Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN MERDEKA, PWTC, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	31/07/99 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERASMIAN MESYUARAT 
			AGUNG TAHUNAN MIC YANG KE-53 


   
       Saya   ucapkan  terima  kasih  kepada  Jawatankuasa
  Pusat   MIC   kerana  menjemput  saya  untuk  merasmikan
  Perhimpunan  Agung MIC yang ke-53 pada hari  ini.   Saya
  berpendapat  ini merupakan satu peluang yang  baik  bagi
  saya   menilai  prestasi  parti-parti  komponen  Barisan
  Nasional  (BN)  di samping membolehkan  saya  berkenalan
  dan  beramah  mesra dengan lebih rapat lagi dengan  para
  pemimpin   dan  anggota  parti.    Dengan  peluang   ini
  dapatlah  saya  mengetahui dengan lebih terperinci  isu-
  isu  semasa yang melibatkan masa depan masyarakat  India
   Malaysia khususnya.
  
  2.     Saya  percaya  perhimpunan  Agung  MIC  ini  akan
  memberi  tumpuan kepada usaha-usaha untuk membangun  dan
  memajukan  mereka dalam masyarakat India  Malaysia  yang
  ketinggalan dalam arus pemodenan negara.  Saya  berharap
  para  anggota  MIC juga akan memberi perhatian  mendalam
  atas segala isu yang dibincangkan atau dibahaskan.
  
  3.    MIC  walaupun menjadi rakan ketiga terbesar semasa
  Perikatan  ditubuh telah memainkan peranan yang  penting
  dalam   menentukan   kemenangan  dan  kejayaan   Barisan
  Nasional.   Ini  adalah kerana di mana  pengundi  Melayu
  atau  pengundi Cina menjadi majoriti dan biasanya  calon
  BN   melawan   calon  parti  pembangkang  yang   terdiri
  daripada  kaum majoriti ini, MIC boleh memberi apa  yang
  boleh  dianggap sebagai 'casting vote'.   Di  sebaliknya
  kaum  keturunan India tidak mempunyai satu  pun  kawasan
  yang  majoriti penduduknya terdiri daripada kaum  India.
  Lagipun  kaum  India  terbahagi  kepada  terlalu  banyak
   parti  politik. Oleh itu calon MIC perlu kepada sokongan
  pengundi   Melayu   dan  Cina.   Oleh  kerana   pengundi
  keturunan  India  memberi  sokongan  kepada   calon   BN
  daripada  kaum lain, maka pengundi Melayu dan Cina  akan
  menyokong  dan memberi kemenangan kepada calon  BN  dari
  MIC.   Saya  harap semua pengundi keturunan  India  akan
  sokong MIC dan calon-calon BN yang lain.
  
  4.    Di  sini saya ingin mengucapkan terima  kasih  dan
  syabas  kepada Dato Seri Samy Vellu kerana kepimpinannya
  yang  cemerlang  dalam  menerajui  MIC  dan  mengukuhkan
  perpaduan   para   anggotanya.   MIC   telah   melakukan
  pelbagai  usaha  untuk meningkatkan taraf  sosio-ekonomi
  masyarakat  kaum  India ke taraf yang lebih  tinggi  dan
  memuaskan. Sesungguhnya Dato Samy bukanlah seorang  ahli
  politik  yang mudah ditandingi.  Beliau berani, 'vocal',
  dan   tidak  segan  silu  menyatakan  pendapatnya   yang
  biasanya  secara berterus terang walaupun ia  kadangkala
  agak  kontroversial.  Selain kemampuan beliau  menerajui
   salah  sebuah kementerian yang amat penting,  kita  juga
  akui   kemampuan  beliau  selama  ini  dalam   memajukan
  masyarakat   India  supaya  setaraf  dengan   masyarakat
  daripada kaum-kaum yang lain di negara ini.
  
