Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN
MALAYSIA (RTM)
Tarikh/Date : 31/12/99
Tajuk/Title : SEMPENA TAHUN BARU 2000
Alhamdulillah syukur kita ke hadrat Allah
Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan limpah rahmat dan
kurnia-Nya dapat kita sekali lagi menyambut tahun baru,
iaitu tahun 2000. Tahun baru ini agak istimewa kerana
ia juga menandakan permulaan abad dan alaf baru, iaitu
abad ke-21 dan alaf ketiga.
2. Dengan beradanya kita di ambang tahun, abad dan
alaf baru ini, sepatutnyalah kita renung sejenak akan
sejarah negara kita, supaya dapat kita memperingati
diri kita dari mana kita datang, supaya dengan itu kita
akan dapat menentukan di mana kita berada dan ke mana
kita akan pergi.
3. George Santayana, seorang penulis dan ahli
falsafah Barat telah berkata 'mereka yang tidak belajar
dari sejarah mereka akan didera dengan mengulangi
kesalahan-kesalahan mereka berkali-kali'. Kita sudah
tentu tidak ingin mengulangi kesalahan-kesalahan kita
di zaman silam. Oleh itu amatlah penting kita
mempelajari daripada sejarah kita.
4. Sejarah negara kita daripada penulisan, cerita-
cerita dan bukti-bukti arkiologi lain adalah sepanjang
hampir dua alaf. Negeri-negeri Melayu mula dikenali
lebih daripada 800 tahun dahulu. Negeri-negeri ini
merdeka tetapi terbahagi kepada negeri-negeri yang
kecil dan lemah yang sering diserang oleh negara-negara
jiran. Hanya kecekapan memainkan satu kuasa dengan
kuasa lain yang mengekalkan negeri Melayu sebagai milik
bangsa Melayu.
5. Tetapi pada tahun 1511 apabila Melaka jatuh ke
tangan Portugis bermulalah sejarah hitam bagi negeri-
negeri Melayu.
6. Kejatuhan Melaka memberi banyak pengajaran bagi
kita. Yang pertamanya tentera Sultan Melaka tidak
tersusun kemas, tidak terlatih, tidak mempunyai
panglima-panglima perang yang profesional. Raja, anak
raja, pembesar-pembesar lain semuanya menganggap diri
mereka sebagai panglima balatentera. Bentara dan
hulubalang tidak tersusun rapi. Arahan-arahan semasa
berperang tidak mempunyai makna yang tepat. Tidak ada
disiplin dan taktik peperangan dan tidak ada 'standing
army'.
7. Balatentera Sultan Melaka memang besar dan
mempunyai gajah perang manakala pasukan Portugis kecil.
Tetapi berhadapan dengan pasukan Portugis yang lebih
tersusun dan berdisiplin, dengan senjata canggih
seperti senapang 'muzzle-loaders', balatentera Sultan
Melaka ditewaskan dengan mudah sahaja.
8. Ini adalah pelajaran yang pertama yang perlu kita
ingati dan serapkan ke dalam budaya kita. Susunan yang
rapi, kepimpinan yang bertanggungjawab secara khusus,
disiplin dan ketertiban, perintah-perintah yang
spesifik, latihan dan taktik adalah penting bagi
menjayakan sesuatu perjuangan.
9. Kekalahan Kerajaan Melaka ditangan Portugis bukan
sahaja kerana ditewaskan di medan perang tetapi juga
kerana penderhakaan beberapa tokoh dalam Kerajaan
Melaka. Pembelot dan penderhaka ini memang manusia
yang terkutuk kerana mereka lebih mengutamakan
kepentingan diri.
10. Ini merupakan pelajaran yang kedua, yang sama
penting dengan yang pertama. Mereka yang bersubahat
dengan musuh adalah lebih buruk daripada musuh. Kerana
kepentingan diri mereka sanggup menjual bangsa dan
negara.
11. Kejatuhan Melaka mempengaruhi sejarah negeri-
negeri Melayu sehinggalah pertengahan abad ke-duapuluh.
Sehingga tarikh itu orang Melayu merasai diri mereka
rendah dan hina apabila berdepan dengan orang kulit
putih. Mereka tidak percaya mereka boleh buat apa-apa
termasuk memerintah negeri-negeri mereka sendiri.
12. Selepas kejatuhan Melaka kelemahan semangat orang
Melayu menyebabkan satu demi satu daripada negeri-
negeri Melayu jatuh ke tangan orang kulit putih.
