Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL PALACE OF THE GOLDEN HORSES, 
			SG. BESI, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	05/11/99 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM PERSATUAN 
			PERKHIDMATAN TADBIR DAN
			DIPLOMATIK (PPTD) 1999 


     
  
       Terlebih  dahulu  saya  ucap  terima  kasih  kepada
  Presiden  dan  Ahli-ahli Jawatankuasa  PPTD  yang  telah
  menjemput saya ke Majlis ini.
  
  2.    Bagi  saya majlis seperti ini amat penting  kerana
  jarang  sekali  kita  dapat  bertemu  di  luar  daripada
  pengurusan tugas-tugas kita masing-masing.  Sudah  tentu
  tidak  ramai yang dapat bertemu, jauh sekali  membincang
  berkenaan  dengan  hal-hal  lain  selain  daripada  yang
  khusus  berkenaan  dengan  urusan  kerja.   Keadaan  ini
   tidak  begitu  sihat  kerana pegawai  sebagai  pelaksana
  dasar,  rancangan dan urusan Kerajaan yang dipilih  oleh
  rakyat  perlu  tahu akan latar belakang dan  sebab-sebab
  sesuatu   keputusan  dan  pendekatan  Kerajaan.    Tanpa
  pengetahuan  ini maka pelaksanaan mungkin menjadi  tidak
  sempurna   dan   mungkin  tidak  mencapai   matlamatnya.
  Keadaan  akan menjadi lebih rumit apabila tafsiran  yang
  dibuat   tidak  tepat  atau  pihak-pihak  lain   membuat
  tafsiran yang berlainan kerana sebab-sebab tertentu.
  
  3.    Alhamdulillah, sejak kita merdeka 42 tahun dahulu,
  negara kita telah dapat dibangunkan dengan pesat.   Hari
  ini  negara  kita  amat berlainan daripada  negara  yang
  miskin  yang  amat kekurangan prasarana asas  yang  kita
  warisi   apabila  kita  merdeka.   Demikianlah  kemajuan
  negara  kita  sehingga ianya sekarang  dianggap  sebagai
  negara  yang  termaju  antara  negara-negara  membangun,
  terutama  negara-negara yang pernah dijajah  dahulu  dan
  mencapai  kemerdekaan semasa kita mencapai  kemerdekaan.
   Di  kawasan-kawasan  tertentu  seperti  ibu  kota  Kuala
  Lumpur  kemudahan  dan pembangunannya  dianggap  setaraf
  dengan negara-negara maju.
  
  4.    Kemajuan  dan  pembangunan yang  pesat  ini  tidak
  terjadi   dengan  sendirinya.   Banyak  pihak   terlibat
  dengan  prestasi ini.  Kepimpinan hanyalah satu daripada
  faktor   yang  memain  peranan.   Rakyat  yang  bersikap
  sederhana,  yang  cintakan  keamanan,  yang  faham  akan
  selok-belok  demokrasi  dan  kuasa  yang  dimiliki  oleh
  rakyat dalam demokrasi adalah juga fakta yang penting.
  
  5.    Kecekapan  rakyat  dalam  bidang  perdagangan  dan
  perusahaan  juga  menyumbang kepada  pembangunan  negara
  ini.   Mereka  menterjemahkan  sumber  asas  dan  tenaga
  manusia   kepada  kekayaan,  yang  mana   kekayaan   ini
  menyumbang  pula kepada kewangan Kerajaan.   Dengan  itu
  dapatlah  kita  dirikan pentadbiran yang diberi  layanan
  dan upahan yang berpatutan.
  
  6.    Tetapi  semua  ini  tidak akan  berjaya  memajukan
   negara  jika  jentera  pentadbiran lemah,  tidak  cekap,
  tidak  jujur dan tidak berdisiplin.  Kita semua,  rakyat
  keseluruhannya  perlu  bersyukur  kerana   di   Malaysia
  jentera  pentadbiran mampu, dengan sifat-sifat yang  ada
  padanya,  mengurus urusan pembangunan negara ini  dengan
  baik dan berhasil.
  
