Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : JALAN TUN RAZAK, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 15/09/99
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN ISTANA BUDAYA
Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan kerana menjemput
saya merasmikan Istana Budaya Kuala Lumpur pada hari
ini.
2. Bagi sesuatu bangsa dan negaranya, panggung utama
adalah lambang ketinggian seni dan budaya dalam tamadun
bangsa itu. Ia juga menyumbang kepada pemupukan seni
dan budaya serta perkembangannya supaya arus zaman
tidak menghilangkan warisan bangsa. Tanpa seni dan
budaya yang hidup subur, bangsa tidak akan mempunyai
makna.
3. Ini adalah oleh kerana yang menentukan identiti
bangsa bukanlah rupa paras, keturunan etnik atau warna
kulit. Yang memberi identiti kepada sesuatu bangsa
ialah seni dan budayanya yang menjadi sebahagian
daripada tamadun yang didirikan oleh bangsa itu.
4. Jika budaya ditakrifkan sebagai jumlah semua nilai
hidup yang dipegang dan diamalkan oleh sesuatu bangsa
maka budayalah yang akan menentukan maju mundurnya
sesuatu bangsa. Sebab itu manusia daripada keturunan
etnik yang sama tidak mencapai kemajuan yang sama.
Jika nilai yang dipegang dan diamal adalah tinggi,
iaitu ia tidak dikuasai oleh nafsu semata-mata, tetapi
nafsu dibendung dan disalurkan kepada kegiatan hidup
dan tingkahlaku yang mendatangkan faedah dan kebaikan,
maka bangsa itu dan tamadunnya akan maju dan kekal.
Sebaliknya jika nilai yang dipegang dan diamalkan
dikuasai sepenuhnya oleh nafsu, maka bangsa itu tidak
akan maju bahkan ia boleh hilang ditelan zaman.
5. Budaya sesuatu bangsa tidak statis tetapi ia
berubah secara tidak disedari atau secara dirancang.
Bangsa yang mempunyai tamadun yang tinggi dan dengan
itu maju boleh menjadi mundur apabila budaya bertukar
dan nilai-nilai hidup lebih dipengaruhi oleh nafsu.
Sejarah memperlihatkan banyak tamadun yang cemerlang
yang sudah hilang kerana bangsa berkenaan terlalu asyik
dengan keseronokan atau hedonisme kehidupan mewah dan
membelakangkan nilai-nilai hidup yang mulia.
6. Tetapi tidak semua daripada tamadun yang muncul di
dunia yang hilang daripada muka bumi ini. Sebabnya
ialah kerana pegangan yang kuat kepada budaya bangsa
yang membawa kepada kemajuan. Demikian juga bangsa
yang mundur boleh menjadi maju dengan menyerapkan nilai-
nilai yang mulia, sama ada secara sedar atau tidak
sedar ke dalam budayanya.
7. Pertukaran nilai-nilai hidup tidak semestinya
menghilangkan identiti bangsa. Dengan mengekalkan
warisan seni dan budaya dalam acara-acara tertentu
termasuk hiburan, maka identiti bangsa dapat
dikekalkan.
8. Orang Melayu dan bangsa-bangsa lain di Malaysia
adalah dalam proses peralihan budaya yang ketara.
Perubahan-perubahan dalam sistem nilai yang sedang
dibuat bertujuan meningkatkan kefahaman tamadun bangsa
dalam dunia yang pesat berubah dan bertukar. Budaya
bangsa yang lama dan usang tidak mampu mempertahankan
tamadun Melayu dan kaum-kaum lain daripada dimusnah
oleh bangsa dan tamadun yang lebih agresif.
9. Kita mendengar ramalan bahawa akan ada pertempuran
antara tamadun-tamadun di dunia. Sebelum ini berlaku
percubaan untuk mengembangkan apa yang cuba ditakrif
sebagai nilai-nilai sejagat -- 'universal values'.
Jika perkembangan ini berjaya maka dunia akan mempunyai
hanya satu tamadun sahaja. Dengan itu tidak akan ada
pertempuran antara tamadun.
10. Tetapi sudah tentu tamadun-tamadun yang lain
daripada tamadun Barat tidak rela dihapuskan.
