Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN
TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 30/08/99
Tajuk/Title : SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN
NEGARA YANG KE-42
Pada 31 Ogos tahun ini kita akan merayakan hari
kebangsaan kita buat kali terakhir bagi abad dan alaf
ini. Penghujung atau permulaan abad atau alaf tidak
akan mendatangkan sesuatu yang luar biasa atau
mengejutkan hanya kerana ia menjadi satu hari yang
istimewa dalam perkiraan masa. Tetapi permulaan
sesuatu abad dan alaf amat sesuai bagi kita merenung
akan keadaan kita sekarang, akan kecapaian kita di masa
lepas dan arahtuju serta matlamat kita di masa hadapan.
2. Kita adalah daripada bangsa dan negara yang biasa
dijajah. Selama 450 tahun bahagian-bahagian daripada
negeri-negeri Melayu di Semenanjung, Sarawak dan Sabah
telah dijajah. Penjajahan amat menghinakan kerana kita
tidak dianggap sebagai manusia setaraf oleh penjajah.
Mereka memandang kita sebagai orang takluk mereka,
orang yang diletak di bawah perintah mereka, orang yang
hanya layak menjadi suruhan mereka.
3. Kita tidak berhak ke atas nasib kaum bangsa kita,
nasib negara kita. Segala-galanya ditentukan oleh
mereka, oleh mereka yang berada di negara mereka, oleh
mereka yang ditugaskan di negara kita. Tiap seorang
daripada mereka sama ada tinggi atau rendah pangkatnya
lebih berhak dan berkuasa daripada kita di negara kita
sendiri. Kita hanya berhak mengikut arahan mereka,
sama ada baik atau buruk bagi kita.
4. Mereka adalah 'Tuan' kita dan kita adalah hamba
mereka. Tidak ada konsep hak asasi manusia yang
diperkatakan oleh mereka. Hak asasi hanyalah untuk
mereka dan bukan untuk orang takluk mereka. Tidak ada
badan bukan Kerajaan di kalangan mereka yang prihatin
dan berjuang untuk hak asasi bagi kita. Kita bukan
manusia yang berhak.
5. Kekayaan negara kita juga bukan hak kita.
Kekayaan kita hanyalah untuk mereka kaut untuk dibawa
ke negara mereka dimana kekayaan itu diguna untuk
mendirikan kota-kota yang besar, bangunan yang
tersergam indah dan mengkagumkan. Tidak ada siapa yang
menegur akan penganiayaan warga jajahan takluk dan
pembaziran wang mereka untuk kebesaran negara penjajah.
6. Pembangunan jajahan takluk diadakan juga tetapi ia
hanyalah untuk memudahkan penjajah mengeluarkan hasil
dan kekayaan negara yang ditakluki. Untuk tujuan ini
mereka yang dijajah diberi sedikit latihan supaya
mengurangkan kos pentadbiran dan pengeluaran hasil.
Maka dibinalah jalan-jalan kecil serta disediakan
bekalan air dan elektrik di tempat-tempat tertentu
untuk menjadikan kehidupan anggota penjajah lebih
selesa.
7. Rakyat wilayah yang dijajah diberi pelajaran yang
hanya cukup untuk membantu eksploitasi negara mereka
oleh penjajah. Sejarah penjajahan dengan penindasan
dan kehinaannya tidak dibukukan dan diajar kepada
mereka yang diberi peluang ke sekolah. Dan minda
pelajar dikuasai sepenuhnya sehingga mereka tidak dapat
berfikir sendiri melainkan apa yang telah difikir dan
diajar oleh penjajah mereka. Demikianlah berkesannya
penguasaan pemikiran rakyat yang dijajah sehingga
mereka menerima kelebihan penjajah sebagai sesuatu yang
tidak boleh dipertikaikan. Segala-gala yang ada atau
yang dilakukan oleh penjajah adalah lebih baik daripada
apa sahaja hasil usaha atau pemikiran diri sendiri. Di
peringkat ini penjajahan sudah menjadi menyeluruh dan
terserap ke dalam budaya secara berkekalan. Sebab itu
kemerdekaan juga tidak dapat mengikis sepenuhnya budaya
kehinaan diri dan keagungan bangsa penjajah di kalangan
bangsa yang pernah dijajah. Tabiat mengabdi kepada
pemikiran penjajah biasanya berterusan.
