Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN TUN HUSSEIN ONN PUSAT
DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 04/08/99
Tajuk/Title : PELANCARAN MAJLIS PERUNDINGAN
EKONOMI NEGARA KEDUA (MAPEN II)
Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada
semua yang hadir kerana dapat melapangkan masa untuk
bersama-sama di upacara yang besar maknanya kepada
negara ini. Majlis serupa ini pernah diadakan 10 tahun
lalu. Majlis Perundingan Ekonomi Negara Pertama (MAPEN
I) yang dilancarkan pada bulan Januari 1989 telah
memberi banyak input dalam menggubal Dasar Pembangunan
Nasional yang telah dilaksanakan di bawah Rangka
Rancangan Jangka Panjang Kedua.
2. Proses perundingan antara wakil-wakil masyarakat
pernah diadakan sebelum ini iaitu apabila Kerajaan di
bawah pentadbiran MAGERAN menubuhkan Majlis Perundingan
Negara pada bulan Januari 1970, bertujuan untuk
mendapat konsensus masyarakat mengenai garispanduan
kerjasama antara kaum dan integrasi sosial untuk
membentuk identiti nasional Malaysia. Proses yang unik
ini telah membantu Kerajaan mengenalpasti dasar masa
depan negara untuk dilaksanakan dalam rancangan jangka
panjang. Ini telah meyakinkan Kerajaan untuk meneruskan
tradisi ini dan Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua
atau MAPEN II akan memulakan tanggungjawabnya dengan
cara yang sama.
Perancangan Pembangunan
3. Proses perancangan pembangunan negara telah
melalui satu evolusi, bermula dengan Rancangan Malaya
Pertama yang digubal dalam tahun 1956 iaitu sebelum
negara mencapai kemerdekaan. Sejak itu kita telah
melaksanakan sembilan rancangan lima tahun dan dua
rancangan jangka panjang. Berbagai-bagai perubahan
telah dilakukan daripada segi pendekatan dan kandungan
untuk memantap dan menjadikan rancangan-rancangan ini
sebagai alat yang boleh membantu kita melangkah ke
hadapan.
4. Strategi perancangan telah beralih daripada semata-
mata berasaskan kuasa pasaran kepada pendekatan
'hybrid' yang mengimbangi sistem perancangan dengan
sistem kuasa pasaran. Kepentingan persendirian atau
'private interest' telah disepadukan dengan wawasan
awam atau 'public vision' dalam usaha ke arah
perancangan berasaskan masyarakat atau 'society-based
planning'. Teras utama adalah untuk mengisi aspirasi
masyarakat sejajar dengan agenda nasional iaitu
memajukan negara serta mengekal dan memperkuatkan lagi
perpaduan kaum.
5. Melalui dailog dengan berbagai-bagai lapisan
masyarakat, sesuatu yang menjadi amalan Kerajaan ini,
dasar nasional telah ditetapkan dan diubahsuai mengikut
keperluan. Kerajaan sentiasa mengamalkan sikap terbuka
dan sedia menimbangkan cadangan yang membina demi
kebaikan dan kesejahteraan rakyat. Sesungguhnya,
pendekatan melalui rancangan jangka panjang untuk
menggariskan arahtuju pembangunan negara telah
menentukan kemajuan negara tidak lari daripada asas dan
matlamat asal yang ditetapkan.
Dasar Ekonomi Baru
6. Di bawah Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama
(RRJP1) kita telah melaksanakan Dasar Ekonomi Baru atau
ringkasnya DEB yang meliputi tempoh 1971-1990. Kita
telah mencapai pembangunan sosio-ekonomi yang pesat
walaupun kita memberi perhatian serius terhadap
reformasi sosial dan ekonomi melalui strategi serampang
dua mata iaitu membasmi kemiskinan di kalangan semua
kaum dan menyusun semula masyarakat bagi menghapuskan
identifikasi kaum dengan fungsi ekonomi supaya
perpaduan kaum dapat diperkukuhkan. DEB merupakan
titik permulaan proses 'social engineering' yang kita
laksanakan bagi menangani masalah ketidakseimbangan
kedudukan kaum dalam masyarakat majmuk Malaysia.
