Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : JOHOR
Tarikh/Date : 13/03/2000
Tajuk/Title : PERASMIAN PELABUHAN TANJUNG PELEPAS
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada
pihak pengurusan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) kerana
menjemput saya untuk merasmikan pelabuhan ini pada hari
ini.
2. Pembukaan rasmi Pelabuhan Tanjung Pelepas ini
menandakan satu lagi langkah jangka panjang Kerajaan
untuk memantapkan sektor pelabuhan negara. Pembukaannya
juga mencerminkan kejayaan pembangunan Malaysia itu
sendiri. Pelabuhan ini yang merupakan antara projek
infrastruktur terbesar negara membuktikan kemampuan kita
membina pelabuhan bertaraf antarabangsa dengan
teknologi futuristik. Rakyat Malaysia bolehlah
berbangga dengan pencapaian ini.
3. Semasa krisis ekonomi baru-baru ini, beberapa
projek infrastruktur yang penting telah ditangguh
ataupun dijadualkan semula pelaksanaannya. Kerajaan
hanya meneruskan beberapa projek kritikal yang dapat
merangsang semula pemulihan ekonomi negara. Ini
termasuklah projek pembangunan Pelabuhan Tanjung
Pelepas.
4. Kini telah terbukti bahawa walaupun pelabuhan ini
dibangunkan dalam situasi ekonomi yang agak sukar, ia
masih dapat dilaksanakan dengan jayanya. Malahan
pembangunan pelabuhan ini telah disiapkan tiga bulan
terlebih awal dari jadual asalnya. Saya juga difahamkan
bahawa keseluruhan pembangunan fasa pertama pelabuhan
ini akan disiapkan 6 - 7 bulan lebih awal. Syabas saya
ucapkan kepada Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd selaku
pemaju dan juga pengendali pelabuhan.
5. Pada peringkat awal perancangan, hanya dermaga
sepanjang 700 meter dirancang dibina untuk pelabuhan
ini. Bagaimanapun, setelah penelitian semula dibuat dan
berasaskan kepada keperluan masa akan datang serta
hasrat untuk meningkatkan lagi sektor pelabuhan negara,
Kerajaan telah bersetuju supaya pelabuhan ini dibina
dengan saiz yang lebih besar. Oleh itu, fasa pertama
pelabuhan ini sahaja merangkumi enam dermaga
keseluruhannya sepanjang 2.16 km. Bagi keperluan fasa-
fasa seterusnya, ia akan dibina secara berperingkat-
peringkat mengikut perkembangan dan permintaan
pengendalian kontena serantau dan antarabangsa.
6. Pelabuhan ini yang dibina dengan harga lebih kurang
RM2.4 ribu juta telah disediakan dengan pelbagai
kemudahan bertaraf dunia yang dapat menarik syarikat-
syarikat perkapalan terkemuka dunia. Apabila siap
sepenuhnya, pelabuhan ini mampu mengendalikan sejumlah
3.8 juta TEUs setahun. Kelebaran kawasan `basin'
berhadapan dermaga seluas 600 meter dengan kedalaman air
melebihi 15 meter membolehkan PTP mengendalikan kapal-
kapal kontena generasi terbaru dengan mudah tanpa
banyak masalah.
7. Pelabuhan Tanjung Pelepas dilengkapi dengan
peralatan pelabuhan moden. Saya diberitahu pelabuhan ini
akan mempunyai sejumlah 18 kren pelabuhan jenis `super
post panamax' yang mempunyai kapasiti mengangkat 40 tan
dan jangkauan sehingga 53 meter. Pelabuhan ini juga
dilengkapi dengan sejumlah 58 unit `Rubber Tyred Gantry
Crane' (RTG). Operasi pelabuhan termasuk sistem pintu
masuk (gate system) akan digerakkan sepenuhnya oleh
sistem teknologi maklumat. Adalah amat menggalakkan
bahawa beberapa syarikat perkapalan yang sedang
beroperasi di pelabuhan ini telah melahirkan rasa puas
hati terhadap sistem teknologi maklumat pelabuhan yang
berfungsi dengan amat baik. Saya yakin dengan pelbagai
kemudahan peralatan dan kecanggihan sistem teknologi
maklumat, pelabuhan ini dapat mengendalikan operasinya
dengan cekap dan berkesan.
8. Secara umumnya Pelabuhan Tanjung Pelepas tidak
mempunyai apa-apa yang boleh menghalang pertumbuhannya.
Kedudukannya di lokasi strategik dan dipertengahan
laluan utama perkapalan adalah merupakan aset utama yang
dapat menarik syarikat-syarikat perkapalan untuk
menggunakan pelabuhan ini.
9. Kerajaan juga komited dalam menentukan kejayaan
pelabuhan ini. Kerajaan telah membelanjakan sejumlah
lebih RM100 juta untuk menyediakan jalanraya dan lebih
RM600 juta bagi pembinaan rel keretapi.
