Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : STADIUM PUTRA, KOMPLEK SUKAN
NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 03/07/99
Tajuk/Title : PERASMIAN MALAYSIA AGRICULTURE,
HORTICULTURE AND
AGROTOURISM SHOW 1999 (MAHA '99)
Terlebih dahulu saya merakamkan terima kasih
kepada pihak penganjur iaitu Kementerian Pertanian,
kerana menjemput saya untuk merasmikan Malaysia
Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show 1999
atau MAHA '99.
2. Sejak merdeka, Kerajaan telah membangun dan
memajukan sektor pertanian sehingga dapat menjadikan
Malaysia hari ini sebagai pengeluar utama produk-produk
minyak kelapa sawit, getah, balak, lada hitam dan koko.
Kita telah mencapai kecemerlangan dalam bidang
penyelidikan dan pembangunan serta pengurusan ladang-
ladang komersil bagi produk-produk tersebut sehingga
Malaysia kini dijadikan pusat rujukan antarabangsa.
Kita juga boleh berbangga dengan kemajuan dan prestasi
sektor pelancongan yang merupakan sektor kecil
perkhidmatan yang penting. Semenjak pelaksanaan
program pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Keenam,
ianya telah berjaya menjadi antara penyumbang utama
pendapatan negara. Sektor tersebut telah dapat menarik
seramai 5.5 juta pelancong yang membelanja sebanyak
RM9.3 bilion pada tahun lalu. Kemajuan sektor
pelancongan ini selain daripada mewujudkan peluang
pekerjaan telah menggerakkan perkembangan aktiviti-
aktiviti yang berkaitan seperti perkhidmatan
pengangkutan, makanan dan penginapan.
3. Sebagaimana kita semua sedia maklum, krisis
ekonomi dan kewangan yang melanda negara-negara rantau
ini termasuk Malaysia menyebabkan perlunya Kerajaan
mengambil langkah-langkah yang lebih inovatif dalam
membangunkan ekonomi negara. Selaras dengan dasar bagi
mempelbagai dan mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber
serta untuk menangani krisis-krisis tersebut, maka
amatlah penting kita membangunkan ekonomi negara secara
menyeluruh dan memperkukuhkan pertalian di antara
berbagai sektor bukan sahaja di antara sektor pertanian
dengan sektor pembuatan tetapi juga di antara sektor
pertanian dengan sektor pelancongan. Sebagai persiapan
untuk menghadapi alaf baru, adalah perlu kita meneliti
kekuatan sektor pertanian dan pelancongan dan
memaksimumkan sumbangannya untuk faedah kita semua dan
bagi generasi akan datang.
4. Sebagaimana kita semua sedia maklum, negara kita
pada masa kini mendahului beberapa bidang penyelidikan
pertanian tropika. Sehubungan ini, kita perlu
menggemblengkan keupayaan dan kebolehan kita untuk
meneruskan kecemerlangan dalam penyelidikan dan
pembangunan industri-industri dan produk-produk baru
pertanian daripada komoditi utama dan sumber semulajadi
seperti bunga-bungaan, ikan hiasan, produk-produk
makanan termasuk herba dan ulam-ulaman serta hasil-
hasil kraftangan.
5. Kita juga telah mencatat kejayaan dalam
membangunkan pelbagai teknologi baru dalam pembangunan
pertanian bersepadu dan pertanian mampan serta amalan-
amalan perhutanan untuk memastikan pembangunan yang
seimbang daripada segi ekologi. Pada masa yang sama,
negara ini kaya dengan sumber semulajadi umpamanya
jeram dan air terjun, hutan rimba, taman laut dan alam
semulajadi yang boleh dimajukan dengan pelbagai cara
termasuk pelancongan. Terdapat pelbagai ekosistem,
flora dan fauna yang menarik di negara ini termasuk
15,000 spesies pokok berbunga, 290 spesies mamalia,
150,000 invertabrata dan 4,000 spesies ikan laut yang
telah dikurniakan kepada kita. Di samping itu, kira-
kira dua pertiga daripada spesies orkid dunia terdapat
di hutan-hutan Malaysia. Negara ini juga mempunyai
bukit dan gunung yang sesuai untuk tanaman bunga-
bungaan temperate. Di zaman pemikiran dan teknologi
canggih semua ini boleh digunakan secara baik untuk
meningkatkan lagi pembangunan pertanian, perhutanan dan
pelancongan di samping mengindahkan lagi persekitaran
kita.
6. Menyedari akan semua sumber, bahan dan potensi
dari alam semulajadi, Kerajaan berpendapat eloklah jika
rakyat dan pelawat diperkenalkan kepada warisan kita
dan peluang-peluang untuk menambah kekayaan negara dan
rakyat melalui satu pertunjukan dan pameran pertanian
secara besar-besaran.
