Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SRI PERDANA, PUTRAJAYA
Tarikh/Date : 22/11/99
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM UNTUK MERAIKAN
TUAN YANG TERUTAMA ZHU
RONGJI PERDANA MENTERI REPUBLIK
RAKYAT CHINA (RRC)
Adalah menjadi satu penghormatan bagi saya dan
isteri saya untuk mengalu-alukan Tuan Yang Terutama dan
isteri serta anggota-anggota rombongan ke Malaysia.
Saya amat gembira sekali kerana Tuan Yang Terutama dan
isteri berkesempatan sekali lagi untuk melawat Malaysia
selepas perlantikan Tuan Yang Terutama sebagai Perdana
Menteri Republik Rakyat China. Masih lagi terbayang
dengan jelas pertemuan kita yang sangat berhasil di
Beijing pada bulan Ogos yang lalu serta layanan mesra
yang telah diberikan kepada saya dan rombongan saya.
Tidak syak lagi lawatan ini juga akan memberi peluang
sekali lagi kepada kita untuk bertukar-tukar pendapat
mengenai isu-isu kepentingan bersama kedua-dua buah
negara.
2. Sejak terjalinnya hubungan selama 25 tahun yang
lalu, banyak kemajuan telah dicapai di dalam hubungan
dua hala di antara Malaysia dan Republik Rakyat China
(RRC). Adalah penting usaha bersepadu dibuat untuk
terus membina kemajuan ini bagi meningkatkan kerjasama
dua hala di dalam semua bidang. Saya yakin lawatan
Tuan Yang Terutama akan dapat banyak menyumbang ke arah
mencapai objektif ini.
3. Malaysia telah mengadakan 10 Perjanjian dan
Memorandum Persefahaman (MOU) dengan RRC. Sesungguhnya
amat menggembirakan sekali kerana lawatan Tuan Yang
Terutama ini dapat menyaksikan upacara menandatangani
satu lagi Perjanjian, satu MOU dan satu pengaturan
(arrangement) di antara kedua-dua negara, iaitu:-
(i) Perjanjian Kebudayaan;
(ii) MOU di antara Bank Negara Malaysia dengan
People's Bank of China; dan
(iii)Pengaturan mengenai pertukaran binatang.
4. Malaysia sangat gembira bahawa hubungan ekonomi di
antara kedua-dua negara, terutamanya di dekad yang
terakhir ini, telah berkembang maju baik daripada segi
bidangnya atau jumlahnya. Nilai perdagangan dua hala
kita dalam empat tahun lalu telah meningkat kepada
RM15.1 billion pada tahun 1998, sejajar dengan kemajuan
dan perkembangan kerjasama dua hala dan hubungan
ekonomi. Kini, Malaysia merupakan rakan perdagangan
kedua terpenting RRC di kalangan negara ASEAN manakala
RRC pula merupakan rakan perdagangan Malaysia yang ke
sebelas terbesar. Pelaburan dua hala juga menampakkan
kemajuan yang menggalakkan. Malaysia kini merupakan
pelabur terbesar kedua di kalangan negara ASEAN di RRC.
Pelaburan RRC di Malaysia, walaupun kecil, tetapi
memperlihatkan kemajuan. Kami menghargai keputusan
pihak RRC untuk turut terlibat di dalam projek kertas
dan palpa di Sabah. Saya difahamkan projek ini yang
bernilai RM4.3 bilion adalah pelaburan terbesar RRC di
rantau ini. Kami berharap lebih banyak lagi syarikat
RRC akan cuba meneroka peluang-peluang pelaburan yang
terdapat di Malaysia. Peluang untuk memperkembangkan
lagi bidang ekonomi di antara Malaysia dan RRC adalah
sangat luas. Sehubungan dengan ini, saya ingin menyeru
sektor-sektor perniagaan dari kedua-dua buah negara ini
berusaha mengambil pendekatan yang lebih agresif dalam
pemasaran dan promosi supaya dapat mengeksploit
sepenuhnya potensi dan peluang-peluang yang ada.
5. Hubungan di antara rakyat dengan rakyat kedua-dua
negara telah menunjukkan peningkatan sejak tahun-tahun
kebelakangan ini. Ini dapat dilihat dengan jelas di
bidang pelancongan dan pendidikan. Bagi memudahkan
lagi kemasukan pelawat-pelawat dan pelajar-pelajar RRC
ke Malaysia, kita telah memansuhkan dan membuat
beberapa pindaan kepada peraturan kemasukan yang
merumitkan serta mencadangkan penubuhan pejabat
Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai dan Kunming.
Saya yakin langkah-langkah ini bukan sahaja akan
membawa faedah ekonomi kepada kedua-dua pihak malah
dapat merapatkan lagi hubungan persahabatan di antara
Malaysia dan RRC.