Percubaan untuk mengekalkan tamadun bukan Barat akan
menyebabkan tentangan berlaku di antara tamadun di
dunia. Hasilnya belumlah dapat kita ramalkan.
11. Kita di Malaysia juga tidak ingin tamadun kita
dengan seni dan budayanya dihapuskan. Tetapi kita
perlu akui ada aspek-aspek tertentu yang menghalang
kemajuan kita; menjadikan kita lemah. Aspek-aspek ini
perlu dikenalpasti dan diganti dengan nilai-nilai
budaya yang boleh menyumbang kepada pembangunan bangsa
kita dan pengekalan tamadun kita.
12. Seni halus kita perlu dipupuk supaya apa juga
pertukaran nilai yang kita lakukan tidak akan
menghilangkan identiti kita. Seni kita tidak dikuasai
oleh nafsu tetapi oleh emosi yang menggerak perasaan
yang suci. Sebaliknya kita lihat kesenian moden Barat
lebih tertumpu kepada menyalakan nafsu. Tubuh badan
dan bahagian-bahagian tertentu didedah dengan sewenang-
wenangnya. Demikianlah usaha untuk memuaskan nafsu
sehingga hubungan seks di pentaskan tanpa segan silu.
13. Perbuatan ini dalam adegan yang dipertunjukkan di
atas pentas dan skrin mempengaruhi nilai hidup dalam
budaya Barat semasa. Apabila nafsu tidak dibendung,
maka nilai-nilai kehidupan harian menjadi kasar.
Perkataan-perkataan yang dianggap lucah dan kotor
dijadikan sebahagian daripada tutur-kata harian.
Dengan itu tamadun bangsa akan merosot, menjadi rendah
dan hina.
14. Kita tidak perlu meniru keruntuhan akhlak dan
nilai yang sedang melanda tamadun Barat. Kita perlu
mengekalkan nilai-nilai hidup yang secocok dengan
budaya kita. Di masa yang sama nilai-nilai yang
menyekat kemajuan kita perlu digugurkan atau dipinda
supaya bangsa kita akan dapat mencapai matlamat kita
untuk menjadi bangsa yang maju menjelang tahun 2020.
15. Istana Budaya yang tersergam indah yang kita
rasmikan pada malam ini dengan sendirinya, daripada
segi fizikal dan rohani, melambangkan pembangunan seni
dan budaya kita sehingga kini. Bentuk dan hiasannya
dibuat supaya mencerminkan warisan budaya serta seni
kita yang lama bersama-sama dengan perubahan yang telah
kita serapkan dengan pengaliran zaman. Ia boleh
menjadi inspirasi kepada kita semua dan kepada para
artis, penulis dan 'playwright' yang akan mengadakan
pertunjukan seni dan budaya kita dalam pelbagai bentuk,
sama ada di Istana Budaya ini atau di mana-mana sahaja.
16. Negara berbilang kaum ini mewarisi tiga tamadun
yang besar dan tua. Sudah tentu masing-masing telah
mempengaruhi seni dan budaya masing-masing. Ia berlaku
secara spontan tanpa disedari atau dirancang. Tidak
ada pertempuran tamadun di Malaysia. Sebaliknya
penerapan nilai-nilai hidup, seni dan budaya menjadikan
masyarakat Malaysia unik. Dalam kehidupan seharian
percampuran budaya ini dilihat sebagai perkara biasa.
17. Pementasan memberi peluang kepada para artis,
penulis dan 'playwright' menterjemahkan apa yang
berlaku dalam kehidupan seharian masyarakat berbilang
kaum Malaysia melalui cerita dan aksi yang bukan sahaja
akan menghibur tetapi juga mencuit perasaan dan
pemikiran. Artis dan penulis yang sensitif dan bijak
akan dapat menyampaikan mesej yang membina bagi
masyarakat. Sudah tentu mereka akan dapat menyumbang
kepada pembentukan nilai-nilai yang membina yang akan
memajukan bangsa.