7. Mengimbas kembali zaman 60an dahulu, ramai antara
kita pasti masih ingat akan satu pameran yang sungguh
popular pada masa itu, iaitu Malaysia Agricultural and
Horticultural Association Show atau MAHA. Pameran ini
telah menarik minat dan sambutan pengunjung-pengunjung
daripada pelbagai lapisan masyarakat bukan sahaja dari
Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan persekitarannya tetapi
juga pengunjung-pengunjung dari seluruh negara dan
negara asing. Mereka telah datang berpusu-pusu dan
dengan penuh minat untuk menyaksikan ternakan yang
terbesar, buah-buahan yang termanis, ubi kayu yang
paling berat, bunga-bungaan yang mempunyai warna-warni
yang paling menarik serta binatang dan ternakair yang
eksotik. Mereka datang bukan sahaja bagi melihat
peralatan pertanian yang terkini tetapi juga untuk
membeli anak-anak benih tanaman seperti buah-buahan,
bunga-bungaan, kelapa sawit, getah dan sebagainya yang
dihasilkan oleh agensi-agensi pertanian, institusi
penyelidikan dan pihak swasta. Di samping itu,
pengunjung-pengunjung mengambil peluang untuk membeli-
belah hasil-hasil pertanian dan barangan makanan selain
daripada menikmati hiburan dan persembahan daripada
artis-artis yang terkenal pada ketika itu.
8. Konsep pameran MAHA dahulu adalah untuk memberi
fokus kepada sektor petani-petani kecil bagi
menggalakkan mereka menerima pakai teknologi baru
supaya produktiviti dan pendapatan mereka meningkat.
Penekanan dan hasrat Kerajaan pada masa itu adalah
untuk membangunkan sektor luar bandar dan membasmi
kemiskinan. Tetapi dengan kejayaan industri pembuatan
tumpuan kepada pertanian selain daripada jenis tumbuhan
yang boleh dikomersilkan telah berkurangan. Kegawatan
dan resesi telah memaksa kita memberi perhatian semula
kepada pengurangan pergantungan kepada bahan makanan
yang diimport, dan menggantikan dengan bahan makanan
tempatan. Lebih dari itu kita juga disedarkan akan
potensi eksport hasil pertanian yang lain selain
daripada getah, kelapa sawit dan sebagainya.
9. Dengan tumpuan semula kepada pertanian kita dapati
bahawa pertanian secara teratur dan besar-besaran untuk
mengeluarkan sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-
bungaan serta ternakan binatang-binatang seperti rusa,
burung unta dan lain-lain dan juga ternakan ikan air
tawar dan air masin boleh menyumbang kepada ekonomi
negara dan membebaskannya daripada pergantungan kepada
terlalu banyak makanan yang diimport. Kepakaran kita
dalam mendiri dan mengurus estet yang besar boleh
membantu kita dalam pembangunan industri pertanian yang
lain. Jika kita boleh memajukan getah, kelapa sawit
yang bukan berasal dari negara kita tidak ada sebab
kenapa kita tidak boleh majukan tumbuhan-tumbuhan lain.
10. Mulai tahun ini, walaupun MAHA akan mengekalkan
suasana dan kemeriahan MAHA yang diadakan dalam zaman
60an hingga 70an, ianya akan diubahsuai dengan
pendekatan dan aktiviti-aktiviti baru untuk
menggambarkan perubahan pembangunan ekonomi serta cara
hidup dan citarasa rakyat jelata. Sejajar dengan
objektif ini, perayaan MAHA '99 yang akan disambut di
peringkat Pusat dan di seluruh negara selama dua bulan
mulai 3 Julai akan dimeriahkan dengan Karnival Flora
termasuk pameran dan jualan hasil dan produk pertanian
dan pelancongan sebagai pembuka tirai. Ini akan
diikuti dengan Pesta Flora yang akan diraikan mulai
esok dan berakhir pada 11 Julai serentak dengan
Karnival Flora. Selain daripada promosi potensi dan
destinasi pelancongan, pesta makanan dan minuman yang
menonjolkan hasil pertanian khususnya ulam-ulaman dan
buah-buahan tertentu; pertunjukan buah-buahan nadir,
ternakan eksotik serta sambutan Tahun Melawat Negeri
Sembilan dan Pulau Pinang akan dianjurkan. Sebagai
kemuncak sambutan MAHA pula Hari Peladang, Penternak
dan Nelayan Peringkat Kebangsaan (HPPNK) dan Asia
Agricultural Exposition and Convention 1999 (AGEX '99)
akan diadakan serentak pada 26 hingga 31 Ogos akan
datang di Stadium ini.