  5.    Walaupun  negara kita mempunyai  rakyat  berbilang
  kaum,  masing-masing  kaum  tetap  berpeluang  menikmati
  hasil  kemajuan  dan kemakmuran negara.  Sebagai  sebuah
  parti  yang  berkesan,  MIC  sejak berpuluh-puluh  tahun
  dahulu    lagi   telah   berjaya   menjaga   kepentingan
  masyarakat  Malaysia  keturunan  India.   Kejayaan   ini
  telah  membantu  Kerajaan Barisan  Nasional  mengekalkan
  perpaduan  dan  keharmonian kaum  di  negara  ini.  Oleh
  kerana  MIC  benar-benar mewakili  masyarakat  India  di
  negara   inilah  maka  banyak  kehendak  dan  permintaan
  masyarakat  India  yang  disalurkan  melalui  MIC  telah
  mendapat  perhatian  Kerajaan dan dilaksanakan.  Malahan
  Kerajaan  Barisan  Nasional telah menjalankan  berbagai-
  bagai  program  sosio-ekonomi untuk  meningkatkan  taraf
   hidup  masyarakat India dan ternyata  ia  berjaya.   Ini
  adalah  kerana  walaupun  MIC  mempunyai  hanya  seorang
  sahaja  menteri  dalam kabinet tetapi  Dato'  Seri  Samy
  Vellu   tetap  memperdengarkan  suaranya  membela  nasib
  keturunan  India dalam tiap-tiap mesyuarat  kabinet  dan
  berjumpa  saya apabila mesyuarat tamat untuk  berbincang
  lagi berkenaan masalah kaum India.
  
  6.    Kini kita dapati ramai profesional seperti doktor,
  jurutera,  peguam  yang terdiri  daripada   kaum  India.
  Jika  kita lihat perkembangan ahli-ahli profesional bagi
  kumpulan  etnik  India  dalam  tempoh  1995-1997,   kita
  dapati  peningkatan  peratusan bagi kumpulan  etnik  ini
  dalam  profesion jurutera, doktor perubatan  dan  peguam
  ialah   masing-masing  sebanyak  23.4  peratus   (1,416-
  2,155),  12.1  peratus (3,069-3,856)  dan  11.1  peratus
  (1,591-1,965).  Banyak  persatuan  profesional  dikuasai
  oleh kaum India dan mereka amat aktif dan agresif.   Ini
  adalah  satu  contoh bahawa Kerajaan BN memberi  peluang
   yang  luas  kepada  mana-mana kaum untuk  berjaya  dalam
  bidang  yang mereka minati. Di negara kita, mereka  yang
  pandai menggunakan peluang-peluang yang diwujudkan  oleh
  Kerajaan  di  samping berdedikasi,  rajin,  kreatif  dan
  inovatif,   pasti   akan  memperolehi  kejayaan   dengan
  cemerlang  tidak  kira sama ada kaum mereka  kecil  atau
  besar.   Bilangan  yang  ramai tidak  menjamin  kejayaan
  atau keberkesanan sesuatu kaum.
  
  7.     Kerajaan   Barisan  Nasional  telah   membuktikan
  kemampuannya dalam menguruskan negara dengan  cekap  dan
  adil  serta berjaya,  terutama sekali sewaktu  menangani
  krisis  ekonomi dan kewangan.  Banyak langkah yang  luar
  biasa   telah  diambil  oleh  Kerajaan  untuk  menangani
  masalah-masalah  yang timbul akibat  daripada  kegawatan
  ekonomi   itu.    Walaupun  dikecam  dan  dicemuh   oleh
  berbagai-bagai pihak, termasuk badan-badan  antarabangsa
  seperti  Dana Wang Antarabangsa (IMF) yang disokong  dan
  menyokong parti-parti pembangkang seperti PAS,  DAP  dan
   sebagainya,   Kerajaan  Barisan  Nasional  dengan   cara
  tersendiri  berjaya membawa negara keluar dari   kemelut
  ekonomi  ini.  Kini sudah terdapat beberapa  tanda  yang
  menunjukkan  bahawa  'the worst is  now  over'.   Negara
  kita telah bangun semula.
  