Kerapkali kemasukan orang kulit putih dan penjajahan
mereka disebabkan oleh perebutan takhta oleh raja-raja
Melayu. Pihak yang lemah atau tidak berhak biasanya
meminta pertolongan kuasa asing dari Barat. Janji yang
dibuat ialah layanan yang istimewa akan diberikan
kepada orang putih yang menolong mereka. Dengan itu
Belanda dan British dapat mendirikan pusat-pusat
dagangan atau 'trading stations' yang memonopolikan
semua dagangan negeri Melayu.
13. Demikian Pulau Pinang dan Dinding diserahkan
kepada British. Kemudian apabila pelombong Cina
berperang sesama sendiri dengan disokong oleh pembesar-
pembesar Melayu tertentu, British menghantar pasukan
bersenjata untuk mengawal keadaan. Selepas itu Raja
meminta British menasihati Kerajaan Perak dan mengikut
seperti biasa, bukan memberi nasihat tetapi memberi
arahan yang mesti diterima. Akhirnya semua negeri-
negeri Melayu dikuasai oleh British melalui penasihat
atau 'Adviser' mereka. Maka tertakluklah seluruh
Semenanjung serta Sarawak.
14. Pengabdian bangsa Melayu kepada British menjadi
total kerana orang Melayu hilang kepercayaan kepada
diri sendiri. Apabila orang Melayu diketepikan dan
perniagaan serta urusan Kerajaan diserah kepada orang
Cina dan India, tidak ada protes daripada orang Melayu.
Sementara orang Cina dan India mengejar pelajaran di
sekolah Inggeris, orang Melayu menolak sekolah Inggeris
kerana takut dikristiankan. Maka semakin lemah dan
miskinlah orang Melayu. Pada satu masa bilangan orang
Melayu di Malaya menjadi kurang daripada orang Cina dan
India. Jika tidak kerana kemelesetan ekonomi pada
dekad kedua dan ketiga yang menyebabkan ramai orang
Cina kembali ke China, peratusan orang Melayu di
Malaysia mungkin seperti di Singapura sekarang. Jika
peratusan ini rendah kemerdekaan Malaysia tentulah
dituntut dan dikuasai oleh bukan Melayu.
15. Keyakinan British bahawa orang Melayu tidak akan
menentang apa sahaja yang dibuat kepada bangsa mereka
dan negeri-negeri Semenanjung menyebabkan British
merancang untuk menyatukan negeri-negeri Melayu selepas
Perang Dunia Kedua dan memerintah sebagai tanah jajahan
terus. Raja-raja Melayu akan hanya berkuasa terhadap
adat-istiadat dan agama sahaja. Semua penduduk
Malaysia akan diberi hak kerakyatan yang sama, bahkan
orang bukan Melayu boleh mengekalkan kerakyatan negara
asal mereka di samping kerakyatan Malaya, iaitu
memiliki 'dual citizenship'.
16. Pada saat ini barulah orang Melayu sedar bahawa
mereka akan kehilangan tanahair mereka sama-sekali.
Barulah mereka memberanikan diri untuk menentang
rancangan Malayan Union British. Senjata yang mustajab
yang digunakan oleh orang Melayu ialah perpaduan dan
pendirian yang sama dalam menangani masalah yang
dihadapi. Mereka baru sedar yang mereka adalah orang
Melayu dan bukan rakyat negeri-negeri Melayu yang
berasingan.
17. Perpaduan dan kata sepakat mereka dalam menentang
Malayan Union memaksa Malayan Union digantikan dengan
Federation of Malaya dengan kerakyatan dihadkan kepada
pemastautin yang betul-betul setia kepada Persekutuan
ini.
18. Perpaduan orang Melayu semasa Malayan Union
disebabkan oleh himpitan dari luar dan bukan berpunca
daripada nasionalisme semula jadi. Apabila sahaja
himpitan dari luar ini sudah tidak ada atau
terselindung maka perpaduan orang Melayu pun mulai
retak dan seperti dengan raja-raja dahulu yang merebut
takhta, orang Melayu pun kembali merebut tempat dalam
Malaysia yang maju dan kaya.
19. Kita mungkin berfikir bahawa Malaysia tetap akan
merdeka selama-lamanya dan orang Melayu tetap akan
berkuasa dan negara tetap akan kaya raya. Kita mungkin
percaya bahawa kita akan memasuki abad dan alaf baru
dengan keadaan negara kita yang tidak berubah, dengan
kita terus merdeka dan berdaulat.
20. Tetapi bekas penjajah sudah merancang untuk
menjajah kita semula. Kali ini cara lain akan diguna
untuk menakluk negara kita. Cara ini diperkenal
sebagai globalisasi dan dunia tanpa sempadan.