7. Sungguhpun kita sering dikritik mengenai
pelaksanaan DEB yang kononnya menguntungkan hanya
segelintir Bumiputera, kita telah meneruskan juga
rancangan kita sehingga ia mencapai kejayaan yang dapat
dirasai oleh rakyat keseluruhannya. Sebenarnya bukan
segelintir tetapi semua Bumiputera menikmati hasil
pelaksanaan DEB, mengikut kebolehan dan bakat mereka.
Demikian juga semua mereka diberi pelajaran asas dan
yang berbakat serta rajin mendapat biasiswa dan peluang
untuk belajar ke institusi pengajian tinggi di dalam
dan luar negeri. Permodalan Nasional Berhad ditubuh
untuk membolehkan lebih tujuh juta Bumiputera memiliki
saham dalam perniagaan dan perusahaan besar. Latihan
berniaga, lesen, modal dan tempat disediakan bagi
mereka yang berkebolehan dan serius untuk menyertai
bidang ini.
8. Bagi Bumiputera yang betul-betul berkebolehan dan
sudah mencapai kejayaan, peluang diberi melalui
penswastaan supaya perniagaan dan perusahaan yang besar
boleh dimiliki dan diurus oleh mereka sendiri. Ini
menjadi agenda yang penting kerana DEB tidak akan
dianggap berjaya jika imbangan antara kaum terhad
kepada kegiatan kecil-kecilan dengan pendapatan yang
rendah. Walaupun seperti biasa ada pihak yang cuba
mengapikan kebencian kepada korporat Bumiputera yang
berjaya dan kaya-raya, tetapi kemarahan Bumiputera akan
lebih tinggi jika yang kaya-raya, yang tinggal dalam
mahligai, yang berkereta Mercedes dan memiliki pesawat
terbang sendiri hanyalah bukan Bumiputera. Kemarahan
orang tertentu kepada Bumiputera yang kaya adalah
disebabkan oleh politik dan perasaan irihati biasa
kepada Bumiputera yang lebih berjaya daripada diri
mereka sendiri. Perasaan ini pula diapi-apikan oleh
orang asing yang melihat dasar menolong Bumiputera
sebagai halangan terhadap mereka untuk meraih
keuntungan besar dengan memiliki syarikat-syarikat
gergasi di Malaysia melalui proses penswastaan.
9. DEB yang berteraskan pertumbuhan dengan ekuiti
atau 'growth with equity' tidak menghalang pertumbuhan
ekonomi seperti yang sering berlaku apabila percubaan
dibuat untuk mengagih kekayaan negara secara yang lebih
adil dan saksama. Harus diingat bahawa ideologi
Komunis dan Sosialis juga bertujuan mengagih kekayaan
negara dengan sama rata. Tetapi setelah mengamal
ideologi-ideologi ini selama 70 tahun, negara-negara
berkenaan terpaksa menggugurkan pendekatan ini kerana
pembangunan ekonomi terjejas dengan teruknya. Demikian
juga apabila sebuah negara maju mencuba 'affirmative
action' supaya mereka yang kurang upaya dalam
masyarakat diberi sedikit pertolongan, tentangan hebat
dibuat oleh mereka yang mempunyai kelebihan tertentu
sehingga 'affirmative action' tersebut terpaksa
dihentikan dan puak yang lemah terus menderita dan
miskin. Tetapi DEB disokong oleh semua lapisan kaum
dan dengan itu berjaya mengurangkan jurang perpisahan
antara kaum daripada segi sosial dan ekonomi. Betapa
jaya dan baiknya DEB dapat dilihat semasa kegawatan
ekonomi baru-baru ini. Tidak ada perpecahan dalam
perpaduan rakyat kita dan tidak ada rusuhan kaum yang
berlaku seperti yang terjadi di negara di mana tidak
ada agihan saksama antara kaum.
Dasar Pembangunan Nasional
10. Masa yang diberi kepada DEB untuk mencapai
matlamatnya hanyalah 20 tahun. Oleh kerana matlamat
DEB tidak tercapai sepenuhnya, usaha menghapuskan
kemiskinan di kalangan semua kaum dan penghapusan
identifikasi kaum dengan fungsi ekonomi diteruskan
secara 'modified' dalam Dasar Pembangunan Nasional
(DPN) yang meliputi tempoh 1991-2000. Walaupun
kemiskinan di kalangan semua kaum dapat dikurangkan
lagi, imbangan pembangunan tidak juga dapat dicapai
sepenuhnya. Kaum Bumiputera masih terkebelakang,
kerana sikap dan budaya mereka masih tidak sesuai
dengan kemajuan diri. Ramai yang mensia-siakan peluang
yang diberi atau menyalahgunakannya.
