Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 26/02/2000
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN KONGRES
PROFESIONAL MUDA MELAYU
Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bekas
Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (ANSARA) kerana
menjemput saya untuk merasmikan Kongres Profesional
Muda Melayu pada hari ini.
2. Saya berasa bangga dengan inisiatif pihak
penganjur untuk mengumpulkan lebih kurang seribu
profesional muda Melayu daripada pelbagai lapisan,
bidang tugas dan perkhidmatan untuk membincang perkara-
perkara yang amat relevan kepada masa depan bangsa,
agama dan negara kita.
3. Saya difahamkan antara lain kongres ini akan
membincangkan peranan dan arahtuju masa depan
profesional muda Melayu dalam pembangunan ekonomi
negara khususnya dalam senario globalisasi ekonomi
dunia di alaf baru. Justeru itu tema kongres ini --
'Profesionalisme Melayu Mengharungi Cabaran Ekonomi'
adalah bertepatan sekali.
4. Tajuk ini dipilih sudah tentu kerana tuan-tuan dan
puan-puan berasa tidak senang hati akan kemampuan dan
peranan orang Melayu menangani ekonomi yang kian
mencabar ini.
5. Kita berjuang dahulu untuk mencapai kemerdekaan.
Tetapi tentulah dalam negara kita yang merdeka dan
diperintah oleh kita sendiri, kita tidak ingin terus
menjadi pengemis dan golongan yang termiskin antara
penduduknya. Merdeka seperti ini tidak bermakna. Jika
kita bercakap tentang ketuanan Melayu, dan kita amat
gemar bercakap berkenaannya, apakah hanya kerana kita
tidak lagi dijajah maka kita sudah jadi 'Tuan'?
Jikapun kita dipanggil Tuan, tetapi Tuan yang hidup
sebagai pengemis bukanlah Tuan.
6. Kita tidak boleh jadi Tuan yang sebenar hanya
kerana kita ingin jadi Tuan. Jika kita ingin menjadi
Tuan, kita perlu memiliki kebolehan tertentu. Kita
perlu berpengetahuan, cekap, berjaya dalam persaingan
hidup dan memiliki harta kekayaan yang sewajarnya.
Untuk ini usaha tertentu perlu dibuat oleh kita.
7. Sama ada usaha kita berhasil atau tidak bergantung
kepada sifat-sifat yang ada pada kita, sifat-sifat yang
dibentuk mengikut nilai-nilai hidup dan budaya yang
kita miliki dan kita amalkan.
8. Ada yang berpendapat bahawa berjaya atau tidaknya
sesuatu bangsa bergantung kepada keturunan dan warna
kulit. Ada yang berpendapat orang kulit putih memiliki
sifat-sifat semula jadi yang membolehkan mereka berjaya
dan orang Cina, orang Jepun dan Korea mempunyai sifat
tertentu yang menolong mereka mencapai kejayaan. Ada
juga yang berpendapat bahawa orang kulit sawo matang
serba kekurangan, tidak boleh menguasai ilmu dan
kecekapan tertentu. Orang Melayu kononnya tidak boleh
berjaya dalam bidang perniagaan. Sebab itu pantun lama
Melayu berbunyi:-
Buai laju-laju;
Sampai balik sana;
Beli baju baru;
Dari kedai Cina.
Kedai bagi orang Melayu mestilah dimiliki oleh orang
Cina. Demikian juga tukang apapun mestilah terdiri
daripada orang Cina. Orang Melayu tidak ada kedai dan
tidak boleh jadi tukang.
9. Tetapi sebenarnya yang menentukan berjaya atau
tidaknya sesuatu bangsa dalam apa juga bidang
bergantung kepada nilai dan budaya bangsa itu, lebih
penting lagi yang diamalkan oleh bangsa itu. Jika
jumlah nilai budaya itu sesuai dengan kejayaan, maka
berjayalah bangsa itu, jika tidak, tidaklah.
10. Apakah jika budaya itu tidak sesuai dengan
kejayaan maka akan mundurlah bangsa itu selama-lamanya?
Walaupun ini mungkin, tetapi ia tidak semestinya
begitu. Jika ada kesedaran dan ada minat serta
keyakinan, budaya boleh ditukar daripada yang tidak
sesuai kepada yang sesuai dengan kejayaan.