  7.    Jentera  pentadbiran  yang  kita  warisi  daripada
  British  memang  baik  susunannya.   Tetapi  ia   adalah
  diasaskan  kepada  sistem 'elitist'  yang  mana  pegawai
  Kerajaan  menjadi  satu kasta yang tinggi  dan  terasing
  daripada  rakyat.  Asas ini tidak sesuai  dengan  negara
  yang mengamalkan demokrasi yang mana rakyat berkuasa  ke
  atas  Kerajaan.   Mungkin peranan rakyat  dianggap  amat
  terhad,  hanya  berkuasa  mengundi  dan  memilih   wakil
  mereka  lima  tahun  sekali.   Tetapi  hakikatnya  ialah
  mereka  berkuasa menaikkan sesiapa yang mereka suka  dan
  menjatuhkan  sesiapa yang mereka tidak  suka.   Kerajaan
  yang  tidak melayan kehendak rakyat tidak akan  mendapat
   sokongan  mereka,  tidak  akan dapat  menjadi  Kerajaan,
  tidak  akan  dapat  melaksanakan segala  rancangan  yang
  mereka cipta untuk negara.
  
  8.    Untuk  melayan  kehendak rakyat  sistem  'elitist'
  pentadbiran British tidak lagi dapat digunakan.
  
  9.    Justeru itu, sistem pentadbiran Malaysia  terpaksa
  diubah  supaya  ianya  dapat berinteraksi  dengan  lebih
  rapat  dengan rakyat di samping menyumbang khidmat  yang
  lebih  berkesan  dan secara langsung dalam  melaksanakan
  dasar-dasar dan rancangan-rancangan Kerajaan semasa.
  
  10.    Alhamdulillah,  pentadbiran  Malaysia  mampu  dan
  berjaya  mengubah pendekatan dan peranan supaya Kerajaan
  pilihan  rakyat  boleh memberi layanan  kepada  kehendak
  rakyat  dengan memuaskan.  Perubahan ini bukanlah  mudah
  kerana  ia memerlukan pertukaran sikap dan fahaman  akan
  peranan yang diperlukan daripada pegawai-pegawai.
  
  11.    Jentera   pentadbiran   Malaysia   juga   berjaya
  mengekalkan    profesionalismenya   dan   pengasingannya
   daripada   melibatkan   diri   dengan   peranan    pihak
  'legislative' iaitu terlibat dengan 'partisan'  politik.
  Pemisahan  ini  amat  penting kerana penglibatan  dengan
  'partisan'  politik akan menjejaskan  pelaksanaan  dasar
  dan    rancangan    Kerajaan    semasa.     Perkhidmatan
  pentadbiran  sedar bahawa jika ada pihak  antara  mereka
  menjadi  peserta  yang  aktif  dalam  memajukan  politik
  pembangkang,  perkara  yang sama boleh  berlaku  apabila
  pembangkang  pula  menjadi Kerajaan kerana  sudah  tentu
  pegawai   yang   memihak  kepada  parti  Kerajaan   yang
  dikalahkan  akan  cuba secara aktif  menggagalkan  dasar
  Kerajaan  baru.  Dengan ini jentera Kerajaan tidak  akan
  berkesan  walau  apa  pun parti yang  memerintah.   Yang
  menjadi mangsa ialah negara dan rakyat.  Apabila  negara
  tidak   dapat  dibangunkan  maka  pentadbir  juga   akan
  menerima  padahnya.   Sebab  itu  sikap  profesionalisme
  pentadbiran  amat  penting  iaitu  siapa  juga   menjadi
  Kerajaan,  pentadbiran  perlu melaksana  dan  menjayakan
   segala  rancangan  dan dasar yang dibawa  oleh  Kerajaan
  itu.    Pendirian  peribadi  dan  persendirian  mengenai
  politik   tidak  boleh  diambilkira  atau   mempengaruhi
  pelaksanaan keputusan Kerajaan semasa.
  
  12.    Berjayanya  Malaysia  dibangunkan  dengan   pesat
  membuktikan bahawa umumnya pentadbir di Malaysia  memang
  pun  bersikap  profesional.  Jika  ada  pun  yang  tidak
  profesional  bilangan mereka adalah amat  kecil  sekali.
  Saya  percaya pentadbir di Malaysia akan terus  bersikap
  profesional demi kebaikan negara dan kita semua  sebagai
  warganegara negara tercinta ini.
  
  13.   Seperti  dengan  negara-negara  lain  kita  sering
  menghadapi  krisis.  Adakalanya kita  menghadapi  krisis
  politik,   adakalanya  ekonomi  dan  adakalanya   krisis
  pentadbiran   sendiri.   Semasa  krisis   peranan   yang
  dimainkan  oleh  pentadbir menjadi lebih penting,  lebih
  kritikal.    Jika  pentadbir  tidak  cekap  atau   tidak
  sanggup  berkorban untuk menangani masalah  mereka  maka
   sudah  tentu krisis tidak akan dapat diatasi.  Kegagalan
  ini  tetap  akan  menjejaskan pembangunan  dan  kemajuan
  negara.
  