8. Hanya sebilangan kecil sahaja daripada mereka yang
dijajah yang menyedari akan kehinaan status mereka dan
mencari jalan untuk membebaskan diri. Di negeri-negeri
Melayu, jika tidak kerana penjajah Barat ditewaskan
oleh Jepun, kepercayaan kepada kebesaran penjajah Barat
tetap akan kekal. Kekalahan British membuka mata
rakyat negeri-negeri Melayu bahawa penjajah Barat tidak
gagah dan cekap seperti yang mereka percayai. Dengan
itu kumpulan yang kecil menuntut kebebasan bagi negeri-
negeri Melayu.
9. Perjuangan untuk mencapai kemerdekaan bagi negeri-
negeri Melayu dan Selat tidak melibatkan peperangan dan
korban nyawa oleh puak nasionalis. Ini adalah kerana
mereka cekap menyusun politik mereka supaya penjajah
tidak mempunyai alasan untuk menolak tuntutan
kemerdekaan mereka.
10. Memandangkan British berpendapat jika kemerdekaan
diserah kepada Raja-Raja Melayu yang berkuasa sebelum
Tanah Melayu dijajah, kemungkinan kononnya orang Melayu
akan menindas kaum-kaum lain, maka pemimpin-pemimpin
Melayu telah menjalinkan kerjasama yang unik dengan
orang Cina dan India. Pemimpin-pemimpin ketiga-tiga
kaum ini kemudian memilih sistem demokrasi untuk
pemerintahan Tanah Melayu yang merdeka. Dengan itu
British tidak mempunyai alasan untuk tidak melepaskan
Tanah Melayu daripada penjajahan mereka. Peperangan
atau pemberontakan tidak perlu bagi kemerdekaan Tanah
Melayu kerana kebijaksanaan politik penduduk dan
pemimpin-pemimpinnya.
11. Walaupun terdapat beberapa daripada pemimpin
Malaysia yang merdeka yang berpengalaman dalam bidang
pentadbiran, tetapi mereka tidak pernah diberi
tanggungjawab yang penuh oleh pihak British. Mereka
hanya memegang jawatan yang rendah. Apabila
kemerdekaan dicapai tiba-tiba mereka diberi
tanggungjawab yang amat berat iaitu mengambilalih semua
jawatan dalam jentera pentadbiran dan pemerintahan
sebuah Negara yang merdeka dan demokratik. Kebanyakan
daripada pemimpin negara-negara yang mencapai
kemerdekaan gagal mengawal nafsu dan mendisiplinkan
diri. Mereka menyalahgunakan kuasa dan menghancurkan
ekonomi.
12. Tetapi pemimpin Malaysia memberi perhatian yang
penuh kepada pengisian kemerdekaan dan pembentukan
jentera pentadbiran tempatan yang mampu merealisasikan
impian rakyat. Kesalahan dasar pentadbiran penjajah
dibetulkan dengan serta-merta. Bukan keselesaan
pemimpin yang diutamakan tetapi pembangunan rakyat yang
terpinggir dahulu yang diberi keutamaan. Dengan itu
kawasan luar bandar dibekalkan dengan segala kemudahan
seperti jalan, klinik, sekolah dan lain-lain.
13. Rakyat yang tidak ada punca pendapatan diberi
tanah untuk projek-projek pertanian. Kemudian apabila
tidak ada lagi tanah untuk diterokai, industri
pembuatan diperkenalkan untuk mewujudkan peluang
pekerjaan bagi rakyat yang menganggur.
14. Dari sebuah negara pertanian pemerintahan Malaysia
yang merdeka berjaya mengalih kepada negara industri
yang memberi bukan sahaja peluang kepada pekerja dan
menaikkan pendapatan mereka tetapi juga mencungkil
bakat yang sesuai untuk dimajukan sebagai pengusaha
kecil, sederhana dan akhirnya pengusaha dan peniaga
besar. Mereka ini muncul daripada semua kaum tetapi
kaum Bumiputera masih ketinggalan.
