Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 21/02/2000
Tajuk/Title : MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH
KECEMERLANGAN INDUSTRI
Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih
kepada pihak penganjur kerana menjemput saya ke majlis
Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Industri pada hari
ini.
2. Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia
maklum, kecemerlangan merupakan salah satu aspek yang
amat penting untuk diterapkan dalam apa jua bidang yang
kita ceburi, lebih-lebih lagi di bidang perindustrian.
Sektor perkilangan kita perlu bersaing bukan sahaja
sesama pengeluar tempatan, bahkan dengan pengeluar
antarabangsa, termasuk di pasaran tempatan, di mana
terdapat juga barangan luar negeri yang diimport dan di
pasaran luar negeri, di mana pengeluar kita mengeksport
barangan keluaran mereka. Ini adalah kenyataan.
Inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh semua
pengeluar, sama ada yang kecil atau yang besar. Di
masa hadapan, tidak akan ada lagi sempadan yang
memisahkan di antara pasaran tempatan dan antarabangsa.
Semuanya akan menjadi sebagai satu pasaran; pasaran
global.
3. Untuk berjaya dalam pasaran yang bersifat global,
pengeluar tempatan perlu melengkapkan diri menjadi
pengeluar yang serba cekap dan berkebolehan tinggi
dalam semua aspek -- penyelidikan, pengeluaran,
pembungkusan, penghantaran, pemasaran, persembahan dan
perkhidmatan sokongan. Semua aspek ini berkait rapat
antara satu sama lain. Sekiranya salah satu bahagiannya
kurang baik atau lemah, seluruh rantaian tersebut juga
akan menjadi kurang baik atau lemah.
4. Proses memperlengkapkan diri dan memperbaiki
pencapaian ini perlu dilakukan sepanjang masa. Seluruh
anggota organisasi perlu dilibatkan bersama. Budaya
`organisasi yang sentiasa belajar' perlu diterapkan.
Tahap kecemerlangan perlu sentiasa dipertingkatkan.
Kita perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi
perubahan. Tidak ada organisasi yang boleh mengekalkan
kecemerlangannya dengan mengamalkan kaedah dan sistem
yang sama buat selama-lamanya. Kita perlu bersifat
inovatif dan kreatif. Kita perlu mempelajari apa yang
terbaik daripada sebarang kaedah atau sistem dan
menyesuaikannya untuk dijadikan amalan organisasi.
5. Salah satu perubahan besar yang merupakan
perubahan global, ialah perkembangan teknologi
maklumat. Setakat mana pengusaha-pengusaha dapat
mempelajari dan menguasai I.T., akan mempengaruhi tahap
kebolehan dan pencapaian masing-masing. Dalam era
globalisasi ini, kita perlu cepat bertindak. Kita
tidak boleh mengamalkan pendekatan `tunggu dan lihat'
untuk mengelakkan diri daripada tercicir ke belakang.
Sekiranya pengusaha-pengusaha hanya melihat syarikat
asing menceburkan diri dalam e-dagang, yang dijangka
akan berkembang pesat, mereka sendiri akan kehilangan
pelanggan dan pasaran. Kita perlu bersedia menanggung
risiko dan bersama melibatkan diri dalam arena
persaingan baru tersebut.
6. Dalam menghadapi persekitaran yang sentiasa
berubah, kita perlu mempunyai perancangan kecemasan
untuk menangani sebarang krisis. Sekiranya kita gagal
bertindak atau bertindak dengan cara yang kurang
sesuai, kita akan dapati bahawa `survival' organisasi
akan terancam. Kita perlu pelajari daripada pengalaman
menghadapi krisis kewangan yang lepas untuk mengelakkan
diri daripada membuat kesilapan yang sama. Apa jua
kelemahan yang terdapat dalam organisasi patut
diperbaiki supaya kita lebih bersedia dan berupaya
menangani sebarang krisis di masa hadapan.
7. Kita semua perlu menggunakan proses pemulihan
ekonomi yang dialami sekarang ini untuk terus berusaha
meningkatkan prestasi. Langkah-langkah yang berkesan
perlu diambil untuk mengurangkan kos pengeluaran dan
meningkatkan kualiti dan produktiviti. Adalah penting
supaya fokus diberi semula kepada perniagaan teras
ataupun `core business' kita.
8. Negara perlu memiliki `competitive advantage'
berasaskan I.T. dan produktiviti, bukan lagi
`comparative advantage' yang berasaskan input atau
sumber semata-mata. Pencapaian ekonomi negara-negara
yang miskin sumber semulajadi, seperti Jepun dan
Taiwan, membuktikan bahawa pemilikan kekayaan alam dan
sumber semulajadi bukanlah menjadi pra-syarat terhadap
kejayaan di bidang perindustrian dan perdagangan.
Faktor yang lebih penting ialah kebolehan dan kecekapan
negara menggembleng input dan sumber daripada berbagai-
bagai punca dan mengeluarkan barangan dengan cara yang
paling kompetitif.
9. Usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan atau R&D
merupakan elemen penting bagi industri memperbaiki
keluaran yang sedia ada serta memperkenalkan produk
baru yang lebih berdaya saing di pasaran. Berbanding
dengan negara-negara maju, perbelanjaan Malaysia ke
atas R&D adalah amat rendah, iaitu cuma 0.3 peratus
daripada KDNK. Syarikat-syarikat tempatan masih jauh
ketinggalan di dalam usaha untuk mempertingkatkan R&D
dalaman dan terlalu bergantung kepada pemindahan
teknologi dari luar. Adalah menjadi tanggungjawab
syarikat-syarikat pengeluar Malaysia untuk turut
memberi tumpuan di dalam pembangunan R&D, supaya kita
dapat mengekal dan mempertingkatkan daya saing keluaran
tempatan di pasaran tempatan dan antarabangsa.
