Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ISTANA NEGARA, JAKARTA, 
			REPUBLIK INDONESIA 
Tarikh/Date 	: 	09/03/2000 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS FORUM PERDAGANGAN 
			MALAYSIA-INDONESIA 




    
  "HUBUNGAN MALAYSIA DAN INDONESIA DALAM ABAD KE-21"
  
  
  
  Saya  berasa  amat gembira kerana dapat berada  di  sini
  sekali  lagi setelah agak lama tidak melawat  Indonesia.
  Suasana  sekarang  mungkin berbeza tetapi  persaudaraan,
  kerjasama  serta hubungan rakyat dan kedua-dua  Kerajaan
  Malaysia dan Indonesia tetap kukuh dan erat.
  
  2.    Kedua-dua  sektor  swasta Malaysia  dan  Indonesia
  juga   telah   memainkan  peranan  yang  penting   dalam
  meningkatkan  hubungan antara masyarakat  dagang  kedua-
  dua negara.
  
  3.     Forum   yang   diadakan  hari  ini   akan   dapat
  mengeratkan   lagi   hubungan   dua   hala   kita    dan
  menjadikannya satu mekanisme untuk memastikan  kerjasama
   di  antara kedua-dua negara kita terus kukuh walau dalam
  keadaan apa pun.
  
  4.     Kebelakangan  ini,  keadaan  agak  kurang   baik.
  Krisis   ekonomi   serantau  telah  menimbulkan   banyak
  cabaran    yang   besar   terutamanya   dalam   hubungan
  perdagangan.   Forum  antarabangsa  untuk  Malaysia  dan
  Indonesia  ini  adalah  satu  peluang  yang  baik  untuk
  membincangkan   cabaran-cabaran   ini   serta   merangka
  strategi-strategi yang sesuai untuk menanganinya.
  
  5.    Saya  ucapkan  tahniah kepada Institut  Kepimpinan
  dan   Strategi  Asia  (ASLI)  dan  rakan-rakannya   dari
  Indonesia  iaitu Dewan Perniagaan dan Industri Indonesia
  (KADIN), Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa  (CSIS)
  dan  Institut  Pembangunan  Kepimpinan  Korporat  (CLDI)
  kerana  telah menghimpunkan sebegitu ramai peserta  yang
  penting daripada sektor dagang dari kedua-dua negara.
  
  6.     Adalah   jelas  masyarakat  dagang  kita   begitu
  bersungguh-sungguh   berusaha   mengekalkan    kekukuhan
   hubungan ini dan komited untuk memperkembangkannya  lagi
  dengan idea-idea dan kerjasama-kerjasama baru.
  
  7.     Memang,  saya  tidak  perlu  menceritakan  betapa
  mencabarnya  keadaan sepanjang 18  bulan  lalu.   Rantau
  ini  telah ditimpa krisis ekonomi yang amat teruk  sejak
  Perang  Dunia Kedua.  Pertumbuhan ekonomi di rantau  ini
  jatuh  menjunam dan turut runtuh bersama ialah keyakinan
  dan  dinamisme  yang lebih sedekad lalu  merupakan  asas
  kekuatan ekonomi Asia.
  
  8.    Dengan wujudnya tanda-tanda kestabilan di beberapa
  negara  Asia  Timur  yang ditimpa  krisis  ekonomi  itu,
  prospek   untuk  rantau  ini  pulih  sepenuhnya  semakin
  nyata.   Walaupun   sudah  kelihatan  pertumbuhan   yang
  positif  pada tahun lalu, adalah dijangkakan rantau  ini
  akan  melihat pertumbuhan yang lebih tinggi  pada  tahun
  2000  dan  tahun-tahun akan datang.  Rantau ini dijangka
  akan  mengambil  masa  yang  tidak  terlalu  lama  untuk
  kembali  kepada paras pertumbuhan ekonomi sebelum  waktu
   krisis.
  
  9.      Ekonomi    Malaysia   malangnya   tidak    dapat
  mempertahankan dirinya daripada krisis ekonomi  serantau
  ini.   Untuk pertama kalinya dalam masa 13 tahun ekonomi
  Malaysia  telah  mengalami resesi.   Ini  telah  memberi
  kesan  kepada  hubungan perdagangan di  antara  Malaysia
  dan   Indonesia.   Syarikat-syarikat  Malaysia  terutama
  dalam  sektor pembinaan dan hartanah telah menjadi tenat
  akibat kemerosotan ekonomi ini.
  