11. Lebih malang lagi ialah serangan oleh pemodal
asing yang mencetuskan kegawatan ekonomi dan kewangan
dalam negara. Disebabkan kejatuhan nilai Ringgit dan
harga saham syarikat-syarikat, banyak daripada syarikat-
syarikat mengalami kerugian yang teruk dan menanggung
hutang yang tidak dapat dibayar. Syarikat Bumiputera
yang baru saja muncul dan mempunyai banyak kelemahan
adalah yang terbanyak sekali menghadapi kemungkinan
menjadi muflis. Syarikat mereka terpaksa dijual kepada
orang asing atau bukan Bumiputera atau terpaksa
ditutup. Dengan itu imbangan ekonomi di antara kaum
merosot semula. Peratusan susutan prestasi belum dapat
dipastikan lagi.
12. Tentulah jelas bahawa satu daripada matlamat MAPEN
II ialah untuk memulihkan semula dan memajukan matlamat
mengimbangkan kedudukan ekonomi antara kaum. Semasa
kita melaksanakan DEB kita tidak mempunyai pengalaman
dalam penyusunan semula masyarakat atau 'affirmative
action'. Kita telah mencuba apa sahaja yang kita fikir
boleh memajukan Bumiputera supaya mereka dapat mengejar
kaum lain. Kita tidak begitu mengambilkira kemampuan
mereka yang diberi peluang atau menyediakan mereka
untuk peranan yang akan dimainkan oleh mereka melalui
latihan dan pendedahan kepada pengalaman. Dengan itu
banyak daripada usaha kita gagal dan berlaku
pembaziran. Walaupun ada juga kejayaan tetapi ianya
tidaklah setimpal dengan pelaburan yang kita buat.
13. Dalam melaksanakan DPN, kita lebih prihatin.
Pemilihan Bumiputera dibuat dengan lebih teliti dan
berhati-hati. Hanya yang mempunyai rekod yang baik
sahaja yang diberi peluang dan bantuan. Yang berbakat
diberi latihan dan pendedahan secara beransur-ansur.
Pendekatan yang lebih berhati-hati ini lebih berjaya.
Jika dahulu perniagaan dan perusahaan yang besar tidak
sama sekali mempunyai penyertaan Bumiputera, kini dalam
tempoh DPN beberapa orang Bumiputera telah muncul dan
menunjukkan kemampuan yang mengkagumkan. Walaupun
kemunculan Bumiputera ini tidak disenangi oleh mereka
yang tidak berjaya, tetapi hakikatnya mereka yang
muncul dan berjaya ini dapat mengurangkan keadaan
ketidakseimbangan di antara kaum di peringkat tinggi.
14. Kali ini cabaran yang dihadapi oleh MAPEN II
adalah lebih besar. Ekonomi negara telah merosot.
Dengan itu pendekatan yang bergantung kepada pembesaran
kek ekonomi sebelum agihan dibuat menjadi lebih sukar.
Namun kita masih perlu menentukan pertumbuhan ekonomi
yang pesat dan ini tidaklah semudah dahulu. Ramai
daripada Bumiputera yang berbakat sudah tersungkur
kerana beberapa sebab. Apakah dapat kita mengenalpasti
bakat baru yang berwibawa yang boleh diberi peluang dan
tanggungjawab?
15. Perniagaan dan perusahaan menjadi lebih rumit
kerana kawalan lebih ketat yang perlu dibuat oleh
Kerajaan. Di masa yang sama Kerajaan perlu menumpu
kepada pemulihan ekonomi supaya pertumbuhan yang tinggi
dicapai. Persaingan antara peniaga dan antara kaum
serta dengan orang asing akan menjadi lebih hebat.
Pembukaan pasaran perlu dibuat mengikut AFTA dan juga
WTO. Dan kita tidak boleh lupa bahawa Wawasan 2020
masih menjadi matlamat kita.
Wawasan 2020
16. Untuk menjadikan Wawasan 2020 satu kenyataan,
usaha yang lebih gigih dan pertumbuhan yang lebih
tinggi perlu dicapai. Mengikut perkiraan, pertumbuhan
tujuh peratus setahun akan menaikkan GDP atau KDNK kita
sebanyak lapan kali ganda jika diasaskan kepada
prestasi kita pada tahun 1990. Setiap 10 tahun kita
akan lipatkan GDP kita sekali ganda. Sebenarnya
sebelum kegawatan pada tahun 1997, pendapatan per
kapita kita ialah kira-kira 4500 Dolar Amerika kerana
pertumbuhan kita adalah lebih tinggi daripada tujuh
peratus yang diperlukan.