18. Pengaruh pementasan tidak boleh dianggap ringan.
Budaya Barat, terutama British dahulu, banyak
terpengaruh dengan pementasan tulisan Shakespeare dan
'playwright' lain dari Perancis dan Rusia. Daripada
pementasan ini nilai hidup yang hina dan rendah dapat
dibandingkan dengan nilai hidup yang mulia dan tinggi.
Penonton dapat melihat bagaimana yang tinggi dan mulia
mengalahkan yang rendah dan hina. Dan ini sudah tentu
mempengaruhi gaya hidup penonton.
19. Tetapi pengaruh penulis lebih luas daripada itu.
Tulisan dibaca, dianalisa, dibincang dan diselidik oleh
pendidik dan penuntut sehingga pengaruh terhadap nilai
hidup dan budaya menjadi menyeluruh.
20. Adalah diharap penulis dan 'playwright' Malaysia
juga dapat berbuat demikian. Masyarakat berbilang kaum
kita perlu kepada panduan berkenaan dengan nilai-nilai
yang perlu dipegang dan diamalkan. Ia lebih kompleks
daripada masyarakat di England dan Eropah semasa
Shakespeare. Negara kita masih baru dan kesetiaan
kepada negara bukanlah perkara semulajadi. Yang
berasal dari sini berasa cemburu akan tanahairnya dan
tidak begitu rela ia dimiliki bersama oleh kaum
daripada keturunan pendatang. Sebaliknya kaum daripada
keturunan pendatang masih merasai kesan budaya warisan
daripada negara asal mereka. Namun kita semua berada,
bermastautin di negara tercinta ini. Apakah dapat kita
pupuk perasaan kasih yang tidak berbelah bagi kepada
negara ini sehingga dapat kita bendung, jika tidak pun
kita lupakan asal usul kita? Dapatkah penulis dan
'playwright' kita memandu rakyat berbilang kaum
Malaysia supaya ketaatan dan kesetiaan mereka tidak
berbelah bagi, tidak dipengaruhi terlalu sangat dengan
perasaan cemburu terhadap hak masing-masing?
21. Apakah dapat kita bentuk budaya yang semakin sama
serupa supaya perbezaan keturunan kita tidak terlalu
merenggangkan kita, tidak terlalu mempengaruhi sikap
dan gerak-geri kita terhadap keturunan lain? Ini
menjadi satu cabaran besar bagi penulis dan
'playwright' kita.
22. 'Trend' di Barat sekarang adalah ke arah realiti,
kebenaran atau apa yang dianggap sebagai realiti.
Segala nilai-nilai yang mulia, segala bendungan
terhadap nafsu dianggap tidak mencerminkan sifat yang
sebenar yang ada pada mereka. Di sebalik sifat-sifat
yang baik yang dipamerkan kepada masyarakat terdapat
perasaan, niat dan perlakuan yang buruk dan hina.
Kepentingan diri sebenarnya lebih utama daripada
keprihatinan terhadap orang lain dan masyarakat.
23. Orang yang baik sebenarnya tidak baik. Dalam
hatinya terdapat segala perasaan yang jahat, yang
dipengaruhi oleh nafsunya. Apa perlunya perasaan yang
sebenar ini disembunyikan? Apa perlunya nafsu
dibendung? Jika seseorang itu ikhlas kepada masyarakat
dan kepada dirinya, maka ianya harus mempamerkan
dirinya yang sebenar. Segala nilai yang mulia dan
tinggi yang dipegang olehnya dan oleh masyarakat tidak
sebenarnya menjadi nilai hidup sesiapa.
24. Penulis dan 'playwright' Barat sebagai pemerhati
perlu mendedahkan kebenaran tanpa takut, tanpa segan-
silu. Maka bermulalah proses 'debunking' segala yang
baik dan mulia dalam masyarakat. Melalui karikatur dan
satira dalam penulisan dan pementasan hipokrasi
masyarakat didedah, ditelanjangkan.
25. Tamadun yang matang dan tua mampu menangani
pendedahan ini tanpa kecederaan yang besar. Asas-asas
tamadun dapat diteruskan walaupun hakisan tetap akan
berlaku. Tetapi tamadun yang tua dan matang pun, jika
diserang berterusan dengan kritis yang tidak membina
melalui tulisan dan pementasan serta pelbagai cara lain
akhirnya akan lumpuh juga. Pembendungan nafsu akan
dikurangkan dan akhirnya dihentikan sama sekali.
