Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 20/04/2000
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN MINGGU SAHAM
AMANAH MALAYSIA DAN SEKIM
AMANAH SAHAM MALAYSIA
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Permodalan Nasional Berhad
(PNB) kerana menjemput saya untuk melancarkan Minggu Saham Amanah Malaysia
pada hari ini. Saya juga mengucapkan selamat datang kepada para delegasi
`Fifth Asia Oceania Regional Meeting 2000'. 2. 20 April akan menjadi
tarikh yang amat bermakna bagi rakyat Malaysia kerana mulai tahun ini pada
20 April setiap tahun, kita akan meraikan Minggu Saham Amanah di negara
ini. Ini adalah pengiktirafan yang diberikan kepada industri,
pengurus-pengurus, pelabur-pelabur dan bakal pelabur saham amanah di
Malaysia. Pemilihan tarikh tersebut adalah bersempena dengan tarikh
pelancaran produk saham amanah pertama PNB iaitu Amanah Saham Nasional
yang telah dilancarkan dalam tahun 1981. 3. Saya mengambil kesempatan ini
untuk mengucapkan tahniah kepada PNB atas inisiatif dan kesungguhannya
menganjurkan Minggu Saham Amanah Malaysia. Adalah diharapkan Minggu Saham
Amanah Malaysia, yang akan menjadi acara tahunan negara, akan mendidik
masyarakat Malaysia tentang industri, selok-belok, peluang-peluang dan
manfaat melabur dalam saham-saham amanah. Inilah matlamat yang perlu
dijayakan oleh semua pihak yang terlibat dengan Minggu Saham Amanah
Malaysia agar penyertaan orang ramai dalam pelaburan alternatif ini
berjaya ditingkatkan. Malah tema yang dipilih bagi tahun ini, iaitu Saham
Amanah -- Pilihan Pelabur Bijak, mencerminkan pendekatan pelaburan melalui
saham amanah yang mempunyai banyak kebaikan bagi mereka yang ingin melabur
dalam syarikat yang disenaraikan dalam pasaran saham tetapi tidak
mempunyai pengalaman atau kecekapan dalam menilai saham-saham yang
dipasarkan. Saham amanah mempunyai risiko yang tidak terlalu tinggi kerana
penilaian dibuat oleh pengurusan amanah saham. 4. Seperti yang kita semua
sedia maklum, penubuhan PNB pada tahun 1978 adalah sebagai salah satu
jentera terpenting dalam usaha Kerajaan untuk menjayakan Dasar Ekonomi
Baru (DEB). DEB adalah dasar yang menyeluruh dan bermatlamat dalam jangka
panjang bagi mewujudkan keadilan ekonomi dan perpaduan negara. Dasar
tersebut bersifat serampang dua mata, bertujuan mengurang dan membasmi
kemiskinan melalui peningkatan pendapatan dan penambahan peluang-peluang
pekerjaan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, dan menyusun
semula masyarakat dengan menghapuskan identifikasi kaum dengan fungsi
ekonomi. Terdapatnya kegiatan ekonomi mengikut kaum telah mengakibatkan
jurang pendapatan yang amat ketara di antara golongan Bumiputera dan bukan
Bumiputera. Dengan ini ia menjadi punca kepada renggangnya perhubungan
antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum pada suatu ketika
dahulu. 5. Dalam negara berbilang kaum biasanya perhubungan antara kaum
adalah tegang dan permusuhan kerap berlaku. Tetapi di Malaysia kita dapat
menangani kemungkinan ini dengan berkesan. Demikianlah kejayaan kita
sehingga kegawatan ekonomi juga tidak menjejaskan hubungan antara
kaum. Pendekatan kita bukan sahaja dapat membendung permusuhan antara kaum
tetapi juga tidak menjejas sedikitpun pertumbuhan ekonomi sehinggalah kita
diserang oleh penyangak matawang. Melalui PNB kita dapat melahirkan
saham-saham amanah iaitu ASB, ASN, ASW 2020, AHP dan ASN2, yang memberi
tujuh juta rakyat Malaysia peluang menikmati kemajuan yang dicapai oleh
perniagaan dan perusahaan kita. Adalah jelas DEB menguntungkan semua