11. Sebenarnya semua bangsa mempunyai kebolehan yang
sama. Tidak ada bangsa atau keturunan etnik yang lebih
mampu daripada yang lain. Ini dapat dibuktikan
daripada sejarah. Apabila budaya yang sesuai
diserapkan, maka bangsa yang mundur tiba-tiba boleh
menjadi bangsa yang maju sehingga dapat menguasai
dunia.
12. Contoh yang tepat ialah Arab Jahiliah sebelum
kedatangan Islam. Mereka amat bodoh, mempunyai budaya
yang buruk yang menyebabkan mereka sanggup membunuh
anak perempuan mereka, bermusuhan antara kabilah-
kabilah mereka sepanjang masa, suka dipuji dan mudah
marah tanpa usul periksa. Apabila Nabi Muhamad S.A.W.
membawa agama Islam, mengharamkan pembunuhan anak
perempuan, menghapuskan ketaksuban kepada kabilah dan
menerima nilai-nilai Islam yang mulia, bangsa yang
jahil dan kolot ini telah bangun dan maju dengan
pesatnya. Dalam masa hanya seratus tahun mereka dapat
mendirikan sebuah empayar dari Sepanyol di Barat
sehingga ke negara China. Melalui hubungan dengan
bangsa-bangsa lain mereka dapat menguasai berbagai-
bagai ilmu, mencipta angka, mempelopori ilmu hisab
yang tinggi dan mencipta tulisan dan membukukan segala
ilmu. Satu tamadun yang tinggi dapat didirikan oleh
bangsa yang dahulunya jahil dan tamadun ini kekal lebih
dari satu alaf.
13. Satu contoh lagi ialah kemunculan bangsa Mongol
dengan tiba-tiba. Dalam satu generasi bangsa nomadik
yang tidak tahu berumah tetap, terbahagi kepada
berpuluh-puluh suku kaum yang kecil yang selalu
berperang sesama sendiri; bangsa yang tidak tahu
bercucuk tanam tetapi hanya menternak binatang dan
dengan itu terpaksa berpindah-pindah untuk mendapatkan
kawasan yang berumput; bangsa ini telah menguasai
dunia.
14. Mereka yang kolot dan tidak bertamadun ini telah
disatukan oleh Ghengis Khan, dipupuk dengan budaya
bangsa yang satu, didisiplinkan dan disusun mengikut
pasukan yang tidak mengambilkira suku kaum, dilatih
rapi dan dihimbau ke arah negara jiran yang berpenduduk
tetap dan kaya-raya. Bala tentera Mongol bergerak
dengan pantas dan menyerang empayar-empayar dari China
di Timur dan Hungary di Barat. Mereka mengambilalih
budaya dan tamadun bangsa yang ditakluki oleh mereka
dan berjaya mendirikan beberapa negara di Asia Barat,
India, Asia Tengah dan Timur.
15. Kita tahu semua empayar dan tamadun akhirnya
runtuh juga tetapi bagi bangsa yang bertamadun tinggi
dan lama, hasil dan kesannya kekal walaupun empayar
sudah tidak ada lagi.
16. Kita orang Melayu dijajah oleh Barat selama 450
tahun, bermula dengan kejatuhan Melaka di tangan
Portugis. Negeri-negeri Melayu Semenanjung kecil-kecil
semuanya dan menjadi lebih kecil kerana terlalu mudah
memberi wilayah untuk raja-raja kecil mendirikan
pemerintahan sendiri. Tiap kali ada kemangkatan raja
maka berebut-rebutlah waris untuk menduduki takhta.
Dalam perebutan ini waris yang lemah suka meminta
pertolongan daripada kuasa asing dan meletakkan diri
serta negeri di bawah naungan kuasa yang menolong.
17. Akhirnya semua negeri Melayu ini ditakluk oleh
orang asing. Tetapi orang Melayu tidak membuat apa-apa
untuk membebas atau memajukan diri. Mereka berasa
senang hati menerima 'political pension' dan
menyerahkan pemerintahan serta ekonomi kepada penjajah
dan kaum mendatang. Oleh kerana kutipan cukai biasanya
dilesapkan oleh pegawai dan sedikit benar yang sampai
ke tangan raja, kutipan cukai ini diserahkan kepada
kapitan-kapitan Cina yang menjamin pulangan yang lebih
tinggi. Demikian juga monopoli candu diserahkan kepada
kaum pendatang kerana kurang percaya kepada pegawai
sendiri. Apabila kaum pendatang memasuki bidang
perniagaan, orang Melayu pun mengundur diri dan
menyerahkan bidang ini kepada kaum asing. Demikian
juga oleh kerana pendatang dari China menjamin pulangan
yang lebih tinggi dan tetap daripada perlombongan
timah, pembesar-pembesar Melayu menyerahkan tanah
mereka untuk diusahakan oleh orang asing ini.
