Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MCA, JALAN AMPANG,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 17/07/99
Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN MESYUARAT AGUNG
TAHUNAN MCA YANG KE-46
Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden Parti
MCA dan semua anggota Jawatankuasa Pusat Parti MCA
kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan Mesyuarat
Agung Tahunan MCA yang ke-46 pada hari ini.
2. Sebagai anggota komponen Barisan Nasional
prestasi parti MCA pada hari ini amatlah membanggakan.
MCA sebagai rakan komponen benar-benar mempunyai ciri-
ciri dan nilai-nilai serta memegang pada prinsip yang
diamalkan oleh Barisan Nasional. Saya berkata demikian
kerana sepanjang dua tahun lalu iaitu sejak negara kita
dilanda kegawatan ekonomi dan masalah politik, MCA
telah menunjukkan kesetiaan yang kuat dan padu kepada
Barisan Nasional. Tidak sedikit pun ternampak parti
MCA atau ahli-ahlinya ragu-ragu atau tidak tetap
pendiriannya sewaktu negara ditimpa bencana ekonomi dan
politik serta ketika Kerajaan mengambil pelbagai
tindakan pemulihan yang luar biasa.
3. Dokongan mantap daripada MCA ini telah membantu
Kerajaan mengatasi kegawatan ekonomi dan masalah
politik dengan mudah dan berkesan. Ketika negara
diserang oleh penyangak-penyangak matawang asing, MCA
telah menggembleng tenaga masyarakat keturunan Cina
Malaysia supaya terus menggiat dan menyemarakkan
aktiviti ekonomi negara. Dan ketika UMNO dan orang
Melayu menghadapi masalah politik, MCA telah berdiri
teguh di sisi UMNO sebagai rakan yang setia yang tetap
percaya akan kebijaksanaan tindakan yang diambil oleh
rakannya. Tidak ada keraguan di kalangan pemimpin dan
ahli MCA akan sebab-sebab tindakan diambil.
4. Sikap parti MCA ini harus dipuji. Dan yang harus
menerima pujian yang lebih besar ialah ahli-ahli MCA
dari semua peringkat. Jika tidak kerana tuan-tuan dan
puan-puan dan parti tuan-tuan dan puan-puan, Kerajaan
kita tentu sukar untuk melaksanakan dengan jayanya
usaha-usaha memulihkan ekonomi negara dan menyelesaikan
masalah politik orang Melayu.
5. Hari ini kita lihat bagaimana negara kita telah
berjaya mengatasi masalah kegawatan ekonomi. Yang
lebih menggembira dan membanggakan ialah kegawatan
ekonomi ini kita atasi mengikut cara kita, cara yang
dicipta oleh rakyat kita sendiri. Kita tidak perlu
pertolongan orang asing, kita tidak perlu tunjuk ajar
orang luar untuk mengeluarkan negara kita daripada
masalah ekonomi ini. Kita bukannya sombong atau hendak
mendabik dada tetapi kita percaya dan yakin kepada diri
kita sendiri bahawa kita boleh menyelesaikan sebarang
masalah kita mengikut cara kita atau stail kita
sendiri.
6. Memang mula-mulanya kita dikecam kerana mengambil
langkah-langkah yang tidak 'bertamadun', yang 'bodoh',
yang boleh merosakkan diri kita sendiri dan bermacam-
macam lagi malapetaka yang diramal akan menimpa kita.
Tetapi kini terbukti tindakan-tindakan Kerajaan membawa
kejayaan demi kejayaan. Sekarang cara Malaysia
menangani masalah kegawatan ekonomi ini mendapat
pengiktirafan pula. Malah banyak negara asing termasuk
negara jiran yang dilanda kegawatan ekonomi dunia
berminat untuk mengikuti jejak langkah Malaysia.
Tetapi malangnya tangan mereka terikat dan mereka tidak
bebas untuk bertindak.