Bumiputera, bahkan bukan Bumiputera juga dan bukan beberapa orang tertentu
sahaja seperti yang didakwa oleh orang-orang asing yang cemburu dengan
kejayaan kita. 6. Banyak peluang yang disediakan oleh Kerajaan untuk
rakyat dan menerusi saham amanah, lebih ramai rakyat berpeluang
meningkatkan taraf hidup mereka termasuklah golongan rakyat termiskin dan
masyarakat Orang Asli yang dapat sama-sama menikmati hasil daripada
kemakmuran dan kemajuan negara. Sehingga 31 Januari 2000, sejumlah 154,531
keluarga termiskin telah berpeluang mengikuti Program Pembangunan Rakyat
Termiskin-ASB dengan peruntukan berjumlah RM772.66 juta. Sebenarnya tidak
ada rakyat miskin di negara- negara membangun yang lain yang mendapat
peluang dan nikmat seperti ini. 7. Sebagai sebuah institusi pelaburan
terbesar di negara ini yang mengurus dana daripada tujuh juta orang
pelabur, PNB bukan sahaja perlu berhati-hati dan peka dengan perkembangan
dan perubahan persekitarannya, malah perlu sentiasa menilai kesan dan
akibat daripada setiap perancangan dan keputusan pelaburannya. Dengan
berpegang kepada falsafah `strategi jangka panjang untuk pulangan jangka
panjang', PNB perlu memastikan setiap keputusan pelaburannya berupaya
memberikan pulangan yang kompetitif untuk jangkamasa panjang. Saya juga
berbangga kerana rakyat memahami dan menerimapakai falsafah ini. Ini jelas
terbukti melalui kejayaan PNB mengurus dana sejumlah RM50 bilion, yang
mana RM30 bilion adalah dana yang digembleng daripada tujuh juta
pelaburnya manakala RM20 bilion adalah dananya sendiri. 8. Konsep saham
amanah telah mula diperkenalkan di
sekitar tahun 1868. Ia adalah satu cara untuk pelabur
kecil melabur dalam syarikat-syarikat gergasi dan
mendapat keuntungan serta hasil daripada peningkatan
nilai saham (capital gains). Memandangkan kebanyakan
Bumiputera tidak mempunyai modal yang besar dan di bawah
DEB kita perlu melibatkan seberapa ramai daripada
masyarakat Bumiputera dalam bidang ekonomi dan mendapat
hasil daripadanya, Kerajaan memutuskan untuk mengadakan
saham amanah secara besar-besaran untuk mewujudkan
peluang pelaburan bagi seramai mungkin Bumiputera.
9. Sebelum amanah saham diadakan saham-saham yang
diperuntukkan kepada Bumiputera dijual dengan harga
tawaran yang rendah kepada mereka yang mendaftar diri
dengan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan. Hanya
sebahagian kecil yang tahu akan peluang ini yang
mendaftar dan mereka meraih keuntungan yang besar kerana
biasanya mereka menjual dengan serta-merta saham yang
mereka dapati untuk mendapat keuntungan yang cepat.
Dengan itu walaubagaimana banyakpun saham yang
diperuntukkan kepada Bumiputera dibawah DEB, saham-saham
yang diperolehi oleh Bumiputera hilang dengan cepat dan
pemilikan 30 peratus bahagian ekonomi oleh Bumiputera
tidak mungkin dicapai sehingga bila-bila masa.
10. Dengan Amanah Saham Nasional diberi hampir semua
saham yang diperuntukkan kepada Bumiputera maka
pemilikan saham dalam syarikat-syarikat bukan Bumiputera
tidak lagi akan hilang daripada tangan Bumiputera.
Di masa yang sama lebih ramai Bumiputera akan mendapat
peluang memiliki secara tidak langsung saham-saham
daripada syarikat besar milik bukan Bumiputera, dan juga
yang dimiliki oleh Bumiputera sepanjang masa. Amanah
saham boleh menjual beli saham-saham ini untuk meraih
keuntungan daripada `capital gains' tetapi yang dijual
diganti balik dengan saham lain yang dibeli. Dengan itu
peratusan saham yang dimiliki oleh Bumiputera tidak
jatuh sementara keuntungan daripada kenaikan harga saham
diperolehi.
