Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	23/09/99 
Tajuk/Title  	: 	ISTIADAT PERTABALAN SERI PADUKA 
			BAGINDA YANG DI-PERTUAN 
			AGONG YANG KE-11 


   
  
       Dengan  segala  hormat  dan penuh  takzimnya  pihak
  Kerajaan,  pegawai  dan  kakitangan  Perkhidmatan   Awam
  serta  seluruh  rakyat  Malaysia  mengucapkan  setinggi-
  tinggi  tahniah kepada Tuanku sempena pertabalan  Tuanku
  sebagai  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong  Yang
  Kesebelas  pada hari ini. Setinggi-tinggi  tahniah  juga
  diucapkan kepada Tuanku Siti Aishah sebagai Seri  Paduka
  Baginda  Raja  Permaisuri Agong.  Semoga  Tuanku  berdua
   dilanjutkan  usia serta dilimpahkan rahmat  dan  hidayah
  oleh Allah Subhanu wa Ta'ala.
  
  2.    Alhamdulillah, negara kita terus berada  di  dalam
  keadaan  aman,  maju dan makmur. Walaupun  negara  telah
  dilanda  kegawatan ekonomi sejak bulan Julai  1997  yang
  mendatangkan   kesan   negatif   yang   teruk   terhadap
  pertumbuhan  ekonomi negara,  namun  usaha  dan  langkah
  yang  diambil  oleh  Kerajaan untuk  memulihkan  ekonomi
  negara  telah menunjukkan kejayaan. Kini ekonomi  negara
  terus   mengalami   pemulihan   yang   kukuh   sementara
  keyakinan  para  pelabur  termasuk  para  pelabur  asing
  terus  meningkat.  Kerajaan  yakin  dengan  usaha   yang
  bersungguh-sungguh  dan  lebih  gigih  serta   kerjasama
  semua  lapisan rakyat, ekonomi negara akan dapat dipulih
  sepenuhnya dengan lebih awal, Insya Allah.
  
  3.    Langkah  kawalan  modal  yang  diperkenalkan  pada
  bulan   September  tahun  lalu  telah  berjaya  menyekat
  pedagang   matawang  asing  daripada  terus  menjatuhkan
   nilai  ringgit  dan menghancurkan ekonomi  negara  kita.
  Manakala, langkah-langkah lain seperti menurunkan  kadar
  faedah  pinjaman  dan  menambahkan  kecairan  di   dalam
  sistem   perbankan   telah  berjaya  merangsang   semula
  pertumbuhan ekonomi negara.
  
  4.    Walaupun terdapat ramalan daripada pelbagai  pihak
  bahawa  ekonomi  negara akan mencapai pertumbuhan  lebih
  tiga  peratus pada tahun ini,  jangkaan Kerajaan  adalah
  konservatif  iaitu  pada kadar satu  peratus.   Kejayaan
  negara memulihkan ekonomi sehingga hari ini adalah  juga
  disebabkan   berkat  kepercayaan  dan  sokongan   rakyat
  terhadap langkah-langkah radikal yang diambil Kerajaan.
  
  
  5.    Sokongan  padu  ini membolehkan  Kerajaan  memberi
  tumpuan  penuh  terhadap  usaha  pemulihan  ekonomi   di
  samping  menggalakkan  pelaburan  dari  dalam  dan  luar
  negara.   Kerajaan  mahu  melihat  sektor  swasta  dapat
  memainkan  peranan  yang lebih aktif  bagi  meningkatkan
  kegiatan   perniagaan  dan  perusahaan   mereka   supaya
   ekonomi negara dapat tumbuh semula seperti dahulu.
  
  6.     Sesungguhnya   perpaduan  dan   persefahaman   di
  kalangan  rakyat  juga  semakin  erat.   Nyata   sekali,
  kegawatan  ekonomi  telah  menyedarkan  rakyat   tentang
  pentingnya  mengekalkan keharmonian dan perpaduan  kaum.
  Dasar  Ekonomi Baru yang bertujuan mengagihkan  kekayaan
  negara  kepada  Bumiputera  dengan  mengembangkan  'kek'
  ekonomi  negara   tanpa  merampas  hak  kaum-kaum  lain,
  telah  berjaya  mengelak tercetusnya  pergaduhan  antara
  kaum    yang    disebabkan    ketidakseimbangan    tahap
  pencapaian  ekonomi.  Berbanding  negara  lain   konflik
  perkauman tidak wujud di negara kita.
  