  14.   Baru-baru ini sepertimana kita semua maklum negara
  kita  telah  mengalami  kegawatan ekonomi  dan  kewangan
  apabila   pedagang  matawang  tiba-tiba  menyerang   dan
  menjatuhkan   nilai   matawang  kita.    Apabila   nilai
  matawang  kita jatuh berbanding dengan matawang  Amerika
  yang  kita  guna  untuk membayar barangan  import,  maka
  kita  terpaksa  mengguna  lebih banyak  Ringgit  apabila
  membeli barang-barang seperti gula, tepung, susu,  ubat-
  ubatan  dan  sebagainya.   Oleh kerana  bekalan  Ringgit
  kita  tidak  bertambah  maka kita  tidak  dapat  membeli
  sebanyak  dahulu.   Pendapatan rakyat  juga  tidak  lagi
  dapat  menampung keperluan hidup seperti dahulu.  Dengan
  perkataan  lain  kita  menjadi  miskin  kerana  pedagang
  matawang menjatuhkan nilai tukaran Ringgit kita.
  
  15.    Di  masa  yang  sama  spekulator  pasaran   saham
   menjatuhkan   nilai   saham   syarikat-syarikat    kita.
  Pemilik  saham  yang  berhutang  dengan  mengguna  saham
  sebagai  cagaran  mendapati nilai cagaran  mereka  lebih
  rendah  daripada hutang.  Bank meminta cagaran ditambah.
  Apabila  ini  tidak  dapat dibuat  maka  hutang  menjadi
  lapuk.   Syarikat  akan muflis dan bank  juga  mengalami
  kerugian.
  
  16.   Banyaklah  lagi kesan yang buruk ke  atas  ekonomi
  dan  kewangan  negara yang disebabkan pedagang  matawang
  dan  spekulator saham menjatuhkan dengan sengaja  nilai-
  nilai wang dan saham kita.
  
  17.   Kegawatan ekonomi dan kewangan yang berlaku  boleh
  memaksa   kita  meminta  pinjaman  daripada  Dana   Wang
  Antarabangsa.    Jika  kita  pinjam  maka  syarat-syarat
  tertentu  akan  dikenakan  termasuk  menghapuskan  Dasar
  Ekonomi  Baru, membuka bidang 'banking', perniagaan  dan
  perusahaan  kepada  penyertaan orang  asing  tanpa  had,
  membenarkan   mereka   mengambilalih   seratus   peratus
  khidmat   Kerajaan  yang  diswastakan  dan  menghapuskan
   sekatan-sekatan  lain  untuk  menentukan  ekonomi   kita
  dikuasai  oleh  kita.  Adalah jelas  ini  bermakna  kita
  tidak  lagi  berkuasa ke atas ekonomi kita.  Lambat-laun
  orang   asing   akan   menguasai  politik   kita   pula,
  menentukan  siapa  yang  akan  menjadi  Kerajaan  negara
  kita.
  
  18.    Kerajaan  berpendapat  bahawa  kita  tidak  boleh
  meminta  pinjaman  daripada  IMF.   Mungkin  ini  adalah
  keputusan  yang baik tetapi ia hanya boleh  dibuat  jika
  keadaan dalam negara mengizinkan.
  
  19.   Antara  keadaan yang penting yang akan mengukuhkan
  ketahanan   negara  ialah  ketenteraman  sosial.    Jika
  rakyat  bertindak liar maka akan menjadi  sukarlah  bagi
  Kerajaan  mencari  cara  lain  bagi  mengatasi   masalah
  kegawatan.
  20.     Alhamdulillah,   rakyat   bertenang.     Jentera
  pentadbiran    tidak   menimbulkan   apa-apa    masalah.
  Walaupun  jelas  gaji  yang didapati  tidak  lagi  boleh
  membeli   sebanyak  dahulu,  walaupun   elaun   tertentu
   dihentikan,  walaupun  bonus  tidak  dibayar,   walaupun
  semakan   gaji  tidak  dibuat,  pegawai  dan  kakitangan
  Kerajaan  di  semua  peringkat tidak  mengambil  apa-apa
  tindakan  perusahaan, bahkan tidak menuntut apa-apa  pun
  dan  menerima baik tindakan berjimat-cermat yang  dibuat
  oleh  Kerajaan.   Pegawai-pegawai PTD telah  menjalankan
  tugas  seperti  biasa  dan memberi kerjasama  yang  kuat
  kepada  Kerajaan.   Ramai  yang  menjalankan  tugas  dan
  tanggungjawab tambahan untuk membekal MTEN dengan  cukup
  maklumat  dan  sokongan supaya MTEN dan  Kerajaan  dapat
  meneliti   perkembangan  ekonomi  dan   kewangan   untuk
  mencari   jalan   yang  baik  bagi   mengatasi   masalah
  kegawatan.
  
