Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN WAWASAN, MENARA PGRM 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	24/07/99 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN 
			PERWAKILAN KE-28 PARTI GERAKAN 
			RAKYAT MALAYSIA 


     
       Saya  ucap  terima kasih kepadaYang Berhormat  Dato
  Seri  Dr  Lim  Keng Yaik, Presiden Parti Gerakan  Rakyat
  Malaysia, dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja parti  kerana
  telah  sudi  menjemput saya untuk merasmikan Persidangan
  Perwakilan  Ke-28  Parti  Gerakan  pada  hari  ini.  Ini
  adalah  keistimewaan yang diberikan kepada  saya  selaku
  Pengerusi  Barisan Nasional. Walaupun amalan ini  nampak
  biasa, tetapi ia  melambangkan semangat kerjasama  rapat
  antara  kita   ahli  parti  komponen  Barisan  Nasional.
   Semangat   inilah   yang  membolehkan   kita   membentuk
  Kerajaan   yang  kuat  di  dalam  usaha  kita  memajukan
  negara.
  
  2.    Sebagai  anggota komponen Barisan Nasional,  Parti
  Gerakan  telah  memainkan peranan yang amat  penting  di
  dalam  mengekalkan semangat perpaduan  yang  telah  kita
  dokong  selama  ini.  Ini amat jelas  dalam  tempoh  dua
  tahun   kebelakangan   ini   semasa   negara   mengalami
  kegawatan ekonomi dan masalah politik.
  
  3.    Masih  segar  di  ingatan kita,  bagaimana  negara
  menjadi  muram kerana semua perniagaan merosot dan  rugi
  serta  pihak  tertentu  cuba mencetuskan  rusuhan  untuk
  menyelamatkan   diri   dan  merebut   kuasa.    Kerajaan
  terpaksa  mengambil  langkah-langkah  luar  biasa  untuk
  menangani  kedua-dua  masalah  yang  timbul.  Saya  amat
  berbangga  kerana   Parti  Gerakan  tetap  setia   dalam
  menyokong   semua   tindakan  Kerajaan   tanpa   sedikit
  keraguan   pun.  Sokongan  padu  ini  memudahkan   usaha
  Kerajaan  menangani kemelut yang dihadapi negara.  Untuk
   ini  saya ucapkan terima kasih kepada Presiden,  barisan
  kepimpinan dan kesemua ahli-ahli Parti Gerakan.
  
  4.    Semangat kerjasama dan sokongan padu kesemua parti
  komponen  Barisan  Nasional  kepada  Kerajaan  di  dalam
  menangani   masalah   ekonomi  kini  telah   menampakkan
  kebijaksanaannya.  Langkah-langkah yang kita  cipta  dan
  ambil,  seperti pengawalan nilai ringgit dan  pengaliran
  modal,  penurunan  kadar faedah dan  lain-lain  ternyata
  berjaya.  Hari ini tahap ekonomi negara berada di  dalam
  keadaan  yang  baik. Ada pihak yang meramal  pertumbuhan
  ekonomi   negara  akan  melebihi  tahap  jangkaan   awal
  sebanyak  satu  peratus.  Tetapi  yang  pentingnya  kita
  akan  kembali kepada pertumbuhan ekonomi seperti sebelum
  serangan ke atas kewangan dan ekonomi kita.
  
  
  5.    Tentu  kita  masih  ingat bagaimana  kita  dikecam
  hebat oleh masyarakat dunia kerana langkah-langkah  yang
  kita  ambil.  Mereka  mengatakan  bahawa  tidak  mungkin
  langkah-langkah  mengawal modal yang dicipta  oleh  kita
   akan  berjaya.  Mereka mendakwa negara kita akan hancur.
  Mereka  mempersendakan kita dan memperkecilkan kebolehan
  kita.   Mereka  mengatakan bahawa lambat-laun kita tetap
  akan  terpaksa tunduk dan meminta bantuan daripada  Dana
  Kewangan  Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.   Bermacam-
  macam   kritikan  dilemparkan  kepada  kita  sehinggakan
  tidak  ada  satu  pun yang kita buat dianggap  baik  dan
  dipandang positif.
  
  6.    Tetapi  hari  ini  para pengkritik  kita  terpaksa
  menarik  balik  kecaman mereka. 'They  have  to  swallow
  their  own words'.  Bukan sahaja kita berjaya memulihkan
  keadaan  ekonomi kita dengan cara kita, malah kita  juga
  telah  berjaya  mengekalkan  keharmonian  dan  perpaduan
  masyarakat  berbilang kaum negara  ini.   Kini  langkah-
  langkah    yang   kita   ambil   telah    mula    diberi
  pengiktirafan.   Pengkritik  kita,  termasuk  dari  Bank
  Dunia dan IMF, mengaku bahawa langkah-langkah yang  kita
  ambil  mempunyai  potensi untuk berjaya  dan  memulihkan
   ekonomi  dengan  lebih  cepat  berbanding  negara-negara
  yang menerima bantuan IMF.
  
