Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT TEKNOLOGI PINTAR UKM-MTDC
BANGI, SELANGOR DARUL EHSAN
Tarikh/Date : 09/09/99
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PUSAT TEKNOLOGI
PINTAR UKM-MTDC
Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysian
Technology Development Corporation (MTDC) kerana
mengundang saya untuk merasmikan Pusat Teknologi Pintar
UKM-MTDC pada hari ini. Penubuhan pusat ini membuktikan
komitmen UKM dan MTDC dalam membantu pembangunan negara
melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan atau R &
D. Saya percaya UKM mahupun MTDC telah banyak
menjalankan aktiviti-aktiviti R & D baik secara
langsung atau tidak langsung; malah telah menunjukkan
potensi untuk menguasai sebahagian daripada teknologi-
teknologi yang diperlukan oleh industri-industri dalam
negara kita.
2. Kita sedia maklum bahawa penguasaan teknologi dan
kemampuan mencipta teknologi dan barang-barang yang
baru amatlah penting untuk negara kita mencapai status
negara maju menjelang tahun 2020. Kemajuan negara yang
tidak dilengkapi dengan peningkatan keupayaan teknologi
tempatan boleh menjejaskan ketahanan kita. Kemampuan
negara untuk bersaing di pasaran dunia bergantung
kepada kemampuan kita menghasilkan teknologi baru yang
sesuai dengan tuntutan semasa dan perkembangan
teknologi di peringkat antarabangsa. Begitu juga
dengan kualiti barangan industri tempatan kita. Selain
daripada menghasilkan teknologi baru, pengubahsuaian
terhadap teknologi yang diimport juga kritikal kerana
kejayaan dalam hal ini akan menentukan pertumbuhan
serta kemantapan industri tempatan.
3. Sebenarnya penyelidikan dan pembangunan mempunyai
kaitan yang rapat dengan budaya sesuatu bangsa. Jika
budaya itu tidak sesuai maka bukan sahaja hasil
daripada penyelidikan dan pembangunan tidak akan
didapati, tetapi usaha untuk menyelidik dan membangun
tidak akan dibuat. Dan bangsa yang tidak mempunyai
budaya penyelidikan dan pembangunan akan tertinggal
oleh zaman, akan beku dan tidak dapat menyesuaikan diri
dengan perkembangan semasa di persekitarannya.
Masyarakat yang statis dalam dunia yang pantas maju ke
hadapan tetap akan mundur dan ketinggalan.
4. Sementara budaya ketimuran daripada segi moral
amat baik tetapi ia kurang minat untuk meningkatkan
kecapaian sepanjang masa. Demikian walaupun orang Cina
yang 'discover' bahan letupan, tetapi mereka
menggunakan bahan ini untuk bunyinya dalam mercun yang
dibakar semasa perayaan untuk menghalau hantu-hantu
daripada persekitaran mereka.
5. Bahan letupan Cina apabila diperolehi oleh Barat
digunakan untuk melontar peluru. Supaya peluru itu
dapat dilontar lebih jauh bukan sahaja formula bahan
letupan ditukar, dan ditukar berkali-kali, tetapi alat
yang dapat melontar dengan lebih jauh dan lebih tepat
pada sasaran dicipta dan diperbaiki sepanjang masa.
Hari ini berasal daripada bahan letupan ciptaan orang
Cina, Barat dapat menghantar roket ke bulan dan ke
angkasa lepas. Ilmu berkenaan dengan bahan letupan dan
kegunaannya di masa dahulu, masa sekarang dan
berpotensi untuk masa depan dibukukan secara terperinci
supaya para penyelidik dapat mempelajarinya dan
menyelidik, mencipta dan membangun bahan letupan yang
semakin berkuasa dan semakin berkesan. Penggunaan juga
diperluaskan bukan sahaja untuk melontar peluru tetapi
untuk bom sehingga ke bom nuklear dan kegunaan bukan
perang, umpamanya dalam memecah batu, mengorek gua dan
meruntuhkan bangunan yang usang serta seribu satu
kegunaan lain. Demikianlah hasil penyelidikan dan
pembangunan ke atas bahan letupan mercun orang Cina.
