Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN TUN HUSSEIN ONN, PWTC,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 29/04/2000
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN SIMPOSIUM
`JATI DIRI MELAYU ABAD 21'
SEMPENA PELANCARAN KURSI ZA'BA
Saya mengucapkan tahniah kepada Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah berjaya
menganjurkan satu simposium yang membicarakan `Jati
Diri Melayu Abad 21' bersempena dengan Pelancaran Kursi
Za'ba. Usaha ini dapat mengingatkan kembali jasa-jasa
yang telah dicurahkan oleh Allahyarham Pendeta Za'ba
kepada bangsa Melayu.
2. Allahyarham Pendeta Za'ba semasa hayatnya menjadi
contoh anak Melayu yang berpandangan global dan
mempunyai visi dalam tindak-tanduknya. Ini dapat
dilihat daripada pandangan-pandangan yang
dikemukakannya melalui tulisannya tentang pendidikan,
kepercayaan dan politik orang Melayu. Pandangannya
bukan sahaja sesuai untuk masanya malahan sesuai juga
untuk menangani masalah-masalah selepasnya.
3. Za'ba sendiri menyedari peranan pendidikan sebagai
agen perubahan sosial yang penting. Pada pendapatnya
ilmu dan pengetahuan itu merupakan syarat utama bagi
meneroka ke bidang-bidang yang lain. Ini menyebabkan
Za'ba sentiasa cuba menjelaskan erti ilmu dan
pengetahuan, menerangkan kepentingannya, dan
menyarankan beberapa pendapatnya sendiri dalam usaha
beliau mencari penyelesaian kepada masalah pendidikan
masyarakat Melayu. Dalam hal ini beliau mengesyorkan
supaya diperkenalkan konsep `pendidikan yang sempurna',
iaitu percantuman antara pendidikan ilmu duniawi dengan
pendidikan ilmu agama. Kesepaduan ini hendaklah
seberapa dalam yang boleh pada kedua-duanya. Jika
diteliti dengan mendalam, konsep pendidikan yang
diyakini oleh Za'ba adalah selaras dengan pemikiran
yang diutarakan oleh sarjana pendidikan Islam mutakhir.
4. Sebagai seorang yang berpandangan jauh, Za'ba
memberi penekanan kepada penguasaan bahasa asing selain
bahasa sendiri. Kepentingannya dapat dilihat sebagai
satu sumber atau perantaraan untuk membolehkan sesuatu
masyarakat itu bukan sahaja sekadar memahami keadaan
dan pemikiran masyarakat sendiri, tetapi juga
masyarakat lain. Bahasa Arab baginya penting untuk
memahami, mendalami dan menjaga kesempurnaan Islam; dan
bahasa Inggeris pula untuk mendapatkan ilmu yang sesuai
dengan kehendak zaman.
5. Masalah agama selalu memenuhi pemikiran beliau
terutama kritikannya kepada golongan menengah pada
zamannya yang meringankan pelajaran agama anak-anak
mereka. Sementara beliau berpendapat penguasaan bahasa
Inggeris sebagai penting beliau menegur golongan yang
menghantar anak-anak ke sekolah Inggeris semata-mata
kerana harapan supaya anak-anak mereka boleh makan gaji
dan dapat hidup senang. Tanpa pelajaran agama
perbuatan ini boleh membahayakan masyarakat Melayu
kerana agama Islam sudah menjadi dasar keimanan dan
landasan pemikiran orang Melayu di samping menjadi
halangan kepada kerja-kerja mungkar.
6. Pemerhatian Za'ba terhadap bangsanya adalah menyeluruh.
Kelemahan orang Melayu menurut pandangan Za'ba disebabkan
salah tafsir masyarakat terhadap perkara-perkara pokok dalam
keimanan. Contohnya pengertian perkataan `takdir'. Orang
Melayu pada umumnya memberi pengertian takdir sebagai `nasib'
yang tidak boleh diubah walaupun usaha boleh dibuat untuk
memperbaikinya. Dengan itu orang Melayu tidak dinamik dan
menyerah sahaja kepada apa yang menimpa mereka. Pepatah
Melayu berkata "Beras secupak tidak akan menjadi segantang".
Pandangan beliau ini ditolak oleh masyarakat di zamannya
walaupun kita tahu Nabi juga berhijrah ke Madinah untuk
mengubah nasib yang buruk yang menimpanya di Mekah.
7. Kesedarannya dalam bidang politik dapat dikesan
setelah dia mula berjinak-jinak dengan Kaum Muda
pimpinan Sheikh Mohd. Tahir Jalaluddin yang sentiasa
meniupkan semangat patriotik dan wawasan ke arah
pemerintahan sendiri. Penglibatannya menjadi semakin
serius semasa beliau bertugas di Malay College Kuala
Kangsar. Kegiatannya telah dihidu oleh Inggeris.
