Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN
TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 07/01/2000
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI
1420 HIJRAH / 2000 MASIHI
Alhamdulillah kita bersyukur ke hadrat Allah
s.w.t. kerana pada tahun ini kita umat Islam di
Malaysia dapat bersama-sama menyambut Hari Raya
Aidilfitri dalam keadaan aman dan tenteram serta dengan
kegembiraan. Ini adalah Hari Raya yang pertama yang
kita rayakan dalam alaf baru Masihi. Alaf baru ini
menjadi penting bagi kita umat Islam di Malaysia dan di
seluruh dunia kerana tanda-tanda menunjukkan ada
percubaan yang akan diteruskan dan dibuat dalam abad
dan alaf ini untuk memperkenalkan pendekatan-pendekatan
baru dalam bidang politik, ekonomi dan sosial kepada
seluruh dunia yang tidak dapat tidak akan mempunyai
kesan ke atas kita. Sama ada kesan itu buruk atau baik
bergantung kepada kebolehan kita memahami apa yang
diperkenalkan dan bagaimana kita akan menanganinya.
2. Perkembangan dalam sistem komunikasi dan sebaran
maklumat, berita dan gambar 'still' serta bergerak,
dalam 'real time' iaitu semasa ianya sedang berlaku
tidak dapat tidak sedikit sebanyak akan mempengaruhi
pemikiran kita, membentuk sikap kita dan mengubah nilai
hidup dan budaya kita. Penguasaan media eletronik dan
cetak antarabangsa oleh Barat bermakna pemikiran,
ideologi dan nilai mereka akan tersebar luas.
Berhadapan dengan serangan oleh jentera mereka, kita
yang lemah mungkin tidak akan mampu mempertahan dan
mengekalkan nilai hidup dan budaya kita. Jika nilai-
nilai hidup kita dapat diruntuhkan sehingga kita secara
total atau separuh menganuti budaya dan nilai hidup
Barat, sedikit sebanyak daripada kebebasan kita akan
terhakis.
3. Pemikiran Barat yang sudahpun diserap masuk ke
dalam budaya kita ialah konsep kebebasan atau 'freedom'
mereka. Pada mulanya konsep 'freedom' ini memang baik.
Sebagai bangsa yang dijajah dokongan 'freedom' oleh
Barat membolehkan kita membebaskan diri daripada
belenggu penjajahan. Tetapi sekarang kebebasan ini
sudah diperluas dan ditekankan dalam semua aspek
kehidupan supaya apa sahaja sekatan mesti dihapuskan.
Manusia mesti dibenarkan membuat apa sahaja mengikut
kehendak hati dan nafsu mereka.
4. Hari ini di Barat demi kebebasan tidak ada apa-apa
sekatan lagi terhadap nafsu. Demikian seorang
spekulator saham, Ivan Boesky, berkata 'Greed is great'
iaitu 'tamak adalah mulia'. Kita tahu manusia yang
tamak adalah manusia yang terkutuk kerana terlalu
melayan nafsu tanpa mengambilkira kesan terhadap orang
lain. Jika semua anggota masyarakat terdiri daripada
orang yang tamak, sudah tentu masyarakat tidak akan
aman kerana masing-masing akan merebut apa sahaja untuk
dirinya. Dengan ini perkelahian dan rusuhan akan
berlaku sepanjang masa. Masyarakat tidak akan menjadi
aman dan tenteram.
5. Serangan yang dibuat ke atas negara-negara Asia
Timur oleh penyangak matawang adalah contoh ketamakan
manusia. Penyangak matawang tidak menghiraukan
penderitaan berjuta orang yang menganggur, rusuhan dan
pembunuhan, tergulingnya Kerajaan, kemiskinan dan
kemerosotan ekonomi kerana mereka tamak dan hanya ingin
melayan nafsu mereka, mendapat kekayaan bagi diri
mereka sahaja.
6. Ini adalah contoh kebebasan daripada nilai-nilai
yang mulia yang dahulu dipercayai oleh masyarakat
manusia di mana-mana sahaja. Ada banyak lagi contoh
lain yang menunjukkan sikap keterlaluan yang disebabkan
oleh kebebasan tanpa batasan. Apa perlunya pakaian
yang tertib? Apa juga pakaian boleh dipakai walaupun
menjolok mata. Berbogel juga boleh jika itu kehendak
hati. Maka ramailah yang berbogel sebagai bukti hak
dan kebebasan mereka.