Orang Cina sebaliknya terpaksa mempelajari daripada
orang Barat kegunaan-kegunaan baru bahan letupan mercun
menghalau hantu yang dicipta oleh mereka.
6. Orang Cina bukanlah kurang pandai, tetapi budaya
penyelidikan dan pembangunan tidak ada secukupnya pada
mereka. Orang Melayu juga demikian. Jika ada sesuatu
ilmu pada orang Melayu, mereka bukan sahaja tidak akan
membangunkan ilmu itu, tetapi mereka biasanya
menyembunyi ilmu mereka. Demikian jika dukun Melayu
mempunyai ubat yang mustajab, maka disembunyikannya
daripada pengetahuan orang lain. Mungkin anaknya
diajar tetapi tidak sepenuhnya kerana khuatir yang
menuntut akan lebih pandai daripada guru. Kerapkali
tidak ada siapa yang diperturunkan ilmu berkenaan dan
ilmu itu akan hilang apabila pemiliknya meninggal
dunia. Masyarakat tidak akan memperolehi apa-apa
pelajaran atau faedah secara berkekalan. Sudah tentu
tidak akan ada penyelidikan dan pembangunan yang
berterusan berkenaan dengan ilmu yang dimiliki atau
dicipta. Masyarakat tidak mungkin maju kerana budaya
mencatat, menulis, membuku secara sistematik tidak ada.
Perkembangan ilmu juga tidak ada dan ilmu bukan sahaja
tidak berkembang tetapi luput dan hilang daripada
masyarakat.
7. Sekali lagi masalahnya orang Melayu bukan kurang
pandai tetapi budaya R & D tidak ada.
8. Kita sudah berjaya menyemai budaya penyelidikan
dan pembangunan sedikit di kalangan orang Timur
termasuk orang Melayu dan Bumiputera lain. Tetapi ia
belum menjadi budaya yang sebenar bagi kita di waktu
ini. Sebab itu perkara yang utama untuk menjayakan R &
D ialah menyemai budaya yang sesuai dengan R & D.
9. Kita tidak perlu menyembunyikan ilmu yang kita
perolehi atau yang kita cipta kerana sudah ada undang-
undang yang boleh melindungi ciptaan kita. Sebaliknya
kita juga perlu mengakui bahawa ada kemungkinan yang
orang lain juga mempunyai ide yang sama. Yang penting
ialah ciptaan kita tidak harus statik. Ia harus dan
boleh diperbaiki lagi tanpa had. Jika sudah baik ia
masih boleh diperbaiki lagi. Dengan ini walaupun orang
lain mungkin meniru, kita akan selalunya terdahulu
dengan kemajuan ciptaan kita.
10. Seperkara yang tidak kurang pentingnya ialah
ciptaan dan pembangunan cara pengeluaran atau
'production process' supaya ramai akan dapat manfaat
daripada ciptaan kita. Tidak ada gunanya jika kita
hanya dapat mengeluarkan satu sahaja sendiri kerana
kosnya tentulah tinggi dan pasaran akan terhad. Kita
tidak akan melihat penggunaan yang meluas kereta
bermotor jika Henry Ford tidak mencipta cara-cara 'mass
production'. Sejak itu semuanya dikeluarkan secara
besar-besaran supaya kos dapat dikurangkan dan harga
menurun. Dengan itu lebih banyak dapat dijual dan
margin keuntungan yang sedikit daripada tiap satu tidak
mengurang jumlah keuntungan. Jika hari ini kita dapat
membeli alatan yang canggih sebabnya ialah kerana
teknik 'mass production' sudah menjadi sama canggih
sehingga harga jualan menjadi murah.
11. Mungkin pencipta sesuatu tidak dapat mencipta cara
pengeluaran besar-besaran tetapi kita perlu ada di
negara ini pakar yang boleh mencipta cara-cara 'mass
production' yang efisien. Dengan itu barulah ciptaan
sesuatu barangan dapat mendatangkan hasil kepada
pencipta. Sudah tentu orang lain juga berhak mendapat
pulangan daripada ciptaan yang unik termasuk pihak yang
mencipta cara-cara 'mass production', pelabur dengan
'venture-capital'nya dan ramai lagi. Pencipta tidak
harus berasa teraniaya kerana orang lain juga mendapat
keuntungan, bahkan keuntungan yang lebih. Banyak
barangan yang dicipta tidak mendatangkan apa-apa
pulangan kepada pencipta kerana pencipta terlalu
cemburu dengan rahsia ciptaannya.