21. Interpretasi globalisasi oleh mereka ialah
kebebasan modal (milik mereka) melintasi sempadan dan
mengatasi sebarang sekatan terhadap penguasaan modal ke
atas ekonomi mana-mana negara. Kononnya dengan
kebebasan modal maka kemiskinan boleh dihapuskan di
seluruh dunia.
22. Mereka hendaklah bebas membeli semua bank dan
perniagaan-perniagaan kecil dan besar supaya akhirnya
akan ada dalam dunia ini hanya beberapa bank dan
perniagaan gergasi milik negara kaya sahaja. Semua
eksekutif dan pekerja akan bekerja untuk mereka jika
khidmat mereka masih diperlukan. Yang lain akan
digugur supaya pembaziran dihapus demi 'efficiency'.
23. Sebagai contoh kereta nasional kita akan diganti
dengan kereta jenama antarabangsa dan kita akan
mengeluarkan komponen kereta berjenama dan mungkin
memasang kereta-kereta ini. Demikian juga semua
keluaran barangan perkilangan akan diambilalih oleh
mereka. Demikian juga dengan hotel, restoran makanan
segera, syarikat penerbangan, syarikat perkapalan,
pemborong semua jenis komoditi, media elektronik,
akhbar, majalah serta perniagaan-perniagaan dan
perusahaan lain. Penyatuan (mergers), pengambilan-alih
(acquisition), sama ada secara baik (friendly) atau
bermusuhan (hostile) akan dilakukan oleh yang besar dan
yang kaya supaya yang kecil dan lemah dihapuskan.
24. Yang anehnya ialah sementara modal bebas bergerak
melintasi sempadan, manusia tidak boleh. Yang miskin
dan daif akan dikurung dalam kandang sempadan negara
masing-masing supaya tidak mencemar negara yang kaya.
25. Inilah dunia tanpa sempadan, inilah globalisasi.
Yang kaya akan menjadi lebih kaya dan yang miskin akan
bekerja untuk memperkayakan lagi yang kaya. Memang
negara miskin juga bebas untuk menembusi pasaran yang
kaya tetapi apakah yang ada pada mereka untuk dijual di
pasaran yang kaya yang belum diambilalih oleh pemodal
gergasi dari negara yang kaya?
26. Kita di Malaysia dan di negara-negara Asia Timur
telah berpeluang merasai sedikit akan kesan dunia tanpa
sempadan ini. Negara-negara yang terkenal sebagai
harimau ekonomi, yang telah berjaya membangunkan negara
sendiri dengan begitu pesat, yang mampu bersaing dengan
negara maju, tiba-tiba mengalami keruntuhan ekonomi
yang teruk. Segala-gala yang dibangunkan selama tiga
dekad runtuh dan hancur dalam hanya beberapa minggu
sahaja. Kononnya kerana korupsi, kronisme, tidak telus
maka matawang dan nilai saham jatuh. Jika korupsi dan
lain-lain ini boleh menjatuhkan nilai matawang kenapa
hanya pada Julai 1997 sahaja perkara ini berlaku?
Apakah korupsi hanya berlaku pada bulan Julai 1997?
27. Hakikatnya ialah penyangak matawang dan pelabur
jangka pendek telah sengaja menjatuhkan nilai wang dan
saham untuk mendapat keuntungan besar. Mereka
memusnahkan ratusan bilion dolar kekayaan negara Asia
Timur untuk mendapat hanya berpuluh bilion dolar
keuntungan bagi pemodal mereka. Berjuta pekerja hilang
mata pencarian, sementara rusuhan dan pembunuhan
berlaku. Kerajaan jatuh dan negara hilang kestabilan
politik, ekonomi dan sosial.
28. Inilah hasil sebenar globalisasi, dunia tanpa
sempadan dan kebebasan gerakan modal yang dapat kita
lihat. Apabila mereka sudah beli semua bank dan
perusahaan/perniagaan dengan harga yang murah, maka
mereka akan pulihkan semula ekonomi. Tetapi rakyat
negara yang diserang sudah tidak lagi memiliki apa-apa.
Bukan sahaja ekonomi akan terlepas ke tangan penjajah
Barat tetapi politik juga akan dikuasai oleh mereka.
Kebebasan dan kedaulatan sudah pun hilang. Inilah
pengalaman daripada peristiwa kegawatan yang dialami
baru-baru ini.