  7.    Rakyat  berlainan keturunan, agama,  budaya,  adat
  resam  dan  bahasa yang bersikap toleran dan menghormati
  antara  satu  sama lain merupakan kunci kejayaan  negara
  yang  boleh dibanggakan. Perpaduan ini merupakan  faktor
  penting   yang  membolehkan  Kerajaan  terus  menumpukan
  usaha membangunkan negara.
   
  8.    Dalam kita menghadapi abad dan alaf baru yang akan
  tiba  beberapa bulan lagi, Kerajaan telah membuat banyak
  persediaan  yang  rapi  agar  rakyat  dan  negara  dapat
  menempuhnya dengan penuh yakin dan berani.
  
  9.    Pembinaan  Pusat Pentadbiran Kerajaan  Persekutuan
  baru  di  Putrajaya dan kawasan pembangunan,  perusahaan
  dan  penyelidikan teknologi maklumat bertaraf  dunia  di
  Cyberjaya  adalah dua strategi Kerajaan untuk  memajukan
  pentadbiran  negara  dan  memperlengkapkan  rakyat  kita
  dengan  ilmu  yang  canggih bagi mengharungi  alaf  baru
  yang   lebih   sofistikated  dan  penuh  cabaran   serta
  persaingan.
  
  10.    Dalam  hal  agama,  Kerajaan  Tuanku  akan  terus
  mendokong  Islam sebagai agama rasmi negara  di  samping
  menjamin   kebebasan  beragama  bagi   penganut-penganut
  agama  lain.  Kerajaan akan meneruskan usaha  menerapkan
  nilai-nilai  Islam di dalam pentadbiran negara.  Setakat
  ini  kejayaan  negara  di  dalam menerapkan  nilai-nilai
   Islam   di   dalam  pentadbiran  seperti  memperkenalkan
  sistem  perbankan  Islam, insurans Islam  dan  lain-lain
  telah  menjadi  contoh dan diiktiraf oleh  negara-negara
  Islam lain di dunia.
  
  11.    Kerajaan  akan  terus melindungi  dan  menentukan
  agar  kesucian agama Islam tidak tercemar dan diseleweng
  oleh   mana-mana  pihak  semata-mata  untuk  kepentingan
  mereka  baik  politik mahupun peribadi kerana  ia  boleh
  memecah-belahkan umat Islam dan melemahkan mereka.
  
  
  12.   Dalam  hubungan luar, negara akan terus  memainkan
  peranan   aktif   di  dalam  mempertingkatkan   hubungan
  kerjasama  dengan  semua negara di  dunia.  Negara  juga
  akan  terus menumpukan kerjasama istimewa dengan negara-
  negara  membangun  dan  meningkatkan  hubungan  Selatan-
  Selatan.  Di  samping  itu, usaha meningkatkan  aktiviti
  ekonomi   akan   diteruskan  dengan  rakan   perdagangan
  tradisi   menerusi  penggalakkan  pengaliran   pelaburan
  asing  masuk  ke  dalam negara. Walaupun  negara  adalah
   komited   dan   menyokong  konsep  pasaran   bebas   dan
  globalisasi,   namun  Kerajaan  tidak  akan   membiarkan
  konsep   ini   disalahgunakan  oleh  pihak  yang   tidak
  bertanggungjawab   untuk   merosak   dan   menghancurkan
  ekonomi negara kita.
  
  13.   Sehubungan itu, Kerajaan akan terus berusaha untuk
  menggunakan   forum   antarabangsa   untuk   menyedarkan
  masyarakat  dunia  tentang bahaya konsep  pasaran  bebas
  dan perniagaan matawang yang tidak dikawal.
  
  14.   Sempena  hari bersejarah dan mulia  ini,  Kerajaan
  serta  pegawai-pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam,
  sektor   swasta  dan  rakyat  sekelian  ingin  mengambil
  peluang  ini untuk menyampaikan ikrar taat setia  kepada
  Tuanku  dan  Raja  Permaisuri Agong  dan  berdoa  semoga
  Tuanku    dapat    memberi    khidmat    dengan    penuh
  tanggungjawab,   adil,  bijaksana  dan  berwibawa   demi
  kemajuan,   kemakmuran  dan  kesejahteraan  negara   dan
  rakyat.
  
  15.   Semoga Allah Subhanu wa Ta'ala, Yang Amat Pengasih
   dan  Penyayang melanjutkan usia Tuanku berdua dan semoga
  Tuanku berada di dalam keadaan sihat walafiat.
  

 
 



 
Google