18. Akibatnya kaum pendatang bertambah sehingga mereka
lebih ramai daripada orang Melayu. Jika tidak kerana
resesi pada tahun 1920 hingga 1930 yang menyebabkan
ramai daripada mereka kembali ke negara mereka, apabila
tuntutan untuk kemerdekaan dibuat hasilnya mungkin
seperti yang terdapat di negara jiran di selatan.
19. Tetapi pada pertengahan abad kedua puluh, orang
Melayu menukar budaya mereka. Dihimpit dari luar
mereka terpaksa merapatkan barisan, bersatu padu,
bergerak cergas dan menentang usaha British untuk
menjadikan negeri-negeri Melayu milik siapa sahaja yang
bermastautin sekejap di sini.
20. British percaya orang Melayu akan menerima apa
sahaja yang dibawa oleh orang kulit putih. Sebab itu
mereka merancang Malayan Union tanpa berunding dengan
seorang pun orang Melayu. Tetapi mereka terkejut
kerana orang Melayu sudah menukar belangnya, sanggup
bergerak, menyusun barisan dan menentang orang yang
mereka anggap begitu 'superior'.
21. Yang jelas ialah orang Melayu, walaupun mengambil
masa 450 tahun, mampu menukar budaya daripada yang
kolot kepada yang boleh memajukan. Proses penukaran
budaya mengambil masa dan memerlukan kepada kejutan
yang menggegarkan. Tetapi penukaran dapat dilakukan
juga.
22. Soalnya apakah budaya yang membolehkan Melayu
mencapai kejayaan ini dapat dikekalkan? Tamadun Islam
kekal lebih dari satu alaf, tamadun lain kekal beratus
tahun dan meninggalkan kesan sehingga kini. Apakah
budaya Melayu dapat dikekalkan sehingga satu tamadun
yang kukuh didirikan?
23. Dalam jangka masa hanya 42 tahun kemerdekaan
bangsa Melayu mengamalkan budaya dan nilai-nilai hidup
yang membawa banyak kemajuan kepada mereka. Di
kalangan orang kulit sawo matang mereka sudah menjadi
orang yang termaju sekali. Mereka bekerja kuat,
menguasai ilmu, bersaing dalam bidang perniagaan dan
perusahaan dengan jayanya, berdisiplin dan berpegang
kepada undang-undang yang mereka gubal sehingga dapat
memerintah dan membangunkan negara ke tahap yang
tinggi.
24. Kita tahu semua tamadun akhirnya runtuh.
Sepertimana pembangunan sesuatu tamadun disebabkan oleh
pengguguran budaya buruk dan menggantinya dengan budaya
yang sesuai dengan kemajuan, keruntuhan tamadun juga
disebabkan oleh penukaran budaya. Demikian empayar
Islam runtuh kerana keasyikan pemimpin dan rakyat
dengan kemewahan hidup, perebutan kuasa, perselisihan
keagamaan, pengekalan yang jumud, dan kepercayaan
bahawa walau apapun yang dibuat oleh orang Islam,
empayar dan tamadun mereka akan kekal.
25. Jika semua tamadun akan runtuh, apa perlunya kita
orang Melayu mengejar kemajuan bangsa dan tamadun kita?
Tetapi yang harus diingat ialah lebih lama dan lebih
tinggi sesuatu tamadun, lebih besarlah peninggalannya.
Dan bangsa yang bertamadun yang hidup ratusan tahun
akan terus berada walaupun keagungannya tidak seperti
yang dahulu. Sebab itu walaupun tamadun Melayu tidak
kekal tetapi usianya hendaklah dipanjangkan.
26. Orang Melayu baru muncul 42 tahun sebagai bangsa
yang bertamadun moden. Dalam masa itu satu bangsa yang
bermaruah dan dihormati telah dapat ditempa dan
dibangunkan. Tetapi ia belum matang; belumpun mencapai
kemuncak yang termungkin. Malangnya sudah ada tanda-
tanda yang tamadun yang muda dan rapuh ini akan merosot
dengan cepat.