  8.     Ternyata  kejayaan  ini  adalah  hasil   kekuatan
  Barisan  Nasional dan Kerajaan BN.  Jika usaha pemulihan
  ekonomi  cuba dibuat oleh Kerajaan yang lemah,  walaupun
  usaha  itu  baik dan mampu berjaya, serangan oleh  parti
  lawan dan rakan mereka di luar negeri akan menyukar  dan
  menggagalkan  usaha  berkenaan.   Tetapi   oleh   kerana
  sokongan  kuat  daripada majoriti yang  besar  BN  dalam
  Parlimen  dan dengan itu majoriti rakyat, usaha Kerajaan
  tidak  terganggu  dan dapat dijayakan.  Percubaan  untuk
  menggagalkan  usaha ini melalui rusuhan  di  jalan-jalan
  raya  oleh  pihak tertentu dengan sokongan  dan  bantuan
  orang  asing  juga tidak berjaya kerana kesetiaan  semua
  parti-parti  komponen BN.  Inilah kebaikan  yang  datang
   daripada  pemberian  majoriti  yang  besar  kepada   BN.
  Tanpa  majoriti  ini  Kerajaan  mungkin  ditumbang   dan
  Kerajaan  yang  lebih sedia tunduk  kepada  kuasa  asing
  akan  mengambil  alih dan menyerah negara  kepada  kuasa
  asing.   9.      Dalam  pada itu kita semua  harus  juga
  berwaspada  terhadap  tindak-tanduk anasir-anasir  jahat
  di  dalam  dan  luar  negara yang  masih  terus  mencuba
  mengkhianati negara kita.  Oleh itu kita harus  sentiasa
  awasi  golongan  ini  termasuk  parti  pembangkang  yang
  sekarang  sedang  cuba menawan hati dan  fikiran  rakyat
  dengan    janji-janji   manis.    Golongan   ini    akan
  menjanjikan  gunung kepada rakyat walaupun  mereka  tahu
  janji  yang  mereka buat tidak mungkin  ditunaikan  oleh
  mereka  kerana mereka sudahpun akui bahawa mereka  tidak
  mungkin  menjadi Kerajaan Malaysia selepas  pilihanraya.
  DAP berkata mereka hanya ingin mengurangkan majoriti  BN
  bawah  daripada  dua  pertiga.  PAS  terus  hidup  dalam
  angan-angan.  Keadilan tidakpun diberi tempat  oleh  DAP
   dan  PAS. Harapan mereka ialah akan ada sebilangan kecil
  yang   akan  terperdaya  oleh  mereka  dan  dengan   itu
  menambah  undi  mereka  atau  menambah  sedikit   kerusi
  mereka.
  
  10.   Bukanlah mudah untuk mengurus negara  dengan  adil
  dan  saksama di samping perlu menjaga hati setiap  kaum.
  Bukan  senang hendak memastikan setiap kaum yang berbeza
  latar  belakang  sosio-ekonomi  dan  adat   resam  untuk
  tidak  ketinggalan dalam arus pembangunan.  Bukan senang
  mentadbir  negara  yang berbilang kaum  kerana  kemahuan
  setiap kaum ini berbeza-beza.  Jika pakatan parti  lawan
  awal-awal  lagi  sudah tidak sempurna,  mustahil  mereka
  akan  dapat  menangani masalah-masalah negara  berbilang
  kaum   ini   dengan  jayanya.   Justeru  itu  masyarakat
  keturunan  India perlu kekalkan sokongan  mereka  kepada
  BN.   Kita  sudah  lihat  apabila  kemenangan  Perikatan
  dahulu   tidak   begitu   besar   parti   lawan   berani
  mencetuskan  huru-hara.  Sebaliknya  apabila  kemenangan
   BN   besar,   semua  masalah  termasuk   serangan   oleh
  penyangak matawang asing dapat ditangani.
  