17. Walaupun pendapatan kita dalam matawang Ringgit
tidak banyak turun tetapi oleh kerana nilai Ringgit
sekarang lebih rendah, iaitu RM3.80 bagi satu Dolar
Amerika, berbanding dengan RM2.50 bagi satu Dolar
Amerika dahulu, maka pendapatan per kapita kita dalam
matawang Amerika tentulah berkurangan. Tetapi oleh
kerana pendapatan per kapita kita melebihi sasaran 4000
Dolar Amerika pada dekad pertama tahun 2000, maka
kemajuan negara ke arah Wawasan 2020 tidaklah begitu
terjejas. Sekarang kita masih memerlukan pertumbuhan
sebanyak tujuh peratus setahun sehingga tahun 2020
untuk mencapai matlamat GDP yang lapan kali ganda GDP
tahun 1990.
18. Pengalaman kita dalam menangani kegawatan ekonomi
dan resesi akibat jatuhnya nilai Ringgit dan harga
saham boleh menolong kita dalam usaha membangunkan
semula ekonomi kita ke arah Wawasan 2020. Kegawatan
telah mendedahkan banyak kelemahan dalam pengurusan
ekonomi kita.
19. Umpamanya kita mendapati jentera Kerajaan tidak
dapat membelanjakan peruntukan pembangunan secara
efisien. Tiap tahun sebahagian besar daripada
peruntukan tidak dibelanjakan. Ini mempunyai kesan
negatif terhadap ratusan perniagaan dan industri yang
terlibat dengan projek-projek Kerajaan, dan menjejaskan
sumbangan Kerajaan kepada pertumbuhan ekonomi.
20. Pemantauan perbelanjaan pembangunan untuk
menentukan peruntukan dibelanja mengikut jadual telah
meningkatkan prestasi pembangunan sumbangan Kerajaan.
Dan ini menjadi pemangkin kepada banyak kegiatan
ekonomi negara.
21. Sektor swasta juga diberi perhatian yang rapi oleh
Majlis Tindakan Ekonomi Negara atau MTEN daripada segi
kemajuan mereka. Segala halangan dan kelambatan yang
disebabkan oleh kerenah birokrasi dan bank diatasi
melalui campurtangan Kerajaan, terutama Bank Negara,
Suruhanjaya Sekuriti dan institusi-institusi lain.
22. Maklumat secara terperinci berkenaan prestasi
semua kegiatan ekonomi dikumpul dan disemak oleh Exco
MTEN tiap-tiap hari. Jika didapati prestasi mana-mana
sektor tidak baik atau tidak memuaskan, penyelidikan
dibuat dan setelah menentukan sebab-sebab prestasi
kurang baik, tindakan diambil. Demikian apabila
penjualan hartanah tidak laris, Kerajaan dengan
kerjasama sektor swasta mengadakan bulan pemilikan
harta di waktu mana segala kemudahan disediakan, harga
diturunkan dan cukai berkenaan dihapuskan supaya
penjualan menjadi laris. Demikian juga apabila jualan
runcit kurang memuaskan, cukai keatas barangan tertentu
dimansuhkan, pendapatan kakitangan Kerajaan ditambah
dan bulan membelibelah diadakan.
23. Banyak lagi tindakan diambil untuk menggerak dan
mempergiatkan aktiviti ekonomi bagi menghalang kuncupan
dan membolehkan pertumbuhan dicapai sehingga ekonomi
negara pulih.
24. Cara kita menangani kegawatan ekonomi dan
pemulihannya boleh diguna semasa menjayakan MAPEN II.
Bidang-bidang baru yang boleh menyumbang kepada
pertumbuhan ekonomi mestilah dikenalpasti dan
diterokai. Teknologi maklumat umpamanya boleh diguna
untuk pembangunan industri baru yang berasaskan
kepadanya. Koridor Raya Multimedia atau MSC mempunyai
potensi yang besar dan latihan dalam bidang ini perlu
dipergiatkan. Industri yang berasas kepada bahan
komposit yang semakin banyak digunakan untuk otomobil
dan pesawat terbang boleh juga memberi sumbangan kepada
industri pembuatan.