11. Kelemahan amanah saham ialah ia melabur dalam
terlalu banyak syarikat sehingga pengurus-pengurusnya
tidak dapat mengambil bahagian dalam pengurusan syarikat
-syarikat yang ia mempunyai kepentingan besar.
Penglibatannya terhad kepada Lembaga Pengarah sahaja.
Ini tidak memberi peluang untuknya mempelajari
selok-belok perniagaan dan perusahaan, yang mana ini
adalah amat penting bagi mewujudkan kumpulan peniaga dan
pengurus yang berpengetahuan dan cekap. Penglibatan
sebagai pelabur semata-mata, walaupun penting daripada
segi pemilikan punca kekayaan oleh Bumiputera, tidak
dapat melahirkan masyarakat dagangan Bumiputera.
12. Oleh kerana ini peluang diberi juga kepada
individu, terutama yang sudahpun menjadi seorang
daripada pengurus syarikat berkenaan, untuk memiliki
jumlah saham yang besar supaya ia boleh terlibat secara
langsung dalam pengurusan perniagaan berkenaan. Juga
apabila Kerajaan melaksanakan penswastaan, walaupun
sebilangan besar daripada saham badan yang diswastakan
dijual kepada Amanah Saham Nasional tetapi dalam kes -
kes tertentu jumlah saham yang boleh memberi `control'
dijual kepada individu yang sudahpun menunjukkan
kebolehan. Dengan cara ini bukan sahaja pelabur yang
ramai dalam amanah saham mendapat peluang tetapi
individu Bumiputera yang berkelayakan akan dapat
menguruskan secara terperinci segala aktiviti
perniagaan, sehingga mereka setaraf daripada segi
kecekapan perniagaan dengan bukan sahaja bukan
Bumiputera tempatan tetapi juga pengurus syarikat-
syarikat gergasi antarabangsa.
13. DEB bukan terhad kepada perseimbangan di peringkat
pemilikan saham dan penglibatan sebagai pekerja swasta
yang berpendapatan rendah; bukan setakat mendapat AP dan
lesen penjaja, bahkan bukan setakat pengwujudan kelas
menengah dan ahli profesional, tetapi juga diperingkat
pemilik dan pengurus syarikat besar yang setanding
dengan yang dimiliki oleh bukan Bumiputera. Kita tidak
hendak lihat hanya bukan Bumiputera sahaja yang
kaya-raya, yang memiliki perniagaan dan perusahaan besar
sedangkan Bumiputera hanya menjadi pekerja upahan dalam
perniagaan-perniagaan ini. Kita ingin melihat
perimbangan di peringkat tertinggi ini. Tetapi jika kita
tidak hendak melihat Bumiputera menjadi pekerja dan
peniaga kelas dua dalam negara sendiri, janganlah pula
kita membenarkan diri kita dihasut kononnya sesiapa
sahaja yang berjaya ke peringkat tinggi harus dibenci
kerana mereka kaya dan kononnya mereka adalah kroni
orang tertentu. Jika kita menganggap sesiapa sahaja yang
berjaya adalah kroni maka kita perlu halang kejayaan
Bumiputera di peringkat atasan. Jika kita berbuat
demikian maka perseimbangan antara kaum akan hanya
tercapai di peringkat bawahan sementara di peringkat
atasan akan hanya terdapat bukan Bumiputera sahaja. Jika
ini berlaku maka DEB boleh dianggap sebagai gagal. Jika
DEB gagal maka bukan sahaja keadilan ekonomi antara kaum
tidak akan tercapai, tetapi sampai bilapun Bumiputera
akan percaya mereka tidak mampu dalam bidang perniagaan
dan perusahaan yang besar. Perasaan rendah diri dan
kurang yakin kepada diri sendiri juga akan berkekalan
dan ini akan menjadi penghalang besar terhadap kemajuan
Bumiputera.
14. Walaupun pengurus-pengurus saham amanah tidak
dapat melibatkan diri secara aktif dalam syarikat-
syarikat yang disertai oleh mereka, tetapi mereka dapat
membuktikan kebolehan mereka dalam menguruskan amanah
saham yang besar-besar. Sebenarnya tidak ada amanah
saham di dunia yang sebesar ASN, ASB dan sebagainya.