10. Dengan kemudahan prasarana ini, pelabuhan ini akan
mempunyai rangkaian sistem perhubungan dan pengangkutan
yang terbaik. Oleh itu, pekilang-pekilang tempatan
tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak menggunakan
pelabuhan tempatan khususnya Pelabuhan Tanjung Pelepas.
11. Pelabuhan Tanjung Pelepas sesungguhnya akan menjadi
pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara khususnya
bagi kawasan selatan Johor. Pelabuhan ini akan menjadi
antara pintu masuk utama perdagangan negara. Hasil
daripada perkembangan pesat ini, pelabuhan ini akan
turut menggerakkan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan
dengan pelabuhan seperti pergudangan dan perkilangan.
12. Saya dimaklumkan Pelabuhan Tanjung Pelepas
mempunyai tanah seluas hampir 1000 ekar untuk
dibangunkan dengan pelbagai industri berkaitan.
Sebahagiannya akan dibangunkan dengan aktiviti komersial
seperti pergudangan, pusat pengedaran dan aktiviti-
aktiviti tambah nilai sementara sebahagian lagi akan
dibangunkan dengan perindustrian ringan, sederhana dan
berat. Aktiviti-aktiviti ini sudah tentu akan
meningkatkan aktiviti pelabuhan dan pada masa yang sama
dapat menggalakkan pembangunan setempat. Secara
keseluruhannya penduduk setempat akan menerima faedah
dari pembangunan ini.
13. Kerajaan sentiasa berusaha meningkat dan
menggalakkan pembangunan pelabuhan di negara ini.
Kerajaan menyedari pelabuhan memainkan peranan penting
ke arah meningkatkan ekonomi negara. Malahan jika
dilihat di negara-negara maju, sektor pelabuhan
menyumbangkan peratusan yang besar kepada pendapatan
negara. Sehubungan itu, Kerajaan telah memberikan
galakan dan insentif tertentu untuk menaikkan lagi
sektor pelabuhan.
14. Bagi Pelabuhan Tanjung Pelepas, Kerajaan juga telah
memberikan status zon bebas. Dengan itu, urusan dalam
kawasan pelabuhan ini adalah bebas daripada cukai dan
duti Kastam dan beberapa duti lain. Kerajaan berharap
melalui insentif-insentif seumpama ini, pelabuhan negara
khususnya Pelabuhan Tanjung Pelepas dapat memainkan
peranan untuk meningkatkan lagi perdagangan negara.
15. Pada masa yang sama Kerajaan juga mengharapkan
kerjasama semua pihak khususnya pekilang-pekilang
tempatan untuk menggunakan sepenuhnya pelabuhan
tempatan. Malahan dengan adanya pelabuhan ini, pekilang-
pekilang tempatan tidak seharusnya bergantung lagi
kepada pelabuhan asing untuk urusan import/eksport.
Kerajaan bersedia menimbang semua masalah berkaitan bagi
tujuan meningkatkan sektor pelabuhan negara.
16. Saya juga percaya kecanggihan infrastruktur dan
peralatan moden sahaja tidak menjadikannya kemudahan
bertaraf dunia. Sebaliknya kemudahan pelabuhan moden
turut menimbulkan harapan tinggi untuk mendapatkan taraf
perkhidmatan yang baik, cekap dan berkesan sama ada
daripada pegawai dan kakitangan syarikat yang
menguruskan pelabuhan atau agensi-agensi Kerajaan.
Pekerja-pekerja PTP mestilah dilatih dengan baik supaya
segala peralatan pelabuhan dapat memberi pulangan yang
maksimum. Di masa yang sama agensi-agensi Kerajaan yang
berurusan secara terus dengan operasi pelabuhan seperti
Jabatan Kastam & Eksais DiRaja, Jabatan Imigresen,
Jabatan Kesihatan, Jabatan Laut dan Jabatan-jabatan lain
yang berkaitan perlu terus meningkatkan kualiti
perkhidmatan mereka. Saya percaya industri perkhidmatan
jika diuruskan dengan efisyen akan dapat meningkatkan
keyakinan pengguna pelabuhan dan seterusnya membantu
membentuk kejayaan pelabuhan negara. Justeru itu, saya
menyarankan supaya pegawai dan kakitangan PTP serta
agensi-agensi Kerajaan berkaitan dapat memberikan
perkhidmatan terbaik mereka dan menentukan standard
perkhidmatan yang tinggi.
17. Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa
sesuatu kejayaan itu tidak akan dicapai secara individu
sebaliknya ia adalah satu usaha kolektif. Kita semua
yang hadir pada hari ini mempunyai peranan masing-masing
untuk menentukan kejayaan pelabuhan negara termasuk
Pelabuhan Tanjung Pelepas.
18. Pelabuhan ini secara langsung dan tidak langsung
adalah milik rakyat Malaysia dan kitalah yang akan
mendapat nikmat dan pendapatan darinya. Pembangunan
pelabuhan ini tepat pada masanya dan kita semua sentiasa
mengharap dan mendoakan kejayaan Pelabuhan Tanjung
Pelepas demi kepentingan negara.
19. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya
merasmikan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
|