25. Bidang pertanian telah mendapat perhatian yang
kurang semasa kita membangunkan industri pembuatan.
Pertanian tertumpu kepada pembangunan estet getah,
kelapa sawit dan koko sahaja. Sektor-sektor pertanian
lain tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
26. Kita tahu bahawa import makanan negara adalah
'item' yang terbesar yang menyebabkan pengaliran keluar
tukaran asing. Ia juga menyebabkan kos sara hidup kita
naik kerana barangan import naik harga sepanjang masa.
Sebaliknya pendapatan daripada keluaran sayur-sayuran,
buah-buahan dan bunga-bungaan jauh lebih tinggi
daripada hasil pendapatan daripada getah atau kelapa
sawit atau koko.
27. Kita memiliki kecekapan yang terkenal dalam bidang
pengurusan estet besar-besaran. Sebab itu kita amat
berjaya memajukan getah, kelapa sawit dan koko; jenis-
jenis tanaman yang bukan asli bagi negara kita. Oleh
itu jika kita memasuki bidang pertanian yang lain
secara besar-besaran dengan mengadakan estet, maka kita
pasti boleh memajukan lagi industri pertanian bukan
sahaja untuk mengurangkan import makanan tetapi juga
mengeksport lebihan daripada keluaran yang diperlukan
dalam negara.
28. Pekebun kecil tidak akan rugi jika estet sayur-
sayuran dan buah-buahan diadakan kerana seperti juga
dengan kelapa sawit, estet boleh membeli produk pekebun
kecil untuk digred, diproses dan dipasarkan. Kilang di
mana hasil pertanian boleh digred dan diproses boleh
didirikan oleh estet, yang mana boleh dibekalkan juga
oleh pekebun kecil. Oleh kerana keluaran pertanian
bermusim maka keluaran berlebihan semasa musim boleh
diproses untuk jualan di luar musim. Dengan cara ini
pekebun kecil dapat menjual keluaran mereka dengan
harga yang berpatutan semasa musim dan luar musim.
29. Nelayan, terutama yang di Pantai Timur, adalah
antara kumpulan yang termiskin dalam negara. Bilangan
mereka semakin berkurangan kerana anak-anak nelayan
mendapat pelajaran dan tidak lagi mahu menjadi nelayan.
Tetapi negara memerlukan lebih banyak ikan segar kerana
bilangan penduduk bertambah. Adalah penting usaha
dibuat untuk menaikkan pendapatan nelayan dan tangkapan
ikan supaya permintaan untuk ikan segar dapat dipenuhi
tanpa mengekalkan kemiskinan nelayan.
30. Untuk ini cara-cara baru menangkap dan menternak
semua jenis ikan hendaklah diperkenalkan. Nelayan baru
hendaklah terdiri daripada mereka yang terlatih dan
sanggup mengguna peralatan dan cara baru yang boleh
meningkatkan pengeluaran ikan segar serta menaikkan
pendapatan nelayan baru dan lama dengan lebih tinggi.
Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)
31. Penyelidikan dan pembangunan amatlah penting dalam
meningkatkan ekonomi negara. Masalah besar yang
dihadapi ialah kurangnya keyakinan terhadap ide,
pendekatan dan produk baru yang tidak datang daripada
negara maju. Umumnya pengusaha dan pengguna tidak
sanggup menerima pendekatan dan barangan hasil ciptaan
rakyat negara sendiri. Dengan itu R&D tidak menarik
minat dan kurang berhasil.
32. Sikap ini perlu diubah. Pengusaha dan pengguna
hendaklah sanggup menerima ciptaan rakyat Malaysia.
33. Oleh kerana hampir semua barangan dicipta di
negara yang mempunyai iklim sederhana atau 'temperate
climate' dengan 'humidity' yang rendah, kebanyakan
daripada barangan ini kurang sesuai dalam iklim tropika
Malaysia yang panas, 'humidity' yang tinggi dan hujan
yang lebat. Barangan ciptaan Eropah dan Jepun juga
tidak mengambilkira budaya dan agama penduduk tempatan.
34. Demikianlah dengan pertanian dan tangkapan serta
ternakan ikan. Kajian dan pendekatan baru hendaklah
dicari supaya hasil keluaran kita akan meningkat.
