluh bandar lain yang
didirikan oleh swasta. Demikian juga dengan projek-
projek infrastruktur besar yang lain seperti lapangan
terbang KLIA, lebuhraya, empangan, pelabuhan, keretapi
elektrik, LRT dan lain-lain.
101. Pulau Lumut yang dahulu tidak mempunyai penduduk
atau kegiatan ekonomi dan tidak menyumbang kepada
ekonomi negara, sekarang menjadi Pulau Indah, sebuah
'growth centre' atau pusat pertumbuhan yang bernilai
berbilion Ringgit. Pembangunan Langkawi dengan dibantu
oleh lapangan terbang antarabangsa meningkatkan
pendapatan penduduk pulau lagenda itu. Jika dahulu
mereka berumah papan buruk, berbumbung atap nipah, hari
ini rumah mereka rumah batu berbumbung genting.
102. Projek besar-besaran biasanya menolong menambahkan
pendapatan rakyat disusuli dengan permintaan yang
tinggi untuk infrastruktur seperti bekalan elektrik dan
air serta lain-lain. Untuk memenuhi permintaan ini
bekalan tambahan perlu dibuat dan ini pula menyumbang
kepada pembangunan ekonomi.
103. Projek-projek besar-besaran di Malaysia memang
menolong pembangunan negara dan pembangunan yang pesat
negara ini memerlukan projek yang besar. Projek besar
bukan pembaziran. Ia adalah penting dalam menjaya dan
mempercepatkan proses pembangunan negara. Projek kecil
seperti juga dengan orang yang miskin tidak dapat
menyumbang apa-apa.
104. Pembangunan Kuala Lumpur memang pantas dan
berkembang dengan meluas. Penduduk Kuala Lumpur
bertambah daripada 300,000 orang di waktu kemerdekaan
dicapai kepada dua juta orang sekarang. Demikianlah
pesat dan padatnya pembangunan Kuala Lumpur sehingga
jalan-jalannya penuh sesak dengan kereta dan 'traffic
jam' kerap berlaku. Kita telah mengambil tindakan
untuk mengurangkan kesesakan lalulintas tetapi
perjalanan di Kuala Lumpur tetap memakan banyak masa.
Oleh itu Kerajaan memutus untuk mendirikan pusat
pentadbiran Kerajaan yang baru di Putrajaya.
105. Apakah Putrajaya satu pembaziran? Ia sebenarnya
menolong menjimatkan perbelanjaan Kerajaan dan akhirnya
ia akan memberi keuntungan besar kepada Kerajaan
seperti juga projek pembangunan lain yang besar yang
diusahakan oleh swasta. Hartanah Kerajaan di Kuala
Lumpur sudah bernilai terlalu tinggi dan tidak memberi
pulangan apa-apa kepada Kerajaan. Penjualan hartanah
ini akan dapat membiayai kos pembangunan Putrajaya.
Peningkatan nilai tanah yang dimiliki oleh Kerajaan di
Putrajaya, satu pusat pertumbuhan yang berpotensi akan
membantu membiayai kos Putrajaya dan akan memberi
keuntungan kepada Kerajaan apabila dimajukan kemudian.
Sebagai projek besar Putrajaya akan menjadi pemangkin
kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan negara. Jauh
daripada menjadi pembaziran, Putrajaya adalah aset yang
besar untuk negara.
106. Putrajaya bukan sahaja untuk hari ini. Ia adalah
untuk masa depan negara, untuk Wawasan 2020 dan untuk
generasi akan datang, untuk sebuah negara yang sudah
dewasa dan menjadi negara yang sudah maju.
107. Banyak negara di dunia ingin mengadakan pusat
pentadbiran baru yang lebih selesa dan canggih daripada
pusat pentadbiran mereka yang sedia ada, tetapi mereka
tidak dapat mengadakannya kerana pelbagai sebab.