11. Saya yakin perayaan MAHA ini akan memberi manfaat
kepada semua kumpulan sasar dan pihak yang terlibat
dalam pembangunan sektor pertanian dan pelancongan
serta sektor-sektor yang berkaitan dengannya. Bagi
golongan petani, penternak dan nelayan yang telah
menyumbang tenaga mereka sebagai pengeluar makanan
negara serta pemaju sektor berasaskan pertanian dan
pelancongan, mereka juga boleh memperolehi maklumat
yang tidak ternilai mengenai peluang dan potensi
pelaburan sektor-sektor berkenaan menerusi Konvensyen
Peladang dan menimba pengalaman daripada kejayaan
Peladang dan Usahawan Jaya.
12. Para pelajar dan masyarakat umum pula diseru
merebut peluang ini untuk mendapat pendedahan dan
memperolehi pengetahuan terkini mengenai teknologi dan
perkembangan sektor pelancongan, pertanian serta
industri berasaskan pertanian di dalam dan luar negara.
Pengguna-pengguna pula boleh meraih faedah melalui
jualan terus hasil-hasil pertanian dan barangan
berasaskan pertanian termasuk kraftangan, cetakan dan
tenunan yang akan memberi tambahan pendapatan kepada
golongan sasar dan pengusaha yang terlibat.
13. Para cendekiawan yang meliputi pegawai penyelidik,
ahli-ahli sains dan akademik juga akan dapat bertukar
fikiran dan pengalaman melalui persidangan, seminar,
konvensyen dan sebagainya sama ada di peringkat
kebangsaan atau antarabangsa. Melalui acara MAHA ini,
usahawan-usahawan termasuk para pelabur asing, selain
daripada memperolehi maklumat berhubung dengan insentif
dan potensi pelaburan dalam sektor pertanian dan
pelancongan, akan mendapat peluang untuk berinteraksi
dan menjalin 'network' dengan para pelabur, pengusaha
dan Kerajaan-kerajaan Negeri.
14. Pihak pelancong dan mereka yang terlibat dalam
industri pelancongan selain daripada memperolehi
maklumat dan pengetahuan terkini mengenai potensi dan
destinasi pelancongan dan keindahan Malaysia yang kaya
dengan flora dan fauna, akan dapat pendedahan kepada
pelbagai sukan rakyat, kebudayaan, adat resam dan cara
hidup masyarakat majmuk di negara ini. Mereka juga
akan dapat menikmati pelbagai jenis makanan pelbagai
kaum, hasil dan keluaran pertanian serta membeli-belah
hasil-hasil kraftangan, barangan cetakan dan tenunan.
15. Kehadiran pelancong-pelancong sama ada dari dalam
atau luar negeri akan meningkatkan pendapatan sektor
pelancongan daripada segi kemudahan hotel, restoran,
pengangkutan, hiburan, pusat-pusat peranginan, lawatan
dan pusat membeli-belah. Dengan adanya perayaan MAHA
ini, ianya akan membolehkan pelancong-pelancong
tinggal lebih lama di negara ini dan mempromosikan
Malaysia sebagai tempat persidangan, konvensyen dan
pameran antarabangsa. Perayaan MAHA akan dapat
menawarkan pelbagai aktiviti yang menarik untuk
pelancong sebelum dan selepas persidangan.
16. Dalam hubungan ini, adalah diharapkan pihak swasta
akan mempromosikan pakej bagi menarik lebih ramai
pelawat dan pelancong luar negara ke Malaysia. Selaras
dengan dasar Kerajaan untuk menggalakkan pelancongan
domestik pula, aktiviti pelancongan berasaskan
pertanian, ekologi, sukan dan rekreasi, membeli-belah
dan perayaan seperti Pesta Flora akan dipelbagaikan
bagi memenuhi permintaan dan citarasa rakyat tempatan.
Konsep Karnival Flora termasuk jualan akan menggalakkan
pelancongan domestik serta antarabangsa dan
mempromosikan penjualan barangan tempatan. Di samping
itu, dengan pelaksanaan projek-projek pertanian dan
produk-produk agro-pelancongan seperti dusun buah-
buahan, 'farm-stay', 'home-stay', taman laut dan
sebagainya akan membantu kita mencapai matlamat Dasar
Pertanian Negara serta sasaran ketibaan pelancong yang
dijangka meningkat kepada seramai kira-kira 7.6 juta
orang dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM12 bilion
menjelang tahun 2000.
17. Memandangkan perayaan MAHA ini akan memberi
manfaat besar kepada semua golongan masyarakat dan
pihak-pihak yang terlibat, saya sekali lagi ingin
menyeru semua pihak terutamanya Kerajaan-kerajaan
Negeri, pihak swasta dan petani, penternak dan nelayan
serta tuan-tuan dan puan-puan untuk turut sama
menjayakan perayaan MAHA '99. Menerusi perayaan MAHA
ini adalah diharapkan sektor pertanian dan yang
berasaskan pertanian serta pelancongan akan dapat
meningkatkan pendapatan, menjana pendapatan tukaran
asing dan mempercepatkan pemulihan ekonomi serta
menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.
18. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya
merasmikan MAHA '99.
|