Ternakan ikan air masin perlu diselidik dan disesuaikan
dengan keadaan memandangkan permintaan ikan segar akan
meningkat sedangkan bilangan nelayan akan berkurangan.
35. Alaf yang akan datang ini akan membawa lebih
banyak perubahan. Komitmen yang dibuat oleh masyarakat
sejagat di bawah berbagai-bagai perjanjian akan
menjadikan globalisasi sebagai satu realiti. Arus ini
tidak dapat dielak memandangkan pergerakan perdagangan,
modal, pekerja, teknologi dan maklumat semakin tidak
mengenal sempadan kerana kemajuan sains dan komunikasi.
Ia akan membawa cabaran dalam semua aspek kehidupan
kita, baik di bidang ekonomi, sosial, pendidikan,
perniagaan, perindustrian, perdagangan dan lain-lain.
Ini bermakna kita perlu menggubal strategi yang berbeza
dari yang pernah dibuat dahulu untuk membolehkan negara
menghadapi arus globalisasi dan liberalisasi.
36. Sebenarnya kita telahpun memulakan usaha ke arah
menjadikan Malaysia sebagai sebahagian daripada
masyarakat global. Kita telah meletakkan matlamat
untuk menjadi pusat serantau atau 'regional hub' dalam
pelbagai bidang seperti pengangkutan udara dan laut,
pelajaran, kesihatan, pelancongan serta teknologi
maklumat dan multimedia. Berbagai-bagai usaha telah
dimulakan tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan untuk
menjadikan negara ini sama maju dengan negara-negara
lain. Oleh itu saya berharap di samping melihat isu di
peringkat makro, ahli-ahli MAPEN akan juga dapat
meneliti di peringkat mikro untuk menajamkan strategi
yang ada agar pusat serantau ini bukan sahaja dapat
dibentuk tetapi kualitinya adalah tinggi atau 'world
class'. Inilah warisan yang perlu dibangunkan supaya
negara dapat sentiasa maju ke hadapan dan menjadi pusat
berkelas dunia untuk pelbagai aktiviti dan
kecemerlangan.
37. Sehubungan dengan ini kita perlu membangunkan
usahawan yang juga berkelas dunia. Kalau dahulunya
strategi DEB dan DPN tertumpu kepada mewujudkan
usahawan tempatan Bumiputera sekarang kita perlu
memikirkan bagaimana mewujudkan usahawan Malaysia
termasuk Bumiputera yang berkelas dunia. Pengalaman
juga telah mengajar kita bahawa usahawan daripada semua
kaum perlu saling sokong-menyokong untuk berjaya dalam
dunia global. Dalam kegawatan yang baru berlaku kita
dapati bukan sahaja usahawan Bumiputera terjejas malah
juga usahawan bukan Bumiputera. Ini bermakna usahawan
bukan Bumiputera juga rapuh atau 'fragile' dan perlu
diperkukuhkan. Usahawan Bumiputera dan bukan
Bumiputera perlu bergandingan bahu dan bekerjasama
demi memantapkan keupayaan menghadapi cabaran global.
Jika kita bersatu kita akan mampu mewujudkan usahawan
Malaysia yang teguh, mampu bersaing dan tahan diuji.
38. Dalam era liberalisasi, kita perlu meningkatkan
lagi daya saing negara. Ini dapat diukur daripada segi
peningkatan bahagian pasaran atau 'market share' yang
kita perolehi. Untuk mencapai tujuan ini kita
memerlukan produk yang kompetitif. Usaha ini memerlukan
peningkatan produktiviti negara melalui pembangunan
tenaga manusia daripada segi kecekapan.
39. Sebagai sebuah negara yang muda dengan umur median
rakyat hanya 23 tahun, masa depan negara bergantung
kepada bagaimana kita menyediakan generasi muda untuk
mengambilalih tanggungjawab membina negara. Kita telah
membuktikan anak muda kita mudah dilatih dan lebih
produktif jika mereka disemai dengan sifat-sifat
kerajinan, ketekunan dan disiplin diri. Satu daripada
agenda penting adalah untuk memupuk budaya
kecemerlangan di kalangan rakyat kita.
40. Perolehan teknologi adalah penting. Tetapi yang
lebih utama adalah mencapai kecanggihan sezaman. Untuk
ini kita perlu menguasai sepenuhnya kecekapan dalam
membuat pembaharuan dan inovasi kita sendiri. Tidak
ada negara yang maju jika ianya miskin daripada segi
keupayaan teknologi tinggi.