Sebaliknya dalam hanya tiga tahun kita berjaya
mendirikan pusat pentadbiran yang canggih, yang sesuai
untuk zaman teknologi moden, yang akan diwarisi oleh
semua rakyat. Orang asing sebenarnya irihati kerana
kita dapat membangunkan Putrajaya dengan pembiayaan
oleh kita sendiri, dengan pelan pembangunan oleh kita,
dengan diurus dan dibina oleh kita sendiri. Di sini
saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang
terlibat dengan pembangunan Putrajaya, terutama para
jurutera dan profesional wanita yang memain peranan
besar dalam projek ini. Saya kagum kerana mereka
membuktikan kebolehan wanita profesional Melayu.
108. Kita tidak perlu berhutang dari luar negeri
dan mendapat pakar-pakar asing seperti yang dibuat
oleh kebanyakan negara membangun yang lain. Kita
bernasib baik kerana kita bangunkan Putrajaya di waktu
Ringgit kita bernilai tinggi, iaitu RM2.50 bagi satu
Dolar Amerika. Ini telah menjimatkan kos. Sebanyak 90
peratus daripada bahan yang digunakan adalah bahan
tempatan.
109. Apabila orang asing melihat mereka tidak mendapat
apa-apa peluang daripada pembangunan Putrajaya, mereka
merasa benci dan irihati kepada kita. Dengan itu
mereka menuduh yang kita membazirkan duit negara. Jika
pembangunan Putrajaya dikontrakkan kepada mereka apakah
mereka akan menolak kontrak besar ini kerana ia adalah
satu pembaziran wang negara?
110. Oleh itu janganlah rakyat Malaysia mudah terpedaya
dengan dakwaan mereka kononnya kita di Malaysia, dan
saya terutamanya, sedang membazirkan duit negara dengan
projek-projek 'mega'. Kita tidak sebodoh itu. Jika
kita membazir sudah tentu serangan mereka terhadap
Ringgit dan Pasaran Saham Kuala Lumpur akan menjadikan
kita miskin dan daif serta terpaksa meminta-minta
daripada mereka dan menerima syarat-syarat yang
dikenakan. Tetapi kita bukan sahaja mampu
mempertahankan ekonomi kita, bahkan kita dapat
memulihkannya dengan lebih cepat daripada negara-negara
lain yang diserang bersama.
111. Yakinlah kepada kebolehan kita dan janganlah kita
percaya hanya orang lain sahaja yang pandai dan
berkebolehan. Kita juga berkebolehan. Janganlah
kerana kita selalu merasai rendah diri maka kita
membenarkan diri kita dihasut sehingga kita menjadi
alat untuk memusnahkan diri kita sendiri.
112. Negara-negara tidak menjadi maju kerana mempunyai
kekayaan semula jadi. Negara-negara tidak menjadi maju
semata-mata kerana mempunyai Kerajaan atau
pemerintahan. Dakwaan kononnya mana-mana Kerajaan juga
tetap akan memajukan negara adalah hasil pemikiran yang
cetek yang didorong oleh angan-angan atau hasrat untuk
mendapat sokongan politik bagi sesuatu kumpulan atau
individu yang bercita-cita untuk mendapat tempat bagi
dirinya. Jika dengan mempunyai Kerajaan semata-mata
negara boleh mencapai kemajuan sudah tentu tidak akan
ada negara yang tidak maju. Tetapi kita tahu walaupun
semua negara mempunyai Kerajaan, tidak semua negara
maju, bahkan kebanyakan negara di dunia tidak maju.
Negara-negara yang kaya dengan sumber alam juga
kerapkali tidak maju.
113. Maju-mundurnya sesebuah negara bergantung kepada
dua faktor utama yang mesti berada bersama, iaitu
pertamanya rakyat yang rajin dan berdisiplin yang tidak
suka kepada huru-hara dan yang keduanya ialah Kerajaan
atau pemerintahan yang bertanggungjawab, cekap dan
memiliki daya pemikiran yang bernas yang sesuai dengan
keadaan semasa dan masalah-masalah yang ditangani.