Kebolehan dan kecekapan pengurusan diuji semasa
kegawatan ekonomi di waktu mana nilai saham jatuh
dengan teruknya dan penebusan meningkat dengan tinggi.
Saham-saham milik ASN, ASB dan lain-lain yang dijamin
penebusan dengan harga tetap mengalami masalah yang
besar kerana nilai sebenar saham amanah telah jatuh
lebih rendah daripada harga tebusan. Tetapi oleh
kerana kukuhnya modal PNB, kerugian ini dapat dipikul
sehinggalah harga saham pulih semula dan kerugian dapat
ditampung. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada
pelabur-pelabur yang tidak menebus saham mereka dimasa
kegawatan kerana tidak menghadapi masalah kewangan di
masa itu dan masih yakin ekonomi negara akan pulih
semula. Tahniah juga diucapkan kepada pengurus-
pengurus PNB dan amanah saham yang diurus oleh mereka. 15. Ekonomi
Malaysia bukanlah suatu ekonomi yang mudah diurus. Kita perlu berusaha
untuk membasmi kemiskinan, mengimbangkan kekayaan antara kaum, menangkis
persaingan dari luar negara, mempertahankan ekonomi negara daripada
penyangak-penyangak wang dan pasaran saham serta cabaran-cabaran lain,
tetapi di masa yang sama kita perlu menentukan ekonomi tumbuh di paras
yang tinggi untuk mencapai Wawasan 2020. Di sekeliling kita ekonomi
negara-negara membangun telah tumbang sehingga dasar dan urusan ekonomi
mereka dikuasai oleh orang asing. Walaupun mereka telah pulih tetapi
mereka menanggung beban hutang yang besar yang pembayarannya akan menelan
sebahagian besar daripada pendapatan tukaran asing mereka untuk masa yang
panjang. 16. Tetapi Malaysia dapat dipulihkan semula dengan baik tanpa
berhutang kepada badan antarabangsa yang dikuasai oleh kuasa-kuasa
besar. DEB juga tidak runtuh sepenuhnya seperti yang diharapkan oleh orang
asing. Kita boleh meneruskan usaha-usaha untuk membangunkan negara dan
mengagih kekayaan secara seimbang di antara kaum. 17. Orang asing yang
kecewa kerana tidak dapat mengambilalih syarikat dan bank-bank kita semasa
kegawatan yang diusahakan oleh mereka akan berusaha menggagalkan pemulihan
ekonomi Bumiputera terutamanya. Mereka akan melabelkan sebarang pemulihan
sebagai `bail- out'. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka ingin melihat
semua syarikat Bumiputera kecil dan besar berkubur. Mereka ingin
menggagalkan DEB kerana mereka melihat DEB sebagai penghalang kepada
peluang mereka untuk menguasai ekonomi negara kita. Mereka akan menyangkal
dakwaan ini. Tetapi semua bukti menunjukkan di mana-mana mereka berjaya
mencetuskan kegawatan dan melemahkan negara, mereka dapat membeli bank dan
perusahaan dengan harga yang murah kerana IMF memaksa pembukaan ekonomi
100 peratus sebagai syarat memberi pinjaman kepada negara yang
bermasalah. Sementara mereka mengecam apa yang ditakrif sebagai `bail-out'
oleh Kerajaan di negara kita, tanpa segan-silu mereka mengadakan
`bail-out' untuk syarikat mereka. 18. Majoriti rakyat di Malaysia tidakpun
sedar akan kegawatan dan bahaya besar yang baru kita lalui. Ini adalah
kerana kita berjaya menangkis serangan terhadap ekonomi dan politik negara
kita sehingga kesan serangan itu tidak begitu dirasai oleh kita. Dengan
itu ramai yang tidak begitu menghargai nasib baik kita. Tetapi serangan
terhadap kita dan negara-negara yang dikenali sebagai harimau Asia akan
diteruskan. Kali ini ia dikenali sebagai globalisasi atau dunia tanpa
sempadan. Jika kita tidak memahami cara serangan ini akan dilakukan dan