41. Sesungguhnya banyak yang perlu kita lakukan untuk
pembangunan ekonomi negara ke arah status negara maju.
Tetapi kemajuan ekonomi tidak bermakna jika kualiti dan
budaya kita tidak dapat membangunkan satu tamadun yang
tinggi dan mulia. Dalam hal ini, saya harap ahli-ahli
MAPEN akan juga melihat kepada soal moral dan
kerohanian kerana kita ingin melahirkan negara maju
yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya dengan pegangan
teguh kepada nilai keagamaan dan kerohanian murni serta
berpekerti luhur.
42. Saya tidak berniat untuk memperincikan dasar dan
strategi yang harus kita laksanakan dalam alaf akan
datang. Terpulanglah kepada ahli-ahli MAPEN untuk
merangka dan membuat perakuan agar kita dapat mencapai
Wawasan 2020 dan dapat mengatasi sembilan cabaran yang
telah kita gariskan dahulu.
Pembentukan MAPEN II
43. Sesungguhnya tugas ahli-ahli Majlis ini amatlah
berat kerana Majlis ini ditubuhkan bertujuan untuk
mengadakan perundingan antara semua pihak yang
mempunyai hak atas negara ini demi menentukan arahtuju
masa depannya. Ia bukanlah bermaksud untuk mencapai
faedah politik seperti yang disangka oleh beberapa
pihak yang menolak jemputan Kerajaan untuk turut serta
memberi sumbangan. Tempoh hayat Rancangan Jangka
Panjang yang hendak digubal itu sendiri menolak
prasangka tersebut. Tempoh 10 tahun atau 20 tahun yang
diliputi adalah satu jangka masa yang melebihi dari
satu tempoh pemerintahan sesuatu parti politik yang
memenangi pilihanraya. Keahlian Majlis ini yang tidak
mengenal bulu juga membuktikan Majlis ini bukanlah
condong kepada agenda politik. Pemilihan dibuat dengan
hasrat supaya semua pihak dalam masyarakat Malaysia
diwakili, agar teras dan arahtuju yang dicadangkan
nanti adalah hasil buah fikiran bernas daripada semua
cerdik pandai negara ini, dengan nafas baru dan telah
mengambilkira semua sudut dan aspek yang penting.
44. Inilah peluang yang sepatutnya disambut dengan
hati yang terbuka. Sesiapa sahaja yang sayangkan
negara seharusnya mengenepikan kepentingan sendiri
termasuk kefahaman politiknya. Ini bukanlah
gelanggangnya. Seseorang yang bijak patut dapat
menimbang sesuatu langkah dan tahu menyesuaikan diri
dengan keperluan semasa. Di gelanggang pertarungan
kita menyingsing lengan tetapi di majlis bermusyawarah
kita bertemu sila. Kita perlu bermuafakat apabila
kepentingan negara menjadi pokok persoalan. Seperti
kata pepatah 'bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat; yang ringan sama dijinjing, yang berat
sama dipikul'. Lebih-lebih lagi membincangkan masa
depan negara adalah satu perkara yang tidak mudah
kerana keadaan sekitar kita tidak boleh ditentukan oleh
kita. Tindakan orang lain dan perkembangan teknologi
boleh menjejaskan rancangan kita. Namun kita tidak
boleh hanyut dengan arus sahaja tanpa mengenalpasti
destinasi dan pendekatan kita. Generasi akan datang
akan mengutuk kita jika kita hanya memikirkan tentang
masa dan zaman kita sahaja dan tidak membina asas untuk
kemajuan mereka yang menjadi pewaris kita.
Sesungguhnya kita bertanggungjawab terhadap mereka yang
akan menyambung pembangunan yang kita telah usahakan.
45. Sebenarnya Kerajaan berupaya untuk membentuk dasar
baru. Kerajaan boleh memilih untuk menggubalnya secara
sendiri tanpa berunding dengan mana-mana pihak lain.
Tetapi itu bukanlah cara Kerajaan yang ada. Kerajaan
ini ingin memberi peluang kepada semua pihak untuk
memberi sumbangan dalam menentukan masa depan negara
kerana Kerajaan percaya semua lapisan masyarakat
mempunyai hak. Mudah-mudahan dengan sumbangan tersebut
kita dapat membina satu bangsa dan satu negara yang
gemilang, yang dihormati dan dikenali oleh dunia.