  11.   Segala  usaha dan program Kerajaan  dijuruskan  ke
  arah   keadilan  sosial,  ekonomi  dan  politik   dengan
  mengambil  kira  kepentingan semua  kaum.   Justeru  itu
  diharap  para  pemimpin  dan  anggota  parti  MIC  dapat
  memahami   cara  Kerajaan  Barisan  Nasional   menangani
  masalah  kaum  jika ianya timbul.  Janganlah  ada  orang
  India  yang  sengaja mencari isu untuk  dibesar-besarkan
  semata-mata untuk menggugat kewibawaan MIC.  Jika  calon
  MIC  kalah mungkin Kerajaan tidak akan mempunyai anggota
  Kerajaan  daripada  kaum India.  Janganlah  salahkan  BN
  dan kaum-kaum lain jika ini berlaku.
  
  12.    Parti  lawan  bukan  pilihan  untuk  kaum  India.
  Mereka  tidak  bersepakat dan hanya  mendirikan  pakatan
  menjelang  pilihanraya.  Lepas pilihanraya  mereka  akan
  berpecah  dan  masing-masing akan  membawa  diri.   Bagi
  mereka  yang penting hanyalah menambah undi dan mendapat
   tambahan   kerusi   sedikit,  bukan  bekerjasama   untuk
  mendirikan  Kerajaan  dan melaksana program  pembangunan
  bagi   negara   Malaysia   dengan   penduduk   berbilang
  bangsanya.
  
  13.   Saya percaya MIC akan terus memberi kerjasama  dan
  berusaha   dengan  lebih  kuat  lagi  untuk   memelihara
  keharmonian   serta  perpaduan  kaum   supaya   Kerajaan
  Barisan  Nasional dapat terus membangunkan  negara  demi
  kepentingan   masyarakat   Malaysia   amnya   dan   juga
  masyarakat  India.  Tiada lagi pilihan bagi  kaum  India
  Malaysia  selain  Barisan Nasional untuk  memperjuangkan
  aspirasi  dan harapan serta nasib  anak cucu  mereka  di
  masa depan di negara kita di bumi bertuah ini.
  
  14.    Parti  lawan  bukan  pilihan.   Mereka   sudahpun
  menunjuk  sikap  tidak  toleran  terhadap  orang   lain.
  Sementara  mereka  mahu Kerajaan  BN  bersikap  liberal,
  mereka  berjanji akan tutup semua akhbar, radio  dan  TV
  yang  tidak  menyokong  mereka.  Kerajaan  mereka  tetap
   akan  jadi Kerajaan diktator yang tidak akan membenarkan
  kebebasan  bersuara dan mengadakan akhbar  parti  lawan.
  Semua  kebebasan lain tentu akan dihapuskan oleh mereka.
  Apakah  kaum  India akan lebih bebas di  bawah  Kerajaan
  parti  lawan?  Kita tahu DAP umpamanya adalah milik  Lim
  Kit   Siang   dan   keluarganya.   Tidak   siapa   boleh
  menentangnya.   Dinasti  Kit Siang  akan  mengetuai  DAP
  selama-lamanya.  Orang keturunan India  yang  ada  dalam
  DAP  hanya boleh berada jika menyokong Kit Siang.  Bukan
  negara,  bukanpun parti DAP yang penting.   Yang penting
  ialah  Kit  Siang.   Saya  harap orang  keturunan  India
  tidak  akan  terpedaya  dengan  janji  DAP  dan  pakatan
  pembangkang.
  
  15.    Dengan  harapan  bahawa  masyarakat  India   akan
  bersama-sama  dengan MIC dan menyokong Kerajaan  Barisan
  Nasional dalam menjayakan wawasan rakyat Malaysia,  saya
  dengan  sukacitanya merasmikan Mesyuarat  Agung  Tahunan
  MIC ke-53.
  
  
 
 



 
Google