29. Segala-gala ini bukan ramalan, bukan khayalan.
Segala-gala ini sudahpun berlaku. Bahawa ia tidak
berlaku di negara ini bukanlah kerana penjajah moden
tidak mencuba. Mereka cuba dan mereka hampir berjaya.
Tetapi Alhamdulillah kita dapat menangkis percubaan ini
dan kita dapat memulihkan negara kita.
30. Namun kita belum selamat. Percubaan sedang dibuat
lagi. Jika tidak kerana rusuhan menentang WTO di
Seattle mungkin sebahagian lagi daripada sempadan kita
akan dapat diruntuhkan. Tetapi mereka akan mencuba
lagi.
31. Inilah cabaran alaf baru. Apakah kita bersedia
untuk menghadapi dan mengatasinya? Ternampak seolah-
olah kita sudah lupa pengajaran sejarah atau 'the
lessons of history'. Kita dijajah dahulu kerana tidak
berdisiplin, kerana perebutan tempat dan kuasa. Yang
lemah meminta pertolongan asing. Jika yang lemah
berjaya kerana bantuan bakal penjajah, benteng
pertahanan akan runtuh dan kita akan dijajah semula.
Jelas sekali kita belum bersedia menghadapi cabaran
alaf baru. Tabiat dan budaya lama yang menyebabkan
kita dijajah selama empat setengah abad masih ada pada
kita, khususnya pada orang Melayu.
32. Kerana Kerajaan melindungi kita; kerana Kerajaan
membangunkan kita dan menangkis tekanan asing dengan
jayanya, kita berasa selamat dan tidak lagi perlu
kepada perpaduan dan ketertiban. Ada antara kita yang
berkata perlindungan yang diberi oleh Kerajaan kepada
kaum yang lemah adalah satu diskriminasi yang tidak
adil, bahkan tidak secocok dengan ajaran Islam.
Perjuangan untuk bangsa dan negara sudah tidak
diperlukan lagi. Yang utama ialah merebut nikmat yang
ada walaupun ini akan menamatkan perpaduan di kalangan
kita.
33. Alhamdulillah, perebutan ini tidak berjaya dan
tidak menghancurkan kesemua benteng yang telah kita
dirikan. Rakyat Malaysia daripada berbagai kaum telah
menentukan negara terus memiliki Kerajaan yang
berwibawa yang boleh menghadapi cabaran alaf baru.
Tetapi bibit-bibit perpecahan sudah disemai di kalangan
rakyat dan sedang menular.
34. Dakyah asing sudah diterima oleh sesetengah
daripada rakyat dan sedang disebar oleh mereka. Bahawa
tuduhan yang dibuat oleh orang asing tidak berasas
tidak mengapa. Yang penting ialah tuduhan-tuduhan ini
mudah dipercayai dan boleh diguna untuk menjayakan
perebutan yang sedang diusahakan.
35. Semasa Kerajaan menumpu kepada mempertahankan
negara daripada serangan luar, masa itulah yang terbaik
bagi menyerang dari belakang. Cabaran alaf baru tidak
harus menghentikan perebutan tempat melalui pemupukan
perasaan kebencian terhadap pihak tertentu.
36. Rakyat Malaysia boleh bergembira semasa menyambut
abad dan alaf baru. Tetapi kita tidak boleh sambut
dengan rela hati globalisasi yang akan datang bersama.
Kita perlu sedar bahaya sistem globalisasi ciptaan
Barat. Kita perlu ubahsuai sistem ini supaya masa
depan kita terpelihara.
37. Ingatlah semua ideologi dan sistem Barat akhirnya
gagal. Demikian feudalisme, sistem pemerintahan
'absolute' oleh raja, republikanisme, diktator,
Komunisme dan Sosialisme. Liberal demokrasi dan
kapitalisme bebas yang diperkenal sekarang juga tidak
akan kekal. Globalisme juga akan menerima nasib yang
sama. Malangnya sebelum sesuatu sistem atau ideologi
dapat ditolak, ramai yang akan terkorban.
38. Justeru itu, hendaklah kita berhati-hati dan
menyusun langkah bagi membolehkan kita mengelak
daripada menjadi korban mereka. Hendaklah kita
rapatkan barisan kita dan kita ketepikan perbezaan yang
boleh memecahkan kita serta kita menghadapi cabaran
yang akan datang dengan penuh semangat dan ketahanan.
Mudah-mudahan kita akan berjaya lagi dan negara
tercinta ini akan terus bebas, merdeka dan maju.
39. Dengan peringatan ini maka saya mengucapkan
selamat menyambut tahun, abad dan alaf baru kepada
semua rakyat Malaysia.
|