Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	CHINA WORLD HOTEL, BEIJING THE 
			PEOPLE'S REPUBLIC OF CHINA 
Tarikh/Date 	: 	19/08/99 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MALAM PERSAHABATAN MERAIKAN 
			ULANGTAHUN KE-25 PENUBUHAN
			HUBUNGAN DIPLOMATIK DI ANTARA 
			MALAYSIA DAN CHINA 

                                 
                              
       Saya   ucapkan   terima  kasih   kepada   Persatuan
  Persahabatan  Malaysia-China dan Persatuan  Persahabatan
  Rakyat  China dengan negara-negara luar kerana menjemput
  saya   dan   isteri  ke  majlis  ini  sempena  menyambut
  ulangtahun   ke-25  penubuhan  hubungan  diplomatik   di
  antara Malaysia dan China.
  
  2.    Ulangtahun ke-25 penubuhan hubungan diplomatik  di
   antara   Malaysia  dan  China  adalah   satu   peristiwa
  bersejarah  bagi kedua-dua negara dan saya serta  isteri
  saya  berasa  sangat  gembira kerana  dapat  ikut  serta
  bersama  tuan-tuan dan puan-puan semua menyambut  majlis
  yang  meriah  ini.  Kami juga berasa bangga dan  bertuah
  kerana  dapat  sekali  lagi datang  ke  Beijing,  sebuah
  ibukota yang menarik dan penuh bersejarah.
  
  3.    Hubungan Diplomatik di antara Malaysia  dan  China
  hanya  baru  berusia  25  tahun.   Tetapi  sesungguhnya,
  hubungan yang aktif di kalangan rakyat kedua-dua  negara
  kita  sudah bermula sejak lebih 600 tahun dahulu.  Malah
  ada  ahli  sejarah  yang  mendakwa  hubungan  di  antara
  rakyat  kita  telah  wujud lebih dari  2000  tahun  yang
  lalu.   Bagi  rakyat Malaysia, nama-nama seperti  Utusan
  Yin  Ching,  Laksamana Ching Ho dan Puteri  Hang  Li  Po
  adalah  nama-nama  yang  telah  menjadi  sebutan   ramai
  rakyat  Malaysia  yang  terkenal yang  mempunyai  kaitan
  rapat  dengan  sejarah awal Melaka.   Kesan  perhubungan
   dan  interaksi  di antara rakyat kedua-dua  negara  kita
  pada  masa  tersebut  masih boleh dilihat  hari  ini  di
  Malaysia terutamanya di dalam makanan, pakaian dan  seni
  bina.   Malangnya  hubungan  erat  negeri-negeri  Melayu
  dengan  negara  China telah merosot semasa  Malaysia  di
  jajah  oleh  kuasa-kuasa Eropah yang menyebabkan  negara
  di Eropah menjadi tumpuan rakyat negeri-negeri Melayu.
  
  4.    Hari  ini,  saya amat berbangga  melihat  kemajuan
  yang menakjubkan di dalam perkembangan persahabatan  dan
  kerjasama  di  antara  Malaysia  dan  China   di   dalam
  jangkamasa 25 tahun ini.  Dalam waktu yang agak  singkat
  ini,  hubungan dua hala kita telah dipulih  dengan  baik
  dan  menjadi  matang.   Sememangnya penjalinan  hubungan
  yang  baik  ini  bukanlah sesuatu  yang  dicapai  dengan
  mudah.    Di   samping  kekangan  yang  telah  dikenakan
  melalui    pengalaman   kolonial   kita   masing-masing,
  hubungan   kita  telah  turut  terganggu  oleh  wujudnya
  perang dingin.  Maka, bila kita mengimbas kembali,  kita
   tidak  boleh  mengenepikan, malah kita harus  menghargai
  kecekalan  dan usaha pemimpin-pemimpin kita yang  dahulu
  seperti  Allahyarham  Tun  Abdul  Razak,  bekas  Perdana
  Menteri  Malaysia, Mendiang Pengerusi Mao Tze Tung,  dan
  Mendiang  Perdana  Menteri Chao En  Lai  yang  mempunyai
  matlamat  dan semangat untuk menjalinkan semula hubungan
  di antara kedua-dua negara kita pada tahun 1974.
  