6. Di peringkat serantau, saya amat gembira mendapati
bahawa hubungan RRC dengan negara-negara ASEAN terus
meningkat sepanjang masa. Kami sangat menghargai
sokongan RRC, sebagai rakan dialog penuh ASEAN dan
anggota Forum Serantau Asia, kepada beberapa cadangan
dan inisiatif ASEAN bagi memperkukuhkan kerjasama
serantau. Malaysia mengalu-alukan penerimaan RRC
terhadap Protokol ASEAN mengenai Perjanjian Zon Bebas
Nuklear Asia Tenggara. Malaysia percaya bahawa
kesediaan RRC untuk menandatangani Protokol tersebut
merupakan komitmen RRC terhadap usaha mengujudkan
kestabilan dan keamanan di rantau ini dan usaha
mengurangkan pertumbuhan senjata nuklear di dunia.
Kami juga menghargai komitmen RRC di dalam
memperkukuhkan proses perundingan dan kerjasama ASEAN
dan RRC melalui rangka kerja yang sedia ada dipelbagai
bidang termasuk merangka kod tatacara (Code of Conduct)
di Laut China Selatan. Saya percaya bahawa kerjasama
dan persahabatan yang rapat antara ASEAN dan RRC akan
membawa kesan yang positif kepada kerjasama serantau di
tahun-tahun akan datang.
7. Tuan Yang Terutama mungkin masih ingat di mana di
dalam forum yang diadakan semasa lawatan saya ke
Beijing pada bulan Ogos lalu, saya telah mencadangkan
supaya Malaysia dan RRC mengambil usaha-usaha baru
untuk kemajuan rantau ini. Saya telah menggariskan
beberapa bidang di mana Malaysia dan RRC serta negara-
negara di rantau ini boleh bekerjasama bagi memastikan
suara Asia Timur lebih lantang. Malaysia menghargai
sokongan RRC dan juga sikap positif yang ditunjukkan
terhadap cadangan-cadangan ini. Di dalam suasana
serantau dan kewangan yang tidak menentu ini, Malaysia
percaya masanya sudah tiba untuk konsep EAEC
direalisasikan. Kumpulan serantau seperti ini akan
dapat menyelesaikan dan membincang perkara-perkara
kepentingan bersama yang khusus bagi negara-negara Asia
Timur. Ianya juga akan dapat mengukuhkan kerjasama di
antara negara-negara di rantau ini di alaf baru. Untuk
lebih mempertingkatkan kerjasama serantau dan ekonomi,
adalah bertepatan masanya untuk RRC, Malaysia serta
negara-negara Asia Timur yang lain menimbang dengan
mendalam mengenai penubuhan Tabung Kewangan Asia
Timur, yang faedah-faedahnya sudah tentu akan dihargai
oleh negara-negara anggota berkenaan.
8. Negara-negara di Asia Tenggara sekarang terlalu
bergantung kepada Eropah dan Amerika dalam bidang
perdagangan. Tanpa perlu mengurangkan perdagangan itu,
adalah penting juga perdagangan di kalangan negara Asia
Timur diperbanyakkan sama dengan perdagangan dengan
Eropah dan Amerika. Perimbangan dagangan ini akan
pasti mengukuhkan ekonomi kita dan juga menyumbang
kepada kestabilan dan pertumbuhan ekonomi dunia.
9. Krisis ekonomi yang melanda rantau ini baru-baru
ini telah memperlihatkan kepada kita betapa lemahnya
kerangka sistem kewangan dunia yang wujud sekarang.
Adalah penting kelemahan-kelemahan ini diatasi melalui
pembentukan kerangka kewangan yang baru dengan
penyertaan negara-negara maju dan negara-negara
membangun. Malaysia amat berharap RRC akan memainkan
peranan yang positif dalam hal ini.
10. Krisis kewangan dan ekonomi yang melanda rantau
kita jelas menunjukkan betapa lemahnya negara kita
terhadap kuasa-kuasa tertentu yang menyalahgunakan
globalisasi dan perdagangan bebas. Daripada keadaan
ini kini muncul beberapa bentuk penjajahan yang baru.
Cabaran-cabaran yang akan dihadapi oleh negara kita dan
negara-negara di rantau Asia Timur menjelang abad baru
adalah berat sekali. Adalah penting kedua-dua negara
kita dapat memainkan peranan masing-masing, walaupun
kecil, untuk memastikan sejarah peperangan,
pertelingkahan dan kesengsaraan di abad ini tidak akan
berulang lagi dan abad ke-21 akan menjadi satu abad
baru di mana ekonomi serta politik antarabangsa adalah
lebih adil dan saksama.
|