7. Nafsu jangan dibendung kerana membendung nafsu
bermakna menghalang kebebasan. Dalam masyarakat yang
tertakluk kepada nilai-nilai moral yang tinggi,
institusi perkahwinan dan kekeluargaan dijunjung
tinggi. Tetapi di Barat sekarang institusi perkahwinan
dianggap sebagai sekatan kepada kebebasan manusia.
Justeru itu jika suka bersekedudukan lakukan sahaja
sebagai bukti kebebasan daripada norma masyarakat.
Tetapi bersekedudukan antara pasangan tertentu juga
tidak mencerminkan kebebasan yang sepenuhnya. Dengan
itu bermalam sahaja dengan sesiapa mengikut selera
sewaktu. Pasangan yang percaya kepada kebebasan tidak
harus cemburu dan marah kerana itu bermakna komitmen
kepada kebebasan adalah terhad, dan ini menunjukkan
masih ada pegangan kepada moral kuno masyarakat.
Komitmen kepada kebebasan hendaklah menyeluruh tanpa
apa-apa sekatan.
8. Tetapi kenapa harus dihadkan hubungan seks hanya
antara wanita dan lelaki? Apa salahnya jika nafsu
menuntutnya, hubungan diadakan antara lelaki dengan
lelaki dan perempuan dengan perempuan? Kebebasan tidak
akan bermakna jika kehendak diri disekat oleh norma-
norma masyarakat. Semua tahu memang pun ada manusia
yang suka akan berkasih-kasih dan hubungan sesama
sejenis. Oleh itu terimalah sahaja amalan homoseks.
Dan kita lihat menteri-menteri di negara Barat yang
tidak segan lagi mempamerkan pengamalan homoseks
mereka. Dan masyarakat yang menjunjung kebebasan
mestilah bersikap terbuka dan menganggap amalan
homoseks ini sebagai perkara biasa. Maka terjadilah
peristiwa menteri yang homoseks dijemput ke acara rasmi
bersama dengan pasangannya daripada jenis yang sama.
9. Demikianlah keterlaluan yang berlaku kerana
keterlaluan dalam mentafsirkan sesuatu. Pada mulanya
kebebasan memang baik dan mulia, tetapi kerana
menjunjung terlalu tinggi sesuatu kepercayaan atau
konsep, yang baik sudah menjadi buruk, kotor dan jijik
sehingga merosakkan masyarakat dan budayanya.
10. Kita mungkin berkata bahawa masyarakat kita yang
beragama Islam sudah tentu tidak akan menerima
kebebasan yang keterlaluan ini. Kita tentu percaya
masyarakat Islam akan menolak amalan seperti homoseks,
menolak orang yang mengamalkannya. Tetapi kita harus
ingat bahawa kita begitu terdedah kepada serangan
propaganda Barat melalui media eletronik dan cetak
mereka, sehingga sedikit sebanyak akan termakan juga
propaganda mereka; jika tidak pun seluruh masyarakat
kita, akan ada juga antara kita yang akan terpengaruh
dan tertarik serta menerima norma-norma baru dalam
masyarakat Barat.
11. Hari ini hampir semua pemikiran dan pendekatan
yang baru bermula di Barat dan menular ke seluruh dunia
termasuklah ke negara kita. Konsep Kerajaan yang
demokratik, Kerajaan yang dipilih oleh majoriti juga
dicipta di Barat. Logiknya ialah orangramai tentulah
akan memilih orang yang baik-baik belaka dan yang
berjanji untuk berkhidmat untuk kesejahteraan rakyat
dan negara. Jadi demokrasi adalah untuk kebaikan kita.