15. Memandangkan ketidakseimbangan pembangunan antara
kaum, dan dengan pengajaran daripada peristiwa 13 Mei
1969, Kerajaan Malaysia merdeka telah mencipta Dasar
Ekonomi Baru untuk menyusun semula peranan ekonomi kaum-
kaum supaya mereka tidak dipisah kerana jenis kerja
mereka dan juga untuk membasmi kemiskinan di kalangan
semua kaum.
16. Dasar ini dilaksanakan dengan jayanya walaupun
tidak sepenuhnya.
17. Apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) tamat, usaha
mengimbangkan pembangunan kaum diteruskan dalam Dasar
Pembangunan Negara (DPN). Bijaknya dasar-dasar ini
diperlihatkan apabila kegawatan ekonomi berlaku dan
kaum Bumiputera tidak merusuh dan menyerang kaum-kaum
lain. Sebaliknya semasa kegawatan ekonomi keadaan terus
tenang dan ini membolehkan Kerajaan Malaysia membentuk
dasar dan pendekatan bagi memulihkan ekonomi, tanpa
meminta pertolongan daripada agensi antarabangsa
seperti Dana Wang Antarabangsa (IMF) yang sudah tentu
akan mensyaratkan supaya dasar-dasar seperti DEB dan
DPN digugurkan.
18. Dasar-dasar kita mampu mengatasi masalah perkauman
tanpa menjejaskan pembangunan negara. Setelah
mengatasi kemelesetan pada tahun-tahun lapan puluhan,
ekonomi kita tumbuh dengan pesatnya sepuluh tahun
berturut-turut. Ramalan yang dibuat ialah ekonomi akan
terus tumbuh pada paras yang tinggi dan Wawasan 2020
akan tercapai. Tidak ada masalah sosial atau politik
yang akan mengganggu ketenteraman negara dan
pertumbuhan ekonominya.
19. Malangnya pada Julai 1997 pedagang matawang telah
menyerang Ringgit kita sehingga nilainya jatuh hampir
100 peratus iaitu pada satu ketika daripada RM2.50
kepada RM4.80 bagi satu Dolar Amerika. Ini bermakna
semua barangan import naik harga dan akan disusuli
kemudian dengan inflasi yang tinggi.
20. Di masa yang sama serangan dibuat ke atas pasaran
saham kita sehingga modal pasaran yang berjumlah RM800
bilion susut menjadi kurang daripada RM300 bilion.
Dengan itu syarikat-syarikat dan bank-bank kita hampir
bankrap. Perniagaan tidak dapat diteruskan kerana bank
tidak dapat memberi pinjaman dan faedah terlalu tinggi.
Jika perniagaan tidak berjalan dan dengan itu
keuntungan tidak diperolehi Kerajaan juga tidak akan
dapat memungut cukai. Kerajaan tidak akan ada wang yang
cukup untuk membiayai kos pentadbiran dan pembangunan.
21. Hanya yang akan dapat dibuat oleh Kerajaan ialah
berhutang daripada IMF. Dan jika IMF memberi hutang
maka syarat-syarat akan dipaksa ke atas Kerajaan supaya
menghapuskan DEB dan DPN serta segala subsidi kepada
rakyat. Dengan itu kepincangan yang terdapat sebelum
DEB, kepincangan yang menyebabkan rusuhan kaum berlaku
pada tahun 1969 akan kembali. Lebih daripada itu
ekonomi akan dikuasai sepenuhnya oleh IMF dan kuasa
besar yang ada dibelakangnya. Ekonomi negara akan
dibuka luas supaya orang asing dengan syarikat dan bank
gergasi mereka akan dapat masuk ke dalam negara dan
akan mengambilalih semua perniagaan. Rakyat Malaysia
tidak akan memiliki apa-apa perniagaan yang besar dan
menguntungkan, tetapi hanya boleh menjadi pekerja dalam
syarikat-syarikat asing.
