Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : AUDITORIUM INTAN BUKIT KIARA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 24/02/2000
Tajuk/Title : MAJLIS PERDANA PERKHIDMATAN AWAM
"PERKHIDMATAN AWAM DALAM ALAF BARU: CABARAN DAN PROSPEK"
Saya berasa amat gembira kerana dapat bersama tuan-tuan
dan puan-puan dalam majlis ini. Majlis seperti ini
memberi peluang kepada saya untuk menjelaskan kepada
tuan-tuan dan puan-puan harapan negara dan harapan
rakyat terhadap pegawai-pegawai kanan Kerajaan seperti
tuan-tuan dan puan-puan. Majlis seperti ini juga
memberi peluang kepada saya untuk mendengar pandangan,
ide dan teguran pegawai-pegawai kanan Kerajaan secara
terus supaya dengan teguran ini khidmat Kerajaan akan
menjadi lebih baik dan negara akan dapat dibangunkan
dengan lebih pesat serta rakyat akan terus dapat
menikmati kesejahteraan hidup.
2. Kemajuan yang dicapai oleh negara sejak kita
merdeka adalah hasil daripada keamanan yang wujud di
negara ini, perpaduan kaum yang erat, sokongan padu
rakyat kepada Kerajaan serta jentera pelaksanaan yang
baik dan berkesan.
3. Kejayaan yang dicapai bukan kita perolehi dengan
begitu mudah. Kita dapati bahawa banyak negara di
Afrika dan Asia yang telah sama-sama merdeka dengan
kita tetapi mereka masih tidak dapat dibangunkan dengan
baik. Walaupun dahulunya mereka berada di tahap hampir
sama dengan kita tetapi pada hari ini mereka sama ada
jauh ketinggalan ke belakang ataupun lebih mundur
daripada keadaan semasa mereka mula-mula merdeka.
Sesetengah negara menghadapi pelbagai masalah sosial
dan politik, keadaan huru-hara, peperangan sesama
sendiri yang tidak membolehkan mereka memberi tumpuan
kepada usaha-usaha pembangunan. Keadaan ini terus
berlaku seolah-olah ianya tidak akan berkesudahan.
Kerajaan demi kerajaan ditubuh dan dijatuhkan tanpa
diberi masa untuk melaksanakan apa-apa rancangan
kemajuan. Pembangunan diberi prioriti yang rendah dan
sebaliknya peruntukan untuk membeli senjata menelan
sebahagian besar daripada belanjawan. Dengan itu
negara menjadi miskin dan terpaksa mengemis untuk
mendapat bantuan sementara rakyat terpaksa berhijrah ke
negara lain.
4. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa pembangunan
yang kita capai tidak datang bergolek. Ianya datang
kerana adanya jentera yang cekap dan profesional,
adanya kefahaman akan penggunaan jentera ini untuk
kebaikan negara, penentuan prioriti dalam penggunaan
sumber kewangan, perancangan yang baik dan peningkatan
kecekapan jentera pelaksanaan sepanjang masa. Namun
semua ini juga tidak akan mendatangkan hasil jika
politik negara kucar-kacir, tidak ada keamanan dan kaum-
kaum di negara kita ini sering bermusuh-musuhan dan
undang-undang negara dicabul dengan sewenang-wenangnya.
5. Tentulah jelas bahawa banyak perkara mesti
ditangani dengan cekap dan baik sebelum dapat kita
bangunkan negara. Semasa kita mencapai
kemerdekaan,negara bergantung kepada hanya dua sumber
kekayaan iaitu timah dan getah. Jika hari ini kita
terus bergantung kepada kedua-dua punca ini kita akan
jadi miskin sama dengan negara yang termiskin di dunia.