7. Mereka yang dahulu mengecam kita kini terpaksa
menarik balik kecaman mereka. Mereka yang dahulu
bermati-matian mengkritik kita, kini dikritik pula
kerana telah memberi ramalan ekonomi yang salah
terhadap Malaysia yang mana ini telah merugikan pelabur-
pelabur asing yang berminat untuk melabur di negara
kita. Dan mereka yang dahulu mentertawakan kita kini
diam membisu kerana malu. Pada hari ini para
penganalisa ekonomi asing, media asing, agensi
penarafan kredit asing, Bank Dunia dan Dana Kewangan
Antarabangsa atau IMF yang dahulu kuat mengkritik
negara kita dan meramalkan Malaysia sedang menuju
kehancuran kerana tidak mahu menurut mereka dan
menerima apa yang dikatakan sebagai bantuan mereka
tetapi sebaliknya mengambil langkah-langkah kawalan
ekonomi yang keras, kini bersetuju bahawa cara dan
pendekatan kita adalah baik dan mampu berjaya. Dan
sekarang Kumpulan-8 atau Group of Eight sedang
membincangkan bagaimana mengawal pedagang matawang dan
membentuk rejim kewangan dunia yang baru, yang mana
kita telah syorkan awal-awal lagi.
8. Kawalan matawang secara berpilih dan sementara,
penetapan kadar ringgit kepada RM3.80 seDolar Amerika
dan kawalan pelaburan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur
telah menstabil dan mengukuhkan semula kedudukan
ekonomi negara kita. Langkah-langkah ini di samping
banyak tindakan lain yang diambil oleh Kerajaan seperti
mengawal harga barangan keperluan, mengawal inflasi,
memudahkan pinjaman kredit, merendahkah faedah,
meningkatkan produktiviti dan menambah eksport, telah
menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara kita lebih
awal dan lebih pesat daripada pemulihan di negara-
negara lain.
9. Mengikut unjuran Bank Negara bulan lalu
berdasarkan data-data dan kajian maklumat ekonomi dan
tertakluk kepada perkembangan luar jangkaan,
pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) bagi
tahun ini dijangka mungkin lebih daripada satu peratus
yang diramalkan pada tahun lalu atau awal tahun ini.
Bagaimanapun, Kerajaan ingin mengambil pendirian yang
konservatif dengan mengunjurkan pertumbuhan KDNK akan
tetap mencapai sekitar satu peratus. Dan kita
mengunjurkan ia akan meningkat sehingga lima peratus
pada tahun hadapan.
10. Malangnya ada pihak yang tidak dapat menerima
kenyataan ini. Media asing terutamanya masih
menidakkan kebenaran pemulihan ekonomi negara, dan
mereka disambut oleh pihak tertentu dalam negara. Kita
tidak perlu mengambil berat tentang sikap mereka ini.
Sepertimana kita semua tahu ramalan mereka tidak pernah
menjadi kenyataan. Jika kita semak ramalan mereka
dahulu kita akan dapati hampir tidak ada satu pun
ramalan buruk mereka terhadap kita yang betul.
Demikian mereka meramalkan orang Melayu akan menyamun
harta orang keturunan Cina apabila kita merdeka,
Malaysia tidak mungkin pulih bahkan akan hancur selepas
peristiwa 13 Mei, pentadbiran Malaysia tidak mungkin
berkesan dan pembangunan Malaysia tidak akan tercapai,
kereta nasional kita akan gagal, ekonomi kita akan
merosot kerana kejatuhan nilai ringgit dan tidak akan
dapat elak daripada menerima bantuan IMF serta syarat-
syaratnya dan banyak lagi. Dan semua ini didapati
tidak tepat dan tidak menjadi kenyataan. Apa yang
berlaku ialah sebaliknya.
11. Yang menjadi kenyataan ialah rakyat Malaysia hidup
harmoni dan terus maju dan makmur, kedai-kedai dan
pusat-pusat membelibelah sentiasa dipenuhi orangramai,
penjualan rumah dan kereta meningkat, aktiviti
pembinaan baik perumahan atau infrastruktur terus
rancak, permintaan pekerja terus meningkat, kilang-
kilang pengeluaran menambah produktiviti serta
meningkat eksport barangan mereka, tempat-tempat
peranginan dalam negara dipenuhi pelancong tempatan dan
luar negeri dan sebagainya.