22. Apabila ekonomi sudah dikuasai oleh orang asing,
tidak dapat tidak mereka akan campur tangan dan
menguasai politik juga. Kita sudah lihat bagaimana di
negara-negara dimana mereka menguasai ekonomi, mereka
dapat menjatuhkan Kerajaan dan juga menukar sistem
Kerajaan. Mereka dan media mereka akan menentukan siapa
yang menjadi pemimpin negara. Sudah tentu mereka akan
memilih orang yang sedia tunduk kepada mereka, yang
sanggup menjadi boneka mereka.
23. Memandangkan akan kemungkinan ini Kerajaan
Malaysia tidak bersedia untuk meminjam daripada IMF,
walaupun tekanan ke atas matawang dan pasaran saham
diteruskan. Kerajaan mengkaji segala kelemahan dan
kekuatan negara kita. Seperkara yang menjadi kekuatan
utama negara ialah ketenteraman di kalangan rakyat
Malaysia dan sokongan kuat yang diberikan oleh majoriti
terbesar rakyat kepada Kerajaan.
24. Dengan kekuatan ini Kerajaan dapat mencipta
pendekatan yang boleh mengembalikan balik kuasa ke atas
matawang Ringgit kita dan ke atas pasaran saham kita
supaya tidak lagi dapat dimanipulasikan oleh orang
asing.
25. Kawalan nilai matawang dan pengaliran modal oleh
Malaysia dikecam hebat oleh hampir seluruh dunia.
Pakar-pakar ekonomi dan kewangan serta media asing
meramalkan bahawa ekonomi Malaysia akan runtuh dan huru-
hara akan berlaku. Kerajaan akan ditumbangkan oleh
rakyat dan akhirnya Malaysia akan terpaksa meminta
pertolongan IMF dan menerima syarat-syaratnya juga.
26. Malang bagi Malaysia pada saat yang genting ini
Timbalan Perdana Menteri terpaksa disingkir apabila
didapati moralnya tidak sesuai untuk menjadi pemimpin
negara. Ramai sudah Menteri-Menteri, Menteri Besar dan
Ketua Menteri yang disingkir atau digugur di Malaysia
tanpa menimbulkan apa-apa masalah. Memanglah dalam
sistem demokrasi penyingkiran Menteri adalah perkara
biasa. Tetapi Dato' Seri Anwar tidak sanggup menerima
penyingkirannya. Dengan menuduh bahawa penyingkirannya
disebabkan oleh satu pakatan untuk menyekatnya daripada
menjadi Perdana Menteri, beliau melancarkan satu kempen
politik untuk membela diri dan sekaligus menjatuhkan
Kerajaan.
27. Rapat umum secara besar-besaran diadakan di
seluruh negara. Walaupun rapat umum ini kerapkali
tidak mendapat kebenaran seperti yang dikehendaki oleh
undang-undang, polis tidak menghalangnya.
28. Memandangkan polis tidak melakukan apa-apa
kekejaman yang boleh menyebabkan kemarahan rakyat dan
kritik daripada media dan negara asing, Dato' Seri
Anwar telah menyuruh penyokongnya merusuh di Kuala
Lumpur. Walaupun tunjuk perasaan menjadi lebih ganas,
pihak polis cuba mengelak daripada menggunakan
kekerasan dalam mengawal keselamatan. Tetapi apabila
rusuhan menjadi lebih serius, Dato' Seri Anwar terpaksa
dimasukkan ke dalam tahanan. Kemudian beliau
dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menyalahgunakan
kuasa dan lain-lain.
29. Penyokongnya terus merusuh. Walaupun pada mulanya
bilangan perusuh adalah besar dan media asing
meramalkan bahawa Kerajaan akan ditumbangkan, ini tidak
berlaku. Ketenteraman kembali semula dan Kerajaan dapat
menumpukan segala usaha dan tenaga untuk memulihkan
ekonomi.