6. Selain daripada cabaran menegakkan keamanan,
meningkatkan pembangunan dan kesejahteraan rakyat,
adalah jelas pada hari ini kita menghadapi pelbagai
cabaran baru yang perlu kita sama-sama tangani agar
wawasan kita untuk menjadi sebuah negara maju pada
tahun 2020 tercapai. Kita sedar bahawa tidak semua
negara berasa senang dengan kejayaan kita. Mereka
lebih suka jika kita kurang maju dan sering meminta
bantuan daripada mereka. Jika kita meminta bantuan
maka kita akan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu
serta kita perlu tunduk kepada mereka kerana terhutang
budi dan bergantung kepada mereka.Tetapi oleh kerana
kita berjaya membangunkan negara kita tanpa apa-apa
bantuan, kita bebas menentukan dasar-dasar kita sendiri
dan bebas pula menyuarakan pendapat kita berkenaan
dengan ketidakadilan yang kita lihat berlaku di dunia.
7. Dalam era globalisasi sekarang yang dipercepatkan
lagi dengan kemajuan pesat teknologi maklumat dan
komunikasi, kita didedahkan kepada ancaman baru
daripada kuasa-kuasa besar dan syarikat-syarikat
gergasi mereka yang melihat semua ini sebagai peluang
besar untuk mereka. Tujuan mereka ialah supaya
globalisasi dan kemajuan teknologi akan membolehkan
mereka sekali lagi menakluki dunia. Kali ini
peperangan bersenjata tidak perlu. Yang diperlukan
hanyalah kekayaan yang tidak ternilai besarnya.
Syarikat-syarikat dan bank-bank akan memiliki lebih
banyak kekayaan modal daripada kebanyakan negara di
dunia. Dengan disokong kuat oleh Kerajaan mereka dan
institusi antarabangsa, syarikat-syarikat dan bank-bank
mereka boleh menembusi semua negara, mengambilalih
semua perniagaan dan perusahaan dan akhirnya
mempengaruhi politik serta pemerintahan negara. Di
waktu itu kemerdekaan tidak bermakna lagi kerana semua
dasar dan rancangan perlu mendapat restu mereka. Dengan
mudah mereka boleh mengurangkan pendapatan Kerajaan,
bahkan memiskinkan negara jika kita melakukan sesuatu
yang tidak dipersetujui oleh mereka.
8. Apa yang saya perkatakan ini bukanlah bertujuan
menakutkan tuan-tuan dan puan-puan supaya Kerajaan
mendapat sokongan politik. Sebaliknya apa yang
diperkatakan ini sudahpun berlaku. Hanya dengan
menjatuhkan nilai matawang, negara yang kaya boleh
menjadi miskin, keamanan negara boleh digugat, rusuhan
berlaku dan Kerajaan ditumbangkan. Mungkin mereka yang
ingin Kerajaan tertentu dijatuhkan akan melihat
peristiwa kejatuhan Kerajaan sebagai satu kebaikan.
Tetapi jangan fikir Kerajaan yang menggantinya akan
selamat. Jika Kerajaan yang mengganti tidak sujud
kepada kuasa asing ia akan diancam dan dijatuhkan juga.
Dengan perkataan lain negara sudah dijajah. Sebab itu
kita harus berwaspada dan tidak membakar kelambu kerana
marahkan nyamuk.
9. Pemimpin institusi antarabangsa menegaskan bahawa
globalisasi bukan dirancang oleh Barat untuk menguasai
dunia. Sebaliknya ia bertujuan untuk menolong negara-
negara membangun. Setakat ini kita belum nampak mana-
mana negara membangun yang mendapat nikmat daripada
globalisasi yang diusahakan dan dilaksanakan sekarang.
Yang kita nampak ialah negara-negara yang kaya di Barat
menjadi lebih kaya dan jurang pendapatan antara yang
maju dan yang membangun menjadi lebih luas.
10. Kita berjaya menangkis percubaan untuk menakluki
ekonomi dan kewangan kita kerana kita memiliki kekuatan
dalaman. Yang pertamanya, rakyat kita tidak panik dan
tidak merusuh. Yang keduanya ialah kita tidak
berhutang terlalu banyak dari luar negeri. Yang
ketiganya, kita menguruskan kewangan kita dengan
berhati-hati. Banyak sudah tuduhan dibuat bahawa
Kerajaan Malaysia boros berbelanja dan suka membazir
dengan projek-projek yang dikatakan mega. Jika
benarlah tuduhan ini sudah tentu kita tidak akan
memiliki kekuatan kewangan sehingga kita tidak perlu
mendapat pinjaman IMF untuk memulihkan ekonomi negara
kita. Boros atau tidak bergantung kepada kemampuan
kita. Jika kita belanja kurang daripada pendapatan
kita, kita tidak boros. Tetapi walaupun perbelanjaan
kita kecil tetapi ia adalah lebih daripada kemampuan
kita, maka itu adalah boros. Orang asing yang menuduh
kita boros mempunyai agenda tertentu. Janganlah kita
jayakan agenda mereka dengan menyambut tuduhan mereka.