27. Seperti juga dengan tamadun lain, kejayaan membawa
kemewahan dan iklim yang berbeza dari zaman himpitan
oleh kuasa asing dahulu. Nampaknya ramai daripada kita
yang percaya kita tetap akan kekal memerintah negara
kita sendiri dan pemerintahan oleh kita sendiri tetap
melindungi kita, memajukan kita. Apa juga yang kita
lakukan tidak akan mengubah hakikat ini. Pemerintahan
kita sendiri tetap berjaya dan berhasil. Dengan
kepercayaan ini kita mula kembali kepada budaya lama
kita, budaya mudah berpuas hati, budaya merebut kuasa,
budaya bermusuh-musuhan sesama sendiri. Jika penukaran
budaya ini tidak dibendung, tamadun moden yang baru
kita dirikan akan runtuh. Memandangkan bahawa ianya
hanya berusia 40 tahun, mungkin tidak akan ada apa-apa
peninggalan yang bermakna. Akan sia-sia sahajalah
usaha-usaha yang dibuat selama empat dekad kemerdekaan.
28. Kita demokratik. Demokrasi adalah sistem politik
dan pentadbiran yang terbaik sekali. Ramai daripada
kita yang percaya demokrasi tidak boleh salah dan tidak
boleh membawa keburukan. Tidakkah bangsa Barat berkata
bahawa 'Vox populi, Vox Dei', 'Suara ramai Suara
Tuhan'. Tentulah suara yang di Tuhankan oleh Barat
tidak akan merosakkan kita.
29. Tetapi kita baru kenal demokrasi selama 42 tahun.
Sedangkan ajaran Islam yang benar-benar ajaran Tuhan
boleh disalahtafsir dan disalahamal oleh penganut agama
Islam, apakah sistem ciptaan manusia seperti demokrasi
tidak boleh disalahguna dan mendatangkan mudarat?
30. Kepercayaan yang keterlaluan di kalangan ramai
daripada kita kepada demokrasi, sudah membawa perubahan
dalam sistem nilai dan budaya kita. Unsur-unsur yang
tidak sihat sudah mula dilihat dalam masyarakat Melayu.
Ketertiban, kesopanan, disiplin dan semangat Kebangsaan
sudah diganti dengan budaya liberal dan kebebasan diri
yang tidak terhad anjuran Barat.
31. Apakah kita sudah bosan dengan tamadun yang baru
sahaja kita bangunkan? Atau apakah kita percaya
perubahan yang kita sedang lakukan kerana demokrasi
liberal Barat akan membawa lebih banyak kebaikan dan
kemajuan dengan lebih cepat?
32. Ada yang berpendapat bahawa mereka sedang gigih
menukar budaya yang ada dengan budaya yang lebih baik.
Walaupun dengan percubaan ini kita akan hancur, ini
adalah risiko yang perlu kita ambil. Yang kita
perjuangkan dahulu sudah kita capai. Sekarang
perjuangan baru mestilah dibuat.
33. Memanglah perjuangan untuk pembaharuan perlu
dibuat sepanjang masa. Jika tidak kita akan terikat
dengan yang lama, akan tidak bergerak ke hadapan. Yang
tidak maju ke hadapan tetap akan ketinggalan di
belakang. Tetapi menukar kerana mahukan pertukaran
atau 'change for the sake of change' tidak
mencerminkan kematangan kita. Sebelum kita melakukan
pertukaran, penilaian yang teliti perlu dibuat dan
jenis pertukaran yang hendak dilakukan dikaji dengan
sebaik-baiknya. Tidak semua pertukaran akan membawa
kebaikan. Banyak sudah pertukaran yang dibuat oleh
beberapa negara yang hanya membawa keadaan yang lebih
buruk. Pertukaran kepada ideologi Komunis dan
'fascist' telah menghancurkan beberapa bangsa dan
negara.
34. Sebagai ahli profesional yang muda, saya yakin
tuan-tuan dan puan-puan tahu melalui pengalaman bahawa
ilmu yang dipelajari dan dimiliki tidak dengan
sendirinya membawa kejayaan. Iklim dan persekitaran
berubah. Yang tahu membentuk sikap yang sesuai dengan
perubahan akan berjaya, yang tidak tahu akan gugur
walaupun terlatih dan berijazah.
35. Dalam negara berbilang kaum ini orang Melayu baru
mula berjinak dengan bidang perniagaan dan perusahaan.