  10.   Saya yakin tuan-tuan dan puan-puan semua  baik  di
  Malaysia  atau  Indonesia telah berusaha  dengan  cergas
  untuk  memulihkan  operasi yang sedia  ada  dan  mencari
  jalan  untuk  memperkembangkan hubungan perdagangan  dan
  pelaburan dalam suasana ekonomi yang baru ini.
  
  11.   Saya  yakin usaha-usaha ini akan membuahkan  hasil
  apabila tiba masanya.  Sebabnya saya begitu yakin  ialah
  kerana  adanya  kekuatan  tulin  dalam  hubungan  antara
  kedua-dua  negara,  dan  juga antara  masyarakat  dagang
  kita.   Kekuatan ini akan dapat mengatasi  masalah  yang
   masih ada dalam hubungan dagang kita.
  
  12.   Malaysia  masih lagi rakan dagang  Indonesia  yang
  ketiga  besarnya dalam ASEAN. Daripada segi  perdagangan
  global  pula, Indonesia merupakan rakan dagang  Malaysia
  yang  ke-13 terbesar pada tahun 1999.  Walaupun  prospek
  jangka  terdekat  dan  pertengahan  masih  belum   dapat
  dipastikan, prospek jangka panjang adalah baik.
  
  13.   Beberapa  syarikat Malaysia sedang menilai  semula
  operasi  mereka  di  Indonesia.   Kebanyakannya   adalah
  komited  untuk  terus  aktif  di  negara  ini,  dan  ini
  menggambarkan  keyakinan  mereka  dalam  prospek  jangka
  pertengahan dan panjang di Indonesia.
  
  14.   Ekonomi  negara-negara Asia Timur akan  pulih  dan
  pemulihan  ini  akan disertai oleh keadaan  ekonomi  dan
  politik yang lebih terbuka, telus dan fleksibel.   Sudah
  tentu  bukan sahaja peluang akan bertambah tetapi urusan
  perniagaan akan menjadi lebih mudah.  Mereka yang  dapat
  meneruskan  dagangan  mereka  semasa  kegawatan  ekonomi
   sudah tentu akan lebih berjaya dalam iklim baru ini.
  15.    Malaysia   dan   Indonesia   mempunyai   beberapa
  perjanjian   dua   hala   perdagangan   dan   pelaburan.
  Perjanjian-perjanjian yang terlibat adalah:-
  
  Perjanjian  Jaminan  Pelaburan  yang  dibuat   pada   22
  Januari 1994;
  Perjanjian Mengenai Pengelakan Cukai Dua Kali (12  Sept.
  1991), dan
  Perjanjian Perdagangan (16 Oktober 1973)
  
  16.   Sebelum  krisis berlaku, ekonomi Indonesia  tumbuh
  pada  purata tujuh peratus setahun selama 25 tahun.   Ia
  telah   melahirkan   golongan   kelas   menengah    yang
  dianggarkan sebanyak 20 juta orang -- jumlah yang  besar
  berbanding  yang  terdapat  di  Malaysia.    Ini   boleh
  berlaku   kerana  Indonesia  menyertai  ekonomi   dunia,
  mempelbagaikan  aktiviti  ekonominya,  penduduknya  yang
  bersatu padu dan hasil mahsulnya yang banyak.
  
  17.   Dengan  pembaharuan dalam struktur  ekonominya  ke
  arah   yang  lebih  teratur,  kestabilan  politik   akan
  membolehkan  Indonesia  sekali lagi  memanfaatkan  aset-
   aset  nasionalnya dengan baik dan sepenuhnya.  Saya amat
  yakin   dalam   hal  ini.   Saya  juga  yakin   Presiden
  Abdurrahman Wahid dan pemerintahan Indonesia akan  mampu
  memulihkan sepenuhnya ekonomi Indonesia.
  