12. Tetapi Barat sudah begitu taksub dengan demokrasi
itu sendiri sebagai sistem politik sehingga yang
penting bukan lagi kebaikan bagi negara dan rakyat,
tetapi yang penting ialah pengamalan demokrasi secara
yang semakin liberal. Kita lihat bagaimana demokrasi
telah menghalang penubuhan Kerajaan yang berkesan
kerana tidak ada parti yang memperolehi majoriti yang
mencukupi; kita lihat bagaimana sogokan wang,
penyalahgunaan agama, ugutan, tuntutan yang bukan-bukan
oleh pengundi dan campur tangan orang asing telah
menyebabkan politik menjadi tidak stabil dan
pembangunan serta kemajuan tidak boleh dicapai, negara
menjadi lemah dan dikuasai oleh orang asing -- semua
ini kita lihat tetapi ini semua tidak mengapa kerana
semuanya disebabkan oleh demokrasi. Yang penting ialah
demokrasi, terutama demokrasi liberal mengikut tafsiran
Barat dan bukan kebaikan untuk negara atau rakyat.
Biarlah rakyat menderita, ekonomi negara merosot, kuasa
asing menakluki negara asalkan demokrasi diamalkan.
Barat sudah lupa bahawa sistem demokrasi dicipta kerana
janjinya yang ia akan membawa kebaikan kepada rakyat.
Tetapi hari ini kebaikan untuk rakyat tidak penting.
Yang penting dan utama ialah demokrasi. Oleh itu
amalkan sahaja demokrasi walau apapun malapetaka yang
menimpa kita.
13. Sekarang diperkenalkan pula globalisasi dan dunia
tanpa sempadan. Globalisasi mengikut tafsiran Barat
bermakna modal bebas melintasi semua sempadan; modal
tidak boleh dikawal oleh sesiapa. Kononnya modal yang
bebas pergi ke mana-mana akan membawa kekayaan dan
kebahagiaan hidup kepada semua termasuk yang miskin.
Justeru itu globalisasi mestilah disokong oleh semua
terutama mereka yang miskin.
14. Tetapi kita telah lihat baru sahaja bagaimana
modal yang bebas daripada negara yang kaya telah
meruntuhkan ekonomi dan kewangan kita dan menjadikan
kita miskin dan merana. Dimasa yang sama pemilik modal
ini menjadi kaya raya. Dengan itu kita mempunyai sebab
untuk mencurigai globalisasi dan kebebasan modal
melintasi sempadan kita. Bagi kita yang penting
tentulah kebahagiaan hidup kita. Jika globalisasi
menjejaskan kebahagiaan hidup kita maka kita perlu
menolak globalisasi.
15. Tetapi seperti juga dengan demokrasi liberal,
globalisasi mesti diterima kerana ia dicipta oleh Barat
dan dikatakan oleh mereka sebagai baik bagi kita.
Walaupun kita nampak keburukannya, kita tidak boleh
menolak globalisasi kerana globalisasi sudah diterima
dunia seperti juga demokrasi. Walaupun ia tidak
memperkayakan kita, walaupun kita sebenarnya menjadi
miskin, kita tidak boleh menolak globalisasi kerana ia
adalah globalisasi, sistem ekonomi untuk dunia yang
sudah menjadi kecil kerana teknologi perhubungan moden.
16. Kenapakah pada Hari Raya ini kita harus bercakap
berkenaan dengan perkara-perkara yang begitu serius dan
menekan? Bukankah Hari Raya adalah hari kita
bergembira, bergembira dengan kejayaan kita melawan
nafsu sepanjang satu bulan, bulan Ramadan?
17. Tetapi walaupun kita berhak bergembira, gembira
kita bukanlah sehingga kita hilang akal. Kegembiraan
pada Hari Raya adalah kegembiraan yang sederhana,
kerana ia adalah kegembiraan beragama, kegembiraan
orang yang berjaya membuat ibadat, ibadat puasa yang
bertujuan menyemai perasaan insaf dan bertanggungjawab
terhadap masyarakat di kalangan pengamal ibadat ini.
18. Sementara ramai yang berjaya benar-benar berpuasa
daripada semua segi, ada juga yang sengaja melayani
nafsu kerana sebab-sebab tertentu. Demikian kita
dapati ada yang mencemarkan sembahyang berjemaah dan
tarawih dengan membuat ucapan mengecam pihak tertentu
dan melemparkan fitnah. Semasa sembahyang kita
dikehendaki khusyuk dan kita menghormati jemaah dengan
mengelak daripada mengganggu mereka semasa menyembah
Tuhan dengan solat-solat khas semasa berpuasa. Tetapi
dapatkah kita menumpukan kepada sembahyang jika kita
diganggu dengan syarahan yang tidak ada kaitan dengan
ibadat tetapi sebaliknya bertujuan membakar perasaan
kebencian kita kepada pihak-pihak tertentu? Pemikiran
kita terganggu sama ada kerana kemarahan terhadap pihak
yang mengganggu atau jika terpengaruh dengannya, maka
hati kita akan dipenuhi dengan perasaan marah yang amat
sangat kepada yang dikecam oleh pensyarah. Dalam
keadaan ini kita tidak dapat bersembahyang dengan
khusyuk. Kita tidak mungkin dapat pahala daripada
ibadat kita.