Mereka terpaksa bersaing dengan kaum yang lebih pintar
dalam bidang ini. Sebelum ada Dasar Ekonomi Baru (DEB)
sukar bagi mereka mencapai kejayaan. Dengan DEB pun
ramai daripada mereka masih gagal. Majoriti daripada
mereka bergantung kepada Kerajaan kerana masyarakat
belum menerima kebolehan mereka. Hanya dalam bidang
profesional sahaja yang terdapat keyakinan orang ramai.
Ini tidak mencukupi. Oleh itu dasar membantu
Bumiputera masih diperlukan. Kita percaya bahawa
dengan penerusan dasar ini orang Melayu akhirnya dapat
menyaingi kaum lain tanpa bantuan Kerajaan.
36. Tetapi belum pun kita mencapai tahap ini, cabaran
yang baru sudahpun menggelapkan pemandangan kita.
Cabaran ini ialah cabaran globalisasi, cabaran dunia
tanpa sempadan, cabaran wang dan materialisme serta
ketamakan yang dipelopori dan diusahakan oleh kapitalis
negara yang menjajah kita dahulu. Walaupun mereka
menafikan yang mereka ingin menjajah kita semula tetapi
apa yang kita lihat sudah dilakukan oleh mereka, tidak
banyak berbeza dengan penjajahan mereka dahulu.
37. Seperti dengan ideologi-ideologi politik mereka,
sistem 'free market' yang mereka ciptakan ini dipromosi
dengan cekap. Sekarang dunia sudah menerima akan
perlunya 'free market', globalisasi, dunia tanpa
sempadan, 'level playing field' dan sebagainya.
Demikianlah kejayaan mereka mempromosi ide-ide ciptaan
mereka sehingga siapa yang menentang atau mengkritik
konsep-konsep ini akan dianggap kolot, tidak bertamadun
dan menjadi 'heretic' atau murtad.
38. Kita tidak perlu menolak semua ini hanya kerana ia
dicipta oleh bangsa-bangsa yang biasa menjajah kita,
tetapi kita perlu faham konsep-konsep ini dan
kemungkinan-kemungkinan yang akan datang daripadanya.
Kita adalah negara membangun yang rapuh, negara yang
mempunyai 'disparity' pembangunan yang ketara di antara
kaum, yang belum mampu bersaing dalam kebanyakan bidang
perniagaan dan perusahaan. Sudah tentu jika kita
menerima persamaan-persamaan layanan kepada semua
pihak, sama ada dari dalam atau luar seperti yang
disarankan oleh mereka, maka kita tidak boleh
membezakan layanan antara kaum seperti yang
diperuntukkan di bawah DEB. Soalnya ialah apakah kita
sudah sampai ke peringkat yang kita boleh gugurkan asas-
asas yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru?
Yakinkah kita akan kebolehan kita tanpa sebarang
perlindungan daripada Kerajaan yang bersimpati dengan
kita?
39. Globalisasi bermakna penyatuan negara-negara
supaya tidak ada lagi perbezaan layanan antara
warganegara dan orang asing dalam perniagaan dan
perusahaan. Tidak akan ada lagi perbezaan antara
syarikat tempatan milik warganegara dengan syarikat
asing atau antarabangsa. Semua syarikat bebas berniaga
di mana-mana negara tanpa apa-apa sekatan. Tetapi kita
tidak mempunyai syarikat yang mampu bergerak di negara-
negara maju sedangkan mereka mempunyai ribuan syarikat
gergasi yang boleh masuk ke negara kita. Persamaan
layanan ternampak begitu adil tetapi jika mereka sahaja
yang akan mendapat layanan, apakah ini adil?
40. Sebenarnya konsep globalisasi dicipta kerana
kapitalis asing nampak perkembangan teknologi
telekomunikasi boleh diperalatkan untuk memonopoli
semua kegiatan dagangan di seluruh dunia dan melalui
dagangan menguasai politik juga. Kita telah merasai
sedikit sebanyak kesan globalisasi apabila matawang
kita dikuasai nilainya oleh mereka. Dengan hanya
menjatuhkan nilai matawang, mereka boleh menjadikan
kita miskin dalam beberapa hari sahaja dan dengan itu
kita menjadi pengemis dan meminta-minta pertolongan
daripada mereka. Apabila pertolongan dipohon maka
syarat tertentu dikenakan supaya segala urusan ekonomi
negara diletak di bawah telunjuk mereka. Dengan ini
mereka dapat memburukkan lagi keadaan sehingga berlaku
rusuhan dan Kerajaan dijatuhkan. Jika Kerajaan yang
mengganti tidak sanggup tunduk kepada mereka, Kerajaan
itu akan dijatuhkan pula. Dengan ini kemerdekaan tidak
bermakna lagi. Inilah contoh globalisasi yang telah
kita lihat dan sedikit sebanyak kita rasai.