30. Selain daripada kawalan ke atas matawang dan
aliran modal, Kerajaan telah mengambil bermacam-macam
tindakan untuk menentukan ekonomi dipulihkan dengan
segera. Agensi tertentu ditubuh untuk memulihkan hutang
bank oleh syarikat dan menambah modal bank, faedah
diturunkan dan jumlah wang untuk pinjaman ditambah
melalui beberapa peruntukan pengurusan Bank Negara,
kempen penjualan hartanah dan barangan diadakan dengan
galakan tertentu, pendapatan kakitangan ditambah untuk
menaikkan jualan runcit, projek infrastruktur yang
telah dihentikan diteruskan semula dan langkah-langkah
lain diambil. Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN)
menyemak semua data ekonomi setiap hari untuk
mengetahui kedudukan tiap-tiap sektor dan tindakan-
tindakan yang perlu diambil supaya ekonomi pulih.
31. Lebihan dagangan meningkat kerana tumpuan diberi
kepada pengurangan import yang tidak perlu dan
pertambahan eksport negara. Penggunaan pelabuhan
tempatan ditingkatkan supaya proses import dan eksport
menyumbang kepada pendapatan negara.
32. Oleh kerana pendekatan yang dicipta sendiri dan
usaha-usaha yang dibuat, walaupun dunia tidak fikir
kawalan kita akan berhasil; walaupun percubaan dibuat
untuk menggugat kestabilan politik; walaupun agensi
penarafan menyekat penjualan bon Malaysia di pasaran
dunia, namun ekonomi Malaysia dapat dipulihkan juga.
33. Hari ini semakin ramai pakar asing mengakui mereka
salah apabila mereka meramalkan kawalan ke atas
matawang dan pengaliran modal akan menghancurkan
ekonomi Malaysia. Mereka akui bahawa ekonomi Malaysia
sudah pulih dengan kuatnya, lebih kuat daripada negara-
negara yang mendapat bantuan daripada agensi
antarabangsa dan yang mengikut cara-cara yang
dinasihatkan oleh agensi ini.
34. Semasa kegawatan ekonomi, kewangan dan politik
melanda kita, kawan dan bukan kawan dapat dikenali.
Ada negara yang menolong secara ikhlas tanpa syarat.
Ada yang ingin menggunakan masalah kita untuk meraih
sesuatu bagi mereka. Ada yang menekan kita apabila
kita jatuh.
35. Pengalaman kita semasa kegawatan menjadi
pengajaran kepada kita. Dan pengajaran ini akan
menolong kita menghadapi cabaran abad ke-21 dan alaf
baru.
36. Kita sudah pun masuk zaman teknologi maklumat.
Sedikit sebanyak kita sudah kenali perubahan pemikiran,
ideologi dan nilai universal yang telah dicipta oleh
Barat untuk dunia. Sebenarnya kegawatan yang kita
alami adalah sebahagian daripada kesan konsep dunia
tanpa sempadan dan globalisasi ciptaan Barat susulan
daripada perkembangan teknologi maklumat. Kita tidak
lagi dapat bersembunyi di belakang sempadan kita untuk
menyelamatkan diri. Tanpa angkatan perang melintasi
perbatasan, kita boleh diserang hanya dengan menghantar
maklumat dan data melalui sistem komunikasi yang
canggih yang telah dicipta.
37. Serangan ke atas matawang kita tidak memerlukan
wang tunai kita dibawa keluar untuk dijual. Hanya
dengan menekan butang komputer berbilion ringgit boleh
mengalir keluar daripada negara untuk dijual dan
dibeli, dinaik dan diturun nilainya. Yang bergerak
melintasi sempadan hanyalah angka dalam komputer,
tetapi mengikut sistem kewangan antarabangsa, gerakan
itu adalah 'real' atau benar. Apabila angka bertukar
di skrin komputer wang kita bergerak. Jika ia bergerak
keluar daripada negara kita, kita jadi miskin iaitu
duit dalam bank kita akan berkurangan sehingga sukar
dipinjam untuk perniagaan.