12. Dari sini kita tentu faham akan pentingnya
menyemai dan melaksanakan budaya 'research and
development'. Tanpa budaya ini kita tidak mungkin maju
dalam pembangunan bukan sahaja penyelidikan dan
pembangunan tetapi mendapat hasil dan pulangan yang
setimpal daripadanya.
13. Penyelidikan dan Pembangunan memang satu bidang
yang luas yang mempunyai potensi yang besar. Sehingga
kini hampir semua daripada alatan dan sistem yang kita
guna adalah hasil daripada penyelidikan dan pembangunan
oleh orang etnik Eropah yang tinggal di iklim
'temperate'. Ciptaan mereka adalah sesuai untuk
kegunaan mereka dalam iklim 'temperate'.
14. Kita tinggal di alam tropika yang mempunyai
'humidity' yang amat tinggi. Walaupun kebanyakan
daripada barangan yang dicipta di Eropah oleh orang
Eropah boleh diguna oleh kita, tetapi kebanyakan
daripadanya tidak sesuai untuk kegunaan kita di kawasan
tropika. Di sini terdapat peluang yang baik bagi
pencipta kita mencipta atau mengubahsuai barangan yang
dapat digunakan dalam iklim tropika yang lembab.
15. Kereta penumpang umpamanya dicipta di iklim
'temperate' dan agak terlalu panas untuk iklim tropika
yang lembab. Jika disimpan kereta dalam panas, dalaman
kereta dan bahan dalaman menjadi amat panas. Apakah
tidak boleh kita guna cat, cermin, rekabentuk dan bahan
yang boleh mengalis panas? Jenis 'insulation' tentu
ada atau dapat dicipta supaya dalaman kereta tidak
begitu panas.
16. Biskut yang kita import dari Eropah biasanya rapuh
atau 'crispy' tetapi apabila tin dibuka dalam iklim
lembab kita, biskut menjadi lembik dan tidak sedap
dimakan. Sebaliknya ada makanan Malaysia seperti
muruku yang tidak menjadi lembik jika kita dedahkannya
kepada iklim yang lembab. Apakah caranya yang boleh
kita menangkis kelembapan supaya makanan seperti biskut
dan lain-lain tetap segar sepanjang masa? Apakah jenis
bungkusan yang diperlukan?
17. Kelembapan udara memang menjadikan kita tidak
selesa. Peluh di badan lambat kering, demikian juga
kain baju yang dijemur. Apakah kita tidak dapat
mengurangkan kelembapan di tempat-tempat tertentu,
umpamanya dalam stor untuk menyimpan barangan seperti
biskut. 'De-humidifier' adalah alatan yang sudah ada.
Apakah kita tidak boleh memperluaskan kegunaannya?
Umpamanya untuk mengering cili, buah-buahan, daging dan
ikan serta lain-lain. Sekarang ini atas permintaan
sebuah syarikat Malaysia, pencipta Korea sedang
mencipta alatan yang boleh membersih dan mengurangkan
lembapan udara, dan mungkin mendapat air sebagai hasil
sampingan.
18. Kebanyakan pencipta yang membuat 'research and
development' terdiri daripada orang bukan Islam. Orang
Islam memerlukan alatan tertentu supaya dapat mensuci
mengikut kehendak agama. Tetapi peralatan 'toilet' dan
lain-lain tidak mengambilkira keperluan orang Islam.
Penyelidik Islam perlu memberi perhatian kepada
peralatan-peralatan yang sesuai bagi orang Islam.