Mereka yang berani, berjiwa besar dan berwawasan tentu
akan menyahut cabaran ini. Sebaliknya, yang berfikiran
sempit akan lari dan hanya bertempik di belakang dan
berlindung di sebalik lalang sehelai. Adakah itu akan
mendatangkan apa-apa faedah atau akan membawa apa-apa
perubahan?
46. Majlis ini menyediakan forum untuk ahli-ahlinya
bertukar fikiran dan pendapat. Sekiranya ada cadangan
untuk membuat perubahan atau reformasi, inilah masa dan
tempatnya untuk ide-ide itu diketengahkan supaya dapat
dibahas, dipertimbang dan dihalusi oleh semua pihak.
Tidak guna jika ada ide tetapi dilaung-laungkan di
tempat-tempat yang tidak sesuai -- di jalan-jalan, di
kedai kopi, di tempat beribadah atau di rumah sakit.
Cara sedemikian tidak memberi manfaat kerana kualiti
ide itu sendiri tidak dapat diuji, tidak diperdebatkan
secara rasional atau dibahaskan untuk penerimaan oleh
semua lapisan masyarakat. Saya yakin ide-ide yang
bernas dan tahan diuji akan diterima oleh Majlis kerana
ahli-ahli Majlis sendiri bukanlah calang-calang orang.
Mereka telah diberi mandat untuk menggubal arahtuju,
teras dan dasar baru untuk membawa kita ke alaf baru
yang penuh cabaran. Liku perjuangan kita masih jauh
dan jalan yang ingin dirintis bukanlah dialas bunga-
bungaan. Ianya dipenuhi ranjau dan duri. Kita perlu
penuh bersedia untuk mara dan sampai ke hujungnya
sebagai wira dengan kejayaan sejati.
47. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli yang telah dipilih
untuk menganggotai MAPEN II serta merakamkan setinggi-
tinggi penghargaan di atas kesudian mereka menerima
jemputan Kerajaan. Seramai 155 ahli telah dilantik dan
kesudian tuan-tuan dan puan-puan menganggotai Majlis
ini membuktikan keprihatinan serta rasa tanggungjawab
tuan-tuan dan puan-puan ke atas nasib masa depan bangsa
dan negara kita terutama sekali di dalam alaf baru.
48. Saya juga dengan sukacitanya ingin mengumumkan
bahawa Kerajaan telah bersetuju supaya Y.Bhg Tan Sri
Dato' Seri Ahmad Sarji bin Abdul Hamid dilantik sebagai
Pengerusi MAPEN II. Saya yakin dengan pengalaman beliau
yang luas dan pengetahuan yang mendalam beliau akan
dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan.
49. Saya berharap ahli-ahli MAPEN dapat membuat syor
yang bernas dan 'futuristic' yang terus relevan
sepanjang tempoh pelaksanaan dasar baru. Kita tidak
dapat menyisihkan diri daripada perubahan semasa dan
cabaran masa hadapan. Kita harus mengambil langkah-
langkah yang lebih agresif dan strategik untuk mencapai
hasrat pembangunan negara dalam konteks globalisasi.
Kita perlu mewujudkan satu 'mindset' yang sanggup
menerokai dan memperluaskan kemampuan kita keluar
daripada paradigma yang sedia ada. Sikap sedemikian
akan memberanikan kita memasuki bidang-bidang yang
dahulu dianggap sebagai di luar kemampuan kita.
Penutup
50. Hasrat Kerajaan menubuhkan MAPEN II ini adalah
untuk memberi peluang kepada masyarakat memainkan
peranan dengan lebih bermakna dalam menentukan masa
depan dan nasib negara. Saya harap matlamat mengadakan
MAPEN II ini akan tercapai. Di masa yang sama Wawasan
2020 juga akan tercapai.
51. Sekali lagi, bagi pihak Kerajaan, saya mengucapkan
terima kasih kepada semua ahli MAPEN II kerana sudi
menerima jemputan Kerajaan. Saya harap, perbincangan
Majlis ini akan berjalan lancar dan menghasilkan ide-
ide bernas serta membawa kejayaan dalam usaha kita
bersama-sama membentuk masa depan negara.
52. Dengan ini, saya dengan lafaz
Bismillahirrahmanirrahim dengan sukacitanya melancarkan
Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua dengan
rasminya.
|