10. Antara aspek penting yang perlu diberi perhatian
dalam usaha mencapai kecemerlangan organisasi ialah
kesesuaian dan kebolehan tenaga kerja. Setiap
organisasi perlu menentukan bahawa tenaga kerjanya
berpengetahuan, berkemahiran, cekap dan berdedikasi
dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Peluang
perlulah diberikan kepada mereka untuk melengkap dan
meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang mereka
sedia miliki atau memperolehi pengetahuan dan kemahiran
baru yang diperlukan untuk meningkatkan pencapaian
kecemerlangan organisasi. Antara kemahiran dan
kepakaran baru yang diperlukan oleh industri
termasuklah merekabentuk barangan dan proses, membangun
dan mengurus I.T., pemasaran dan perancangan strategik.
11. Perancangan strategik memerlukan syarikat-syarikat
mengambil pendekatan pro-aktif dalam menangani sebarang
isu atau perubahan yang dijangka akan timbul. Dalam
era globalisasi ini, syarikat-syarikat perlu memikirkan
bagaimana seharusnya mereka menghadapi persaingan yang
semakin sengit. Kerjasama pintar, penggabungan atau
pengkhususan merupakan antara opsyen yang boleh
dipertimbangkan dalam menghadapi persaingan.
12. Daripada segi strategi menembusi dan menguasai
pasaran, didapati kebanyakan pengeluar Malaysia lebih
tertumpu kepada kegiatan pengilangan secara kontrak.
Pendekatan sebegini tidak menjamin pengekalan dan
perluasaan pasaran dalam jangka panjang. Malah,
pengeluar kontrak akan selamanya bergantung kepada
pengeluar utama yang boleh menamatkan kontrak pada bila-
bila masa.
13. Sudah tiba masanya bagi pengeluar Malaysia
merangka strategi jangka pendek dan panjang untuk
mengeluar dan memasarkan barangan keluaran sendiri.
Memang disedari dan diakui bahawa mewujud dan
mempromosikan barangan jenama sendiri bukanlah sesuatu
yang mudah. Tetapi ia tidak mustahil. Cuma yang
diperlukan ialah kesungguhan dan perancangan yang rapi.
Kerjasama pintar boleh diwujudkan di antara pengeluar,
pengeksport, pengimport dan pengedar di pasaran luar
negeri. Institusi-institusi sokongan awam dan swasta,
seperti MATRADE dan persatuan industri, perlu
digemblingkan untuk membantu menjayakan strategi ini.
14. Kejayaan mempromosikan jenama di pasaran dunia
adalah berkait rapat dengan kualiti barangan,
rekabentuk yang inovatif dan pembungkusan yang menarik.
Inilah antara aspek yang perlu diberi perhatian, selain
daripada kos dan harga. Untuk meyakinkan bakal
pengguna mengenai mutu barangan jenama Malaysia, salah
satu cara ialah dengan mendapatkan pengiktirafan
piawaian antarabangsa. Semua pengeluar dan pengeksport
perlu menganggap bahawa mendapatkan pengiktirafan
piawaian adalah sesuatu yang dimestikan dan berusaha
untuk memperolehinya.
15. Usaha promosi pasaran yang bersungguh-sungguh
adalah penting bagi menjamin kejayaan dan peningkatan
eksport barangan Malaysia yang berterusan. Adalah
didapati bahawa eksport barangan Malaysia berupaya
menembusi pasaran baru, terutamanya di negara-negara
Selatan, termasuk Asia Tengah, Asia Barat, Afrika dan
Amerika Latin.
16. Pengeluar dan pengeksport barangan Malaysia
perlulah menganggap usaha yang dilakukan untuk
mempromosikan barangan jenama Malaysia sebagai
pelaburan jangka panjang. Mereka perlu bersedia
memperuntukkan sumber, pemikiran dan tenaga, bersama
dengan agensi sokongan awam dan swasta, seperti MATRADE
dan persatuan industri, dalam merangka dan melaksanakan
strategi yang bersesuaian untuk menghasilkan barangan
jenama Malaysia yang diterima dan diiktiraf oleh
pasaran antarabangsa.
17. Usaha-usaha ke arah pencapaian kecemerlangan
perlulah sentiasa dilaksanakan kerana ianya adalah satu
proses yang dinamik dan berterusan. Adalah penting
bagi syarikat-syarikat yang menunjukkan kecemerlangan
terus mempertingkatkan prestasi mereka sesuai dengan
perubahan suasana pasaran dan persaingan. Pengalaman-
pengalaman organisasi yang berjaya patut dijadikan
tanda aras dan dikongsi bersama. Dengan demikian,
usaha peningkatan kualiti dan budaya kerja berkualiti
dapat diperluaskan.
18. Anugerah yang disampaikan pada pagi ini merupakan
pengiktirafan Kerajaan dan juga sebagai galakan agar
industri terus meningkatkan keupayaan dan produktiviti
mereka supaya mampu bersaing di pasaran global.
19. Saya mengucapkan tahniah kepada syarikat-syarikat
yang telah berjaya pada tahun ini.
|