Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN SULTAN ISKANDAR UNIVERSITI
TEKNOLOGI MALAYSIA SKUDAI,JOHOR
Tarikh/Date : 28/08/99
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN
'DISCOVERY UNIVERSITY'
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih
kepada pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kerana
menjemput saya ke majlis pelancaran temanya sebagai
'Discovery University' pada hari ini.
2. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif
adalah satu daripada wawasan negara kita untuk menjadi
sebuah negara maju dengan cara kita tersendiri tanpa
terikut kepada cara dan corak negara-negara maju yang
lain khususnya daripada negara Barat. Kemajuan yang
kita harapkan adalah kemajuan yang sempurna bukan
sahaja diukur daripada segi pencapaian lahir atau
fizikal semata-mata, malah meliputi suatu masyarakat
yang sempurna dari segi nilai moral dan etika yang
tinggi.
3. Masyarakat negara maju adalah masyarakat yang
mempunyai kemahiran dan kepakaran sains serta teknologi
yang tinggi, bukan setakat mengubahsuai tetapi boleh
mencipta, menambah dan memperbaharui teknologi yang
diperlukan. Oleh itu usaha UTM dalam memberi penekanan
kepada penemuan baru atau 'discovery' adalah suatu
langkah yang positif ke arah mempercepatkan lagi
langkah menuju kepada negara maju yang dimaksudkan.
Bagi mencapai matlamat ini, pertumbuhan ekonomi yang
pesat amatlah penting dan ini berkait rapat dengan
sektor industri pembuatan, perdagangan, pelaburan, daya
saing, kualiti tenaga kerja serta kekentalan menghadapi
cabaran.
4. Saya difahamkan bahawa UTM telah berjaya
mengeluarkan lebih daripada 45,000 graduan dalam bidang
sains dan teknologi khususnya jurutera sejak 1972.
Sumbangan pihak Universiti dalam membekalkan sumber
tenaga manusia untuk memajukan ekonomi khususnya dalam
bidang perindustrian amatlah releven didalam
pembangunan negara. Di sini saya ingin mengucapkan
syabas kepada pihak UTM, khususnya kepada pensyarah
yang telah bertungkus lumus mendidik anak bangsa demi
mewujudkan masyarakat saintifik dan bagi menyediakan
kumpulan rakyat yang boleh mendapat kehidupan yang
sempurna dalam masyarakat yang demokratik, toleran,
dinamik dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi.
5. Sepanjang abad ke-20 sektor industri merupakan
sektor utama di dalam pembangunan negara. Sektor
industri telah membangun berbagai-bagai teknologi dalam
pelbagai bidang. Hasil teknologi dipasarkan untuk
menghasilkan pelbagai barangan yang murah, canggih dan
berkualiti sementara teknologi telah menjadi keperluan
asas masyarakat khususnya teknologi automotif,
telekomunikasi, maklumat, elektronik dan sebagainya.
Oleh itu langkah UTM memberi penekanan kepada
penyelidikan dan penemuan baru bagi kesejahteraan
rakyat amatlah tepat dengan keperluan negara kita.
6. Peranan universiti telah berubah daripada yang
'conventional' iaitu daripada gedung ilmu kepada
penjana teknologi. Alaf yang akan datang memerlukan
institusi pengajian tinggi mengubah arus pembangunan
ilmu selari dengan perkembangan pesat sektor industri
dan universiti serta institusi pengajian tinggi telah
menjurus peranannya sebagai agen 'discovery'.
Masyarakat kini melihat universiti sebagai sebuah
perusahaan yang perlu menghasilkan produk yang memenuhi
keperluan pelanggan serta dapat diaplikasikan oleh
industri terutamanya sektor pembuatan.