Segala-gala yang dianggap buruk diamalkan. Nilai
bertukar sehingga menjadi terbalik dengan yang baik
menjadi buruk dan yang buruk menjadi baik.
26. Demikian kita lihat sekarang tamadun Barat sudah
gugur segala sekatan terhadap ekspresi atau curahan
perasaan dan nafsu. Institusi perkahwinan dan keluarga
diganti dengan 'free sex' dan tafsiran keluarga yang
tidak ada kaitan dengan perkahwinan yang sah.
Bersekedudukan menjadi amalan biasa. Apa perlunya
lelaki berkahwin dengan perempuan? Jika lelaki ingin
berkahwin dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan
apa salahnya? Jika nafsu mendorong ke arah itu, apa
perlunya nafsu dibendung?
27. Manusia perlu bebas daripada segala budaya ciptaan
manusia. Manusia tidak harus mengikut konvensyen.
Sebaliknya individu perlu buat apa yang dikehendaki
atau disukai olehnya -- 'doing your own thing'.
Pakaian, tingkahlaku, moral, bahasa -- semuanya boleh
ditentukan sendiri. Jika berasa untuk memuaskan nafsu,
lakukan sahajalah. Jika berasa untuk menggunakan
perkataan kotor, mencarut dan sebagainya, kenapa harus
akur kepada budaya masyarakat? -- gunakanlah sesuka
hati. Itu adalah keikhlasan yang mencerminkan perasaan
yang sebenar.
28. Akhirnya akan hancur dan luputlah tamadun yang
matang dan tua. Sudah banyak daripada tamadun lama
yang sudah tidak ada lagi.
29. Jika tamadun yang matang dan tua pun boleh hancur
apatah lagi yang muda dan masih rapuh. Jika awal-awal
lagi sudah muncul sikap sinis dalam tamadun yang baru,
ia tidak akan lama berterusan.
30. Sementara kita di Malaysia patut mengikut 'trend',
tetapi kita juga perlu berhati-hati. Penulis dan
'playwright' yang boleh memainkan peranan dalam
pembentukan budaya bangsa, yang boleh mengembang kepada
tamadun kita perlu merenung terhadap agenda yang hendak
dilaksanakan. Apakah kita sudah cukup matang dan tua
dan sudah bosan dengan hipokrasi dalam masyarakat kita,
sehingga kita perlu menggantikan hipokrasi budaya baik
dengan budaya yang sebenar, budaya yang mencerminkan
hati kecil kita, keinginan kita yang sekian lama
terpaksa kita bendung? Apakah sudah sampai masanya
untuk kita runtuhkan budaya kita tanpa mengira apa yang
akan menyusulinya? Betulkah kita semua hipokrit
apabila kita menyatakan kesetiaan kita kepada negara
sendiri, kepada bangsa kita? Betulkah segala
ketertiban dan pembendungan nafsu yang kita amalkan
sekarang menjadikan kita bangsa yang kolot dan
ketinggalan zaman?
31. Istana Budaya ini dibangunkan oleh Kerajaan tetapi
ia bukan milik Kerajaan. Ia adalah milik mereka yang
akan menggunanya untuk mementaskan tafsiran dan
terjemahan budaya bangsa, budaya yang menjadi
sebahagian daripada tamadun kita yang muda dan rapuh.
Kita masih dalam proses membentuk tamadun kita dan
penulis serta 'playwright' akan menyumbang melalui
pementasan akan bentuk dan corak budaya kita serta
perubahan yang perlu dibuat. Saya berharap sumbangan
Kerajaan kepada usaha membangunkan seni budaya dan
seterusnya peradaban dan tamadun kita akan menghasilkan
sesuatu yang menjayakan bangsa dan negara kita.
32. Dengan harapan dan dengan doa bahawa sesuatu yang
baik bagi bangsa dan negara kita akan diperolehi, saya
dengan sukacitanya merasmikan Istana Budaya yang
tersergam indah ini.
|