Akibatnya beliau telah tidak dinaikkan pangkat dan
ditahan gaji selama lima tahun. Beliau tidak pernah
patah semangat dalam menyedarkan orang Melayu tentang
niat buruk politik Inggeris di Malaya. Maka itu,
apabila pihak Inggeris kembali semula menjajah Tanah
Melayu selepas Perang Dunia Kedua dengan memperkenalkan
gagasan yang merugikan pribumi beliau sanggup memimpin
masyarakat Melayu menentang Malayan Union walaupun pada
masa itu keadaan kesihatannya kurang mengizinkan.
Baginya segala perancangan Inggeris adalah bertujuan
untuk melemah dan menguasai orang Melayu.
8. Persoalan Melayu tidak pernah selesai untuk
dibicarakan. Senario yang ditunjukkan oleh Za'ba
semasa hayatnya merupakan contoh jati diri Melayu yang
dapat dicontohi dan dibanggakan. Kita berharap akan
lahir lebih ramai ahli masyarakat Melayu sekental Za'ba
kerana agenda Melayu belum selesai dan kita masih jauh
daripada mencapai matlamat kita.
9. Bahawa orang Melayu dan Malaysia masih terdedah
kepada bahaya besar dapat dilihat daripada peristiwa
serangan penyangak matawang Barat pada tahun 1997-1998.
Serangan ini menjadikan kita begitu miskin sehingga
kita hampir tunduk kepada tekanan kuasa asing untuk
menyerahkan pengurusan ekonomi kita kepada mereka.
Semua negara lain yang diserang dan dimiskinkan oleh
kuasa asing terpaksa menyerah pengurusan ekonomi mereka
kepada kuasa asing. Ini bermakna mereka telah hilang
kebebasan memerintah negara sendiri. Tetapi kita
berjaya mengelak daripada nasib ini dan mencipta cara
kita sendiri untuk menangkis serangan asing dan memulih
semula ekonomi negara kita.
10. Kali ini kita berjaya. Tetapi perubahan yang
ketara sudah dilakukan dalam orde ekonomi dunia, bahkan
dalam pemikiran masyarakat dunia. Dengan
memperkenalkan globalisasi dan dunia tanpa sempadan,
penghargaan terhadap kemerdekaan dan kebebasan negara
dapat dikurangkan. Penduduk negara yang baru sahaja
terlepas daripada belenggu penjajahan sekarang ini
menerima pendapat bahawa kemerdekaan tidak begitu
penting kerana sempadan menghalang kemasukan modal,
barangan dan kepakaran yang boleh menjadi kehidupan
rakyat lebih bahagia.
11. Apabila sahaja kemerdekaan dicapai masing-masing
negara cuba untuk membuat sendiri dan mengeluarkan
barangan yang biasanya diimport. Ini sudah tentu
menaikkan harga barangan ini tetapi teknologi yang
dipelajari dapat menjadikan beberapa daripada negara
ini pengeluar barangan yang mampu bersaing dengan
barangan negara maju bekas penjajah dahulu. Jika tidak
ada perlindungan cukai import industri pembuatan di
negara membangun tidak mungkin dijayakan.
12. Hari ini kita digesa supaya perlindungan
dihapuskan dan barangan buatan kita dipaksa bersaing
dengan barangan import tanpa cukai dari negara maju
yang lebih murah kerana `economies of scale' dan lain-
lain. Sudah tentu barangan tempatan dan industri
tempatan akan ditewas dan akan gulung tikar.
13. Ini adalah satu contoh kesan daripada globalisasi.
Banyak daripada industri dan perniagaan kita akan
ditutup dan diambil alih oleh syarikat asing. Kita
akan kembali menjadi pengeluar bahan mentah seperti
getah, bijih timah, kelapa sawit yang harga semuanya
akan ditekan turun. Sudah tentu kita akan menjadi
miskin dan negara yang miskin mudah dikuasai dan
dijajah orang.
14. Kemungkinan ini berlaku menjadi lebih besar kerana
rakyat kita juga asyik sambut apa sahaja yang
disarankan oleh orang Barat. Mereka sendiri akan
menyerang pemerintahan negara sendiri dengan tuduhan
yang direka oleh orang asing. Demikian apabila orang
asing menuduh Dasar Ekonomi Baru hanya menguntungkan
beberapa kerat kroni pemimpin, mereka turut menjerit
kroni-kroni. Bahawa apa yang ada pada mereka sendiri
semuanya adalah hasil pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru
diketepikan. Jika orang Barat kata kroni maka tentulah
kerana ia adalah benar. Tidak mungkin orang putih
membuat dakwaan yang tidak benar.