19. Penyelidikan jika dibuat hendaklah sistematik dan
saintifik. Dakwaan tentang kebaikan sesuatu yang
dicipta tidak harus dibuat sebelum ujian secara
sistematik dan saintifik. Demikian banyak ubat-ubatan
tradisional perlu melalui ujian yang sama dengan ujian
untuk ubat-ubatan moden. Mungkin ini akan memakan masa
yang panjang tetapi hasilnya lebih baik daripada
dakwaan yang dibuat tanpa ujian, hanya kerana kesan
dilihat secara sambil lalu sahaja.
20. Walaupun aktiviti-aktiviti R & D memerlukan
peruntukan yang besar, kita perlu melihatnya sebagai
satu pelaburan jangka panjang yang penting untuk
negara. Ini adalah kerana hasil daripada aktiviti-
aktiviti tersebut akan dapat digunakan untuk
meningkatkan daya saing barangan atau teknologi
keluaran Malaysia di pasaran tempatan mahupun
antarabangsa. Untuk memperkuatkan lagi tahap R & D
tempatan, kita perlu meningkatkan kekuatan negara di
bidang pembangunan tenaga manusia. Tenaga pekerja
termasuk keluaran universiti mestilah mempunyai
pelbagai kemahiran sebagai 'knowledge-workers' yang
sentiasa diperlukan oleh negara.
21. Kejayaan projek Koridor Raya Multimedia (MSC) yang
dipelopori oleh pihak Kerajaan semestinya memerlukan
golongan pekerja seperti ini. Sehubungan itu, setiap
universiti tempatan perlu memainkan peranan dengan
mengeluarkan graduan yang sentiasa relevan kepada
keperluan ini. Untuk tujuan ini, pihak universiti
bukan sahaja perlu berinteraksi dengan industri bahkan
perlu juga mengkaji dari masa ke masa kurikulum atau
program akademik yang disaji oleh fakulti-fakulti yang
berkaitan. Kita tidak ingin melihat para akademik
ketinggalan dengan perubahan-perubahan yang sentiasa
berlaku di peringkat industri. Jika ini berlaku,
khazanah ilmu di universiti tidak akan bertambah; dan
yang rugi adalah bakal graduannya. Di masa yang sama
budaya penyelidikan dan pembangunan mestilah diajar dan
disemai dalam hati tiap seorang daripada siswa-siswi
yang berminat dalam bidang penyelidikan.
22. Saya berharap industri tempatan dapat memberi
ruang kepada universiti untuk menjalankan kegiatan R &
D atau perundingan yang sesuai. Industri juga perlu
mempunyai sikap yang positif terhadap para akademik dan
tidak mengetepikan kepakaran mereka. Saya juga ingin
menggesa pihak industri supaya memberikan kerjasama
kepada universiti-universiti untuk menempatkan pelajar
bagi latihan amali atau praktikal yang memang
diperlukan. Kerjasama ini amat penting kepada setiap
pelajar supaya mereka berupaya mengaitkan teori dengan
amalan industri. Bagaimanapun, saya difahamkan masih
banyak syarikat yang enggan memberikan bantuan ini.
23. Daya usaha UKM bersama MTDC menubuhkan Pusat
Teknologi Pintar ini, akan dapat membantu UKM
meningkatkan lagi kecekapan dalam memindahkan teknologi
ciptaan ahli akademiknya kepada industri tempatan yang
berminat untuk mengkomersilkannya. Dengan menggunakan
kepakaran tempatan secara berterusan, sudah pasti kita
akan dapat memperbaiki dan meningkatkan keupayaan
teknologi kita dari masa ke masa tanpa bergantung
sepenuhnya kepada teknologi asing. Keupayaan ini memang
amat kritikal kerana ia akan dapat membantu industri
tempatan untuk menerokai dan bersaing di pasaran
antarabangsa.
24. Justeru itu, saya menyarankan syarikat tempatan
untuk merapatkan lagi hubungan dan kerjasama dengan
universiti-universiti tempatan bagi memanfaatkan hasil-
hasil penyelidikan dan khidmat kepakaran mereka.
