Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUTRAJAYA 
Tarikh/Date 	: 	01/05/2000 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN PERDANA MENTERI 
			SEMPENA HARI PEKERJA 



      
  
       Syukur  Alhamdulillah negara  kita  telah  memasuki
  alaf  baru dengan penuh keyakinan dan bersemangat tinggi
  setelah  ekonomi kita menunjukkan pemulihan  yang  kukuh
  tahun  ini.  Setelah tiga tahun ekonomi negara mengalami
  kemerosotan  akibat krisis kewangan yang melanda  rantau
  ini,  Malaysia kini kembali kepada kedudukan yang  kukuh
  dan  lebih  baik  untuk  menyambung  semula  usaha-usaha
  memaju dan membangunkan negara demi faedah rakyat.
  
  2.    Semasa  krisis  kewangan dahulu  banyak  rancangan
  Kerajaan  terpaksa ditangguh atau dibekukan kerana  wang
  kita  telah  dilarikan ke luar negara.  Kejatuhan  nilai
  matawang  telah  menaikkan kos keperluan yang  diimport.
   Jika  tidak kerana kita berjaya mengawal inflasi, rakyat
  termasuk pekerja bergaji akan hidup merana kerana  tidak
  dapat membeli keperluan hidup, bahkan menganggur terus.
  
  3.    Bahawa  kita  berjaya mengelak  daripada  meminjam
  wang  daripada  IMF telah membawa banyak  nikmat  kepada
  pekerja   Malaysia.    Dasar  IMF  berkenaan   menangani
  kegawatan  ialah  dengan memaksa perniagaan  yang  tidak
  dapat  mengatasi  kerugian ditutup sahaja.   Bahawa  ini
  akan   menyebabkan   ramai  pekerja   menganggur   tidak
  dipedulikan sama sekali.  Jika pertolongan diberi  untuk
  memulihkan  syarikat,  ini dikutuk  sebagai  'bail-out'.
  Sebaliknya   apabila  syarikat  kewangan   negara   maju
  menghadapi    masalah   mereka   mengadakan   'bail-out'
  berbilion  Dolar untuk menyelamatkan pelabur yang  kaya.
  Syarikat  kewangan  yang tidak mempunyai  ramai  pekerja
  terselamat kerana 'bail-out' ini.
  
  4.    Sebab  itu  pekerja  di  Malaysia  boleh  dianggap
  bernasib  baik kerana kita tidak perlu meminjam daripada
   IMF.   Di  masa  yang sama kita dapat  mengawal  inflasi
  supaya  kejatuhan  Ringgit  sebanyak  50  peratus  tidak
  menyebabkan  pengurangan  daya beli  pendapatan  pekerja
  dengan peratusan yang sama.
  
  5.    Sekarang  Kerajaan sedang meneruskan  usaha  untuk
  memulihkan  ekonomi.   Sudah  tentu  pendapatan  pekerja
  akan  bertambah.  Tetapi kita harus ingat  ekonomi  kita
  bergantung  kepada eksport barangan dan komoditi.   Jika
  kos   kita   mengeluarkan  barangan  ini  lebih   tinggi
  daripada  kos di negara jiran, eksport kita  tidak  akan
  naik   dan  mungkin  merosot.   Jika  ini  berlaku  maka
  ekonomi  kita  tidak akan dapat berkembang.   Ini  boleh
  menyebabkan  pengangguran  berlaku  dan  kenaikan   upah
  tidak dapat diadakan.
  
  6.    Kos  pengeluaran barangan boleh diturunkan  dengan
  meningkatkan kecekapan dan mengawal kewangan  perniagaan
  dengan  cermat.  Ini memerlukan kerjasama yang  erat  di
  antara  pekerja dan majikan.  Majikan hendaklah  sanggup
  berkongsi  kenaikan  pendapatan walaupun  ia  disebabkan
   peningkatan   kecekapan  pengurusan   atau   pertambahan
  pelaburan  untuk  meningkatkan kecekapan.   Disebaliknya
  pekerja  pula  harus  meningkatkan  produktiviti  supaya
  keuntungan   bertambah   dan  sanggup   pula   berkongsi
  keuntungan  ini  dengan  majikan.   Inilah   cara   yang
  terbaik bagi perniagaan dan perusahaan.
  