  18.  Daripada segi dasar luar negara Malaysia, fokus  ke
  atas   Indonesia  tidak  akan  berubah,  tidak   mengira
  perubahan  yang kita lihat berlaku di negara  ini.   Dan
  dasar  luar  Malaysia  itu akan tetap  kekal  sedemikian
  kerana   kedudukan   strategik  Indonesia   tidak   akan
  berubah, begitu juga dengan geografi dan penduduknya.
  
  19.   Semua  perubahan yang berlaku di  Indonesia  tidak
  akan  menukar hakikat yang Indonesia masih sebuah negara
  yang  penting dalam rantau ini, yang dengan  dasar-dasar
  dan   tindakan-tindakannya   telah   menyumbang   kepada
  kerjasama  serantau dan kestabilan Asia  Tenggara  malah
  ke rantau Asia Pasifik.
  
  20.   Kepentingan Indonesia sebagai rakan dagang  kepada
  Malaysia  yang  semakin meningkat sejak  beberapa  tahun
   lalu,  tidak akan menurun dalam jangka pertengahan  atau
  panjang  ini.   Saya percaya lebih banyak  peluang  akan
  muncul  -- peluang untuk membina Indonesia ke arah  yang
  lebih   baik  dan  memperbaiki  kehidupan  rakyat  biasa
  Indonesia,  dan peluang untuk mengukuhkan  lagi  jalinan
  persahabatan di antara Malaysia dan Indonesia.
  
  21.   Walaupun  dagangan dalaman  ASEAN  merosot  semasa
  krisis  ekonomi  dan kewangan, kita perlu  ingat  bahawa
  dagangan  dalaman  ASEAN  telah berkembang  sebanyak  90
  peratus  daripada  82 bilion Dolar  Amerika  pada  tahun
  1993  kepada  156 bilion Dolar Amerika pada tahun  1997.
  Sudah  tentu  dengan  pemulihan  ekonomi  seluruh  ASEAN
  dagangan  dalaman ASEAN akan berkembang semula dan  akan
  mencapai  paras  yang  lama dan melebihinya  dalam  masa
  yang tidak terlalu lama.
  
  22.   Eksport  Malaysia ke seluruh negara anggota  ASEAN
  menunjukkan   pertumbuhan   yang   kukuh.     Eksportnya
  meningkat  sebanyak  80  peratus daripada  12.9  billion
   Dolar  Amerika pada tahun 1993 kepada 23.2 bilion  Dolar
  Amerika  pada  tahun  1997.   Eksportnya  merosot  dalam
  tahun 1998 kepada 21.6 bilion Dolar Amerika.
  
  23.   Untuk  tempoh dari tahun 1993 hingga 1998,  purata
  bahagian  Malaysia  dalam eksport  dalaman  ASEAN  ialah
  sebanyak  28 peratus.  Ini hanya diatasi oleh  Singapura
  dengan   38   peratus,   manakala  bahagian   Indonesia,
  Thailand  dan Filipina masing-masing ialah  13  peratus,
  11 peratus dan lima peratus.
  
  24.   Satu perkara besar yang kedua-dua negara kita akan
  hadapi  ialah  gelombang globalisasi.  Dalam  alaf  baru
  ini,  globalisasi dan revolusi dalam teknologi  maklumat
  dan  komunikasi akan bergerak pantas.  Pengaliran modal,
  barangan,   perkhidmatan,   idea   dan   maklumat   akan
  berterusan tanpa sekatan.  Sementara negara-negara  maju
  akan  mendapat  banyak keuntungan daripada  proses  ini,
  negara-negara  membangun  mesti  bersiap   sedia   untuk
  menghadapi  cabaran-cabaran  yang  tidak  kita  pastikan
   yang akan menimpa mereka.
  