  7.    Kita  tidak  ingin  mendabik dada  ataupun  merasa
  sombong  dan  angkuh.  Tetapi hakikatnya ialah  langkah-
  langkah  untuk  menangani kegawatan ekonomi  ini  adalah
  hasil usaha kita sendiri.  Kita telah melawan arus,  'we
  swam  against the current' setelah kita yakin yang  cara
  mereka   dan   penyerahan  kepada  mereka   akan   hanya
  memburukkan  keadaan  di samping  menjejaskan  kebebasan
  kita  mengurus negara kita sebagai negara yang  merdeka.
  Keyakinan ini menjadi lebih kukuh selepas bekas  Menteri
  Kewangan  memperkenalkan  'Virtual  IMF'  dan  kerosakan
  yang teruk berikutan daripadanya.
  
  8.     Dengan   kebebasan  daripada   tekanan   pedagang
  matawang  dan 'short-selling' melalui CLOB,  kita  dapat
  menurunkan  faedah  dan menambah kredit  untuk  menolong
  peniaga   kita.    Selepas  itu  kita   berusaha   untuk
  meningkatkan   ekonomi   dengan   menolong    memasarkan
   hartanah  atau  'properties'  dan  juga  jualan  runcit.
  Kita  telah pulihkan hutang-hutang syarikat dan  bebanan
  hutang  yang  tidak dibayar (NPL) yang  ditanggung  oleh
  bank.   Industri pembinaan dibantu supaya  hidup  semula
  di  samping bantuan dan galakan kepada industri eksport.
  Import kita dikurangkan melalui berbagai-bagai cara  dan
  dengan  ini  rizab  kita meningkat  daripada  20  bilion
  Dolar  AS  kepada  31  bilion  Dolar  AS.   Perbelanjaan
  Kerajaan  yang  telah  dikurangkan  oleh  bekas  Menteri
  Kewangan   sehingga  pembekal  khidmat,   barangan   dan
  kontrak   mengalami  kerugian  yang  teruk  telah   kita
  pulihkan  semula.   Kadar  faedah  diturunkan  dan  bank
  dinasihatkan   supaya  memberi  pinjaman  dengan   lebih
  mudah.
  
  9.    Walaupun ramai para pengkritik telah mula  menukar
  pandangan mereka, namun terdapat segolongan orang  asing
  ini  yang masih tidak boleh menerima hakikat bahawa kita
  sudah  berjaya  dan  mulai pulih.  Mereka  tetap  dengan
   pendirian mereka bahawa langkah-langkah yang kita  ambil
  sebenarnya  salah.  Yang paling malang sekali,  terdapat
  segelintir  daripada rakyat Malaysia yang  terlalu  suka
  mengikut  cara orang asing ini sehingga sanggup  mencaci
  Kerajaan   dan   negara  sendiri.   Mereka   ini   masih
  bermentaliti  kolonial  iaitu  mempercayai  hanya  orang
  asing  sahaja yang berkebolehan dan kita perlu ikut  apa
  yang disuruh oleh mereka.
  
  10.   Mereka  ini  juga membuat tuduhan bahawa  kononnya
  sistem  kehakiman  negara kita tidak  bebas  dan  mereka
  memburukkan  sistem kehakiman kita kepada  orang  asing.
  Mereka  ini tidak mengambilkira bahawa hanya di Malaysia
  sahaja  yang  mahkamah  pernah  menghukum  bahawa  parti
  Kerajaan   adalah   tidak  sah.    Dan   UMNO   terpaksa
  ditubuhkan  semula  dengan bermacam-macam  halangan  dan
  rintangan.   Di Malaysia beberapa menteri kabinet  telah
  dihadapkan  ke  mahkamah  dan  seorang  daripada  mereka
  dikenakan  hukuman bunuh, tanpa Kerajaan  dapat  membuat
   apa-apa  walaupun  rakan-rakan dalam  kabinet  dan  saya
  juga   bersependapat  ianya  tidak  bersalah.   Beberapa
  orang  Menteri Besar dan Ketua Menteri daripada  Barisan
  Nasional telah dihadapkan ke mahkamah dan dihukum.   Dan
  baru-baru  ini dua orang Ahli Exco Kerajaan Negeri  juga
  dihadapkan ke mahkamah.
  
