Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PALACE OF THE GOLDEN HORSES, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	23/12/99 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN DUIT SYILING 
			EMAS PERINGATAN TAHUN 2000 


     
  
       Terlebih  dahulu  saya  mengucapkan  ribuan  terima
  kasih  kepada  Bank  Negara kerana sudi  menjemput  saya
  untuk  melancarkan Duit Syiling Emas Peringatan  sempena
  Tahun 2000 pada hari ini.
  
  2.    Saya  juga  bersyukur kepada  Allah  Subhanahu  wa
  Ta'ala kerana atas limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-
  sama  dalam majlis yang istimewa pada bulan Ramadan yang
  mulia ini.
  
  3.    Kedatangan  alaf  baru  Masehi  sudah  pasti  akan
  membawa   berbagai-bagai  cabaran  dan  peluang   kepada
  negara   dan  rakyat.   Untuk  menyediakan  diri   dalam
   menghadapi  cabaran-cabaran ini, banyak  sejarah  negara
  boleh  dijadikan iktibar dan pedoman.   Apa  yang  pasti
  ialah  kita  perlu  sentiasa  berwaspada,  bertekad  dan
  mempunyai    semangat   juang    yang    tinggi    untuk
  mempertahankan maruah, kedaulatan dan martabat bangsa.
  
  4.     Sejarah   negara   telah   memperlihatkan   jatuh
  bangunnya peradaban dan kebangkitan semangat juang  yang
  jitu.   Pengalaman  hidup di bawah  penjajahan  Inggeris
  telah   melihatkan   bagaimana   hasil   mahsul   negara
  dieksploitasikan semata-mata untuk
  kepentingan  dan  kemakmuran  negara  penjajah.   Rakyat
  jelata dibiarkan hidup di bawah belenggu kemiskinan  dan
  kemunduran.
  
  5.    Sejak  negara mencapai kemerdekaan 42  tahun  yang
  lalu,  Kerajaan  serta  rakyat  telah  berganding   bahu
  bekerja    kuat   untuk   bersama-sama    membina    dan
  membangunkan  negara.  Kini kita boleh berbangga  kerana
  Malaysia  sudah diiktiraf sebagai sebuah  negara  contoh
  bagi  dunia ketiga, disegani dan dihormati oleh  seluruh
   masyarakat  dunia.  Formula pembangunan  Malaysia  telah
  menjadi model kepada negara-negara membangun yang  kagum
  dengan   pencapaian   ekonomi,  keharmonian   kaum   dan
  keindahan negara kita.
  
  6.    Walaupun  kita telah lama bebas daripada  belenggu
  penjajahan,   kita  masih  berdepan  dengan   penjajahan
  berbentuk  baru  yang dikenali sebagai neo-kolonialisme.
  Penjajahan  ini  telah  dirancang  dalam  berbagai-bagai
  bentuk   termasuk   melalui  proses  globalisasi   untuk
  menjayakan  penjajahan ekonomi dan perdagangan  ke  atas
  negara-negara membangun dan negara-negara  termiskin  di
  dunia.   Salah  satu  gejalanya ialah kegawatan  ekonomi
  yang  melanda  rantau ini pada pertengahan  tahun  1997.
  Kesannya  amat  buruk  sekali.   Pendapatan  negara  dan
  kuasa  beli rakyat telah terhakis dengan ketara.   Dalam
  tempoh  yang singkat itu, pada anggaran kasar pencapaian
  ekonomi,   kemakmuran   dan   kemajuan   negara    telah
  dimundurkan  selama lebih kurang 10  tahun ke  belakang.
   Bagi  negara-negara  jiran yang  kurang  bernasib  baik,
  mereka   terpaksa  menanggung  kesan  buruk  kemelesetan
  ekonomi  yang lebih teruk.  Rakyat mereka juga  terpaksa
  menanggung  kos sosial yang amat berat akibat perpecahan
  dan rusuhan yang dicetuskan oleh kegawatan ekonomi itu.
  