38. Apabila duit dalam komputer diniagakan, kita akan
rasai kesan daripada perniagaannya. Jika nilainya
diturunkan negara kita menjadi lebih miskin, walaupun
tidak sesen pun wang tunai yang dibawa keluar dan
dijual oleh pedagang matawang. Sempadan sudah tidak
menjadi benteng lagi untuk kita lindungi dan
pertahankan kewangan serta kekayaan kita.
39. Apabila kita miskin kerana kegiatan pedagang
matawang dan pelabur jangka pendek maka kita sebenarnya
tertewas sama seperti pasukan pertahanan kita
ditewaskan. Kemudian mereka akan memasuki negara kita
untuk mengambilalih ekonomi dan menguasai politik kita.
Kemerdekaan sudah tidak bermakna lagi.
40. Kuasa asing dan media mereka tetap akan menafikan
yang mereka menjajah sesiapa dan ramai daripada kita
yang tidak percaya akan diri sendiri akan turut
mempercayai mereka. Tetapi tidak ada tafsiran lain
yang boleh diberi kepada keadaan dimana ekonomi,
politik dan aspek-aspek kehidupan lain dikuasai oleh
kuasa asing selain daripada penjajahan. Apa yang
berlaku semasa dan setelah serangan ke atas ekonomi
kita dibuat merupakan satu daripada bencana yang sudah
datang bersama dengan zaman maklumat dan globalisasi.
Jika kita biarkan sahaja tafsiran globalisasi dibuat
oleh kuasa Barat, bencana yang lebih buruk akan menimpa
kita.
41. Kita adalah sebuah negara yang kecil, negara
membangun yang lemah. Tetapi kita telah buktikan
bahawa dengan Kerajaan yang disokong kuat oleh majoriti
rakyat kita mampu mempertahankan kebebasan kita. Kita
telah dapat mengatasi tekanan asing dan memulihkan
negara kita.
42. Tetapi percubaan akan dibuat lagi untuk menguasai
kita. Falsafah, perkataan dan ide baru akan dicipta
oleh mereka untuk melemahkan ketahanan kita. Ramai
daripada kita yang akan menerima logiknya ide-ide baru
ini dan akan menolong menyebarkannya. Akhirnya sesiapa
yang tidak menerima akan dianggap sebagai kolot, tidak
dapat menyesuaikan diri dengan peredaran zaman.
Sebelum ini berlaku kita harus sedar akan berbagai-
bagai kemungkinan dalam abad yang akan datang ini.
43. Globalisasi, dunia tanpa sempadan digambarkan
sebagai satu nikmat dan proses yang tidak dapat
ditangkis. Kononnya ia akan memperkayakan dunia dan
kita juga bersama. Kononnya dunia tanpa sempadan lebih
baik daripada kebebasan mengurus negara sendiri.
44. Sementara kita mengakui bahawa teknologi sudah
menjadikan dunia ini terlalu kecil untuk dibahagi-
bahagikan kepada bangsa-bangsa dan negara-negara yang
berasingan, apakah hanya tafsiran globalisasi yang
dibuat oleh kuasa besar sahaja yang tepat dan perlu
diterima? Apakah globalisasi hanya untuk pergerakan
wang dan modal tanpa sekatan? Tidak adakah taksiran
lain berkenaan globalisasi? Tidak bolehkah negara
kecil dan lemah memberi pendapat akan globalisasi jenis
apa yang perlu diterima oleh dunia atau sekurang-
kurangnya oleh mereka yang lemah?
45. Malaysia tidak dapat menerima apa sahaja yang
dicampakkan kepadanya. Negara berbilang kaum ini
mempunyai hak, hak yang sama dengan negara-negara lain
di dunia. Kita telah dijajah selama lebih 400 tahun.
Kita baru merdeka 42 tahun dan kita tidak rela
kebebasan kita dihapuskan walaupun zaman globalisasi
sudah tiba. Kita mesti pertahankan kebebasan kita.
46. Rakyat Malaysia akan dapat mempertahankan negara
tercinta ini jika kita faham akan bahaya yang kita
hadapi dan jika kita menguasai segala ilmu dan
kecekapan yang diperlukan. Bukan kekuatan ketenteraan
yang akan menyelamatkan kita. Yang akan menyelamatkan
kita ialah kesedaran, kebolehan mengenal bentuk
serangan yang akan datang dan penguasaan ilmu serta
kecekapan dalam bidang-bidang teknologi zaman
komunikasi bebas ini.