15. Sekarang Barat mempromosikan globalisasi maka
orang yang sama turut memberi sokongan tidak berbelah
bagi kepada globalisasi. Jika akibatnya ekonomi negara
merosot, kita jadi miskin dan kehilangan kebebasan
kita, mereka akan menyalahkan Kerajaan sendiri.
16. Kita sedar bahawa kita terlalu lemah untuk menahan
roda globalisasi. Sementara kita membuat persediaan
kita juga perlu mencuba mempengaruhi bentuk globalisasi
supaya ianya tidak terlalu merugikan kita. Demikian
juga dengan K-ekonomi. Kita perlu pelajari selok-belok
K-ekonomi supaya kita akan mendapat sedikit keuntungan
daripadanya. Amatlah merbahaya jika kerana kita tidak
bersetuju dengan bentuk globalisasi, kita menolak
segala usaha untuk melengkapkan diri kita dengan ilmu
pengetahuan yang diperlukan untuk menangani K-ekonomi.
17. Kita telah rugi dahulu kerana kita menolak
pelajaran dalam Bahasa Inggeris di zaman penjajah
kerana takut kita akan jadi orang Kristian. Penolakan
ini telah menjadikan orang Melayu bangsa yang
ketinggalan dalam penguasaan pelbagai ilmu yang
penting.
18. I.T. atau teknologi maklumat boleh mendedahkan
kita kepada budaya hedonis (budaya keseronokan hidup)
Barat yang boleh merosakkan aqidah kita. Kita lihat di
Barat mereka keterlaluan dalam mengejar keseronokan
berasas kepada memuaskan nafsu seks sehingga institusi
perkahwinan dan keluarga sudah dihapuskan. Pendedahan
kepada budaya ini melalui I.T., terutama Internet boleh
menghakis budaya Melayu secara langsung. Bahaya yang
kita hadapi lebih besar daripada kononnya kita akan
menukar agama kerana belajar Bahasa Inggeris dan ilmu-
ilmu dari Barat. Tetapi menutup mata dan menolak
teknologi maklumat bukan caranya untuk kita
menyelamatkan diri kita.
19. Kerajaan telah berusaha untuk membentuk budaya
baru bagi orang Melayu supaya mereka dapat menangkis
pengaruh yang tidak sihat. Melayu yang memiliki budaya
baru ini dikenali sebagai Melayu Baru. Mereka disemai
dengan nilai-nilai hidup yang baik yang boleh menangkis
pengaruh buruk dari luar. Melayu Baru bukan kaki minum
arak, tahi judi, kaki perempuan, menolak agama Islam
dan adat resam orang Melayu seperti yang cuba
digambarkan oleh mereka yang ingin orang Melayu terus
kolot dan tidak mampu menangani cabaran zaman moden.
Melayu baru yang dimaksudkan ialah yang terpelajar,
bersemangat, berani menghadapi cabaran dan pegangan
kepada Islam tidak terhad kepada rupa bentuk tetapi
kepada nilai-nilai Islam seperti amanah, tidak mungkir
janji, ikhlas, berfikiran waras, toleran dan tidak
mudah menuduh orang Islam lain sebagai tidak Islam.
Melayu seperti ini tidak akan mudah tergoda dengan
nafsu tetapi sebaliknya boleh mengatasi cabaran dengan
pendekatan yang rasional.
20. Di masa yang sama identiti Melayu tidak akan
hilang. Semangatnya, kesetiaannya dan kesanggupan
mempertahankan bangsa dan agamanya akan menjadi lebih
kuat dan era I.T. akan dikuasai olehnya secara
menyeluruh.
21. Sesiapa yang menghalang pembentukan Melayu Baru
ini adalah sama dengan orang zaman dahulu yang percaya
mempelajari ilmu dalam Bahasa Inggeris akan menyebabkan
orang Melayu menjadi Kristian. Melayu Baru mampu
menguasai I.T. dan tidak terlibat dengan minum arak dan
maksiat yang lain kerana Melayu Baru memiliki dan
mengamalkan nilai-nilai murni yang memberi kekuatan
kepada orang Islam di zaman kegemilangan Islam. Melayu
yang kolot yang anggap dunia yang dikurniakan oleh
Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada umat manusia sebagai
syurga bagi orang bukan Islam tetapi untuk orang Islam
disediakan syurga di akhirat sahaja akan menjadi lemah
sehingga mereka akan dijajah semula. Kita belum boleh
yakin orang yang miskin dalam serba-serbi, akan kukuh
dan kuat imannya. Kemungkinannya ialah iman mereka
lebih lemah.