Hakikatnya ialah kita mengurus kewangan kita dengan
bijak sehingga hari ini 'credit rating' kita menjadi
yang terbaik sekali di Asia selain Singapura dan bank-
bank berlumba-lumba untuk memberi pinjaman kepada kita.
11. Kejayaan kita menyelamatkan negara kita dengan
usaha dan cara kita sendiri harus menyakinkan kita
bahawa kita mampu menangani masalah yang akan dibawa
oleh globalisasi dan mungkin juga mendapat manfaat
daripadanya.
12. Oleh kerana kita tidak terletak dibawah naungan
IMF, kita masih boleh menyekat pencerobohan syarikat-
syarikat gergasi yang telah didirikan untuk tujuan ini.
Tetapi untuk menentukan kejayaan, kita perlu kepada
perkhidmatan awam yang cekap dan berdisiplin.
13. Alhamdullillah, Malaysia mempunyai perkhidmatan
awam ini. Yang diperlukan daripada perkhidmatan awam
ini ialah kesedaran akan bahaya yang dihadapi serta
perubahan ketara 'environment' dunia yang memerlukan
cara dan sistem perkhidmatan yang berbeza.
14. Kita hidup dalam zaman teknologi maklumat yang
mana maklumat datang sebagai banjir yang membawa
bersamanya bukan sahaja yang berguna dan baik tetapi
juga yang palsu dan merbahaya, yang boleh mendatangkan
mudarat kepada kita. Kita terdedah kepada yang baik
dan yang buruk. Jika kita tidak cekap menapis maklumat
ini, maka kita akan membuat tindakan yang salah kerana
berpandu kepada maklumat yang tidak benar dan salah.
15. Kita sudah lihat bagaimana program-program TV
asing boleh meruntuhkan moral kita. Tetapi yang lebih
merbahaya ialah promosi cara hidup dan kegiatan yang
berasas kepada nafsu serta perasaan lebih daripada akal
fikiran. Jika kita mengikut kehendak nafsu dan
perasaan, keputusan dan tindakan kita tetap tidak
bijak. Kita akan memarahi sesuatu tanpa usul periksa,
yang mana ini akan mempengaruhi sikap dan tindakan
kita. Mungkin juga ia menjadikan khidmat kita tidak
baik dan menjejaskan pembangunan negara kita. Oleh
itu, amatlah penting kita tidak menerima sebagai benar
semua maklumat yang kita terima melalui teknologi
maklumat.
16. Sebaliknya jika kita cekap menapis dan menggunakan
maklumat yang benar maka prestasi khidmat kita akan
meningkat, kita akan lebih produktif serta pembangunan
negara akan berjalan lancar. 'Electronic-Government'
adalah cara khidmat yang boleh meningkatkan
produktiviti Kerajaan. Justeru itu amatlah penting
semua anggota Kerajaan menguasai penggunaan komputer
dan Internet untuk meningkatkan prestasi serta
produktiviti Kerajaan dan khidmat yang diberi kepada
rakyat serta pelanggan Kerajaan.
17. Kita mengamalkan konsep Persyarikatan Malaysia.
Sebelum ini kita mengasingkan perkhidmatan Kerajaan
(public service) daripada swasta. Kadang-kadang kita
seolah-olah bermusuh dengan mereka. Kita tidak
menganggap tugas kita ada kaitan dengan mereka dan
dengan itu kita tidak cuba menolong mereka.