41. Sekarang ini kita lihat bank dan syarikat-syarikat
gergasi di negara maju sibuk mengadakan gabungan dan
pengambilan-alih bank dan syarikat lain supaya yang
sudah besar menjadi lebih besar lagi; lebih besar
daripada kebanyakan negara-negara di dunia. Apakah
tujuan mereka membesarkan lagi badan korporat mereka
jika tidak kerana melihat peluang yang akan wujud
apabila globalisasi menjadi kenyataan. Gergasi-gergasi
ini akan melanggar masuk apabila sahaja globalisasi
dilaksanakan dan mereka akan menelan semua bank dan
syarikat-syarikat tempatan.
42. Kata mereka apa perlunya syarikat kecil tempatan
yang sudah tentu tidak mempunyai 'economies of scale',
tidak dapat membuat 'research' dan menyimpan data dan
meningkatkan 'efficiency' mereka serta memberi layanan
yang baik kepada pelanggan? Kemasukan gergasi luar
akan mengurangkan kos kepada pelanggan, membolehkan
mereka menikmati kehidupan yang lebih selesa kerana
mendapat pendapatan yang lebih besar dan kos sara hidup
yang lebih rendah dari sekarang. Apabila Kerajaan
melindungi syarikat tempatan yang kecil ia akan menjadi
'inefficient', dan kos akan menjadi tinggi. Dan kos
yang tinggi ini akan dipikul oleh pengguna, iaitu
rakyat. Kenapakah pengguna mesti memikul beban ini
sedangkan syarikat gergasi antarabangsa boleh
mengurangkan beban pengguna? Tentulah lebih baik jika
sempadan direban, gergasi asing dibenar masuk dan
menelan semua syarikat kecil tempatan.
43. Barat memang pintar. Apabila mereka ingin membuat
sesuatu yang menguntungkan mereka, kempen diadakan oleh
media mereka sehingga mangsa mereka berasa bersalah
jika tidak menyokong pendapat mereka. Demikian apabila
mereka melihat negara-negara Timur bangun dengan pesat
dan dapat menyaingi mereka, maka mereka memulakan
kempen dan usaha untuk menghalang kemajuan ini.
44. Korea Selatan ditakrif sebagai 'Newly
Industrialising Country' apabila ternampak ia mungkin
menjadi Jepun kedua. Dengan itu pelbagai sekatan
dikenakan. Tetapi Korea Selatan bukan sahaja terus
maju, negara-negara Timur yang lain juga menunjukkan
kemajuan yang pesat. Demikianlah kemajuan ini sehingga
ada yang berkata abad ke-21 akan menjadi Abad Asia.
45. Supaya kemungkinan ini tidak akan menjadi
kenyataan Barat mencari pendekatan lain. Maka
bermulalah tuduhan bahawa kemajuan yang dicapai oleh
negara-negara Timur ialah disebabkan amalan kroni-
kapitalisme, iaitu pemimpin-pemimpin Kerajaan membantu
kawan dan keluarga mereka membangunkan syarikat-
syarikat gergasi yang boleh menyaingi syarikat Barat
dalam pasaran dunia. Satu kempen besar-besaran
diadakan berkenaan kroni-kapitalisme dalam media
antarabangsa milik Barat.
46. Seperti yang mereka jangka dunia mengecam negara
Timur kerana tidak mengurus ekonomi mengikut etika yang
baik dan rakyat negara Timur juga turut mengecam apa
yang dikatakan amalan buruk Kerajaan mereka. Kesatuan
Sekerja Barat menghasut supaya pekerja Timur mengecam
kronisme dan mengadakan mogok serta menuntut upahan
yang boleh menjadikan syarikat-syarikat Timur tidak
kompetitif.
47. Namun ekomomi negara Timur masih tumbuh dengan
pesat. Dengan itu peniaga matawang pula mendakwa oleh
kerana Kerajaan-Kerajaan Timur mengamalkan amalan-
amalan yang tidak baik ini (kronisme), pelabur asing
tentu akan menarik keluar modal mereka. Sebelum ini
berlaku peniaga matawang menjual matawang tempatan
kerana mereka percaya kononnya nilainya akan jatuh.