12. Jelas sekali kritikan tanpa asas yang dibuat oleh
segelintir pihak ini termasuk rakyat kita sendiri serta
parti pembangkang, tidak berniat baik dan bertujuan
semata-mata untuk memalukan Kerajaan dan menimbulkan
rasa benci rakyat kepada pemerintahan yang didokong
oleh Barisan Nasional. Golongan ini adalah jenis
'desperado' atau orang kecewa dan iri hati. Mereka ini
mahu menggugat kewibawaan Kerajaan Barisan Nasional
dengan apa cara sekalipun termasuk menghina, mencaci
dan menfitnah serta merosakkan ekonomi negara. Mereka
tidak pernah malu bahawa ramalan mereka dan pendapat
mereka hampir tidak pernah tepat dan betul dan mereka
meneruskan juga dengan ramalan buruk mereka terhadap
negara kita.
13. Mereka, orang asing dengan media mereka ini amat
marah jika kita dakwa bahawa mereka tidak jujur dan
sengaja menimbulkan masalah bagi memburukkan keadaan di
negara kita. Kononnya kerana kita akan adakan
pilihanraya maka kita memesongkan pandangan rakyat
kepada orang asing untuk menutup kegagalan kita. Kita
tidak pernah tunggu pilihanraya. Pada tahun 1997 kita
telah menuduh orang asing yang merosakkan ekonomi Asia
Timur dan negara kita. Sebelum itu kita telah mengecam
percubaan menggunakan WTO untuk melambatkan proses
pertumbuhan ekonomi negara membangun. Kita telah
mengecam keengganan mereka menolong Bosnia Herzegovina,
sekatan dagangan Iraq dan Iran, serta bermacam lagi.
Bukan pilihanraya yang mempengaruhi sikap kita dalam
kritikan kita terhadap orang asing. Keadilan dan
kebenaran yang mendorong kita membuat teguran terhadap
sesiapa, kecil atau besar, lemah atau kuat.
14. Dalam semua ini rakyat Malaysia yang setia dan
berfikiran waras memberi sokongan padu dan kuat kepada
Kerajaan Barisan Nasional. Perbezaan kaum di Malaysia
tidak menjadi masalah. Walaupun orang asing mengkritik
Dasar Ekonomi Baru (DEB) umpamanya, majoriti rakyat
Malaysia keturunan Cina menyokong. Hari ini kita dapat
lihat kebijaksanaan DEB. Walaupun negara mengalami
kegawatan ekonomi, tidak ada rusuhan kaum yang berlaku.
Sebaliknya, hubungan antara kaum terus rapat dan ini
memudahkan proses pemulihan ekonomi negara. Sebenarnya
orang Malaysia keturunan Cina amat rasional dan tidak
tamak. Mereka sanggup berkongsi dengan kaum-kaum lain.
Mereka menolong menjayakan DEB dan dasar-dasar serta
pendekatan lain dalam usaha kita memperbaiki keadaan
sosial dalam negara.
15. Dalam usaha membangunkan negara secara adil
daripada segi sosial, ekonomi dan politik, MCA
memainkan peranan yang amat penting. MCA bersikap
sederhana dan tidak menimbulkan apa-apa masalah dan
ketegangan. Saya ingin ucap terima kasih kepada Dato
Seri Dr Ling Liong Sik sebagai Presiden MCA yang
memberi sumbangan yang banyak dalam Jemaah Menteri dan
Kerajaan. Khususnya saya ingin ucap terima kasih dan
tahniah kepada Dato Seri Dr Ling sebagai Menteri
Pengangkutan yang berjaya memajukan pelabuhan-pelabuhan
kita terutama Pelabuhan Kelang yang sudah menjadi 'hub'
dan 'load centre' di Malaysia. Saya yakin di bawah
kepimpinan Dato Seri Dr Ling, Pelabuhan Kelang boleh
menjadi satu daripada sepuluh pelabuhan yang terbesar
di dunia. Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada
Dato Seri Dr Ling.