18. Sikap ini dikatakan diamalkan oleh pentadbiran
kolonial dahulu. Tetapi sebenarnya pentadbiran
kolonial juga menolong pihak swasta. Hanya yang
berbeza ialah swasta bagi mereka terhad kepada kaum
bangsa mereka sendiri. Sebab itu di zaman kolonial
begitu mudah sekali bagi mereka mendapatkan tanah yang
luas untuk ladang mereka dengan harga yang amat murah
dan cukai yang rendah. Sebab itu mereka mengadakan
'Imperial Preference' supaya hanya barangan British
sahaja yang boleh dibeli oleh Kerajaan dan kakitangan
Kerajaan.
19. Amalan kronisme mereka amat ketara sekali. Mereka
berjumpa dalam kelab-kelab mereka dan di situlah mereka
melayan kroni mereka. Hanya pada masa itu mereka tidak
memperkenalkan perkataan 'kroni'.
20. Apabila kita melaksanakan konsep Persyarikatan
Malaysia, layanan yang kita perlu beri kepada swasta
adalah oleh kerana hasil Kerajaan datang daripada
mereka. Lebih untung mereka lebih besarlah pendapatan
Kerajaan. Dan pendapatan Kerajaan menentukan gaji kita
serta pembangunan negara. Kita tidak rugi jika swasta
mendapat keuntungan yang besar. Tetapi kita tetap rugi
jika pihak swasta rugi. Pendapat bahawa walau apapun
terjadi kepada swasta pendapatan kita tetap kekal
adalah salah. Semasa kegawatan baru-baru ini kita
terpaksa memotong elaun-elaun tertentu dan juga
kenaikan gaji. Ini adalah oleh sebab cukai korporat
yang dipungut oleh Kerajaan berkurangan.
21. Hubungan kita dengan swasta kerana mengamalkan
Persyarikatan Malaysia mendedahkan kita kepada tuduhan
dan kemungkinan kita disogok. Rasuah tidak mudah
dikesan tetapi lambat-laun ia dikesan juga dan tindakan
yang akan diambil terhadap kita adalah jauh lebih berat
daripada apa yang kita terima. Kita mungkin dipenjara
dan masa depan kita akan hancur. Jikalau kita sentiasa
ingat akan semua ini kita boleh mengelak daripada
terlibat dengan rasuah sementara kerja kita dapat
dilaksanakan dengan cepat dan licin. Sebenarnya
mengelak daripada rasuah bergantung kepada nilai-nilai
yang dipegang oleh kita. Alhamdullillah, budaya bangsa
kita masih menganggap penerimaan rasuah sebagai salah
dan memalukan. Selagi penerimaan rasuah tidak menjadi
budaya biasa, kita mempunyai harapan untuk menentukan
khidmat kita bersih daripada rasuah. Dengan itu
pentadbiran negara kita akan terus licin dan berhasil.
22. Saya percaya kita semua pernah ke negara-negara di
mana rasuah adalah sebahagian daripada budaya dan cara
hidup. Kita tentu dapat melihat bahawa negara
berkenaan, walaupun kaya dengan sumber alam dan
berpotensi, tetapi ia tidak dibangunkan dengan baik.
Tidak ada kemajuan yang dapat dilihat. Perniagaan dan
perusahaan tidak maju serta tidak mendapat keuntungan.
Pemerintah juga tidak dapat memungut hasil yang cukup
dan membayar gaji yang berpatutan kepada kakitangan
Kerajaan. Dengan itu kakitangan Kerajaan terpaksa
bergantung kepada rasuah. Bagi kakitangan yang tidak
berpeluang mendapat duit rasuah, mereka terpaksa
mempunyai pekerjaan yang kedua untuk menambahkan
pendapatan mereka. Saya yakin kita semua tidak ingin
melihat negara kita menerima rasuah sebagai sebahagian
daripada budaya kita. Oleh itu, walaupun kita bergaul
dengan swasta, kita tentu tidak akan membenarkan diri
kita terlibat dengan rasuah. Kita mungkin percaya
rasuah kita tidak akan dikesan. Tetapi jangan terlalu
yakin. Kerana sudah ramai yang telah menerima hukuman
yang berat.