kita tidak menyusun barisan pertahanan kita, besar kemungkinan kita akan
tertewas dan akan dikuasai oleh penjajah jenis moden ini. 19. Sekarang ini
mereka sedang mengumpulkan bala tentera mereka. Syarikat-syarikat gergasi
mereka sedang disatukan untuk menjadi begitu besar sehingga boleh
meranapkan syarikat dan bank kita apabila sahaja mereka dapat menembusi
sempadan kita dalam proses globalisasi. Di masa yang sama dagangan moden
melalui syarikat Dot-Kom akan menjadikan kebanyakan syarikat tempatan
tidak berperanan dengan cara syarikat Dot-Kom menjual terus kepada pembeli
di negara kita. Kerajaan bukan sahaja akan kehilangan cukai import tetapi
juga cukai korporat kerana syarikat tempatan tidak berniaga lagi. Peluang
pekerjaan akan hilang. Walaupun harga barangan import mungkin murah,
tetapi penganggur tidak akan mempunyai wang untuk membelinya. 20. Inilah
dunia tanpa sempadan dan globalisasi yang dirancang oleh negara kaya. Ia
tidak semestinya begitu. Globalisasi boleh diadakan dalam bentuk
lain. Tetapi sama ada kita dapat mempengaruhi interpretasi globalisasi
bergantung kepada perpaduan negara-negara Selatan. Di waktu ini kita belum
nampak ini akan berlaku. 21. Oleh kerana ini kita perlu kukuhkan ekonomi
negara kita. DEB mesti dilaksanakan dengan bijak supaya tidak ada sesiapa
yang merasa mereka tidak mendapat bahagian mereka. Dalam soal ini, PNB dan
saham-saham amanahnya boleh memainkan peranan penting. Di masa yang sama
kecekapan Bumiputera dalam bidang perniagaan dan pengurusan mestilah
ditingkatkan. Mereka mesti bergerak secara aktif dalam bidang
ekonomi. Yang cekap dan mampu perlu berusaha sendiri tanpa bergantung
hanya kepada pemilikan saham. Contoh yang baik ada di hadapan kita. Orang
Cina berjaya dalam bidang perniagaan walaupun terdapat banyak halangan dan
cabaran. Jangan percaya bahawa dalam perniagaan keuntungan hanya akan
diperolehi melalui penipuan. Sebenarnya kejayaan dalam bidang perniagaan
bergantung kepada disiplin dan kesanggupan mengamalkan cara-cara
pengurusan yang dikenali sebagai `best practice' atau pengamalan cara-cara
yang terbaik. 22. Saham amanah hanyalah satu cara untuk mengagih kekayaan
negara ini kepada bilangan yang terbesar daripada rakyat. Kita berharap
satu hari kita tidak perlu bergantung kepada saham amanah untuk pengagihan
ekonomi kepada Bumiputera. Dengan usaha yang gigih dan keyakinan akan
kebolehan diri sendiri, pencapaian matlamat ini akan dapat dilihat dalam
jangkamasa yang singkat. Sebenarnya amatlah memalukan apabila kita perlu
diberi perlindungan di negara kita sendiri. 23. Akhir kata, saya berharap
orang ramai akan mengambil kesempatan daripada berbagai-bagai aktiviti
yang dianjurkan sepanjang Minggu Saham Amanah Malaysia ini untuk
meningkatkan pengetahuan tentang saham amanah dan selok-belok perniagaan
serta pengurusan. Melaburlah dalam saham amanah sebagai persediaan untuk
masa depan. 24. Dengan harapan Minggu Saham Amanah ini akan dapat
meningkatkan pengetahuan tentang tujuan dan peranan saham amanah dan DEB
dalam membentuk ekonomi negara yang lebih adil, dengan harapan ia dapat
menjelaskan langkah-langkah yang perlu diambil oleh tiap Bumiputera dan
juga bukan Bumiputera, dengan harapan kita semua dapat memahami tindakan
yang perlu dibuat oleh kita untuk mempertahankan ekonomi negara dan
kebebasan kita, saya dengan sukacitanya melancarkan Minggu Saham Amanah
Malaysia.
|