16. Saya percaya MCA sedang bersiap sedia untuk
bekerjasama dengan parti-parti komponen Barisan
Nasional bagi menghadapi dan memenangi pilihanraya yang
akan datang. Saya percaya pengundi Cina akan memberi
sokongan kuat kepada MCA dan calon-calon Barisan
Nasional. Kita tidak boleh lupa bahawa kejayaan
Barisan Nasional disebabkan kerjasama kita, di mana
parti-parti komponen Barisan Nasional saling tolong
menolong. Apabila calon sudah ditentukan kita akan
rapatkan barisan kita dan kita beri sokongan tanpa
mengambilkira daripada parti komponen yang mana calon
itu datang. UMNO tetap akan menyokong sepenuhnya calon-
calon MCA dan calon-calon Barisan Nasional lain, dan
saya percaya MCA juga akan berbuat demikian.
17. Inilah formula kita yang telah menjayakan kita
sejak kita merdeka, bahkan sebelum itu. Sekarang ini
ramai yang ingin meniru formula ini. Pihak parti-parti
lawan kononnya sudah bentuk pakatan parti lawan.
Tetapi mereka hanya berbuat demikian apabila
pilihanraya hendak diadakan. Walaupun mereka cuba
bentuk manifesto untuk masa depan, kita tahu ini
hanyalah untuk mengabui mata pengundi. Mereka akan
bersetuju dengan apa sahaja untuk memenangi
pilihanraya. Selepas pilihanraya, menang atau kalah,
mereka akan belakangkan manifesto mereka. Demikian
selepas pilihanraya janji PAS kepada Semangat 46
dilupakan.
18. PAS rela gugurkan apa yang mereka dakwa adalah
perjuangan mendirikan 'Negara Islam' untuk mendapat
sokongan DAP semasa pilihanraya. Apakah PAS benar-
benar menggugurkan 'Negara Islam' ala PAS jika mereka
menang? DAP pula berhasrat mengembalikan 'Malaysian
Malaysia' dan PAS terima 'Malaysian Malaysia' DAP.
Apakah DAP ikhlas untuk mengekalkan layanan istimewa
bagi Bumiputera? Kemudian datang pula parti KeAdilan
dan Parti Rakyat Malaysia Sosialis yang sanggup
menyokong apa saja untuk mendapat undi. Bolehkah
pakatan seperti ini mendirikan Kerajaan?
19. Ada juga sebilangan kecil orang Cina yang suka
beri tempat kepada 'opposition' untuk 'political
balance'. Tetapi mungkin ini akan menyebabkan semua
'overbalance' dan Barisan Nasional tidak mendapat
majoriti dua per tiga. Jika Kerajaan lemah kerana
majoriti yang kecil, kita tidak akan dapat melaksanakan
tindakan yang penting untuk pemulihan ekonomi kita.
Kerajaan perlu kuat untuk bertindak mempertahankan
ekonomi negara ini. Oleh itu MCA hendaklah menentukan
sokongan bulat didapati daripada kaum Cina dalam
pilihanraya akan datang.
20. Saya percaya MCA akan berusaha bersungguh-sungguh
untuk menjayakan Barisan Nasional. Masih banyak yang
perlu kita buat untuk membangunkan negara kita
Malaysia. Untuk ini hanya Barisan Nasional sahaja yang
boleh menjayakannya. Kejayaan Barisan Nasional
bergantung kepada semua parti komponen. Sebagai parti
komponen dalam Barisan Nasional, MCA saya yakin akan
memberi sumbangan dan kerjasama yang tidak berbelah
bagi kepada parti kita, Barisan Nasional.
21. Dengan ingatan dan harapan yang tinggi ini, saya
dengan segala sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung
Tahunan MCA yang ke-46.
|