  21.   Berkat  sokongan ini dan ketenteraman pegawai  dan
  kakitangan  Kerajaan  maka  dapatlah  Kerajaan  mencipta
  pendekatan  kita sendiri bagi mengatasi  kegawatan  yang
  melanda negara kita.  Saya ingin merekod di sini  ucapan
  terima  kasih dan penghargaan Kerajaan kerana PTD  tidak
   sedikit  pun  mengganggu Kerajaan semasa  merancang  dan
  melaksanakan tindakan pemulihan ekonomi negara.
  
  22.   Kita  semua harus bersyukur kerana  tidak  seorang
  pun  daripada  pegawai  atau  kakitangan  Kerajaan  yang
  terpaksa  diberhentikan  di  negara  ini  seperti   yang
  berlaku   secara  besar-besaran  di  negara  lain   yang
  diserang oleh pedagang matawang dan spekulator saham.
  
  23.   Hasil daripada sikap bertanggungjawab semua pihak,
  terutamanya  pegawai  dan kakitangan  Kerajaan,  ekonomi
  kita  sudah  mula  pulih.  Insya-Allah dengan  pemulihan
  ini  kita  berharap bukan sahaja dapat  kita  kembalikan
  segala  elaun dan kemudahan yang dinikmati oleh pegawai-
  pegawai PTD sebelum ini tetapi kita akan dapat beransur-
  ansur memulihkan daya beli atau 'purchasing power'  gaji
  dan elaun semua pihak.
  
  24.    Proses   membangun  negara   kita   sehingga   ia
  menjadikan   negara  maju  akan  diteruskan.    Pegawai-
  pegawai  PTD  akan  memainkan peranan yang  besar  dalam
   proses  ini.   Saya penuh yakin akan kebolehan  pegawai-
  pegawai  PTD,  terutama dalam menguasai sistem  Kerajaan
  Elektronik,  supaya  proses pencapaian  kemajuan  negara
  akan   berjalan   dengan  cepat  dan   lancar.    Dengan
  kesanggupan  pegawai PTD menguasai teknik dan  teknologi
  baru,   ketahanan  dan  kebolehan  negara   akan   dapat
  dinaikkan.   Segala cabaran masa depan akan  dapat  kita
  tangani bersama dengan jayanya, Insya-Allah.
  
  25.   "Malaysia Boleh" bukan slogan kosong.  Kita  telah
  buktikan   berkali-kali  kebolehan  kita.   Dan   antara
  kebolehan  kita ialah mendirikan pentadbiran yang  cekap
  dan   mampu   menangani  sebarang  krisis   di   samping
  membangunkan  negara.  Pentadbiran  negara  kita  adalah
  pentadbiran  yang  profesional, yang  menjalankan  tugas
  mengikut    prinsip-prinsip    demokrasi    berparlimen.
  Pemisahan  antara 'partisan' politik dengan  pentadbiran
  didukung   tinggi.   Dengan  itu  siapa   juga   menjadi
  Kerajaan  boleh  yakin yang dasar serta  rancangan  yang
   dibentuk  oleh  Pemerintah semasa akan dilaksana  dengan
  cekap dan jujur oleh pentadbir.
  
  26.   Saya  percaya prinsip dan amalan ini akan dipegang
  terus  oleh  PTD  supaya pemerintahan negara  ini  tidak
  akan terjejas jika ada pertukaran Kerajaan.
  
  27.   Ucapan  saya  ini  agak serius  dan  mungkin  akan
  mengurangkan  selera  tuan-tuan  dan  puan-puan.    Saya
  harap kesan terhadap selera tidak terlalu sangat.
  
  28.   Sekali lagi saya ucap terima kasih kepada  seluruh
  anggota  PTD  yang  telah memberi sokongan  kuat  kepada
  Kerajaan  dan sanggup berkorban semasa kegawatan.   Saya
  juga  ucap terima kasih kerana jemputan ke majlis  makan
  malam  ini.   Saya berdoa kita semua memperolehi  banyak
  manfaat  daripada  hasil  kerjasama  dan  khidmat   kita
  bersama.   Insya-Allah dengan pemulihan ekonomi  negara,
  kita akan perolehi banyak ganjaran daripadanya.
  
  
 

 



 
Google