47. Apabila ide baru diperkenalkan oleh Barat,
janganlah kita tergesa-gesa menerimanya. Sejarah
mempunyai banyak contoh ide-ide yang disebarkan oleh
Barat untuk kebaikan masyarakat manusia yang
kemudiannya digugurkan oleh mereka kerana hasilnya
tidak menepati ramalan yang telah dibuat.
48. Ideologi Komunis dan Sosialis adalah antara
ciptaan Barat yang telah merosakkan banyak negara yang
mengamalkannya. Bukanlah sesuatu yang mustahil jika
ide seperti demokrasi, liberal, pasaran bebas,
globalisasi akan digugurkan pula. Kita sudah pun
melihat keburukan yang datang bersama ide-ide ini.
Sebab itu kita bukan sahaja perlu berhati-hati menerima
ide dari Barat, tetapi kita sepatutnya mencipta ide
kita sendiri dalam usaha memperbaiki kehidupan kita.
49. Janganlah kita memperkecilkan kemampuan kita
berfikir, kemampuan kita mencipta ide-ide yang bernas.
Sebenarnya kita tidak kurang daripada orang lain, jika
pun tidak lebih baik daripada mereka. Sebab itu kita
telah memilih slogan 'Malaysia Boleh' bagi
memperkuatkan keyakinan kita terhadap kebolehan diri
kita sendiri.
50. Sejak kita terimapakai slogan ini kita telah
menunjukkan beberapa kebolehan kita yang luar biasa.
Dalam bidang politik kita boleh jalin hubungan kaum
yang baik dan keadaan politik yang stabil. Dalam
bidang ekonomi kita boleh membangunkan negara kita
dengan lebih cepat dan boleh juga menangkis serangan
ekonomi oleh orang asing.
51. Rakyat kita boleh mendaki Gunung Everest, terjun
di Khutub Utara, berjalan dalam salji ke Khutub Utara
dan baru-baru ini Dato' Azhar Mansor telah belayar
mengelilingi dunia seorang diri dari barat ke timur,
satu rekod dunia.
52. Tanpa mendabik dada, tanpa bermegah-megah kita
boleh membangunkan ekonomi negara kita dengan tahap
yang tinggi supaya tercapailah Wawasan 2020 untuk
menjadikan negara kita Malaysia sebuah negara maju --
Insya-Allah.
53. Dalam sejarah biasa terjadi bangsa dan negara yang
mundur, tetapi setelah menukar ganti sifat-sifat yang
buruk dengan yang baik, dalam jangka masa yang pendek
dapat mencapai kemajuan luar biasa. Ingatlah semua
negara yang maju sekarang adalah mundur dahulu. Mereka
berjaya memajukan negara dan bangsa mereka kerana
mereka dapat mengenali apa yang menghalang kemajuan
mereka dan mereka menggugurkannya.
54. Kita semua tahu apa yang menghalang kita.
Tidaklah perlu dihuraikan di sini semua halangan ini.
Yang penting ialah kita sanggup melakukan apa yang
diperlukan daripada kita.
55. Permulaan abad dan alaf baru adalah ketika yang
sesuai bagi kita merenungkan akan keadaan kita, akan
kecapaian kita di masa lepas dan arahtuju serta
matlamat kita di masa hadapan.
56. Permulaan abad dan alaf baru adalah juga ketika
yang sesuai untuk kita semua membuat keputusan untuk
menggugurkan segala-gala yang tidak baik yang
menghalang kemajuan kita, dan untuk kita mula secara
serius mengamalkan apa yang baik yang boleh memajukan
kita dan negara kita ini.
57. Insya-Allah dengan membuat resolusi ini apabila
kita menyambut tahun, abad dan alaf baru, kita akan
jadikan sambutan kita lebih bermakna dan lebih
bermanfaat kepada kita.
58. Selamat menyambut Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-
42.
|