  7.    Pendapat bahawa upah dapat ditambah melalui  'test
  of  strength'  iaitu ujian  kekuatan di  antara  pekerja
  dengan  majikan  adalah  salah.  Ujian  kekuatan,  walau
  siapa   menang  sekalipun  mempunyai  kos  yang  tinggi.
  Akhirnya kita akan hilang dayasaing kita, akan rugi  dan
  mungkin akan hilang pendapatan.  Negara juga akan rugi.
  
  8.    Pekerja  negara  maju dan kesatuan  mereka  memang
  mahu  kita menggunakan pendekatan yang boleh memusnahkan
  kita.    Apabila  ini  berlaku  maka  tidak   akan   ada
  persaingan lagi dan mereka boleh menuntut kenaikan  upah
  bagi  mereka  lagi.  Janganlah kita percaya  orang  yang
  sedang bersaing dengan kita ingin membela nasib kita.
   
  9.    Sesungguhnya  cara  yang terbaik  untuk  menaikkan
  upahan   kita  ialah  dengan  meningkatkan  produktiviti
  kita.   Jika sudah naik tetapi kita tidak dapat kenaikan
  yang   berpatutan,   rundingan  dengan   majikan   perlu
  diadakan.   Jika  ini tidak berjaya, maka  orang  tengah
  perlu didapati untuk menimbangkan merit pendirian kedua-
  dua pihak dan memberi 'award' yang adil dan berpatutan.
  
  10.   Negara  Malaysia ini adalah negara  kita  bersama.
  Tidak  ada siapa yang lebih istimewa dan berhak daripada
  orang  lain  di  Malaysia.  Oleh itu  kita  semua  perlu
  bekerjasama   untuk   memajukan   negara    kita    ini.
  Percayalah  semua  kita  akan  mendapat  keuntungan  dan
  nikmat yang jauh lebih tinggi apabila negara kita maju.
  
  11.    Hari ini pun kita lebih maju dan pekerja Malaysia
  mendapat lebih banyak pulangan kerana jarang berlaku  di
  negara ini tindakan-tindakan perusahaan.  Pelabur  lebih
  yakin  melabur  di  Malaysia kerana mereka  tidak  perlu
   membuat   peruntukan  untuk  kerugian  akibat   tindakan
  perusahaan.   Jika  mereka  yakin  bahawa  bukan  sahaja
  mereka   tidak  akan  rugi  kerana  tindakan  perusahaan
  tetapi sebaliknya akan lebih untung kerana pekerja  akan
  meningkatkan  produktiviti sepanjang masa, maka  pelabur
  akan  melabur  dengan lebih banyak.   Apabila  pelaburan
  meningkat   maka  upah  untuk  pekerja  akan  meningkat.
  Pelabur  terpaksa  menawarkan  upahan  yang  lebih  baik
  untuk  mendapat pekerja.  Ini sebenarnya  telah  berlaku
  kerana   insentif  yang  diberi  kepada   pelabur   oleh
  Kerajaan  menarik pelaburan yang begitu banyak  sehingga
  bilangan pekerja tidak mencukupi walaupun pekerja  asing
  dibenarkan masuk.
  