Rakyat dan syarikat-syarikat tempatan perlu lebih yakin
akan kebolehan kita mencipta sesuatu yang baru dan
memberi peluang seluas-luasnya untuk mengguna hasil
kajian dan ciptaan barangan tempatan. Kesediaan
syarikat tempatan menggunakan hasil penyelidikan dan
ciptaan penduduk tempatan adalah sejajar dengan konsep
persyarikatan Malaysia yang kita amalkan.
25. Saya difahamkan masih banyak hasil penyelidikan
universiti tempatan yang tidak dapat dipindahkan atau
dikomersilkan dengan sebaiknya kepada syarikat swasta
disebabkan oleh pelbagai masalah seperti peraturan-
peraturan dalaman dan birokrasi, kekangan kewangan dan
sebagainya. Terdapat beberapa pihak yang masih belum
terbuka kepada perubahan-perubahan baru di sekeliling
kita. Mereka kurang menerima perubahan-perubahan
tersebut kerana apa sahaja perubahan di dalam sesebuah
masyarakat dianggap sebagai satu perkara yang sukar
ditangani lebih-lebih lagi perkara ini berkehendakkan
respons yang memerlukan kita berfikir secara strategik.
Walau bagaimanapun, kita mesti mencari jalan yang
terbaik supaya kekangan-kekangan yang saya nyatakan
dapat dikurangkan. Oleh itu, ketiga-tiga pihak iaitu
universiti, agensi pusat dan syarikat swasta perlu
mencari jalan penyelesaian yang inovatif dan proaktif
untuk menangani masalah-masalah tersebut.
26. Saya menyarankan UKM dan juga universiti-
universiti tempatan yang lain mengembangkan program-
program ijazah lanjutannya dengan mengambilkira
keperluan industri tempatan dan juga sektor-sektor yang
kini mengembang di negara ini. Memang tidak boleh
dinafikan bahawa program ijazah lanjutan yang teratur
dan baik mutunya akan juga menentukan pencapaian dan
hasil penyelidikan di sesebuah universiti. Bahkan
dalam beberapa bidang, kita tidak perlu lagi menghantar
pelajar-pelajar ijazah lanjutan ke luar negara kerana
saya percaya kita sudah mempunyai kemampuan. Kita juga
ingin melihat UKM dan universiti lain terus berkembang
dalam memajukan program ijazah masing-masing.
Menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan
pendidikan di rantau ini perlu dijadikan hala tuju
setiap universiti. Dengan cara ini juga, kita dapat
menarik lebih ramai pelajar dari luar negara. Tambahan
pula, kita tidak lagi mampu menghantar pelajar ke
universiti-universiti luar negara seperti yang kita
amalkan dahulu.
27. Saya difahamkan pada masa ini, UKM mempunyai kira-
kira 2,000 pelajar ijazah lanjutan bidang sains dan
teknologi dalam pelbagai disiplin yang diutamakan oleh
Kerajaan. Saya dimaklumkan UKM sedang berusaha untuk
mengukuhkan program-program ijazah lanjutan dan
penyelidikan dengan menubuhkan beberapa pusat
kecemerlangan yang memberi fokus kepada bidang-bidang
tertentu yang relevan kepada keperluan semasa. Usaha
ini perlu diteruskan dan jika perlu penubuhan pusat
kecemerlangan seperti Pusat Penyelidikan Bahan Termaju
UKM dapat diwujudkan yang melibatkan usahasama
Universiti dengan pihak swasta.
28. UKM dan MTDC, mahupun badan-badan lain mempunyai
peranan yang besar dalam membantu negara meningkatkan
prasarana teknologi yang boleh dimanfaatkan oleh
industri tempatan. Hubungan yang sedia terjalin di
antara UKM dan MTDC dengan pelanggan-pelanggan daripada
sektor swasta perlulah terus dipupuk melalui
perkhidmatan pelanggan yang cemerlang. Saya ingin juga
menegaskan bahawa Kerajaan amat menggalakkan dan ingin
menambahkan kerjasama penyelidikan di antara universiti
tempatan dengan syarikat-syarikat swasta seperti yang
kita saksikan hari ini.
29. Dengan harapan ini, saya dengan lafaz Bismillahir
rahmanir rahim melancarkan Pusat Teknologi Pintar UKM-
MTDC dengan rasminya.
|