Sebenarnya penjualan inilah yang menyebabkan nilai
matawang negara-negara Timur jatuh, krisis kewangan
berlaku dan pertumbuhan ekonomi Timur terhenti dan
merosot.
48. Malaysia juga, dengan DEB dan penswastaannya
kepada warganegara sendiri, dituduh mengamalkan
kronisme dan dengan itu nilai Ringgit dijatuhkan.
Ekonomi Malaysia juga turut merosot dan hampir semua
syarikat Malaysia menjadi tenat. Segala kemajuan bagi
ekonomi Melayu kerana DEB dan lain-lain terbantut
sehingga keadaan kembali hampir kepada prestasi
sebelumnya.
49. Yang malang sekali ialah yang menjadi mangsa
kegawatan yang diusahakan oleh Barat kebanyakannya
ialah peniaga Melayu. Tetapi demikianlah berkesannya
propaganda Barat sehingga orang Melayu sendiri mahukan
peniaga Melayu yang berjaya kerana DEB dan menghadapi
masalah kerana kegawatan tidak dibantu. Segala
pertolongan dianggap sebagai 'bail out' dan 'bail out'
bermakna kronisme. Sebaliknya apabila Long Term Credit
Management Fund (LTCM) Amerika tenat, kroni pemilik
saham LTCM telah 'bail out' LTCM dengan duit rakyat.
50. Tuan-tuan dan puan-puan tentu dapat melihat bahaya
yang kita hadapi. Saya bukan berniat menakut-nakutkan
tuan-tuan dan puan-puan supaya menyokong Kerajaan. Apa
yang telah saya perkatakan sudahpun berlaku. Setelah
merosakkan ekonomi kita dan negara-negara Timur yang
lain, mereka sedang merancang untuk menguasai kita
melalui globalisasi dan WTO. Terpulanglah kepada kita
sama ada kita beralih menghadapi musuh yang sebenar dan
serangan yang mereka akan lancarkan ke atas kita atau
kita terus dengan bersengketa sesama sendiri.
51. Awal tadi saya telah jelaskan bahawa buruk baiknya
sesuatu bangsa bergantung kepada nilai hidup dan budaya
bangsa itu. Jika nilai dan budaya itu tidak baik
bangsa itu boleh menukarnya dengan yang baik jika ingin
memulihkan kemajuan bangsa. Apabila kaum jahiliah
menerima nilai-nilai yang mulia dan baik daripada
Islam, mereka menjadi bangsa yang mulia, bermaruah dan
bertamadun tinggi.
52. Bangsa Melayu beragama Islam. Jika orang yang
jahil boleh menjadi bangsa yang bermaruah, bertamadun
tinggi apabila menerima agama Islam, apakah sebabnya
yang orang Melayu tidak berjaya sekarang, tidak dapat
mendirikan tamadun yang lebih kekal?
53. Sebabnya ialah sementara kita mengakui diri
sebagai orang Islam, kita tidak mengamalkan ajaran
Islam yang sebenar. Kita tidak bersaudara tetapi sering
mempersoalkan keIslaman orang Islam lain. Kita tidak
tertib dan tidak pegang kepada ikrar kita. Kita suka
mendengar dan mempercayai fitnah yang dibawa oleh orang
yang berkepentingan. Dengan itu walaupun kita beragama
Islam kita tidak berjaya, tidak menjadi orang yang
mulia.
54. Islam bukan untuk dipakai. Islam adalah untuk
diamalkan. Jika kita mengamalkan isi kandungan Islam,
nescaya kita akan berjaya, seperti juga orang Islam di
zaman kegemilangan Islam berjaya.
55. Jika kita terima pengamalan nilai Islam yang
sebenar sebagai satu jalan yang boleh menjamin kejayaan
kita, Insya Allah kita akan dapat menghadapi segala
cabaran baik dari dalam atau luar serta bertindak
memulih serta memajukan diri dan bangsa kita.
56. Bersama-samalah kita renung akan keadaan kita
sekarang dan membuat keputusan untuk masa depan kita.
Di tangan kita terletaknya nasib kita. Segala yang
baik datang daripada Allah S.W.T. dan yang buruk
daripada kita.
57. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Kongres Profesional Muda Melayu.
|