23. Profesionalisme adalah penting untuk menentukan
pentadbiran berjalan dengan berkesan. Profesionalisme
bermakna khidmat yang diberi tidak berpartisan, tidak
memihak kepada sesiapa, sebaliknya ia hanya bertujuan
untuk menjayakan urusan kita. Sebagai contoh konsultan
yang terdiri daripada bangsa lain perlu membuat kajian
dan laporan tanpa mengambilkira bangsanya tetapi
sebaliknya mengutamakan kepentingan pihak yang memberi
kontrak kepada mereka sebagai konsultan. Dalam pada
itu laporan yang hendak dibuat mestilah berasas kepada
kebenaran walaupun kebenaran itu tidak secocok dengan
kehendak pelanggan dan mungkin mereka tidak akan
melanggan lagi.
24. Di Malaysia semua khidmat Kerajaan adalah
profesional. Tentera umpamanya akan menurut arahan
Kerajaan semasa. Bukanlah menjadi peranan tentera
untuk membentuk dasar negara sama ada di dalam atau di
luar negeri. Tentera juga tidak memihak kepada mana-
mana parti politik serta tidak mempunyai pendirian
tersendiri. Kesetiaan tentera bukanlah kepada panglima
atau pegawai-pegawai ketenteraan tetapi kepada Kerajaan
semasa yang memerintah. Sudah tentu jika panglima atau
pegawai memberi arahan untuk menentang Kerajaan, maka
ini tidak akan mencerminkan profesionalisme tentera dan
sebagai anggota profesional arahan seperti itu tidak
mengikat tentera.
25. Alhamdullillah, tentera Malaysia adalah badan
profesional. Dengan itu kita tidak menghadapi masalah
seperti yang dihadapi oleh sesetengah negara lain yang
memperlihatkan perebutan kuasa oleh tentera. Demikian
juga pentadbiran negara ini tidak menghadapi masalah
kerana profesionalisme perkhidmatan awam negara ini.
26. Namun demikian tiap seorang daripada anggota
perkhidmatan awam tentulah mempunyai pendirian
berkenaan politik negara. Mereka mungkin memihak atau
bersimpati dengan perjuangan parti-parti tertentu.
Tetapi dalam menjalankan tugas, soal pendirian peribadi
tidak boleh diambilkira -- sama seperti konsultan asing
yang tidak boleh mengambilkira kepentingan negara serta
bangsanya dalam memberi pandangan mereka.
27. Kita sudah merdeka selama 42 tahun. Dalam masa
tersebut perkhidmatan awam telah berlipatganda
besarnya. Bahawa perkhidmatan awam adalah profesional
dan cekap dapat dilihat daripada pembangunan yang pesat
yang dicapai oleh negara kita Malaysia. Demikianlah
terkenalnya prestasi baik dan profesionalisme
perkhidmatan awam Malaysia sehingga banyak negara
membangun lain yang memilih perkhidmatan awam Malaysia
sebagai contoh. Kita bukan sahaja menerima kunjungan
daripada pegawai-pegawai perkhidmatan awam dari negara
asing tetapi mereka meminta supaya kita memberi latihan
kepada mereka.
28. Rekod perkhidmatan awam Malaysia adalah cemerlang
dan saya percaya tidak akan ada sesiapa daripada
anggota perkhidmatan awam yang ingin mencemarkan rekod
ini. Walaupun kita semua bekerja kerana upahan yang
kita terima tetapi balasan yang kita mesti lebih hargai
ialah melihat hasil yang baik daripada perkhidmatan
yang kita beri. Perkhidmatan awam Malaysia boleh
berpuashati dan berbangga melihat bagaimana negara kita
telah maju sejak kita merdeka. Inilah balasan yang
terbesar yang lebih bermakna daripada apa yang kita
dapati sebagai upah atau saguhati lain.
29. Saya yakin dan percaya bahawa kita mampu, malah
kita telah membuktikan kita mampu, untuk maju dengan
pesat bagi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Bagi pihak diri saya dan Kerajaan Barisan Nasional,
saya ingin mengucap terima kasih kepada semua anggota
perkhidmatan awam yang sejak merdeka telah memberi
perkhidmatan yang profesional dan cekap supaya
pembangunan negara kita dapat dimajukan dengan pesat.
|