  25.   Globalisasi meningkatkan tekanan persaingan  dalam
  pasaran   domestik.   Ia  juga  membuka   ruang   kepada
  pergerakan  modal  yang  besar  masuk  dan  keluar  dari
  negara,   dan   kita   tahu  ini   boleh   menghancurkan
  keseluruhan  ekonomi negara berkenaan.  Lihat  sahajalah
  krisis   kewangan  Asia  yang  lalu  yang  menghancurkan
  ekonomi   harimau-harimau  Asia  Timur,  dengan   begitu
  teruknya.   Dengan globalisasi pembelian semua  barangan
  boleh  dibuat  melalui  Internet  dan  syarikat  Dot.com
  asing   secara   terus   tanpa  melibatkan   pengimport,
  pengedar   dan   peruncit   tempatan.    Bukan    sahaja
  perniagaan mereka ini akan tidak diperlukan lagi  tetapi
  cukai  tidak dapat dikutip oleh pemerintah.  Kita  telah
  lihat  bagaimana 'supermarket' menghapuskan  kedai-kedai
  runcit,    dan   sekarang   'hypermarket'   menghapuskan
  'supermarket'.  'E-commerce' dalam dunia tanpa  sempadan
  akan   menghapuskan   hampir  semua   jenis   perniagaan
   tempatan.
  
  26.   Kita sedar bahawa globalisasi adalah sesuatu  yang
  perlu   diterima  kerana  dunia  sudah   menjadi   kecil
  disebabkan   kecanggihan   sistem   telekomunikasi   dan
  penerbangan,  tetapi apakah ada hanya satu  interpretasi
  sahaja  berkenaan dengan globalisasi, interpretasi  yang
  dibuat   oleh   negara  kaya  yang  hanya  menguntungkan
  mereka?   Tidakkah  ada  interpretasi   lain   berkenaan
  globalisasi,  dunia  tanpa sempadan  dan  pasaran  bebas
  supaya  nikmat  daripada semua ini akan dirasai  bersama
  oleh yang miskin dan yang kaya?
  
  27.    Jika  kita  ingin  mendapatkan  sesuatu  daripada
  globalisasi,  negara-negara membangun seperti  Malaysia,
  Indonesia  dan  negara-negara ASEAN yang lain  hendaklah
  mengkaji  secara  mendalam akan apa  dianya  globalisasi
  dan  apakah  kesan terhadap kita, dan selepas  itu  kita
  tentukan  pendirian  kita  bersama  dan  kita  kemukakan
  pendapat  kita  dan  tafsiran  kita.   Jika  kita  tidak
  berbuat demikian, globalisasi akan membinasakan kita.
   
  28.   Tiga  puluh dua tahun lalu, ASEAN telah ditubuhkan
  oleh  pengasas-pengasasnya kerana mereka percaya  bahawa
  segala  masalah antara negara anggota boleh diselesaikan
  melalui  rundingan dan bukan dengan konfrantasi.   ASEAN
  telah  berjaya  membendung  perselisihan  antara  negara
  anggota,   walaupun  tidak  semua  masalah  yang   dapat
  diselesaikan.  Dengan persahabatan yang terjalin  antara
  negara-negara  ASEAN, Asia Tenggara telah  menjadi  aman
  dan   tenteram  serta  dagangan  antara  negara  anggota
  meningkat.  Demikianlah kejayaan  ASEAN  sehingga  semua
  sepuluh  negara  Asia Tenggara menyertai  ASEAN.   Tidak
  ada  'regional  grouping' antara negara  membangun  yang
  lebih berjaya daripada ASEAN.
  
  29.   Di  masa  yang  sama  keamanan  di  Asia  Tenggara
  membolehkan  jiran-jiran mengadakan  hubungan  dua  hala
  yang  baik,  membanding dan meniru cara-cara pembangunan
  ekonomi.  Dan ini menolong perdagangan antara jiran  dan
  pembangunan masing-masing.
   
  30.    Perjumpaan  kita  hari  ini  adalah  satu  contoh
  kejiranan  yang  baik di antara Malaysia  dan  Indonesia
  dan  saya  menggesa masyarakat peniaga kedua-dua  negara
  supaya   mengekalkan  sikap  ini.   Saya  juga  menggesa
  usahawan  kita menggunakan peluang ini sepenuhnya  untuk
  membentuk  satu  pendekatan  strategik  dalam   mengurus
  hubungan dagang di masa depan.
  
  31.    Forum  hari  ini  memberikan  kita  peluang  yang
  terbaik  untuk  memastikan hubungan dua hala  di  antara
  kita  bertambah  erat  dan berterusan  hingga  melampaui
  abad ke-21.
  

 
 



 
Google