  5.    Walaupun  kita  sudah  memperolehi  kemajuan  yang
  pesat  sepanjang  25  tahun,  saya  percaya  kita  boleh
  mencapai lebih banyak lagi di masa hadapan.  Dalam  masa
  25   tahun  yang lalu, hubungan dan kerjasama di  antara
  kedua-dua   negara   kita  sudah   menjadi   kukuh   dan
  dipelbagaikan.   Manakala pada peringkat  awal  hubungan
  kita,  kerjasama  di  antara Malaysia  dan  China  lebih
  banyak  terhad kepada perdagangan sahaja tetapi sekarang
  ianya merangkumi pelaburan, pendidikan, pelancongan  dan
  perkhidmatan   udara.   Baru-baru  ini,   Menteri   Luar
  Malaysia   dan  China  telah  menandatangani  'Kenyataan
   Bersama  untuk rangka kerjasama dua hal di masa hadapan'
  pada  31  Mei  1999.   Ianya akan  membawa  kita  kepada
  bidang  kerjasama yang lebih luas dalam masa kita menuju
  ke alaf yang baru.
  
  6.     Penghargaan  untuk  pengukuhan  hubungan   secara
  menyeluruh   di  antara  kedua-dua  negara  juga   harus
  diberikan kepada rakyat Malaysia dan China.  Saya  ingin
  menyatakan  syabas  kepada Persatuan  Persahabatan  dari
  kedua-dua negara, di atas sumbangan dan peranan  penting
  yang  mereka mainkan dalam memupuk hubungan  yang  rapat
  dan  menjalinkan persefahaman di antara rakyat  Malaysia
  dan  China.  Peranan Persatuan ini turut membantu usaha-
  usaha  Kerajaan  dalam mempromosikan  persefahaman  yang
  lebih  baik dan kerjasama di antara Malaysia dan  China.
  Saya   ingin   menggesa   kedua-dua   Persatuan   supaya
  meningkatkan  lagi program-program pertukaran  dua  hala
  dan   lawatan-lawatan.   Interaksi  dan  hubungan   yang
  terbina  daripada  program sebegini  dan  juga  lawatan-
   lawatan  akan  membantu kita memahami antara  satu  sama
  lain  dengan  lebih  baik serta  menghargai  budaya  dan
  aspirasi   masing-masing.   Menurut  ajaran   Conficius,
  'manusia  dirapatkan di antara satu  sama  lain  melalui
  sifat  semulajadi yang di kongsi bersama  tetapi  tabiat
  dan  adat  memisahkan  mereka'.  Oleh  itu,  kita  harus
  menyesuaikan  tabiat  dan adat  supaya  tidak  memisahan
  kita  tetapi  menolong merapatkan kita.  Adalah  penting
  PPMC bergerak senada dan seimbang dengan pencapaian  dan
  kemajuan perhubungan antara Malaysia dan China.
  
  7.    Tahun  ini  bukan sahaja bersejarah daripada  segi
  hubungan  Malaysia dan China tetapi ia  juga  bersejarah
  bagi  negara China.  Dalam beberapa bulan lagi, Kerajaan
  China  dan  rakyatnya akan menyambut ulang  tahun  ke-50
  penubuhan  Republik Rakyat China.  Di  sini  saya  ingin
  mengambil  kesempatan untuk mengucapkan  tahniah  kepada
  Kerajaan  dan rakyat China bersempena dengan  ulangtahun
  ini.   Pencapaian China sepanjang 50 tahun  ini  sungguh
   mengkagumkan.  Saya yakin 50 tahun yang akan daang  akan
  menjadi  satu  era yang lebih berdaya  maju  dan  makmur
  bagi  negara  China.  Pemulangan Macau kepada  China  di
  akhir  tahun  ini  juga  akan menjadi  satu  lagi  tanda
  penting  kepada rakyat China.  Penamatan  penjajahan  di
  Macau  bukan  sahaja  menandakan pelupusan  pemerintahan
  asing di China tetapi juga di seluruh Asia.
  
  8.    Sebelum  saya mengakhiri ucapan saya  ini,  sekali
  lagi  saya  ingin  mengucap tahniah dan menyatakan  rasa
  terima  kasih  saya kepada Persatuan Malaysia-China  dan
  kepada   Persatuan  Persahabatan  Rakyat  China   dengan
  negara-negara  luar  kerana  telah  menganjurkan  majlis
  jamuan  makan  pada malam ini dan di atas  segala  usaha
  yang  telah diberikan dalam mempromosi persahabatan yang
  lebih   akrab   di  antara  Malaysia  dan  China   serta
  rakyatnya.
    

 
 



 
Google