  7.    Dalam  hal  ini  negara  kita  adalah  jauh  lebih
  bernasib  baik.   Pengurusan ekonomi yang  berhemat  dan
  pragmatik  telah menghasilkan kadar pertumbuhan  ekonomi
  pada  purata  lapan  peratus setahun untuk  selama  satu
  dekad.  Walaupun negara tidak terkecuali daripada  kesan
  buruk krisis ekonomi, namun asas ekonomi yang kukuh  itu
  telah  membolehkan kita mengurangkan kesan buruk  krisis
  ekonomi  yang dialami.  Di samping itu, kita juga  telah
  memilih untuk tidak menerima pakai pendekatan IMF  dalam
  menangani  krisis tersebut.  Kita berjaya mempertahankan
  kedaulatan dan keutuhan negara dengan cara kita  sendiri
  melalui  langkah-langkah  dan dasar-dasar  ala  Malaysia
  bagi mengatasi kegawatan ekonomi negara.
   
  8.      Langkah-langkah   tersebut   kini   sudah   mula
  membuahkan  hasil  yang  amat positif.   Ekonomi  negara
  telah   pulih  dengan  baik  setelah  mencatatkan  kadar
  pertumbuhan sebanyak 8.1 peratus pada suku tahun  ketiga
  1999,   iaitu  satu  kadar  yang  paling  tinggi  pernah
  dicatatkan  sejak  krisis kewangan.   Dengan  pencapaian
  ini,   negara   telah  terkeluar  daripada   kemelesetan
  ekonomi yang telah melanda negara selama kira-kira  satu
  tahun setengah.
  
  9.    Mengangkat  martabat maruah bangsa;  mempertingkat
  taraf  ekonomi  rakyat; memastikan kesejahteraan  negara
  yang  berterusan dan pengagihan kekayaan secara  saksama
  di  kalangan rakyat telah menjadi matlamat Kerajaan yang
  utama;  bahkan  ia  juga  merupakan  formula  kemakmuran
  negara  walaupun  negara  kita mempunyai  penduduk  yang
  berbilang kaum.
  
  10.   Dengan  pemulihan ekonomi yang ketara,  di  ambang
  alaf  baru  ini Kerajaan yang telah sekali  lagi  diberi
  kepercayaan   oleh   rakyat  berkeyakinan   akan   dapat
   mengatasi cabaran-cabaran yang akan dihadapi pada  tahun
  2000  nanti.   Masanya  adalah  sesuai  sekali  sekarang
  untuk  menghasilkan duit syiling emas peringatan sebagai
  tanda  tibanya alaf baru ini, tanda permulaan perjuangan
  yang baru bagi negara.
  
  11.    Saya   mengucapkan  syabas  kepada  Bank   Negara
  Malaysia  dan  Syarikat Mariwasa  Kraftangan  Sdn.  Bhd.
  kerana berjaya menerbitkan duit syiling peringatan  alaf
  baru  ini.   Saya  mengambil maklum  bahawa  unsur-unsur
  tradisional  telah diabadikan bukan sahaja  dalam  motif
  duit  syiling  tetapi  juga  pada  rekabentuk  kotaknya.
  Pada  masa  yang sama unsur-unsur zaman teknologi  moden
  juga  turut  dijalinkan  dalam motif  duit  syiling  itu
  untuk  mempamerkan  kecanggihan negara  dalam  menjejaki
  ketangkasan   kemajuan  teknologi  moden  sempena   kita
  melangkah ke alaf baru.
  
  12.   Usaha sedemikian patut diberi pujian dan  disokong
  penuh  oleh  semua  pihak.   Peristiwa  penting  seperti
  ketibaan  alaf baru ini, walaupun tidak dapat dilakarkan
   sepenuhnya   di  dalam  sekeping  duit  syiling,   namun
  penerbitannya  merupakan  salah  satu  cara  untuk  kita
  mengingatkan  tentang peranan dan tanggungjawab  bersama
  dalam  merangsang  semangat cintakan budaya  bangsa  dan
  sokongan  terhadap  aspirasi untuk  menjadikan  Malaysia
  sebuah negara yang maju.
  
  13.    Duit  syiling  peringatan  ini  sememangnya  akan
  mengkayakan  lagi  koleksi numismatik  tempatan.   Walau
  bagaimanapun  yang  lebih  penting  ialah  penerbitannya
  mencerminkan  keupayaan kita menghasilkan  duit  syiling
  yang  bertaraf  antarabangsa daripada segi  mutu,  nilai
  estetika   dan   rekabentuk,  di   samping   mempamerkan
  Malaysia sebagai negara yang serba boleh dan berjaya.
  
  14.    Dengan  kata-kata  ini  saya  dengan  sukacitanya
  merasmikan pelancaran Duit Syiling Emas Peringatan  Alaf
  Baru.
  
 
 



 
Google