  11.   Jika  benarlah Kerajaan boleh mengarah hakim-hakim
  mahkamah Malaysia serta pendakwaraya atau Peguam  Negara
  membuat  apa  sahaja,  sudah  tentu  pembesar  Kerajaan,
  rakan   dan  kawan  pucuk  pimpinan  parti  tidak   akan
  dihadapkan  ke mahkamah dan tidak akan dihukum.   Tetapi
  tindakan  terhadap  anggota Kerajaan,  rakan  dan  kawan
  kepada    kepimpinan   negara   serupa   sahaja   dengan
  pendakwaan  dan hukuman ke atas orang lain.   Sebaliknya
  kita   tahu   apabila  pemimpin  parti  lawan   didapati
  bersalah,  hukuman  ke  atasnya  diringankan  supaya  ia
  tidak akan kehilangan kerusi Parlimen.
  
  12.   Sebenarnya  yang sepatutnya menyoal  keadilan  dan
   pengecualian  kehakiman negara ini  ialah  Kerajaan  dan
  parti  Kerajaan.  Tetapi kita tidak menyoal, jauh sekali
  menuduh  bahawa  kehakiman  kita  berat  sebelah.   Kita
  menerima sahaja keputusan mahkamah sama ada kita  menang
  atau kalah.
  
  13.    Saya  telah  memberitahu  pemberita  asing   yang
  selalunya  menyokong  pembangkang akan  sikap  kehakiman
  dan  kes-kes  tertentu ini.  Mereka  pura-pura  terkejut
  dan  menyatakan  mereka tidak tahu akan  perkara-perkara
  ini.   Tetapi  laporan mereka tidak pernah menyebut  apa
  yang  saya beritahu kepada mereka.  Demikianlah keadilan
  dan  kebebasan  mereka  --  mereka  bercerita  apa  yang
  mereka  suka  dan mereka menyembunyikan apa yang  mereka
  tidak   suka.    Sesungguhnya  Malaysia   dan   Kerajaan
  Malaysia  tidak pernah mendapat keadilan daripada  media
  asing.   Entah  kerana apa mereka selalu memihak  kepada
  parti   lawan,  dan  jelas  ingin  menjatuhkan  Kerajaan
  Malaysia.    Parti-parti   Komponen   Barisan   Nasional
   perlulah berhati-hati dengan orang yang tidak adil  sama
  sekali apabila menilai prestasi kita.
  
  14.   Kali  ini  parti  lawan cuba membuat  pakatan  ala
  Barisan  Nasional.   Kita  tidak  gentar.   Tetapi  kita
  khuatir dengan sokongan yang jelas diberi kepada  mereka
  oleh  orang  asing termasuk pemimpin kuasa besar.   Kita
  telah  melihat bagaimana orang asing berjaya mencetuskan
  kegawatan  melalui  serangan  ekonomi  supaya   Kerajaan
  dapat  ditumbangkan.   Rakyat tiba-tiba  menjadi  miskin
  dan  menderita.   Mereka merompak dan membunuh.   Tetapi
  pihak  asing  tidak sedikit pun rasa  bersalah.   Mereka
  sebaliknya  menyalahkan  Kerajaan  dan  membantu  proses
  menjatuhkan Kerajaan.
  
  15.     Sehingga    kini   kita   di   Malaysia    dapat
  mempertahankan  diri  kita  daripada  manipulasi   orang
  asing.   Ramai  juga yang berkata apa  yang  berlaku  di
  negara  lain  tidak  mungkin  berlaku  di  negara  kita.
  Tetapi  kita  tidak  boleh yakin bahawa  ia  tidak  akan
   berlaku.   Jika  kita  biarkan,  jika  rakyat  mengambil
  ringan,  ada  kemungkinan huru-hara  berlaku  di  negara
  kita.   Rakyat  tidak harus percaya bahawa  amaran  yang
  kita   beri   hanyalah  taktik  politik.   Jika   mereka
  membenarkan  diri mereka dipengaruhi oleh  parti  lawan,
  malapetaka yang menimpa negara lain akan menimpa  negara
  kita juga.
  
  16.   Kita tidak menyuruh rakyat percaya secara membuta-
  tuli  semua  yang  didakwa  oleh  Kerajaan.   Periksalah
  dengan  teliti dahulu.  Tetapi periksa dengan ketelitian
  yang  sama  juga  segala tuduhan yang  dilemparkan  oleh
  parti  lawan  terhadap Kerajaan.  Apakah benar  Kerajaan
  Barisan  Nasional tidak perihatin -- 'care' --  terhadap
  nasib  rakyat?   Apakah  pemerintahan  Barisan  Nasional
  pemerintahan  kuku  besi  yang tidak  memberi  kebebasan
  kepada  rakyat bersuara, tidak memberi kebebasan  kepada
  parti  lawan?  Apakah Kerajaan Barisan Nasional pembazir
  wang  negara, boros dan tidak bertanggungjawab?   Apakah
   Kerajaan  tidak menolong mengurangkan tol  jalan,  cukai
  dan  lain-lain  yang dikenakan ke atas  rakyat?   Apakah
  Kerajaan   Barisan   Nasional  tidak  mengawal   inflasi
  sehingga kos sara hidup di Malaysia hanya satu per  tiga
  daripada  kos  sara  hidup di  negara  yang  setaraf  di
  dunia?   Apakah Kerajaan Barisan Nasional tidak mengawal
  keselamatan  rakyat sehingga rakyat bebas  ke  mana-mana
  sahaja  tanpa  takut keselamatan diri  diancam?   Apakah
  Kerajaan  Malaysia  tidak dapat  mengatasi  serangan  ke
  atas ekonomi negara oleh penyangak matawang asing?
  