  12.    Kerajaan  amat  menghargai  sikap  dan  kefahaman
  masyarakat  pekerja  yang  menyumbang  kepada   kemajuan
  negara  kita.  Pandangan pekerja berkenaan bukan  sahaja
  hal  ehwal  pekerja  tetapi  juga  masalah-masalah  lain
  tetap  akan  diberi  pertimbangan oleh  Kerajaan.   Jika
   Kerajaan  kadang-kadang tidak bersetuju  dengan  pekerja
  dalam  desakan  mereka, sebabnya ialah  kerana  Kerajaan
  terpaksa    memikirkan   kepentingan    negara    secara
  menyeluruh,   yang  mana  maju  mundurnya  negara   akan
  mempengaruhi nasib pekerja juga.
  
  13.   Baru-baru  ini  banyak kedengaran  berkenaan  gaji
  minima.   Ada yang berkata saya sendiri mahu  menetapkan
  gaji  minima  sebanyak RM1,200 sebulan.  Sebenarnya  apa
  yang  saya  perkatakan ialah saya ingin melihat  pekerja
  mendapat   sekurang-kurangnya  RM1,200   sebulan   hasil
  daripada  peningkatan produktiviti  mereka  dan  majikan
  mereka.   Kita  tidak  dapat sekaligus  menetapkan  gaji
  minima  sebanyak  RM1,200 sebulan.   Jika  kita  berbuat
  demikian  maka ia akan menjadi kenaikan gaji bagi  semua
  pekerja,  bahkan  eksekutif  juga  ke  paras  yang  amat
  tinggi.   Jika seorang yang dibayar gaji RM400 sekarang,
  dinaikkan  gajinya  kepada RM1,200,  maka  pekerja  yang
  sekarang  dibayar  RM1,200 akan juga  menuntut  kenaikan
   gajinya  supaya  jarak  antaranya  dengan  pekerja  yang
  dahulu  dibayar RM400 dapat dikekalkan.  Dan  jarak  ini
  tentulah  melebihi  RM800, menjadikan gajinya  sekurang-
  kurangnya  lebih RM2,000.  Apabila ia mendapat   RM2,000
  orang  lain  yang dahulu mendapat RM2,000,  iaitu  RM800
  lebih  daripadanya  akan menuntut  supaya  jarak  antara
  mereka  terus RM800 atau lebih, iaitu sekurang-kurangnya
  RM2,800.   Kemudian mereka yang dahulu  bergaji  RM2,800
  akan  juga  meminta supaya mereka dinaikkan  gaji  untuk
  mengekalkan  jarak  antara mereka dengan  yang  mendapat
  RM2,800.   Dengan  perkataan lain penentuan  gaji  untuk
  minima  yang tinggi akan menyebabkan kenaikan gaji  yang
  menyeluruh  yang tidak mampu dipikul oleh Kerajaan  atau
  swasta.   Saya  tidak  perlu  menyebut  apa  yang   akan
  terjadi kepada ekonomi negara dan dayasaingnya.
  
  14.   Sepertimana  kita  semua maklum  Kerajaan  sanggup
  menaikkan gaji tanpa tuntutan oleh pekerja (10  peratus)
  jika   Kerajaan  mempunyai  kemampuan   dan   ia   tidak
   mempunyai   kesan  buruk  terhadap  kewangan   Kerajaan,
  dayasaing kita dan ekonomi negara.
  
  15.   Kerajaan  ini  amat bersimpati  dengan  masyarakat
  pekerja  dan  akan membuat apa yang mampu  dibuat  untuk
  kebaikan  mereka.   Kita tidak ingin  melihat  jarak  di
  antara    yang   berpendapatan   rendah   dengan    yang
  berpendapatan     tinggi    terlalu    jauh,     setelah
  mengambilkira cukai yang dikenakan.  Saya  berharap  dan
  berdoa  supaya  keharmonian dan keamanan dalam  hubungan
  perusahaan  di  negara ini akan menjadi  bertambah  baik
  demi kebaikan kita bersama.
  
  16.   Saya  ucap  Selamat  Menyambut  Hari  Pekerja  dan
  Selamat Bekerja untuk diri dan negara.
  
  
 


 



 
Google