7. Arah tumpu industri sekarang adalah kepada
perusahaan yang berasaskan teknologi termaju dan
memerlukan produk yang lebih 'market-driven'. Oleh
itu, selain daripada mengeluarkan sumber tenaga
manusia, hasil-hasil penyelidikan adalah antara produk
sesebuah institusi pengajian tinggi yang sesuai
mengikut perkembangan semasa. Perkembangan bidang
sains dan teknologi memerlukan aktiviti penyelidikan
yang kukuh. Usaha UTM melancarkan temanya sebagai
'Discovery University' adalah tindakan yang selari bagi
memantapkan proses penjanaan produk iaitu tenaga mahir
dan teknologi terbaru supaya ianya sesuai digunakan
oleh masyarakat.
8. Saya difahamkan bahawa beberapa penemuan seperti
teknologi solar, teknologi membran, ciptaan 'sine lab'
adalah penemuan-penemuan yang telah diusahakan oleh
UTM, dan pada hari ini sebuah makmal Teknologi Marin
telah dirasmikan. Kewujudan Makmal Teknologi Marin ini
menambahkan lagi usaha-usaha UTM didalam bidang
penyelidikan marin dan juga meningkatkan lagi kemahiran
negara dalam industri marin. Makmal Teknologi Marin
ini di samping menyediakan kemudahan untuk pensyarah
dan pelajar akan menjalankan penyelidikan serta
bekerjasama dengan industri perkapalan bagi menyokong
pembangunan industri maritim negara dan seterusnya
menambah pendapatan 'invisible' negara dalam dagangan
antarabangsa.
9. Sekali lagi saya mengucapkan syabas kepada pihak
UTM kerana telah mempelopori teknologi marin dan saya
difahamkan makmal teknologi marin ini telah mendapat
pengiktirafan daripada 'International Towing Tank
Conference'. Pengiktirafan ini membuktikan masyarakat
antarabangsa yakin tentang keupayaan kita dan saya juga
yakin bahawa teknologi marin akan berkembang dengan
pesat di negara ini.
10. Kerajaan telah menyediakan sejumlah besar
peruntukan untuk peningkatan tahap pendidikan di negara
ini. Pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi
adalah sebahagian daripada sumber manusia yang penting
kepada negara. Ini kerana negara memerlukan lebih
ramai sumber manusia yang berilmu dan mahir dalam
pelbagai bidang sains dan teknologi. Pelajar-pelajar
Universiti boleh menjayakan negara sekiranya memahami
tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Negara-negara
yang penduduknya ramai seperti Indonesia, Thailand,
Vietnam, Bangladesh dan China mempunyai kos tenaga
buruh yang rendah berbanding dengan negara kita.
Dengan itu bagi memastikan kita dapat menawarkan produk
dan servis yang berkualiti maka kita memerlukan tenaga
kerja yang berilmu serta berkemahiran yang boleh
menangani teknologi yang tinggi. Oleh itu salah satu
kaedah yang paling berkesan untuk mencapai kejayaan ini
ialah dengan mempastikan rakyat Malaysia mempunyai dan
mendapat pendidikan terbaik dan mahir dalam bidang-
bidang ilmu dan teknologi yang kritikal. Di sinilah
pentingnya peranan UTM yang menawarkan kursus-kursus
dalam bidang sains dan teknologi bagi mencapai hasrat
tersebut.
11. Kita perlu menerima hakikat bahawa negara kita
sudah jauh lebih maju berbanding sebelum merdeka.
Walau bagaimanapun, situasi global sudah banyak berubah
dan kehidupan memerlukan suatu persaingan yang sengit
serta memberi tumpuan kepada servis yang bermutu, harga
yang berpatutan dan pengutamaan kepentingan pelanggan.
Oleh itu sumber tenaga manusia kita perlu berilmu,
mahir, berkelayakan, bersikap positif dan sedar akan
perlunya kita bersaing dalam masyarakat antarabangsa.
12. Sekali lagi saya mengucapkan syabas kepada pihak
UTM dan saya berharap UTM akan terus melaksanakan
tanggungjawabnya sesuai dengan matlamat yang ditetapkan
oleh pihak universiti dan membantu negara membangun
sebagai sebuah negara maju yang berdaya saing dalam
industri pembuatan.
13. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan
sukacitanya melancarkan 'Discovery University' untuk
Universiti Teknologi Malaysia.
Terima kasih.
|