  17.   Sesungguhnya rakyat Malaysia bernasib baik.  Ramai
  orang  asing  yang  meminta-minta untuk  menjadi  rakyat
  Malaysia   atau  dapat  tinggal  di  Malaysia.    Rakyat
  Malaysia yang berpindah ke luar negeri juga sudah  ramai
  yang  kembali  ke  tanahair.  Tentulah  keinginan  orang
  asing  untuk  tinggal  di Malaysia  disebabkan  Malaysia
  adalah  lebih  baik  daripada negara  mereka.   Tentulah
  malang  jika  rakyat Malaysia sendiri  tidak  menghargai
   segala-gala  yang didapati di Malaysia.   Tentulah  amat
  malang  jika  rakyat membenci Kerajaan tanpa  sebab  dan
  dengan itu cuba menjatuhkan Kerajaan.
  
  18.   Menjelang pilihanraya bermacam-macam tuduhan  yang
  tidak  berasas akan dilempar terhadap Kerajaan.   Tujuan
  parti  lawan  ialah untuk menanam rasa benci  dan  marah
  terhadap  Kerajaan.   Mereka  berharap  apabila   rakyat
  benci  dan  marah kepada Kerajaan, rakyat akan menyokong
  mereka  pula,  akan mengundi mereka walaupun  tidak  ada
  sesuatu  kebaikan yang akan diperolehi oleh rakyat  jika
  calon  parti  lawan  menang.  Nasib  rakyat  tidak  sama
  sekali  diambilkira oleh parti lawan.  Sebab itu  mereka
  sanggup   menjanjikan  benda-benda  yang  tidak  mungkin
  dibuat  oleh  mereka  --  'Malaysian  Malaysia',  Negara
  Islam   PAS,   pencen  untuk  semua   rakyat,   melelong
  Putrajaya  dan  bermacam-macam  lagi.   Janji-janji  ini
  sendiri  mendedahkan  kepercayaan mereka  bahawa  mereka
  tidak boleh menang, tidak akan mendirikan Kerajaan  yang
   akan  memenuhi  janji  mereka.   Mereka  berjanji  hanya
  untuk  menambah  undi  bagi  parti  mereka  dan  mungkin
  menang beberapa kerusi tambahan.
  
  19.   Namun demikian Barisan Nasional dan Parti Komponen
  Barisan  Nasional tidak boleh 'complacent'.  Kita  mesti
  menentukan kemenangan kita besar, kita mendapat dua  per
  tiga  kerusi  atau  lebih.  Sebabnya ialah  kerana  kita
  mempunyai  banyak  kerja  yang  perlu  kita  buat  untuk
  menjayakan Wawasan 2020.
  
  20.   Parti  Komponen  Barisan Nasional  perlu  menolong
  sesama  komponen.   UMNO  akan  mengundi  calon  Barisan
  Nasional   daripada  Parti  Gerakan  di   mana   sahaja.
  Demikian  juga  MCA,  MIC, PPP dan parti-parti  komponen
  lain,  mereka semua akan mengundi calon Barisan daripada
  Parti   Gerakan.    Saya  yakin  apabila   calon   sudah
  ditentukan  Parti  Gerakan dan jenteranya  akan  bekerja
  kuat  untuk  memberi  kemenangan  kepada  calon  Barisan
  Nasional  daripada Parti Gerakan dan kepada semua  calon
   Barisan  Nasional  daripada  parti-parti  komponen  yang
  lain.   Dengan  cara  ini  kita  akan  dapat  mendirikan
  Kerajaan  yang kuat dengan lebih daripada dua  per  tiga
  kerusi.
  
  21.    Inilah  falsafah  Barisan  Nasional  dan  'raison
  detre'  Barisan  Nasional.   Dengan  harapan  kita  akan
  memperolehi  kejayaan, 'God Willing', Insya Allah,  saya
  dengan  sukacitanya  merasmikan  Persidangan  Perwakilan
  Tahunan Yang Ke-28 bagi Parti Gerakan Rakyat Malaysia. 
 
 



 
Google