19. Kita juga dapati di masa-masa yang lampau ini ada
pihak yang dengan sengaja dan kerana kepentingan
tertentu menyebar ajaran yang bertentangan dengan
ajaran agama kita, agama Islam. Kita tahu umpamanya
kita perlu bersyukur dengan tiap nikmat yang kita
terima. Kesyukuran kita tidak bermakna bersyukur hanya
kepada Tuhan tetapi juga berterima kasih kepada pihak
yang menyampaikan nikmat. Malangnya hari ini kita
diajar supaya hanya bersyukur kepada Tuhan dan tidak
perlu berterima kasih kepada penyampai nikmat. Jika
kita menerima ajaran ini maka kita mungkin tidak
menghargai Rasullullah yang membawa wahyu Allah s.w.t.
kepada kita. Apakah akan terjadi kepada agama kita,
kepercayaan kita, akidah kita jika kita tidak
menghargai dan menjunjung tinggi Rasul pembawa berita
gembira?
20. Dalam kehidupan kita banyaklah nikmat yang kita
terima yang tentunya berasal daripada Allah s.w.t.
tetapi disampaikan oleh orang tertentu. Sehingga kini
kita mengucapkan terima kasih kepada pihak yang
menyampaikan nikmat, bahkan kita berasa terhutang budi
kepadanya. Tetapi sekarang kita diajar supaya jangan
berasa terhutang budi kepada pihak yang menyampaikan
nikmat kepada kita kerana kononnya nikmat itu memang
hak kita dan jika tidak pihak itu menyampaikannya,
pihak lain akan menyampaikannya. Justeru itu apa
perlunya kita berasa terhutang budi dan berterima kasih
kepada pihak yang menyampai.
21. Perubahan makna kesyukuran ini mempunyai implikasi
yang serius kepada masyarakat kita. Jika kita tidak
menghargai dan berterima kasih kepada pihak yang
menyampai sesuatu untuk kita maka sudah tentu tidak
akan ada sesiapa yang ingin menyampaikannya kepada
kita. Jika kita gigit tangan yang menghulur hadiah,
atau bantuan atau yang menyelamatkan kita, apakah akan
ada sesiapa yang akan berusaha, kadang-kadang bersusah-
payah menyampaikan apa-apa kepada kita. Tidak akan ada
lagi tolong menolong dalam masyarakat orang Islam.
Masing-masing akan menjaga hujung kain sendiri walaupun
semasa kecemasan. Dengan ini tentulah masyarakat kita
orang Islam akan hancur kerana masing-masing perlu
menyelamatkan diri sendiri walaupun serangan dibuat
kepada seluruh masyarakat.
22. Sikap ini bertentangan sama sekali dengan budaya
kita yang dicerminkan melalui pantun yang kerap kita
dengar dan memperdengar yang berbunyi:-
Pulau Pandan jauh ke tengah;
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan di kandung tanah;
Budi yang baik dikenang juga.
23. Sebab itu semasa kita bergembira dengan Hari Raya
kita juga perlu merenung perkara-perkara seperti ini
yang dibawa oleh pihak tertentu semata-mata kerana
takut kesyukuran yang biasa kita rasai akan membawa
kerugian kepada mereka.
24. Yang keduanya kita merayakan Hari Raya tahun ini
dalam bulan pertama alaf baru. Seperti yang saya telah
jelaskan alaf baru akan membawa banyak cabaran yang
serius kepada kita di Malaysia dan orang Islam
terutamanya. Serangan ke atas budaya kita tentulah
akan berjaya jika kita tidak bersatu-padu dan bersatu
hati dalam mempertahankan hak dan kebebasan kita.