114. Selama 42 tahun Perikatan dan Barisan Nasional
memerintah Malaysia, kita telah memperlihatkan sikap
bertanggungjawab dan kecekapan serta pemilikan berbagai-
bagai ide yang unik dan berkesan. Bukan sahaja kita
dapat membangunkan negara dengan pesat sehingga
dianggap sebagai negara contoh bagi seluruh dunia,
tetapi kita dapat menangani dan menangkis berbagai-
bagai jenis krisis dan serangan ke atas kita.
115. Sudah berkali-kali peramal asing meramalkan
Malaysia akan gagal dan hancur tetapi kita bukan sahaja
tidak gagal dan tidak hancur, sebaliknya kita berjaya
mengatasi masalah dan kita menjadi lebih kukuh dan kuat
melalui cara kita tangani masalah.
116. Demikian apabila rusuhan kaum berlaku pada tahun
1969, dalam masa yang singkat kita berjaya mengawal
keadaan dan kita bentuk dasar yang berjaya mencegah
rusuhan daripada berulang walaupun semasa ekonomi
merosot.
117. Dalam tahun 1985-1986 kita diserang sekali lagi
dengan resesi dan kita dapat pulih semula ekonomi dan
kemudian mencatat pertumbuhan ekonomi di paras lapan
peratus lebih tiap-tiap tahun selama 10 tahun, satu
kecapaian yang luar biasa bagi negara membangun ataupun
yang maju.
118. Kemudian kita diserang oleh penyangak matawang dan
pelabur jangka pendek. Kegawatan yang luar biasa
mencemaskan kita. Tetapi oleh kerana kita telah urus
kewangan kita dengan baik dan ekonomi kita menjadi
kukuh kerananya, serangan oleh orang asing ini tidak
berjaya memaksa kita tunduk kepada agensi antarabangsa
seperti IMF. Sebaliknya kita cipta sendiri cara-cara
mematah serangan kapitalis asing dan memulihkan semula
ekonomi kita. Demikianlah kejayaan kita sehingga kuasa-
kuasa besar, agensi antarabangsa dan pakar-pakar
ekonomi dunia terpaksa akui mereka bersalah dan analisa
serta tuduhan kita terhadap dagangan matawang sebagai
punca kegawatan ekonomi memang berasas dan benar.
Sekarang mereka terpaksa buat apa yang telah disarankan
oleh kita -- iaitu mengawal kegiatan jual-beli matawang
oleh pedagang matawang dan mengawasi pengaliran modal
yang keluar/masuk negara-negara di dunia dengan terlalu
bebas.
119. Tidak banyak dan kadang-kadang tidak ada Kerajaan
negara lain yang mampu membuat apa yang kita buat atau
memikir dan mencipta pendekatan bagi mengatasi masalah
dan memajukan negara seperti Kerajaan Barisan Nasional
Malaysia.
120. Bukanlah niat saya untuk mendabik dada dan
bermegah-megah. Tetapi ada parti lawan yang suka
mendakwa bahawa mana juga Kerajaan yang memerintah
Malaysia akan buat apa yang Kerajaan Barisan Nasional
buat dan akan berjaya seperti Kerajaan Barisan Nasional
berjaya.
121. Allah Maha Besar. Parti lawan seperti PAS dan PBS
telah diberi peluang untuk memerintah di peringkat
negeri. Apakah yang berlaku? Semasa PBS memerintah
Sabah, lampu jalan yang sedia ada pun tidak bernyala
kerana bekalan elektrik tidak cukup dan pengurusan
tidak cekap. Pembangunan semuanya terhenti walaupun
balak dikeluarkan dengan begitu banyak yang sepatutnya
mendatangkan hasil yang besar bagi Kerajaan negeri
untuk membiayai pembangunan.