22. Apakah pendirian Za'ba terhadap pemikiran kolot
yang menolak ilmu dalam Bahasa Inggeris. Semasa
perjuangan orang Melayu untuk menebus maruah, Za'ba
dikenali sebagai seorang patriot dan saya adalah antara
ramai yang mengikuti peranannya. Satu cerita yang
mencerminkan pandangan Za'ba terhadap orang yang kolot
adalah seperti berikut:-
"Orang Melayu, kata Za'ba, adalah orang yang berbudi
bahasa. Jika mereka berjalan dan ada orang lain yang
berjalan atas batas yang sama ke arahnya, orang Melayu
yang berbudi bahasa akan mengenepikan diri untuk
memberi jalan kepada orang lain. Di kampung, ini tidak
menjadi masalah kerana tidak ada ramai orang yang
berjalan-jalan. Apabila orang Melayu yang berbudi
bahasa ini pergi ke bandar ia juga berhenti dan
mengenepikan diri untuk memberi jalan kepada orang
lain. Tetapi di bandar orang yang berjalan di jalan
begitu ramai dan orang yang terlalu berbudi bahasa
tidak akan dapat bergerak kerana memberi jalan kepada
orang lain."
23. Maksud Za'ba sementara budi bahasa mesti
dikekalkan tetapi dalam keadaan yang berlainan ia perlu
ditukar supaya orang Melayu dapat bergerak dan dapat
maju ke hadapan. Bagi Za'ba Melayu Baru di zamannya
ialah Melayu yang berbudi bahasa tetapi juga sedar akan
perubahan dalam persekitarannya dan perlunya perubahan
sikap untuk memajukan dirinya.
24. Di zaman ini pertukaran yang lebih besar perlu
dibuat oleh orang Melayu jika mereka ingin bersaing
dengan bangsa-bangsa lain dengan jayanya tanpa
kehilangan identiti dan agamanya.
25. Budaya sesuatu bangsa dikekalkan melalui didikan
di rumah dan di sekolah. Untuk membentuk budaya Melayu
Baru, sekolah iaitu guru perlu memainkan peranan yang
besar. Untuk menentukan guru-guru memiliki kebolehan
menyemai nilai-nilai murni yang boleh membentuk Melayu
Baru, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan maktab-
maktab perguruan yang lain mempunyai tanggungjawab dan
peranan. Guru-guru yang dilatih dalam institusi-
institusi ini perlulah diberi kursus intensif supaya
mereka bukan sahaja dapat menyampaikan ilmu tetapi juga
menyemai budaya Melayu Baru secara langsung dan tidak
langsung di kalangan murid mereka. Dengan itu akan
terbentuklah peribadi yang mulia dan jatidiri, peribadi
yang memiliki segala kualiti yang diperlukan untuk
menjayakan dirinya, bangsanya, agamanya dan negaranya,
di kalangan generasi akan datang. Maka akan terselamat
dan majulah bangsa Melayu seperti yang diharapkan oleh
Za'ba.
26. Hari ini kita melancarkan Kursi Za'ba.
Memperingati jasa Za'ba dengan menamakan sebuah kursi
dengan namanya memanglah sesuatu yang baik. Tetapi
lebih besar daripada hanya memperingati nama seorang
jaguh kebangsaan ialah dengan memahami falsafah dan
pendekatan perjuangan Za'ba dan meneruskannya dalam
konteks zaman ini. Pembaharuan seperti yang
diperjuangkan oleh Za'ba bukan statik dan beku. Ia
adalah dinamik dan terpulanglah kepada generasi-
generasi yang menyusul Za'ba untuk menjayakan
perjuangannya secara berterusan.
27. Sultan Idris Training College (SITC) telah
memainkan peranan yang besar dalam menyedari orang
Melayu akan nasib mereka dan melahirkan pemimpin-
pemimpin Melayu yang telah membebaskan bangsa dan
negara. Sekarang SITC telah menjadi sebuah universiti,
Universiti Pendidikan Sultan Idris. Tradisi yang
cemerlang SITC mestilah diteruskan dengan Universiti
Pendidikan Sultan Idris melatih dan mengeluar pemimpin-
pemimpin yang berkaliber, pemimpin yang jatidiri dan
cekal, yang memiliki ilmu-ilmu moden tanpa melupakan
budaya bangsa dan ajaran agama, yang dapat memimpin
bangsa dan negara yang tercinta ini supaya Melayu yang
tidak akan hilang di dunia adalah Melayu Baru yang
dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan
bangsa-bangsa maju di dunia, insya-Allah. Tidak ada
tugu yang boleh dibina untuk Za'ba yang boleh
membanggakannya seperti tugu budaya Melayu Baru yang
dicita-citakan olehnya.
|