25. Hari ini kita umat Islam di Malaysia berpecah dan
amat lemah. Dalam keghairahan mengejar kuasa kita
sanggup bersubahat dengan musuh-musuh kita dari luar
dan kuncu-kuncu mereka dari dalam. Seperti di zaman
dahulu apabila perebutan takhta diraja berlaku yang
lemah meminta bantuan asing. Dan pihak asing
mengenakan syarat kepada yang lemah ini yang akhirnya
menyebabkan negara kita dijajah. Di zaman ini juga
kita sudah mula melihat bagaimana pihak yang ingin
merebut kuasa berbaik-baik dengan musuh negara untuk
mendapat sokongan. Orang asing ini memberi sokongan
tetapi tentulah kerana mereka percaya orang yang
meminta sokongan daripada mereka akan membalas budi
dengan memihak kepada mereka dan membenarkan mereka
menguasai negara kita. Jika kita teliti sejarah pendek
kegawatan ekonomi, kita akan dapat mengenali tanda-
tanda dan kesan daripada keinginan pihak tertentu untuk
disanjungi dan dibantu oleh orang asing. Kita bernasib
baik kerana kita sedar agak awal dengan apa yang sedang
berlaku dan kita dapat menangkisnya.
26. Tetapi percubaan untuk menakluki kita akan dibuat
lagi. Jika kita tidak faham apa yang sedang dilakukan
dan kita terima dan percaya propaganda mereka, maka
alaf baru boleh membawa bencana yang besar kepada kita
dan negara kita.
27. Walau bagaimanapun kita boleh merayakan Hari Raya
Aidilfitri ini dengan meriah dan gembira kerana kita
bukan sahaja dapat membendung nafsu dan berpuasa secara
menyeluruh, tetapi kita juga bersyukur kerana negara
kita telah dapat diselamatkan daripada serangan ke atas
kewangan dan ekonomi kita oleh penyangak-penyangak
asing. Hari ini kewangan dan ekonomi kita sudah
dipulihkan. Rakyat tidak lagi berasa tertekan kerana
mereka tidak boleh membeli barangan import seperti
dahulu. Bagi pegawai Kerajaan, bonus dan kenaikan gaji
telah dinikmati. Perniagaan kecil dan besar memberi
keuntungan yang baik. Pusat membeli-belah dibanjiri
pelanggan.
28. Lebih ramai daripada orang Islam Malaysia yang
dapat mengerjakan ibadat umrah terutama di bulan
Ramadan. Juadah, makanan dan pakaian untuk Hari Raya
dapat dibeli oleh hampir semua. Kita menunggu dengan
senang hati lawatan sanak saudara dan rumah kita
terbuka untuk semua.
29. Hari Raya Aidilfitri tahun ini memang sepatutnya
meriah. Dan kita bersyukur dengan ertikata yang
sebenar. Alhamdullillah. Segala puji bagi Allah
s.w.t. Dan kita berdoa supaya negara kita terus aman
dan menjadi lebih makmur. Dan kita berdoa juga supaya
orang Islam di negara lain akan terlepas daripada
diseksa, ditindas dan dibunuh. Setakat yang kita mampu
akan kita hulurkan bantuan kepada mereka. Insya-Allah
dengan usaha yang lebih gigih negara kita akan menjadi
lebih kaya dan lebih ramai daripada kita yang akan
mengeluarkan derma seperti yang kita lakukan kepada
Kosovo.
30. Kita tidak lupa bahawa kita selamat dan aman
kerana pasukan keselamatan kita rela berkorban dan
menjalankan tugas mereka walaupun di Hari Raya. Saya,
isteri dan keluarga serta seluruh rakyat Malaysia
mengucapkan terima kasih kepada mereka. Di samping
kita bersyukur kepada Tuhan kita tetap akan kenang dan
hargai jasa pasukan keselamatan kita, iaitu polis,
tentera, bomba dan pasukan-pasukan lain yang terlibat.
31. Akhir sekali saya, isteri dan anak-anak saya
mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua umat Islam
di Malaysia serta memohon maaf zahir dan batin. Saya
berdoa kita semua akan dilindungi oleh Allah s.w.t.
dalam tahun Hijrah 1420 yang bersamaan dengan tahun
2000 ini.
|