122. Kerajaan PAS pula tidak pun dapat membekal air
bagi rakyat Kelantan. Apabila kita bersetuju untuk
menolongnya dengan memberi hutang, PAS mendakwa ini
adalah oleh kerana Kerajaan Pusat percaya kepada
kebolehan Kerajaan PAS. Kita bukan percaya. Kita
kasihan kepada rakyat Kelantan yang tidak bersalah
selain daripada mengundi PAS. PAS juga tidak berjaya
memajukan agama Islam selain daripada menyingkir imam-
imam dan memecah-belah orang Islam demi kepentingan
politik partinya.
123. Kebolehan atau tidak adanya kebolehan Kerajaan-
Kerajaan bukan Barisan Nasional sudah ditunjuk kepada
kita. Jangan sesiapa tertipu dengan dakwaan bahawa
Kerajaan mana pun yang memerintah Malaysia akan berjaya
seperti Kerajaan Barisan Nasional.
AWAS POLITIK BENCI-MEMBENCI
124. Politik parti lawan adalah politik benci-membenci,
kata orang putih 'the politics of hate'. Mereka
membakar hati dan menimbulkan kebencian kepada Barisan
Nasional, kepada UMNO, kepada pemimpin tertentu supaya
dengan kerana kebencian ini rakyat tidak lagi dapat
menilai sesuatu dengan sewajarnya dan akan beralih dan
menyokong mereka dan mengundi mereka semasa
pilihanraya. Bukan kebaikan negara, atau agama, atau
bangsa atau pengundi yang dijanjikan oleh mereka.
Bukan kemampuan mereka yang lebih baik daripada Barisan
Nasional yang mereka tonjolkan. Yang menjadi asas
kempen mereka ialah kepercayaan bahawa kebencian
manusia dapat mengabui mata dan menimbul kemarahan
sehingga tidak lagi dapat membezakan antara yang baik
dengan yang buruk dan dengan itu memilih yang buruk.
Jika kerana pemilihan yang salah ini pengundi alami
kerugian dan negara hancur sekalipun, ini tidak mengapa
bagi parti lawan. Yang utama ialah mereka menang.
125. UMNO perlu berhati-hati dengan kempen membenci
ini. Kita harus tahu menanganinya. Kita harus
tentukan kita tidak berjebak dengan 'campaign of hate'
dan kelabu mata.
126. Tanggungjawab UMNO, iaitu tanggungjawab ahli-ahli
UMNO terhadap bangsa, agama dan negara jauh lebih besar
daripada pihak lain. Bukanlah niat kita untuk
memperkecilkan peranan rakan-rakan kita dalam Barisan
Nasional. Tetapi UMNO adalah tunjang, adalah teras
bagi Barisan Nasional. Lemah UMNO, lemahlah Barisan
Nasional.
127. Mesyuarat Agung UMNO tahun ini ialah yang terakhir
sebelum pilihanraya diadakan. Tiap kali kita hadapi
pilihanraya kita hadapi cabaran terhadap kewibawaan
kita. Demikian juga kali ini. Ada yang berpendapat
cabaran kali ini lebih besar. Ada yang berkata cabaran
tahun 1990 lebih besar.
128. Kita tidak perlu banding antara cabaran-cabaran
ini. Yang penting ialah kita bersedia menghadapi
segala kemungkinan. Segala-galanya ditentukan oleh
Allah Subhanahu wa Ta'ala tetapi Allah tidak akan
menyelamatkan kita jika kita tidak berusaha
menyelamatkan diri kita sendiri. Janganlah kita
sengaja mendedahkan diri kepada bahaya dengan
kepercayaan bahawa apa juga yang kita buat, Tuhan akan
menyelamatkan kita. Tambatlah unta dan serahlah kepada
Allah Subhanahu wa Ta'ala.
129. Selamat bersidang.
--------------------------------------------------------------------------------
|